Saturday, October 30, 2010

Undilah Mustaffa Kamil Ayub sebagai Timbalan Presiden


MISI
  • Memastikan kesinambungan KEADILAN agar ia bertambah kuat, imej yang meyakinkan serta menjadi wadah politik masa depan negara.
  • Menyemai dan menyemarakkan politik baru dalam KEADILAN dengan menekankan prinsip nilai, khidmat serta amanah.
  • Memasyarakatkan proses pendidikan, latihan dan tarbiah dalam KEADILAN disemua peringkat agar melahirkan anggota dan pimpinan yang berhemah, profesional dan berbudaya ilmu.
  • Memantapkan ruang suara baru demokrasi dalam KEADILAN dengan mengetengahkan suara anak muda, partisipasi aktif wanita, membela suara-suara terpinggir, menghormati suara majoriti dan demokrasi murni agama.

LATAR BELAKANG
  • Lahir pada 1963 di Perak. Berkelulusan B.Sc (Genetik) UKM, Dip. Pendidikan UIA, Dip. Kewangan IPI dan Master Sains Politik UKM.
  • Pernah bertugas sebagai pendidik, Ketua Jabatan Latihan Kepimpinan UIA dan SU Politik Menteri Belia dan Sukan Malaysia.
  • Pernah memimpin NGO antaranya Presiden Majlis Belia ASEAN, Pengerusi Forum belia Komanwel, Naib Presiden MBM, Presiden PKPIM, Presiden Pelajar Islam Asia Tenggara (PEPIAT) dan Presiden PMUKM. Pernah aktif memimpin ABIM, International Islamic Federation of Student Organizations (IIFSO) dan World Assembly of Muslim Youth (WAMY).
  • Kini diamanahkan sebagai Naib Presiden KEADILAN, Pengerusi Akedemi KEADILAN, Biro Latihan Pusat, Biro Antarabangsa dan Pengerusi KEADILAN Perak. Sebelumnya sebagai Champion Menjana Tenaga Kemenangan (MTK) PRU12, Setiausaha Agung, Pemangku Ketua Pemuda dan Timbalan Ketua Pemuda Pusat. Beliau juga adalah Presiden Institut Masyarakat Madani (IMAD).
  • Penulisan buku beliau antaranya, Gerakan Pelajar-Mahasiswa Pembina Tamadun, Menangani Cabaran, Leadership Dynamism, Youth Renaissance dan Masyarakat Madani. Disamping itu banyak mengendalikan kursus dan seminar di dalam dan di luar negara serta pernah menjadi moderator dan ahli panel beberapa siri program di TV Malaysia.

Friday, October 29, 2010

Pemilihan 2010 : Peratusan keluar undi merosot 50 peratus

Peratusan keluar mengundi hari pertama pemilihan pucuk kepimpinan pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR) — yang memperkenalkan sistem pemilihan langsung buat julung kali — dipercayai merosot hampir separuh berbanding ketika pemilihan peringkat bahagian bulan lalu.

Senario itu disaksikan di lima cabang awal di Kedah yang melangsungkan proses pengundian hari ini.

Proses pengundian yang bermula pukul 10 pagi tadi berakhir 4 petang. Proses pengiraan sedang berlangsung tetapi keputusan rasmi hanya akan diketahui bulan depan.

Difahamkan senario yang sama disaksikan di Kelantan hari ini.

“Kami sebenarnya telah mengharapkan kadar sekurang-kurangnya seperti yang disaksikan semasa pemilihan cabang iaitu 18 hingga 20 peratus, tetapi hanya sekitar 10 peratus yang keluar mengundi di lima cabang di Kedah hari ini,” kata Senator Zamri Yusof ketika dihubungi The Malaysian Insider petang ini.

Pengerusi Biro Latihan PKR Kedah ini berkata, kemungkinan ramai menganggap pemilihan pucuk kepimpinan “tidak dekat dengan mereka” berbanding pertandingan peringkat cabang tempoh hari.

Difahamkan ketika pemilihan cabang usaha dipertingkatkan oleh calon-calon yang bertanding untuk mendapatkan sokongan, tetapi kini pengundian hanya membabitkan jawatan pusat iaitu presiden, timbalan presiden, naib presiden, anggota Majlis Pimpinan Pusat, sayap Angkatan Muda Keadilan dan Wanita.

“Sepatutnya ada kesedaran tinggi untuk keluar membuang undi selepas mereka mengundi hari itu, sebab ini pemilihan pusat, yang patut dekat dengan mereka juga,” kata bekas pengerusi PKR Kedah ini.

Beliau yang memantau perjalanan pemilihan pusat di negeri Kedah berkata, secara peribadi beliau tidak berpuas hati dengan peratusan yang keluar mengundi hari ini.

“Saya memang tak gembira dengan paras hari ini, perlu dilakukan sesuatu selepas ini,” kata beliau.

Secara purata PKR merekodkan peratusan keluar mengundi sekitar 20 peratus selepas selesai mengadakan pemilihan cabang awal bulan ini.

“Selepas ini, kami perlu melipatgandakan usaha bagi menaikkan peratusan keluar mengundi,” kata beliau.

Esok, dua lagi cabang di Kedah akan mengadakan pengundian dan disusuli dengan lapan cabang dalam dua minggu lagi, kata beliau.

Cabang yang akan mengadakan pengundian esok ialah Kulim-Bandar Baharu dan Padang Serai.

“Mungkin esok kita tidak boleh buat apa-apa, tetapi bagi cabang-cabang lain yang akan mengadakan pengundian, usaha perlu dipergiatkan,” kata beliau yang secara berseloroh beranggapan bahawa ramai memberi tumpuan ke atas pilihan raya kecil serentak DUN Galas dan Batu Sapi.

Pemilihan menggunakan sistem langsung, yang julung kali diadakan PKR membolehkan lebih 400,000 ahlinya keluar mengundi memilih pucuk kepimpinan pusat.

Proses pengundian akan membabitkan 69 cabang hujung minggu ini, bermula pagi ini di sebalik negara khususnya PKR memberi tumpuan ke atas dua pilihan raya kecil serentak — Galas di Kelantan dan Batu Sapi di Sabah.

Pada hari pertama hari ini sahaja 10 cabang dijadual membuang undi iaitu masing-masing lima di Kelantan dan Kedah.

Cabang-cabang itu ialah Tumpat, Kota Baru, Pasir Mas, Rantau Panjang, Pengkalan Chepa, Langkawi, Kubang Pasu, Alor Setar, Kuala Kedah dan Pokok Sena.

