Selasa, 22 Disember 2009

SIKAP KEPIMPINAN DAN REALITINYA.....











Air Mata Umar
By: agussyafii

Cerita kegemaran anak-anak Amalia adalah air mata Umar Bin Khattab. Air mata Umar Bin Khattab mengisahkan tentang kebiasaan Umar Bin Khattab, sang khalifah yang pada malam hari suka berkeliling di kota Madinah untuk memantau keadaan rakyatnya. Sampailah pada suatu malam, tiba-tiba mendengar suara tangisan anak-anak disebuah gubuk., karena penasaran Umar mendekati gubuk itu, 'Assalamu'alaikum, ' salam Umar Bin Khattab. Dari dalam rumah terdengar menjawab salam, Wa'alaikum salam,' jawab seorang perempuan tua dengan lembutnya sambil mempersilahkan masuk. Alangkah kagetnya Umar menyaksikan tiga anak yang terus menangis sambil memegang perut diatas dipan yang sudah reot. Melihat keadaan seperti itu air mata Umar Bin Khattab mengalir begitu saja tanpa terasa.


Kemudian dia bertanya kepada perempuan tua itu. 'Mengapa mereka menangis?' Mereka kelaparan, kedua orang tuanya sudah tiada sementara saya sudah tidak sanggup lagi untuk membeli makanan untuk mereka. Sejak kedua orang tua mereka meninggal sudah tidak ada lagi yang menjenguknya, ' ucap perempuan tua dengan wajah bersedih. 'Bukankah ibu sedang menanak makanan?' tanya Umar terheran. Lalu perempuan itu menjawab, 'Saya telah membohongi mereka, bukan gandum yang saya tanak melainkan batu agar mereka berhenti menangis.' Umar nampak terkaget-kaget. 'Batu?' kata Umar tak lagi mampu menahan perih didadanya, hatinya terluka bagai disayat menyaksikan penderitaan yang dialami anak-anak yatim paitu dan seorang nenek tua itu. Air mata itu tak terbendung lagi, Umar Bin Khattab bergegas pamit meninggalkan mereka. Disaat di rumah Umar segera mengambil air wudhu untuk sholat dan berdoa, 'Ya Alloh, ampunilah hambaMu ini yang telah melalaikan mereka, Izinkan hamba menebus semua kesalahan.' Dengan secepatnya Umar Bin Khatttab mengambil sekarung gandum, sekantong roti dan susu segar untuk diserahkan kepada anak-anak yatim piatu dan nenek yang membutuhkannya. Tak lama kemudian ketiga anak itu disuapinya oleh neneknya. Anak-anak terlihat lahap makannya. Nenek itu bercerita, ketika kedua orang tua masih hidup cinta dan kasih sayangnya kepada mereka bertiga senantiasa disuapi. Setiap suapannya dihasi dengan senyuman yang indah dari ayah dan ibunya.


Sejak peristiwa itu Umar Bin Khattab berjanji tidak akan pernah ada lagi penduduk dinegerinya yang kelaparan. Dari kisah air mata Umar Bin Khattab ini memiliki pesan bahwa perasaan bersalah pada diri Umar karena merasa lalai karena ada penduduk negerinya yang kelaparan. Perasaan bersalah inilah yang kemudian ditebus oleh Umar dengan tekadnya untuk memperbaiki sistem yang ada. Konon di masa Umar Bin Khattab inilah Baitul Mal sebagai lembaga negara berfungsi dengan baik untuk membantu mengentaskan kemiskinan pada waktu itu. barangkali banyak hal teladan dari Umar Bin Khattab yang masih relevan untuk negeri kita yang tercinta bagaimana kita menghadapi krisis dewasa ini.


Wassalam




ULASAN SAYA:


Alangkah indah dan moleknya andai kepimpinan kita sekarang seperti zaman para sahabat. Keindahan ISLAM dan ketakwaan lebih diutamakan, takut akan tanggugjawab tidak terlaksana sehingga dikhabarkan jawatan “Pemimpin” tidak berani diambil ataupun diminta oleh para sahabat Rasulullah. Takut akan azab Allah S.w.t, tetapi zaman sekarang jawatan ini menjadi rebutan. Kalau dahulu masyarakat kita sering menyertai bebarapa perlumbaan seperti marathon atau jogathon, tetapi sekarang ramai masyarakat kita yang mula menyertai satu lagi perlumbaan yang dikenali sebagai “YB THON”.


