Showing posts with label muhaimin. Show all posts
Showing posts with label muhaimin. Show all posts

Wednesday, October 26, 2016

Muhaimin is a boy, hokay!

Salam boy,

Dah kenapa tiba-tiba tajuk entry hari ni dalam bahasa english pulak.

Sebenarnya Pida nak cerita pasal Muhaimin. Ko kenal Muhaimin kan, anak aku yang bongsu tu. Nama sendu dia Mumu. Lekat nama Mumu sampai teacher taska dia pun panggil mumu.

Rupa-rupanya mumu tu sejenis makanan tradisional orang Papua New Guinea. Dia macam ikan pais gitu. Ikan pais tu ialah ikan bakar yang dibalut dengan daun apa ntah.

Kalau kita, ikan pais tu dilulur dengan lada, tapi masyarakat PNG lumur dengan rempah mereka sendiri.

Eh, ini nak cerita pasal Mumu Pida ke mumu Papua New Guinea?

Sebelum ni kau tau la kan, anak aku si Mumu tu rambutnya panjang. Dulu dah pernah potong sekali. Lepas tu panjang balik.

Kali kedua panjang tu Pida perati makin lama makin kerinting kat hujung dia. Tu yang Pida tak potong-potong sebab nampak kiut pulak macam aku kecik-kecik dulu.

Disebabkan dah terlalu panjang, maka wajah Mumu tu pun dah macam budak perempuan.


Ramai jugak orang yang selalu tanya Pida, budak ni lelaki ke pempuan? Kaurasa?

Ni masa rambut depan Mumu betul-betul panjang sampai dah hampir menutup mata dia. Sampai kadang-kadang dia menguis-nguis rambut tu sebab tak selesa.

Ini selepas Pida kerat sikit rambut depan Mumu. Dah rupa anak Penan kan? I loike!

Dah disarungkan baju Melayu pun masih ada yang tanya ni lelaki ke pempuan? Dah kenapa??!!


Ada satu hari tu kan, Pida bawak Mumu pergi ke kedai. Kat kaunter bayaran tu ada jajan Kinder Joy tu. Mumu memang dah beberapa kali beli jajan ni kerana ia merupakan jajan kegemarannya.


Jajan coklat ni ada dua jenis. Yang biru tu untuk boy sementara yang pink tu untuk girl. Perbezaan antara kedua-duanya hanyalah mainan. Coklat dia sama je.

Oleh kerana Mumu dah biasa beli coklat ini, maka dengan spontan dia capai yang biru. Sepantas kilat jugak kakak kaunter tu suakan coklat pink kepada Mumu. 

"Ini yang pink, dik," katanya dengan konfiden. 

Mumu buat dekkk aje bila kakak tu hulurkan coklat pink kat dia. Dia tetap pegang yang biru jugak. Pida pulak macam tergamam, tercengang je.

Kakak tu tak putus asa. Dia tetap menghulurkan coklat pink kepada Mumu sebab dia mati-mati ingat Mumu ni girl. Dia takut Mumu tersalah ambik coklat.

Melihat kesungguhan dan kejujuran kakak kaunter tu, Pida pun berkata, "Dia ni jantan...". Selamba katak je aku cakap macam tu.

Tanjat kakak tu. Dia kata hah, ingatkan pempuan... Sebijik macam pempuan... Hihihi.....

Sejak peristiwa itu, Pida mengambil keputusan untuk memotong rambut Mumu. So Pida bawak dia ke sebuah salon hipster yang menjadi tumpuan anak-anak muda dan yang tak berapa muda.

Tak sangka pulak si Mumu ni takut. Sepanjang gunting rambut tu, dia melalak-lalak sebab takut rambutnya digunting. 

Terpaksalah bertabah budak tukang gunting tu melayan kerenah Mumu yang tak sporting.

Gunting rambut macam kena gunting bibird. Tak cukup abah dia pegang, Pida pulak mendukung dia. 

Saat-saat terakhir sebelum gunting rambut.

Ketika menggunting. Sepanjang menggunting tu dia melalak.

Selepas gunting. Sampai sembab muka akibat terlalu lama menangis. Dalam 20 minit jugak la. Tabik spring kat brader yang gunting tu kerana cukup sabar dan profesional menangani ragam budak.


Sekarang Mumu dah berambut pendek. Tiada lagi kecelaruan identiti. Nampak lebih ganteng dan lebih macho gitteeww.

