Memaparkan catatan dengan label AM. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label AM. Papar semua catatan

Selasa, Ogos 30, 2011

HANYA 4 'D' DALAM TEMPOH 29 HARI - SESUATU YANG MEMBANGGAKAN

Bermula 1 Ogos 2011 / 1 Ramadan 1423H sehingga 29 Ogos 2011 / 29 Ramadan 1432H secara penuh disiplin menghitung satu perkara; biasanya 'D' akan habis dalam dua hari tapi dalam tempoh hitungan 29 hari itu hanya 4 'D' dihabiskan, hal ini juga sesuatu rahmat besar Ramadan namun terfikir mampukah dikekalkan hitungan positif itu atau kembali kepada tahap asal...? 'D' ini tahun demi tahun sentiasa meningkat harganya, mungkin 'D' serta yang sewaktu dengannya bakal naik lagi bulan Oktober nanti?

Hakikatnya sejak dahulu tidak pernah bertukar 'D' ini dengan nama-nama yang lain sama ada 'M' atau 'S' atau 'GG' atau 'BH' atau yang lain-lain. 'D' memang unggul, pernah suatu ketika menguasai arena bola sepak tempatan bertahun lamanya...

Isnin, Julai 04, 2011

LEBUH RAYA BAHARU KE DESARU, PENGERANG DAN KAWASAN TENGGARA DAN SELATAN KOTA TINGGI







Pada 3 Julai 2011 (Ahad) ada urusan ke FELDA Sening / Adela atas tujuan perbincangan, pertemuan dan lawat tempat bagi salah satu program Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2011 negeri Johor. Kali pertama juga dari Johor Bahru untuk ke sana atau lebih tepatnya menuju ke Bandar Penawar / Desaru melalui lebuh raya baharu yang dikenali Lebuh Raya Senai - Pasir Gudang - Desaru (Lebuh Raya E22); dari Larkin ke Stesen Minyak Petronas Bandar Penawar (persimpangan menuju ke kawasan peranginan Desaru) hanya sekitar 30-35 minit sahaja. Lebuh raya ini mula dibuka pada awal minggu pertama Jun 2011.



Sebelum adanya lebuh raya ini jika mahu ke Bandar Penawar / Desaru harus melalui Masai - Ulu Tiram - Bandar Kota Tinggi dari Johor Bahru yang melibatkan sekitar 100 - 115 KM (1 - 1 jam 30 minit). Cuma lebuh raya ini hanya satu lorong bermula selepas persimpangan Cahaya Baru sehingga ke Tol Bandar Penawar. Pemandangan jambatan di lebuh raya ini yang merentasi Sungai Johor indah serta sayup mata memandang ke bawah untuk melihat sungai. Kini jika mahu ke Desaru, Pengerang dan Sungai Rengit serta ke kawasan Gugusan FELDA di selatan dan tenggara Kota Tinggi lebih cepat dan pantas.


Diramalkan akan berlaku kesesakan ketara pabila hari Jumaat - Ahad kerana jalan di situ (khususnya masuk dan keluar Tol Bandar Penawar) hanya satu lorong pergi dan balik serta jalan biasa dan lampu isyarat yang ada di situ agak terhad menampung jumlah kenderaan yang banyak dalam sesuatu masa.

Isnin, Jun 27, 2011

HARI BERSANTAI DI ENDAU, MERSING

Pantai, air, pulau dan bot.


Jeti berhadapan pulau.


Pulau yang berdekatan, jaraknya cuma 200 meter dari pantai.


Hadapan tempat rehat dan santai (resort).


Kanak-kanak riang mengutip gula-gula.


Pada 25 - 26 Jun 2011 berkunjung ke Penyabong, Endau, Mersing, Johor atas urusan hari bersantai. Inilah kali pertama berkunjung ke kawasan pesisiran pantai yang popular di Endau khususnya Penyabong, sebelum ini hanya beberapa kali lalu di hadapan Kem PLKN Teluk Sari, Endau, Mersing. Rupa-rupanya kawasan di sini agak menarik pemandangan yang terpapar 3-4 pulau berhampiran pantai termasuk ada jeti LKIM. Banyak kereta yang diletakkan di kawasan jeti tersebut, rupa-rupanya pemilik kereta letak kenderaan di situ untuk ke laut (bermalam) memancing serta menjalankan aktiviti laut. Ada beberapa tempat santai (kawasan rehat / resort) untuk bermalam serta beberapa gerai jualan hasil laut di sini. Kawasan berhampiran di situ dinamakan Pasir Lanun yang terdapat kem perkhemahan pantai dan hutan renek.

Jumaat, Jun 24, 2011

MAJLIS SAMBUTAN ULANG TAHUN DBP KE-55

Foto di atas disalin daripada pihak Unit Foto DBP (Abang Jalil), berbanyak terima kasih atas keizinan menyalin beberapa foto majlis berkenaan. Latar belakang pemandangan malam Kuala Lumpur 'diletak' dengan baik dan sempurna.

