Perbuatan
jenayah dalam kalangan remaja semakin berleluasa. Berita tentangnya telah banyak
didedahkan melalui media massa iaitu media cetak dan media elektronik. Kemelut
ini sebenarnya bukan sahaja menjejaskan masa depan individu itu sendiri, bahkan
akan menyebabkan keluarga mereka turut menanggung malu. Jenayah yang semakin
berleluasa ini juga menyebabkan kekecohan dalam institusi kemasyarakatan dan
negara. Contoh jenayah yang sering dilakukan ialah perbuatan membuli, merompak,
pembunuhan, gejala penagihan dadah dan sebagainya. Tidak dapat dinafikan bahawa
ibu bapa merupakan punca remaja terlibat dengan jenayah, namun begitu terdapat
juga faktor lain yang menyumbang permasalahan ini .
Sikap ibu bapa yang terlalu
mementingkan kerjaya merupakan faktor berlakunya jenayah dalam kalangan remaja.
Ibu bapa kini sentiasa sibuk
bekerja untuk mengejar kemewahan sehingga tidak dapat meluangkan masa dengan
anak-anak. Mereka keluar bekerja pada waktu pagi dan pulang setelah lewat malam ketika
anak-anak sudah tidur. Ibu bapa tiada kesempatan untuk meluangkan masa yang
berkualiti dengan anak-anak. Hal ini menyebabkan anak-anak berasa diri mereka
tidak disayangi. Oleh itu, mereka akan keluar dari rumah untuk berjumpa dengan
rakan sebaya yang mempunyai masalah yang sama. Apabila mereka berkumpul, remaja
akan cenderung untuk melakukan jenayah bagi melepaskan tekanan. Jenayah yang
sering dilakukan oleh remaja ialah perbuatan merompak, penagihan dadah, mencuri
dan sebagainya. Oleh itu, sikap ibu bapa yang terlalu mementingkan kerjaya
boleh memberi kesan yang besar kepada anak-anak khususnya anak-anak yang telah
meningkat remaja.
Sikap ibu bapa yang terlalu
mengongkong remaja juga menjadi salah satu punca terjadinya kemelut ini. Ibu
bapa terlalu mengawal pergerakan dan tingkah laku anak-anak mereka. Ibu bapa
tidak membenarkan anak-anak bersosial dengan rakan-rakan. Remaja juga tidak
mempunyai hak untuk bersuara disebabkan sikap ibu bapa mereka yang terlalu
tegas. Sikap ibu bapa tersebut menyebabkan anak-anak berasa tertekan dan
murung. Bagi melepaskan diri daripada kemelut ini, remaja akan melakukan sesuatu
di luar jangkaan sebagai tanda memberontak terhadap kongkongan yang dikenakan
oleh ibu bapa terhadap mereka. Sebagai contoh, remaja akan lari dari rumah dan
berjumpa dengan rakan-rakan yang menghadapi masalah yang sama. Seterusnya, mereka
akan berkongsi masalah mereka dan akan melakukan perbuatan jenayah untuk
melepaskan tekanan yang dihadapi di rumah. Perbuatan jenayah yang dilakukan
oleh remaja ini akan menyebabkan mereka akan mejadi tidak terkawal dan akan
menyebabkan mereka terjebak ke dalam kancah jenayah yang lebih serius yang
mungkin akan memberikan kesan yang jauh lebih buruk kepada remaja. Jelaslah, anak-anak
yang dikongkong keterlaluan oleh ibu bapa akan terdorong untuk melakukan
jenayah.
Faktor lain disebabkan salah
asuhan oleh ibu bapa remaja itu sendiri. Kebanyakan ibu bapa pada hari ini
tidak memberikan penekanan terhadap aspek agama dan moral dalam pendidikan
terhadap anak-anak remaja mereka. Ibu bapa sendiri tidak mempraktikkan amalan
agama dalam kehidupan seharian. Mereka juga tidak mengajar ajaran agama kepada
anak-anak mereka menyebabkan anak-anak tiada pengetahuan agama. Kesannya
anak-anak tidak dapat membezakan perkara yang baik dengan yang buruk. Mereka
tidak dapat berfikir tentang akibat perbuatan mereka. Hal ini demikian kerana
mereka tidak diberikan pendedahan tentang dosa dan pahala oleh ibu bapa mereka.
