Sunday, December 23, 2012

10 Penawar Segera Hati part 3

Hari ini Along berjanji untuk memasak dinner dan menu yang dipilihnya ialah Mee hoon Singapore.. Alhamdulillah sedap... :) Pandai anak ibu..

Saya sambung kembali saranan Ustazah dalam mengubat hati.. baru dua dalam entry yang lalu.. Ada lagi 8..

3 - Menjalin hubungan dengan orang soleh/ alim-ulama':- Bagaimana untuk melakukannya.. Tiada cara lain melainkan dengan datang ke  majlis-majlis ilmu... Aura pada wajah mereka, kelibat mereka adakalanya sudah cukup untuk memberikan kita ketenangan...

Contohnya Syeikh Ahmad Yasin.. Walaupun kita tak pernah dengar kata-katanya tapi dengan melihat keadaannya sudah cukup  untuk menjadi inspirasi buat kita.. Dalam keadaan diri beliau yang lumpuh, beliau langsung tak memberi alasan untuk menunaikan solat berjemaah 5 waktu dan berjuang di  jalan Allah..

Kata ustazah lagi, antara ciri-ciri orang yang masuk neraka ialah orang-orang yang selalu memberi pelbagai alasan untuk ke majlis ilmu.. jaga anak kecil.. biladah tua jaga cucu pula sampai ke akhirnya tak jumpa jalan untuk ke majlis ilmu.. sedangkan ciri-ciri orang yang masuk syurga ialah orang-orang yang semuanya mudah.. Insya-ALLAH sahaja jika diajak menghadiri  majlis ilmu...

4- Lazimi  wirid harian secara istiqamah, contohnya dengan membaca al-makthurat pagi dan petang..Antara cara untuk menilai kondisi hati kita tenang atau tidak ialah dengan melihat bagaimana kita memberikan hati kita pada Allah setiap hari.. Jika dalam hal melakukan solat wajib kita mengambil masa contohnya 1/2 jam ( berwuduk dengan sempurna, melakukan solat qabliah, solat zohor serta solat ba'diah) dan melakukan dengan tenang .. itulah kualiti hati kita yang tenang..

Tapi kalau kita punya hati yang tak tenang kita pecut 2 minit saja dah siap solat.. Sudahlah pecut, ketika solat tulah kita teringat kain tak angkat lagi di jemuran, teringat nak ambil anak di sekolah, nak  masaklah dan sebagainya...

Itulah yang berlaku tegur Ustazah,  kalau tengok Boliwood 2 1/2 jam pun tak apa.. tenang saja tapi kalau nak bagi hati  kita pada Allah nak cepat saja.. Nauzubillah..

5- Pastikan solat fardhu dilakukan dengan kusyuk.. Ketika itulah Allah akan berikan beberapa peratusan ketenangan hati pada kita..

6- Membaca sehelai mukasurat Al-Quran setiap hari penuh taddabur - Al-Quran ini adalah mukjizat Kubra yang paling agung...

Kita kadang-kadang tak sedar bahawa hati yang tak tenang itu sebenarnya bantuan Allah pada kita kerana kita jauh dari Al-Quran.. Kita amal tak doa yang berkait dengan Al-Quran ???? atau doa itu hanya meniti di bibir anak-anak kita saja... Doa itu mempunyai maksud yang sangat indah...

" Ya Allah rahmati aku dengan Al-Quran
Jadikan Al-Quran sebagai imam, petunjuk, cahaya, dan keberkatan dalam hidup kami...
Ya Allah aku ini pelupa, tolong ingatkan daku ya Allah.. Ajarkan kami yang jahil ini ya Allah...
Kurniakan aku kekuatan untuk membaca Al-Quran malam dan siang..
Jadikan ya Allah Al-Quran itu syafaat buatku di akhirat nanti.."

Apakah yang dimaksudkan dengan taddabur? Erti taddabur ialah merenung, belajar dan berfikir...

Nanti saya sambung perkongsian Ustazah tentang pengalaman Ustazah suatu masa dulu bilamana beliau pernah diuji dengan hati yang tidak tenang...