Selasa, Jun 07, 2011

KEMALANGAN KECIL - PERINGATAN AGAR TIDAK CUAI...

Foto sebahagian Sungai Melaka yang dirakam pada bulan Jun 2010 ketika menyusur Sungai Melaka dengan menaiki bot persiaran (river cruise) menjelang senja.



Berada di negeri bersejarah Melaka pada Jumaat dan Sabtu lalu (3-4 Jun 2011) atas urusan rasmi dan tidak rasmi pada kali ini meninggalkan sedikit kenangan yang tidak dapat dilupakan. Sememangnya sering ke Melaka setidak-tidaknya 1 atau 2 minggu sekali atas urusan rasmi kerja hakiki. Melaka seperti biasa sesak tahap tinggi pabila cuti persekolahan yang dijadikan tempat pilihan rakyat Malaysia untuk bercuti dan bersiar-siar, sememangnya Melaka berbeza yang amat dengan tarikannya dalam pelbagai sudut berbanding 10 tahun yang lalu.

Satu kemalangan kecil menimpa diri ini di sebuah hotel di Melaka baru-baru ini atau lebih tepat lokasinya di pinggir kolam renang yang sesak dengan pengunjung bermain air dalam suasana kolam yang agak besar dan selesa. Ketika berjalan di tepi kolam sambil memegang kamera digital dan memakai kaca mata diri ini terjatuh lalu tergelincir kaki sebelah kiri, rupa-rupanya kawasan yang dilalui licin berganda iaitu percikan air kolam dan rumput yang basah. Kaki terseliuh kesakitan serta lutut berdarah dan lengan tercalar luka serta agak kurang stabil, yang menggusarkan juga pabila bingkai besi kaca mata juga turut bengkok dan kamera digital yang dipegang jatuh serta tidak dapat beroperasi seperti sedia kala. Baju dan seluar dipalit lumpur tanah bercampur rumput; seketika kaki dan tangan kiri tidak boleh bergerak.

Hikmahnya ada pabila diimbas kembali, sebenarnya tergesa-gesa ditambah cuai seketika ingin bergerak tanpa memikirkan 'laluan dan tanah di bawah' boleh menyebabkan pelbagai kejadian luar jangka. Syukur kepada-Nya cedera ini semakin pulih sejak kejadian berlaku 3-4 hari lalu. Kamera digital yang berusia 4 tahun juga tidak boleh berfungsi lagi lalu dibeli yang baharu serta bingkai kaca mata yang bengkok dapat dibetulkan kembali.

Selasa, Mei 24, 2011

'PUMP FUEL' - SATU ILMU SERTA PENGALAMAN BAHARU DAN BERMAKNA...

Letaknya 'PUMP FUEL' di tengah di bahagian bawah tempat duduk penumpang belakang.


Tersadai sebuah kereta dalam kesesakan lalu lintas.


Tempat duduk penumpang belakang terpaksa dibuka...


Sekitar pukul 3.30 petang (23 Mei 2011 - Isnin) melalui Jalan Pudu untuk menyusur masuk Jalan Bukit Bintang yang tengah sesak kenderaan kereta, bas dan teksi; ketika itu sedang menjawab telefon bimbit kenalan dari Kota Tinggi, Johor tiba-tiba kereta berhenti lalu tidak bergerak secara automatik. Kaki menekan pedal minyak dan brek bersilih ganti... kereta tidak bergerak langsung. Panik mula menguasai diri seketika sambil beberapa buah kereta dan bas di belakang membunyikan hon kenderaan masing-masing dengan kuat.

Secara tiba-tiba ada penunggang dan pembonceng motosikal datang membantu menolak kereta ke tepi di tempat hentian bas berhadapan Hotel Swiss Garden (jalan menuju ke Bukit Bintang), dua insan ini lalu menawarkan diri untuk membantu lalu mereka menuju ke sebuah bengkel servis dan membaiki kenderaan katanya di hadapan iaitu di sekitar Jalan Pudu. Menunggu kira-kira 20 minit maka datanglah dua pekerja bengkel kereta lalu memeriksa apakah kerosakan sebenar kenderaan, beliau kata bukannya pasal bateri atau fungsi kunci kereta untuk memulakan kenderaan tapi katanya masalah 'PUMP FUEL'. Terkejut juga dengar kata-kata itu serta inilah kali pertama dengar dan tahu fungsi tentang 'PUMP FUEL', kedudukannya di bahagian tengah bawah tempat duduk penumpang di belakang.

Pekerja bengkel pulang kembali ke kedainya untuk menempah alatan yang dinamakan 'PUMP FUEL' itu, tunggu lagi mereka datang sekitar 3o minit untuk membawa alatan itu. Mereka memasang alatan itu dalam sekitar 20 minit juga... maka siap lalu kenderaan boleh dimulakan dengan baik dan lancar. Harga 'PUMP FUEL' dan upahnya dalam RM380.00. Menurut pekerja bengkel itu bahawa 'PUMP FUEL' itu harus sentiasa diperiksa atau diganti setidak-tidaknya sekitar 10,000 - 15,000 KM perjalanan atau 2 tahun sekali... rupa-rupanya sudah 6 tahun guna kenderaan ini tidak pernah sekalipun memeriksa alatan ini apatah lagi tidak tahu maklumat itu...!

