Alhamdulilah, hari ini genap 5 Syawal dan aku masih berada di teratak bonda dan ayahanda di selatan tanahair. Sepatutnya aku kini sudah pulang ke rumah tetapi aku memilih untuk terus berada di sini, sekurang-kurangnya sehingga bertemu dengan kakakku yang beraya pertama di rumah mertuanya. Walaupun tahun ini aku juga sepatutnya beraya hari pertama di rumah mertua, aku memilih untuk berada di kampung halaman seminggu sebelum raya lagi. Kebetulan anak-anak mula bercuti persekolahan seminggu sebelum hari raya.
Raya tahun ini ada sedikit kelainan. Aku memilih untuk menghabiskan sisa-sisa ramadhan dengan berkongsi pengalaman secara 'live' dengan anak-anak tentang pengalaman kanak-kanakku menyambut Syawal. Raya di dalam duniaku adalah biskut raya. Aku memang suka duduk di dapur dan itu lah duniaku. Aku bukan jenis yang suka mengemas dan berhias. Maka, bukan kerja aku memasang langsir, mahupun mengecat rumah. Walaupun suka berada di dapur, aku bukanlah jenis yang pandai memasak. Cukup sekadar mengasapkan dapur.
Alhamdulilah, 3 jenis biskut raya berjaya kami cuba. Biskut suji, biskut cornflakes dan tart nenas. Kakak, Aisyah, Zaed dan Anum berganding bahu menyiapkan sajian hari raya, dan terus terang, aku gembira mencipta suasana ceria tersebut.
Teringat aku kata-kata, pintu kebahagiaan itu terlalu banyak. Jangan terlalu mengharap akan satu pintu yang menyebabkan kita terlupa pintu-pintu yang lain. Alhamdulilah, aku masih berpeluang mengetuk pintu-pintu kebahagiaan yang lain. Sesekali datang ingatan terhadap pintu yang satu itu, namun kerana kepedihan yang melanda sewaktu proses mengetuk dan menunggu pintu itu dibuka, aku memilih untuk menghindarinya.
Kini sudah 5 hari ramadhan berlalu meninggalkan aku. Bulan yang penuh barakah dan rahmat, semuga Allah mengampunkan dosa-dosaku melalui amalan2 ku yang tidak seberapa. Semuga Allah memilihku untuk bersama-sama manusia pilihanNya untuk memenuhi syurga yang dipenuhi keenakkan dan keseronokan itu.
Aku bersyukur.. akan terus bersyukur dengan ni'mat kurniaanNya. Ujian yang melanda, ternyata sebagai jalan mengenal diri ku sendiri. Aku sudah mula merasa tenang dengan diriku sendiri. Aku sudah mula mengenal konflik dalaman diri yang melanda beberapa tahun kebelakangan ini. Aku masih belajar untuk redha dengan ketentuan Ilahi. Ada ketika aku berjaya, dan banyak pula ketika aku gagal. Namun aku tidak lagi menyalahkan diriku. Kelemahan-kelemahan yang sudah aku kenal pasti, sedang cuba untuk aku terima bahawa itulah aku. Bukan untuk aku perbaiki, tetapi untuk aku redha. Kelebihan-kelebihan yang ada padaku itulah yang akan aku maksimakan demi kelangsungan ibadatku selagi nyawa dikandung badan.
Aku mahu jadi MUKMIN yang SEDAR. Mukmin yang bertanggungjawab di atas segala tingkah laku dan percakapannya. Mukmin yang ada INTEGRITI. Aku sedang belajar dan aku yakin, Allah akan bantu aku. Mukmin yang punya sifat-sifat hati yang positif. Sabar, Redha, Syukur, Tawaddhu', semua itu letaknya di hati. Hati hanya dapat dibersihkan dengan latihan. Ramadhan yang berlalu adalah bulan latihan. 11 bulan mendatang akan menguji kekuatan hati yang telah dilatih di madrasah ramadhan. Ada waktu hati itu akan lulus, ada waktu hati akan gagal. Kita sebagai manusia hanya mampu merancang dan melaksana, namun Allah yang maha Agung itulah sebaik-baik perancang dan pelaksana.
Wahai pencipta jiwa,
di saat aku lemah, Engkaulah yang menguatkan
di saat aku terlupa, Engkaulah yang mengingatkan
di saat aku jahil, Engkaulah yang mengurniakan ilmu
di saat aku resah, Engkau sahajalah yang dapat menenangkan
teguhkan kami di atas jalanMu
wahai Tuhan yang maha Agung lagi maha Sempurna..
No comments:
Post a Comment