KUALA PILAH – Penduduk Kampung Sungai Dua Kecil Tengah berharap jalan
sempit dan berlubang yang dilalui lebih 10 tahun ini dapat dinaik taraf.
Wakil penduduk, Abdullah Abu Kasim, 66, berkata, masalah itu telah
dikemukakan setiap kali mesyuarat JKKK bagaimanapun belum ada sebarang
tindakan.
“Tahun ini, saya telah utus surat ke Pejabat Perdana Menteri dan telah terima maklum balas bertarikh 19 Ogos 2015.
“Dalam surat itu menyatakan, permohonan baik pulih jalan akan diberi
perhatian, malah surat ini juga dihantar kepada setiausaha sulit menteri
besar kita," katanya.
Bagaimanapun katanya, sehingga kini masih belum menerima jawapan daripada pihak berkenaan.
Abdullah berkata, jalan tersebut dilalui 30 hingga 40 kenderaan setiap
hari dan amat memberi masalah jika ada kenderaan dari arah bertentangan
kerana jalan itu hanya muat untuk sebuah kenderaan sahaja.