Memaparkan catatan dengan label Ceritera Aiman. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ceritera Aiman. Papar semua catatan

Jumaat, April 16, 2010

Keluh




Ketika saya duduk bersandar di tembok batu itu, Aiman si genit datang mendekat. Seperti biasa, dia mengeluh dengan butir-butir bicaranya yang tidak jelas pada pendengaran saya. Sudah berulang kali saya nasihatkan kepada dia supaya jangan banyak berkeluh-kesah.



Pesan Imam Hassan Al-Bana, kenyataan hari ini adalah mimpi hari kelmarin dan impian hari ini adalah kenyataan hari esok.



Aiman diam sahaja – mengangguk tidak, menggeleng pun tidak.


“Kita ini mahkluk penuh dilema.”


“Dilema? Dilema apa ?” Soal saya.


“Ketika apa yang mereka ingin kerjakan hari ini berbeza dengan prinsip yang telah dipegang sejak sekian lama, pasti mereka akan mengerti. Menerima bukan bermakna menolak prinsip. Jika berada di sana lebih baik daripada di tempat asal, mengapa harus terlalu rigid?”



Angin petang yang bertiup membuatkan rambut Aiman terurai – lantas dia berhenti bicara seketika dan mengeluarkan sikat dari saku kanan.



Saya hanya memerhatikan susuk tubuh pemuda tegap di hadapan saya. Aiman benar-benar meniru ciri papanya. Kulit sawo matang dengan suara husky, pemberontak dalam diam, juga si egoistik yang sukar menerima sesuatu tanpa berfikir panjang.



Dia bukan Aiman yang telah hidup bersama saya sejak dua puluh tahun yang lalu – dia pasti telah menjadi seseorang yang lebih kritis. Aiman bukan lagi anak muda yang memerli saya sebagai tikus putih – saya yakin dia mampu untuk mengeluarkan banyak analogi menarik yang bukan-bukan.


"Ini keluhan ikhlas ataupun sengaja dibuat-buat untuk memuaskan hati? Iyalah, menjustifikasikan situasi sebagai alasan menutup kesalahan." Kali ini giliran Aiman pula untuk mendengar bicara saya.


"Tidak. Ini bukan keputusan emosi, ini keputusan sesudah menutup suis jiwa."


Saya tergelak kecil. Saya tahu dia tipu.



Makhluk tanpa jiwa, tanpa rasa. Apalah yang ada mereka?



Sabtu, Oktober 31, 2009

Travelog



Lama sudah aku berfikir, mahu tulis atau tidak tentang perihal ini.


Kolej senyap sepi usai tengahari. Mungkin ramai yang pulang seperti hujung minggu yang kebiasaan. Mungkin juga saki-baki pelajar yang ada keletihan setelah bermati-matian mahu habiskan larian mini-maraton pagi tadi.


Hanya bunyi putaran kipas yang masuk ke gegendang telinga insan dilema ini.



Huh, tidak pula mahu dikata terlampau mendedahkan hal peribadi. Self-centered!



Proses menaakul solusi terbaik itulah yang aku pugar. Mempertimbangkan antara dua nilai yang kontradiktif.


Selagi engkau percaya terhadap apa yang diusahakan , maka teruskan ia saja sampai ke penghujung.


Percayalah bahawa manusia bukan objek homogen yang mudah dilentur. Perbezaan pendapat itu harus diraikan. Bukan begitu?


Diri ini bukan penulis diari yang tegar. Hanya di blog ini segala perjalanan hidup didokumentasikan. Lebih baik catatan ini ditulis, sebelum segala memori luput ditelan masa.



Maka, dengan itu travelog ini dimulakan.


***



ok. Tahun ini ku kira sebagai tahun terakhir aku terlibat dalam acara larian. Selepas ini, peluang untuk berlari & menang ku kira sudah tertutup.

Zaman pelajar kolej akan berakhir pada pertengahan tahun hadapan. Kemudian, ke menara gading pula aku menjejakkan kaki. InsyaAllah.


Maka, awal-awal lagi sudah aku menanam azam untuk mencuba yang terbaik dalam mini-maraton kolej sejauh 7.5km pada pagi ini. Tidaklah mengharap sangat untuk menang, sekadar mahu lakukan yang terbaik untuk sebuah penutup zaman kolej.


Tahun lepas aku mendapat nombor 8 kategori lelaki. Mungkin aku juga terkejut dengan pencapaian ini. Aku bukan jenis yang kuat bersukan.


Pelajar kolej aku tidak ramai. Lebih kurang 250 lelaki dan 250 perempuan saja.