Apa-apapun syukur kepada-Nya yang memudahkan penyelesaian masalah ini dalam keadaan yang lancar dan baik biarpun di tengah-tengah kesesakan jalan utama di Kuala Lumpur itu. Satu ilmu baharu diperoleh tentang kenderaan yang dialami sendiri menambahkan lagi serba sedikit pengetahuan dalam diri.

Khamis, April 28, 2011

TUJUH HARI DI IPOH

Stadium kebanggaan 'Kejor Yob Kejor'.



Tujuh hari berada di Ipoh (20 - 26 April 2011) atas tugasan rasmi sempena Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2011, secara khususnya di Kompleks Sukan Majlis Bandaraya Ipoh. Dipelawa dan diundang oleh pihak Permodalan Nasional Berhad (PNB) untuk bertugas selaku panel penilai dan juri peraduan khususnya melibatkan e-Peraduan Harian dan e-Peraduan Utama. Motosikal, TV LCD 32 dan 40 inci, komputer bimbit, i-Pad, baucer pelancongan dan banyak lagi hadiah bagi e-Peraduan Harian yang diberikan kepada pengunjung pameran MSAM setiap hari; memang banyak sungguh hadiah yang diberikan setiap hari. Hadiah kereta Toyata Vios dan Perodua Alza disediakan untuk e-Peraduan Utama. MSAM anjuran PNB sudah masuk tahun ke-12 rupa-rupanya yang sememangnya cukup berskala mega dan amat menarik pameran serta pelbagai aktiviti sepanjang seminggu yang penuh bermakna.

Berada di bandar raya Ipoh ini merupakan penginapan kali pertama namun terus bermalam selama 6 malam. Hari pertama dan kedua agak sukar menghafal banyak jalan sehala di kawasan pusat bandar Ipoh sehingga terpaksa 'menyesatkan' diri beberapa kali untuk 'kembali ke pangkal jalan' namun akhirnya dapat juga menghafal hampir 70% jalan raya utama di Ipoh.

Pusat bandar raya Ipoh khususnya di kawasan lama memang banyak bangunan kedai 2 tingkat yang berusia sebelum merdeka lagi namun tumpuan masyarakat bukan lagi berharap sepenuhnya di kawasan lama di Ipoh ini, nampaknya terdapat beberapa kawasan penempatan dan bandar kecil baharu yang wujud di pinggir bandar raya Ipoh. Banyak juga rasa-rasanya sekitar 7-8 istana / penginapan golongan raja atau kerabat raja di dalam kawasan bandar raya Ipoh ini.

Pengalaman yang diperoleh sepanjang tujuh hari berada di Ipoh cukup bermakna serta rasa-rasanya akan kembali lagi untuk bersiar-siar sepenuhnya namun Pulau Pinang tetap menjadi destinasi yang dituju untuk berjalan-jalan dan berehat khususnya di kawasan utara tanah air (yang pasti kerana makanan enak P. Pinang)...

Selasa, Mac 22, 2011

BERKUNJUNG KE GERIK, HULU PERAK

Berkesempatan menghadiri Seminar Menjejak Warisan Tun Sa'ban anjuran UPSI dan Yayasan Perak di Dewan Majlis Daerah Gerik, Hulu Perak, Perak pada 12 Mac 2011. Pembentang dari negeri Perak dan luar negeri Perak termasuk dari Sumatera, Indonesia membentangkan kertas kerja yang melibatkan bidang persuratan, sastera, sejarah, arkeologi, waris kerabat dan lain-lain. Banyak ilmu baharu serta kali pertama yang diperoleh sepanjang pembentangan kertas dalam seminar ini antaranya tentang manusia prasejarah / kuno iaitu 'Perak Man' dan sudut arkeologi bahawa Hulu Perak berjuta tahun dahulu merupakan lautan serta pelbagai ilmu dan maklumat tambahan yang ditimba.
Berkunjung ke Gerik ini juga serba sedikit dapat mendengar loghat asli Perak serta loghat orang Gerik yang agak bercampur loghat Perak dan Kelantan. Indah dan nyaman kawasan Gerik kerana dikelilingi hutan dan bukit menghijau. Sepanjang laluan menuju ke Gerik dari Kuala Kangsar sempat lalui kawasan bersejarah peristiwa Al-Maunah di Sauk, Jenalik dan melihat tasik indah di Tasik Raban. Pasti akan berkunjung lagi ke kawasan Hulu Perak suatu hari nanti.

Jumaat, Disember 10, 2010

LANGKAWI: KINI SEDIKIT TIDAK TERURUS...?

Helang tetap kukuh megah melebarkan sayapnya tetapi sekitarannya kurang terjaga...

Gerai-gerai di kawasan pasar malam Pekan Kuah.

Satu tempat yang sudah bertukar status kepada komersil...?

Kunjungan ke Pulau Langkawi rasa-rasanya sudah empat kali iaitu pada tahun 1996, 1997, 2004 dan terbaharu Disember 2010 atas urusan rasmi dan jalan-jalan. Kunjungan kali ini dengan menginap selama 3 hari 2 malam.
Agak mengejutkan sedikit... Langkawi kini bagaikan sedikit tidak terurus khususnya di Dataran Lang, Kuah. Dataran yang gah dengan 'burung helang besar' agak menyedihkan pabila kelihatan malap serta kurang dititikberatkan kebersihan dan aspek penyelenggaraannya. Ketika kunjungan pada pertengahan tahun 1996 atas urusan rasmi rakaman sebuah rancangan televisyen kanak-kanak RTM, Langkawi cukup terjaga dan mengujakan khususnya di Dataran Lang tersebut.
Ada 2-3 tempat popular di Langkawi sekitar lewat 1990-an dan awal tahun 2000 sudah ditutup operasi rupanya antaranya Taman Tema Air di sekitar kawasan Padang Mat Sirat; namun kawasan sekitar Pantai Cenang kini cukup meriah pabila banyak muncul hotel dan calet serta istimewanya juga ada Underwater World dan kompleks beli-belah bertaraf bebas cukai. Sempat juga berkunjung ke gerai jualan malam atau istilah popularnya 'uptown' di Pekan Kuah, juga berkesempatan juga ke Kompleks Makam Mahsuri... ini juga satu kejutan pabila tempat ini telah banyak berubah untuk tujuan komersil; masuk untuk berkunjung dan meninjau-ninjau juga dikenakan bayaran tiket!
Sesungguhnya kunjungan kali ini pada tahap biasa sahaja; Langkawi masih dan tetap indah alam semula jadinya namun penjagaan dan pengurusan memelihara tempat kunjungan ramai khususnya di Pekan Kuah banyak yang terabai atau mungkin kerana kekurangan dana untuk hal-hal selenggara tempat tersebut menyebabkan kawasannya terbiar...?
Dalam hati rasanya mahu segera naik feri pulang ke Kuala Perlis kerana hati terus teruja untuk berkunjung ke P. Pinang... yang pastinya pelbagai jenis makanan di P. Pinang sudah "memanggil-manggil dengan kuatnya..." serta loghat kini sudah mula bertukar sedikit untuk lidah dapat menikmati keenakan masakan di P. Pinang.
"BERAPA DUIT...?"

Rabu, Disember 08, 2010

LWOT - PENUH SESAK MANUSIANYA...

Pintu masuk utama LWOT.

Pantai buatan yang berombak...

Usai urusan rasmi di UPSI, Tanjung Malim, Perak maka berkesempatan berkunjung ke taman permainan air yang terkenal di Ipoh, Perak iaitu 'Lost World of Tambun' (LWOT). Penuh sesak manusia berkunjung dan bermain lalu menikmati pelbagai jenis permainan yang disediakan di situ. Kanak-kanak merupakan insan yang paling gembira bermain dan bersuka ria di situ. Hampir separuh siang hari berada di LWOT ini. Tenaga harus disimpan untuk perjalanan jauh meredah lebuh raya dari Ipoh untuk ke Kuala Perlis kerana ada agenda lain dalam konteks percutian santai di Langkawi pula.

Sabtu, November 20, 2010

BERKHATAN...

Foto hiasan: Sudah mula cuti sekolah..., teringat dan teringin jalan-jalan serta naik feri di Pulau Pinang juga nikmati nasi kandar, pasembor, laksa dan lain-lain makanan enak di Pulau Pinang.

Pagi tadi menghantar 2 anak lelaki berusia 11 tahun dan 8 tahun (darjah 5 dan darjah 2) ke klinik untuk berkhatan. Tempahan untuk berkhatan di klinik tersebut telah dibuat sebulan yang lalu. Proses 'suntikan - memotong - membalut' untuk seorang selama kira-kira 15-20 minit. Proses berkhatan kini lebih moden dengan pelbagai peralatan yang bermutu. Sempat tanya doktor berapa harikah boleh sembuh, doktor nyatakan insya-Allah sekitar 3-5 hari tanpa perlu berpantang makan dan minum. 2 anak lelaki ini ada sedikit laungan dan menitiskan air mata, ayahnya hanya melihat lalu tergelak kecil dalam hati.. maka teringat zaman kanak-kanak dahulu ketika berkhatan!

Selasa, Ogos 31, 2010

JALAN-JALAN SANTAI RAMADAN...

Tercari-cari perencah asam pedas Muar ini di Johor Bahru... tapi akhirnya terpaksa import juga dari Muar dalam kuantiti yang agak banyak..!