Friday, December 21, 2012

10 Penawar Segera Hati.. Part 2

Sebagai sambungan kepada 10 penawar hati yang disyarahkan Ustazah..Saya mula dengan penawar yang pertama..Dan buat entry ini saya akan senaraikan 2 darinya.. Semoga kita sama-sama dapat mengamalkannya dalam kehidupan kita sebagai seorang ibu, isteri, khalifah, pendidik dan segala-galanya...

1- Bangun waktu menjelang fajar untuk beristigfar.. Bukan hanya sekadar bangun untuk tahajud tetapi jangan lupa untuk beristigfar memohon ampun kepada Allah SWT, walau hati sedih, kecewa atau apa pun pastikan kita bersama rombongan yang memohon ampun pada waktu sahur...

Angkatlah tangan memohon ampun  kepada Allah seperti doa yang Ustazah sebutkan

"Ya ALLAH ampunkan segala dosa-dosaku, janji yang aku mungkiri, amanah yang aku khianati, ampunkan ya ALLAH sekian banyak nikmatMu yang tak aku syukuri, ampunkan ya ALLAH segala ujian yang aku tak sabar menempuhinya sedangkan ujian-ujian itu Kau timpakan kepadaku untuk mengangkat darjatku sekiranya aku sabar terhadapnya... Ampunkan ya ALLAH segala perkataanku, amalanku, perbuatanku yang tak aku jadikan Kau sebagai tujuanku..."

Pada waktu sahur, saksi amalan kita bukan orang sembarangan tetapi Malaikat... Sekiranya jiwa kita tak tenang, kita tak boleh memberi tetapi sentiasa menagih daripada orang.. menagih perhatian, kasih, cinta, perhatian dan sebagainya.. tapi jika jiwa kita tenang kita akan memberi dan terus memberi tanpa mengharapkan apa-apa balasan dari si penerima....

Mari kita raikan hadis Rasululullah SAW yang bermaksud:-

Satu ketika Rasulullah SAW memberi wasiat kepada anakanda kesayangan Baginda iaitu Fatimah.Nilai hadiah/wasiat ini tak boleh dibeli oleh dunia.. Wasiat itu berbunyi: 'Wahai Fatimah mahukah kamu aku wasiatkan sesuatu.. bacalah di pagi dan petang hari.. "Ya Haiyyu (Wahai Tuhan yang Maha Hidup Kekal), ya Qayyum (Wahai Tuhan yang Maha Mengurus Segala Sesuatu).. aku nak minta tolong dengan kasih-sayangMu... Tolong perbaiki segala urusan hidup ku.. sebagai seorang ibu, isteri, pendidik dll..Perbaikilah segala-galanya.. umur ku, masa ku, akhlak ku, ilmu ku, ibadah ku... Jangan Ya ALLAH, Kau serahkan aku pada diriku sendiri walaupun pada kadar sekelip mata...

Doa ini boleh kita dapati dalam Al-makthurat (himpunan doa zikir dari Al-Quran dan Hadis).. Bacalah 3-4 kali pada waktu pagi dan petang..Mungkin selama ini kita selalu baca tapi tak pernah menghayatinya..  Betapa besarnya maksud doa ini.. umpama seorang ibu atau bapa yang berkata pada seorang anak 'Lantaklah apa nak jadi ...', Nauzubillah... jangan sampai Allah buat pada kita seperti itu (mohon keampunan, sesungguhnya zat Allah itu jauh dari sifat manusia, makhlukNya yang lemah).. Jangan sampai Allah kata pada kita.. "Tak apalah wahai hambaKu, kalau kamu rasa dengan ilmu yang kamu ada, dengan gelaran Dr hasil kajian pHd tentang pendidikan anak yang kamu ada,  kamu dah rasa cukup bijak nak didik anak kamu.. dll"

Sesungguhnya tanpa campur tangan Allah dalam kehidupan ini mana mungkin kejayaan dalam mendidik anak, sebagai isteri/suami solehah, mencari ilmu dsb dapat kita lakukan dengan sebaiknya.. Kita hanyalah pentadbir tapi Allah adalah pentakdir...



2- Berikan sedikit masa harian anda untuk menyendiri dan bertafakur bermuhasabah diri.. Walau sekadar 5  minit. Saya gariskan perkataan harian kerana Ustazah menekankan bahawa ia harus dilakukan setiap hari bukan setiap minggu/ bulan / tahun.. Implikasinya sangat luar biasa. Selepas solat Isya' contohnya kita ambil sedikit masa untuk bertafakur, merenung dan menghisab diri sebelum diri kita dihisab oleh Allah SWT.. 5 minit yang kita peruntukkan untuk Allah itu berkatnya 50 tahun.. Contohnya bila kita hisab diri kita.. kurangnya sedekah yang kita lakukan dan berazam untuk membanyakkan lagi sedekah.. Kadangkala kita berada dalam kesempitan hidup.. dan dalam Al-Quran cakap "kalau kamu sempit rezeki, keluarkan apa yang kamu ada .. itulah rahsia keberkatan untuk membanyakkan rezeki.." Subhanallah... 

Jika kita rajin bertafakur, banyak yang Allah akan tunjuk pada kita.. Jika kita tidak bertafakur, kita akan asyik nampak kesilapan orang tapi tak nampak kesilapan diri sendiri..

Tanya Ustazah "Bila kali terakhir kita peluk diri sendiri???" dan mengajak kami semua memeluk diri sendiri... Masya-ALLAH...Satu perasaan yang sukar saya gambarkan hadir dalam diri saya ketika itu... Serasakan ingin mengalirkan air mata kerana betapa saban waktu kita terkejar-kejar sebagai seorang ibu, isteri, pekerja dan sebagainya untuk melakukan segala-galanya untuk anak-anak, suami dan orang lain hingga terlupa pada diri sendiri..Ustazah mengajak kami berkata pada diri bilamana memeluk diri sendiri dengan kata-kata yang sangat menyentuh hati...

" Ya Allah, inilah aku yang telah menerima tanggungjawab daripadaMu ya Allah.. Tubuh yang aku peluk ini harus tunaikan amanah-amanah itu sebaiknya .. dan aku tak akan hantar tubuh ini ke nerakaMu ya Allah.. Jangan sampai aku terlupa dengan diri aku ya Allah..."

Maka marilah kita bertafakur untuk mencari keredhaan Allah. Agar kita dekat dengan kebenaran dan jauh daripada kemurkaan Allah.. Pesan Ustazah sekiranya ada masalah dengan suami, anak-anak, jiran, sahabat dll jangan kita respon dulu.. tapi ambillah masa untuk bertafakur/ berhenti sejenak dan berdoa dengan doa..

"Ya Allah, Tunjukkan kami apa yang benar itu benar dan rezekikan kami untuk mengikut jalan yang benar itu... Tunjukkan kami apa yang salah itu salah dan rezekikan kami untuk menjauhi jalan yang salah itu.."

Nasihat Ustazah, contohnya bila kita ada anak remaja.. kita harus jadi pendengar yang baik jangan sampai anak kita cari orang lain untuk jadi mendengar.. Di ketika itu,  kita akan kehilangan anak itu... Begitu juga sebagai suami/isteri...

Tuesday, December 18, 2012

10 Penawar Segera Hati... Part 1

Betapa saya rindu untuk menulis tapi dek kerana kesibukan menguruskan pelbagai hal rumahtangga dan kerjaya tambah-tambah lagi di musim cuti sekolah sebegini... Masya-ALLAH rasanya mahu membeli masa-masa mereka yang membuang-buang masa dengan sia-sia...

15 Dec yang lalu di Masjid Ridhuan berlangsung "Ladies Day Special" - Wanita & Hijrah bermula dari Qiamullail hingga ke Isya' dengan barisan asatizah..memberikan kuliah pada setiap selang waktu 2-3 jam.. Ia merupakan sambungan kepada rally ilmu yang berlangsung pada Nov lepas yang bertajuk "Ustaz Sayang Anda" 

Saya hadir ketika Kuliah Dhuha Ustazah Norhafizah pada pukul 9 pagi.. Terlepas Kuliah Ust syed Nor Hisyam Tuan Padang selepas Subuh.. Semuanya gara-gara tersilap  membaca masa yang terpapar pada banner..