Pada mereka menjadi YB adalah batu loncatan kepada kekayaan. Kita tidak sesekali menyalahkan YB yang tahu dan faham akan tanggungjawabnya, yang menjadi kemarahan kepada kita adalah YB yang hanya tahu sunglap duit rakyat, mengabaikan tanggungjaawab terhadap rakyat dan yang paling penting takut bercakap benar dan tidak mengaku kesilapan atau kesalahan mereka sehinggakan sikap seperti ini menjadi beban yang teramat berat untuk dipikul oleh rakyatnya. Pada YB yang bekerja kerana rakyatnya, kami sentiasa berterima kasih dan menyokong beliau. Dalam posting saya yang lalu, takrifan wakil rakyat dan pemimpin telah saya sentuh, adalah pada saya menjadi satu kesedihan apabila ada dikalangan kita yang masih kabur akan tanggungjawab pemimpin kepada rakyatnya. Kita undi maka kita ada hak pertahankan daripada terus di tindas. Fikirkanlah....Moga cerita diatas menjadi iktibar kepada mereka yang bercita-cita menjadi YB.

Read more...

Rabu, 9 Disember 2009

PERSEPSIKU: KENAPA WAKIL RAKYAT YANG BERSALAH....?

Wakil Rakyat bermaksud orang yang diberi kuasa oleh rakyat manakala dalam kamus dewan bahasa dan pustaka, wakil rakyat bermaksud seseorang yang telah dipilih dalam pilihanraya untuk menjadi wakil penduduk dikawasan pilihanraya tersebut. Manakala Pemimpin pula bermaksud ketua yang telah dilantik untuk memandu orang lain, manakala dalam kamus dewan pula menyatakan bahawa Pemimpin adalah orang yang memimpin. Kepimpinan pula adalah merujuk kepada keupayaan memimpin. Lantaran itu Jelas lagi bersuluh siapa yang memilih dan mengangkat pemimpin dikalangan kita, Malahan segala tindak tanduk pemimpin pada hemat saya tidak salah diperbincang atau diperdebat oleh rakyatnya.


Kepimpinan kita di Daerah Kota Belud suatu yang perlu diperhalusi, bukan sahaja kita berhak memperkatakan segala kebaikkan mahupun pembangunan yang beliau berjaya laksanakan bahkan juga kita rakyat yang melantik mereka melalui pilihanraya berhak penuh menegur kesilapan mahupun kealpaan yang mereka lakukan. Cuma masyarakat kita dididik dengan budaya yang lebih harmoni, yakni menegur dan menyatakan kesilapan ataupun kesalahan orang lain berlandaskan budaya iaitu “berlapis atau bersantun”. Namun apa pula pilihan kita andai santunan yang kita anuti tidak diendahkan...? Fikirkan....


Dalam kes kudat By Pass, DSSK di persalahkan...Dalam Kes Jelapang Padi, DHMHJ di persalahkan, Ketiadaan Pelapis kepimpinan Masyarakat Iranun, TSP di persalahkan... Projek di beri kepada Kroni, di persalahkan DARD... Rakyat tidak di pedulikan, DJA di persalahkan... Kes Kemiskinan, DHTL di persalahkan...Persoalanya adalah “WHY” atau KENAPA?


Jawapannya : Kerana Mereka Pemimpin Yang di pilih Oleh Rakyat. Dalam erti kata yang lain, setiap tindak tanduk mereka sama ada baik atau buruk mereka pasti akan “Dibicarakan” dalam mahkamah rakyatnya. Lagipun setiap pembangunan yang hendak dilaksanakan awal-awal lagi disytiharkan sebagai kejayaan mereka dalam menerapkan kemudahan dan keselesaan kepada rakyat kawasan mereka. Tapi yang amat menghairankan apabila timbul masalah, Pemimpin tidak pula harus di persalahkan......(Kata mereka lah). Walhal, sebagai wakil rakyat mereka berhak tahu proses perjalanan dan masalah yang wujud andai projek tersebut dilaksanakan. Benar....dan amat benar, Consultant telah dilantik untuk memantau ataupun menyelesaikan segala permasalahan yang akan, sedang atau telah berlaku. Namun hal ini bukannya tiket untuk para pemimpin melepaskan tugas mereka sebagai “WAKIL RAKYAT” Saudara Datu Pitung dalam komennya baru-baru ini menyatakan, dah nama pun wakil rakyat kena tahu lah perihal rakyat.


Jangan seperti kata pepatah ”Melepaskan batuk di Tangga”. Satu perkara lagi yang perlu kita akui bersama adalah manusia zaman sekarang tiada yang maksum yakni terpelihara daripada melakukan kesalahan atau kesilapan dan ini termasuklah DSSK, TSP, DHMHJ, DJA, DARD dan DHTL. Lantaran itu juga kita kena terima mereka seadanya, TETAPI andai kita sahaja yang memberi adalah tidak wajar juga..pendek kata kena ada imbalannya juga lah. Maknanya kita pun sepatutnya berhak mendapat apa yang sepatutnya kita dapat “Win Win Situation”. Maka itu pada saya, rakyat menegur pemimpin adalah satu hikmah, para pemimpin perlu mendengar suara rintihan rakyatnya. Janganlah ibarat “kacang lupakan kulit”. Fikirkan bersama.....Budak baru belajar, Harap ditegur di marah jangan.....