Setiap hari Sabtu dan Ahad sejak 2-3 minggu lalu berkesempatan jalan-jalan ke beberapa kompleks beli-belah dalam bandar raya Johor Bahru ini. Ada suasana cukup meriah, ada suasana biasa dan hambar sahaja. Jualan pelbagai barangan dan produk hari raya sememangnya memenuhi ruang gedung yang dikunjungi; pelbagai barangan dan produk ini bukan mula wujud sejak 2-3 minggu lalu tetapi sejak awal bulan Julai lagi... meriahnya hari raya setiap tahun walaupun khabarnya ekonomi masih 'menjunam'. Ramai manusia berkunjung khususnya di Plaza Angsana Johor Bahru, ramai masyarakat dari Singapura dapat dilihat di sini. Menariknya juga Bazar Ramadan di ruang letak kereta Plaza Angsana antara bazar yang 'mahal' sifatnya, mahal kerana harga pelbagai jenis lauk dan kuih dapat dilihat perbezaannya...
Ada juga persembahan yang dihidangkan kepada para pengunjung di ruang pentas utama beberapa kompleks beli-belah. Secara kebetulan baru-baru ini berkunjung ke Jusco Bukit Indah, ada acara tajaan Astro selama 2 hari iaitu 'Marhaban Astro'. Meriah juga set pentas dan peralatan siar raya yang disediakan di situ, pengisian acara juga bertemakan sambutan Ramadan.
Jalan-jalan sepanjang 3 minggu Ramadan ini; sempat juga meninjau tentang ejaan dan paparan ayat khususnya promosi bufet dan tempat bazar Ramadan, yang pasti paparan dalam pelbagai kaedah sama ada kain rentang, gegantung, poster dan lain-lain ejaan RAMADAN masih banyak diejakan RAMADHAN. Mungkin ejaan RAMADHAN sebutannya '...DHAN' itu lebih berkat dan afdal sifatnya?

Rabu, Ogos 18, 2010

RAMADAN DI UTM

Tiga guru prolifik dan unggul dari Johor, Melaka dan Kuala Lumpur yang banyak pengalaman dan ilmu.

Kelas Ramadan UTM
Hari ini juga (18 Ogos 2010) peroleh satu lagi pengalaman baharu. Kelas yang dibimbing untuk UQP 1041 dalam bulan Ramadan. Kelas yang sebelum ini pukul 5 petang - 7 malam diubah pukul 3 petang - 5 petang kerana bulan puasa. Syukur kepada-Nya kerana pelajar yang mengikuti UQP 1041 hadir seperti biasa serta bersemangat walaupun ada 1-2 pelajar yang nampak mengantuk dan keletihan.
Sebanyak tiga kali pertemuan / kelas berlangsung sepanjang bulan Ramadan ini. Membimbing dalam keadaan puasa merupakan satu pengalaman baharu kerana sebelum ini belum pernah alaminya. Maka lantas teringat kepada Cikgu Azhar Salleh, seorang guru dan idola yang sudah biasa mengajar dalam keadaan puasa; Sifuku ini bukan sahaja mengajar hakiki di sekolah tetapi juga mengajar penuh gigih dan penuh semangat di luar sekolah (termasuk hari Sabtu dan Ahad) dalam bulan Ramadan sudah berbelas-belas tahun; berpuasa bukan halangan besar buat guru seperti Azhar Salleh untuk mengajar dalam tahap seperti sedia kala.
Pengalaman para guru yang diri kenali seperti Azhar Salleh, Amiruddin Ali, Zaid Akhtar, Hj. Mohd Rosli Bakir, Kasim Mahmud, Hj. A. Rani Embi dan ramai lagi (sekadar menyebut beberapa nama) yang sudah biasa dengan hal ini; maka diri ini dapat menimba sepicing ilmu dan pengalaman untuk bertugas selaku pembimbing dalam keadaan berpuasa. Maka diri ini amat menyanjung tinggi guru-guru yang semangatnya tetap besar walaupun ketika berpuasa, mengajar hampir 5-6 jam sehari termasuk guru idola diri ini (kini menginap di Perjiranan 10) yang mengajar bukan hanya 5-6 jam sehari (Isnin - Jumaat) malah mengajar sehingga 8-9 jam sehari (Sabtu - Ahad) ketika dalam keadaan berpuasa.

Bazar Ramadan UTM
Selepas kelas sempat juga berkunjung ke Bazar Ramadan dalam kampus UTM. Meriah juga orang yang berkunjung dan lauk pauknya. Ramai pelajar yang membeli juadah; sempat 'mencuri dengar dan pandang' ke beberapa gerai perbualan dan gelagat pelajar khususnya gerai yang menjual juadah masakan Kelantan dan Terengganu. Pelajar asal Pantai Timur pasti mencari dan membeli juadah antaranya nasi kerabu, nasi dagang, ayam percik, kuih akok, laksam, lompat tikam dan lain-lain. Cuba mencari nasi dagang asli Terengganu tetapi tiadalah pula kecuali nasi dagang Kelantan sahaja.
Ramai juga pelajar dan tenaga akademik serta bukan akademik UTM asal dari negeri Pantai Timur dapat dikenali melalui 'loghat bahasa' di beberapa gerai di Bazar Ramadan UTM. Masakan Pantai Timur banyaklah juga tetapi belum pasti kesemua rasanya sama seperti masakan dan hidangan yang asal di negeri Terengganu dan Kelantan; lantas hati dan minda teringat bazar di kampung halaman.

