Thursday, February 15, 2018

Aktiviti perlumbaan haram sangat digemari oleh golongan remaja walaupun kadang-kadang berakhir dengan pelbagai tragedi. Bincangkan faktor-faktor yang menyebabkan aktiviti ini semakin diminati dan kesan-kesan negatif aktiviti ini sekiranya tidak dibendung.

        Gejala lumba haram sering dipaparkan melalui media massa, contohnya dalam filem-filem tempatan dan luar negara seperti filem Bohsia, Adnan Sempit dan sebagainya. Aktiviti lumba haram ini sangat digemari oleh golongan remaja walaupun mereka mengetahui kadang-kala aktiviti ini akan berakhir dengan pelbagai tragedi ngeri. Sememangnya terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan remaja terlibat dalam aktiviti lumba haram.  Wujud juga pelbagai kesan negatif  aktiviti ini sekiranya tidak dibendung.

         Ketiadaan trek perlumbaan percuma merupakan salah satu faktor yang mendorong remaja terjebak dengan aktiviti perlumbaan haram ini. Trek perlumbaan percuma di negara kita hanya terdapat di sesetengah tempat dan bilangannya sangat terhad kerana kos pembinaan trek perlumbaan ini amat tinggi. Biasanya, trek perlumbaan terdapat di kawasan yang jauh dari bandar, contohnya, trek perlumbaan di Litar Sepang, Batu Kawan, Seberang Prai, dan Cheras. Penggunaannya hanya terhad kepada golongan remaja yang tinggal di kawasan berhampiran sahaja. Golongan remaja yang tinggal di bandar tidak berpeluang untuk berlumba di trek perlumbaan tersebut. Kesannya, remaja yang berminat dalam perlumbaan motor terpaksa menggunakan jalan raya sebagai litar untuk berlumba walaupun mereka mengetahui bahawa perbuatan tersebut salah di sisi undang-undang.  Jelaslah bahawa remaja terdorong melakukan aktiviti perlumbaan haram ini kerana ketiadaan trek perlumbaan percuma yang mencukupi.

         Seterusnya, faktor lain yang menyebabkan remaja melibatkan diri dalam perlumbaan haram ini ialah mereka ingin mencari kepuasan dan keseronokan. Melalui aktiviti ini, remaja dapat berkumpul beramai-ramai dan meneruskan perlumbaan mereka. Mereka melakukan aksi-aksi yang boleh membahayakan nyawa mereka seperti aksi ‘Superman’. Pada mereka, aksi tersebut mampu memberi kepuasan apabila dipertontonkan serta mendapat tepukan daripada rakan mereka yang lain. Bukan itu sahaja, ganjaran yang disediakan membuatkan remaja lebih bersemangat menyertai perlumbaan haram tersebut. Contohnya, gadis-gadis dan wang ringgit dijadikan habuan kepada pemenang perlumbaan haram tersebut. Hal ini menyebabkan remaja tersebut berasa seronok dan ingin selalu menyertai perlumbaan itu. Jadi jelaslah bahawa kepuasan diri remaja merupakan faktor keterlibatan mereka dalam aktiviti ini.

         Selain itu, kurang perhatian daripada ibu bapa merupakan faktor remaja terjerumus dalam aktiviti perlumbaan haram ini. Perkara ini berlaku apabila ibu bapa terlalu sibuk bekerja sehingga tiada masa untuk bersama anak-anak mereka. Bermula dari situ, remaja berasa terpinggir dan tidak disayangi, seterusnya mereka mengambil keputusan untuk keluar dari rumah dan menyertai rakan-rakan mereka berlumba haram. Mereka menganggap dengan berbuat demikian, mereka mampu mendapat perhatian serta melepaskan tekanan yang dihadapi. Mereka menghabiskan masa mereka dengan berlumba haram sehingga lewat malam dan pulang pada lewat subuh. Disebabkan tuntutan ego, mereka mula terlibat dengan jenayah sosial yang mampu menjejaskan masa depan mereka. Oleh itu, penglibatan remaja dalam masalah ini sebenarnya  berpunca daripada sikap ibu bapa yang tidak prihatin.

        Seterusnya, penglibatan remaja dalam masalah sosial ini menjurus kepada pelbagai kesan negatif.  Salah satunya ialah peningkatan kadar kematian disebabkan kemalangan jalan raya. Kemalangan yang berlaku mungkin disebabkan oleh kecuaian pelumba haram yang tidak berjaya mengawal kenderaan mereka. Situasi ini menyebabkan pemandu lain yang berada berhampiran tidak dapat mengelak daripada bertembung dengan kenderaan pelumba haram disebabkan tidak sempat menekan brek. Selain itu, pelumba haram yang melakukan aksi-aksi berbahaya yang melampau mendedahkan diri mereka kepada kemalangan,contohnya aksi    ‘Willy ’ yang memerlukan keseimbangan badan. Mereka mungkin terpelanting daripada motorsikal yang ditunggang akibat tidak dapat mengawal situasi. Lebih malang lagi apabila orang yang tidak bersalah menemui ajal akibat perbuatan mereka. Jelaslah sikap tidak bertanggung jawab para pelumba haram mengakibatkan kecederaan kepada diri sendiri dan orang lain.

         Selain itu, aktiviti lumba haram ini mengundang jenayah lain. Aktiviti jenayah mungkin terjadi dalam kalangan remaja kerana mereka memerlukan wang untuk menyertai perlumbaan haram tersebut. Mereka akan melakukan pelbagai jenayah untuk memperoleh wang. Contohnya, mereka akan merompak, meragut, mencuri dan sebagainya. Hal ini demikian kerana mereka perlu menyediakan cagaran seperti wang sebagai taruhan bagi setiap perlumbaan yang disertai. Kesannya, jenayah yang dilakukan oleh mereka mengancam keselamatan masyarakat. Di samping itu, terjadi pergaduhan antara mereka apabila ada segelintir remaja yang tidak berpuas hati dengan rakan-rakan mereka dan akhirnya menjurus kepada pembunuhan. Kesannya, remaja yang terlibat dengan lumba haram ini turut mengheret diri mereka ke dalam jenayah yang lebih berat. Jelaslah keterlibatan remaja dalam aktiviti lumba haram ini dapat meningkatkan kadar jenayah dalam negara.

        Kesan negatif yang lain ialah aktiviti lumba haram ini mampu menjatuhkan imej negara di mata para pelancong. Perlumbaan haram biasanya dilakukan oleh golongan remaja di jalan-jalan utama di bandar-bandar. Pelancong asing sering terserempak dengan pelumba haram ini. Hal ini demikian kerana jalan-jalan utama menjadi tumpuan pelumba haram ini menjalankan aktiviti mereka tanpa mengira waktu sama ada pada waktu siang hari mahupun pada waktu malam hari. Lebih malang lagi apabila ada pelancong asing yang menjadi mangsa jenayah yang dilakukan oleh pelumba-pelumba haram ini. Contohnya, mereka menjadi mangsa jenayah ragut, rompak, dan kemalangan jalan raya akibat bertembung dengan pelumba haram tersebut. Antara jalan utama yang menjadi tumpuan remaja menjalankan aktiviti perlumbaan haram mereka ialah  di Dataran Merdeka, Lebuh Raya Akleh dan sebagainya. Pelancong asing yang pernah menjadi mangsa pasti akan mengalami trauma dalam hidup mereka. Kesannya, mereka tidak akan kembali ke negara ini dan mungkin akan menceritakan keburukan Malaysia kepada rakan taulan yang berada di negara asal. Hal ini pasti akan menjejaskan imej Malaysia di mata pelancong asing. Sesungguhnya, sikap negatif yang dibawa oleh remaja mampu menjatuhkan reputasi negara di samping memberi kesan kepada ekonomi negara kita.