Rupa sekarang. Dah sebijik rupa Aqil.

Tiga jejantans in my heart.







Sunday, August 7, 2016

Misi Muhaimin : Mencari hadiah

Salam misi,

Sejak hari lahir Muhaimin yang ke-2 hari tu, Pida masih belum berkesempatan membelikan hadiah untuknya.

Kalau tahun lepas sempena cukup usianya setahun, Pida belikan dia buaian sebagai hadiah, tahun ini tak tau nak belikan apa.

Satu hari tu Pida tengok dia seronok dan teruja menonton video permainan keretapi yang bergerak atas landasan tu. So Pida pikir, mesti Mumu gembira giler kalau Pida hadiahkan set permainan macam tu kepada dia.

Lantas pada hari Ahad yang segar ini, Pida mencipta satu misi; iaitu mencari hadiah besdey present untuk Mumu.

Oleh kerana kitorang keluar selepas subuh kan, iaitu dalam pukul 10 gitu, maka kitorang sarapan dululah. Sejak bangun jam 9.30 pagi tadi belum sarapan kan, so kitorang sarapan kan Kentaki aje. Kentaki tempat aku ni 24 jam, kau apa tau.

Tengok arr tu, kemain berlagak lagi kitorang dapat sarapan kat Kentaki. Siap main tunjuk-tunjuk je order itu ini.

Sedap sangat menu sarapan kat Kentaki ni. Harga pun tak la mahal sangat. 

Double jempol, kata Sufi dengan yakin. 

Mumu kalau sarapan kat KFC dia cuma makan hashbrown je. Sebab dia suka sangat. Lagipun Pida tak hulur ayam kat dia sebab Pida nak makan sorang ayam tu. Giler kau nak share ayam kfc dengan orang lain.


Dah kenapa mumu jeling- jeling ayam mak? Mumu makan kentang tu je tau. Ayam mak punya.

Selepas selesai brekpas, kitorang pun meneruskan misi utama keluar pagi Ahad ni iaitu mencari hadiah besdey Mumu. Tapi tiba- tiba Pida tengok Mumu tak pakai kasut.

Alaaa, ini mesti tak pakai dari rumah ni tadi. Alaaa tak kuasa la mak nak dukung Mumu aje. Hmmm nak tak nak kena carikkan kasut dulu. Koser mak nak hangkut ko kulur kilir Mu.


Sampai di kedai kasut, Pida lepaskan Mumu. Sebenarnya sejak naik eskalator tadi pun dah lepas. Berjalanlah si kecik ni berkaki ayam. Haa pilihlah Mumu nak kasut mana.


Takyah pening-pening la mak. Mumu nak yang ni. Itu kasut dewasa la nak. Pegi bahagian budak-budak sana. Kau kan budak.

Tekun aje Mumu mencuba kasut. Maklumlah kakak cun yang sarungkan. Ehem ehem anak mak. Ok, mak setuju!

Akhirnya, dapat kasut baharu ya ya awww!!!


Lepas settle beli kasut untuk Mumu, kitorang meneruskan kembara ke pasaraya jual mainan. First-first Mumu dah tangkap satu mainan yang dia pilih sendiri.


Yeszaaa!!!  Mumu nak ini! Belikan ye mak!

Haa tu usha apa pulak tu. Takleh takleh, dalam cermin tu mahal. Alaa Mumu tengok je mak... Bukan nak mintak pun...

Yes! Dapat pun mainan yang mak cari-cari. Tak sabar nak tengok reaksi gembira dan teruja Mumu tatkala melihat permainan ini bergerak di depan matanya, bukan di dalam video lagi.

So Pida tak tunggu apa lagi dah. Terus sambar dengan rakusnya, terus bawak ke kaunter dan bayar. Terus balik rumah sebab tak sabar nak tengok muka Mumu happy! 

Sesampai di rumah, tak sempat kencing kitorang terus pasang keretapi tu. Masing-masing excited giler demi nak menggembirakan Mumu. Tak sabar nak tengok reaksi Mumu yang tentunya teruja dan suka dengan permainan ini nanti.

Mumu pun tak ketinggalan nak menyebok jugak pasang keretapi. Robot yang dia pilih tadi tu asyik dipasang aje. Memekak betol la robot ni. Sekali aku tampor terus bisu kang baru tau. Kellas ko Mumu, masuk rumah tak bukak kasut. Kau ingat kau orang putih??!! Bukak sekarang!