Berbalik pada kisah mini maraton pagi tadi. Aku bermula dengan sedikit insiden, kaki terperosok ke dalam lubang semasa hendak mulakan larian. aduh.


Namun rasa sakit tersebut hanya terasa semasa sudah habis larian.


Sepanjang larian, aku berlari seperti kebiasaan saja. Mungkin aku susah sedikit mahu memecut, sudah lali dengan stail larian begini. Bertahan & bukan memecut. Bertahan & hanya berhenti di garisan penamat.


Jiwa aku mulai lemah apabila sorang demi seorang pelari memotong aku. Aku cuba kejar balik, tetapi aku sering gagal.


Jiwa seorang juara sudah tiada!


Aku hanya mampu mengekor dengan ekor mata tatkala seorang demi seorang memintas. Hendah kejar tapi badan sudah rasa sangat penat. mental-block!


Sudahnya aku akhiri larian itu dengan angka yang biasa-biasa saja. Dalam lingkungan giliran 30-an pada firasat aku. Aku sudah lepaskan banyak orang memintas tatkala aku rasa tiada harapan untuk mengejar mereka yang dihadapan.


Aduhai syukri, bangkitlah!


Aku rasa jiwa aku semakin lemah. Bukti? Pagi tadi bangun pagi pun lambat. Lingkungan 6.30 pagi baru bangun. Sebenarnya aku sudah sedar sekitar jam 5 pagi, tetapi tetap mahu teruskan tidur berbanding menunggu peluang untuk berjemaah solat subuh di surau. Itu pun sudah dikira awal berbanding hari-hari yang biasa.


Bukankah ini petanda jiwamu lemah?


Baiklah, ambil ini sebagai pengajaran ya? Rancang sesuatu untuk menguatkan jiwa yang lemah. Manusia itu dilahirkan dengan keupayaan untuk terbang, mengapa memilih untuk merangkak ?



Pagi ini Topaz muncul juara lagi, tapi aku tetap bangga dengan Diamond.


Tahniah kepada Topaz dan para pemenang. Anda adalah juara pada hari ini, maka selayaknya aku mengakui bahawa kalian memang hebat.


Pencapaian pemenang top 10 tahun lepas ku kira semuanya merosot. Masing-masing tidak mempertahankan takhta. Junior memang ada potensi yang lebih hebat daripada kami. Tidak mengapalah, tahun lepas kan aku dah menang medal. tahun ini rezeki orang lain pula.


Tahun lepas Diamond juara mini maraton ini ya.



Inilah travelog ringkas untuk cerita tahun ini. selepas ini perlu fokus kembali pada peperiksaan. Kemudian, aku harap permohonan untuk ke Minggu Penulis Remaja anjuran DBP diterima. Itu sahaja azam dalam masa terdekat ini.



***



Hidup aku sekitar tahun 2003 hingga 2007 banyak mengambil latar sekolah menengahku yakni Sekolah Menengah Sains Kota Tinggi (kependekan: SAKTI). Pelbagai pengalaman pahit, manis, lucu, seram, gerun, penat, seronok dan yang sebagainya, di situla aku teguk segala gelas jiwa.


Catatan yang ingin ditulis ini adalah berkaitan dengan aktiviti-aktiviti sukan aku sepanjang di sana.


Lebih spesifik lagi, kegiatan sukan olahraga dan merentas desa.


Bagi aku, aktiviti sukan yang melibatkan larian seperti merentas desa dan lari jarak jauh adalah sebuah sukan yang individualistik. Sama seperti menulis. Berlari jarak jauh memberikan kepuasan ( dan kepenatan). kita tidak memerlukan orang lain secara langsung untuk membantu kita berlari. Kita boleh berlatih berlari sendiri-sendiri, bukan seperti bola sepak yang memerlukan semangat setiakawan & kesefahaman yang tinggi.


Menulis juga begitu. Kita boleh menulis apa saja yang kita mahu. tanpa pertolongan langsung daripada orang ramai. Individualistik bukan? Cuma jika mahu menulis ke tahap yang lebih tinggi, bimbingan orang berpengalaman tetap diperlukan.


Walaubagaimanapun, ini hanya pandangan peribadi aku yang bisa dibahaskan.


Baiklah, berbalik pada topik travelog.


Bumi SAKTI memberi jasa yang besar kepada aku dalam sukan larian jarak jauh ini. Ketika di tingkatan 1 (tahun 2003), aku menyertai buat pertama kali dalam aktiviti merentas desa ( di sekolah menengah aku dikenali sebagai Larian SAKTI).


Jarak trek bagi lelaki adalah 7km dan perempuan 5km.