Perkongsian Ust Norhafizah pada pagi itu umpama jawapan yang saya harap-harapkan hadir di saat hati ini tidak tenteram disebabkan oleh ujian - ujian kecil yang melanda.. Ia umpama jawapan daripada Allah SWT yang diilhamkan kepada Ustazah untuk disampaikan kepada saya hambanya yang kerdil ini... Tajuknya.. 10 Penawar Segera Hati..

Ustazah mengajak kita merenung satu hadis Nabi SAW yang bermaksud.. (lebih kurang begini)..

" Wahai manusia jadilah 4 golongan manusia, jadi seperti keempat-empat golongan tersebut atau salah satu dari golongan tersebut.. Jangan jadi golongan kelima kerana kamu akan binasa"

Sekiranya ada antara pembaca yang mendengar slot Usrati pada Jumaat 14 Dec, Ustazah juga menyentuh isu yang sama..Nantikan sambungannya pada 21 Dec nanti pukul 10 pagi di Radio IKIM..

Mari kita lihat apa pesan Nabi SAW
Golongan 1:- Jadilah kamu orang ALIM - orang yang takut dengan Allah, rajin beribadah,  peka agar tidak membuat maksiat kepada Allah. faham ilmu ugama dan mampu mengajar orang lain..

Jika tak mampu .. jadilah

Golongan 2:- Jadilah kamu golongan Muta'aliman - orang yang belajar (penuntut ilmu)

Jika tak mampu juga .. jadilah..

Golongan 3:- Jadilah kamu golongan Mustami'an - Orang yang suka mendengar (jangan jadi orang yang ada telinga tapi tidak mendengar)

Kalau tak mampu juga.. jadilah

Golongan 4:- Jadilah kamu golongan Muhibban - golongan pencinta ilmu, pencinta alim-ulama' .. Ada orang yang suka menganjur majlis ilmu, masa majlis ilmu sedang berjalan dia pula sebok menjaga makanan dan minuman.. lebih kurang macam tulah kata Ustazah, dia bukan alim, tak belajar, tak mendengar tapi cintakan majlis ilmu dan menyokongnya..

Jangan jadi Golongan ke 5 kamu akan binasa.. Siapa golongan ke 5 ni?? Golongan ke 5 ialah orang-orang yang langsung tidak tersenarai dalam golongan 1 - 4 diatas ..Nauzubillah...

Berbalik kepada tajuk 10 Penawar Segera Hati tadi kata Ustazah ianya adalah transformasi hijrah hati agar lebih tenang dan kalau kita buat Insya-ALLAH boleh rasa tenang, hidup lebih terarah.. Dalam tubuh seseorang ada segumpal darah.. Kalau ia baik maka keseluruhan peribadi seseorang itu akan baik.. cakapnya baik, perbuatannya baik serta fikirannya juga baik... tapi kalau segumpal daging ini sakit atau mati maka seluruh yang dipamerkannya adalah buruk.. Kita akan rasa sakit hati bila bercakap dengannya dan dia juga sanggup melakukan hal-hal yang haram tanpa rasa berdosa..

Seorang Kiyai dari Indonesia pernah berkata.. Dalam hidup ini apa yang dipamerkan adalah daripada hati ke hati... Apa sahaja tindakan yang keluar datang dari hati.. Contohnya bila seseorang menggunakan jari telunjuk untuk menunjuk ke arah kita, hati kita akan merasa bahawa kasarnya tindakannya, berbanding jika dia menunjuk ke arah kita menggunakan ibu jari, hati kita akan merasa lebih selesa.. Apatah lagi jika orang itu mengunjukkan seluruh jarinya ke arah kita sambil mempersilakan kita.. Hati kita akan merasa lebih dihormati .. Subhanallah ia perumpamaan ringkas yang mana jika kita fikirkan jari-jari itu langsung tak kena pada perut pada badan kita tapi kita mampu merasakan perasaan yang berbeza-beza jauh di sudut hati kita yang paling dalam...

Untuk melakukannya kita memerlukan kualiti hati yang terbaik.. Kita takkan mampu memberikan yang terbaik jika hati kita tidak kita sucikan .. Dan itulah 10 penawar hati bagi menyucikan hati kita yang akan saya sambung nanti kerana terlalu panjang untuk saya tuliskan dalam satu entry...