Memaparkan catatan dengan label bas. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label bas. Papar semua catatan

5 Feb 2014

Cuti-Cuti Diwali : Mangalore & Manipal

..السلام عليكم و رحمة الله و بركات

Salam sejahtera, semua. Entri terakhir tentang percutian sewaktu cuti Deepavali yang lepas.

Dari Bangalore, saya ke Mangalore pula secara solo kerana Helmi Hamid terus pulang ke Belgaum kerana ada urusan yang lebih penting. Tak mengapa, teruskan sahaja perjalanan sambil mengharapkan semuanya akan selamat.

Pemandangan yang agak klasik di Mangalore


Setibanya di Mangalore pada jam 6.45 pagi, 7 November 2013, sahabat saya, Harith Aini menjemput saya di PVS Circle dan terus membawa saya ke rumahnya di Maharaja Residency. Rumah yang bernombor 904 itu diberi nama 'Darul Rantissi'. Harith tinggal bersama Muhsan dan Syahir. Jika pada kunjungan yang lepas, saya tidak sempat bermalam di sana, namun pada kunjungan kali ini, saya telah berjaya menebus kekecewaan mereka.

Bertukar-tukar cerita, bersenda gurau, itulah aktiviti kami. Namun masih dalam suasana ingat-mengingati kepada Allah S.W.T.. Indahnya suasana sebegini. Terasa manisnya ukhuwah, boleh membawa kepada penyakit Diabetes Mellitus Type 2. Kurangkan gula dalam minuman, lebihkan manis dalam senyuman!

Alhamdulillah, sepanjang berada di Mangalore, saya disaji dengan pelbagai juadah yang menarik. Semuanya ditanggung beres. Pertama kali merasa makan di Kobe Sizzlers di City Centre, Mangalore.

Minuman di Kobe Sizzlers

Malamnya, setelah makan malam di Darul Rantissi, makan ais krim pula di Ideals. Alhamdulillah, ditanggung lagi. Tunggu kehadiran mereka di Belgaum pula untuk balas kembali budi.

Setelah bermalam di Mangalore, tibalah hari terakhir percutian. Saya menuju ke Manipal pada paginya. Bakal bertolak pulang ke Belgaum pada malamnya. Sudah banyak kali saya berkunjung ke Manipal, terasa seperti rumah kedua.

Suasana dalam bas dari Mangalore ke Manipal. Jarak perjalanan lebih kurang 80km, mengambil masa kira-kira 1 jam 45 minit.

Sudah tiba. Tiger Circle, Manipal.

Setelah 3 tahun tidak bersua, akhirnya peluang itu datang jua untuk bertemu kawan lama. Memperkenalkan Parthiban a/l Subramaniam, rakan sedorm di SM Sains Alam Shah (ASiS) dulu. Masing-masing dah naik berat badan ya.

Tidak sah andai tidak menjamah juadah yang lazat di Manipal sekiranya anda ke sana, kerana Manipal memang terkenal dengan makanan yang murah dan sedap. Alhamdulillah, untuk makan tengah hari, saudara Parthiban belanja. Dah lama tak jumpa. 3 tahun tak jumpa, mestilah banyak cerita dan kisah yang keluar. Masing-masing rindu ASiS, terutamanya suasana dalam dorm 2A3.

Petangnya, saya dibawa ke Malpe Beach oleh kenalan saya di Manipal, Syafiq Zharfan atau lebih dikenali sebagai Apan. Dari Manipal, kami ke Malpe Beach dengan menaiki vespa.


Malpe Beach, Udupi

Boleh cuba untuk parasailing untuk mereka yang berminat

Suasana matahari terbenam yang amat menarik

Ada juga khidmat tunggang kuda di pantai tersebut

Pantai yang indah dan tidak pernah mengecewakan, cumanya agak sukar untuk mencari pengangkutan pulang sekiranya anda datang ke sini dengan menaiki auto.

Apan, Bulan Mac ni dia akan pulang ke Malaysia untuk sambung belajar di kampus MMMC di Melaka yang masih berbaki 2.5 tahun.

Antara makanan laut yang dijual di pantai tersebut. Jangan bimbang, harga amat berpatutan.

Suasana senja di Malpe Beach, sambil kami makan makanan laut yang boleh tahan sedap.
Setelah mengukir pelbagai memori di pelbagai destinasi, akhirnya percutian pada cuti Deepavali telah tamat. Setiap yang bermula pasti ada pengakhirannya. InshaAllah, saya akan terus mengembara jika ada kelapangan masa dan ada rezeki kerana saya yakin, ada saja pengalaman yang baru dalam setiap perjalanan. Jangan lupa ucap 'Subhanallah' andai ternampak sesuatu yang mengagumkan di sepanjang perjalanan.


Berjalan dan bermusafirlah
Untuk melihat kebesarannya
Lantas berfikir dan bersyukur
Di atas nikmat dan kurnianya
Nilai harganya iman dan taqwa
Bagi hamba yang setia


Bersama rakan-rakan seperjuangan di ASiS dulu sebelum pulang ke Belgaum. Semoga Allah S.W.T. kekalkan silaturrahim antara kami.

Cuti-Cuti Diwali 2013 : TAMAT.

25 Dis 2013

Cuti-Cuti Diwali : Dharwad

..السلام عليكم و رحمة الله و بركات

Salam sejahtera, semua. Agak lama tak dikemas kini blog ini nampaknya. Maaf kerana agak sibuk dengan komitmen belajar. Namun, ada benda yang perlu dikongsi.

"Berjalan bermusafirlah melihat kebesaran Tuhan
Yang diciptakan untuk mereka yang berfikir dan bersyukur di atas nikmat dan kurniaNya
Nilai harganya iman dan taqwa
Bagi hamba yang setia.."

[Hikmah Kembara - Mirwana]

Baru-baru ini, alhamdulillah, diberi kesempatan untuk bercuti selama 10 hari sempena Diwali / Deepavali. Takkan nak duduk Belgaum saja? Maka, saya mengambil kesempatan untuk bermusafir di sekitar negeri Karnataka ini sambil menziarahi sahabat-sahabat di sepanjang perjalanan.

Pusing India naik beca roda tiga? Ada berani?


Antara destinasi yang telah dilawat ketika cuti tempoh hari adalah:

1. Dharwad
2. Bangalore
3. Mysore
4. Mangalore
5. Manipal

Lokasi yang berjaya dilawati. G = Belgaum, D = Bangalore, C = Mysore, E = Mangalore, F = Manipal. Semuanya dalam negeri Karnataka.

Mula-mula, ke Dharwad dulu, bersama rakan-rakan ke rumah Najmi Latif, sahabatku yang tercinta. Perjalanan ke Dharwad sejauh 75km mengambil masa lebih kurang 1 jam 45 minit dari Belgaum, dengan menggunakan bas. Tambang yang dikenakan juga amat berpatutan, iaitu Rs.75 (lebih kurang RM4.00). Untuk ke rumah Najmi, kami perlu menaiki bas lagi, dengan bayaran Rs.12 (RM0.60). Murah kan?

Dalam perjalanan ke Dharwad. Plaza tol di lebuh raya.

Sebenarnya, ini bukan kali pertama saya ke Dharwad. Ini adalah kunjungan kali ke-4 ke sana. Suasana Dharwad lebih kurang dengan Belgaum, cumanya Belgaum lebih membangun dan lebih sesak.

Makan tengah hari disediakan oleh tuan rumah, dan juga beberapa rakan-rakan pelajar Malaysia di Dharwad yang lain. Alhamdulillah, semoga Allah memberkati mereka. Sedap betul makanan, bertambah sedap dengan ikatan ukhuwah.

Macam sedap je, macam menarik je..

Sebahagian ikhwah, sakan bergambar dengan juadah..

Tuan penulis blog pun nak masuk dalam gambar juga.

Kemudian, selesai makan tengah hari, solat Jumaat pula, tidak jauh dari rumah Najmi. Kami solat di sebuah surau yang amat kecil, bersesuaian dengan populasi umat Islam di kawasan itu yang sedikit.

Selesai Solat Jumaat, kami ke bandar Hubli pula, kira-kira 15km dari rumah Najmi. Ke mana destinasi kami yang spesifik? Ke Urban Oasis Mall (UOM), sebuah pusat beli-belah yang paling dekat dengan Belgaum. Kepada mereka yang belum tahu, tiada kompleks beli-belah di Belgaum.

Wajah-wajah ceria ikhwah sekalian

Hubli merupakan sebuah bandar yang terletak 100km dari Belgaum. Nostalgia sebenarnya bandar Hubli ini, kerana Hubli merupakan tempat ketibaan kami di utara Karnataka pada mula-mula kami menjejakkan kaki di India. Sebenarnya, UOM ini baru dibuka, dan belum siap sepenuhnya. Belum banyak kedai dibuka. Yang menariknya, di UOM, lebih banyak pilihan barangan, dan boleh didapati dengan harga yang lebih murah. Yang penting, ada KFC di UOM. Sebenarnya itulah faktor tarikan utama.

Urban Oasis Mall, Hubli. UOM mengambil langkah murni sempena Diwali, dengan tidak menyokong sebarang kerahan tenaga kanak-kanak sebagai buruh.

Suasana dalam UOM.

Inilah KFC yang terdekat dari Belgaum pada ketika itu.

KFC di India sedikit istimewa, kerana KFC di India menawarkan ayam panggang yang sedap.


Boleh tahan sakan juga rakan-rakan saya membeli barang-barang, namun saya pulang dengan tangan kosong kerana mahu berjimat untuk perjalanan yang masih panjang. InshaAllah, akan mengembara selama seminggu.

Pada petangnya, sebahagian daripada kami pulang ke Belgaum, tetapi saya dan seorang lagi sahabat, Helmi Hamid, masih di Dharwad sehingga malam itu kerana kami akan ke Bangalore pula, bersama Najmi. Kami bertolak ke Bangalore pada jam 10.00 malam.

Mengikut trend semasa, selfie. Nak juga mencuba.

Teman semusafirku ke Bangalore, Helmi Hamid, pelajar tahun kedua di USM-KLE.

This is Dharwad!
Contoh bas di India. Yang penting, tambang bas di India lebih murah berbanding di Malaysia meskipun harga bahan bakar di India lebih mahal.

Kisah di Bangalore akan dikemas kini pada entri yang akan datang. Nantikan!

22 Sep 2013

3 Hari : Pekan & KL


..السلام عليكم و رحمة الله و بركات


Salam sejahtera, semua. Entri kali ini tentang menghantar pulang anak-anak buah aku ke Pekan dan juga ke Kuala Lumpur untuk kali ke-3 dalam cuti 6 minggu. Kejap je pergi ni, 3 hari, sebab dah dekat sangat dengan tarikh balik India. Gulp.

Setelah menjaga anak-anak buah selama 10 hari, nampaknya kenalah hantar mereka pulang ke rumah. Anak-anak buah aku tu aku dah anggap macam anak sendiri. Aku bergelar ‘pak cik’ sejak berusia 15 tahun lagi. Mungkin kerana pengaruh rakan sebaya, naluri kebapaan itu makin menebal. Heh.

Bawak anak-anak buah berjalan di Taman Perbandaran Tengku Anis, Kota Bharu

Seronoklah mereka main kat sini. Aku dulu-dulu pun pernah main kat sini.. Secara tak langsung, mengimbau memori lama.


Ini kali pertama mereka naik bas ekspres. Tahap excited tu tak payah tanya lah, memang budak-budak seronok semacam je walaupun malam. Risau jugak mula-mula, takut tak terjaga budak-budak tu masa dalam bas nanti. Syukurlah kakak aku yang ke-3 (Acik) ikut sekali balik Pekan, sambil Acik nak balik ke Kuala Lumpur. Sorang anak buah duduk dengan dia dalam bas, sorang lagi duduk dengan aku. Nasib baiklah budak-budak tu tak nak buang air tiba-tiba dalam bas, sebab kitorang dah paksa diorang buang air dulu sebelum naik bas. Hehe.. Bila bas berhenti kat Paka pun, kitorang paksa diorang buang air kat hentian tu.

