Memaparkan catatan dengan label KARYA. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label KARYA. Papar semua catatan

Jumaat, 18 November 2022

ZAHID RESAH DAN GELISAH

 



ZAHID termenung panjang di meja tulisnya. Skrin komputer terpampang program ‘Microsoft Word’. Sebaik saja lepas solat Isyak berjemaah di masjid, dia bergegas balik dan terus memasuki kamar kreatifnya. Memang menjadi rutinnya bila berada di rumah dia akan berkurung dalam kamar itu.

Lebih-lebih lagi jika ada bahan yang hendak digarap. Dan jika tidak ada apa-apa yang hendak ditulis, dia akan menghabiskan masanya dengan membaca. Dia akan membaca apa saja baik akhbar, majalah, novel mahupun buku-buku pengetahuan lain. Inilah yang menjadi sumber pengetahuannya.

          Bagi Zahid  membaca adalah satu kemestian dalam usaha mencari ilmu dan menambah pengetahuan dan pengalaman. Dan sebagai penulis, pembacaan merupakan satu kewajipan yang tidak boleh dialpakan.

          Pembacaan merupakan aset yang cukup penting. Sebagai manusia biasa kita tidak mampu berurusan dengan semua perkara yang ada  dalam dunia ini. Jadi, untuk mengetahui perkara yang kita tidak tahu adalah dengan membaca.

Berjam-jam dia berteleku di depan skrin komputer tanpa sebaris ayat yang tercatat. Kini biji matanya terbeliak merenung jauh ke depan melalui celah tingkap nako yang sedia ternganga luas. Anak matanya terus membelah dan meredah kegelapan malam. Malam yang gelap pekat segelap nasib dan masa depannya. Itulah ketentuan Ilahi yang terpaksa dilalui.

          Samada suka atau tidak, sebagai manusia biasa dia terpaksa melaluinya. Segala-galanya telah termaktub di loh mahfuz sejak azali. Dia tak mampu untuk mengubahnya. Dia sedar hanya doa, usaha dan tawakal kepada Allah, semuanya boleh berubah.

          “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan suatu kaum sebelum mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri.” (Surah .Ar-Ra’d: ayat 11)

          Zahid faham dan hadam ayat itu. Dia akur dengan ketentuan Ilahi ke atas dirinya. Dia akan terus berdoa dan berusaha. Kerja menentukan jaya gagalnya adalah kerja Allah Yang Maha Berkuasa, dia berserah. Namun sebagai manusia biasa kadang-kadang dihantui perasaan resah dan gelisah.

          Malam yang tenang, sunyi lagi sepi juga tidak dapat membantunya untuk menulis. Hati dan jiwanya berserabut. Dia gelisah! Dia juga resah! Memang resah dan gelisah sering kali bertandang dan bermain-main di jiwa raganya akhir-akhir ini. Lebih-lebih lagi kehadiran abangnya petang tadi. Abangnya menambah lagi dilema kehidupannya.

          Lebih-lebih lagi kehadiran abangnya Zahir petang tadi memang menguris hati, jiwa dan perasaannya. Abangnya tidak pernah tahu atau belajar mengerti  apa yang ada di lubuk hatinya. Hanya ibunya yang memahaminya.

          Dia tidak ada kuasa untuk menghidarinya. Semakin cuba dihindari semakin kuat resah dan gelisah itu melanda dirinya.

          “Sampai bila aku harus begini? Terpaksa hidup dalam kesempitan. Terpaksa bekerja dengan orang! Dan yang paling malang, aku terpaksa melakukan kerja yang langsung tidak menarik minat dan perhatianku,” detik hati kecilnya.

          Kemelut kehidupan yang terpaksa dilaluinya amat mencengkam jiwa dan raganya. Apa yang mampu dibuat bagi merubah keadaan? Dia tak punya apa! Hidup hanya sekadar cukup makan dan pakai.

          Jika berbelanja lebih sikit, koceknya akan kering beberapa hari sebelum terima gaji. Akibatnya dia tidak berupaya untuk menabung. Menabung untuk kegunaan masa kecemasan ataupun menabung untuk kegunaan masa depan.

           Dia sedar formula untuk berjaya dalam hidup,  seseorang itu perlu menabung sepuluh persen daripada keseluruhan pendapatannya. Dan apabila tabungan sudah banyak cari tempat untuk melabur, ini resepi untuk hidup berjaya. Kaedah ini juga diguna pakai oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja sebagai tabungan hari tua para pekerja di sektor swasta.

           Para pekerja sektor swasta tidak mempunyai pencen dan diwajibkan menabung sembilan ke  sepuluh persen dan pihak majikan 11 ke 12 persen. Ilmu ini diperolehi melalui pembacaan sebuah buku bertajuk ‘Orang Yang Terkaya di Babylon’.

          Apa boleh buat memang sistem ekonomi negara ini yang mengamalkan dasar kapitalis-liberal dengan sistem pembayaran upah pekerja di negara ini telah direkacipta demikian rupa.