Bagaimanapun pengundian cabang Pasir Mas ditangguhkan sehingga 6 November.

Kesemua cabang itu merupakan bahagian pertama mengadakan pemilihan peringkat cabang pertengahan bulan lalu tanpa sebarang masalah besar.

Pemilihan akan berlangsung setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad selama tiga minggu.

Esok, sebanyak 32 cabang akan mengadakan pengundian iaitu sembilan di Perak, Perlis (tiga), Kedah (dua), Pahang (tujuh), Negeri Sembilan (enam) dan Kelantan (lima).

Pada hari ketiga Ahad ini, 27 lagi cabang terlibat dalam proses pengundian dengan lapan di Perak, Pahang (tujuh), Pulau Pinang (enam), Melaka (empat) dan Negeri Sembilan (dua).

Pengundian seterusnya akan diadakan pada 6, 7, 12, 13, 14, 20 dan 21 November.

Tumpuan pemilihan pusat kali ini adalah pada jawatan timbalan presiden yang saingi Azmin Ali, Mustaffa Kamil Ayub dan Datuk Zaid Ibrahim.

Seramai 17 calon bertanding kerusi naib presiden iaitu calon PKR di Batu Sapi Ansari Abdullah sendiri, Baru Bian, Dominique Ng, Fuziah Salleh, N. Gobalakrishnan, James Ghani, Jonson Chong, Datuk Mansor Othman, Nurul Izzah Anwar, R. Sivarasa, S. Manikavasagam, Saiman Marjuki, R. Suresh Kumar, Tian Chua, Dr Xavier Jayakumar, Yahya Sahri dan Yusmadi Yusoff.

Seramai 33 bertanding kerusi MPP.

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail telah mempertahankan jawatan presiden tanpa cabaran.

Dalam pada itu, jawatan ketua Wanita menyaksikan persaingan tiga penjuru antara penyandang Zuraida Kamaruddin, Animah Ferrar dan Suraya Sudin manakala penyandang Shamsul Iskandar Mohd Akin dicabar oleh Badrul Hisham Shaharin atau dikenali sebagai “Chegubard” bagi kerusi ketua Angkatan Muda Keadilan.


Friday, October 22, 2010

Layakkah Azmin Ali diangkat sebagai Timbalan Presiden?

Aku secara rasmi menjadi ahli Keadilan tahun 2002 bila pindah ke Kuala Kangsar tapi Parlimen Padang Rengas. Kali pertama aku jumpa Azmin sekitar tahun 2003. Masa tu pejabat Keadilan Padang Rengas menumpang disebuah stor buruk, ihsan dari seorang penyokong kat Pekan Lubuk Merbau. Nak sewa ofis, tak ada duit. AJK pun semuanya mengharapkan duit getah yang masa tu lebih kurang dua ringgit sekilo.

Aku diminta buat satu ceramah dan jemput Azmin. Nak cari modal untuk buat ceramah…mau antara 200-300 ringgit. Buat kutipan..tak sampai seratus ringgit.

Malam tu, Azmin sampai dengan Rexton. Disambut macam hero. Ada yang cium tangan. Fuh!!! itu bukan stail aku. Feudalistic. Ketika ahli-ahli bawahan berjuang sampai pecah tabung, Azmin datang dengan Rexton baru.

Lepas tu aku tak pernah jumpa Azmin. Sehinggalah Mesyuarat Agung di Sungai Petani untuk meluluskan percantuman dengan PRM. Masa tu baru aku jumpa macam-macam orang dan dengar macam-macam cerita. Tapi yang tu aku cuma marah kat Mus..sebab ketika orang lain mengundi untuk bersetuju atau tidak, dia buat PC kat hotel mengutuk parti. Pasal kutuk parti melalui media ni bukan perkara baru..Mus dah buat tahun 2003 dulu.

Tahun 2004, PRU 11. Aku jadi SU J/kuasa Pilihanraya Padang Rengas. Azmin jadi Pengarah Pilihanraya Pusat. Apa yang Azmin buat?

Bendera tak ada, poster tak ada, duit tok sah cakap la. Aku berhutang beli kain biru yang buat baju sekolah budak perempuan tu…dan buat bendera. Yang tu pun tak pa lagi.

Tapi bila Roslan Kassim and the gang keluar parti, yang tu cukup leceh. Habis pilihanraya, habis kambing sekandang bayar hutang. Sepatutnya aku dah lama keluar parti kalau nak difikirkan tentang duit.

Bila Anwar bebas, datang semangat baru. Lawan tetap lawan. Aku jadi Pengarah Pilihanraya PKR Padang Rengas. Dan Azmin pun melancarkan SISMEP. Keluar suratkhabar tentang PKR sudah ada sitem baru untuk menang pilihanraya. Aku pun pi KL untuk menerima sebuah fail yang tiga kali lebih tebal dari Quran. Tapi bila balik…hampas. Ramai Ketua Cabang yang bila dapat fail SISMEP, masuk dalam kotak dan tak pernah buka.

Yang diberi hanyalah hard-copy, tapi masterfile dalam bentuk soft copy termasuk sistem Azmin yang control. Semua orang ingat, Azmin memang terror sebagai Pengarah Pilihanraya. Tapi bila Saifuddin ambil alih jawatan tersebut, Saifudin dapat bilik kosong. Semua maklumat tentang Jawatankuasa Pilihanraya pusat kepunyaan Azmin, bukan kepunyaan parti. Bila Fuziah ambil alih, dapat la sikit-sikit dari Saifudin, tapi maklumat dan sistem, terpaksa menyembah Azmin.

Semasa Anwar dalam penjara, Azmin jadi bos. Sapa yang tak boleh ikut cakap dia, habis kena cantas. Tanya saja kepada semua yang keluar parti…mesti ada kaitan dengan Azmin. Tapi pasai apa bila keluar, tak ada yang kutuk Azmin? Sebaliknya semua kutuk Anwar atau Azizah. Yang tu heran jugak.

Malah kalau tanya Kak Wan, dia kata dia tak suka Azmin. Tapi bila tanya apa pasai…sapa pun tak mau jawab. Sebab kalau jawab, bukan Azmin yang kena…tapi kesannya akan kena pada Anwar.

Aku tak mau ambik pot tentang peribadi Azmin…tapi cara politiknya yang aku tak suka. Sebiji macam Umno. Bila PR memerintah Selangor, Azmin nak jadi Menteri Besar. Tapi Kak Wan lebih suka pada Khalid. Dan bila Khalid jadi Menteri besar, Azmin mula tikam dari belakang. Dan orang yang menjalankan kerja buruk dia ialah Manickavasagam. Habis cerita dalam seluar kena bongkar. Mana Mike dapat maklumat itu?