Read more...

Ahad, 6 Disember 2009

ANTARA DOA DAN POLITIK

Oleh: Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin

Baru-baru heboh isu seorang tokoh politik telah mendoakan agar keburukan menimpa pemimpin negara. Doa ini adalah tindakan balas bagi isu royalti minyak Kelantan. Berbagai pandangan dikeluarkan. Biasanya, penyokong parti politik masing-masing akan memberikan pandangan yang berpihak. Kesemua pihak cuba membela tokoh partinya. Itulah salah satu keburukan politik kepartian apabila fanatik menyelimuti diri.

Golongan agama yang berkepentingan pun akan mengambil kesempatan mengampu pihak yang boleh memberi manfaat keduniaan kepada mereka. Maka pandangan dan hukum agama akan diberikan berasaskan kepada keperluan politik, bukan tuntutan nas dan penilaian realiti yang berlaku.

Sedangkan nas syarak itu asas, sedangkan realiti itu dinilai dalam melihat adakah wujud keserasian untuk dipadankan nas tertentu dengan konteksnya yang sesuai.

Maka perkara pertama seorang pengkaji Islam hendaklah memahami apakah dalil-dalil syarak dalam sesuatu perkara.

Kedua, adakah dalil-dalil itu bertepatan dengan realiti atau konteks yang wujud. Umpamanya perkara yang pernah saya sebutkan dahulu tentang hukum menjawab salam bukan muslim. Nabi s.a.w bersabda:

“Sesungguhnya Yahudi apabila memberi salam kepada kamu, sebenarnya dia menyebut: as-samu ‘alaika (maut atau kemusnahan). Maka kamu jawablah wa ‘alaika (ke atas kamu). (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Maka ertinya menjawab salam bukan muslim dengan ucapan ‘wa ‘alaika’ itu hanya dalam konteks di mana mereka memberi salam dengan cara dan niat yang jahat, bukan dalam keadaan yang apabila salam diberikan dengan sopan dan hormat.

Ertinya melihat nas dalam realitinya adalah penting bagi seorang sarjana dalam memahami sesuatu hukum. Perbezaan keadaan boleh membawa kepada perbezaan hukum. Namun, dalam menilai hukum ia mestilah bertitik tolak dari dalil-dalil syarak, kemudian memahami dalil-dalil tersebut dalam realitinya yang sebenar.

Saya bukan ingin berbicara tentang doa politik tersebut, tetapi ingin berbalik kepada isu doa keburukan kepada sesama muslim, boleh atau tidak?. Ada yang menjawab sama sekali tidak boleh. Ada pula yang menjawab sama sekali boleh. Mungkin ada yang fanatik parti akan menjawab, doa untuk parti musuh boleh, parti sendiri tak boleh. Itu pun belum lagi kita tanya dia ‘bagaimanakah mengklasifikasi perkataan ‘musuh’ menurut Islam?!

Sebelum kita melihat ke dalam konteks bersaingan politik dan salahguna agama dalam suasana politik yang ada, mungkin seseorang boleh menjadikan soalan itu lebih mudah dihayati dan difahami dengan bertanya; “jika seseorang muslim menzalimi saya, bolehkah saya doakan agar Allah mengambil tindakan atau menghukumnya di dunia?”.

Maka di sinilah memerlukan dalil-dalil syarak dalam menetap asas ini. Kemudian, barulah kita akan lihat konteksnya, iaitu adakah orang yang dikatakan zalim itu memang benar-benar zalim?! Kemudian, adakah setimpal kadar kezaliman itu dengan isi doa yang dilafazkan?!

Dalam hidup kita ini kita mungkin akan menemui manusia yang mengaku muslim tetapi sangat jahat, menginayai dan menzalimi kita. Menipu, menfitnah dan menyiksa kita; boleh atau tidak kita berdoa agar Allah mengambil tindakan kepadanya?

Lebih jelas jika kita kenang wanita yang dirogol, atau diragut sehingga cacat, atau keluarga dibunuh, adakah mereka diizinkan Islam agar berdoakan kepada Allah untuk menurunkan musibah atau balasan dunia kepada orang menzaimi mereka?!

Ungkapan sesetengah tokoh agama bahawa sama sekali tidak boleh doa bala atau keburukan kepada muslim sekalipun zalim adalah kurang teliti dan menafikan nas-nas yang mengizinkan hal ini.

Sementara kenyataan yang menyebut boleh secara mutlak berdoa agar diturunkan bala kepada muslim atau bukan muslim tanpa meneliti kadar yang dikatakan zalim itu, atau musibah yang diminta itu akan menyebabkan doa menjadi permainan lidah dan berlaku kemelampauan dalam berdoa. Namun kita percaya Allah Yang Maha Bijaksana tidak akan menerima doa yang tidak betul atau disalahgunakan.