Dan aku menang buat kali pertama. Tempat ke-5 kategori L13.


Tahun berikutnya, aku menyertai Larian SAKTI secara rutin. Tetapi tahun itu aku kalah. Mental block!


2005, aku berada di tingakatan 3. Tahun itu kembali bangkit. Aku berlari dan terus berlari. Hasilnya, tempat ke-4 kategori L15. Syukur kepada Tuhan!.



Apabila aku berada di tingkatan 4 ( 2006), aku perlu bertanding di kategori yang lebih tinggi yakni L18.

Aku jadi takut.

Bimbang pada saingan.

Aku ketika itu sebenarnya baru 15 tahun. ( aku lulus PTS tahun 2000, so muda setahun dari rakan-rakan yang lain)


Tapi sebenarnya mainan perasaan itu hanya bisik hati yang melemahkan jiwa. aku sedar dan aku berlari untuk mendapatkan yang terbaik.


Dan pada tahun itu aku mencapai pencapaian yang sebelum ini tidak pernah disangka.


tempat ke-2 kategori L18!


Syukur sekali lagi kepada Tuhan!


Tahun terakhir di SAKTI (2007), aku mencuba nasib sekali lagi.


Cuma untuk yang ini ada sedikit keistimewaan.



Pertandingan merentas desa peringkat daerah Pengerang diadakan lebih awal berbanding kejonanan peringkat sekolah.

maka, juara pada edisi Larian SAKTI pada tahun yang sebelumnya dipilih untuk mewakili sekolah.


8 orang bagi setiap kategori L15, P15, L18 & P18.


Sekolah aku jarang menghantar kontinjen untuk kejohanan ini. tidak tahu apa sebabnya. tahun ini dihantar pun kerana kami tuan rumah.


Aku turut berada dalam kontinjen itu.


dan aku berlari dan berlari.


Daerah Pengerang ini hanya kawasan yang kecil, serpihan daripada daerah Kota Tinggi. Pengerang bukan tergolong dalam 8 daerah di Johor. Maka, persaingan tidak begitu sengit.


Cuma aku tetap gerun melihat saingan lawan yang kelihatan memiliki susuk tubuh atlet yang perkasa.


Tetapi kami tetap berlari.


Merentas kawasan bukit.


Berlari dan terus berlari.


Dan pada tahun itu aku buat pertama kalinya dalam hidup memperoleh pingat dalam kejohanan sukan peringkat daerah.


nombor 10 kategori L18.


Pingat disediakan untuk 15 peserta setiap kategori.


Kontinjen SAKTI menang besar pada tahun itu. Selain merangkul juara keseluruhan, 30 daripada 32 orang pelari berjaya membawa pulang pingat.


Cuma aku jadi sedikit kecewa kerana gagal menempatkan diri untuk mewakili daerah ke peringat negeri.

8 yang terpantas bagi setiap kategori akan ke peringkat yang lebih tinggi. antara aku dan 2 orang di hadapanku tidaklah sejauh manapun.


Namun, aku tetap menerima kenyataan itu dengan hati yang terbuka.


syabas kepada para pemenang!


Selepas pertandingan merentas desa peringkat daerah dilakukan, barulah kejohanan peringkat sekolah diadakan. Tika itu, pelari-pelari terbaik sekolah sedang berlari untuk kejohanan peringkat negeri.

Aku harap aku boleh gunakan kesempatan ini dengan sebaiknya.

Tetapi rupa-rupanya tidak begitu.


Aku cedera sewaktu sedang mendahului larian, dan hakikat yang perlu ditelan adalah ketewasan untuk Larian SAKTI pada tahun tersebut.



***


Kejohanan Olahraga SAKTI adalah acara sukan tahun sekolah selain daripada Larian SAKTI. Acara yang dipertandingkan adalah acara tipikal bagi kejohanan setiap sekolah. Acara balapan, lompat tinggi & lompat jauh.


Aku mula menyertai kejohanan pada tahun 2003. Acara 200m. Namun sekadar mampu berpuas hati di tempat ke-4 ataupun 5.


Tahun 2004 aku datang ke stadium hanya sebagai penonton.


Tahun 2005, aku bertanding untuk beberapa acara. 800m, 1500m dan 4x400m.


Aku berjaya menang pingat gangsa untuk acara 800m dan tewas dalam acara 1500m.

Kuartet kami menang pingat perak untuk 4x400m, namun aku rasa mereka berhak untuk mendapatkan emas kerana aku telah memperlahankan rentak larian bahana sudah penat berlari untuk acara-acara yang lain.


Tahun 2006, aku bertanding untuk acara 800m & 1500m.

