6/25/2008 3:28 PM by nuun

Pembohongan cerita pari-pari

Oleh Nasron Sira Rahim
nasron@bharian.com.my


Frances di samping pari-pari yang mencetus kontroversi.

Selepas 65 tahun, penipuan kewujudan makhluk fantasi terbongkar apabila Elise mengakui kelima-lima gambar yang diambil adalah palsu

SELAMA 65 tahun, ramai pihak termasuk penulis terkenal, Sir Arthur Conan Doyle, percaya bahawa pari-pari bukan sekadar makhluk fantasi yang wujud dalam kisah dongeng sebaliknya hidupan kenit yang mampu terbang itu diyakini benar-benar wujud di dunia ini.

Keyakinan itu bermula pada 1917 apabila seorang kanak-kanak perempuan, Frances Griffiths, 9, pulang ke rumahnya di Bradford, England dalam keadaan kasut dan sarung kakinya basah.


Melihat keadaan itu, ibunya, Annie, mula berang lalu memarahi anaknya itu. Sudah berkali-kali dia melarang Frances bermain-main di Sungai Cottingley yang terletak berhampiran kediaman mereka tetapi anaknya itu tetap berdegil.

Apabila ditanya mengapa kanak-kanak itu suka bermain di tepi sungai berkenaan, Frances memberikan jawapan aneh yang amat mencabar logik akal.

“Saya ke sana untuk melihat pari-pari!” kata kanak-kanak itu. Sepupu Frances, Elsie Wright, 16, turut menyokong kata-kata itu dan mengakui bahawa pari-pari memang wujud di tepi sungai berkenaan.



Pada mulanya, Annie dan ibu saudara Frances, Polly Wright tidak percaya dengan alasan itu tetapi riak wajah mereka mula berubah selepas kanak-kanak itu menunjukkan gambar yang dirakam mereka.

Gambar itu benar-benar mengejutkan - tertera imej Frances berada di belakang sekumpulan pari-pari yang sedang menari di tepi sungai itu.

Dua tahun kemudian, Annie dan Polly menunjukkan gambar aneh itu kepada penceramah ajaran spiritual Theosophy, Edward Gardner. Lelaki itu turut terkejut melihat imej pari-pari berkenaan dan meminta negatif gambar dihantar kepadanya untuk dikaji lebih lanjut.

Di hadapan pakar fotografi, Harold Snelling, gambar itu sekali lagi dikaji dengan teliti dan selepas beberapa lama, pakar itu mengemukakan kesimpulan yang mengejutkan - gambar itu adalah asli dan imej pari-pari itu adalah imej hidup dan bergerak!

Gambar itu kemudian ditunjukkan kepada Conan Doyle yang juga ahli pergerakan spiritual yang percaya bahawa manusia dapat bercakap dengan roh seseorang yang mati menerusi perantaraan psikik. Doyle menjelaskan bahawa gambar itu adalah bukti bahawa terdapat ‘dunia lain’ di sebalik alam realiti ini.

Kisah bukti kewujudan pari-pari itu semakin menggemparkan ramai pihak apabila Doyle menyiarkan gambar berkenaan bersama artikel mengenai pari-pari yang ditulisnya dalam majalah The Strand.

Pada 1920, Gardner memujuk kanak-kanak itu merakamkan lebih banyak gambar pari-pari dan selepas beberapa minggu, lima gambar pari-pari berjaya dirakamkan Frances dan Elsie.

Setahun selepas itu, seorang ahli nujum terkenal, Geoffrey Hodson, dibawa ke Cottingley untuk mengesan sama ada kawasan itu benar-benar dihuni makhluk halus. Dia akhirnya mendakwa yang dia turut dapat melihat pari-pari itu sama seperti Frances dan Elsie.

Tahun demi tahun, kisah berkenaan terus diperdebatkan ramai pihak. Misteri gambar pari-pari itu akhirnya berlarutan selama 65 tahun dan dari kecil, dua kanak-kanak perempuan itu akhirnya dewasa dan tua.

Ketika Elsie berusia 81 tahun, dia sekali lagi ditemuramah wartawan majalah The Unexplained, Joe Cooper dan akhirnya, di hadapan lelaki itu, dia mengaku bahawa kelima-lima gambar itu adalah palsu.

Pari-pari itu hanyalah gambar yang dilukisnya mengikut lukisan dalam buku Princess Mary's Gift Book. Gambar itu kemudian digunting dan dilekatkan pada tumbuhan dengan menggunakan jarum supaya kelihatan berdiri. Selepas gambar berkenaan dirakamkan, dia dan Frances membuang semua bahan bukti pembohongan itu ke dalam sungai.

Selepas 65 tahun, pembohongan itu akhirnya terbongkar tetapi sesuatu yang menyedihkan adalah hakikat itu tidak diketahui Sir Arthur Conan Doyle yang meninggal dunia pada 1930. Lelaki itu mungkin percaya bahawa pari-pari adalah wujud sehingga ke akhir hayatnya.

Info

Pari-pari


  • Dipercayai wujud di Cottingley berdasarkan gambar dirakamkan Frances dan Elsie pada 1917.

  • Gambar pari-pari disahkan asli oleh pakar fotografi, Harold Snelling.

  • Ahli nujum, Geoffrey Hodson yang menyiasat kawasan Cottingley turut mengakui kebenaran kata-kata Frances dan Elsie.

  • Pada 1982 iaitu selepas 65 tahun, barulah hakikat sebenar berhubung gambar pari-pari itu terbongkar.
  • 0 Response to " "