Semasa retreat di Shah Alam, teruk Khalid kena belasah. Sehingga memaksa Khalid membuat kenyataan dia tak akan bertanding apa-apa jawatan dalam parti. Azmin takut, kalau Khalid popular, alamat dia teruk.

Satu lagi retreat dibuat di Port Dickson dengan belanja hampir 30 ribu. Sapa tanggung?

Retreat tersebut diatur untuk mengutuk Khalid. Teruk lagi Khalid kena belasah. Dan orang yang membelasah Khalid adalah mereka yang berdiri dibelakang Azmin menyatakan sokongan.

Sebelum kongres di Kota Bharu berjalan, sekali lagi Azmin mengatur strategi untuk membelasah Khalid. Bila tiba masa perbahasan, lepas sorang-sorang balun Khalid. Adakah ianya berlaku secara sepontan? tidak. Ianya dirancang disebuah hotel di Kota Bharu. Dan dalangnya ialah Azmin.

Selesai kongres di Kota Bharu, Anwar terpaksa mengalah kepada Azmin. Khalid terpaksa melantik orang-orang Azmin kedalam kerajaan Pakatan Rakyat Selangor. Khalid mengumumkan kerajaan Selangor akan membelanjakan 15 juta ringgit untuk melawan dakyah BN. Dan peruntukan tersebut disalurkan melalui PIKOM. Diuruskan oleh Pengurus Kempen Azmin, Zack Pahang. Apa yang telah dibuat dengan peruntukan 15 juta? Apakah yang telah dibuat oleh PIKOM? TV Selangor macam tu juga. Blog Penarik Beca lagi popular dari TV Selangor atau Selangorkini.

Team Azmin boleh bergerak kesana sini, boleh buat majlis berbuka puasa di hotel, boleh buat majlis rumah terbuka disetiap Cabang, sebab ada peruntukan. Dan semua Team Azmin dapat habuan dari 15 juta peruntukan Kerajaan Selangor.

Sebiji macam Umno.

Paling aku berbulu ialah masa PRK Hulu Selangor. Sepatutnya tempat tu dah boleh menang, tapi oleh kerana ada pemimpin yang mensabotaj, lingkup. Buat kerja susah payah, ada pulak orang yang lebih pentingkan kuasa dia dari kemenangan parti. Malas aku nak ulang lagi.

Dan yang paling aku meluat, bila Kamarul buat sidang media mengatakan 20 Ahli Parlimen menyokong Azmin. Kemudian Yaakop Sapari pulak buat sidang media, 13 ADUN menyokong Azmin. Sebiji macam apa yang Anwar buat masa dalam Umno.

Aku tolak umno bukan pasai nama dia Umno. Tapi pasai budayanya. Kalau budaya itu juga dibuat dalam PKR..mampuih pi la.

Dengan duit yang banyak, Azmin mampu mencaturkan pemilihan dan pencalonan. Sapa yang lawan Azmin, alamat out. Dan bila orang kata Azmin akan menang dalam Pemilihan ini, aku juga percaya. Sebab ramai orang dalam PKR ni dah pokai. Dapat dua tiga ringgit pun, jadi la.

Sekarang, masing-masing cakap tentang Team Player. If you’re not in Azmin’s team, you’re not a team player.

Dipetik dari MSK’s Dream Team: Timbalan Presiden (2)

Thursday, October 21, 2010

Mustaffa Mahu Perkasakan Suara Akar Umbi Dalam KEADILAN


Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Mustaffa Kamil Ayub yang bertanding jawatan Timbalan Presiden pada Pemilihan Majlis Pimpinan Pusat 2010 bertekad untuk mengembali serta memperkasakan suara ahli dalam parti.

"Rakyat dan golongan reformislah yang mencetuskan penubuhan serta mengangkat parti kita sekuat ini. Atas keyakinan bahawa suara ini terpenting untuk menggerakkan parti dan seluruh rakyat ke Putrajaya, saya berasa wajib untuk saya memastikan suara-suara ini digemakan semula," kata Mustaffa dalam manifesto kempen beloiau yang disiarkan dalam laman blognya mustaffakamil.blogspot.com hari ini.

Mustaffa berkata sekiranya diamanahkan untuk mengisi kerusi nombir dua KEADILAN, beliau akan melaksanakan 'polisi rakyat' dalam parti dengan mengangkat semula suara akar umbi parti dan golongan Reformis sebagai suara utama parti serta memastikan janji Pakatan Rakyat untuk memberi hak autonomi kepada Sabah dan Sarawak dilaksanakan.

Beliau juga berjanji serta memastikan kelangsungan politik nilai dalam parti seperti sikap sederhana, toleransi, mesra, setiakawan, berhemah dan berintegriti agar pemimpin dididik menjadi 'khadam' rakyat disamping mendidik semua lapisan dalam parti menolak politik elitis dan politik wang.

Azmin hantar Sam untuk lawan Chegu Bard?


Sapa yang tak tau Anwar tak suka Chegu Bard? Serupa macam Anwar tak suka Zaid. Sebabnya, tak ada orang yang berani lawan cakap Anwar macam Chegu Bard dan Zaid. Anwar hanya mahu orang-orang yang menurut cakap dia. Kalau nak ikut cakap Anwar, yang tu tak ada masalah. Tapi kalau Anwar ikut cakap Azmin, yang tu susah la.

Anwar tau, Shamsul Iskandar akan kalah kalau bertanding dengan Chegu Bard. Jadi dia suruh Rafizi masuk. Dan Rafizi diback-up oleh Azmin. Dimana ada Azmin…disitu ada Rafizi. Rafizi diminta oleh Anwar berjumpa Chegu Bard untuk berbincang. Tetapi syarat perbincangan utama ialah..Rafizi Ketua, Chegu Bard Timbalan.

Bila Chegu Bard kata “boleh blah”..Rafizi balik mengadu kat Anwar. Tapi Anwar kata…”kalau tak boleh deal..lawan la!” Itu sebab Rafizi masuk untuk bertanding. Dan dia kaut semua mereka yang pernah bekerja dengan pejabat Anwar. Sim, Amir, malah Nik Nazmi pun tumpang tui.