Kesannya, mereka tergamak melakukan jenayah berat yang boleh menjejaskan masa
depan mereka sendiri, contohnya, berzina, merompak, merogol dan sebagainya. Jelaslah
bahawa kurang pendidikan agama dan moral oleh ibu bapa boleh menjerumuskan
remaja ke dalam kancah jenayah.
Selain faktor ibu bapa, pengaruh
rakan sebaya turut menyumbang kepada permasalahan ini.
Rakan sebaya ialah mereka yang berada dalam lingkungan umur yang hampir
sama dengan remaja tersebut. Biasanya remaja yang keluar dari rumah akan
mencari rakan sebaya yang mempunyai masalah yang sama. Remaja tersebut akan
melakukan perbuatan negatif semata-mata untuk melepaskan tekanan yang dihadapi
akibat pergolakan yang berlaku di rumah. Perbuatan ini akan bertukar menjadi
jenayah apabila remaja berada dalam keadaan terdesak yang bertujuan untuk
menyelamatkan diri, contohnya kes rompakan yang akhirnya menjadi kes
pembunuhan. Jelaslah pengaruh rakan sebaya boleh memberi impak yang besar
kepada diri remaja.
Pengaruh persekitaran tempat
tinggal remaja turut mempengaruhi remaja melakukan jenayah. Remaja yang
bermasalah biasanya datang dari keluarga
miskin dan selalunya tinggal di penempatan setinggan di kota raya. Hal ini
demikian kerana ibu bapa mereka tidak mampu memiliki kediaman yang lebih selesa
yang kosnya lebih tinggi. Kebanyakan penduduk di kawasan tersebut tidak
mempunyai pendapatan yang tetap. Kehidupan mereka juga sangat daif. Hal ini
mendorong kebanyakan penduduk di situ melakukan jenayah untuk menampung
kehidupan mereka, seperti perbuatan mencuri, merompak, meragut dan sebagainya. Jenayah
ini sudah sebati dalam kehidupan mereka. Jadi remaja yang tinggal di kawasan
itu turut terdorong untuk melakukan jenayah yang sama.
Seterusnya, media massa juga
turut mempengaruhi remaja untuk melakukan jenayah. Media elektronik seperti
filem-filem tempatan dan luar negara banyak memaparkan unsur-unsur ganas dan
ngeri. Paparan aksi-aksi jenayah yang ganas serta kejam yang hanya sesuai
ditonton oleh mereka yang berumur lapan belas tahun ke atas ditiru oleh remaja
bawah umur. Pada mulanya mereka mencuba aksi-aksi ganas tersebut sekadar untuk
berseronok, namun lama-kelamaan perbuatan tersebut menjadi kebiasaan dan amalan
mereka. Contohnya, pergaduhan yang berlaku antara remaja kini persis aksi yang
terdapat dalam filem-filem ganas yang ditonton. Kesannya, masalah jenayah dalam kalangan remaja semakin sukar ditangani. Sesungguhnya
pengaruh media massa memberi kesan yang sangat besar terhadap tingkah laku
remaja.
Kesimpulannya,
faktor ibu bapa merupakan punca utama remaja terlibat dalam jenayah, namun
begitu terdapat juga faktor lain yang mendorong perkara ini berlaku. Ibu bapa
harus memainkan peranan yang sewajarnya dalam usaha mendidik remaja untuk
menjadi insan yang berguna. Mereka harus meluangkan masa yang lebih kepada
anak-anak, memantau tingkah laku anak-anak dan mengenali rakan anak-anak agar
anak-anak tidak terlibat dengan jenayah. Selain itu, pihak sekolah, masyarakat dan
kerajaan juga haruslah memainkan peranan mereka secara berkesan untuk
melahirkan remaja yang bebas jenayah. Remaja yang bebas jenayah bakal menjadi
modal insan yang mampu menjana kecemerlangan negara pada masa hadapan.
No comments:
Post a Comment