           Gaji atau upah pekerja hanya sekadar cukup makan dan pakai. Jika berbelanja lebih sikit, maka kocek akan cepat kering. Oleh kerana sistem penggajian pekerja begini orang yang tak punya apa pasti sukar membebaskan diri dari kemelut ini. Sistem ini juga memberikan orang kaya bertambah kaya dan orang miskin papa kedana.

          Namun begitu....jauh di sudut hati kecilnya, dia tetap yakin golongan seperti dirinya juga mampu untuk merubah keadaan. Dia perlu melipat gandakan usaha dan bekerja tanpa mengira waktu.

          Dia perlu mencari jalan untuk menabung sepuluh persen daripada pendapatan yang diperolehi. Tabungan ini gunanya untuk melabur dan menambah pendapatan bukannya diguna bila sesak.

           Dia juga perlu kreatif mencipta dan merebut peluang. Dan dia juga tidak akan lupa untuk berdoa kerana tidak tertolak qada dan qadar Allah yang telah termaktub di loh mahfuz melainkan dengan doa. Jika tidak, dia akan terus berada dalam kelompok itu buat selama-lamanya.

          Walaupun kini dia berada dalam situasi yang cukup menekan, dia tetap menyemat sejuta harapan. Dia begitu yakin segala impian dan harapannya akan menjadi kenyataan. Dia hanya perlu bersabar dan berusaha. Dia perlu menanam dalam jauh di sudut hatinya azam dan tekad untuk berdikari. Dia ingin berniaga. Dia yakin dengan sabda baginda Rasulullah, “sembilan  persepuluh punca rezeki datangnya dari berniaga.”

          Niat dan hasratnya untuk berniaga bukannya terikut-ikut dengan rentak para peniaga Melayu yang berjaya lainnya yang sering mempamerkan kemewahan hidup mereka. Dia ingin membina kekuatan ekonomi diri dan keluarga. Dia juga ingin membina rangkaian niaga orang melayu agar dapat mengukuhkan kekuatan ekonomi bangsa. Dan secara tidak langsung akan mengangkat martabat agama dan bangsa.

          Baginya, perniagaan merupakan satu ibadah dan jihad dalam usaha mengangkat martabat agama dan bangsa. Islam tidak pernah menghalang umatnya untuk menjadi kaya. Abdul Rahman bin Auf umpamanya adalah contoh orang yang kaya dalam Islam. Segala kekayaannya disumbangkan ke arah jihad untuk umat Islam. Malah Islam amat takut kefakiran kerana kefakiran boleh menjadikan manusia itu kufur. Sabda Rasulullah s.a.w: “Kefakiran itu mudah menjadikan seseorang menjadi kufur.”

           Dia tidak akan ikut rentak peniaga Melayu lainnya yang berjaya membina perniagaan tetapi gagal memberi peluang kepada anak bangsa lain sebahagiannya kek ekonomi yang mereka miliki.

           Segala kejayaan, kekayaan dan kemewahan hidup hanya untuk diri mereka dan keluarga mereka semata-mata. Oleh sebab inilah dia ingin berniaga. Dia ingin menjadi ‘role model’ kepada usahawan Melayu lain agar jangan lupa membina keutuhan ekonomi bangsa.

          “Aku mesti berusaha merealisasikan impianku,” bisik hati kecilnya.

          Zahid sedar untuk mencapai hasrat hatinya bukan mudah. Dia terpaksa berhadapan dengan segala jenis ranjau dan duri. Dia hanya anak seorang nelayan yang hidup umpama ayam, kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Dan untuk esok kais lagi dan begitulah sehingga kini.

           Dan arwah bapanya telah meninggal dunia ditelan ombak besar di laut. Bapanya juga tidak meninggalkan sebarang harta pusaka untuk diwarisi kecuali tapak rumah ini sahaja. Dia dan abangnya dibesarkan oleh emaknya yang mengambil upah melakukan pelbagai kerja kampung. Bagi Zahid  emaknya itulah ayah dan dia juga ibunya.

          Bagi memenuhi keperluan hidup dia kini bekerja di sektor industri di Prai. Dia terpaksa mengalih haluan hidupnya kerana emaknya tidak benarkan dia meneruskan tradisi dengan bekerja sebagai nelayan. Emaknya bimbang akan kehilangan orang yang dia sayang untuk kali kedua. Emaknya tidak rela.

          Hakikat tujuannya ingin bekerja nelayan adalah untuk mengetahui selok-belok pekerjaan itu dan akhirnya dia ingin membuat inovasi terhadap perkerjaan itu. Berpuluh tahun nelayan di Kuala Juru menjadi nelayan tradisional. Dia ingin melakukan sesuatu namun hasratnya untuk menjadi nelayan tidak disenangi oleh ibunya, dia terpaksa akur.