        Kesimpulannya, terdapat banyak faktor aktiviti lumba haram ini sangat digemari oleh remaja, sekaligus membawa kesan negatif kepada diri sendiri, orang awam, dan negara. Oleh itu, terdapat pelbagai langkah yang boleh diambil bagi menangani masalah ini. Semua pihak haruslah memainkan peranan masing-masing dengan berkesan bagi membanteras gejala sosial ini. Ibu bapa harus meluangkan masa yang lebih bersama anak-anak, memantau tingkah laku anak-anak, serta mengenali rakan anak-anak. Selain itu, kerajaan juga perlu mengetatkan undang-undang yang sedia ada. Hukuman penjara dan denda perlu dilaksanakan dengan lebih tegas agar mereka tidak mengulangi kesalahan yang sama. Sekiranya aktiviti ini dapat dibendung, tidak mustahil negara dapat melahirkan lebih ramai modal insan yang berkualiti yang mampu menjana kecemerlangan negara pada masa hadapan.

Kanak-kanak sering menjadi mangsa dalam keganasan yang terjadi oleh golongan dewasa. Bincangkan kesan perlakuan tersebut terhadap kanak-kanak.

Berita keganasan rumah tangga sering dipaparkan melalui media massa iaitu media cetak dan media elektronik.  Penderaan kanak-kanak semakin berleluasa dalam kalangan masyarakat kini. Kanak-kanak sering menjadi mangsa dalam keganasan yang dilakukan oleh golongan dewasa. Punca penderaan kanak-kanak mungkin disebabkan masalah kewangan oleh sesebuah keluarga. Selain itu, penderaan kanak-kanak juga berlaku akibat krisis rumah tangga, tekanan di tempat kerja dan kurangnya pendidikan agama dalam kalangan ibu bapa. Antara kes penderaan yang pernah berlaku ialah kes terhadap seorang bayi yang didera oleh ibu bapa kandungnya sendiri. Sesunguhnya, terdapat banyak kesan keganasan oleh golongan dewasa terhadap kanak-kanak.

       Antara kesan penderaan kanak-kanak ialah mangsa akan mengalami kecederaan anggota badan. Kecederaan yang melampau boleh menyebabkan kecacatan kekal kepada kanak-kanak tersebut. Lebih malang lagi, kecederaan serius yang dihadapi oleh mangsa boleh menyebabkan kematian. Contohnya, mangsa menjadi lumpuh, terencat akal dan parut kekal di badan. Mangsa tidak mampu melawan kerana mereka terlalu kecil dan tiada keupayaan untuk bertindak balas. Hal ini memberi ruang kepada golongan dewasa untuk bertindak dengan lebih ganas. Jelaslah, penderaan oleh golongan dewasa mampu memusnahkan masa hadapan mangsa penderaan.

       Seterusnya, penderaan kanak-kanak juga akan menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kemurungan yang berpanjangan. Mangsa penderaan yang mengalami kecederaan mungkin berasa malu untuk berhadapan dengan masyarakat. Hal ini demikian kerana anggota badan mereka sudah mengalami kecacatan, mempunyai parut kekal di badan dan sebagainya. Mereka selalu menyisihkan diri kerana tidak mahu dilihat orang lain. Jika situasi ini berterusan, mangsa akan mengalami tekanan emosi kerana kesunyian  dan tiada tempat untuk meluahkan masalah yang dihadapi. Jelaslah kes penderaan kanak-kanak menyebabkan mangsa akan mengalami tekanan perasaan yang berpanjangan.

        Selain itu, kes penderaan terhadap kanak-kanak akan menyebabkan kanak-kanak  mengalami trauma. Hal ini demikian kerana mereka pernah mengalami pengalaman didera oleh orang yang rapat dengan mereka. Hal ini menyebabkan mereka takut untuk berhadapan dengan orang dewasa walaupun orang tersebut tidak pernah mendera mereka. Pada pandangan mereka, golongan dewasa semuanya berniat jahat terhadap mereka. Oleh itu, mereka hilang kepercayaan terhadap golongan dewasa. Kanak-kanak yang didera biasanya akan menunjukan perubahan sikap yang drastik. Contohnya, mangsa akan menjadi pendiam, penakut, suka menyendiri  dan banyak lagi. Hal ini seterusnya akan menjejaskan kehidupan normal kanak-kanak tersebut. Jika hal ini berterusan, kanak-kanak boleh mengalami tekanan mental. Jelaslah mangsa penderaan menjadi trauma kerana takut didera lagi.

       Kesan yang seterusnya ialah mangsa penderaan akan berpotensi untuk membunuh diri. Hal ini demikian kerana mangsa berasa diri mereka tidak berguna lagi. Kecederaan dan kecacatan yang dialami oleh mereka menyebabkan mereka tidak dapat hidup seperti kanak-kanak normal yang lain. Kanak-kanak menganggap penderaan yang dilakukan oleh golongan dewasa disebabkan perasaan benci pendera terhadap mangsa. Bukan itu sahaja, mangsa juga berpotensi untuk  membunuh diri apabila selalu dimarahi oleh golongan dewasa dengan menggunakan kata-kata kesat yang melampau. Contohnya, kes yang berlaku terhadap  seorang pelajar di Selangor yang membunuh diri  akibat dimarahi oleh gurunya secara berlebihan. Jelaslah penderaan yang melampau oleh golongan dewasa mampu menjurus kepada kematian terhadap mangsa.

        Kesan seterusnya ialah mangsa akan membesar sebagai insan yang tidak berperikemanusiaan. Hal ini demikian kerana, mangsa terkesan dengan sejarah yang pernah berlaku kepada diri mereka. Pengalaman didera sewaktu kecil akan menghilangkan perasaan belas kasihan terhadap orang lain. Kesannya kanak-kanak akan membesar dan menjadi individu yang suka berdendam dan tidak mempunyai perasaan kasih sayang terhadap orang lain kerana perasaan benci dan dendam telah menguasai diri mereka. Orang yang tidak bersalah juga turut menjadi mangsa mereka untuk melepaskan dendam. Mereka mengambil peluang ini untuk mendera mangsa semata-mata untuk melepaskan tekanan yang dihadapi selama ini. Contohnya, mangsa akan mendera anak-anak mereka sendiri tanpa belas kasihan. Jadi, kesan penderaan yang dihadapi semasa kecil mampu menukar sifat dan sikap seseorang mangsa menjadi lebih kejam.

        Kesimpulannya, terdapat banyak kesan penderaan terhadap kanak-kanak. Jika perkara ini tidak dibendung sekeras-kerasnya, maka bilangan kanak-kanak yang menjadi mangsa penderaan akan meningkat. Ibu bapa perlu menyediakan diri mereka dengan pendidikan keibubapaan sebelum bersedia untuk menimang cahaya mata. Selain itu, semua pihak seperti masyarakat, badan-badan kerajaan dan bukan kerajaan serta institusi swasta perlu turut memainkan peranan mereka dengan berkesan untuk membendung masalah penderaan terhadap kanak-kanak. Undang-undang yang berkaitan juga perlu diperketat untuk menangani masalah ini. Institusi masyarakat yang bebas daripada jenayah kemanusiaan mampu melahirkan modal insan yang sempurna yang mampu membangunkan dan menjana kecemerlangan negara pada masa hadapan.

Kecenderungan pihak media massa menggarap berita berunsur sensasi seperti skandal seks golongan artis, tahyul, dan sebagainya jelas melanggar tanggungjawab sosial yang perlu diberi keutamaan secara menyeluruh. Bincangkan kesan yang timbul daripada kecenderungan media massa tersebut.

       Media massa ialah alat yang digunakan dalam penyampaian maklumat daripada sumber kepada penerima dengan menggunakan alat-alat komunikasi, seperti surat khabar, filem, radio, internet, dan televisyen. Media massa banyak memberi sumbangan kepada masyarakat iaitu menyampaikan maklumat kepada masyarakat. Tanpa media massa, masyarakat tidak tahu isu-isu semasa yang berlaku di sekitar mereka. Walau bagaimanapun, kecenderungan pihak media massa kini menggarap berita berunsur sensasi, seperti skandal seks golongan artis, tahyul, dan sebagainya jelas melanggar tanggungjawab sosial yang perlu diberi keutamaan menyeluruh. Sesungguhnya kecenderungan media massa menggarap berita berunsur sensasi banyak membawa kesan negatif kepada masyarakat.

        Antara kesan negatifnya ialah ia tidak membantu perkembangan minda pendengar dan pembaca. Hal ini demikian kerana berita sensasi golongan artis tidak memberi apa-apa ilmu kepada khalayak. Kebanyakan selebriti negara lebih banyak mendedahkan kontroversi yang melanda mereka berbanding dengan kerjaya mereka, contohnya berita percintaan artis dengan ahli politik, berita perkahwinan artis dengan VVIP, dan berita penceraian sesama artis. Pendedahan berita-berita seperti ini yang keterlaluan dalam media massa mengekang penyebaran maklumat yang berkualiti. Masyarakat disogokkan dengan berita-berita hiburan semata-mata. Bagi golongan pelajar pula, mereka akan berasa seronok melayari berita-berita sebegini menyebabkan masa mereka terbuang. Kesannya, mereka akan lalai dalam pelajaran menyebabkan prestasi akademik mereka merosot. Jelaslah, penyebaran berita-berita sensasi golongan artis dalam media massa tidak memberi apa-apa manfaat kepada masyarakat.

        Selain itu, kesan negatifnya ialah berlaku pembaziran wang dalam kalangan masyarakat. Hal ini demikian kerana pembaca akan mudah terpengaruh dengan berita-berita sensasi yang disiarkan dan hal ini mendorong mereka untuk membeli bahan-bahan tersebut semata-mata untuk mengetahui berita selanjutnya tentang artis-artis kesayangan mereka. Pembaca yang terdiri daripada peminat fanatik segolongan artis tidak akan berkira tentang harga bahan-bahan tersebut. Mereka sanggup membeli bahan-bahan tersebut walaupun mahal. Bagi sesetengah peminat fanatik golongan artis, mereka sanggup melanggan bahan-bahan tersebut agar tidak ketinggalan cerita tentang idola mereka, contohnya majalah Mangga, Remaja, URTV, surat khabar Mingguan Malaysia sisipan hiburan dan sebagainya. Kesannya, akhbar dan majalah semakin laris di pasaran. Jelaslah, kecenderungan pihak media massa menyiarkan berita-berita sensasi adalah untuk mengaut keuntungan semata-mata.

         Seterusnya, tindakan media massa ini juga boleh menjejaskan reputasi seseorang tokoh dan ahli keluarganya. Dewasa ini, ramai tokoh terkenal terlibat dengan jenayah kolar putih, politik wang, skandal seks, dan sebagainya. Apabila perbuatan mereka terbongkar, mereka akan dibawa ke muka pengadilan. Malangnya, pihak media massa akan menggarap berita sensasi tentang keterlibatan tokoh-tokoh tersebut secara tidak adil. Laporan media massa seolah-olah menjatuhkan hukuman bersalah kepada mereka sebelum mereka didapati bersalah oleh mahkamah. Kesannya, hal ini akan menimbulkan kekecohan dalam masyarakat, contohnya kes skandal seks yang melibatkan tokoh politik tanah air. Hal ini menyebabkan reputasi tokoh tersebut terjejas seterusnya turut memberi impak negatif kepada seluruh ahli keluarga mereka. Sesungguhnya, peranan media massa yang tidak bertanggungjawab mampu menjejaskan karier dan maruah tokoh yang terlibat.

        Kesan seterusnya ialah ia mampu mengalihkan tumpuan pembaca dan pendengar terhadap isu-isu pokok dalam kehidupan, contohnya isu-isu ekonomi seperti kenaikan harga barangan keperluan dan kenaikan harga petrol, serta isu-isu antarabangsa yang berkaitan dengan konflik di Syria, Mesir, Palestin, dan sebagainya. Hal ini bertujuan untuk menutup kelemahan pihak-pihak tertentu dalam usaha menangani isu-isu yang berlaku. Kesannya, masyarakat tidak akan mengambil berat masalah yang berlaku di sekitar mereka kerana tumpuan mereka lebih berfokus kepada hal-hal yang remeh-temeh. Perkara ini jika berlarutan boleh menjejaskan nilai-nilai-kemanusiaan dalam diri seseorang itu. Hal ini akhirnya akan menjejaskan kepekaan masyarakat tentang isu-isu yang berlaku di sekeliling mereka seterusnya melahirkan masyarakat yang mempunyai minda tertutup.

         Kesan negatif yang seterusnya ialah timbulnya unsur-unsur sensitif yang berbentuk perkauman dan keagamaan yang boleh mencetuskan rusuhan. Hal ini demikian kerana media massa terlalu cenderung untuk menggarap berita-berita yang menyentuh sensitiviti kaum-kaum tertentu. Unsur negatif ini selalunya melibatkan isu keagamaan dan hak-hak keistimewaan sesuatu kaum yang telah termaktub dalam perlembagaan persekutuan. Media massa ini berani  untuk membincangkan isu-isu ini secara terang-terangan kerana ia disokong oleh parti-parti politik tertentu yang mempunyai agenda tersendiri, contohnya isu Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, isu hak-hak istimewa orang Melayu, dan isu agama. Hal ini jika dibiarkan berterusan akan menyebabkan perselisihan faham antara kaum. Lama-kelamaan, perkara ini boleh mencetuskan rusuhan kaum. Kesannya, kecenderungan media massa yang memaparkan isu-isu sensitif  sebegini akan menjejaskan keamanan negara.

       Kesimpulannya, kecenderungan media massa menggarap berita berunsur sensasi dan sensitif membawa kesan negatif  kepada masyarakat. Oleh hal yang demikian, kerajaan harus mengambil tindakan  tegas dan memantau media massa tersebut untuk mengelakkan masalah-masalah sebegini daripada berlaku. Pihak media massa sendiri harus mempunyai tanggungjawab sosial terhadap masyarakat. Mereka harus mengesahkan kesahihan maklumat-maklumat yang diterima sebelum disampaikan kepada masyarakat. Masyarakat boleh menelah banyak kebaikan jika media massa dapat menjalankan fungsinya dengan baik dan berkesan.