Bukan itu saja, Rafizi dijanjikan akan mendapat sokongan dari Shamsul Iskandar. Sam diminta untuk melepaskan jawatan Ketua AMK dan bertanding Naib Presiden. Tapi apa yang berlaku tak mengikut perancangan. Orang-orang Sam tak ikut Rafizi, tapi lari kat Chegu Bard. Mana yang kutuk Chegu Bard pun..dah mula puji chegu Bard.

Bila pencalonan bermula…Rafizi ketinggalan. Dan diminggu terakhir pencalonan, Anwar tau Rafizi tak boleh cari makan dan dengan cepat strategi dipinda. Sam perlu balik untuk bertanding Ketua AMK.

Isyarat pertama untuk menyuruh Sam bertanding Ketua AMK datang dari Cabang Gombak. Azmin mencalonkan Shamsul Iskandar sebagai Ketua AMK..dan bermulalah era malap Rafizi. Sejak itu, Team Generasi Reformasi semakin malap.

Sam juga sedar, kalau dia lawan Chegu Bard, peluang dia tipis. Tapi kalau dia lawan Anwar dan Azmin…lagi teruk. Dan oleh kerana Sam juga seorang Anwaristas yang wala kepada Anwar, maka dia menurut kehendak Azmin. Aku sebut Azmin sebab dalam PKR, Anwar yang dengar cakap Azmin…bukan Azmin yang dengar cakap Anwar.

Semalam hari pencalonan. Aku ingatkan Rafizi sorang yang sakit perut dan tak dapat hadir menghantar borang pencalonan…rupanya hampir keseluruhan Team Generasi Reformasi sakit perut!! Macam mana nak jadi reformis? tu belum kena simbah air asid, belum kena cota FRU. Baru kena gertak dengan Anwar sikit…dah cari pil Chi Kit Teck Aun.


Petikan dari sebuah artikel yang ditulis oleh Mat Saman Kati di blog ureka.asia


*********************************************************

EDYES wrote:


Sokongan terhadap Sam telah menjunam ketika Sam mengumumkan untuk bertanding naib presiden. Pada waktu itu, banyak penyokong Sam mula mencari networking dengan chegubard malah sudah ada yang berjanji akan setia dengan chegubard kerana yakin beliau akan menerajui AMK penggal 2010-2013. Mereka telah menemui chegubard dan berjanji akan memberikan sokongan yang solid.


Apabila Sam U-TURN, mereka yang sudah terlajak menyokong Chegubard ini tiada pilihan selain daripada terus menyokong chegubard kerana tindakkan U-TURN dalam perjuangan itu tiada dalam kamus hidup mereka. Apatah lagi yang hendak digambarkan jika yang U-TURN itu adalah seorang Ketua. Penyokong Sam yang telah menyokong Chegubard sekali lagi menemui Chegubard untuk menyatakan setia dan tidak kurang juga yang memanggil chegubard untuk sama-sama berkempen sedangkan sebelum ini hanya membantu Sam.


AMK memerlukan seorang ketua yang boleh bergerak sendiri dan boleh mobilisasi sejumlah anak muda untuk sama-sama berjuang. Sebagai Ikon REVOLUSI, kemenangan Chegubard akan membuka lembaran baru kepada AMK dan pastinya akan lebih ramai anak muda menyertai PKR. Penyertaan mereka yang non-partisan juga akan bertambah kerana semangat dan aura 'rebelion' yang dibawa oleh Chegubard mudah dicenderungi dan akan menjadi ikutan semua anak muda yang tinggi semangat melawan.


Shamsul Iskandar pula telah diberi ruang yang cukup banyak untuk membawa AMK ke aras yang sepatutnya - sebuah sayap pemuda yang digeruni lawan. Sam bukan hanya memegang AMK selama satu penggal tetapi sebenarnya lebih dari sepenggal kerana sebelum itu Sam telah memangku jawatan ketua AMK yang telah dilepaskan oleh arwah Ezam.


Sam mula memegang jawatan pemangku ketua sejak dari tahun 2006 hingga pemilihan tahun 2007. Pada pemilihan 2007, Sam tidak ditentang oleh Chegubard Walaupun Chegubard mendapat banyak pencalonan kerana ketika itu beliau sedang menumpukan pengajian di Korea. Apakah yang dilakukan oleh Shamsul Iskandar setelah diberi peluang selama lebih dari satu penggal atau lebih dari 4 tahun sebagai ketua AMK selain daripada memancung ketua-ketua AMK negeri sedia ada ketika itu?


Selepas diberi laluan oleh Chegubard pada pemilihan 2007 dengan harapan Sam memperkuatkan AMK sedia ada, Sam telah mengkhianati peluang yang diberi dengan melemahkan jaringan AMK sedia ada apabila mengenepikan ketua AMK negeri yang telah establish dengan segenap kekuatan. Akhirnya Sam gagal dalam misi memperkasakan AMK di kebanyakan negeri.


Sam tidak berjaya membina kekuatan utuh walaupun 4 tahun lamanya masa telah dihabiskan. Daripada 222 parlimen, AMK cuma ada 163 cabang sahaja. Daripada 163 cabang, hanya 50 cabang sahaja yang lengkap sepenuhnya iaitu yang lengkap carta organisasi daripada ketua hingga semua jawatankuasa termasuklah 25 exco.


Selama 4 tahun menerajui AMK, Sam tidak menitik-beratkan data entry senarai nama keahlian apabila ia juga tidak dikemaskini dengan baik. Ini mencerminkan pengurusan yang tidak teratur dan corong-corong pengkadiran juga mengecil kerana terdapat kelewatan dalam menguruskan senarai keahlian. AMK yang dipimpin oleh Sam banyak mencetus kontrovesi apabila ada tangan-tangan ghaib yang menyebabkan pertukaran suka sama suka mahupun sebaliknya, senarai ahli bertukar cabang mengikut kepentingan individu tertentu.


Terdapat juga satu kes di mana seorang pimpinan AMK negeri yang telah dilucutkan jawatan timbalan AMK negeri dengan hanya menggunakan teks sistem pesanan ringkas (SMS). Kecelaruan serba cacamerba ini berlaku sewaktu Sam menjadi Ketua AMK. Mengapa perlu mengekalkan Shamsul Iskandar sedangkan lebih satu penggal setengah telah diperuntukkan kepada dia dan hasilnya tidak memberangsangkan malah AMK dianggap lembab bak kura-kura. AMK di era Sam juga dilihat sebagai tukang lapor kepada pihak polis dan hanya tahu menyatakan kecaman demi kecaman terhadap kerajaan tanpa tindakkan berstrategi yang boleh memberi gentar terhadap kerajaan pemerintah.