Nasib aku sedikit baik, pingat perak untuk acara 800m namun tewas dalam acara 1500m.


Berbekalkan tiket kemenangan di peringkat sekolah, aku ke kejohanan olahraga peringat daerah. Aku bertanding mewakili sekolah untuk acara 800m dan 5000m ( atas tiket menang tempat ke-2 Larian SAKTI 2006)


Untuk kedua-dua acara ini, aku pulang dengan tangan kosong.


Aku sempat menghabiskan larian untuk acara 5000m dan melangkah ke final untuk 800m.



Tahun 2007, untuk tahun terakhir di SAKTI, aku bertanding untuk acara 800m.


Pingat perak sekali lagi.


Yang aku ingat ketika ini, pemenang pingat emas yang mendahului larian ini berjaya memecahkan rekod sekolah.


aku yang tertinggal hanya beberapa saat di belakang dia berasa begitu terkesima kerana terlepas peluang untuk meletakkan diri dalam senarai pemegang rekod peringkat sekolah.


takpelah. dah memang rezeki dia. aku berlapang dada dan bersyukur atas kurniaan.


Pada tahun itu, aku disenaraikan sekali lagi untuk mewakili sekolah dalam kejohanan peringkat daerah namun terpaksa ditolak kerana aku perlu mewakili negeri Johor dalam satu program lain.


***


Mengapa aku menulis semua ini?


Engkau pernah melalui sejarah kehidupan yang pelbagai. Jatuh, bangun, jatuh dan bangun kembali.


Maka, jikalau ditakdirkan engkau akan jatuh lagi kelak, imbaulah masa lalumu. Jiwa kental itu pernah kau miliki.


Dan engkau harus rintis perjalanan ini hingga ke penghujung. Penghujung yang abadi.


Kata pujangga, life is a jouney not a destination.


Bukankah terlalu banyak peristiwa yang bersifat untold story telah kau lalui?


Aku ingin kau belajar daripada semua sejarah ini.


Manusia bukan faktor yang homogen. Ia makhluk berjiwa.


Dan ranjau ini yang akan mematangkan jiwa.





***


Uh, travelog ini sudah menjadi begitu panjang.
berbelit.
caca marba.


cuma sekarang aku rasa aku akan bersara secara tidak rasmi dalam acara larian ini. Iyelah, selain daripada jogging petang-petang, mana ada lagi kejohanan untuk aku sertai.


haha. kau sudah besarlah. sedar diri sikit.


takpelah.

Mungkin selepas ini aku mahu latih anak-anak dan cucu-cicit aku untuk terus berlari dan berlari.

Biar kental jiwa mereka. kalah menang belakang kira.


Man, kamu sudah sedia?


Sabtu, Mei 23, 2009

.Kerana manisnya jagung.




Petang. Angin sepoi-sepoi bahasa.


Saya berdiri di tengah rimbunan pepohon yang menghijau sambil memerhatikan satu persatu buah-buahan yang sedang ranum. Kedondong yang telah masak bertukar kehijauan, pasti enak andai dicecah dengan garam sambil dimakan pada waktu petang yang redup begini. Hitam manis si buah manggis pula tampak lazat. Saya mula membayangkan rasa isinya yang manis kemasam-masaman. Wah. sedapnya!. Saya bermonolog di dalam hati.



Hari ini hari ulangtahun kelahiran keempat Man. Saya berjanji untuk menghabiskan masa bersama dia di dusun buah-buahan milik keluarga di belakang rumah kami. Tadi semasa saya sedang asyik membelek-belek buah durian baru gugur, Man tiba-tiba lenyap. Saya berprasangka baik, mungkin dia sedang mengejar rama-rama seperti kebiasaan.



Kepada sesiapa yang tidak mengenali Man, saya harap anda dapat rujuk entri ini bagi mengelakkan kekeliruan.



Jangan-jangan Man sudah disembunyikan bunian, saya mula membuat telahan buruk. Di mana saya hendak mencari dia kalau benar begitu jadinya, rungsing. Saya berbisik sendiri sambil melaung-laungkan namanya tatkala tangan sibuk meredah segala semak belukar yang ada.


Namun, kelibat Man tidak juga kelihatan. Kerisauan mula menyelubungi setiap inci ruang emosi saya. Kalenjar peluh saya mula merembeskan keringat yang tidak terkira banyaknya. Jantung saya berdegup kencang petanda jiwa yang tidak keruan. Saya terduduk di atas tanah setelah penat mencari Man yang hilang.



" Mana la pulak Man pegi ni?, ni yang malas nak bawak dia pegi kebun lagi ni", saya mengeluh panjang sambil menyalahkan diri sendiri yang alpa.