Perbuatan jenayah yang berlaku dalam kalangan remaja berpunca daripada ibu bapa remaja sendiri. Bersetujukah anda dengan pendapat ini ?

Perbuatan jenayah dalam kalangan remaja semakin berleluasa. Berita tentangnya telah banyak didedahkan melalui media massa iaitu media cetak dan media elektronik. Kemelut ini sebenarnya bukan sahaja menjejaskan masa depan individu itu sendiri, bahkan akan menyebabkan keluarga mereka turut menanggung malu. Jenayah yang semakin berleluasa ini juga menyebabkan kekecohan dalam institusi kemasyarakatan dan negara. Contoh jenayah yang sering dilakukan ialah perbuatan membuli, merompak, pembunuhan, gejala penagihan dadah dan sebagainya. Tidak dapat dinafikan bahawa ibu bapa merupakan punca remaja terlibat dengan jenayah, namun begitu terdapat juga faktor lain yang menyumbang permasalahan ini .

        Sikap ibu bapa yang terlalu mementingkan kerjaya merupakan faktor berlakunya jenayah dalam kalangan remaja. Ibu bapa kini sentiasa sibuk bekerja untuk mengejar kemewahan sehingga tidak dapat meluangkan masa dengan anak-anak. Mereka keluar bekerja pada waktu pagi dan pulang setelah lewat malam ketika anak-anak sudah tidur. Ibu bapa tiada kesempatan untuk meluangkan masa yang berkualiti dengan anak-anak. Hal ini menyebabkan anak-anak berasa diri mereka tidak disayangi. Oleh itu, mereka akan keluar dari rumah untuk berjumpa dengan rakan sebaya yang mempunyai masalah yang sama. Apabila mereka berkumpul, remaja akan cenderung untuk melakukan jenayah bagi melepaskan tekanan. Jenayah yang sering dilakukan oleh remaja ialah perbuatan merompak, penagihan dadah, mencuri dan sebagainya. Oleh itu, sikap ibu bapa yang terlalu mementingkan kerjaya boleh memberi kesan yang besar kepada anak-anak khususnya anak-anak yang telah meningkat remaja.

       Sikap ibu bapa yang terlalu mengongkong remaja juga menjadi salah satu punca terjadinya kemelut ini. Ibu bapa terlalu mengawal pergerakan dan tingkah laku anak-anak mereka. Ibu bapa tidak membenarkan anak-anak bersosial dengan rakan-rakan. Remaja juga tidak mempunyai hak untuk bersuara disebabkan sikap ibu bapa mereka yang terlalu tegas. Sikap ibu bapa tersebut menyebabkan anak-anak berasa tertekan dan murung. Bagi melepaskan diri daripada kemelut ini, remaja akan melakukan sesuatu di luar jangkaan sebagai tanda memberontak terhadap kongkongan yang dikenakan oleh ibu bapa terhadap mereka. Sebagai contoh, remaja akan lari dari rumah dan berjumpa dengan rakan-rakan yang menghadapi masalah yang sama. Seterusnya, mereka akan berkongsi masalah mereka dan akan melakukan perbuatan jenayah untuk melepaskan tekanan yang dihadapi di rumah. Perbuatan jenayah yang dilakukan oleh remaja ini akan menyebabkan mereka akan mejadi tidak terkawal dan akan menyebabkan mereka terjebak ke dalam kancah jenayah yang lebih serius yang mungkin akan memberikan kesan yang jauh lebih buruk kepada remaja. Jelaslah, anak-anak yang dikongkong keterlaluan oleh ibu bapa akan terdorong untuk melakukan jenayah.

       Faktor lain disebabkan salah asuhan oleh ibu bapa remaja itu sendiri. Kebanyakan ibu bapa pada hari ini tidak memberikan penekanan terhadap aspek agama dan moral dalam pendidikan terhadap anak-anak remaja mereka. Ibu bapa sendiri tidak mempraktikkan amalan agama dalam kehidupan seharian. Mereka juga tidak mengajar ajaran agama kepada anak-anak mereka menyebabkan anak-anak tiada pengetahuan agama. Kesannya anak-anak tidak dapat membezakan perkara yang baik dengan yang buruk. Mereka tidak dapat berfikir tentang akibat perbuatan mereka. Hal ini demikian kerana mereka tidak diberikan pendedahan tentang dosa dan pahala oleh ibu bapa mereka. Kesannya, mereka tergamak melakukan jenayah berat yang boleh menjejaskan masa depan mereka sendiri, contohnya, berzina, merompak, merogol dan sebagainya. Jelaslah bahawa kurang pendidikan agama dan moral oleh ibu bapa boleh menjerumuskan remaja ke dalam kancah jenayah.

        Selain faktor ibu bapa, pengaruh rakan sebaya turut menyumbang kepada permasalahan ini.
Rakan sebaya ialah mereka yang berada dalam lingkungan umur yang hampir sama dengan remaja tersebut. Biasanya remaja yang keluar dari rumah akan mencari rakan sebaya yang mempunyai masalah yang sama. Remaja tersebut akan melakukan perbuatan negatif semata-mata untuk melepaskan tekanan yang dihadapi akibat pergolakan yang berlaku di rumah. Perbuatan ini akan bertukar menjadi jenayah apabila remaja berada dalam keadaan terdesak yang bertujuan untuk menyelamatkan diri, contohnya kes rompakan yang akhirnya menjadi kes pembunuhan. Jelaslah pengaruh rakan sebaya boleh memberi impak yang besar kepada diri remaja.

        Pengaruh persekitaran tempat tinggal remaja turut mempengaruhi remaja melakukan jenayah. Remaja yang bermasalah biasanya datang dari  keluarga miskin dan selalunya tinggal di penempatan setinggan di kota raya. Hal ini demikian kerana ibu bapa mereka tidak mampu memiliki kediaman yang lebih selesa yang kosnya lebih tinggi. Kebanyakan penduduk di kawasan tersebut tidak mempunyai pendapatan yang tetap. Kehidupan mereka juga sangat daif. Hal ini mendorong kebanyakan penduduk di situ melakukan jenayah untuk menampung kehidupan mereka, seperti perbuatan mencuri, merompak, meragut dan sebagainya. Jenayah ini sudah sebati dalam kehidupan mereka. Jadi remaja yang tinggal di kawasan itu turut terdorong untuk melakukan jenayah yang sama.

        Seterusnya, media massa juga turut mempengaruhi remaja untuk melakukan jenayah. Media elektronik seperti filem-filem tempatan dan luar negara banyak memaparkan unsur-unsur ganas dan ngeri. Paparan aksi-aksi jenayah yang ganas serta kejam yang hanya sesuai ditonton oleh mereka yang berumur lapan belas tahun ke atas ditiru oleh remaja bawah umur. Pada mulanya mereka mencuba aksi-aksi ganas tersebut sekadar untuk berseronok, namun lama-kelamaan perbuatan tersebut menjadi kebiasaan dan amalan mereka. Contohnya, pergaduhan yang berlaku antara remaja kini persis aksi yang terdapat dalam filem-filem ganas yang ditonton. Kesannya, masalah jenayah dalam kalangan remaja semakin sukar ditangani. Sesungguhnya pengaruh media massa memberi kesan yang sangat besar terhadap tingkah laku remaja.

        Kesimpulannya, faktor ibu bapa merupakan punca utama remaja terlibat dalam jenayah, namun begitu terdapat juga faktor lain yang mendorong perkara ini berlaku. Ibu bapa harus memainkan peranan yang sewajarnya dalam usaha mendidik remaja untuk menjadi insan yang berguna. Mereka harus meluangkan masa yang lebih kepada anak-anak, memantau tingkah laku anak-anak dan mengenali rakan anak-anak agar anak-anak tidak terlibat dengan jenayah. Selain itu, pihak sekolah, masyarakat dan kerajaan juga haruslah memainkan peranan mereka secara berkesan untuk melahirkan remaja yang bebas jenayah. Remaja yang bebas jenayah bakal menjadi modal insan yang mampu menjana kecemerlangan negara pada masa hadapan.

Laman sosial kian mendapat perhatian dalam kalangan masyarakat Malaysia baik yang muda mahupun yang tua. Bincangkan impak penggunaan jaringan sosial pada alaf baharu ni.

Laman sosial merupakan laman interaksi dan komunikasi dunia maya yang menggunakan medium internet,    contohnya ”Facebook”, ”Twitter”, ”Myspace”, ”Tagged”, blog dan sebagainya. Laman ini kian mendapat perhatian dalam kalangan masyarakat Malaysia, baik yang muda mahupun yang tua.  Faktor mesra pengguna merupakan sebab laman ini begitu digemari oleh setiap golongan masyarakat tanpa mengira umur.  Selain itu, laman ini juga boleh dilayari secara percuma oleh penggunanya. Laman ini juga mempunyai pelbagai aplikasi yang menarik, seperti permainan ‘cafeworld’, farmworld’, ‘sollitere’ dan sebagainya untuk mengisi masa lapang pengguna laman sosial. Tidak dinafikan bahawa terdapat banyak kebaikan penggunaan laman sosial ini terhadap masyarakat, namun wujud juga kesan negatif akibat penyalahgunaan laman sosial ini yang tidak boleh dipandang ringan oleh para penggunanya.

        Antara kebaikan laman sosial ini ialah para penggunanya dapat mengeratkan silaturahim antara satu sama lain.  Laman facebook berfungsi sebagai medium jejak kasih yang menemukan rakan-rakan lama yang telah terputus hubungan sejak berpuluh-puluh tahun yang lalu. Selain itu, laman ini juga memudahkan para penggunanya untuk mencari kenalan atau rakan baharu di dunia maya dengan cara yang paling pantas. Antara kelebihan laman sosial ini ialah para pengguna dapat berhubung atau berinteraksi secara langsung dengan ramai kenalan mereka dari seluruh dunia dalam waktu yang sama melalui ruangan sembang di Facebook atau dengan cara berbalas komen antara mereka. Para pengguna juga dapat mengikuti perkembangan seseorang atau idola mereka melalui ‘twitter’. Melalui laman ini, para pengguna dapat bertukar pendapat, bertanya khabar, berbincang tentang kerjaya dan pelajaran tanpa sebarang kekangan.  Jelaslah, laman  sosial ini mampu merapatkan hubungan yang jauh dan memesrakan hubungan yang dekat, seperti kata pepatah, yang jauh didekatkan, yang dekat dirapatkan.

       Laman sosial merupakan medium yang efektif  untuk menyampaikan maklumat. Pihak kerajaan turut menggunakan Facebook untuk menyampaikan pelbagai perkembangan negara yang berlaku kepada orang awam  dengan berkesan. Kebanyakan kementerian dan juga agensi –agensi kerajaan mempunyai laman sosial mereka sendiri. Segala informasi terkini disampaikan kepada rakyat dengan cara yang mudah, pantas dan tepat. Sebagai contoh, Bahagian Matrikulasi Kementerian Pelajaran Malaysia menggunakan Facebook sebagai agen untuk memaklumkan segala butiran penting berkenaan permohonan kemasukan ke Kolej Matrikulasi, jadual peperiksaan serta pelbagai lagi maklumat kepada pelajar. Hal ini membuktikan bahawa Facebook  memudahkan penyampaian maklumat kepada rakyat. Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri NajibTun Abdul Razak juga memiliki akaun Facebooknya sendiri. Beliau memaklumkan Program Transformasi Kerajaan dan Ekonomi kepada rakyat melalui Facebook. Jelaslah bahawa laman sosial sememangnya merupakan agen penyampaian maklumat yang sangat berkesan dan paling relevan pada alaf ini.

       Melalui laman sosial ini juga, pengguna dapat mempromosikan atau mengiklankan produk-produk yang dihasilkan kepada rakan-rakan dengan mudah. Pengguna tidak perlu membayar apa-apa kos untuk khidmat pengiklanan di laman social seperti di blog peribadi. Mereka hanya perlu mencipta iklan mereka sendiri seterusnya mempromosikan barangan jualan mereka tanpa sebarang bayaran. Hal ini memberikan ruang dan peluang kepada mereka yang ingin memulakan perniagaan tetapi tidak mempunyai modal yang besar untuk mengiklankan barangan mereka. Mereka juga berpeluang  mencipta ‘fan page’ mereka sendiri di laman facebook bagi memudahkan pembeli untuk mengikuti perkembangan produk mereka. Kebanyakan  mereka yang menggunakan kemudahan pengiklanan di laman sosial menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan dan berpusat di rumah sahaja, namun keuntungan yang diperoleh mereka agak besar. Ternyata, perniagaan ‘on-line’ mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai kerana ia menjimatkan masa dan tenaga mereka.

        Walau bagaimanapun, penyalahgunaan laman sosial turut mengundang masalah dan memberi impak negatif  kepada masyarakat. Antaranya ialah penggunaannya tanpa batasan melalaikan masyarakat. Bagi golongan pelajar, keasyikan bersembang dengan rakan maya atau keseronokan menggunakan aplikasi permainan yang terdapat dalam laman sosial ini pasti akan melekakan mereka,  contohnya permainan Cafeworld dan Farmworld. Akibatnya, tugasan yang diberikan oleh guru sebagai kerja rumah tidak dapat disiapkan kerana terlalu asyik melayari laman sosial hingga lewat malam. Mereka juga tidak mempunyai masa yang cukup untuk menelaah pelajaran kerana terlalu banyak masa digunakan untuk melayari laman sosial,  menyebabkan keputusan peperiksaaan mereka merosot. Bagi golongan penjawat awam atau swasta pula, mereka juga sering menangguhkan kerja mereka kerana terlalu leka melayari laman sosial pada waktu bekerja. Hal ini menyebabkan produktiviti  mereka terjejas, selain memberi masalah kepada orang lain yang berurusan dengan mereka. Selain itu, ramai pengguna yang terdiri daripada orang Islam  lalai mengerjakan solat akibat terlalu asyik melayari laman sosial. Tuntutan agama dilengahkan, malah ada yang terus meninggalkannya dengan alasan terlupa dan sebagainya. Oleh itu, jelaslah bahawa penyalahgunaan laman sosial boleh menjejaskan kualiti modal insan di sesebuah negara.