Selepas 10 minit bergotong-royong memasang, akhirnya keretapi tersebut siap dan bersedia untuk dilancarkan. Perghhh siap keluar asap tu bai...

Tapi sebaik sahaja keretapi itu bergerak di atas landasan, tiba-tiba harapan dan impian Pida untuk melihat kegembiraan terpancar di wajah Mumu tidak menjadi!

Mumu takut! Hahaha! Dia takut rupanya benda alah tu berbunyi siul-siul siap keluar asap bagai, sambil pusing-pusing keliling, terus dia lari sembunyik belakang bapak dia.

Sempat pulak dia menyelamatkan robot dia.

Last-last sampai ke sudah si Mumu takut dengan keretapi ni. Abah kau pulak yang over. Ingatkan dia seronok, rupa-rupanya dia takut. Aduyai anakku, yang kau beria seronok tengok orang lain main dalam video tu dah kenapa... Takpelah nak, mak tetap bersyukur sebab dapat tunaikan hajat mak nak belikan mumu hadiah hari jadi.

I love you Mumu!


Friday, July 22, 2016

Muhaimin dua tahun

Salam Muhaimin,

Alhamdulillah hari ini 22 Julai 2016; cukup Muhaimin usianya dua tahun.

Wahhh!!! Terasa baru semalam Pida mengandungkan dia, macam baru semalam Pida melahirkan dia, seolah-olah baru semalam Pida memangkunya di ribaan buat kali pertama.

Memang pantas masa berlalu. Cukup tak terasa. Muhaimin yang lebih kiut miut dipanggil Mumu pun dah mula pandai bercakap. Dan Pida peratikan Mumu ni kepoh jugak budaknya.

Dia dah hapal sebahagian besar lagu Didi And Friends dalam pelat2 dia tu. Mumu juga sangat suka menyanyi. Lagu kegemarannya ialah Akulah Kekasihmu dendangan Axl's. Tak percaya? Hahaha.

Doa Pida standard la, semoga Muhaimin membesar dengan sihat, sempurna. Semoga Muhaimin menjadi manusia yang bertaqwa, cemerlang dan berjaya di dunia dan di akhirat; dan menjadi seorang Mukmin yang mendukung ilmu.

Tapi sekarang ni Pida tengah pikir macam mana nak berentikan dia ngempeng... Hmmmmm...

Happy birthday Muhaimin!!!







Wednesday, September 9, 2015

Darmawisata Perak II - Galeri Sultan Azlan Shah

Entry ini adalah episod kedua siri maraton darmawisata Perak selepas episod pertama.

Salam galeri,

Usai beriktikaf di Masjid Ubudiah, kami sekeluarga meneruskan lawatan ke Galeri Sultan Azlan Shah yang terletak berhampiran dengan masjid ini.


Ini pintu masuk. Sebelum masuk kau kena la beli tiket dulu. Kau ingat free-free je nak masuk? Bayarlah sikit derr... Harga tiket kalau tak silap Pida, RM5 dewasa kot. Ntahlah lebih kurang gitu lerr harga dia aterrr... Sebab bukan Pida yang bayar tiket.

Masuk-masuk je ke dalam kawasan istana ni, perghhh!!! Terkesima mak. Cantiknya bangunan ini. Macam istana zaman silam. Sungguh indah bagai rumah sendiri.

Tengoklah kolam air pancut yang memaparkan sebiji labu sayong gergasi. Ada ke pembaca Ohpida yang masih tak tau labu sayong ni merupakan ikon negeri Perak? Ikon, bukan Akon! Akon tu rapper kulit hitam.


Ni haa, Akon. Hahaha.
Dah kenapa ko masukkan aku dalam blog ko ni Pida?


Saksikanlah betapa indah dan berseninya bangunan istana ini. Memang teruja melihatnya.




Lanskap taman yang cantik dan mendamaikan.


Di dalam galeri ini, terdapat bermacam-macam jenis pameran berkaitan koleksi peribadi seperti pakaian Sultan Azlan Shah dan Sultanah, peralatan-peralatan kebesaran diraja seperti lembing, payung dan peterana yang digunakan dalam istiadat rasmi.

Selain itu, pengunjung juga boleh menyaksikan sejarah pemerintahan almarhum termasuk beberapa dokumen asal tulisan tangan almarhum ketika menjadi Ketua Hakim Negara.

Sayangnya pengunjung tidak diizinkan mengambil gambar di dalam galeri. Nak cerita banyak-banyak pun tak reti, sebab banyak sangat yang boleh dilihat di dalam galeri ini. Semuanya wow! wow! belaka. Memang takdelah setakat kau anak orang kebanyakan ni nak merasa tu semua. Hihihi...

Pida juga berpeluang melihat kenderaan-kenderaan rasmi yang pernah digunakan oleh almarhum termasuk kereta Rolls Royce. Apa yang menarik, galeri ini juga mempamerkan basikat tua dan lanca yang pernah dinaiki almarhum ketika zaman sekolah dulu.

Bagus juga dapat melawat galeri ini. Sekurang-kurangnya Pida dapat merasa fefeeling princess ketika melihat tiara berlian, persalinan diraja yang lawa-lawa dan mewah-mewah, beg tangan emas bertatah zamrud dan hadiah-hadiah persembahan yang fuhhh!!! Serba mewah!!! Ya Allah dapat berangan je la. Takpe, berangan tak kena bayar.

Selepas lebih sejam di galeri ini, kami pun pulang. Pulang ke mana? Haaa, itu dalam episod ketiga ye adik-adik.

Oh ye, nak tau tak, masa dalam perjalanan balik tu kan, si Muhaimin yang sejak tadinya diam aje fefeeling budak baik kan, tiba-tiba mengamuk sakan dalam kereta. Menangis terjerit-jerit, Pida nak dukung dia tak mau. Meronta-ronta menendang-nendang dalam kereta sampai termuntah-muntah dia.

Pelik dengan kelakuan Muhaimin, kitorang yang ada dalam kereta tu pun bacalah apa-apa yang patut. Baca ayat kursi, Fatihah., qul huallah, alam nasyrakh, tabbatyadaaa, doa makan pun baca.... semua kitorang baca tapi Muhaimin masih mengamuk-ngamuk.

 ----->>> Flashback : Tadi pergi kawasan makam, lepas tu pergi masuk galeri yang banyak barang-barang lama dan patung-patung. Atau mungkin memang dia tengah penat dan saja-saja rasa nak mengaruk.

Hmmm.... kenapa ye? Wallahuálam.



Monday, August 24, 2015

Duduk diam-diamlah Muhaimin!

Salam duduk,

Alhamdulillah si kecik Muhaimin tu dah berusia setahun pada 22 Julai yang lalu.

Antara ketiga-tiga anak jejantans Pida, nampaknya si Muhaimin inilah yang paling lasak. Agaknya sebab dia berguru dengan dua orang abangnya yang memang lasak iaitu Aqil dan Sufi.

Makan pulak dah macam-macam. Senang bawak jalan. Dia makan apa yang Pida makan. Kalau Pida makan sambal tumis, sambal tumis la yang dia makan.

Satu perangai Muhaimin ni, dia memang tak boleh duduk diam dalam car seat. Ini adalah masalah. Kalau diam pun 30 saat je dia boleh tertib. Lepas tu meronta-ronta nak bangun, lasaknya laksana ulat gendon.

Setiap pagi nak pegi kerja dan setiap petang nak balik rumah, itulah pe'el dia. Nak pegang gearlah, nak petik wiperlah, nak kacau punat-punat kat dashboard tulah, dan yang paling mencabar, Muhaimin nak menyusu.

Hampir setiap kali naik kereta dengan si kecik ni, dia mesti melangkah keluar dari car seat (nak pasung dengan tali keledar pun macam tak jalan aje). Dia akan datang ke arah Pida yang tengah memandu, duduk baikkk punya dan mintak susu cap gantung!

Ok, Pida terpaksa mengaku memang Pida menyusukan anak sambil bawak kereta. Kau nak marah? Marahlah.

Kau tak melalui situasi macam tu kau memang akan marah. Bukan tak sayangkan nyawa, tapi... susah la nak cakap. Kalau kau berada di tempat Pida ni kau akan faham sendirilah.

Tawakkal ajelah... heeeeeee ~~~~

Nasib baik perjalanan dengan si kecik ni cuma 5 minit. Tapi 5 minit yang mencabar la!