Isnin, Ogos 09, 2010

BERKUNJUNG KE DESARU - BANDAR PENAWAR - TANJUNG BALAU

Pemandangan Persantaian Desaru Damai.

Pantai Tanjung Balau.

Bola di tepi pantai Desaru.

Rasa-rasanya kali terakhir berkunjung ke Desaru, Kota Tinggi sekitar tahun 2004/2005 manakala kunjungan ke Tanjung Balau, Kota Tinggi sekitar tahun 2002/2003. Pada 7 Ogos 2010 lalu berkesempatan ke dua kawasan ini. Kunjungan ke situ kerana ada urusan rasmi kerja hakiki yang berlangsung di Felda Air Tawar 5, Kota Tinggi, Johor (acara pada malam).
Dua tempat ini dikunjungi ramai manusia termasuk ramai dalam kalangan warga Singapura. Singpura bercuti agak panjang kerana negara republik ini menyambut Hari Kebangsaan pada 9 Ogos 2010. Pantai Desaru serta deretan hotelnya (sekitar 4-5 buah hotel dan persantaian terletak di sini) dipenuhi banyak kereta, ada hotel dan tempat persantaian yang penuh. Sempat menginap di Desaru Damai yang kedudukannya terletak di tepi pantai Laut China Selatan.
Sempat jalan-jalan ke pantai Tanjung Balau yang juga merupakan sebuah pantai indah dan tenang. Penuh sesak juga manusia dengan pelbagai aktiviti di situ khususnya di sebuah persantaian yang bernama Pelangi Balau. Berkesempatan juga masuk dan melihat Sekolah Sukan Bandar Penawar dan Kolej Profesional MARA Bandar Penawar.

Jumaat, Ogos 06, 2010

LITAR KECEWA TAPI...

Sekadar foto hiasan: foto dirakam di penghujung tanah daratan benua Asia - Tanjung Piai, Pontian, Johor.

Rasa dan alami perasaan serta emosi kecewa merupakan sebahagian lingkaran, litar dan pusingan hidup seorang manusia normal. Diri ini kini alami sedikit gangguan pabila dilanda kekecewaan yang mungkin boleh mengoyak semangat diri...? Sememangnya setiap hari manusia akan alami saat emosi suka, duka, ceria dan kecewa yang bersilih ganti secara normal tetapi emosi dan rasa kecewa yang dialami diri kini agak berbekas yang kadang kalanya sedikit mengganggu perjalanan hidup seharian.
Litar kekecewaan yang menimpa kini hanya diri sendiri ketahui punca dan sumbernya; hendak berkias tentang kekecewaan ini rasanya tidak perlu kerana bukanlah sesuatu yang boleh mengoyak sepenuhnya semangat diri...! Walau kecewa tetap tersenyum seperti biasa...
Makanya teringat dialog Ramona Rahman kepada M. Nasir dalam filem 'Fenomena' tahun 1991/92 yang lebih kurang bunyinya, "Janganlah terlalu memikirkan kekecewaan hari ini sehingga lupa kebahagiaan hari esok..." Inilah antara sebahagian kata-kata yang diri ini pegang sebagai kata-kata motivasi / semangat sejak berada di tingkatan 6 dan awal pengajian universiti sehingga kini.

Rabu, Ogos 04, 2010

PESTA BUKU JOHOR - LEBIH ENAK NASI KUKUS...!

Lebih enak dan selesa baca buku Kumpulan Puisi Remaja 'Anak Warisan' karya-karya puisi Amiruddin Md Ali Hanafiah.

Dua tiga hari lalu sempat ke Danga City Mall, Johor Bahru untuk meninjau satu pameran yang hebat juga promosinya sejak 2-3 minggu lalu iaitu dinamakan dan dijenamakan sebagai Pesta Buku Johor 2010. Berjalan-jalan di dalam kawasan pameran dan jualan hanya sekitar 20-25 minit sahaja; kesimpulan mudah dan nyata - mengecewakan diri sendiri.
Pesta buku ini tidak ubah seperti tahun lepas juga kecuali kawasannya kali ini di dalam tempat yang selesa berbanding tahun lepas hanya di bawah khemah segera sahaja. Jualan buku-buku latihan sekolah dan alat bantu menguasai bahasa (khususnya bahasa Inggeris) menguasai 80% isi pameran dan pesta buku ini. Menariknya para penjual alat bantu menguasai bahasa cukup agresif 'menarik' pelanggan sehinggakan pelanggan / pelawat rasa kurang selesa. Entah apa-apa syarikat dan kedai buku yang terlibat dalam pesta ini...
Selesai melawat kawasan pesta ini terus diri ini menghantar 'sistem mesej singkat' (SMS) kepada Tuan Azhar Salleh dengan menyatakan serta menghebahkan promosi bahawa "...usah penat-penat pergi ke pesta buku ini, isinya seperti tahun lepas juga..." Baik dan lebih afdal ke kedai buku Badan Cemerlang di Plaza Angsana atau kedai buku Johor Book Central untuk mencari dan membeli buku.
Apa-apapun rasa kecewa dan terkilan ini harus ditanggung sendiri buat dua tahun berturut-turut, kekesalan yang menimpa ditutup dengan menikmati Nasi Kukus (bolehlah tahan tapi tidak seperti di Pantai Dalam KL) di kawasan Pasar Raya Mydin, Bandar Baru Uda. Lebih enak dan gembira sikit hati dapat nikmati Nasi Kukus berbanding dengan pergi berkunjung ke pesta buku yang 'indah khabar daripada rupa' ini.