Tiba-tiba satu suara menyergah panjang di belakang saya.


"Warkhhh"



Saya memandang belakang perlahan-lahan.



Seorang anak kecil sedang menyergah sambil muka comelnya itu menyeringai menampakkan baris-baris gigi yang memutih.


Cis. Man rupanya.


" Hahaha. Papa cari Man ye?. Man saje je sembunyi-sembunyi tadi, Man nampak papa sibuk cari Man tadi. Sorry ye papa," Man berkata sambil menyambung gelaknya.



Anak nakal. Mungkin sama seperti bapanya seperti kecil. Saya menarik pipinya yang gebu sambil berkata lembut.



" Lain kali jangan buat lagi ya. kalau kena sembunyikan betul-betul macam mana?. Kan susah orang nak cari."



Man tersenyum simpul.



"Sebenarnya tujuan papa bawak Man pegi kebun ni ada tujuannya, papa nak cerita kat Man pasal kisah papa masa kecik-kecik pasal industri cucuk-tanam ni," saya tersenyum seorang diri.




" Masa papa sebaya kamu dulu, papa ada tanam pokok bunga kat halaman rumah. Hari-hari pokok bunga tu akan disiram, dibelai dan sebagainya. Seronok tengok pokok tu membesar sikit demi sedikit"



"oh, bunga apa yang ditaman tu papa?", Man menyampuk sambil membetulkan kedudukannya di riba saya.



"entahlah, masa tu kan kecik lagi. Tak sempat tanya pulak nama pokok tu kat nenek kamu. Tapi yang tak berapa bestnya, suatu hari tu masa papa balik dari sekolah tiba-tiba je tengok pokok tu dah takde,dah kena cantas. Rupa-rupanya datuk kamu yang cantas pokok bunga tu. Sedih betul papa time tu. isk3. Kata mereka tu pokok bunga tahi ayam. tapi, pokok bunga tahi ayam pun bunga jugak kan. tak pelah, nape nak kena cantas-cantas pulak?" saya menagih sokongan daripada Man.


"betul, betul," Man mengangguk bersungguh-sungguh.



Kemudian saya menyambung lagi.



"Masa kat kolej , papa join green thumb. ala-ala kelab gardening gitu. setiap hari khamis petang ada perjumpaan kat garden green thumb. ada pond, ada bunga-bunga, ada pokok buahan-buahan. menarik la jugak. dapat berbakti pada tanah." saya berbicara sambil tersengih sendiri.




" Walaupun kehadiran tak penuh, selalu juga la papa join aktiviti membersihkan kebun tu secara beramai-ramai. Tapi kalau hujan turun, perjumpaan green thumb ni takde. ini menurut kata-kata cik hamidi masa meeting first time dulu. cik hamidi ni former presiden green thumb " tiba-tiba saja saya melibatkan ahli green thumb yang lain. sengaja mengimbau memori dahulu-kala.



"menarik sekali. pasti penuh lapangan tu dengan pokok yang menghijau kan papa?. Nanti kalau ada masa kita balik kolej tu ye, Man nak tengok garden tu ada lagi ke tak", bersungguh-sungguh Man menarik tangan saya seakan mahu pergi ke sana sekarang juga.



" Ada satu lagi cerita. Kalau Man nak tahu, kalau papa tak dapat offer untuk masuk ke kolej tu, mungkin papa sekarang ni adalah graduan UPM. dulu after SPM, papa dapat tawaran untuk ke Asasi Sains Pertanian UPM. kira ok la jugak tu. mungkin kalau papa pilih jalan yang satu lagi, hari ni papa merupakan seorang peladang yang berjaya. Kat kebun kita ni penuh dengan kambing, lembu, ayam dan ternakan lain-lain. pastu kat sana pokok jagung tinggi merimbun. Man suka jagung kan?," bicara saya lagi sambil menuding ke arah timur kebun.



Man mengangguk beria.


"suka, suka, suka"



" Baguslah. Malam ni papa ingat nak bawak Man keluar. kita makan-makan. Papa belanja jagung mentega bakar. Hmm, hari pun dah nak senja ni, jom kita balik. Kita siap pakai baju lawa-lawa untuk keluar malam nanti," saya memaut tangan Man dan mengendong dia pulang .



Man hanya tergelak-gelak kecil sambil duduk di atas bahu saya.


Senja yang merangkak datang menjadi saksi kegembiraan kami dua beranak.







Baiklah. Imaginasi tamat. Mari pulang ke dunia realiti.




