RASA letih, tidak sihat, emosi mudah terganggu dan tubuh lemah sering
berlaku pada kebanyakan wanita mengandung hingga mereka terlepas
pandang dan menganggap ia perkara normal sehingga ia tidak diberikan
perhatian serius.
Mereka mengabaikan gejala yang dialami kerana menganggap semua itu
adalah kesan akibat perubahan hormon dalam badan, namun sebenarnya bagi
seorang daripada tiga wanita, masalah terbabit boleh menandakan gangguan
yang lebih serius iaitu anemia atau kekurangan sel darah merah akibat
tidak mendapat zat besi secukupnya.
Memandangkan seorang daripada tiga wanita mengandung mengalami
masalah kekurangan zat besi, keadaan itu lebih lazim berlaku daripada
yang disangka.
Walaupun masalah kesihatan itu bukan normal,
tetapi ia sering tidak diperiksa atau dirawat menyebabkan ramai ibu dan
bayi mengalami kesan kesihatan dalam jangka panjang.
Pakar Obstetrik dan Ginekologi Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr
Premitha Damodaran, berkata ramai masih tidak tahu masalah kekurangan
zat besi yang serius adalah merbahaya dan ia boleh menyebabkan masalah
kesihatan serius bukan saja kepada ibu, tetapi turut memberi kesan pada
bayi yang dikandungnya.
Beliau berkata, wanita bukan saja perlu mengambil zat besi yang
cukup semasa mengandung, tetapi ia juga penting sebelum proses
mendapatkan zuriat. Kepentingan zat besi semakin bertambah selepas
melahirkan anak dan sepanjang tempoh menyusukan anak.
“Zat besi
adalah komponen utama dalam sel darah merah yang menghantar oksigen ke
seluruh badan untuk memastikan kelangsungan hidup.
“Oleh itu,
wanita yang menghadapi risiko anemia perlu merancang dan menjaga diri
ketika hamil serta selepas melahirkan anak dengan mengawasi kandungan
darah mereka.
“Apabila bilangan sel darah merah kurang daripada
normal (12 hingga 15mg/dl) wanita menghadapi risiko mengalami jenis
anemia yang paling umum iaitu anemia kekurangan zat besi,” katanya.
Menurutnya, kekurangan zat besi dalam badan berpunca daripada diet yang
tidak cukup zat besi, penyerapan rendah oleh badan, kesan sampingan
ubat tertentu, keadaan genetik, kehilangan darah teruk dan kehamilan.
Wanita hamil memerlukan zat besi tambahan untuk menghasilkan lebih
banyak darah bagi menyokong keperluan khasiat pemakanan diri sendiri dan
juga tumbesaran bayi mereka.
Katanya, dianggarkan wanita
memerlukan kira-kira 50 peratus lebih banyak zat besi ketika hamil iaitu
pertambahan jumlah daripada 15mg/dl kepada 27mg/dl sehari.
“Malangnya, ramai wanita memulakan kehamilan tanpa mempunyai simpanan
zat besi secukupnya untuk memenuhi permintaan lebih tinggi badan
terhadap mineral itu, menyebabkan anemia kekurangan zat besi yang
berlanjutan berlaku sehingga selepas melahirkan anak,” katanya.
Antara wanita yang berisiko mengalami anemia kekurangan zat besi selepas bersalin ialah:
Wanita yang disahkan menghidap anemia kekurangan besi semasa hamil
Wanita yang mengalami kehilangan darah berlebihan semasa melahirkan anak
Wanita yang sudah beberapa kali melahirkan anak
Ibu yang menyusukan bayinya
Bagaimana hendak mengetahui jika seseorang wanita itu mengalami anemia?
Antara gejala anemia yang sering dilaporkan ialah pucat, letih, lesu,
sesak nafas dan jantung berdegup laju.
Katanya, anemia ketika
hamil dan selepas melahirkan anak sering dikaitkan dengan komplikasi
kehamilan yang serius seperti keguguran, kelahiran pramatang, saiz bayi
yang kecil, koma dan paling membimbangkan ialah kemungkinan ibu
meninggal dunia.
Anemia ketika hamil boleh dikesan dengan penentuan tahap hemoglobin dalam darah melalui ujian darah.