Dalam hadis-hadis Nabi s.a.w menunjukkan bahawa berdoa agar Allah kenakan tindakan kepada yang patut menerima doa sedemikian rupa adalah diizinkan.

Dalam hadis riwayat al-Imam Muslim menyebut:

Umm Sulaim iaitu Umm Anas memiliki seorang anak yatim perempuan. Suatu hati Nabi s.a.w melihat kepada anak yatim tersebut. Baginda bersabda: “Oh awak, dah besar pun awak. Umur awak takkan membesar lagi”. Anak yatim tersebut kembali kepada Umm Sulaim dan menangis. Umm Sulaim bertanya: “Kenapa wahai anakku?”. Kata gadis itu: “Nabi Allah s.a.w telah mendoakan keburukan ke atasku agar umurku tidak membesar. Maka mulai sekarang umurku tidak akan membesar lagi selama-lamanya. Maka Umm Sulaim pun keluar, tergesa-gesa mengenakan tudungnya sehingga berjumpa Rasulullah s.a.w. Maka Rasulullah s.a.w pun bersabda: “Kenapa wahai Umm Sulaim?”. Kata Umm Sulaim: “Wahai Nabi Allah, adakah engkau telah mendoakan keburukan ke atas anak yatimku?”. Baginda bertanya: “Apadia wahai Umm Sulaim?”. Kata Umm Sulaim: “Anak yatimku mendakwa engkau mendoakan agar umurnya tidak membesar”. Rasulullah s.a.w pun ketawa kemudian bersabda: “Wahai Umm Sulaim! Tidakkah engkau tahu syaratku untuk tuhanku? Aku telah memberikan syarat untuk tuhanku, aku berkata: “Sesungguhnya aku manusia; aku redha seperti mana manusia redha, aku marah seperti mana manusia marah. Justeru, sesiapa sahaja di kalangan umatku yang aku doakan keburukan ke atasnya dengan sesuatu doa, sedangkan dia tidak layak maka Allah akan jadikan untuknya kesembuhan, penyucian dan perkara yang mendekatkannya dengan Allah pada Hari Kiamat nanti”.

Dalam hadis ini, ungkapan Nabi s.a.w yang seakan doa itu telah membimbangkan anak yatim tersebut. Namun, Nabi s.a.w. akur sebagai insan yang bukan malaikat, hal-hal keinsanan itu mungkin berlaku kepada baginda.

Maka baginda meminta agar doa keburukan baginda kepada mereka yang tidak layak bertukar menjadi kebaikan. Dalam ertikata lain, jika layak dengan mereka maka ia akan mengenai orang tersebut. Sikap mulia Nabi s.a.w juga menunjukkan baginda mengakui kesilapan insani itu dan memohon agar ditukar doa baginda kepada kebaikan.

Dalam hadis yang lain Nabi s.a.w menyebut:

“Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sesungguh antaranya dengan Allah tiada sebarang hijab (penghalang)” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Dalam riwayat al-Imam Muslim seorang sahabat besar Nabi s.a.w iaitu Sa’id bin Zaid telah berdoa agar Allah mengambil tindakan kepada Arwa binti Aus yang memfitnah beliau mengambil tanahnya dan mengangkat kes itu kepada Gabenor Marwan bin al-Hakam. Sa’id bin Zaid berdoa dengan menyebut: “Ya Allah! Jika dia seorang pendusta maka butakanlah matanya dan bunuhlah dia dalam tanahnya”. Maka Arwa pada akhir hayatnya buta mata dan ketika sedang berjalan terjatuh dalam sebuah lubang dalam tanahnya dan meninggal.

Dalam riwayat al-Bukhari pula menceritakan bahawa ada penduduk Kufah yang mempertikai kepimpinan gabenor mereka Sa’d bin Abi Waqqas sedangkan beliau sahabat Nabi s.a.w yang besar dan pemimpin yang soleh. Khalifah ‘Umar mengambil tindakan menggantikan Sa’d bin Abi Waqqas dengan ‘Ammar bin Yasir. Ketika siasatan sedang dijalankan didapati rakyat memuji kepimpinan Sa’d, kecuali di Masjid Bani ‘Abs seorang yang bernama Usamah bin Qatadah bangun membuat dakwaan seperti berikut: “Sesungguhnya Sa’d tidak menyertai peperangan, tidak membahagi secara saksama dan tidak adil dalam hukuman”. Sa’d menjawab: “Demi Allah aku akan berdoa dengan tiga perkara: “Ya Allah! Jika hambaMu ini (penuduh) seorang pendusta, tampil untuk menunjuk-nunjuk maka panjangkan umurnya, panjangnya kefakirannya dan dedahkan dia kepada fitnah”. Maka lelaki tersebut hidup sehingga umur terlalu lanjut tapi masih mengganggu gadis-gadis di jalanan dan cuba meraba mereka.

