Banyak pihak berpendapat bahawa PRU13 akan diadakan tidak lama lagi iaitu selewat-lewatnya pada tahun 2011. Memanglah itu semua adalah budibicara DS Najib selaku Perdana Menteri Malaysia, namun segala tindakannya tidak bebas dari diperkatakan.
Berbagai alasan diberikan antaranya adalah penguncupan ekonomi menjelang 2012 serta penyusunan semula anggota kabinet sama ada dari segi potfolionya dan keanggotaannya. Dalam kata lain, PM akan memilih anggota kabinetnya sendiri dan bukan lagi menakhodakan negara dengan anggota kabinet lagasi dari Tun Pak Lah, serta merombak secara besar-besaran menteri-menteri kabinet yang 100% pilihannya.
Bagaimanapun saya berpendapat bukanlah terlalu mudah untuk melaksanakan usaha ini terutama untuk mengadakan PRU13 kerana sokongan rakyat terhadap kerajaan masih samar-samar. Dari beberapa siri PRK yang lalu jelas kelihatan bahawa undi kaum Cina tidak langsung memberikan simpati kepada BN sedangkan undi Melayu masih berpecah belah.
Kebimbangan yang teramat sangat adalah keadaan ini akan berterusan yang akan menyebabkan BN akan kalah lebih teruk dan akan kehilangan lebih banyak kerusi lagi sama ada di Parlimen ataupun DUN.
Kita pasti PM sedang menghadapi tekanan yang maha hebat. Hendak diadakan PRU masih bimbang akan kalah, dan jika tidak diadakan sekarang ini bimbang tekanan ekonomi akan menyebabkan rakyat lebih marah dan bertindak menolak BN dalam PRU pada bila-bila masa diadakan.
Saya akan cuba berikan pandangan saya mengenai PRU bagi kawasan parlimen Jerantut selepas ini nanti. Apapun, kita harus bersedia pada bila-bila masa bagi menghadapi PRU nanti dan semua pihak yang terlibat dalam politik Jerantut harus bersatu dan menggembeling tenaga untuk memastikan kemenangan. Seperti kata Tun Mahathir yang lebih kurang begini; Tidak bermakna kemenangan kita secara individu jika parti kita tidak memenangi secara keseluruhannya. Tidak bermakna kita menjadi Ahli Parlimen atau ADUN tetap kerajaan diperintah oleh pembangkang dan kita akhirnya menjadi pembangkang kepada kerajaan baru itu.