Sikap keterlaluan semakin menjadi-jadi seakan-akan cuba menguji tahap kesabaran apabila kepala babi dikesan dilontarkan di dua masjid sekitar Jalan Klang Lama, di ibu negara, hari ini.
Sesungguhnya, polis sepatutnya sejak awal tangkas dan bertindak tegas dengan memberkas semua yang bertanggungjawab bukan setakat memberi amaran semata-mata.
Pimpinan PM DS Najib Tun Razak juga sewajarnya tidak berdolak dalih dalam menangani permasalahan ini yang semakin membimbangkan. Pendirian kerajaan dalam hal ini hendaklah jelas, bukan setakat bersandiwara dalam kelakonan untuk memelihara kepentingan politik. Keputusan hendaklah dibuat berasaskan kepentingan dan keamanan negara.
Babi sememangnya satu perkara paling sensitif bagi masyarakat Islam. Apa tah lagi jika kepala babi dilemparkan ke rumah Allah, tempat ibadat orang Islam itu sendiri.
Kepala babi berkenaan dijumpai di Masjid Taman Datuk Harun di Petaling Jaya dan di Masjid Taman Sentosa.
Insiden ini merupakan yang terbaru ...ia bukan lagi satu gambaran untuk merosak rumat ibadat tetapi lebih kepada mencemarkan rumah ibadat pada tahap paling kritikal dan menghina Islam.
Sepanjang tiga minggu lepas, sebanyak 11 gereja, sebuah kuil Sikh, sebuah masjid dan dua surau dirosakkan..
Serangan ini dipercayai berkaitan keputusan Mahkamah Tinggi pada 31 Disember lalu yang membenarkan bukan Islam menggunakan kalimah Allah sebagai terjemahaan untuk 'God'.
Dalam insiden hari ini, menurut saksi, dua kepala babi dijumpai oleh jemaah di perkarangan masjid ketika datang hendak menunaikan solat Subuh pada jam 5.30 pagi.
Selain itu, 30 keping wang seringgit ditaburkan di kawasan masjid itu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan pegawainya sedang menyiasat kawasan kejadian.
Muzakarah Pakar anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) semalam ternyata memberi ruang baru dan penghormatan besar kepada Presiden PAS, Datuk Seri TG Abdul Hadi Awang apabila dijemput hadir untuk memberi pandangan.
Keterbukaan Ikim itu, membuktikan TGHH adalah seorang ulama yang disegani dan perlu dirujuk dalam mengupas isu penggunaan kalimah Allah.
Sebelum ini, Ikim tidak pernah menjemput ulama PAS, khususnya seperti TGHH . Isu kalimah Allah rupanya membuka ruang untuk diskusi ilmiah yang mengangkat pemikiran para cendikiawan Islam tanpa mengira pendirian politik.
Semuga langkah terbuka Ikim ini akan berterusan kerana masih banyak lagi isu yang perlu dibincang dan diputuskan oleh ulama dan pemikir Islam. PAS tentunya bersedia memberikan buah fikiran demi manfaat umat Islam dan rakyat.
Meskipun tidak melahirkan ketetapan, namun muzakarah semalam menjadi medan terbaik untuk para cendikiawan melihat isu secara lebih terperinci.
Muzakarah disertai Ahli Majlis Kepimpinan Tertinggi (MPT) PKR, Dr Mohd Nur Manuty, bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin, Pengarah Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan Ikim Dr Mohd Sani Badron dan Felo Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik Ikim, Md Asham Ahmad.
Muzakarah dipengerusikan Ketua Pengarah Ikim, Nik Mustapha Nik Hassan.
Selain itu, ia turut disertai Pengerusi Ikim yang juga mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, pensyarah Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama UIAM, Prof Madya Dr Kamar Ainiah Kamaruzzaman, Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Md Zain.
Yang menghairankan selain Tun Abdullah, tiada ulama Umno yang hadir.
(edited harakahdaily)
Sultan Selangor menitahkan agar Khalid Samad mengemukakan apa jua syor berkaitan dengan Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988 termasuk soal penggunaan kalimah “Allah”.
Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah demikian kepada Ahli Parlimen Shah Alam itu semasa menerima perkenan mengadap hari ini.
Baginda juga tidak mahu isu mengenai kalimah “Allah” berpanjangan sehingga menjadi polemik politik, kata Khalid.
Dalam pertemuan itu, Sultan Selangor turut menyentuh polemik semasa membabitkan beliau dengan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais).