Doa-doa di atas jika kita lihat tidaklah terus meminta bala kepada muslim yang dianggap zalim itu, sebaliknya diikat dengan ungkapan “Ya Allah, jika dia ini berdusta maka…” atau mungkin kita sebut “jika dia telah menzalimiku maka..”. Ini kerana kita mungkin tersalah anggap, atau silap tafsiran maka wajarlah berlapik kata dalam hal ini dan serahkan kepada Allah Yang Maha Mengetahui. Penilaian zalim itu sendiri kadang kala dipengaruhi emosi, atau kita juga lupa ada kesalahan kita juga dalam kes yang kita rasa kita dizalimi.

Maka dengan cara menyebutnya berlapik kata, ia lebih santun dan Allah Maha Mengetahui. Manusia boleh membuat berbagai andaian terhadap doa, tetapi Allah Maha Mengetahui doa siapakah yang layak diterima dan siapakah pula yang mencapai ‘darjat zalim’ yang melayakkan doa orang dizalimi itu mustajab lantas menimpanya.

Berhati-hatilah yang berdoa. Juga lebih berhati-hatilah mereka yang ‘kena doa’ yang telah menzalimi orang lain. Di samping kita berdoa, kita pasrah kepada Allah, kita juga memuhasabah diri sendiri.

Read more...

Rabu, 2 Disember 2009

POLITIK WANG DAN KEPIMPINAN


Suasana politik orang kita sekarang boleh dikatakan berada dalam satu keadaan yang menyedihkan dan memalukan serta memualkan. Amalan politik wang yang hebat diperkatakan dewasa ini bukan sahaja memberi satu gambaran buruk tentang cara orang kita berpolitik dalam menerajui kepimpinan negara, malah ia turut meninggalkan satu noda hitam ke atas kesucian agama Islam yang menjadi pegangan hidup kita. Dalam pemilihan bahagian UMNO Kota Belud beberapa bulan yang lepas, kita terus disajikan isu berkaitan dengan politik wang yang bukan sahaja daripada posting rakan bloger bahkan juga perbincangan empat mata di kedai-kedai kopi.


Apa yang berlaku dalam dunia politik sekarang menggambarkan bahawa dorongan utama para pemimpin kita pada hari ini bukan untuk memperjuangkan kepentingan bangsa tetapi lebih kepada perjuangan untuk mengambil kesempatan dalam kesempitan bagi kepentingan peribadi. Maruah agama dan kepentingan kaum sendiri sudah tidak lagi menjadi keutamaan mereka. Dalam kehidupan sekarang, pangkat dan kuasa menjadi suatu asas utama untuk mencapai matlamat yang seterusnya. Dengan kata lain, kedua-duanya boleh menjadi kunci kepada pintu kekuasaan dan kekayaan yang lebih besar. Jadi penggunaan wang untuk meraih sokongan di peringkat akar umbi dilihat sebagai satu bentuk "pelaburan awal" ke arah mencapai matlamat tersebut.

Sesebuah negara memerlukan pemimpin yang berintegriti. Pemimpin yang rasuah akan hanya menyebabkan pentadbiran negara menjadi lemah dan ini akan mendedah negara tadi kepada ancaman luar. Ini kerana pemimpin yang dipilih tadi diangkat ke jawatan atas dasar wang rasuah dan bukan berasaskan kepada keupayaan dan kewibawaannya. Berlainan dengan pemimpin pada zaman awal Islam. Saidina Umar al-Khattab sebagai contoh merupakan memang seorang yang sangat berwibawa yang meletakkan kepentingan negara lebih daripada kepentingan diri dan keluarganya.Beliau pernah ditawarkan kenaikan perbelanjaan sara diri tetapi menolak tawaran tadi walaupun pada dasarnya dia berhak untuk menerima atas alasan hak dia adalah sama dengan rakyat biasa. Apa yang membezakan beliau dengan rakyat kebanyakan hanyalah dari segi tanggungjawab di mana beliau mempunyai lebih tanggungjawab terhadap negara berbanding rakyat biasa. Bagaimanapun ciri yang ditunjukkan oleh Khalifah Umar al-Khattab ini sukar untuk diperhatikan pada pemimpin sekarang. Tanggapan segelintir pemimpin sekarang, kemampuan merebut jawatan akan membuka lebih ruang kepada keupayaan menggandakan peluang keduniaan yang ada.