Jom jom baik bas ke Pekan. Bismillahirrahmanirrahim.


Yang penting, bila lalu kat kawasan pemprosesan petroleum kat Kerteh tu, excited habis budak-budak tu. Kelentong sikit cakap Ultraman tengah masak, dia lapar tengah malam. Percaya je budak-budak tu. Sangat naif. Esoknya diorang cerita kat mama diorang. Hehe.. Comel je. Tiba di Pekan pada jam 5.00 pagi.

Sampai kat Pekan, tak buat apa pun, tapi syukur alhamdulillah dapat jugak merasa ikan patin masak tempoyak dan juga ikan patin goreng. Ikan patin adalah ikan kegemaran aku. Kepada bakal isteriku di luar sana, harap maklum. :p

Salah satu makanan yang aku paling gemar. Calon zaujahku, take note ye. Hehe


Keesokan harinya, ke Kuala Lumpur pula. Aku ada urusan yang tersendiri iaitu membeli alatan pembelajaran aku di Syarikat Kamal, Jalan Pahang. Seperti biasa, aku menginap di rumah kakak nombor 2 aku (Kakak), tapi kali ini bukan lagi di Apartmen Sri Batu, tapi di Kampung Batu Muda Tambahan. Baru je pindah, so kenalah tolong kemas rumah Kakak. Ada jugalah gunanya aku datang ke KL untuk kali ke-3 ni.


Jomlah tolong kemas rumah walaupun penat..

Esoknya baru seharian berjalan di sekitar KL. Pagi-pagi lagi ke LRT Sentul Timur, parking motor di sana, menuju ke LRT Titiwangsa. Ingatkan boleh jalan kaki ke Syarikat Kamal dari situ, rupanya kena naik Monorel jugak ke Chow Kit, kemudian jalan kaki ke Syarikat Kamal menerusi tepi Jalan Pahang. Syukurlah bertanya kat seorang pemandu teksi ni. Harapkan Google Maps, kena tipu pulak. Tak pasal-pasal pulak hampir sesat. Nasib baik aku pernah nampak Syarikat Kamal ni kat mana.


Sebaik sahaja turun dari Stesen Monorel Chow Kit

Akhirnya sampai di sini setelah berjalan dalam lebih kurang 15 minit dari Stesen Monorel Chow Kit

Dipendekkan cerita, setelah berbelanja sebanyak RM 200.00 di Syarikat Kamal, aku ke Bandar Seri Putra pulak, ke rumah Aznil Ramly, batchmate dan ex-roommate aku kat USM-KLE. Dari LRT Titiwangsa ke Bandar Tasik Selatan. Kemudian ambik KTM dari Bandar Tasik Selatan ke Bangi. Saje je jalan-jalan. Menebus ketidakhadiran di rumah terbuka dia hari tu. Dia baru pindah sana dalam bulan Mei kalau tak silap. Tolong dia beli tiket bas dari Bangalore ke Belgaum.

Moh kite.. Sama je lagi tiket KTM Komuter dari dulu..

Sampai pun. Aznil ambik kat stesen.

Lepas ke rumah Aznil Ramly, aku ambik KTM ke Kepong Sentral. Untuk apa? Akan diceritakan dalam entri seterusnya. Kasi saspen sikit.

Selatan ke utara. Jom kita menyelesaikan misi seterusnya..

Teaser. Tunggu entri seterusnya ye. =D

Dalam pukul 5.00 petang, tibalah di rumah kakak aku setelah pulang dari kawasan Kepong tu. Rupa-rupanya Along buat surprise, datang dari Pekan walaupun tengah demam, semata-mata nak tolong Kakak kemas rumah. Sanggup tu.. Bolehlah main dengan anak buah lain lagi. Ingatkan hari tu dah last jumpa sebelum balik India..

Keesokan hari, pulang ke Kota Bharu dari Hentian Putra, Kuala Lumpur. Sebenarnya, banyak memori di sana. Amat banyak. Setiap tempat di situ, ada saja memori yang tersendiri. Touching pulak. Hehe..

Jom kita balik rumah kemas barang nak balik India..

Tempat ini. Sepanjang 3 tahun belajar di KL (2 tahun ASiS dan 1 tahun PASUM), inilah tempatnya kalau nak balik rumah dan kalau dah sampai KL. Banyak kenangan.

Pernah menjadi 'ASiS Spot' yakni tempat pelajar-pelajar ASiS berkumpul. Kat Hentian Putra ni, hanya penumpang ke Kelantan dan Terengganu sahaja. Tak tahulah pelajar ASiS Kelantan dan Terengganu batch terkini masih berkumpul di sini atau tidak sebelum balik kampung. Teringat sangat macam dulu-dulu.

Sani Ekspress everywhere. Ni masa berhenti makan kat Merapoh. Tak makan pun, sebab mahal.


Dengan menaiki bas Ekspress Sani pada jam 9.30 am, aku tiba di Kota Bharu pada jam 5.30 pm. Pulang dengan senyuman kerana berjaya mendapatkan apa yang aku mahu - sphygmomanometer dan pentorch, dan tak lupa, dapat berjumpa dengan orang yang dah lama aku nak jumpa, akhirnya dapat peluang itu. Nak tahu siapakah mereka? Tunggu entri seterusnya. =)

 

22 Mei 2013

Bahagian 1 : Cerita-Cerita Balik Malaysia

..السلام عليكم و رحمة الله و بركات

Salam sejahtera, semua. Sebenarnya ni cerita lama, tapi tak lengkap rasanya andai tidak dikongsi bersama. Hehe.. Kisah balik Malaysia untuk kali ke-2.

Marilah terbang ke Malaysia


22 Februari 2013, balik Malaysia lagi. Tujuan utama adalah untuk melegakan kaki yang agak terbeban dek kerana sudah tak guna tongkat untuk bantuan berjalan. Betis besar sebelah! Nak balik untuk berubat lah kiranya. Kedua, untuk melepaskan rindu kepada keluarga. Ketiga, untuk pulangkan tongkat milik mak cik aku. Hehe.. Yang last tu saje je :D

Baru genap 100 hari sampai kat India, balik ke Malaysia semula. 100 hari yang ditempuh itu bukan mudah bagi aku. Daripada kaki 4, jadi 3. Daripada 3, jadi 2. Alhamdulillah, akhirnya sembuh daripada kecederaan yang dialami sejak akhir Julai 2012. Terima kasih kepada yang selalu mendoakan.

Macam biasa, perjalanan bermula dari Belgaum pada malam 21 Februari, dengan bas, ke Bangalore. Sebenarnya kami baru sahaja ada pilihan sama ada ingin menaiki bas atau kapal terbang SpiceJet dari Belgaum ke Bangalore dan sebaliknya. Namun, disebabkan wang yang kurang mencukupi, maka... naik bas saja. Ramai jugak yang balik kali ini. Lebih 40 orang balik ke Malaysia walaupun cuti hanya seminggu. Masing-masing ada tujuan yang tersendiri.

Lepak di Bangalore untuk beberapa jam sebelum ke Bengaluru International Airport. Tumpang rumah pelajar IMS-MSU kat Gokula. Alhamdulillah, Allah turunkan rezeki, ada sahabat belanja makan tengah hari. Saudara 'Isa, rakan seperjuangan di ASiS yang kini belajar di IMS-MSU, dialah yang belanja aku makan. Sempat borak sekejap dengan beliau sementara menunggu Solat Jumaat.

Lepas solat Jumaat, terus ke Bengaluru International Airport. Jarak antara Gokula dengan lapangan terbang adalah dalam 40km. Naik teksi, tak mahal sangat, dalam RM40. Berbaloi sangat. Ada drama mini sikit masa kat airport. Muatan terlebih pulak. Ambik 25kg je, tapi terlebih sampai 27kg. Alhamdulillah, dah bersedia untuk kemungkinan itu. Awal-awal lagi dah bawak beg kosong. Boleh bawak masuk muatan lebih tu sebagai hand luggage. Syukurlah terfikir pasal benda ni.