Sejak kebelakangan ini, guru kelas pengajian bahasa inggeris saya sering mencetuskan perbincangan mengenai causes & impact of global warming semasa sesi pembelajaran di dalam kelas. Maka, saya sekadar ingin mengimbau apakah usaha yang telah saya lakukan untuk memelihara & memulihara alam sekitar ini. Saya juga berfikir berapa banyak pokok yang telah saya tanam dan berapa banyak pencemarankah yang telah saya lakukan tanpa saya sendiri sedari.



Pemanasan global mampu untuk memberi kesan yang begitu besar kepada alam sekitar. Pemanasan global akan menyebabkan ais-ais di kedua kutub bumi cair dan seterusnya air laut akan melimpah ke daratan. Hari demi hari, pasti akan ada daratan yang hilang & pasti akan ada negara yang ghaib daripada peta dunia kerana ditenggelami air.



Pemanasan global menyebabkan kemarau. Lama-kelamaan kita akan kekurangan sumber makanan kerana tumbuhan & hidupan memerlukan suhu yang bersesuaian untuk terus hidup. Kenaikan suhu bumi akan mengganggu kitaran makanan hidupan.




Saya hanya mencoretkan kembali apa yang terlintas di fikiran kala sedang menyiram pokok naga di garden green thumb tempohari.



Buat pengetahuan kalian, watak Man hanya diwujudkan untuk menggerakkan plot penceritaan. Tidak lebih daripada itu.



Kesimpulan daripada penulisan saya kali ini, marilah kita sama-sama menjaga alam sekitar agar genarasi kita yang seterusnya akan terus dapat menikmati alam yang tidak tercemar.


bak kata zainal abidin dalam lagunya-hijau....



Bumi yang tiada rimba
Seumpama hamba
Dia dicemar manusia
Yang jahil ketawa

Bumi yang tiada udara
Bagai tiada nyawa
Pasti hilang suatu hari
Tanpa disedari

Bumi tanpa lautan
Akan kehausan
Pasti lambat laun hilang
Duniaku yang malang

Dewasa ini kita saling merayakan
Kejayaan yang akhirnya membinasakan
Apalah gunanya kematangan fikiran
Bila dijiwa kita masih lagi muda dan mentah
Ku lihat hijau

Bumiku yang kian pudar
Siapa yang melihat
Di kala kita tersedar
Mungkinkah terlewat

Korupsi, oppressi, obsessi diri
Polussi, depressi di bumi kini

Oo... anok-anok
Tok leh meghaso mandi laok
Bersaing main ghama-ghama

Ale lo ni tuo omornyo berjoto
Koto usoho jauh ke daghi malo petako

Ozon lo ni koho nipih nak nak aghi
Keno make asak hok biso, weh
Pase maknusio
Seghemo bendo-bendo di dunio
Tok leh tahe
Sapa bilo-bilo







Akhir kata, marilah menyertai green thumb beramai-ramai!.





nota kaki: terkenang pada game ' harvest moon: back to nature'. bila la nak dapat sambung balik main permainan tu. isk3.




Isnin, Mei 11, 2009

Mengemudi bahtera pemikiran.



"Binatang apa tu papa?. Isk, besarnya badan dia." soal Man kepada saya , tika itu kami sedang melewati seksyen haiwan mamalia di zoo negara.


" Oh, itulah gajah." ringkas saya menjawab.


Kepada sesiapa yang masih tidak mengenali siapa itu Man, sila rujuk entri ini.



" Kalau Man nak tahu, gajah ni merupakan haiwan daratan yang terbesar sekali kat dunia ni tau. Yang kita tengok ni cuma gajah Asia je, kalau gajah Afrika lagi besar." sambung saya lagi sambil melebarkan tangan bagi menggayakan saiz gajah yang besar itu.



" Oh, begitu rupanya. Tapi kenapa orang zoo ni ikat gajah tu dengan rantai besi?.kejam betul. kesian la kat gajah-gajah tu. " Man bersuara mengundang simpati saya.



" Gajah tu pulak kenapa tak nak tarik je rantai tu. Man rasa sekali sentap je rantai tu dah terputus. Iyelah, gajah tu kan kuat dan gagah. Senang-senang je dia boleh lepaskan diri dari rantai besi tu. kenapa dia tak sentap je?.Mesti terputus punyalah. Rantai tu pun bukanlah besar sangat. Man rasa pelik betul la." sambung Man lagi.


Mendengar kata-kata Man itu, saya mula menjawab.