Dan nasib baik jugak negara kita belum melaksanakan undang-undang pemakaian kerusi baby.. kalau tak mesti asyik akuuu aje yang kena saman.

Agaknya budak-budak orang putih kat Ostolia, Britain, dan Emerika tu berdisiplin sangat kot sampai boleh duduk diam aje dalam carseat. Anak aku? Kirim salam!




Thursday, February 12, 2015

Cakaran Si Bulat

Salam cakaran,

Ini kali punya cerita sangat bercampur-campur perasaannya; ada suka ada duka ada seronok ada takut ada seram ada terperanjat juga.

Kisah ini baru saja berlaku 3 hari yang lalu. Pada suatu petang, Pida mengambil angin petang di belakang rumah bersama-sama baby Muhaimin, Nia dan Sufi. Aqil masa tu belum balik dari sekolah.

Di belakang rumah Pida tu memang dah jadi port kucing-kucing gelandangan lepak-lepak sambil carik makan. Selalu jugak kekucing ni masuk ke halaman belakang rumah Pida sampaikan anak-anak Pida dah macam membela kucing-kucing ni secara tak rasmi.

Semasa Pida dan Muhaimin sedang duduk-duduk di halaman belakang tu, tiba-tiba masuklah Si Bulat iaitu seekor kucing betina.

Budak-budak tulah yang bagi nama Si Bulat, sebab matanya bulat, katanya. Dah kalau matanya empat segi agaknya dinamakan Si Empat Segi.

Untuk pengetahuan kau, Si Bulat ni pernah beranak kat rumah Pida. Punyalah banyak rumah yang dia boleh datang, ke rumah Pida jugak yang dia tujui. Rezeki... rezeki...

Nak dijadikan cerita, Muhaimin sangat teruja sebaik terlihat Si Bulat. Mesti dia pelik natang apa tu, kok kenapa tak macam aku, kok ada benda panjang kat belakang dia, kok tak pakai baju...

Pida pun lepaskan Muhaimin ke lantai (lantai simen aku bersih hokay!) dan Pida hanya memerhatikan gelagat Muhaimin yang curious dan seronok bermain-main dengan Si Bulat sambil Pida merakam video. Well, moment ok, moment!

Si Bulat yang tidak mengenali Muhaimin kelihatan agak janggal. Yelah, yang dia kenal cuma budak-budak bertiga tu aje yang selalu bagi dia makan (rembat lauk aku).

Pida terus merakam aksi Muhaimin yang sangat excited. Muhaimin asyik sibuk nak pegang Si Bulat tapi natang tu tak nak dekat Muhaimin. Muhaimin tetap kejar untuk memegang natang tu untuk dimasukkan ke dalam mulut... hahaha. Biasalah, si Muhaimin ni semut pun dia masuk mulut.

Tetapi rupa-rupanya Muhaimin yang terlebih peramah. Si Bulat tak nak kat dia pun. Lalu berlakulah insiden yang menakutkan.

Pida malaslah nak cerita. Kau tengoklah gambar je ye. Lepas beranak ni aku dah jadi malas nak tulis panjang-panjang.  Cuma nak bagitau je, segalanya berlaku terlalu pantas. Durasi video pun cuma 25 saat aje. Hahaha.


Muhaimin nak main-main nak mesra-mesra, tetapi Si Bulat tak mau. Last-last akibat tak tahan diganggu, ia terus mencakar anakku. Oh tidak! My baby!


Detik-detik slo-mo Muhaimin dicakar. Nampak tak gambar kedua tu, kulit Muhaimin dicarik dan disiat. Lepas tu sepantas kilat kucing tu tambah lagi dengan kaki sebelah pulak. Memang kaw-kaw anak aku kena kuntau.

Kau ingat Muhaimin nak diam aje ke?


Melalak bai!

Kelam-kabut Pida dibuatnya. Selepas menjerit ala kadar, Pida terus menghentikan rakaman serta-merta (ceh!). Nasib baik aku tak campak henfon tu. Kira dapat kawal emosi lagi la aku ni walaupun urat dah banyak yang putus.

Cepat-cepat Pida dukung Muhaimin. Pida peluk dia kuat-kuat untuk menenangkannya yang masih terkejut dan trauma. Nia dan Sufi dah cemas melihatkan adik mereka dicakar oleh Si Bulat kesayangan mereka!