Jumaat, Julai 23, 2010

BOLING YANG SANTAI SERTA MELETIHKAN JUGA...

Piala kategori johan individu lelaki.

Hadiah makanan dan minuman ringan untuk juara berkumpulan.

Lantai pertandingan boling di Danga City Mall.

Inilah akibat dan kesannya pabila tiada senaman yang khusus, bahagian tangan kanan dan 2-3 jari tangan kanan kini mengalami 'tekanan regangan otot' yang kuat. Selepas permainan boling itu tangan dan jari tangan kanan tidak terasa apa-apa tetapi selepas 12 jam baru terasa ada 'tekanan regangan otot'.
'Tekanan' yang dialami akibat ghairah bermain boling semalam di Danga City Mall, Johor Bahru. Pertandingan boling ini merupakan kategori suka-suka atau main-main sahaja tetapi ada hadiahnya diusahakan oleh Badan Keluarga dan Kebajikan DBPWS atau dikenali BAKWIS. Hampir kesemua kakitangan hadir dan menyertai pertandingan ini, cuma 2-3 kakitangan sahaja tidak dapat turut serta kerana ada halangan yang lain. Inilah pertandingan julung kali buat kakitangan DBPWS sejak ditubuhkan 10 tahun yang lalu. Usaha gigih sebahagian besar kakitangan DBPWS agar pertandingan dan penyertaan mendapat sambutan besar telah berjaya dizahirkan. Kakitangan yang masih masih cuti panjang (cuti belajar) iaitu Syaidul Azam bersama ahli keluarganya turut hadir bermain dan memberikan komitmen yang cukup jitu.
Hairannya, pasukan diri ini diwartakan selaku pemenang dengan jumlah jatuhan pin paling tinggi! Satu pasukan melibatkan 3 orang, sebanyak 6 pasukan kesemuanya terlibat bertanding. Hairannya juga diri ini kerana diplih selaku pemain terbaik kategori lelaki...?; yang sebenarnya mengikut kedudukan diri ini sekadar di tempat keempat terbaik secara individu yang banyak menjatuhkan pin daripada 18 pemain kesemuanya...!
Tidak mengapalah meraih juara berkumpulan dan dipilih pemain terbaik lelaki, itu bukanlah matlamat tetapi yang utama secara suka-suka dan main-main dalam pertandingan boling ini dapat menjadikan terapi yang baik dalam membentuk komuniti yang dapat beramah mesra dalam kalangan kakitangan serta setidak-tidaknya mewujudkan suasana ceria yang dapat melupakan seketika pelbagai hal kerja hakiki di pejabat.
Tahniah dan penghargaan buat semua ahli BAKWIS yang mengusahakan pertandingan boling buat julung kalinya dengan hadiah dan cenderamata yang agak besar juga dalam situasi kini. Semoga ada lagi pertandingan sebegini buat masa hadapan demi bertujuan mewujudkan suasana harmoni dan ramah mesra yang baik. Khabarnya ingin diusahakan pula pertandingan badminton..., nampak gayanya jadi penonton dan pengadil sahajalah kerana pegang reket badminton masih tidak berapa pandai apatah lagi ingin lakukan 'smash'...!

Selasa, Julai 20, 2010

KEMBALI BERTARUNG...

Hal ini telah diucapkan olehnya sejak awal pemeriksaan dahulu sekitar bulan Disember 2008 - Februari 2009. Benarlah katanya bahawa hal ini akan menjelma juga akhirnya, lalu sememangnya diri ini sudah bersiap sedia - siap sedia mental dan fizikal. Pengalaman 30 minit melalui proses 'perbengkelan hal ini' pada pertengahan Januari 2009 membuatkan diri ini cukup bersedia menghadapinya; ya... rasanya ingin dipercepatkan sahaja tetapi senarai menunggunya panjang.
Hal ini mula terasa kembali sejak sebulan yang lalu, semalam berkunjung ke tempat itu yang lokasinya di tepi Selat Tebrau. Khabarnya hal ini sudah mulai 'masak' serta harus dipercepatkan prosesnya. Seperti biasa serta mengikut pengalaman dahulu proses pemeriksaan hal ini akan berlangsung selama 4 jam kerana ramai yang bertumpu ke situ untuk mendapatkan pelbagai pemeriksaan dan rawatan berkenaan hal ini dalam pelbagai kategori. Selesai jalani proses itu (campur tolak menunggu dan buat pemeriksaan) dalam tempoh 4 jam maka pihak di situ minta datang kembali sebulan lagi untuk buat pemeriksaan serta menentukan bilakah boleh dijalankan 'hal perbengkelan dan pembaikan' itu. Kemungkinan dalam September atau Oktober nanti jika ada kekosongan.
Hal ini pasti dilalui lagi... ada rahmat besar-Nya untuk pengalaman dan ilmu dalaman diri.