“Baginda bertitah bahawa jika ada apa-apa pandangan hendak dicadangkan, tulis kepada Mais dan Tuanku, baginda akan memberi pertimbangan.
“Bagi saya ini satu respons positif daripada Tuanku, sikap terbuka baginda, yang menyatakan kesediaan mendengar pandangan semua pihak,” katanya.
Khalid menambah beliau menjelaskan kepada Sultan Selangor bahawa pendiriannya selama ini termasuk menerusi ceramah dan forum hanya bertujuan menangkis pandangan Jais dan Mais yang mengapi-apikan orang ramai dengan tindak-tanduk mereka.
Selangor merupakan antara negeri yang mengguna pakai Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988. I
a antaranya melarang bukan Islam menggunakan secara bertulis atau lisan 25 perkataan. Antara perkataan itu ialah, Allah, firman Allah, nabi, mubaligh, syariat, wahyu, mufti, Kaabah, hadis, rasul, iman, ibadah, fatwa, haji, kiblat, Ilahi, Injil, ulama, khalifah, wali, Syeikh, Iman dan dakwah.
Bukan Islam juga dilarang menggunakan 10 perbahasaan seperti subhanallah, insya-Allah, astaghfirullahlah, masya-Allah dan Allahuakbar sama ada berbentuk lisan ataupun penulisan.
Sehari sebelum itu, Khalid menafikan tuduhan 16 pertubuhan bukan kerajaan bahawa beliau memberikan ucapan mencabar, memperlekeh dan mempertikaikan kedudukan Sultan Selangor ketika menyampaikan ceramah pada 12 Jan lepas.
PM Najib Razak melompat marah apabila ditanya benarkah tuduhan bahawa Umno di belakang serangan rumah ibadat yang telah berlaku. Ada orang berpendapat reaksi yang beliau tunjukkan secara tidak sedar mengiakan tuduhan itu.
Menteri Hishamuddin pula pada ketika yang lain cuba memperlekehkan peristiwa ini. Beliau berkata serangan ke atas gereja-geraja Kristian itu kerja budak-budak nakal. Sebenarnya ini menunjukkan sikap mengelak yang tidak betanggungjawab.
Saya memandang serangan yang masih berlaku adalah serius kerana menimbulkan keretakan dan ketegangan di antara golongan kaum dan agama, walaupun belum mencetuskan konflik atau pertembungan. Sekiranya tidak ditangani dengan baik ia boleh mengakibarkan porak peranda dalam masyarakat dan negara pada jangka panjang.
Saya juga berpendapat serangan tersebut berlaku akibat dari kenyataan PM Najib dan Menteri Hishamuddin. Apabila mereka membuat membenarkan tunjuk perasaan terhadap isu Allah – walaupun di kawasan masjid saja – secara tidak sengaja mungkin, mereka telah memberi ruang kepada golongan yang mencari kesempatan.
Ada pandangan, benar atau tidak, Najib dan Hishamuddin mula-mula berharap hendak menggunakan isu Allah dan tunjuk perasaan bagi mendapatkan sokongan lebih luas daripada orang Melayu-Muslim. Ini sesuai dengan rancangan mereka untuk mendapatkan kembali undi-undi yang telah lari kepada parti-parti yang menentang Umno-Bn dalam PRU12. Ini mengakibatkan gabungan parti pemerintah itu kehilangan majoriti dua pertiga dalam Parlimen dan penguasaan ke atas lima buah negeri.
Usaha buruk menggunakan isu kaum agama dan kaum untuk mendapat ataupun mengembalikan sokongan pengundi bukannya hal yang baru. Cuba kita lihat beberapa peristiwa yang berlaku berikutan kemenangan besar KEADILAN, PAS dan DAP dalam PRU12.
Mula-mula telah berlaku penentangan dan juga demonstrasi di Pulau Pinang , menuduh KM Lim Guan Eng mengeluarkan kenyataan menentang Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan oleh itu bersikap anti Melayu. Walaupun segolongan kecil ekstremis Melayu dari Umno dan akhbar Utusan Malaysia mengapi-apikan keadaan, penentangan dan demonstrasi itu akhirnya gagal. Ia menjadi sejuk selepas agensi berita Bernama meminta maaf kerana menyiarkan berita palsu yang telah menjadi alasan mereka menunjuk perasaan.
Selepas itu berlaku pula percubaan yang hampir serupa di Perak walaupun isunya agak berlainan sedikit. Sekali lagi sekumpulan kecil extremis Melayu dari Umno dengan sokongan akhbar yang sama serta beberapa kerat pemimpin Umno mengapi-apikan keadaan. Mereka menuduh golongan Cina dari DAP menderhaka kepada raja dan MB Perak pilihan Pakatan Rakyat diperalatkan oleh orang Cina, atau lebih khusus DAP. Sekali lagi percubaan ekstremis kaum ini gagal mendapatkan sokongan rakyat ramai.