       Laman sosial turut mempengaruhi peningkatan kadar jenayah dalam kalangan masyarakat. Dalam laporan akhbar Utusan Malaysia yang bertarikh 28 Jun 2012, berdasarkan kajian Cyber Security mendapati bahawa kadar jenayah melibatkan media sosial seperti Facebook telah meningkat sebanyak 88 peratus pada tahun lalu berbanding 8090 kes pada tahun sebelumnya. Facebook telah disalahgunakan sebagai alat untuk melakukan jenayah oleh orang-orang yang tidak bertangggungjawab. Kes-kes ini kebanyakannya melibatkan wanita sebagai mangsa. Biasanya, penjenayah akan mempedaya wanita dengan cara yang paling halus, yakni menjalin hubungan cinta siber dengan mereka. Apabila wanita tersebut sudah masuk ke dalam perangkap mereka, dengan mudah sahaja mangsa akan dipedaya pula untuk menjadi keldai dadah, ditipu wang ringgit, diperkosa, dan lebih malang, mangsa mungkin juga dibunuh untuk menghapuskan bukti. Ternyata, pendedahan identiti diri tanpa batasan oleh pengguna Facebook mengundang bala kepada diri sendiri, bak kata pepatah, lengkuas di tepi kandang, tegak puas, badan menyandang.

        Laman sosial juga boleh menjadi alat penyebaran fitnah dan propaganda. Bagi sesetengah pihak, penulisan di blog-blog peribadi, komen-komen di Facebook atau status di Twitter berupaya menjatuhkan lawannya dengan cara yang paling berkesan. Cerita-cerita yang tidak benar atau fitnah dapat disebarkan dengan begitu pantas dan mudah. Contohnya, perselisihan faham sesama artis selalunya bermula di blog-blog peribadi atau Facebook dan juga Twitter. Mereka saling berbalas komen, saling menuduh dan menyebarkan cerita negatif pihak lawan  yang bertujuan meraih sokongan peminat masing-masing. Kesannya, keaiban kedua-dua pihak terserlah. Selain itu, tulisan berunsur politik di blog-blog peribadi juga sering menjadi senjata kepada sesetengah pihak untuk memburuk-burukkan kerajaan. Malaysia pernah menjadi mangsa fitnah oleh tulisan penulis-penulis barat. Bagi kes yang lebih serius, laman sosial turut dijadikan alat propaganda oleh pihak-pihak tertentu untuk menyebarkan fahaman atau ideologi sesat. Contohnya, fahaman atau dakyah Syiah yang bertentangan dengan ajaran Islam banyak disebarkan melalui blog-blog tertentu. Jelaslah, penyalahgunaan laman sosial oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab mampu menghuru-harakan masyarakat.

         Kesimpulannya, penggunaan laman sosial pada hari ini banyak memberi kebaikan kepada masyarakat sejagat, namun wujud juga kesan negatif jika masyarakat menyalahgunakannya untuk tujuan yang tidak baik. Semua pihak harus bijak menggunakannya dan bertanggungjawab terhadap diri sendiri dalam usaha mengekang kesan negatif yang mungkin wujud akibat penyalahgunaannya. Peranan ibu bapa sangat penting bagi memastikan anak-anak tidak menggunakan laman sosial untuk tujuan yang tidak baik. Mereka seharusnya memantau aktiviti anak-anak mereka di laman sosial dengan cara menjadi rakan maya anak-anak mereka sendiri. Para pengguna laman sosial keseluruhannya perlu diberi kesedaran tentang kepentingan menggunakan laman sosial secara bijak dan sihat melalui kempen-kempen kesedaran melalui media massa, agar  masyarakat mampu  memanfaatkan perkembangan teknologi terkini untuk kebaikan sejagat, di samping negara dapat melahirkan generasi celik IT yang berkualiti demi kemajuan negara pada masa akan datang.

Sejak akhir-akhir ini, masalah disiplin dalam kalangan remaja semakin membimbangkan pelbagai pihak. Bincangkan faktor yang menyumbang masalah ini dan langkah menanganinya.

 Remaja selalu dikaitkan dengan masalah disiplin.  Sejak kebelakangan ini, masalah disiplin dalam kalangan remaja semakin membimbangkan.  Berita tentang remaja yang bermasalah banyak dipaparkan melalui media massa, contohnya masalah buli, vandalisme, ponteng sekolah, merokok dan sebagainya. Masalah ini pastinya memberikan pelbagai impak negatif kepada remaja itu sendiri, seperti menjejaskan prestasi akademik mereka, menakutkan masyarakat dan menyusahkan orang ramai.  Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada masalah disiplin dalam kalangan remaja. Walau bagaimanapun, beberapa langkah efektif boleh diambil untuk menanganinya.

       Antara faktor yang menyumbang kepada masalah disiplin dalam kalangan remaja ialah kekurangan perhatian dan kasih sayang daripada keluarga.  Pada zaman yang mementingkan materialistik ini, ramai ibu bapa sibuk bekerja untuk menambah pendapatan keluarga.  Ramai ibu bapa keluar bekerja sejak awal pagi dan pulang pada lewat malam.  Hal ini menyebabkan mereka tidak dapat bersama anak-anak sepanjang hari. Anak-anak yang tidak mendapat perhatian ibu bapa berasa dipingirkan oleh keluarga sendiri. Mereka berasa tidak dihargai dan disayangi, menyebabkan mereka mencari altrnatif lain sebagai ganti untuk mendapatkan perhatian dan kasih sayang. Remaja akhirnya akan mencari rakan sebaya yang mempunyai masalah yang sama. Apabila mereka bertemu, mereka akan melakukan pelbagai masalah disiplin,  seperti merokok, ponteng sekolah, buli dan vandalisme. Jelaslah, pengabaian ibu bapa terhadap anak-anak menyumbang kepada permasalahan ini.

       Seterusnya, pengaruh rakan sebaya juga menyumbang masalah disiplin dalam kalangan remaja.  Rakan sebaya ialah golongan remaja dalam lingkungan umur yang hampir sama dengan remaja tersebut.  Mereka mempunyai cara pemikiran, sikap dan minat yang hampir sama.  Rakan sebaya merupakan golongan yang sangat rapat dengan remaja dan mampu mempengaruhi tingkah laku remaja. Remaja yang bermasalah akan mencari rakan sebaya yang bermasalah juga. Mereka akan menubuhkan kumpulan untuk membina identiti mereka sendiri. Seterusnya mereka akan melakukan pelbagai masalah disiplin bersama-sama sebagai  cara untuk mendapat perhatian, memuaskan hati,   kerana dicabar oleh rakan sebaya dan juga kerana membalas dendam, contohnya merempit, lumba haram dan vandalisme. Sesungguhnya, pengaruh rakan sebaya yang tidak baik banyak memberi kesan negatif kepada remaja.  

Selain itu, media massa turut memberi kesan terhadap masalah disiplin dalam kalangan remaja.  Media massa seperti media cetak dan media elektronik banyak mempengaruhi tingkah laku remaja.  Filem-filem asing yang ditayangkan melalui televisyen dan pawagam di negara kita banyak mengetengahkan unsur-unsur seks dan ganas yang melampau yang bertentangan dengan budaya timur, contohnya aksi ganas dalam filem   ’Bond’   dan aksi artis-artis yang berpakaian seksi  dalam filem-filem Inggeris dan Bollywood.  Golongan remaja yang kurang matang dan kurang didikan agama akan terpengaruh dengan aksi ganas dan tidak bermoral serta  fesyen pakaian yang dipakai oleh artis wanita dalam filem-filem yang ditonton.  Hai ini mencetuskan keghairahan dan keterujaan  dalam diri remaja dan akhirnya mereka melakukan aksi yang sama.  Bahan bacaan picisan seperti komik-komik lucah dan pelbagai jenis majalah hiburan yang memaparkan aksi dan gambar artis tempatan dan antarabangsa dengan aksi yang melampau mudah didapati di seluruh negara turut mempengaruhi  tingkah laku remaja.  Oleh itu, tidak dapat dinafikan bahawa media massa turut memburukkan disiplin dalam kalangan remaja.

       Walau bagaimanapun, terdapat beberapa langkah efektif yang boleh diambil bagi mengatasi masalah disiplin dalam kalangan remaja. Antaranya ialah peranan ibu bapa.  Ibu bapa harus bijak membahagikan masa antara kerjaya dengan keluarga. Mereka harus meluangkan masa yang berkualiti bersama anak-anak. Ibu bapa perlu mengisi waktu bersama anak-anak dengan beriadah bersama atau melakukan aktiviti bersama-sama, seperti bercuti, melancong dan membeli-belah. Selain itu, ibu bapa juga harus mengetahui perkembangan anak-anak, seperti masalah mereka, pelajaran mereka dan memantau rakan anak-anak dengan cara yang betul. Oleh hal yang demikian, anak-anak berasa disayangi oleh ibu bapa mereka sendiri kerena ibu bapa mereka memberi sepenuh perhatian kepada mereka. Jadi mereka berasa tidak perlu mencari alternatif lain untuk mendapat perhatian kerana kasih sayang di rumah sudah mencukupi. Jelaslah, hal ini dapat menghindarkan remaja daripada terjebak dalam masalah disiplin.

        Di samping itu, pihak sekolah turut berperanan membendung masalah disiplin dalam kalangan remaja. Unit Bimbingan dan Kaunseling memainkan peranan yang sangat penting untuk membendung masalah disiplin dalam kalangan remaja melalui kaedah psikologi.  Sebelum pelajar bermasalah dikenakan hukuman akibat kesalahan mereka, mereka sepatutnya dihantar ke unit kaunseling untuk proses kaunseling bagi menyedarkan  dan menginsafkan mereka. Sekiranya kaedah ini gagal, barulah mereka dihantar ke Unit Disiplin untuk menerima hukuman yang sewajarnya.  Hukuman yang dikenakan terhadap pelajar harus dilakukan mengikut prosedur yang sewajarnya, bukan bertujuan untuk menganiayai  dan menghukum, sebaliknya menyedarkan mereka, seterusnya  memberi amaran kepada pelajar lain, contohnya mengenakan denda, mengenakan merit, gantung sekolah, buang sekolah atau rotan. Tidak dapat dinafikan, penguatkuasaan undang-undang sekolah dan hukuman dapat membantu pihak sekolah membendung masalah disiplin dalam kalangan remaja.

          Selain itu, masyarakat juga harus memainkan peranan mereka dengan berkesan untuk menangani masalah disiplin dalam kalangan remaja. Jiran tetangga harus menegur atau melaporkan remaja yang melepak di kawasan kejiranan mereka, manakala premis-premis hiburan seperti kafe siber, pusat snuker serta kedai makanan mamak harus melarang remaja memasuki premis mereka tanpa kebenaran. Unit Rukun  Tetangga atau RELA juga berperanan mencegah masalah pelajar merempit, meragut, vandalisme dan lain-lain dalam kalangan remaja di kawasan perumahan mereka. Masyarakat juga boleh membuat laporan atau aduan kepada pihak berkuasa jika melihat salah laku yang dilakukan oleh remaja. Penglibatan dan kerjasama masyarakat dalam usaha membendung masalah disiplin dalam kalangan remaja sangat dituntut walaupun remaja tersebut tiada hubungan persaudaraan dengan mereka. Sikap enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing harus dielakkan dalam kalangan masyarakat kerana sikap ini tidak membawa apa-apa kebaikan, malah menggalakkan masalah disiplin yang lebih serius dalam kalangan remaja. Jelaslah, peranan masyarakat tidak kecil sumbangannya dalam usaha menangani maslah disiplin dalam kalangan remaja.

        Kesimpulannya, terdapat beberapa faktor yang menyumbang masalah disiplin dalam kalangan remaja, namun pelbagai kaedah yang berkesan boleh diambil untuk menanganinya. Semua pihak harus memainkan peranan masing-masing secara langsung. Langkah-langkah drastik dan efektif perlu dikaji dan diambil tindakan. Pihak kerajaan dan NGO  juga perlu terlibat sama memainkan peranan masing-masing dengan berkesan, agar negara dapat melahirkan modal insan yang berkualiti untuk menerajui tapuk pemerintahan negara pada masa akan datang, seterusnya mencapai taraf negara maju yang gemilang.

Sejak akhir-akhir ini, kes-kes kemalangan jalan raya semakin bertambah. Nyatakan pendapat anda tentang sikap manusia yang menjadi punca kemalangan jalan raya.

        Kemalangan jalan raya berlaku di mana- mana sahaja. Kadar kemalangan jalan raya semakin meningkat sejak akhir-akhir ini, terutamanya pada musim  cuti sekolah dan menjelang  musim perayaan, seperti Hari Raya Puasa, Tahun Baru Cina, Deepavali dan Krismas. Kemalangan jalan raya boleh menyebabkan kehilangan nyawa orang yang disayangi, kecederaan, kecacatan dan kemusnahan harta benda. Sesungguhnya sikap manusialah yang menjadi punca utama berlakunya kemalangan jalan raya.  Walau bagaimanapun, terdapat juga punca-punca lain yang turut menjadi penyumbang kepada berlakunya kemalangan jalan raya.

        Antara sikap manusia yang menjadi penyebab utama berlakunya kemalangan jalan raya ialah  kecuaian pemandu itu sendiri. Pemandu yang memandu kenderaan dalam keadaan mabuk, mengantuk semasa memandu, menggunakan telefon bimbit, makan dan sebagainya, biasanya tidak memberi tumpuan semasa memandu.  Hal ini menyebabkan mereka hilang tumpuan, dan tidak dapat mengawal kenderaan mereka sekiranya berlaku perkara-perkara yang tidak disangka-sangka secara tiba-tiba, seperti mengelak daripada terlanggar manusia atau haiwan  yang melintas di hadapan dan sebagainya. Sikap pemandu yang jarang melakukan pemeriksaan kereta khususnya sebelum memulakan perjalanan jauh juga akan menyebabkan kenderaan mereka mengalami masalah atau meragam secara tiba-tiba di lebuh raya. Keadaan ini menyebabkan kenderaan mereka berhenti secara tiba-tiba di jalan raya tanpa sempat memberi amaran kepada kenderaan di belakang. Situasi ini menyebabkan kenderaan dari belakang yang dipandu  laju dalam  jarak yang dekat tidak sempat mengelak, terus merempuh kenderaan yang berhenti, kerana pemandu tersebut tidak sempat menekan brek, lalu terjadilah nahas jalan raya yang mengerikan. Jadi, jelaslah bahawa sikap cuai pemandu menjadi punca utama berlakunya kemalangan jalan raya.

