Allahumma sholli ‘alaa sayyidina Muhammad, wa ‘alaa aalihi wa shohbihi ajma’iin…
" Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa." (Surah Al-Baqarah:183)
Konteks ayat tersebut hanya ditujukan kepada hamba-hamba-Nya yang beriman. Sebab, merekalah yang paling berhak dan layak untuk melaksanakan perintah-Nya. Sekaligus sebagai peringatan buat mereka bahawa puasa itu disyariatkan atas mereka sebagaimana juga disyariatkan atas kaum sebelum mereka, yang tujuannya adalah tercapainya derajat taqwa sebagaimana tercantum dalam firman-Nya, "....agar kamu bertaqwa." (Surah Al-Baqarah:183)
Taqwa tidak akan diraih kecuali seseorang mengikuti segala perintah ALLAH S.W.T, membenarkan dan berjalan diatas petunjuk rasul-Nya, mengikuti manhaj dan jalan beliau yang lurus, menjauhi larangan ALLAH dan Rasul-Nya, menjauhi jalan-jalan syaitan laknatullah serta kroninya, serta menahan diri dari keinginan hawa nafsu. Saat itulah taqwa dapat diraih dalam hati dan membuahkan rasa takut kepada ALLAH baik saat ketika sendirian atau sebaliknya. Lalu, anggota tubuh pun membuktikannya dengan beramal. Sehingga hal itu, menyebabkan kehidupan dunia menjadi bahagia dan tenang, kerana berhasil meraih ridha dan rahmat ALLAH S.W.T, serta akan mendapat syurga-Nya di negeri akhirat kelak yang kekal abadi selama-lamanya.
Hikmah Berpuasa dan Kelebihan Ramadhan
- Ketibaan Ramadhan, umat islam diseluruh pelusuk dunia serentak mengerjakan puasa dalam satu masa tertentu. Kesatuan hati dan niat tulus ikhlas ini dilakukan semata-mata untuk mengabdikan diri terhadap ALLAH S.W.T.
- Dengan diwajibkan berpuasa, semua golongan islam, kaya dan miskin, berada tidak berada, terpaksa menempuh ujian yang sama. Dengan berpuasa menimbulkan keinsafan dan perasaan bertimbang rasa serta kasih-mengasihi sesama umat islam.
- Amalan berpuasa melahirkan jiwa insan yang selalu taat kepada ALLAH, justeru itu akan lahir pula ketenangan jiwa, dan ketaqwaan.
- Dari segi kesihatan, perut yang melalui proses berpuasa dapat dibersihkan, sekaligus beberapa penyakit yang terdapat didalam tubuh badan manusia dapat diatasi.
- Puasa itu disifatkan oleh Rasulullah S.A.W sebagai separuh daripada kesabaran.
- Orang yang berpuasa lebih disayangi ALLAH, selamat dari api neraka dan menghapuskan dosa-dosa kecil.
- Kedatangan Ramadhan ada keistimewaannya kerana dianjurkan ibadah solat terawih, disamping itu diwajibkan juga zakat fitrah (badan) ke atas golongan yang mampu sebagai satu kewajipan membantu insan Muslim yang lain, khususnya mereka yang dhaif.
- Diriwayatkan dalam sebuah hadis daripada Nabi S.A.W: maksudnya: " Sesiapa berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan, mengharap balasan daripada ALLAH, diampunkan dosa-dosanya yang lalu."
- Ketibaan Ramadhan menandakan terbukanya pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan dirantaikan syaitan.
- Malam Nuzul Al-Quran (17 ramadhan) merupakan saat penting Al-Quran diturunkan dari langit ke dunia untuk menjadi pedoman manusia hingga ke akhir zaman.
- Terdapatnya Lailatul Qadar iaitu satu malam yang padanya terdapat saat penuh keberkatan menyamai 1000 bulan (83 tahun 3 bulan) ganjaran pahalanya daripada ALLAH S.W.T.
:: Buku Indahnya Hidup Bersyariat ::
◆ Salam Ramadhan Al-Mubarak buat semua
Kemaafan dipinta atas segala-galanya ◆
***
***