Di Selangor pula, kumpulan kecil extremis Melayu dari Umno juga telah menggunakan isu ladang khinzir untuk mengapikan kemarahan rakyat. Corak tindakan mereka serupa, iaitu dengan berdemonstrasi dan membuat tuduhan perkauman. Sekali lagi mereka disokong oleh Utusan Malaysia dan segelintir pemimpin oportunis Umno yang mengapi-apikan keadaan. Mereka berhenti hanya setelah terbongkar bahawa orang yang memimpin tunjuk perasaan itu ialah seorang tokoh Umno tempatan yang mempunyai kepentingan dalam usaha untuk mendirikan ladang khinzir sebelum itu.
Ada dua perkara yang dapat dilihat daripada tindakan extremis yang diterangkan di atas. Pertama, mereka mengapi-apikan sentimen perkauman untuk meraih sokongan kepada Umno. Lebih bahaya lagi ada sebilangan kecil di kalangan mereka yang mengharapkan pergaduhan kaum dapat dicetuskan supaya ISA boleh digunakan atau darurat diisytiharkan. Mereka mengharapkan ulangan Peristiwa 13 Mei untuk membuka ruang baru bagi mengembalikan kuasa Umno-Bn di negeri-negeri yang jatuh kepada Pakatan Rakyat itu.
Keduanya, walaupun tindakan segelintir ekstremis ini mendapat dokongan meluas dari media penyokong pemerintah Umno-Bn dan, secara terbatas daripada beberapa orang pemimpin Umno, namun rakyat ramai tidak menyambut seruan atau menyokong tindakan mereka. Saya percaya sebabnya ialah kerana kini rakyat secara umum dan rakyat Melayu secara khusus sudah lebih bijak dan sedar. Mereka tahu tindakan segelintir extremis Umno itu jikalau diberi sokongan boleh membawa malapetaka yang buruk kepada masyarakat dan negara yang mereka ingin terus aman damai.
Lampu hijau yang diberi oleh PM Najib dan Menteri Hishamuddin untuk berdemonstrasi itu boleh dilihat sebgai lanjutan dari segala tindakan tidak bertanggungjawab yang diterangkan di atas. Mereka memperlihatkan “double standard” (dwi-standad) . Kononnya tidak boleh mengawal orang yang hendak berdemonstrasi, walaupun sebelum ini mereka menggunakan polis sepenuh-penuhnya untuk menekan dan menyerang demonstrasi oleh kumpulan pembangkang, walaupun dilakukan di masjid.
Dengan memberikan lampu hijau itu mungkin mereka berharap ribuan rakyat akan berkumpul. Ternyata harapan mereka meleset. Di Masjid Negara cuma kira-500 orang berhimpun dan di Masjid Shah Alam kira-kira 400 orang saja. Di Masjid Kampung Baru dan di stadium Kota Bharu, cuma kira-kira 200 orang saja berkumpul. Seperti disebut tadi rakyat ramai, khususnya Melayu tidak mudah diapi-apikan dengan isu kaum dan agama. Ini tahun 2010 dan bukan 1969.
Memang ada segelintir extremis yang mengharapkan tercetusnya pergaduhan kaum dan agama supaya ISA dapat digunakan, bahkan juga supaya susana dapat ditimbulkan untuk Kerajaan mengisytiharkan darurat. Namun nasib juglah ramai juga pemimpin, termasuk kebanyakan menteri, tidak sebodoh itu.
Seorang yang berpidato berapi-api dan mendapat sorakan kuat di luar Masjid Shah Alam, jelas tidak disambut apabila menjerit “Bakar gereja!”. Anehnya beliau tidak pula disiasat polis apatah dihadapkan ke mahkamah, sebagaimana yang dilakukan ke atas pelajar yang kononnya bersenda melalui “facebook”.
Usaha dan konspirasi yang dilakukan oleh segelintir extremis untuk memulihkan sokongan pengundi kepada Umno sejak PRU12, termasuk dalam soal Allah dan serangan ke atas gereja, berkaitan dengan usaha dan kospirasi yang lain.
Beberapa orang pemimpin Umno/Kerajaan, sekali lagi dengan sokongan propaganda media, terutama Utusan Malasia TV3 telah menyerang parti-parti, terutama KEADILAN serta PAS dan pemimpin-pemimpin, terutama Nik Abdul Aziz dan Anwar Ibrahim. Mereka menuduh pemimpin-pemimpin kononnya hendak menjual hak dan nasib orang Melayu kepada orang Cina, terutama yang dalam DAP.
Ramai orang Melayu yang tidak mempercayai dakyah perkauman sempit dan jahat ini. Itulah sebabnya tuduhan ini, yang pada masa-masa lalu banyak disuarakan oleh TPM Muhyiddin, sudah mulai kendur sedikit. Akan tetapi, akhbar seperti Utusan Malaysia masih belum berhenti membuat fitnah demi fitnah.
Sehubungan ini ialah tindakan untuk mengheret Anwar Ibrahim ke mahkamah atas tuduhan dan fitnah liwat yang dilemparkan kepadanya. Ada segolongan kecil pemimpin dan penyokong Umno yang berpendapat bahawa Anwar perlu dilenyapkan dari pentas politik tanah air. Cara yang terbaik melakukannya, mengikut mereka, ialah dengan menyumbat beliau ke dalam penjara selama yang mungkin.
Golongan ini sudah mulai kedengaran mengemukakan hujah dan propaganda perkauman. Mereka memberitahu semua media perlu digunakan untuk meyakinkan orang Melayu bahawa mereka harus memilih di antara Anwar dengan orang Melayu. Mereka mendakwa Anwar hendak menjual Melayu dan oleh itu bertentangan dengan kepentingan orang Melayu. Sebenarnya, yang mereka maksudkan ialah kepentingan mereka sendiri iaitu pemimpin dan kroni yang rakus dan tamak.
Untuk menjayakan fitnah dan dakyah ini sudah tentu pimpinan Umno/Kerajaan akan cuba menguasai media dengan lebih ketat lagi. Tidak hairan jikalau akhbar bebas dan yang dimiliki parti luar kerajaan akan disekat nanti, terutama untuk menyiarkan kes-kes rasuah dan salahguna kuasa pemimpin dan penyokong kerajaan. Sudah tentulah pihak berkuasa akan cuba menyekat berita yang tepat disiarkan oleh media alternatif.
Sekarang inipun sudah banyak tanda yang menunjukkan media cetak dan elektronik mulai dikawal dengan lebih ketat dari yang sudah-udah. Media, selain wang dan kuasa politik akan digunakan seluas-luasnya untuk memastikan Umno-Bn terus berkuasa.
Oleh Dr S Husin Ali
Isu kepengunaan kalimah Allah seharusnya telah lama dihentikan.. ditamatkan... ditutup. Noktah.
Ia tidak seharusnya dibiarkan berterusan menjadi polemik yang panas dan kontroversi. Perdana Menteri sebagai ketua negara seharusnya bijak menangani kes ini dan sejak awal menghentikannya daripada terus berkembang merebak.
Kini, selepas sepuluh gereja diserang, sebuah masjid di Sarawak mula menjadi sasaran kerja vandalisme. Perkembangan ini dikhuatiri boleh memburukkan lagi suasana.
DS Najib Razak mesti tegas.. jangan sepertimana pada mula kes ini bermula membiarkan demonstrasi dilakukan malahan membuat kenyataan bahawa kerajaan tidak menghalangi perbuatan seumpama ini. Ketidaktegasannya inilah seakan menunjukkan bahawa ia sebagai angkara dan perangkap Umno semata-mata.
Akibatnya, ia terus melarat dan melarat dan melarat. Benarlah jika demikian dibiarkan, maka isu ini kini menjadi mainan kerajaan untuk menghangatkan suasana. Ia umpama menjadi perangkap besar untuk memusnahkan musuh-musuh politiknya.
Mengapa kerajaan berpendirian bahawa Kristian di Sabah dan Sarawak dibolehkan mengguna kalimah itu , manakala di Semenanjung tidak diizinkan. Atas asas apakah ini semua? Berbelit-belit sungguh kabinet Najib membuat keputusan.
Ke manakah pakar-pakar rujuk agama dalam kabinet, para mufti dan Majlis Fatwa Kebangsaan. Mengapakah tidak dikeluarkan kenyataan yang benar sama ada benar ia menjadi kesalahan atau dibolehkan dalam kemurniaan agama Islam itu sendiri. Mengapa senyap dan sunyi tanpa berita.
Isu ini kini membesar dan merebak sehingga ke peringkat antarabangsa. Ambil lah pendekatan berasaskan lunas-lunas agama. Majlis Fatwa keluarkan pendirian yang tidak dipengaruhi oleh mana-mana parti politik agar dapat dipatuhi semua. Namun sehingga ini diam, diam dan diam. Mengapa ?
Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar memberi amaran akan mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang cuba mencetuskan situasi huru-hara.
Sekumpulan peguam dari Sarawak menggesa dijalankan siasatan bebas terhadap kemungkinan wujudnya elemen politik yang memainkan peranan dalam insiden serangan ke atas gereja baru-baru ini.
Kumpulan itu diketuai Chong Chien Jen yang juga ahli parlimen DAP bagi Bandar Kuching, turut membidas kementerian keselamatan dalam negeri yang didakwa gagal menangani isu itu dengan berkesan.
"Kita mengecam sikap 'double standards' yang diamalkan Kementerian Dalam Negeri yang tidak menghalang demonstrasi membantah keputusan Mahkamah Tinggi (mengenai isu Allah)," katanya pada sidang akhbar.
Di samping itu, mereka juga menggesa supaya ditubuhkan majlis antara agama dan mengadakan dialog antara agama untuk memupuk sikap tolak ansur dalam soal agama dan menjamin keamanan.
Mereka juga menegaskan bahawa semua bangsa mempunyai hak untuk menyebarkan agama sepertimana yang diperuntukkan dalam perlembagaan persekutuan.
Pengerusi Anak-anak Muda Islam Selangor (Amis), SD Mohd Johari Yasin mengakui beliau terbabit dalam membawa kain rentang "Khalid Samad Peliwat Agama" semasa demonstrasi menentang penggunan kalimah Allah oleh bukan Islam di Shah Alam, Jumaat lepas."Ya, kami yang bawa kain rentang itu," katanya sambil menegaskan ia sebagai bantahan terhadap ahli parlimen Shah Alam itu yang didakwanya bersetuju kalimah Allah digunakan oleh bukan Islam.Namun Johari menafikan mengenali individu yang berucap yang memperkenalkan dirinya sebagai Suhaimi Shafie yang melaungkan "bakar gereja" semasa protes anjuran Amis di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah itu.Suhaimi (foto) yang memakai jubah putih turut memberi kenyataan dalam sidang media tersebut, tegasnya tetapi menambahkata beliau sendiri tidak tahu bagaimana Suhaimi tiba-tiba muncul pada sidang media itu."Kami ingin tegaskan, dia tidak mewakili kita. Kami tidak tahu dia (mewakili) kumpulan mana. Dia 
c
uma beritahu, dia adalah orang awam yang marah dengan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam. "Dia juga beritahu kami, dia tinggal di kawasan berdekatan dan merupakan ahli kariah masjid negeri," kata Johari.
"Kami nampak dia agresif sangat dan terlalu beria-ria. Kami dapati kenyataannya (dalam ucapan dan sidang akhbar) terlalu agresif dan tidak selari dengan pendirian Amis. Sebab itu kami cepat-cepat hentikan sidang media selepas itu," katanya.
Majlis Jaksa Pendamai Malaysia menggesa akhbar mingguan Herald menggugurkan tuntutan penggunaan kalimah “Allah” berikutan perkembangan yang semakin membimbangkan hingga mengakibatkan tujuh gereja dibakar.
Presidennya Datuk Clarence Bongkos Malakun berkata, sudah tiba masanya masyarakat Kristian khususnya Katholik membuat penilaian kepada keadaan sekarang demi keselamatan dan ketenteraman awam supaya dengan senang hati menggugurkan perkataan Allah untuk menenangkan saudara Islam.
“Daripada terus mendesak hak untuk menggunakan perkataan Allah adalah lebih baik jika Katolik hanya menggunakan perkataan “Tuhan” atau “Tuhan Yang Maha Kuasa. Biarlah saudara Islam kita sahaja yang menggunakan perkataan Allah untuk kebajikan supaya kita dapat hidup aman damai dan harmoni di Malaysia,” kata beliau.
Clarence berkata, Kristian di negara ini tidak sama seperti diamalkan di Indonesia, Mesir, Iraq atau Yemen kerana Malaysia mempunyai perlembagaan berbeza.
Tidak harus bagi kita mempertikai yang Allah biasa digunakan oleh masyarakat Kristian di negara luar kerana kita berada di Malaysia, jadi kita harus patuhi semua undang-undang dan peraturan. Adakah kalau kita atau pihak gereja tidak gunakan perkataan Allah maka secara tiba-tiba para pengikut agama Kristian akan bertambah atau berkurang 10 kali ganda."