Pida periksa muka Muhaimin. Ada satu luka besar dan berdarah iaitu tempat yang kena carik tadi. Pida basuh dengan air dan lap dengan kain buruk.

Nasib baik Muhaimin tak nangis lama. Kalau tak cuak jugak aku...

Alhamdulillah lukanya tak serius. Ada la dalam 5-6 bekas cakaran. Tak sapu ubat pun, biar dia kering sendiri aje. Biasalah anak jantan kenalah ada parut!

Bila Pida mainkan balik video tu, ishhhhh memang seram kau! Paling seram dengar suara Pida menjerit.

Dan bila Aqil dapat tahu yang adik kesayangan dia ni dicakar oleh Si Bulat yang dijaganya, maka hanginlah dia. Lalu dia berkata tak mahu bela kucing lagi. Huahuahua!





Habis calar-balar muka saya tau!



Friday, February 6, 2015

Muhaimin sayang

Salam Muhaimin,

Diam tak diam, baby Muhaimin dah berusia 6 bulan. Terasa begitu cepat masa berlalu. Serius, rasa macam baru semalam Pida terkedek-kedek mendaftar diri sebagai pesakit di hospital bersalin. Hari ini Muhaimin dan berusia 6 bulan.

Alhamdulillah, dalam usia ini, Muhaimin dah pandai merangkak. Bukan merangkak aje kau, Muhaimin juga dah pandai memaut untuk berdiri. Tak sangka macam agak cepat perkembangan si kecik sorang ni jika dibandingkan dengan Rania, Aqil dan Sufi.

Tapi satu yang Pida perasan sangat, Muhaimin hanya mahukan Pida dan tak nak orang lain. Oh mak guard, nampak macam kiut kan, tapi kadang-kadang hazab jugak nak oiii.

Dalam usia begini, Muhaimin baru nak mula lasak. Dia dah mula lebih mengecam dan mengenal pasti orang sekeliling. Tapi muka yang paling dia suka tengok ialah muka Pidalah mak dia siapa lagi.

Pida seronok sangat dengan perkembangan ini. Pida rasa ia perkembangan positif dan ia juga bukti bahawa Allah telah mencipta suatu hubungan yang amat istimewa antara seorang bayi dengan ibunya.

Apabila Pida melihat betapa bersinarnya anak mata jernih Muhaimin tatkala melihat Pida, masa itu dapat dirasakan betapa agungnya kuasa Allah. Bayangkan, seorang bayi yang tidak mengetahui apa-apa, tetapi mempunyai naluri yang cukup kuat terhadap insan yang melahirkan dan menyayanginya sepenuh jiwa. Ya, sepenuh jiwa raga. Kerana itu amanah milik-Nya jua.

Lagi satu, Muhaimin suka main air liur, siap buat buih lagi. Bbbbrrrppp... bbbrrppp... menjejes-jejes air liur jatuh ke lantai. Kalau Sufi terpijak air liur adik dia tu, memang hangin la dia. Geli, katanya.

Baby Muhaimin pun dah mula makan masa umur dia 5 bulan. Sebab Pida tengok dia asyik merengek je, macam tak puas menyusu. Pida cuba suapkan bubur nasi, perrghhhh... berselera! Rupanya nak makan anak aku ni. Tak apalah nak, kakak ko si Rania tu mak dah kasi nestum cair masa dia masih dalam hari. Anak jawa memang macam tulah!

Pida berdoa semoga Muhaimin sentiasa sihat dan berada dalam lindungan Allah. Membesarlah bagai johan, minumlah susu penuh krim Dumex.


Sengih... sengih... tampor kang. Hik hik hik. Acah aje. Aloloooo. Tampor kang.

Aqil yang sangat baik hati dan mengambil berat akan adiknya. Hari tu semasa Aqil tengah mandi, Muhaimin melalak. Cepat-cepat si Aqil sudahkan mandi semata-mata nak dukung adik dia. Terharu mak noks... Bila Pida tanya Aqil mandi cepat-cepat sebab Aqil sayangkan Muhaimin ke? Aqil jawab, taklah, Aqil bingit. >_<

Tengoklah budak bertuah ni kemaruk asyik nak berdiri aje. Mak nak kemas beg la nak... nak balik kampung... 

Kan mak dah bilang nak kemas beg, yang Muhaimin kacau kenapa, kan dah kena sumbat dalam beg. Hahahaha. 


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...