Islam menganggap kepimpinan atau tugas memimpin itu adalah sebagai satu amanah. Oleh itu jawatan pemimpin bukanlah satu kedudukan yang boleh dianggap istimewa atau perlu direbut-rebut. Inilah yang ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w kepada Abu Zar r.a semasa beliau meminta baginda Rasulullah melantiknya untuk suatu jawatan : Sesungguhnya kepimpinan itu adalah satu amanah, yang pada hari akhirat kelak dipertanggungjawabkan dengan risiko kehinaan dan penyesalan, kecuali bagi mereka yang memenuhi syarat dan dapat melaksanakan tugas yang dibebankan kepadanya dengan baik. (hadis riwayat Imam Muslim)

Pemimpin yang berintegriti berkeupayaan untuk mewujudkan satu ummah yang cemerlang. Contoh teladan yang baik yang ditunjukkan oleh para pemimpin akan menjadi ikutan dan amalan orang yang dipimpin. Dalam bab kepimpinan ini, Saidina Umar Al-Khattab pernah mengumpamakan sesebuah bangsa itu sebagai unta yang kesakitan hidung yang akan mengikut arahan gembalanya. Jadi si gembala perlu berhati-hati ke arah mana patut dipandu. Justeru adalah sangat beruntung bangsa tadi jika pemimpin mereka mengikut jalan yang benar.

Sesungguhnya untuk menyelesaikan masalah politik wang, kita memerlukan satu keazaman politik (political will). Apalah maknanya jika kita heboh memperkatakan tentang rasuah politik sedangkan tiada usaha yang bersungguh-sungguh dalam diri setiap rakyat dan pemimpin untuk menghapuskan amalan ini daripada terus berleluasa. Ketiadaan keazaman politik untuk mengekang masalah politik wang akan menyebabkan urusan kepimpinan bangsa dan agama akan diterajui oleh mereka yang tidak berkelayakan dan berwibawa. Jika ini terus berlaku maka kita seharusnya bersedia menanti apa yang disebut oleh nabi s.a.w di dalam hadisnya yang bermaksud : Apabila sesuatu urusan itu diserahkan kepada orang bukan ahlinya, maka tunggulah saat kehancuran.

Read more...

Ahad, 29 November 2009

BILA SEMUANYA BICARA SOAL POLITIK


Masyarakat kita kini mulai sedar dan berfikir mengenai politik dan kesannya kepada masyarakat dan Negara. Apa tidaknya, lihat sahaja di mana-mana pasti topiknya soal politik. Tidak kira terpelajar ataupun tidak terpelajar, hakikatnya politik pasti topik utama. Yang terpelajar bercerita pasal politik tidak mengapa lah, tapi bagi yang tidak terpelajar membicarakan soal politik ibarat ketam mengajar anaknya berjalan. Di sini posting saya kali ini sebenarnya bukan memperkecil-kecil atau jauh sekali menghina khalayak yang tergolong dalam kelompok “Mereka yang tidak terpelajar” dalam membincangkan soal politik. Sumbangan kelompok ini turut tidak dipertikaikan, namun biarlah kita berdiri atau berpijak dibumi yang nyata.

Seorang Doktor pasti akan berasa pelik apabila diminta mengajar untuk subjek Muzik, atau seorang mekanik kereta diminta menjadi pakar bahasa (walaupun sekarang dunia semakin moden, tidak semestinya kita boleh melakukan semua perkara) pasti pekerjaan yang diberikan tidak dapat dilakukan dan andai pun berjaya dilakukan kemungkinan besar hasilnya tidak memenuhi piawaian sebenar pendek kata tidak mengikut spesifikasi SIRIM. Maka itulah kita bercakap apabila perlu sahaja, bercakap apabila kita benar-benar tahu dan faham akan persoalan dan perbincangan yang hendak disampaikan. Namun semua ini ibarat mencurahkan air kedaun keladi, masyarakat kita cukup hebat kerana boleh bercakap apa sahaja, sama ada benar atau tidak itu belakang kira (Berpegang Kepada Istilah demokrasi terpimpin) asalkan dapat bercakap. Saya amat tertarik dengan penulisan saudara Dr. Mohd Ridhuan Tee, Pensyarah Kanan, Unversiti Pertahanan Nasional, Malaysia yang diterbitkan di dalam akhbar Mingguan Malaysia yang bertajuk “Kita akan Kalah jika terus mengalah”. Dalam penulisan beliau itu, saya amat bersetuju dengan pendapat beliau yang menyatakan “Saya menyeru supaya kita jangan terlalu berpolitik. Masa dan wang ringgit banyak dihabis untuk menewaskan sesama sendiri . Malangnya, kita tidak hanya berpolitik dalam politik, tetapi dalam bidang lain pun berpolitik juga. Pendek kata, dalam bidang apapun diperkatakan, Umat Islam kita berpolitik. Politik yang merugikan dan melemahkan”.


