Pengerusi SAMM, Badrul Hisham Shaharin berkata ekoran kesediaan Bersih 2.0 mengadakan perhimpunan di stadium, Putrajaya harus memberi jaminan tidak akan mengganggu program itu.
Tambah beliau, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) perlu mengadakan persetujuan secara rasmi kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan syarat Stadium Negara harus menjadi lokasi perhimpunan.
“Himpunan mesti bebas gangguan polis. Serentak dengan pengiktirafan ini semua tekanan dan hambatan kepada aktivis Bersih harus dihentikan dan semua yang ditahan harus dibebaskan dan semua pendakwaan berkaitan Bersih dua harus digugurkan.
“Aktivis bebas memakai baju atau apa saja warna kuning. pada hari tersebut di Kuala Lumpur tidak seharusnya dikepung seperti ‘zon perang’.
“Semua aktivis Bersih harus dibenarkan masuk secara aman ke kawasan tempat di mana perhimpunan setuju diadakan. Tak kisahlah naik bas, naik motosikal, basikal atau berjalan kaki,” katanya dalam satu kenyataan.
Justeru kata Badrul Hisham, keputusan terbaru Bersih itu ada hikmahnya terutamanya polis akan hentikan tangkapan ke atas aktivis Bersih 2.0.
“Kepada aktivis dan anak muda seluruh negara, SAMM yakin tentu akan ada yang berasa kecewa atau rendah semangat hasil pengumuman ini.
“Namun yakinlah keputusan ini sebenarnya banyak hikmahnya. Buruan akan dihentikan, jalan menuju Kuala Lumpur akan terbuka luas. Ayuh kita buktikan himpunan pasti akan lebih 100,000 orang ini aman dan isunya ialah desakan pilihanraya bebas dan adil,” katanya.
Sekretariat Bersih 2.0 hari ini bersetuju dengan cadangan kerajaan untuk mengadakan Himpunan Bersih 2.0 pada Sabtu ini di stadium.
Menurut Pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreevanesan, keputusan itu dibuat selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong Tunku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara.
Najib pula berkata pihaknya bersedia untuk mengadakan pertemuan dengan Bersih 2.0 bagi membincangkan lokasi yang sesuai — sebuah stadium — bagi perhimpunan Sabtu ini tetapi menegaskan tawaran itu adalah bersyarat.