          Pendapatan di sektor industri juga sama dengan sektor-sektor lain, sekadar cukup makan dan pakai. Keluarganya tidak mempunyai kenalan dan kerabat dari kalangan pembesar dan pegawai tinggi kerajaan yang dapat membantunya mendapat pekerjaan yang baik dengan pendapatan yang memuaskan hati.

          Walaupun itu bukan syarat asas untuk mendapatkan pekerjaan yang baik. Tapi...suasana, keadaan dan zaman menuntutnya. Lihat di sekeliling kita, mereka yang punya kaum kerabat dan sahabat handai dikalangan pembesar dan pegawai tinggi kerajaan dengan mudah mendapat pekerjaan yang baik. Ini realiti kehidupan di negara ini yang tiada siapa dapat menafikannya. Hanya segelintir golongan biasa yang agak bernasib baik.

          Biarpun betapa sulit dan sukar, dia nekad! Dia tetap menyemai benih-benih keazaman di lubuk hatinya. Kesampaian atau tidak bukan menjadi perhitungannya dan urusan dia. Itu urusan Allah. Dia hanya perlu membina cita-cita itu agar hidupnya berhaluan. Dia akan berjuang bermati-matian untuk mencapai hasrat itu.

           “Aku yakin! Aku pasti berjaya,” terpacak keyakinan di sudut hatinya. Dia begitu yakin dia akan berjaya suatu hari nanti. Cuma dia tidak pasti bagaimana kejayaan yang diimpikan itu akan datang dalam hidupnya.

           Dalam usahanya mencari modal, dia pernah kecewa dengan sikap beberapa agensi kerajaan. Dia pernah kemukakan permohonan mendapatkan pinjaman perniagaan daripada satu agensi kerajaan. Agensi ini biasanya biasanya memberi modal bagi mereka yang ingin memulakan perniagaan.

          Permohonannya tidak diproses sebaliknya dibakul sampahkan. Dia juga pernah memohon daripada agensi lain, tetapi agensi itu hanya keluarkan pinjaman kepada mereka yang telah mulakan perniagaan.

Dia kecewa kerana permohonannya menerbitkan majalah pengiklanan tidak dilayan. Idea penerbitan majalah seumpama ini dicadangkan oleh seorang rakan yang balik belajar dari Amerika Syarikat. Menurut kawannya di sana, di setiap daerah pasti ada syarikat pengiklanan seumpama itu.

          Oleh kerana bidang ini ada kaitan dengan bidangnya maka dia membuat kertas kerja dan menghantarnya kepada agensi berkenaan. Permohonannya tidak dilayan.

           Jika projek ini dikatakan tidak berdaya maju, macam mana syarikat di Amerika Syarikat seperti ini boleh hidup. Lagipun projek ini menawarkan peluang pengiklanan murah kepada peniaga kecil dan sederhana. Dan pengiklanan merupakan segmen terpenting dalam perniagaan hari ini. Pengiklanan dalam akhbar arus perdana memakan kos yang terlalu tinggi dan tidak mampu dibiayai oleh syarikat-syarikat perniagaan kecil. Setelah beberapa tahun projeknya tidak diproses, maka tumbuh bagai cendawan projek seumpama itu diusahakan oleh bangsa asing.

          Jelas pegawai yang diamanahkan untuk menilai permohonan tidak mahir menjalankan tugas. Dan besar kemungkinan penilaian projek dibuat atas dasar kenalan dan bukan kebolehan. Jadi bagaimana anak bangsa hendak berjaya dan maju?

           Bagaimana anak bangsa yang ketinggalan dari semua aspek kehidupan khususnya bidang ekonomi dapat mengejar dan setanding dengan bangsa lain menjelang tahun 2050 nanti. Apa yang pelik saban tahun pegawai tinggi di peringkat kementerian menyatakan peruntukan tidak pernah habis.

          Zahid hairan! Mengapa perkara ini boleh berlaku? Sedangkan permohonannya sendiri tidak diproses. Jika begini sikap pegawai yang diamanahkan sampai bila pun peruntukan tak akan habis dan sampai kepada golongan sasaran.

          Kelulusan hanya diberikan kepada saudara dan kawan-kawan. Akibatnya pinjaman yang dikeluarkan gagal dipungut. Kesannya harapan kerajaan hendak melihat orang melayu berjaya tidak kesampaian.

           Apa puncanya? Perkara ini berlaku kerana pinjaman tidak dikeluarkan kepada mereka yang benar-benar ingin berniaga. Biasanya orang yang berkemahiran dan berhasrat memajukan diri diketepikan. Punca lain jika permohonan dibuat RM 30 ribu kelulusan diberi RM 20 ribu ke bawah. Jadi bagaimana mereka hendak melaksanakan projek itu?

          Akhirnya keluar kenyataan di pihak  kementerian mengatakan sekian banyak peminjam gagal membayar balik pinjaman dan orang Melayu tidak pandai berniaga dan tak tahu bayar hutang.

          Dalam soal ini siapa yang patut disalahkan? Jika ditanya pihak yang mengeluarkan pinjaman sudah pasti menyalahkan peminjam. Maka akan terkeluar dari mulut mereka peminjam tidak tahu menghargai pertolongan. Carilah mana-mana negara di dunia ini yang memberikan pinjaman seperti ini.

           Tapi persoalannya, bolehkah kesalahan ini diletakkan seratus peratus di atas pundak peminjam? Bagaimana pula pihak yang ditugaskan menilai sebelum kelulusan pinjaman diberikan?

Bagi Zahid yang tidak arif dalam soal memproses permohonan pinjaman berani mengatakan sebahagian besarnya berpunca daripada kelemahan pegawai yang diamanahkan untuk menilai sesuatu projek yang dikemukan.

          Mereka gagal mengenal pasti calon yang benar-benar layak dan inginkan pinjaman untuk berniaga. Mereka juga selalu memberikan pinjaman kurang daripada nilai yang dipohon. Mereka juga mengamalkan budaya pilih bulu dan bukan kebolehan.

 Berdasarkan pengalaman ini Zahid bertekad tidak akan memohon sebarang pinjaman perniagaan dari pihak kerajaan. Dia berazam untuk berusaha sendiri. Jika orang lain boleh berjaya tanpa bantuan kerajaan, kenapa dia tidak boleh? Dia mesti berusaha mengenal pasti teknik dan taktik mereka sahaja.

          Dia mesti mengamalkan budaya niaga bangsa Cina. Baginya tidak salah kerana baginda Rasulullah sendiri pernah bersabda, “belajarlah sampai ke negeri Cina.”

            Zahid juga bertekad akan berusaha berdikit-dikit. Dia akan cuba mencari peluang dan ruang untuk memasuki bidang perniagaan yang dihajatkan. Dia yakin! Biarpun dibelit pelbagai masalah, dia tetap akan berusaha menjayakan cita-citanya. Dia juga akan berdoa dan bertawakal kepada Allah Azawajalla. Dia pasrah!

          Zahid terkenangkan pertemuan dengan Tok Guru Haji Jamaludin seorang guru agama di pondok Kubang Ulu. Haji Jamaludin pernah menyarankan agar dia minta terus daripada Allah apa saja yang dihajati. Kalau boleh buat solat hajat dan persembahkanlah permohonan kepada Allah Yang Maha Esa. Jangan sekali-kali minta tolong sesama manusia.

           “Usaha terus sehingga kita memperolehi apa yang dihajati. Dan kalau bersabit dengan rezeki kita boleh tambah dengan solat Dhuha, amalkanlah selalu, In Shaa Allah,” nasihat Tok Guru Haji Jamaludin.

           “Allah telah berfirman dalam surah Al-Mukmin ayat 60, ‘Berdoalah kepadaku, nescaya akan ku perkenankan bagimu.’ Ingat! Allah tidak pernah memungkiri janjinya,” tegas Tok Guru Haji Jamaludin.

            “In Shaa Allah, akan aku lakukannya,” terpahat keazaman dihatinya. Dia berazam untuk mengikut segala nasihat yang diberikan oleh Tok Guru Haji Jamaludin. Memang menjadi kelazimannya untuk bertemu dengan Tok Guru Haji Jamaludin jika dia berhadapan dengan apa saja masalah baik dunia mahupun akhirat.

          Dia tersentak daripada lamunan apabila terdengar kokokan ayam bersahutan. Dia fokuskan perhatian ke arah jam yang tergantung di dinding kamar kreatifnya. Jarum panjang tepat ke angka dua belas sementara jarum pendek berada di angka tiga.

            Sejak jam sembilan malam sehingga jam tiga pagi, dia hanya mengelamun, melayan perasaannya. Dia menyuluh dan menyusuri jalan-jalan yang pernah dilalui. Dia juga melihat masa depan dengan penuh pengharapan lebih kurang 6 jam dia mengadap skrin komputer tanpa berupaya mengarap walaupun sepatah perkataan.

          Dia tidak kesal menghabiskan masa berjam-jam semata-mata mengelamun dan merenung untung nasib dirinya. Dia sedar sekali-sekala manusia perlu duduk dan merenung perjalanan hidup yang pernah dilalui dan mengambil iktibar daripadanya, dengan kata lain kita perlu muhasabah diri.

          Manusia sesekali memang perlu duduk dan merenung akan masa depan yang hendak dituju. Dan memikirkan bagaimana hendak menterjemahkan harapan dan impian itu menjadi realiti. Justeru itu, dia tidak pernah kesal masa yang amat berharga dihabiskan dengan cara itu.

SILA LAWAT SAMA CHANNEL YOUTUBE SAYA

"SIAPA PM KE-10 KITA?"



         

 

 


Khamis, 3 November 2022

ZAHID DI SERANG

 




 ZAHID  minum petang di atas beranda rumah bersama ibunya, Mak Jah. Zahid memberitahu ibunya dia tak tahu apa yang hendak dibuat, dia tidak minat bekerja di kilang.  Dia lebih suka dan berminat bekerja dengan masyarakat dan menulis. Namun peluang itu tidak pernah ada.

Cuma kerja masyarakat yang dapat dibuat hanyalah  memimpin persatuan belia dan  tidak mendapat gaji. Begitu juga kerja menulis sekadar menulis cerpen dan puisi yang tidak mendapat bayaran yang mampu menyara hidup.

Untuk menulis novel pula memerlukan banyak masa malah kadang kala pendapatannya tidak setimpal dengan masa, tenaga dan fikiran yang tercurah.

“Zahid bersabar terus berusaha dan berdoa kerana segala qada dan qadar Allah kepada manusia hanya akan tertolak  dengan doa. Berdoalah banyak-banyak disamping terus berusaha dan jangan berputus asa.”  nasihat Mak Jah kepada anak kesayangannya.

“Kerja yang dilakukan sekarang perlu dibuat bagi kelangsungan hidup kita. Kalau tidak bekerja macam mana kita nak makan? Jika tidak ada pendapatan bagaimana ahli persatuan hendak menghormati Zahid sebagai pemimpin? Jadi bagaimana Zahid hendak membeli buku, majalah, akhbar dan sebagainya sebagai alat bantu kerja penulisan.” kata  ibunya lagi sambil merenung wajah anak lelaki kesayangannya itu.

Zahid mengakui apa yang ibunya cakap dan merenung wajah tua ibunya yang memang mengharapkan pendapatan dia untuk terus hidup. Dia sedar itu!.Zahid termenung panjang.

 

“Mak jangan bimbang, Zahid tidak akan mengabaikan tanggungjawab Zahid mencari rezeki untuk kita walaupun jiwa Zahid sendiri kadang-kadang  tertekan dan memberontak” ujar Zahir mohon pengertian ibunya.

“Mak percaya dan Mak yakin akan keupayaan Zahid.  Walaupun Zahid anak bungsu tapi sikap Zahid lebih daripada anak bongsu.” balas ibunya.

“Assalamualaikum”

“Walaikumsalam” jawab Zahid menyambut salam abangnya yang baru sampai. Zahid sendiri tidak sedar  kehadiran  abangnya. Bunyi motosikal yang bukan perlahan tidak didengarinya. Zahid tengelam dalam mainan perasaannya sendiri.

“Naiklah Zahir... duduk,  mak masuk ambil minuman.” kata ibunya sambil melangkah masuk ke dalam rumah.

“Zahid,  apa yang dimenungkan tu?” tanya abangnya Zahir.

“Tak ada apa abang... saja berbual kosong dengan Mak sambil minum petang.” jawab Zahid pendek.

Mak Jah  datang membawa  minuman dan berikan kepada Zahir sambil merenung wajah kedua-dua anaknya itu. Kedua-dua mereka jarak usia memang agak jauh hampir 10 tahun.  Mereka berdua sering tidak sependapat dan sekata dalam banyak perkara. Mak Jah sendiri hairan mengapa mereka berdua beradik tidak boleh bersemuka.

“Aku dengar kau asyik sangat dengan persatuan belia malah kadang-kadang kerja pun kau tak pergi, betul ke?” soal Zahir.

Zahid tahu abangnya mendapat cerita daripada jiran sebelah rumah, adik beradik mereka juga. Zahid hairan apa yang membuatkan  mereka  tidak senang dengannya. Zahid tidak tahu!  Mengapa jirannya itu jadi begitu. Ada saja perkara yang negatif pada pandangan mereka yang diadukan kepada abangnya.

Zahid hairan! Zahid pernah melancarkan projek  pemulihan tanah rang di kampung melibatkan golongan belia dan anak jirannya sendiri mengusahakan ladang pisang sebanyak tiga ekar. Berjaya dan kini anaknya tidak buat kerja lain melainkan menguruskan ladang pisang itu.

Zahid tidak pernah minta apa-apa malah sesikat pisang pun tidak pernah diberikan kepada Zahid sebagai tanda terima kasih. Namun Zahid tidak pernah persoalkan semua itu,  apa yang dia buat ikhlas. Dia menggunakan tenaga, fikiran dan kedudukannya sebagai pengerusi persatuan belia adalah untuk membantu ahli-ahlinya.

Zahid ingin mengubah persepsi masyarakat terhadap kerja pertanian ini sebagai kerja yang tidak menguntungkan. Dia ingin menanam di minda ahli belia pertanian adalah satu perniagaan selaras dengan kehendak kerajaan.

“Kenapa  bang? Saya ambil cuti kerana ada program belia yang saya buat, tak kan saya tidak ada pula projek itu dilancar atau dilaksana.” Zahid menjawab sambil melihat ibunya yang termenung.

“Kerja persatuan tak dapat duit malah menghabiskan duit lagi adalah. Kau sanggup pula ambil cuti dan buat kerja yang tak dapat duit. Kalau kau tidak ada makan, kau ingat ahli belia kau akan membantu?” soal abangnya.

“Abang itu minat saya... abang. Saya memberi khidmat berdasarkan ilmu yang saya ada dan saya tidak pernah mengharapkan apa-apa balasan. Samalah juga kita lihat hobi sesaorang misalnya memancing kadang-kadang belanja, masa dan tenaga yang dihabiskan tidak berbaloi lebih baik dia membeli saja.” jawab Zahid panjang lebar.

“Biarkanlah dekat dia Zahir, itu minat dia. Lagi pun dia tidak menyusahkan sesiapa termasuk kau malah banyak membantu masyarakat belia di kampung ini.” ibu Zahid membela.

“Mak macam tu la kalau saya tegur Zahid pasti Mak akan bela dia, sebab tu dia jadi lemak tak dengar cakap.” Zahir menyerang ibunya.

“Mak bukan membela adik kau tu. Mak duduk dengan dia dan Mak tahu apa yang dia buat. Bagi Mak itu sebahagian kerja kebajikan dia. Kalau dia hendak bagi duit kepada belia dan masyarakat dia pun susah jadi dia bagilah tenaga dan fikiran dia. Kau sendiri dapat lihat projek tanah rang yang di tanah sawah yang terbiar berapa ramai belia yang dapat cari makan.” jelas ibunya.

“Dia dapat apa?” soal Zahir.

“Dia dapat pahala kebajikan. Dia buat tanpa mengharapkan apa-apa daripada mereka. Kalau dia nak turut serta dalam projek itu kita tak ada tanah sawah. Hanya tapak rumah sekangkang kera ni saja milik kita.” ibunya terus mempertahankan tindakan Zahid.

“Abang tak payah risau, saya dah pun tak pegang apa-apa  jawatan dalam persatuan belia tu.” Zahid malas bertekak dengan abangnya dan bangun berlalu masuk dalam rumah. Zahir memandang adiknya dengan perasaan tidak senang sambil menyambung kata.

“Emak tengok... emak kata dia buat jasa dan kebajikan kepada golongan belia tapi apa jadi sekarang. Dia mereka tendang macam tu saja keluar dari kepimpinan persatuan.”  kata Zahir.

“Mak dia dah besar panjang dan dah pun patut  berkahwin. Kalau banyak masa, tenaga  dan wang ringit  dia habiskan berpersatuan dan menulis yang tidak memberikan sebarang pulangan macam mana dia nak kahwin nanti. Belanja perkahwinan sekarang bukannya murah.” Zahir menyambung dan terus mempertahankan pendiriannya dengan terus menyerang Zahid.

“Zahir rezeki, jodoh ajal dan maut ketentuan Allah. Bila tiba masanya Allah akan lorong dan permudahkan urusan itu. Kita tidak payah fikir soal itu dan kalau dia rasa dah sampai masanya dia hendak kahwin dia pasti akan usahakan untuk dapatkan belanja perkahwinan. Dia pun tahu Mak tak dapat bantu dia, selama ini pun Mak menumpang rezeki dia, Zahir.” ujar ibunya.

Zahir hilang kata bicara kerana setiap apa yang dia perkatakan mengenai Zahid mendapat pembelaan ibunya. Zahir kecewa dan turun dari beranda dengan muka yang masam mencuka mendapatkan motosikalnya dan berlalu.

Ibunya hanya memandang Zahir berlalu dan mengeleng-gelengkan kepalanya.

 

MY YOUTUBE CHANNEL
"BUNGA CINTA DI KALA SENJA"



Khamis, 13 Oktober 2022

LAKARAN KEHIDUPAN

 

Jom kita ikuti puisi “LAKARAN KEHIDUPAN” hasil karya saya. In Shaa Allah  puisi “LAKARAN KEHIDUPAN” ini saya akan jadikan judul kumpulan puisi saya nanti . Saya sedang mengali dan mengumpulkan semua puisi2 saya, In shaa allah akan di bukukan jika ada rezeki lebih nanti.

LAKARAN KEHIDUPAN

Di kanvas itu

Tahkala aku melakar gambar kehidupan

Aku mengimbau nostalgia

Masa kecil di desa pingitan

Penuh keriangan

Sendat kegembiraan

Walaupun di belit sejuta permasalahan

 

Tapi kini  hatiku sepi

Jiwaku sunyi

Namun lakaran kehidupan mesti diteruskan

Samada suka atau tidak

Hidup mesti diteruskan

Adakah lakaran kehidupan itu menuju pengakhiran?

Menuju pusaranya

Dan mengadap lakaran kehidupan Tuhan Yang Maha Kuasa

Tuhan pencipta Alam Raya ini

Hanya dia yang maha mengetahui

 

Hasil karya : Arzaman Sulaiman

Padang Serai, 24 mei 2014


SENANG-SENANG IKUTI SAMA VIDEO DARI CHANNEL SAYA

"SIAPAKAH SAHABAT SEJATI KITA"




Isnin, 26 September 2022

KEMELUT KASIH

 


KEMELUT KASIH, begitulah lumrah kehidupan lumrah orang yang berkasih. Adakalanya pasti terpaksa menghadapi pelbagai kemelut dalam berkasih.