Sebelum merancang untuk mengandung, wanita juga digalakkan berjumpa
doktor dan menilai tahap hemoglobin dalam darah namun malangnya,
kebanyakan wanita hanya berjumpa doktor apabila sudah mengandung dan
ketika ujian darah dijalankan, mereka sudah pun didapati mengalami
anemia ringan.
Wanita hamil yang mempunyai kepekatan darah lebih
11g/dl adalah normal manakala yang mencatat 9 hingga 11g/dl menunjukkan
masalah anemia ringan, 7 hingga 8.9g/dl pula anemia sederhana dan
bacaan kurang daripada 7.0 mengalami masalah anemia tahap teruk.
Dalam keadaan lebih serius, rawatan perubatan diperlukan memandangkan
kumpulan wanita hamil itu menghadapi risiko kelahiran bayi pramatang dan
mendapatkan bayi dengan berat badan rendah ketika dilahirkan.
Menurut Dr Premitha, tahap keterukan dan punca anemia menentukan terapi
yang akan disyorkan oleh doktor, selain pesakit perlu membuat serba
sedikit perubahan gaya hidup dan pemakanan.
Bagi menambah
bekalan zat besi ketika proses mendapatkan zuriat, semasa hamil dan
menyusukan bayi, Dr Premitha menyarankan meningkatkan pengambilan
makanan kaya zat besi seperti ayam, sayur berdaun hijau, kekacang, hati,
bijirin penuh, buah-buahan kering seperti prun dan kismis, kekacang,
tembikai, labu, bijan dan tauhu.
“Dalam kebanyakan kes, doktor
mengesyorkan pil zat besi tambahan untuk merawat anemia. Pilih rumusan
besi yang boleh diterima oleh badan kerana ia penting untuk memulihkan
kekurangan hemoglobin dan mengoptimumkan penyerapan zat besi, membantu
wanita menangani anemia semasa hamil dan juga mengurangkan kesan
sampingan seperti sembelit.
“Wanita yang menghadapi risiko
anemia juga boleh mempertimbangkan pilihan zat besi tambahan dengan
salutan perasa untuk melindungi rasa logam,” katanya.
Selain
itu, bagi meningkatkan keberkesanan terapi zat besi, ibu disyorkan
mengambil zat besi, folat, kuprum dan zink tambahan bersama makanan
untuk mengurangkan kesan rencatan.
Vitamin C tambahan disyorkan
diambil bersama makanan kerana diketahui meningkatkan serapan zat besi
manakala teh dan kopi mengurangkan serapan zat besi jika diambil satu
atau dua jam sebelum mengambil zat besi tambahan.
Kalsium
tambahan pula disyorkan diambil secara berasingan daripada zat besi,
contohnya sebelum tidur, untuk mengurangkan rencatan kepada penyerapan
zat besi.
Menurut Dr Premitha, wanita perlu terus mengambil
makanan kaya dengan zat besi dan pemakanan tambahan sehingga mereka
berhenti menyusukan bayi atau selama enam bulan selepas melahirkan anak,
yang mana lebih lewat.
Katanya, dalam kes anemia serius dan
mengancam nyawa, wanita mungkin perlu dimasukkan ke hospital, diberikan
pemindahan darah atau suntikan zat besi.
“Wanita hendaklah
sentiasa memastikan kesihatan mereka dengan melakukan ujian darah
apabila merancang untuk hamil, semasa hamil dan empat hingga enam minggu
selepas melahirkan anak.
“Mereka boleh mengekalkan kecergasan
masing-masing dengan mengambil jumlah zat besi yang secukupnya daripada
makanan dan pemakanan tambahan yang membantu meningkatkan paras
hemoglobin darah.
“Mereka dinasihatkan mendapatkan bantuan perubatan serta-merta jika terdapat simptom kekurangan zat besi,” katanya.
Memahami anemia dan kehamilan
Wanita hamil memerlukan 50 peratus lebih banyak zat besi.
Golongan berisiko adalah wanita yang pernah disahkan menghidap anemia
ketika kehamilan terdahulu, pernah mengalami kehilangan darah berlebihan
semasa melahirkan anak, wanita yang sudah melahirkan anak beberapa kali
dan ibu yang sedang menyusukan bayi.
Gejala dan kesan anemia terhadap kehamilan
Gejala anemia adalah pucat, letih, lesu, sesak nafas dan jantung berdegup laju.
Risiko keguguran, kelahiran pramatang, bayi kecil, koma serta peningkatan kebarangkalian ibu meninggal dunia.