Saya tidak mahu menyentuh berkenaan mengapa Sam bertindak U-Turn walaupun inilah lauk paling sedap untuk digoreng oleh mana-mana penulis. Bagi saya, biarlah Sam U-Turn kerana kita semua telah kenal betapa Shamsul Iskandar ini tidak mempunyai keberanian sebagai seorang pemimpin, tetapi hanya menurut perintah. Oleh itu, membuat pusingan U itu tidaklah diherankan, apatah lagi kiranya ia adalah arahan dari Azmin - Individu yang tidak mahu melihat AMK diterajui oleh skuad rebelion. Peristiwa Shamsul Iskandar mengelak debat di antara semua calon yang bertanding adalah susuatu yang memalukan. Ia pasti bertujuan untuk menutup segala kelemahan dan kudis-kudis yang takut dibongkar secara live serta ditonton oleh semua pemerhati, media dan pengundi.


Perkara mengapa Sam U-Turn telah dijelaskan dalam petikan Mat Saman Kati di atas tetapi perkara yang tidak dijelaskan ialah peristiwa di mana seorang ketua AMK yang melarikan diri dengan bersembunyi di dalam ibupejabat PAS di Jalan Raja Laut, ketika anak-anak buahnya yang lain termasuklah Chegubard sedang bertempur dengan FRU. Ketika itu demonstrasi anti-ISA sedang rancak berlangsung dan ketika FRU mengganas, Ketua AMK ini dapat dilihat mengambil nafas di dalam bangunan ibupejabat PAS.


Cuba saudara semua fikir, apakah yang mampu dilakukan oleh Shamsul Iskandar sekiranya Anwar Ibrahim disumbatkan semula ke dalam penjara kelak? Bolehkah Shamsul Iskandar menggerakkan pemuda untuk menggertak kerajaan? Hanya Chegubard sahaja yang mampu membawa kebangkitan anak muda di atas faktor ikon yang ada dalam semangat juangnya.


Ada lagi perkara yang boleh saya sentuh tetapi saya juga cuba mengambil sikap mengelakkan politik selak kain. Apa yang ditulis di atas adalah faktor-faktor kelemahan Shamsul Iskandar dalam mentadbir sebuah organisasi penting dan sedikit mengenai faktor keberanian seorang pemimpin.


Saya mohon semua ahli agar tidak mensia-siakan penggal terpenting dalam sejarah reformasi iaitu tahun 2010-2013 sebagai tahun yang paling mencabar apabila DSAI berkemungkinan besar dihumban ke penjara. Pilihlah 'Penerus Momentum Reformasi', supaya perjuangan ini akan menjadi lebih hidup dan lebih mekar di selekoh terakhir sebelum mencecah Putrajaya. Janganlah tersilap pilih kerana andai calon kura-kura yang terpilih, mungkin kita hanya sampai ke sekitar tasik Putrajaya sahaja - resam si kura-kura apabila berjumpa tasik.


Kemenangan Chegubard akan membawa perubahan total dalam organisasi AMK yang popularitinya menjunam ketika ini, lantas memberi harapan baru untuk AMK dan seterusnya melangkah gagah menembusi Putrajaya.


Penerus Momentum Reformasi - Ke Arah Perlaksanaan Deklarasi Permatang Pauh 1998 !



EDYES @ edyesdotcom - COURT oF PUBLIC OPINION


Monday, October 18, 2010

Azmin tidak mesra Chegu Bard?

Kalau nak kata kempen Chegu Bard pun, ikut sukalah

Oleh : Penarik Beca


Saya tak kenal siapa Badrul Hisham Shaharin atau Chegu Bard. Saya tak berani nak kempen untuk dia. Namun, yang saya tertarik ialah apabila beliau menekankan:
Saya tidak ditaja atau dibayangi oleh sesiapa kerana saya berpegang kepada kebebasan dan ketelusan yang dilakukan oleh parti. Saya adalah calon yang bebas dari tajaan mana-mana pihak (lihat FMT 15/10/10 "Saya calon bebas dari tajaan sesiapa – Chegu Bard").
Saya juga membaca laporan beberapa media yang menggambarkan bahawa Chegu Bard bukanlah pak yet Datuk Seri Anwar Ibrahim, jauh lagi menjadi pak yet Azmin Ali. Mendengar pelbagai cerita tentang stail kepimpinan Anwar sejak saya menjadi ahli Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) lagi, saya yakin Angkatan Muda Keadilan (AMK) sepatutnya dipimpin oleh orang yang tidak menjadi pak yet Anwar, jauh lagi menjadi pak yet Azmin atau tak henti-henti menerima wang belanja dari Azmin.

Bagi saya, apabila seseorang yang tidak jadi pak yet Anwar menjadi Ketua AMK, ia adalah perkembangan yang sangat kondusif kepada demokrasi dan boleh menjadi salah satu pemboleh ubah ke arah perubahan yang lebih positif kepada iklim politik negara ini.

Saya tak nak sebut salah siapa apabila Chegu Bard membangkitkan:
...walaupun sekarang sebanyak 204 cabang PKR di seluruh negara tetapi hanya 163 sahaja cabang berdaftar yang mempunyai AMK.

Manakala tidak sampai 50 cabang yang berjaya membuat pencalonan lengkap ketika pemilihan pencalonan yang berakhir 3 Oktober lalu.

"Kelemahan ini perlu di atasi segera kerana dalam pilihan raya umum akan datang hampir 70 peratus pengundi merupakan pengundi muda dibawah umur 40 tahun".
Tetapi, saya berharap Chegu Bard akan membuktikan kesungguhannya untuk memperbaiki perkara itu.

Dalam perkembangan berkaitan, sorotan bertajuk "Pencalonan-percaturan politik", Umno Reform 17/10/10 melaporkan:
Memang demokrasi, boleh menyatakan sokongan dan boleh berarak tetapi semua itu menunjukkan bahawa sungguhpun mendapat pencalonan tinggi, Azmin tidak akan membiarkan seinci ruangan untuk pencabarnya terus mencabarnya. Terus Azmin Ali melobi untuk jawatan. Sekarang dikatakan Shamsul Iskandar adalah wakil dia dalam pemuda. Mesej yang nampak ialah Badrul Hisham sepatutnya dikalahkan.

Ditanya lagi kepada salah seorang penyokong reformasi, ada satu jawapan yang paling nampak menarik. Katanya, biarkan PKR rasa apa yang mereka kutuk dulu, tidak lama lagi akan ada diktator, sama seperti tuduhan mereka terhadap Tun Mahahtir tapi nanti kita ada Azmin Ali.