Nah...! kita lihat dalam kelompok atau masyarakat kita di daerah Kota Belud amnya, daripada pasar ikan, perhentian bas, restoran, masjid, kedai runcit, sawah padi, laut semuanya membicarakan soal politik. Saya bukan mengatakan berpolitik itu tidak perlu atau tidak penting, tetapi biarlah kita bercakap “apabila perlu” sahaja. Jimat masa dan tenaga. Mencarut dan memfitnah pun pasti terhindar. Tuduh sana, tuduh sini akhirnya dosa juga kita dapat, pahalanya entah kemana. Namun dalam masa yang sama saya secara ikhlasnya berasa bangga dengan perkembangan masyarakat kota belud, kerana ramai yang mulai peka terhadap permasalahan masyarakat setempat. Para cendikiawan dan bijak pandai masyarakat kita mulai bersatu dalam memperjuangkan hak sebenar rakyat. Walaupun melalui kuasa maya namun impak maksimanya cukup membuatkan para pemimpin kecut perut. Melihat keadaan pemimpin sekarang, adalah tidak keterlaluan ibarat cacing yang sedang kepanasan. Bukan sahaja segala kelemahan dituturkan bahkan sejarah dan kes lama turut dibangkitkan. Hasilnya ini bukan sahaja kelompok masyarakat kita yang membaca dan menilainya, bahkan seeluruh dunia boleh membaca dan menilainya.


Berbalik kepada sikap masyarakat kita yang suka berpolitik, sehinggakan dalam penulisan saudara Azrone, memberi kiasan “mengenai kehebatan seorang office boy” dalam merancakkan kepolitikkan didaerah kota Belud. Bukan itu sahaja, driver pun turut ingin menjadi hero dalam dunia kepolitkkan ini. Malahan hebatnya aura politik ini sehinggakan jawatan boleh diberikan kepada yang langsung tidak layak. Lihat sahaja di dalam organisasi MDKB dan pejabat Daerah, difahamkan hampir separuh kakitangannya adalah lantikan melalui kuasa politik. Akhirnya, kesan kepada masyarakat kita, anda mungkin sudah merasa dan andai yang belum mencubanya sila lah cuba berurusan dengan jabatan penting di daerah kota belud ini, pasti anda akan mengingatinya hingga keakhir hayat. Inilah masalah bila kita terus-terusan berpolitik, bercakap lah “Apabila perlu” sahaja. Kita bernasib baik kerana hari ini kita menjadi pengguna teknologi, bukan pencipta. Sekurang-kurangnya kita punyai masa dan waktu untuk memikirkan ke mana hala tuju masyarakat kita. Bagi yang bukan terpelajar tetapi “Bijak” pandai, fikirkan lah sumbangan kepada Negara, masyarakat selain berbicara soal politik.

Read more...

Sabtu, 21 November 2009

ADA MANUSIA BERTARAF SYAITAN MANUSIA ?


ADA MANUSIA BERTARAF SYAITAN MANUSIA ?

from PakKaramu by ~PakKaramu~ Assalamu'alaikum Wr,Wb



Manusia yang telah di cipta oleh Allah dari zuriat Adam dan Siti Hawa di kehendakki oleh Allah s.w.t hidup dalam keadaan aman dan damai dengan mengamalkan hidup beragama dengan agama yang telah di sediakan oleh Allah s.w.t, untuk memastikan mereka dapat hidup aman dab damai serta terus di bimbing ke jalan agama tersebut maka Allah s.w.t telah mengutuskan beberapa nabi-nabi dan Rasul-rasul, namun ada sebilangan besar di kalangan manusia tidak dapat untuk hidup beragama sebagaimana yang di kehendaki oleh Allah



Manusia tergolong kepada dua golongan iaitu golongan yang patuh dan golongan yang tidak mahu patuh, golongan yang patuh di kenali sebagai Hizbullah (kumpulan Allah) dan kumpulan yang tidak mahu patuh di kenali sebagai kumpulan syaitan (Hizbus syaitan) Kumpulan Hizbullah mengambil panduan daripada Allah yang di sampaikan oleh Rasul-rasul Tuhan, sementara kumpulan Hizbul syaitan mengambil panduan daripada syaitan melalui keputusan akal yang tidak dapat membezakan yang hak dan yang batil



Kumpulan Hizbullah kebiasaannya menjadi orang kecil di dunia serta di hina dan di maki hamun kerana kezuhudannya, akan tetapi menjadi orang besar di akhirat, sementara Hizbus syaitan akan menjadi orang besar di dunia serta di sanjung puji dan muliakan akan tetapi mereka akan menjadi orang kecil dan kerdil di akhirat dan akan di tempelak oleh pengikut-pengikutny a di hari kiamat dan Allah pasti akan menyeksa mereka kesemuanya dengan keadilan Rasullullah s.a.w mengingatkan bahawa selepas beliau maka para ulama akan menggantikannya selepas beliau tidak ada dan ulama ini akan menjadi orang besar juga di akhirat, mereka akan menyambung tugas nabi dan Rasul-rasul di dunia ini kerana menegakkan ideologi Allah s.w.t yang berpandukan Al-Quran dan sunnah