" Kalau Man nak tahu, gajah tu dah ditambat dengan rantai besi tu sejak kecil lagi. Setiap hari anak gajah itu cuba untuk melepaskan dirinya. Dia menyentap dan menarik rantai itu berulang-ulang kali tetapi akan gagal jua. Iyelah, rantai itu terlalu kuat untuk seekor anak gajah bertubuh kecil. Apalah kudrat yang ada pada tenaganya yang tidak sebanyak mana"




" Apabila masa berganti masa, gajah itu sudah menjadi dewasa. Gajah yang bertubuh kecil itu sudah bertukar menjadi seekor gajah yang gagah dan kuat. Malangnya hanya tubuh badannya sahaja yang membesar, akalnya tetap terbantut. Gajah itu sudah lama berhenti mencuba untuk melepaskan diri gara-gara pengalaman silamnya yang sentiasa gagal untuk lolos daripada belenggu rantai besi itu. Gajah itu pasrah membiarkan dirinya tertambat, mungkin untuk selama-lamanya." saya berhenti sejeda, menarik nafas dalam-dalam.



"Gajah itu terlupa melihat tubuhnya yang sudah berganda besar dari lima atau sepuluh tahun yang lalu. Gajah itu alpa bahawa kekuatan dirinya sudah cuku kuat untuk merentap rantai dan lepas bebas. Gajah itu menjadi mangsa kealpaan dirinya sendiri." saya menyambung bicara lagi sambil mengalihkan pandangan ke arah gajah yang sedang enak menikmati pucuk daun.


Wajah polos Man tampak bingung. Entah dia faham atau tidak kata-kata saya itu.







Analogi anak gajah & rantai ini merupakan sebuah kisah yang telah saya dengar sejak di zaman sekolah rendah lagi. Bagi saya, ia merupakan sebuah kisah yang amat bermakna dan mempunyai kaitan yang jelas dalam kehidupan ini.


Halangan pemikiran ataupun mental blocking merupakan tema utama yang hendak diangkat dalam anologi ringkas tersebut. Gajah kekal tertambat di sisi tiang kerana pengalaman semasa zaman kecilnya membuktikan bahawa dia tidak akan mampu lepas daripada rantai tersebut. Malang sekali, hanya tubuh fizikalnya yang membesar, namun akal fikirannya tidak.



Akal menjadi titik perbezaan utama antara manusia dan makhluk-makhluk yang lain. Akal fikiran manusia membesar seiring dengan tumbesaran fizikal. Gajah tidak mampu untuk berfikir, ia hanya bergerak berdasarkan pada landasan fitrahnya.


Pengalaman silam, kisah-kisah kegagalan dan pelbagai faktor lain kadang-kala mampu untuk menimbulkan tembok halangan dalam minda manusia. Manusia cenderung untuk melihat pada kelemahan mereka berbanding dengan kehebatan yang mereka ada.


Kegagalan yang wujud menyebabkan keresahan jiwa, seterusnya mendorong kepada putus asa. Fikiran manusia percaya bahawa mereka tidak akan berjaya lagi selepas ini . Usaha yang dilakukan selama ini sia-sia sahaja. Sama seperti simtom yang dialami oleh gajah dewasa tersebut, pengalaman kegagalan yang wujud menyebabkan mereka berhenti mencuba.


Lebih-lebih kehidupan bermasyararat kita yang sering meletakkan timbangan melulu tanpa usul periksa ( judgemental ) mendorong manusia untuk melihat kegagalan itu sebagai satu 'dosa' besar.


Kemenangan bermula daripada fikiran.


Saya sering memohon agar dikurniakan jiwa yang tabah, minda yang positif. dan diri yang tidak pernah kenal erti putus asa. Saya juga bukan insan ideal yang tidak ditimpa pelbagai masalah serta mampu bersabar dalam apa jua situasi ,namun bukankah dugaan itu semakin mematangkan manusia?.


Kita tidak akan menemui lautan baru kecuali jika kita berani meninggalkan pantai.

Kegagalan paling besar adalah gagal mencuba.

Kegagalan adalah suatu perisitwa, bukannya seseorang.

Apabila sebuah pintu tertutup, sebuah pintu lain akan terbuka. Kita biasanya begitu kecewa dan berfokus pada pintu yang tertutup itu sehingga kita tidak melihat pintu yang telah dibuka untuk kita.


Saya harap kita semua tidak akan menjadi seperti gajah dewasa itu. Biarlah kisah kegagalan lama sekadar menjadi sebahagian daripada lipatan sejarah silam. Yang berlalu biarkan berlalu, yang mendatang hadapi dengan cemerlang. Bak kata sebuah pantun melayu lama, barang yang lepas jangan dikenang, kalau dikenang merana diri.


It is not the mountain that we conquer but ourselves~ Edmund Hillary



Jumaat, Mac 13, 2009

Tikus putih untuk bapa.


Semalam keputusan SPM diumumkan. Ada pelbagai reaksi. Pedulikan.


Saya tidak begitu terkesan dengan mereka. Zaman saya sudah habis. Kini saya berdepan dengan zaman yang lebih getir lagi.


Zaman penuh cabaran dan pancaroba.


Menatap dada akhbar yang menceritakan tentang kejayaan mereka membuatkan fikiran saya menerawang jauh. Jauh ke masa hadapan.


Oleh kerana zaman saya untuk mengambil SPM telah tamat, maka saya membayangkan pula situasi di mana anak sulung saya mengambil SPM. Adakah sejarah yang sama akan berulang pada anak-anak generasi saya?.

Saya membuat matematik mudah. Sekiranya tahun ini saya berkahwin dan dikurniakan anak, anak sulung saya itu akan mengambil SPM ketika saya berumur 35 tahun. Mungkin ketika itu muka saya sudah berkedut kedut sedikit. Tidak mengapalah. Saya sedar saya sudah jadi bapak orang ketika itu.


Saya harap Pengarah Bahagian Biasiswa, Kementerian Pelajaran Malaysia tidak membaca entri saya yang ini. Iyelah, menurut kontrak kami tidak dibenarkan berkahwin semasa dalam pengajian. Lebih- lebih lagi semasa tahun persediaan.


Gurauan saja. Jangan ambil hati.


Berbalik pada cerita saya dan anak saya tadi. Saya namakan saja anak itu dengan nama 'Man'. Mudah untuk disebut dan diingat. Harap-harap emaknya tidak membangkang kerana saya memberikan nama sependek itu.


Hanya ada kebarangkalian yang utama sahaja sewaktu dia mengambil keputusan.


Saya pun tidak tahu sama ada dasar PPSMI masih diteruskan atau tidak ketika itu. Harap-harapnya tidak. Noktah.


Kebarangkalian pertama: Man lulus dengan jayanya.


Telefon bimbit Man berdering.


( Mungkin ketika ini orang sudah tidak pakai telefon bimbit)


" Hello", Man menanti suara di hujung talian.

" Hello, ini Man bin Muhammad Syukri ke?", terdengar suara di hujung talian.


" iye, sape ni,", Man menjawab penuh tanda tanya.


" Saya Encik Daud bin Othman daripada Kementerian Pelajaran Malaysia. Tahniah. Encik merupakan salah seorang pelajar terbaik SPM bagi peringkat kebangsaan bagi tahun ini. Esok encik dikehendaki untuk menghadiri Majlis Makan Malam Pelajar Cemerlang bersama Perdana Menteri", suara itu menyambung lagi.


Maka, saya pasti Man akan menjadi orang paling gembira pada hari itu. Mungkin saya pun akan dilupakan. Tidak sia-sia usaha gigihnya selama ini.


Imaginasi tamat.


Kebarangkalian kedua: Man tidak berjaya. Keputusannya agak teruk.


Pagi itu terasa segalanya terhenti ketika. Pohon-pohon berhenti melambai. Angin berhenti berpuput. Lemah dan sayu.


Man sedih sangat. Keputusannya cukup-cukup makan sahaja. Tidak berbaloi rasanya dengan usahanya selama ini.


Maka, saya sebagai seorang bapa yang prihatin akan memujuk beliau. Menabur kata-kata dan janji manis.


" Sabarlah Man, SPM bukan segala-galanya. Ramai je orang berjaya walaupun akademik tak seberapa", saya memulakan bicara.


" Tapi bapak, Man dah buat yang terbaik. kenapa begini jadinya. sob3." Man membalas.

( saya tidak pandai berimaginasi dalam hal ini.maka saya jadi drama tempatan sebagai sumber rujukan)


" takpe-takpe. pasti ada peluang di masa akan datang," saya cuba memberika sekuntum harapan.


" ini semua mesti pasal PPSMI. Man tak boleh belajar subjek sains dan matematik dalam bahasa inggeris ni", dia memberikan alasan.


Ah, sama seperti alasan saya sewaktu kecil dahulu. Bapak borek anak rintik.


Man masih tidak mahu berganjak. Bermuram durja.


" Kalau Man nak tahu, masa batch bapak dulu, kamilah generasi pertama yang menghadapi dasar PPSMI, " saya berbicara tanpa arah tuju.

Jeda.


Man tiba-tiba berkata,


" kasihan bapak. terpaksa jadi tikus putih".


Diam.


Saya kurang pasti kata-katanya itu membawa konotasi apa.


Related Posts with Thumbnails