~ aRtiKaL ~ ::_Ya Allah...Ya RahMan...Ya Rahim_::
Terharu dengan alunan bacaan al-Quran yang indah, betul molek lenggok tajwid serta makhrajnya, disertai qiraat yang pelbagai menjadikan sebuah masjid menjadi mihrab pengabdian yang indah bagi insan yang mendamba rahmat Allah swt. Peluang yang jarang-jarang ada ini perlulah dimanfaatkan, apalagi pada sepuluh malam berkah yang terakhir ini, melipatgandakan amal ibadah, mendidik hati supaya cintakan Allah semata.
Sedang khusu’ dalam perehatan seorang muslim,
yakni solat, terkadang dihibakan dengan tangisan imam yang memahami apa yang dibacakan. Hati ini pula tersentak tatkala si imam terhenti dan mengulangi sepotong ayat dari surat An-Naml (15):
وَلَقَدْ آتَيْنَا دَاوُودَ وَسُلَيْمَانَ عِلْمًا وَقَالَا الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي فَضَّلَنَا عَلَى كَثِيرٍ مِّنْ عِبَادِهِ الْمُؤْمِنِين
َ"Dan Sesungguhnya Kami telah mengurniakan ilmu pengetahuan kepada Nabi Daud dan Nabi Sulaiman; dan mereka berdua bersyukur Dengan berkata: "Segala puji tertentu bagi Allah Yang Dengan limpah kurniaNya memberi Kami kelebihan mengatasi kebanyakan hamba-hambaNya Yang beriman".
Terasa sebak di dalam solat, mengagumi kalamullah yang terkena terus pada diri sendiri. Tafsir biasa mungkin tidak meresap ke dalam jiwa kita, kerana sekadar membaca tafsir dan tidak disertai dengan tadabbur yang meresap ke dalam hati mungkin tidak ada manfaatnya. Seseorang boleh memahami bahawa Nabi Daud dan Sulaiman telah dilebihkan oleh Allah dengan mengurniakan kerajaan dan Negara yang hebat dan kekuasan memerintah.
Namun renungkan ayat itu ikhwah akhawat sekalian, dan refleks dengan diri kita. Betapa bertuahnya kita menerima hidayah Allah swt di samping ramai lagi manusia di sekeliling kita. Kita juga telah dipilih Allah untuk memahami suatu pemahaman Islam di mana ramai orang Islam masih kabut dengannya. Kita telah dipersilakan Allah utk berjuang di jalanNya sedangkan tidak ramai orang Muslim yang mengetahui tanggungjawabnya. Allah telah merahmati kita dengan satu jalan yang tidak ramai mereka yang boleh bersabar dengannya, jalan tarbiyyah ke arah mardhatillah. Sedangkan ramai umat Islam masih terkapai mencari solusi permasalahan peribadi mahupun permasalahan antarabangsa. Firman Allah(7),
وَوَجَدَكَ ضَالًّا فَهَدَى
"Dan Dia mendapatimu sebagai seorang yang bingung, lalu Dia memberikan petunjuk".
Kita renungi ayat ini ikhwah akhawat sekalian, kesyukuran Nabi Daud dan Nabi Sulaiman as adalah berkenaan kelebihan yang Allah berikan atas hambanya di atas hamba-hambanya yang Mukmin. Sememangnya manusia itu dipilih bertingkat-tingkat, dari kafir kepada Muslim, daripada Muslim kepada Mukmin, dan daripada Mukmin itu pula ada tingkat lebih lagi, tingkatan yang hanya di capai oleh para Nabi dan Rasul, serta hamba-hamba yang telah dipilih oleh Allah.
أَلا إِنَّ أَوْلِيَاء اللّهِ لاَ خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلاَ هُمْ يَحْزَنُونَ
"Ingatlah, sesungguhnya wali-wali Allah itu, tidak ada kekhawatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati".
Renungilah betapa sayangnya Allah terhadap kita, yang telah melebihkan pemahaman kita atas manusia yang lain, yang telah memilih kita sedangkan mungkin kita pun tidak mencari, tapi atas rahmat Allah swt, kita terdampar di atas satu jalan yang suci ini.
Ikhwah akhawat sekalian, ramadhan semakin meninggalkan kita, ia pergi bersama kelazatan ibadah kita dan rahmat Allah yang terkandung didalamnya. Tapi bagi kita, seluruh bulan dalam setahun adalah Ramadhan, di mana tarbiyyah tidak akan terhenti sekalipun Ramadhan telah berakhir. Tadabburilah al-Quran dan fahamilah apa yang ingin disampaikan oleh Allah pencipta alam kepada kita, makhluk kecil yang tidak bermakna.
Ya Allah, kekalkanlah kami dalam pilihanMu..
Ya Allah..segala puji bagiMu yang memilih kami…
Ya Allah..sudilah pandang kami yang tidak berharga ini..jadikanlah kami hambamu yang terpilih…

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments: