8/17/2009 3:11 PM by nuun

Sedikit statistik

August 17th, 2009

Dalam bertimbun-timbun buku baru yang saya ada, terangsang dan tergerak untuk membaca naskah Hadis Qudsi yang saya beli setahun lepas. Selepas satu topik, saya beranjak ke topik yang lain. Dalam beberapa hari, berpuluh-puluh hadis telah saya baca dan amati. Salah satunya menyebut yang dalam setiap 1000 umat/keturunan Nabi Adam hanya seorang sahaja yang akan terus ke syurga [Hadis Sahih Bukhari Jilid 3, Hadis Nombor 1470]. Dasyat - hanya 0.1%!

Saya gelisah. Sukarnya. Namun ia menggerak hati untuk melihat daripada perspektif yang berbeza. Saya mencari statistik penduduk dunia terkini di sini. Semalam, penduduk dunia di sekitar 6.8 bilion. Kalau dikira berdasar congak mudah, hanya 6.8 juta yang akan melangkah ke syurga dengan bergaya. Alahai tidak sampaipun 1/4 penduduk Malaysia.

Statistik beragama di dunia 2005

Saya masih tidak berpuas hati. Saya cari statistik orang Muslim di dunia. Statistik tiga tahun lepas. Ia kelihatan seperti berikut, hanya 21 peratus! Marilah kita sedapkan hati sendiri: 79 peratus yang lain sah masuk neraka dan 6.8 juta yang sepatutnya terus masuk syurga adalah milik orang Islam yang jumlahnya di sekitar 1.4 bilion. Alahai masih sedikit - hanya 0.5% daripada jumlah orang Islam tersebut!

Saya termenung dan bermuhasabah diri. Bertanya, bolehkah aku termasuk dalam golongan yang sedikit itu?. Lalu pagi semalam saya memberi tazkirah kepada mereka yang solat subuh berjemaah di masjid.

“Saudara/i, bersyukurlah kerana kita dapat menunaikan solat subuh berjemaah di masjid. Mari kita jaga nikmat yang Allah bagi ini. Kita termasuk dalam golongan yang sedikit. Saudara/i mewakili statistik tidak sampai 0.5% yang Allah janjikan untuk terus masuk syurga. Kita seru, kita berdakwah dan kita ajak rakan-rakan kita untuk bersama, jika mereka tidak mahu - walaupun mereka berakal dan berilmu - tidak mengapa. Mereka mahu bersama dalam golongan 99.5% muslim yang lain. Janji Allah sentiasa benar”.

Semalam, bilal menghulurkan microphone untuk saya mengimami solat Zuhur. Saya tengok kiri-kanan-belakang, mencari-cari mereka yang lebih baik daripada saya. “Ya Allah izinkan aku menjadi imam solat zuhur pada hari ini. Aku mohon keampunanMu ya Allah”. Usai solat, saya berpaling kepada jemaah dan berkata: “Luangkan lima-enam minit untuk saya sampaikan apa yang telah saya nyatakan kepada jemaah subuh tadi…..”

Saya mahu siswa-siswi saya sedar dengan statistik tersebut, mengupas hadis Qudsi dari sudut yang berbeza. Mencabar mereka supaya menggunakan akal dan ilmu supaya membuat pilihan yang tepat.

Allah ya Allah, tempatkanlah kami dalam golongan yang sedikit itu, dengan rahmat dan kasih-sayangMu!


Credit to Prof Muhd Kamil - Penulis Buku Best Seller "Travelog Haji"

0 Response to " "