Rasullullah s.a.w serta keimanan kepada mentauhidkan Allah. pewaris nabi tidak boleh bersikap leka dan lewa untuk mengembangkan ideologi Allah dan RasulNya kerana ia akan di dajal Al Masihkan oleh golongan syaitan



Soal beragama adalah soal akidah dan setiap akidah wajib berpandukan dengan apa yang telah di tetapkan oleh agama bukan boleh di pandu oleh akal yang tiada prinsip kebenarannya. Umat islam mula berpecah. Selepas zaman khulafa Ar Rasyidin apabila istilah khalifah sudah tidak lagi di guna pakai, manusia berpecah belah sesama sendiri yang sebelumnya mereka bersatu padu dalam beragama, di Makkah sendiri pengikut-pengikut mazhab Imam Hanafi tidak mahu bersembahyang yang di imami oleh imam yang bermazhabkan imam syafi'e sehingga datang perintah daripada Raja Abdul Aziz Ibnu Saud supaya bersembahyang bersama-sama, peristiwa ini berlaku pada tahun 1925
.


Selepas zaman khulafa Ar Rashidin juga ramai di kalangan umat islam yang telah menjadi rosak akidahnya serta mereka membelakangkan agama Tuhan dengan menggantikannya dengan agama yang beasaskan kepada semangat bangsa. Imam Malik menerangkan Rasullullah berpesan supaya umatnya mengikut jejak langkahnya serta para sahabat baginda dan jangan sekali-kali mengikut pandangan orang lain yang di sebut sebagai Ra'yi terutama dalam mentadbir negara, bangsa dan agama Kita dapat melihat dan memaklumi bahawa kebanyakan umat yang mengakui islam bermati-matian mempertahankan fahaman nasionalis, kapitalis, feudalis dan sebagainya, mengapa mereka tidak saja mengamalkan islam yang di katakan sangat tinggi dan tiada yang lebih tinggi selain daripadanya ? Di negara yang mempunyai partai politik yang berfahaman kominis misalnya para penduduknya memuji dasar di dalam negara tersebut tanpa kecuali mereka yang beragama islam di dalamnya termasuklah yang bergelar ulama, demikian juga dengan negara yang berfahaman yang lain Dalam masalah sembahyang, puasa, haji, zakat serta mengucap kalimah syahadat, mereka mengikut agama Allah akan tetapi dalan soal hukum bernegara mereka membuang islam dan mengambil peraturan yang bukan islam dengan alasan sistem tersebut sesuai dan hampir sama dengan sistem islam, semua ini berlaku kerana pemikiran mereka telah di serang oleh kumpulan syaitan namun dalam masa yang sama mereka terus juga melakukan ibadat beragama seperti yang agama mahukan, ertinya mereka telah menerima islam separuh dan menolak separuh, kumpulan syaitan ini Allah menetapkan kepada mereka sebagaimana firmanNya " Apakah kamu beriman sebahagian daripada kitab dan kufur kepada sebahagian yang lain ? Tiada balasan orang yang berbuat demikian daripada kamu kecuali kehidupan dunia dan akhirat akan Allah halau kepada 'azab yang amat pedih " (Al Baqarah 85)


Dalam masalah beragama ini jika keadaan demikian berlaku maka terhukumlah pada mereka itu sebagai kafir, demikian yang di nyatakan oleh seorang ulamak terkenal dalam tafsir Al Qurannya Al Azhar muka surat 6 juzuk 8 dalam surah Al An'am beliau berkata apabila ada di antara manusia yang lebih yakin kepada sistem yang bukan islam itu lebih baik daripada sistem islam maka telah kafirlah mereka itu walaupun pada masa yang sama mereka melakukan ibadat kepada Allah Syaitan manusia di sebut oleh Allah di dalam Al Quran yang bermaksud: " Dan demikianlah Kami jadikan setiap nabi-nabi itu musuh dari syaitan-syaitan jenis manusia dan jin, sebahagian dari mereka membisikkan kepada sebahagian yang lain dengan kata-kata dusta yang indah untuk memperdaya pendengaran (untuk menipu) " Al An'am 112 Dan firman Allah lagi yang bermaksud: " Dan demikianlah Kami adakan dalam setiap negeri (negara) orang-orang besar yang jahat, supaya mereka melakukan tipu daya di negara tersebut ....... " (Al An'am 123)





SUMBER; AMBUYATEL-BINAGKIT.BLOGSPOT.COM

Read more...

pesanan

Penafian:Penulis blog paikankb tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan, Segala komen atau ulasan, fakta berunsur hasutan yang dialami kerana melayari atau menggunakan maklumat dalam blog ini.

  © Blogger template PingooIgloo by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP