Assalamualaikum wbt
Bismillahirrahmanirrahim
Teks: Nurul Nisa Yahaya
1 Muharram 1436H telah tiba. Salam Maal Hijrah...
Memandangkan kita telah memasuki bulan yang baru di tahun yang baru, marilah kita bersama-sama membina azam yang baru. Perkara yang lepas jadikan iktibar, kehidupan perlu diteruskan. Cuma, pastikan kehidupan yang akan diteruskan ini adalah lebih baik dari kehidupan yang lepas. Semoga azam kita pada tahun ini mendapat keberkatan dan keredhaan Allah SWT jua, In Shaa Allah. Di dalam pertimbangan membina azam, pastikan kita tidak terlepas dari dua perkara ini.
Pertama, NIAT.
Sebagai umat Islam, "Sesungguhnya setiap amalan harus disertai dengan niat. Setiap orang hanya akan mendapatkan balasan tergantung pada niatnya. Barangsiapa yang hijrah kerana cinta kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya akan sampai kepada Allah dan Rasul-Nya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana menginginkan perkara dunia atau kerana wanita yang ingin dinikahinya, maka hijrahnya (hanya) mendapatkan apa yang dia inginkan" [HR Bukhari]. Niat tersebut haruslah hanya kerana Allah SWT semata-mata sebagaimana ikrar kita kepada-Nya lima kali dalam sehari, "Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah kerana Allah, Tuhan seluruh alam".
Kedua, STRATEGI/ PERANCANGAN.
Di dalam setiap tindakan, pastikan kita telah meletakkan strategi/ perancangan yang terbaik. Untuk keluarga kami, saya dan suami telah menyediakan pelan strategik 1436H-1440H agar kami sekeluarga mempunyai panduan di dalam mencapai visi dan misi dalam menjalani kehidupan sebagai khalifah di muka bumi ini di dalam mencari keredhaan Allah SWT. Setiap ahli keluarga termasuk anak-anak perlu diberitahu apakah tanggungjawab dan peranan masing-masing supaya tidak ada yang tersasar dari matlamat. Apabila kita telah mempunyai perancangan jangka panjang, sebenarnya ia akan memudahkan kita untuk membuat perancangan jangka pendek seperti perancangan harian, mingguan, bulanan dan seterusnya tahunan.
Untuk mencapai pelan strategik 1436H-1440H tersebut, banyak perkara yang perlu saya perbaiki. In Shaa Allah saya berazam untuk perbaiki amalan harian terlebih dahulu melalui azam 1436H:-
#1 Mulakan hari seawal jam 4.00 pagi setiap hari
#2 Solat di awal waktu
#3 Laksanakan amalan solat sunat dan puasa sunat
#4 Amalkan bacaan al-ma'thurat di waktu pagi dan petang
#5 Khatam Al-Quran berserta tafsirannya
#6 Menutup aurat dengan sempurna
#7 Kemaskini blog setiap hari
#8 Fokus pada pelajaran anak-anak