Sempat juga saya berjumpa salah seorang penyokong Badrul Hisham Shahrin. Saya bertanya, CheguBard kan boleh buat “banner” dan ada ramai penyokong untuk berarak menunjukkan kekuatan kepada Azmin Ali, kenapa tidak buat? Jawapan yang diberi adalah seperti berikut, Bard kata ini adalah pencalonan dalam parti, tak perlu tunjuk force, kalau berjuang menentang Umno dan BN barulah kita all out. Chegu Bard, menurutnya lagi tidak mahu terpengaruh dengan cara politiking dalam PKR yang ada. Itu cara Umno.

Melihat senario ini saya amat percaya, percaturan Azmin Ali adalah untuk menolak Badrul Hisham yang tidak sehaluan dengan cara politik Azmin Ali. Azmin dikatakan mencaturkan kekalahan mereka yang tidak menyokong beliau tetapi arus menolak Azmin Ali semakin tinggi. Namun kekuatan asas termasuk kewangan dan kedudukan Azmin nampaknya akan menjadikan dirinya peneraju PKR dan seperti kata seorang pejuang reformasi – akan lahir satu lagi Dr Mahathir dalam PKR – Azmin Ali.

‘Kami bina acuan PKR, label lama sudah cair’- Mustaffa Kamil


PETALING JAYA, 18 Okt — Calon timbalan presiden PKR Mustaffa Kamil Ayub menegaskan, setiap ahli dalam parti komponen.

Pakatan Rakyat itu seharusnya dilihat sebagai “acuan PKR” walaupun mereka datang dari pelbagai latar belakang dan ideologi politik sepanjang satu dekad lalu.

Naib Presiden PKR ini menekankan, era melabelkan seseorang ahli dan pemimpin itu mengikut latar belakang mereka

termasuk dirinya sebagai dari Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) untuk mengetepikan daripada arus pemilihan seharusnya sudah lama berakhir.

“Saya lihat hal itu hampir sudah tidak ada lagi. Sebab sebahagian besar teman-teman saya yang dilabel sebagai Abim itu telah pun mengundurkan diri selepas pemilihan 2001,” kata beliau dalam satu pertemuan baru-baru ini.


Pemilihan 2001, kali pertama diadakan oleh PKR sebagai persaingan sengit selepas ia ditubuhkan pada April 1999.

Pemilihan 2010 merupakan yang keempat diadakan oleh PKR, lebih-lebih lagi menggunakan sistem pemilihan langsung satu ahli satu undi.

Sabtu lalu, Mustaffa Kamil bersama seorang lagi Naib Presiden Azmin Ali dan Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan Datuk Zaid Ibrahim mengesahkan penerimaan pencalonan untuk bertanding jawatan timbalan presiden.

Mustaffa Kamil mengumumkan tawarannya bertanding jawatan timbalan presiden pada 1 Oktober lalu dengan mengeluarkan manifesto kempen yang bertemakan “Suara Baru Demokrasi, Kesinambungan Perjuangan” dan juga berlandaskan “politik nilai”.

“Saya mengakui saya pernah dilatih oleh Abim, di samping itu saya kena sebutkan latar belakang saya (dari) Umno, dalam dunia

akademik, dalam dunia kebeliaan nasional dan antarabangsa,” kata beliau yang turut mengakui bahawa tempohnya bersama Abim

turut menyumbang kepada pembinaan rangka pemikirannya.

Selepas pemilihan 2001 di Kemaman, kata beliau, ramai rakan-rakannya telah keluar PKR tetapi “bagi saya, saya kekal bersama PKR.”

“Dalam tempoh itu (sejak 2001), kita membina PKR sebagai kita ini orang Keadilan, walaupun kita dilatih (dalam) Umno, ada yang dalam PRM sebelumnya, pernah dalam MIC sebelumnya, pernah dalam Suaram... saya melihat (label itu) patut tidak wujud, ia sudah cair.

“Maknanya, saya atau (Ahli Parlimen Padang Serai) N Gobalakrishnan dari MIC, atau (Ahli Parlimen Batu) Tian Chua bekas pemimpin NGO, atau Sivarasa dari PRM, kami semua sudah dilihat sebagai orang Keadilan,” kata beliau yang lahir di Perak pada 1963.

Dalam pertemuan ini yang diadakan sebelum sesi pengesahan penerimaan pencalonan Sabtu lalu, kata Mustaffa, nama PKR atau dahulunya Keadilan adalah “nama baru” yang sudah mula terbina terutama di kalangan kepimpinan.

Oleh itu tegas Pengerusi PKR Perak ini, daripada melabelkan seseorang itu sebagai orang Abim, PRM atau Suaram ataupun ikut latar belakang, perkara yang perlu diambil kira khususnya sekarang adalah sumbangan calon-calon yang bertanding.

“... meritnya ialah sumbangan yang diberikan, bukannya orang Melayu, Cina dan India, itu paradigmanya... bukan latar belakang kaum atau dari mana mereka datang tetapi akhirnya kita sudah mengadunkan kesemua pengalaman lama dalam acuan PKR, semangat dan budaya PKR.

“Itu juga kita amalkan di peringkat akar umbi,” kata Mustaffa Kamil yang mengharapkan bahawa kesemua kepimpinan PKR menjayakan hal ini.

“Acuan PKR ini. Dan, ini akan memberikan satu kekuatan dalam mengharungi politik Malaysia sebab acuan PKR ini akan merangka satu politik bukan berlandaskan perkauman, bukan bias dan bukan latar belakang,” kata beliau yang menyertai PKR pada April 1999.

Sepanjang 11 tahun lalu, Mustaffa Kamil pernah berkhidmat sebagai setiausaha agung, pemangku ketua Pemuda dan timbalan ketua Pemuda pusat PKR.

Mengenai sebab bertanding kerusi nombor dua, Mustaffa Kamil memberikan alasan pertama dengan berkata, “ini hak demokrasi bagi mana-mana ahli untuk bertanding.”

“Kedua, dalam konteks saya, kita telah berada dalam parti sejak 1999, dan 1998, dalam gelombang, meletakkan jawatan selaku setiausaha politik (kepada Menteri Belia dan Sukan ketika itu) untuk menyertai gelombang reformasi, kemudian PKR untuk berjuang.

“Bermakna saya berada dalam parti sejak 4 April 1999. Jadi, dengan latar belakang dan rekod pencapaian, maka ada kewajaran untuk mempertimbangkan diri saya bertanding jawatan timbalan presiden,” kata Mustaffa Kamil.

Selain itu katanya, beliau mendapat desakan dan gesaan yang agak luas, terutama daripada PKR Perak yang memintanya bertanding jawatan timbalan presiden.

“Saya mahu memberi pilihan kepada ahli,” kata beliau merujuk kepada saingan tiga penjuru bagi jawatan timbalan presiden ini.

“Benar sudah ada Azmin dan begitu dengan Datuk Zaid. Saya faham sumbangan mereka, dan saya kemudian sebagai calon yang ketiga mengesahkan untuk menawarkan diri bagi jawatan timbalan presiden.

“Dan, saya datang dengan maksud dan akhirnya dalam konteks PKR... sebab kita fikir, kita boleh menyumbang, Ada soal kesinambungan perjuangan yang telah 11 tahun kita asaskan bersama, dan pada masa yang sama, saya kata saya boleh menyumbang kepada proses merapatkan saf barisan kepimpinan yang ada dalam kepimpinan, dengan pendekatan yang sederhana.

“Pendekatan yang utama kepaduan dalam parti, pendekatan yang menekankan kasih sayang antara kerabat besar keseluruhan PKR. Saya kata, insya-Allah kita boleh menyumbang kepada proses memperkuatkan parti,” kata naib presiden dua penggal ini yang pernah diamanahkan menguruskan kemelut parti beberapa negeri termasuk Kelantan dan Terengganu.

“Dengan berdasarkan pengalaman dan tugasan ini, saya merasakan sudah sampai masanya bertanding di jawatan di mana kita boleh mengembangkan peranan kita, berganding serasi dengan presiden,” katanya.

Mustaffa Kamil juga yakin boleh bekerja secara seiring dan harmoni dengan Presiden Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang mendapat percalonan besar dan mengekalkan jawatannya tanpa cabaran.

“Saya yakin saya boleh bekerjasama dengan beliau, untuk sama-sama menjayakan perjuangan, impian, harapan parti menjelang pilihan raya umum ke-13,” kata Mustaffa Kamil lagi.


Sumber : The Malaysian Insider

Anwar terlalu yakin dengan rakan sekelilingnya...

Oleh : Raja Petra Kamarudin

Pada Jun 2008, apabila isu Liwat 2 ini meletus, saya telah pergi ke Quality Hotel di Shah Alam untuk bertemu Anwar Ibrahim dan peguam-peguamnya. Lobi hotel penuh dengan wartawan-wartawan yang dianggarkan lebih kurang 50 atau lebih, pemberita ini boleh mengesahkan pertemuan ini.


Wartawan-wartawan mula meluru ke arah saya apabila mereka melihat saya dan isteri masuk ke dalam hotel. Dengan silauan flash kamera-kamera, perakam video dan mikrofon telah ditolak dihadapan muka saya. Mereka semua mahu tahu apa tujuan saya berada di situ dan adakah ia ada kaitan dengan isu liwat ini.

Saya hanya tersenyum dan tidak menjawab banyak soalan. Saya kemudiannya naik ke tingkat atas bertemu Anwar dan peguam-peguamnya. Peguam-peguam mereka memberi saya sebuah fail tebal dengan pelbagai dokumen dan testimoni-testimoni.

Lebih kurang satu jam kemudian saya turun ke bawah dan kumpulan pemberita yang ramai itu masih di sana. Bila mereka melihat saya dan isteri keluar daripada lif, wartawan-wartawan sekali lagi tergesa-gesa ke arah saya dan mengerumuni saya. Mereka semua mahu tahu apa yang sedang berlaku di tingkat atas.

Beberapa wartawan telah perasan fail tebal berikat dengan pita merah yang saya bawa dan mereka bertanyakan apa yang ada di tangan saya. Saya pura-pura tidak faham dan mereka kata ketika saya tiba saya tidak membawa sebarang fail jadi fail ini pastinya telah diberikan kepada saya. Mereka mahu tahu apa kandungan di dalam fail itu.

Saya hanya tersenyum dan kata 'no komen'. Saya kemudian berjalan keluar, dan telah menghampakan ramai wartawan yang telah berkhemah di lobi hotel itu sejak malam semalam dan sedang kelaparan berita.

Malam itu saya kembali semula ke hotel dengan kamera video saya. Masih terdapat beberapa wartawan yang terhendap-hendap di sekitar tempat tetapi saya berjaya mengelakkan mereka dan naik ke tingkat atas di mana saya bertemu Rahimi. Saya membuat rakaman video kenyataan Rahimi dan dia telah mendedahkan apa yang telah terjadi -- dia dan Saiful bertemu Najib Tun Razak, apa yang berlaku semasa pertemuan itu, dan sebagainya.

Saya sebenarnya pernah menulis tentang perkara ini dengan perincian yang hebat.

Selepas sesi rakaman saya membuat satu salinan video dan memberikannya kepada para peguam Anwar. Saya menyimpan pita asli di rumah. Saya kemudiannya meminta kebenaran Anwar untuk menerbitkan video itu di dalam Malaysia Today tetapi Anwar tidak membenarkannya. Ia kelihatan seperti peguam-peguamnya telah menasihatkan dia tidak membenarkannya. Mereka merasakan pendedahan ini patut disimpan sebagai bukti untuk perbicaraan.

Saya memberitahu Anwar saya tidak bersetuju dengan strategi ini. Saya merasakan video ini patut dihebahkan segera. Perbicaraan tidak penting, saya memberitahu Anwar, kerana mereka akan memastikannya bersalah walau apa pun bukti yang Anwar ada.

Saya dapat rasakan mereka akan sentiasa mencari pelbagai cara untuk membawanya ke penjara, dengan bukti yang dia ada sepatutnya digunakan untuk membersihkan namanya. Lantaran itu adalah lebih baik untuk menghalang setiap langkah yang mungkin mereka ambil dengan menghebahkan video itu ketika Rahimi masih lagi 'friendly party'. Wang boleh mengubah ramai orang dan jika orang-orang Najib berpeluang menghampiri Rahimi , dengan harga yang betul, dia boleh mengatakan bahawa video itu adalah tipu atau dia dipaksa untuk memberi keterangan palsu di dalam video, atau apa sahaja.