Rabu, Jun 16, 2010

MELAKA TERUS MENARIK...

Kawasan jeti bot - permulaan menyusuri Sungai Melaka.

Pemandangan pinggiran Sungai Melaka dipenuhi limpahan lampu.

Kota A' Famosa tetap dikunjungi ramai.

Masjid Selat - angin laut yang cukup nyaman.

'Duck Tour' melalui pinggiran Masjid Selat.

Belangkas ditemui di kawasan Masjid Selat.

Pertunjukan burung di Zoo Melaka.

Keghairahan menonton dan mengikuti perkembangan Piala Dunia 2010 yang bermula sejak 11 Jun 2010 lalu tidak menghalang untuk meneruskan kerja hakiki. Pada 11 - 12 Jun 2010 lalu ke Melaka atas urusan rasmi iaitu 'merisik dan membawa tanda' buat 3-4 pihak di Melaka untuk pengisian program sepanjang bulan Oktober 2010 nanti.

Dalam kesempatan urusan rasmi ketika dalam ghairah Piala Dunia dan ketika negeri Melaka menganjurkan Sukan Malaysia (SUKMA) maka sempat juga berkunjung ke beberapa tempat tumpuan ramai khususnya di bandar raya Melaka antaranya di Sungai Melaka, A' Famosa, Menara Taming Sari, Dataran Pahlawan, Zoo Melaka, dan Masjid Selat. Kunjungan ke Zoo Melaka dan Masjid Selat merupakan kunjungan kali pertama walaupun kerap ke Melaka untuk tujuan rasmi.

Kunjungan serta menaiki bot menyusuri Sungai Melaka merupakan kali ketiga, sebelum ini dua kali menyusuri sungai pada siang hari tapi kali ini menyusuri sungai pada malam hari. Istimewanya menaiki bot kali ini pabila secara kebetulan ada bot istimewa khusus buat Permaisuri Agong yang juga menyusuri Sungai Melaka pada malam tersebut. Sempatlah melihat Permaisuri Agong bersama-sama rombongannya yang dikawal ketat dengan pelbagai pengiring peribadi dan pengiring keselamatan. Secara kebetulan juga sepanjang bulan Jun ini ada Pesta Sungai Melaka 2010.

Sebahagian rakaman foto dipaparkan seperti di atas hasil daripada 40-50 rakaman foto yang diambil sendiri sepanjang berkunjung ke beberapa tempat tarikan utama di bandar raya Melaka.

Ahad, Mei 16, 2010

PERIHAL GANDA (DOUBLE)


1. Chelsea meraih piala kedua dalam seminggu iaitu kejuaraan EPL (9 Mei 2010) dan Piala FA semalam. Satu rekod baharu buat Chelsea dengan meraih piala berganda @ double. Sepatutnya Chelsea boleh dapat 'tiga' @ triple tetapi kecundang kepada Inter Milan dalam suku akhir Champions League.
2. Chelsea sebenarnya bersaing sengit juga di Stadium Wembley ketika menentang Portsmouth untuk mencul juara, pada suatu ketika Portsmouth berjaya dapatkan penaliti tetapi gagal dijaringkan. Chelsea juga gagal menjaringkan penalti pada minit ke-85 yang diambil oleh Lampard ketika Chelsea sudah mendahului 1-0 hasil jaringan tendangan bebas yang cantik oleh Drogba.
3. Chelsea tetap riang meraih piala kedua dalam seminggu. Ganda yang cukup bererti dan penuh makna buat Chelsea.
4. Di Malaysia pula ada pihak gagal meraih kemenangan kedua berturut-turut atau 'double' dalam tempoh 3 minggu setelah kecundang malam ini. Khabar berita dalam tempoh seminggu ini bahawa pihak itu semacam amat yakin dan boleh menang mudah tetapi hakikatnya lihatlah. Pengumuman kekalahan pihak itu juga dibuat secara hambar sahaja dan tidak bersungguh-sungguh tidak seperti kemenangannya pada 3 minggu lalu yang sungguh heboh sehingga semacam 'lupa dunia'.
5. Yang pastinya juga hari ini... tahniah buat China kerana meraih juara Piala Thomas tetapi tidak dapat mencipta ganda @ double kerana gagal meraih Piala Uber.