Fairuz (bukan nama sebenar), 42, mempunyai segala-galanya dalam hidup. Dilahirkan dalam keluarga mewah, kerjaya yang memberi pendapatan lima angka, dua isteri dan tiga anak sudah cukup untuk menggambarkan tentang kejayaan hidupnya.
Namun begitu, seperti insan lain yang tidak sempurna, Fairuz terjebak jua dengan pengambilan dadah dan hanya terdetik untuk berubah setelah kegiatannya dihidu pihak majikan akibat khayal pil ekstasi di pejabatnya beberapa bulan lalu.
“Saya mula dikenalkan dengan kokain seawal usia 17 tahun oleh bekas isteri saya yang berketurunan Belanda. Ketika itu saya menetap di Amsterdam setelah tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Bila tengok dia (bekas isteri) hisap kokain, saya pun jadi teruja untuk mencuba. Dari situlah saya mula gian dengan benda tu.
“Keluarga saya langsung tak pernah tahu yang saya ambil dadah. Apa sahaja kemahuan saya, mereka akan turuti. Malah, sepanjang tiga tahun berada di sana, saya hanya berseronok dan tak perlu bekerja langsung kerana semuanya sudah tersedia,” ujarnya yang pernah berkahwin muda ketika berada di Belanda.
Terus terjebak
Seperti kata orang, sekali terjebak bukan mudah untuk kembali ke pangkal jalan. Kekhilafan itulah yang terus dilakukan Fairuz apabila dia menjadikan kerjayanya sebagai tiket untuk terus bergelumang di dalam kancah dadah.
Fairuz memberitahu dia bernasib baik tidak ke tali gantung kerana sering ke luar negara untuk mendapatkan dadah jenis kokain seberat 300 gram untuk dikongsi bersama sepupunya yang merupakan seorang doktor.
“Bukan senang untuk berhenti. Lebih-lebih lagi bila dapat kerja yang memudahkan ‘urusan’ dilakukan. Mungkin laluan untuk saya memboloskan diri terlalu banyak menyebabkan saya sukar untuk berubah.
“Dari segi kesihatan, penghisap kokain perlu menjalani pemeriksaan setiap lapan bulan sekali untuk memastikan tiada darah beku di dalam otak.
“Jadi, setiap lapan bulan saya akan pergi ke hospital untuk jalani pemeriksaan yang dibuat oleh sepupu saya sendiri. Sebab tu saya tak pernah tertangkap dan mempunyai tubuh badan yang sihat tanpa dikesan sesiapa.
“Walaupun saya berhabis sebanyak RM9,000 sebulan untuk dadah tetapi tak pernah langsung rasa terbeban kerana kewangan saya yang kukuh.
“Pihak berkuasa? Mereka takkan syaki apa-apa sebab saya ada permit yang memudahkan saya pergi ke mana-mana negara tanpa sekatan,” tuturnya yang sering ke negara gajah putih untuk mendapatkan bekalan dadah.
Rumah tangga kali keduanya yang diserikan dengan kehadiran dua isteri dan tiga anak perempuan tetap tidak dapat menghentikan tabiatnya yang gian menghisap dadah.
Simpan rahsia
Menurut Fairuz, keluarganya termasuk anak-anak tidak pernah tahu tentang penglibatannya dengan dadah dan mereka hanya tahu dia bekerja di luar negara serta tidak dapat pulang ke pangkuan mereka untuk satu tempoh yang agak lama akibat kesibukan kerja.
“Saya menyimpan rahsia ini selama 17 tahun daripada pengetahuan isteri, namun apabila sudah diketahui pihak majikan saya terpaksa berterus-terang dengan isteri dan mujurlah mereka masih menerima saya.
“Saya dan isteri juga telah berpakat untuk menyimpan rahsia ini daripada anak-anak. Lagipun mereka faham kerja saya yang sibuk dan sering ke luar negara,” kata bekas kakitangan kerajaan ini.
Masih beruntung, Fairuz diberi cuti selama setahun lima bulan dengan separuh gaji untuk mengubati ketagihannya itu dengan memasuki pusat pemulihan dadah di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspem), Sungai Besi di bawah seliaan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) sejak empat bulan lalu.
“Mungkin inilah titik mula untuk saya berubah kerana selama 17 tahun ini, saya tidak pernah mencuba untuk berhenti menagih dadah.
“Anak sulung saya juga bakal berkahwin pada tahun depan. Saya risau apabila memikirkan tentang masa depan mereka kalau saya terus terjebak dengan najis ini.
“Saya turut bersyukur kerana majikan tidak memecat saya walaupun sudah mengetahui hakikat ini,” ucapnya yang kesal dengan perbuatannya itu.
Katanya lagi, dia bercadang meninggalkan kerjayanya sekarang selepas keluar dari Puspem kerana menganggap kerjayanya itu sebagai peluang untuknya terus terjebak dengan dadah.
“Saya ingin kembali ke pangkuan keluarga untuk memulakan hidup baru dan merapatkan kembali hubungan dengan anak-anak yang begitu jauh ketika ini akibat sikap saya yang tidak ambil peduli. Malah mereka seperti tidak mengenali saya lagi.
“Saya juga ingin kembali mendekatkan diri dengan Tuhan setelah sekian lama mengabaikan kewajipan sebagai seorang umat Islam selain tidak mahu terlepas melihat anak-anak saya membesar di depan mata,” luahnya yang turut merancang untuk membuka sebuah restoran setelah selesai menjalani pemulihan kelak.
Sumber: Oleh DEWI ABDUL RAHMAN
dewi.abdulrahman@kosmo.com.my
No comments:
Post a Comment