Rahimi bercakap dengan bebas dan terbuka. Saya atau isteri tidak menyeksanya atau memaksanya supaya membuat kenyataan seperti di dalam rakaman vidoe itu. Ia telah dibuat dengan relahati dan sukarela. Lagipun , saya seorang sahaja yang berada di dalam bilik itu dengannya dan tiada toughies atau pengawal-pengawal peribadi yang hadir. Dia mempunyai pilihan untuk tidak membuat sebarang kenyataan atau untuk membuat kenyataan yang berlawanan dengan apa yang dia perkatakan. Ia di atas persetujuannya sendiri untuk memberi keterangan bahawa dia dan Saiful telah pergi ke pejabat Najib untuk membincangkan bagaimana untuk mencipta dakwaan liwat ke atas Anwar.

Saya berpendapat kami memiliki sesuatu yang sangat mudah meletup dan ia seharusnya segera didedahkan kepada orang awam. Tetapi Anwar mendengar pendapat peguam-peguamnya dan saya gagal membuatnya mengubah fikiran. Saya malahan berkira-kira untuk melawan Anwar dengan meneruskan menghebahkan video itu. Lagipun , saya merasakan yang peguam-peguamnya telah salah bertindak dan keseluruhan episod ini akhirnya akan mengenai muka sendiri jika mereka tidak berhati-hati.

Bagaimanapun, saya mendengar kepada Anwar, walaupun dengan berat hati, dan tidak melakukannya. Tetapi saya ada berpesan kepada Anwar yang peguam-peguamnya harus melakukan apa arahannya dan bukan dia yang mengikut arahan peguam-peguamnya. Biar peguam-peguam fokus dalam persediaan untuk perbicaraan dan serahkan strategi-strategi politik kepada kami yang lebih arif, saya beritahu Anwar. Saya juga memberitahu perkara ini kepada Datuk Kamarul Bahrin Abbas, Ahli Parlimen TELUK KEMANG, yang turut serupa -- bersetuju dengan saya dan berfikir yang peguam-peguamnya telah bertindak salah.

Tiga bulan kemudian, pada September 2008, polis datang ke rumah saya untuk menahan saya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri. Mereka menghabiskan masa berjam-jam menggeledah rumah saya untuk mencari 'bukti'. Mereka akhirnya menjumpai koleksi video-video, VCD dan dokumen-dokumen lain.

“Ini apa?” mereka bertanya sambil memegang video.

“Ia pastinya bukan porno atau rakaman saya dan isteri sedang mengadakan hubungan seks,” jawab saya. (Saya menyembunyikan semuanya di tempat lain Boom, Rodi, Vic, MsMo and Chris boleh mengesahkannya). Ia adalah rakaman-rakaman peristiwa, saya beritahu polis.

Polis itu memaklumkan saya bahawa mereka perlu merampas semuanya. Saya membantah tetapi tidak berguna dan semua video-video saya, VCD dan dokumen-dokumen diangkut oleh pihak polis.

Dua bulan kemudian, pada November 2008, Mahkamah Tinggi Shah Alam mengarahkan saya dibebaskan. Tetapi polis tidak mengembalikan semua barangan saya yang telah mereka ambil. Sehingga hari ini polis masih memiliki video-video saya, VCD dan dokumen-dokumen.

Bagaimanapun, salinan-salinan yang saya buat semasa pengakuan Rahimi / testimoni berada bersama kumpulan peguam Anwar. Jadi apa yang telah terjadi kepada mereka? Ini adalah sesuatu yang Anwar kena jawab.

Pada 1999, semasa perbicaraan Liwat 1, saya memberitahu Anwar yang saya mendapat makluman beberapa peguam-peguamnya telah dibayar oleh UMNO. Kerja mereka ialah untuk mengganggu perbicaraan supaya kerajaan boleh mensabitkan dakwaan terhadap Anwar.

Anwar, sudah tentu, tidak mempercayai saya. Dia berfikir yang semua peguam-peguamnya adalah jelmaan malaikat. Saya merasakan bahawa ada beberapa diantaranya adalah jelmaan syaitan.

Dan ianya benar, dua daripada para peguam Anwar telahpun keluar dan menyeberangi UMNO. Mungkin mereka tidak benar-benar menyeberang kepada UMNO. Mungkin mereka sebenarnya sudah lama bersama UMNO dan berjaya telah memasuki di dalam kumpulan peguam Anwar supaya mereka boleh menjejaskan pembelaannya.

Sekarang saya bertanyakan kepada Anwar: adakah dia amat yakin dia tidak mempunyai sebarang 'tahi lalat' UMNO di dalam kumpulan peguamnya yang sedang mengusahakan perbicaraan kes Liwat 2? Jika tidak, di mana perginya salinan-salinan rakaman video yang saya telah berikan kepada mereka? Adakah ia menghilang secara misteri? Kalau begitu, bagaimana boleh hilang?

Sekarang Rahimi mendakwa dia telah dipaksa supaya menandatangani Statutory Declaration (Akuan Bersumpah). Dan saya mempunyai satu rakaman video untuk membuktikan bahawa ia tidak begitu. Tetapi polis telah mengambil pita-pita induk dan ia kelihatannya seolah-olah para peguam Anwar juga telah kehilangan salinan-salinan rakaman itu. Tidakkah anda mengesyaki sesuatu?

Sebab tu lah! Bila saya mengkritik Anwar dia menjadi sangat marah dengan saya. Bila saya menuduh yang dia dikepung oleh 'tahi lalat', Trojan Horses, Judas dan Brutus, dia kata saya bersikap nakal dan berniat jahat dan ia adalah untuk kepentingan tertentu demi wujudkan perselisihan dalam PKR. Dia merasakan saya sebuah kilang yang bermotif untuk memusnahkan perpaduan parti.

Baiklah, jawab satu soalan ini: di mana rakaman video testimoni Rahimi, yang saya telah berikan kepada peguam-peguamnya?

Aiyah Datuk Kamarul! Cakap dengan Anwar lah! Saya dah bosan nak cakap. Dan saya tahu anda juga turut merasa perkara yang sama kerana anda sudah puas mengeluh terhadap perkara yang serupa. Tetapi nampaknya kita perlu untuk menyelamatkan Anwar dari dirinya -- atau sekurang-kurangnya dari orang di sekelilingnya.

Sepertimana yang saya telah beritahu Anwar minggu lalu apabila berlaku pertikaian antara kami apabila saya terlalu lantang bersuara: anda sepatutnya gembira kerana saya masih bersuara. Itu bererti saya masih mengambil berat. Bila saya berdiam diri kamu sepatutnya patut berasa bimbang. Itu bererti saya sudah tidak peduli lagi.


Diterjemahkan dari artikel asal yang berjudul 'So, who was right, Anwar or I' oleh Pulakdah