Misalnya masalah orang ketiga yang pastinya berkaitan dengan kejujuran dan keikhlasan. Memang zaman ini, zaman dunia tanpa sempadan kita sering berjumpa orang baru khususnya di alam social media.

Pertemuan dengan orang baru kadang-kadang menyebabkan kita lupa dan sudah tidak pedulikan kawan lama kita. Jika ini berlaku pastinya akan mencetus KEMELUT KASIH.

 

KEMELUT KASIH”

 

Pertemuan telah tercipta

Tak dirancang…

Juga tidak terduga

Lalu terbentuk ikatan kasih

Bersulam rasa sayang

Bersalut rasa cinta

 

Namun tiba-tiba badai melanda

Tertancap sembilu bengkak…

Dan bernanah…

Bisa menusuk jantung hati ini

Menjalar dan mencengkam jiwa

 

Dunia jadi kelam

Jiwa kian bercelaru

Dihiasi sepi

Disalut suram

Dan hidup seakan mati.

 

Karya : Arzaman Sulaiman

             Padang Serai, Kedah

             4 Disember 2012-12-04


SILA LAWATI CHANNEL YOUTUBE SAYA

"RAHSIA DAPAT PASANGAN BAIK"




Rabu, 7 September 2022

OMBAK MENGHEMPAS PANTAI

 



Jika kita berada di tepi pantai kadang-kadang kita lihat ombak akan membelai lembut pantai. Ada masanya ombak akan menghempas pantai dengan kasar. Ada ketikanya apabila laut bergelora ombak akan menghempas pantai dengan ganas.

Fenomena ombak dan pantai ini umpama sikap manusia kadang kalanya lembut, pada satu-satu ketikanya kasar dan pada waktu yang lain agak keras. Sikap ini bergantung kepada keadaan.

Begitulah Allah menjadikan alam ini dengan manusia saling berkait rapat kalau kita rajin mengkajinya.

Puisi OMBAK MENGHEMPAS PANTAI ini   adalah puisi saya terkandung dalam Antologi PUISI LAUT terbitan Jabatan Laut Semenanjung Malaysia pada tahun 2004.

Puisi ini saya hasilkan untuk menyertai Pertandingan Puisi Maritim anjuran Jabatan Laut Semenanjung Malaysia.

Mengikut komentar juri pertandingan ini, mereka menerima lebih 500 puisi selain mereka yang memenangi hadiah pihak penganjurtelah memilih 200 puisi untuk diantologikan.

Walaupun saya tidak memenangi sebarang hadiah dalam pertandingan ini namun saya tetap bersyukur kerana puisi saya terpilih dalam 200 puisi daripada 500 lebih puisi untuk diantologikan. Syukur Alhamdulillah.

Inilah puisinya “OMBAK MENGHEMPAS PANTAI”

OMBAK MENGHEMPAS PANTAI

 

Aku berjalan-jalan di gigi pantai

Sendirian, menikmati panorama  alam

Sambil menghirup angin  laut yang segar

Menjadikan aku tenang dan damai

 

Aku juga dapat lihat ombak

Yang menggunung dan bergulung di tengah samudera

Berlari pantas menghempas pantai dan berlalu pergi

Kemudian menggunung dan bergulung lagi

Datang lagi menghempas pantai

Berkali-kali tanpa mengenal erti jemu

 

Aku juga lihat ombak jauh di tengah  samudera raya

Mengumpul tenaga

Menggunung dan bergulung

Bagi menghempas pantai

Tanpa kenal erti jemu dan putus asa

 

Kini terpeta di benakku

Untuk mencapai tujuan hidup

Kita perlukan kerjasama

Kita perlukan perpaduan

Untuk membina kekuatan

Bagi menghadapi apa juga rintangan

Dengan semangat yang kental

 

Karya : Arzaman Sulaiman

Batu Feringgi, Pulau Pinang


KLIK UNTUK IKUTI VIDEO DARI CHANNEL SAYA

ZAHID TERKAPAI-KAPAI (BAB 5 RUSUH DI KUALA)




Selasa, 6 September 2022

ANEHNYA KEHIDUPAN

 



HIDUP di dunia ini penuh teka teki. Terdapat pelbagai keanehan dalam kehidupan ini. Adakah kita juga suka bersikap aneh?

Sebagai contoh seperti isu yang saya angkat dalam puisi ini, kita melihat ada orang yang tidak memberikan perhatian kepada orang yang suka dan sayangkan dia.

Orang itu terus mengejar bayang-bayang dalam kehidupanya. Saya katakan bayang kerana kita tidak tahu sikap bayang-bayang yang kita kejar itu.

Apabila bayang-bayang itu mempamerkan keadaan sebenarnya maka kita akan kecewa dan menyalahkan takdir. Adakah takdir yang salah atau kita sendiri yang silap?