Satu lagi drama! Dekat kaunter check-in tu, mereka tak bagi aku bawak tongkat masuk dalam kapal terbang. Padahal boleh je kan?! Saje je cari masalah, nak suruh aku check-in sekali tongkat tu masuk dengan bagasi. Nasib baik aku belajar teater / drama, aku pun terus berlakon, cakap aku masih perlukan tongkat tu, dan buat-buat sakit (padahal tak pun sebenarnya!). Mereka percaya dan terus bagi bawak masuk. Lakonan yang mantap. Padan muka tempe, saja cari pasal dengan aku.

Sementara menunggu flight AK1212 yang terlambat tiba, ada caranya untuk menghilangkan bosan.. Antaranya....

Main daun terup
Keep calm and wait for the delayed flight..


Maka, pada 12.30 tengah malam waktu Malaysia, kami selamat tiba di LCCT, Sepang. Tanpa berlengah, memandangkan sudah lewat malam, aku terus ambik bas dari LCCT ke KL Sentral. Ada abang ipar aku menanti di sana. Sejam perjalanan dari sana, alhamdulillah selamat tiba di KL Sentral. Kemudian, terus ke rumah kakak aku di Apartmen Sri Batu, KL. Tidur sebentar sementara menunggu pagi. Aku akan ke Kuala Lumpur lagi dalam masa seminggu.

Paginya, aku menuju ke Pekan, Pahang pulak. Rumah kakak sulung aku, dan juga tempat asal abah aku. Secara genetiknya, aku ni separuh Kelantan, separuh Pahang, in case korang tak tahu. Tapi aku duduk Kelantan sangat lama, so aku orang Kelantan lah. Hehe.. Tapi janganlah dilupakan saudara-mara di sana. Sebenarnya aku rindu kat anak-anak buah aku yang comel-comel tu. :)

Terima kasih kepada Izzat Zainal, kawan satu kelas tutorial masa kat PASUM sebab belikan tiket bas untuk aku, dan hantar aku ke Pudu Sentral pada pagi tu. Bas ke Pekan pukul 11.00 pagi.

Kawan pergi Pekan dulu =)


Lama jugak perjalanan tu, pukul 4.30 petang baru sampai kat Pekan. Sepatutnya dalam 3 jam setengah dah boleh sampai, tapi sesak pulak kat Kuantan sebab kebetulan hari tu ada perlawanan bola antara Pahang dengan Kelantan. Bas kena berhenti kat Stadium Darul Makmur dulu untuk turunkan penumpang. Lepas tu, pak cik driver bas lapar lah pulak. Dah nak sampai Pekan dah pak cik.. Sempat lagi berhenti makan kat Kg. Ubai. Alahai.. Sabar je la. Bila sampai kat rumah kakak aku tu, rasa lega, dan rasa syukur dapat jumpa anak-anak buah dan dapat juga menjejakkan kaki di Pekan setelah gagal berbuat demikian masa cuti lepas habis first year.

Kalau ke negeri Pahang ni, tak makan ikan patin ni, memang tak sah. Lebih-lebih lagi, ikan patin ni adalah ikan yang paling aku suka. Awal-awal lagi dah mintak suruh masakkan ikan patin taw. Ini hasilnya. Hehe =)

Ikan patin masak tempoyak. Ikan patin yang goreng pun ada jugak.

Selain ikan patin, kakak aku ada buatkan rojak sekali. Murah pulak rezeki aku. Alhamdulillah. Setelah sembang-sembang sikit dengan Along dan suami beliau dan jugak anak-anak buah yang comel, jomlah kita keluar bersiar-siar. Mula dengan melawat kawan baik aku, Taufiq Taha kat Universiti Malaysia Pahang (UMP) Kampus Pekan. Ini kali pertama aku ke UMP Pekan. Boleh tahan luas jugak!

Sempat snap satu gambar je


Inilah Taufiq, dulu aku selalu jugak pergi bilik dia masa kat PASUM. Dia ambik course Kejuruteraan Pembuatan kat UMP Pekan.
Kerinduan suasana di PASUM dulu amat dirasai. Syukurlah walaupun dapat peluang hanya sekejap jumpa dengan Taufiq, kerinduan itu berjaya diubati. Lepas borak-borak dengan Taufiq, aku ke bandar Pekan pulak. Banyak jugak perubahan aku tengok. Sempat la jugak ambik gambar sikit.

Muzium Sultan Abu Bakar
Masa last sekali balik Pekan, takde lagi benda ni..
Salah satu tarikan di bandar Pekan
Padang bola di tengah bandar Pekan
Anak-anak buah yang poyo. Hehe.. Ada lagi sorang, masih baby
Bendera negeri Pahang megah berkibar


Lepas bersiar-siar kat bandar Pekan, terus ke rumah mak cik aku pulak. Ada buat minum petang, tapi sebenarnya masa tu dah lambat. maaflah, sebab tadi pun sampai Pekan agak lambat. Asalkan datang ye dak? Mak cik aku nak pergi umrah, sebab tu buat minum petang tu.. Sempatlah jumpa ramai jugak mak cik dan pak cik serta sepupu-sepupu belah Abah aku..


Duduk sebelah mak cik aku. Yang dua orang tu sepupu aku.
Penat setelah seharian berjalan, dari Bangalore ke Kuala Lumpur ke Pekan. Esoknya nak balik Kota Bharu pulak. Seronoklah boleh usik-mengusik anak-anak buah.. Bukan selalu jumpa. Pastinya aku akan sangat merindui mereka. Paginya, terus ke Kuantan, naik bas kat sana menuju ke Kota Bharu.

Inilah anak buah aku yang lagi sorang. Muhammad Adam Dasuki. Meningkatkan naluri kebapaan aku je ni. Oops! :D
Sudah sampai di Stadium Darul Makmur, di terminal bas sementara, sebab Terminal Makmur dalam penyelenggaraan, dan khabarnya ada stesen bas baru yang akan dibina di Kuantan.

Anak-anak buah bersama mama mereka yang comel lote. Tengok la kakak sape kan? Hehe..

Suasana di perkarangan stadium. Ramai jugak orang yang menghala ke Kelantan, sebab semalam baru habis game Pahang lawan Kelantan
Tiketnya.. Masa untuk pulang =)

Sedih jugak nak berpisah dengan anak-anak buah, tapi lagi seronok sebab nak balik rumah. Jumpa abah dan mak. Masa nak naik bas, sempat lagi anak-anak buah aku buat muka sedih. Propa je semua tu.. Pandai betul berlakon. Lama jugak aku tersenyum sendiri mengenangkan mereka. Tunggulah 27 Julai, aku akan pulang semula ke Malaysia. Selamat jalan, persinggahan sebentar yang begitu bermakna.

Sepanjang perjalanan, hujan sepanjang masa. Syukurlah, kalau tak, mesti perjalanan agak kurang selesa. Aku rindukan suasana sebegitu, suasana musim tengkujuh, kerana aku anak Pantai Timur. Sempat juga aku mengambil gambar sepanjang perjalanan dari dalam bas.


Ini kat Kerteh. Takde pulak api nye, mungkin sebab hujan.
Replika sotong, udang dan kerang di tengah pekan Marang.
UniSZA Kampus Kota. Ada kawan baik aku, Nur Sufi buat medik kat sini. Sorang kawan satu tutorial dulu pun ambik medik jugak kat sini. Tak sempat singgah.. Lain kali yer.
Ku lihat biru. Eh! Hehe.. Aku cuba ambik gambar Taman Tamadun Islam tu sebenarnya. Abaikan bendera tu :D
Masjid Hadhari kat Jerteh.
Kota Sri Mutiara, KOTA BHARU, KELANTAN. Dah sampai! =)
Akhirnya selamat sampai di bumi Kota Bharu yang amat ku rindui. Setelah mengharungi perjalanan yang agak memenatkan, akhirnya dapat jua ku bertemu ibu bapa, dan mengucup tangan mereka. Alhamdulillah..

Aktiviti-aktiviti di Kota Bharu dan selanjutnya akan diceritakan dalam Bahagian 2. Tunggu =)