       Selain kecuaian pemandu, sikap pemandu yang tidak bertimbang rasa dan mementingkan diri sendiri juga merupakan penyebab berlakunya nahas jalan raya. Pemandu  muda selalunya tidak mempunyai perasaan sabar dan sentiasa menunjukkan sikap terburu-buru semasa memandu, kerana mereka ingin cepat sampai ke destinasi yang dituju.  Mereka mula menunjukkan sikap mementingkan diri sendiri, apabila mereka memotong kenderaan lain yang dipandu  perlahan, di lorong yang salah  semasa keadaan jalan raya sesak, khususnya pada waktu puncak, atau semasa memandu di jalan raya di kawasan kampung. Sekiranya mereka tidak sempat memotong kenderaan di hadapan, kenderaan mereka akan bertembung dengan kenderaan lain yang datang dari arah bertentangan, lalu terjadilah kemalangan jalan raya. Pemandu - pemandu juga sering berlumba-lumba di lebuh raya untuk menunjukkan kehebatan dan kehandalan mereka memandu.  Mereka akan memecut dengan laju  dan menyelit-nyelit di antara kenderaan  lain sehingga membahayakan pemandu kenderaan lain. Sekiranya mereka tidak dapat mengawal kenderaan kerana terlalu laju,  kenderaan mereka akan terbabas , seterusnya  merempuh apa-apa sahaja di hadapan mereka, lalu mengakibatkan kemalangan jalan raya yang dasyat. Hal ini membuktikan bahawa sikap pemandu yang tidak bertimbang rasa dan mementingkan diri sendiri turut menjadi faktor penyumbang kemalangan jalan raya.

        Sikap pengguna jalan raya yang tidak mematuhi undang-undang jalan raya juga merupakan faktor berlakunya nahas jalan raya. Pemandu yang memandu kenderaan mereka dengan laju melebihi had laju jalan raya yang ditetapkan terutamanya di kawasan berbukit-bukau dan jalan raya bengkang-bengkok,  akan menyebabkan mereka akan hilang kawalan dan terbabas ke dalam gaung. Pemandu-pemandu juga sering memotong kenderaan lain di lorong yang salah, seperti di lorong kiri , atau lorong  kanan yang mempunyai dua garisan lurus yang bersambung, lorong kecemasan, dan tidak mematuhi lampu isyarat, akan menyebabkan kenderaan mereka bertembung dengan kenderaan lain dari arah bertentangan sehingga mengakibatkan nahas jalan raya. Pemandu yang tidak mempunyai lesen memandu  akan memandu dengan cara yang berbahaya dan tidak mematuhi undang-undang, seterusnya menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya. Sudah terang lagi bersuluh, bahawa sikap pemandu yang tidak mematuhi undang-undang jalan raya mencetuskan kemalangan jalan raya yang meragut nyawa manusia lain yang tidak berdosa.

       Selain sikap manusia, keadaan bentuk muka bumi turut menjadi penyebab berlakunya kemalangan jalan raya. Jalan raya yang bengkang-bengkok di kawasan berbukit- bukau dan  lebuh raya yang terlalu lurus  turut mengundang nahas jalan raya. Contoh lebuh raya yang bengkang-bengkok  di kawasan berbukit-bukau ialah Lebuh raya Grik dan Lebuh raya Timur-Barat.  Kemalangan ngeri ini selalunya melibatkan bas ekspres yang memulakan perjalanan  jauh pada waktu malam. Keadaan jalan raya yang gelap juga memburukkan lagi keadaan pemanduan. Pemandu yang memandu terlalu laju kerana ingin cepat sampai ke destinasi tidak dapat mengawal kenderaan mereka apabila melalui jalan raya yang  bengkang bengkok, lalu terbabas dan merempuh kenderaan lain atau menjunam ke dalam gaung. Tuntasnya, keadaan bentuk muka  bumi turut menjadi punca  berlakunya kemalangan jalan raya yang ngeri.

        Faktor cuaca turut disenaraikan sebagai punca nahas jalan raya. Hujan lebat, kabus tebal dan ribut petir akan menghalang pandangan pemandu semasa memandu. Mereka tidak dapat mengagak jarak kenderaaan di hadapan kerana tidak dapat melihat kenderaan di hadapan dengan jelas. Keadaan ini menyebabkan mereka tidak menyedari bahawa mereka telah mengekori kenderaan di hadapan terlalu rapat. Sekiranya kenderaan di hadapan berhenti secara tiba-tiba, pasti pemandu yang berada di belakang akan melanggar kenderaan di hadapan kerana  pemandu tersebut tidak sempat menekan brek atau mengelak dari merempuh kenderaan di hadapan, akibat pandangan mereka terhalang oleh kabus tebal, titisan hujan yang lebat dan keadaan yang gelap. Kawasan  berkabus tebal yang boleh mengehadkan pemandangan boleh dilihat di kawasan lebuh raya berbukit-bukau iaitu di Lebuh raya Timur- Barat. Jadi, keadaan cuaca yang tidak menentu juga menjadi penyebab nahas jalan raya, dan faktor ini tidak boleh dipandang ringan sahaja oleh pemandu.

        Keadaan jalan raya yang tidak sempurna juga merupakan punca kemalangan jalan raya. Jalan raya yang berlubang, berlopak dan pecah amat membahayakan pengguna jalan raya, terutamanya  kepada pemandu kenderaan. Jalan raya  berkeadaan sedemikian disebabkan oleh pihak-pihak berkuasa menjalankan kerja-kerja mereka secara ala kadar sahaja. Mereka akan mengorek jalan –jalan raya untuk membaiki paip di bawah tanah atau sebagainya, lalu meninggalkan jalan tersebut begitu sahaja, tanpa menimbus kembali lubang yang telah dikorek, seterusnya menjadi lopak apabila air hujan bertakung di dalamnya. Mereka  juga mungkin menimbus kembali lubang-lubang tersebut, tetapi  tidak meratakannya semula dengan tar seperti keadaan asal. Hal ini kerana mereka berpendapat, ada pihak lain yang sepatutnya menyempurnakan semula keadaan jalan raya seperti sebelumnya. Sikap tidak bertanggungjawab ini akan membahayakan pemandu kenderaan yang melalui jalan raya tersebut.  Pemandu yang  tidak menyedari kewujudan lubang atau lopak  tersebut pasti tidak dapat mengelak daripada terjerumus ke dalamnya, manakala kenderaan lain di belakang pula tidak dapat mengelak kenderaan yang telah terjerumus itu, lalu merempuh kenderaan tersebut dan berlakulah kemalangan jalan raya. Sekiranya pemandu yang melalui jalan tersebut sempat mengelak kenderaan mereka daripada terjerumus ke dalam lubang atau lopak itu sekalipun, mereka pasti terbabas dan berlanggar dengan kenderaan lain yang datang  dari arah bertentangan. Jadi, terbuktilah bahawa keadaan jalan raya yang tidak sempurna turut menjadi penyebab berlakunya kemalangan jalan raya.

        Kesimpulannya, selain sikap manusia, terdapat juga pelbagai punca lain  yang menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya. Sesungguhnya, kemalangan jalan raya mengakibatkan negara mengalami kerugian yang besar, kerana kehilangan tenaga kerja yang ramai. Semua pihak seharusnya memainkan peranan masing-masing dalam usaha mengurangkan / menurunkan kadar kemalangan jalan raya, seperti menguatkuasa dan mengetatkan undang-undang yang sedia ada, mengadakan pelbagai kempen kesedaran dan iklan keselamatan di media massa, meletakkan lebih banyak papan tanda peringatan di sepanjang lebuh raya atau kawasan berbahaya, mengadakan operasi mencegah kemalangan, contohnya mengadakan Ops Sikap dan sebagainya. Sekiranya kemalangan jalan raya dapat dikurangkan, sudah pasti lebih banyak tenaga kerja dapat dijana untuk terus membangunkan negara dengan lebih pesat bagi  menghadapi cabaran Wawasan 2020.