Jom kita ikuti puisi “ANEHNYA KEHIDUPAN.”

  

ANEHNYA KEHIDUPAN

      

Hidup ini cukup aneh…

Dia gagal hormati orang yang menghormati dia

Dia juga lupa orang yang ingatkan dia

Dia tidak peduli orang yang pedulikan dia

Dia abaikan orang yang jaga dia

Dia tidak sayang orang yang sayangkan dia

Dia tidak kasih orang yang kasihkan dia

Dia tidak cinta orang yang cintakan dia

 

Hidup ini memang pelik…

Dia memburu apa-apa yang tidak jelas

Dia mencari apa yang tidak pasti

Kerana kesilapan itu dia disakiti

Dia dilukai…

Dia  salahkan orang lain

Bukan dirinya

yang silap membuat perhitungan

Dirinya tetap betul

orang lain semua salah

Orang lain semua jahat

Orang lain semua mempermainkan dia

orang lain semua melukai dia

Dia lupa semua itu berpunca dari dirinya sendiri

Inilah sikap manusia di alam raya ini.

 

Nukilan Rasa : Arzaman Sulaiman,

Padang Serai, Kedah,

Hakcipta © Nov 2017 arzaman sulaiman

Semua Hakcipta Terpelihara     


SILA KLIK UNTUK IKUTI VIDEO YOUTUBE SAYA:-

BUNGA CINTA ZAHID DAN JANET MULA BERSEMI

ERS



Sabtu, 3 September 2022

AMPUNILAH AKU

 Sebagai manusia biasa yang pastinya mempunyai segala kekurangan dan kelemahan dan sudah semestinya tidak terlepas dari melakukan kesalahanyang mengutip dosa. Jesteru itu kta wajar memohon keampunan dari DIA YANG MAHA KUASA, “AMPUNILAH AKU.

Ya Allah Al-Ghaffaar

Allah Maha Pemberi Ampun

Ampunilah aku

Sesungguhnya aku manusia lemah

Terlalu banyak dosa yang aku kutip

Di tempat persinggahan ini Ya Allah

Ampunilah aku... Ya Allah Ar-Rahman

Aku Tiada Daya dan Upaya Kecuali Dengan IzinMU Ya Allah

Janganlah ENGKAU

Serahkan Aku Kepada Diriku Sendiri

Walaupun sekelip mata aku tidak akan mampu menguruskannya.

 

Nukilan Rasa

ARZAMAN SULAIMAN

Kamar Sepi, Padang Serai ,Kedah

Hakcipta © 2016 arzaman sulaiman

Semua Hak Terpelihara


  MY YOUTUBE CHANNEL 




Ahad, 7 November 2021

SELAMA 5 TAHUN

 Lima tahun telah berlalu

Lima tahun adalah satu jangka masa  yang  lama

kalau  bayi

sudah mampu  berlari

sudah bisa  berbicara

 

kalau  YB

Lima tahun adalah  sepenggal perkhidmatan

Sudah ramai yang kita kenal

Dan pasti  banyak jasa yang sudah  ditaburkan

dan sudah layak  mendapat pencen

 

Selama 5 tahun kita bersama

Selama lima tahun kita berkawan

Dan selama lima  tahun kita bersahabat

hampir setiap hari kita bersama

Untuk selama 5 tahun

 

Kita menjalani batas-batas kehidupan bersama

Biar pun kita dibatasi jarak

Namun tidak pernah menjadi halangan

Dan kita  berjanji akan terus bersama

Akan terus menjadi kawan

Akan terus menjadi sahabat sampai bila-bila

kita senang dan bahagia dengan cara kita

 

Ketika itu kau susah

kau dibelit pelbagai permasalahan

Bukan soal  wang ringgit

Tapi ….

perkara yang berligar  di kelilingimu

tugas… kawan dan pelbagai lagi

 

 

ketika  itulah aku membimbingmu

aku meniupkan  api semangat

aku memberi dan membuka jalan

aku membantu kau mengatasi segala permasalahanmu

kau menjadi kawan yang paling baik

kau menjadi teman yang paling  setia

tapi hanya untuk lima tahun

 

 

Setelah kau senang

Kau mula ego….

Kau mula sombong…

Lupa segala janji yang dimenteri

Kau sudah tidak pedulikan aku

Dan sudah Juga tidak mahu dengarkan kataku

Semuanya selepas lima tahun

 

Tak mengapa

Aku sedar siapa aku

Aku redha dalam keterpaksaan

Kerana itulah fitrah manusia

Rata-rata manusia mudah lupa diri

Lupa siapa yang membantu ketika susah

Selepas lima tahun

Aku pasrah  biar pun aku terkilan.


HASIL KARYA  :-

ARZAMAN SULAIMAN

PADANG SERAI, KEDAH.


SILA KLIK UNTUK MENGIKUTI VIDEO YOUTUBE DARI CHANNEL SAYA : 

"LIFE BEGIN AT 40! BETULKAH?"