Memaparkan catatan dengan label Cinta dan Kekeluargaan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Cinta dan Kekeluargaan. Papar semua catatan

Sabtu, 16 April 2011

Catatan Di Hari Lahir Mohd Nazrul

Hari ini merupakan hari lahir saya yang pertama setelah bergelar suami. Alhamdulillah diberikan peluang oleh Allah taala untuk terus hidup dan menyampaikan dakwah dengan baik. Juga bersyukur dapat bersama mengharungi hidup dengan isteri tercinta , Ummi Kalsum binti Ramlee, seorang isteri yang cukup tabah bagi saya. Semoga ketabahannya akan dibalas syurga oleh Allah taala kelak. Ummilah hadiah terbesar buat abang.

Terima kasih kepada ayah dan bonda yang bersusah-payah membesarkan anakanda. Kalian berdua adalah kunci pintu syurga anakanda kelak. Ampunilah anakanda di atas segala kesilapan yang pernah anakanda lakukan pada ayah dan bonda.

Mampukah saya menjadi seorang anak seperti Sayyiduna Abu Hurairah radhiyallahu anhu yang seringkali dibanggai oleh ibunya. Sayyiduna Abu Hurairah radhiyallahu anhu seringkali mengucapkan salam pada ibunya dengan lafaz :


Allahu Akbar, saya sering tertanya-tanya sendiri, adakah ayah dan ibu saya gembira dan berbangga dengan saya sekarang? Ya , saya tidak punya apa-apa. Tidak punya sijil pengajian lagi, masih bertatih dalam pengajian. Cuma sekeping hati yang terlalu cintakan agamaNya sahajalah yang menjadi hadiah buat mereka berdua.

CERITA AL-IMAM HAIWAH BIN SYURAIH

Saya memang tidak akan dapat menjadi anak sehebat al-Imam Haiwah bin Syuraih rahimahullah ( wafat 159 H), seorang ulama hadis yang sangat agung dan dimaqamkan di Mesir. Majlisnya dihadiri ribuan murid yang menuntut tinggalan agung Baginda sallallahu alaihi wasallam. Namun ketinggian budinya dengan ibunyalah yang menyebabkan beliau disebut-sebut di dalam sejarah.

Pernah satu hari ibunya datang ketika beliau sedang mengajar hadis. Kata ibunya kepada ulama besar ini :

“ Wahai Haiwah, cepat bangun dan tolong siatkan dan potongkan ayam untukku”

Apakah reaksi seorang imam besar hadis ini? Tidak tahukah ibunya bahawa anaknya sedang mengajar hadis di hadapan ribuan penuntut?

Sang Imam terus bangun meninggalkan majlis hadis tersebut dan murid-muridnya bagi menyelesaikan urusan ibunya. Beliau membuat seperti apa yang diarahkan ibunya tersebut. MasyaAllah. Tidak hairan namamu disebut-sebut sehingga sekarang.

Tahukah kalian berapakah pendapatan Sang Imam ini berkat mentaati ibunya? Pendapatannya sebulan adalah sebanyak 60 dinar bersamaan RM 687 × 60 = RM 41220.

Namun, kesemuanya akan disedekahkan kepada faqir miskin dan golongan yang memerlukan. Kesemuanya disedekahkan tanpa tinggal walau satu dirham sekalipun. Tetapi, setelah pulang ke rumah, jika Sang Imam menyelak hamparan tidurnya maka 60 dinar itu kembali ada kepadanya. Digantikan oleh Allah taala berkat ketaatannya kepada Allah dan kebaikannya kepada ibunya.

Pernah sekali beliau dilihat di dalam keadaan yang sangat dhoif. Tiada makanan yang mampu untuk beliau beli kerana ketiadaan wang. Maka seorang lelaki mengatakan kepada beliau :

“ Wahai Imam, mengapa engkau tidak berdoa kepada Allah taala semoga diberikan rezeki kepadamu?”

Beliau terus mengambil segenggam pasir ditangannya lalu melemparkannya ke arah lelaki tersebut. Pasir itu bertaburan dan yang kekal di tangannya telah bertukar menjadi emas.  Lalu beliau berkata kepada lelaki itu:

“  Kamu nak lagi suruh aku berdoa kepada Allah taala setelah melihat perkara sebegini boleh berlaku?”

Maksudnya, Sang Imam ingin mengajar kepada lelaki tersebut agar jangan memandang kefakiran tersebut sebagai bala Allah taala kepadanya. Sedangkan kefakiran tersebut adalah cara untuk Sang Imam lebih berharap dan mengingati Allah taala.

Bagaimana Sang Imam boleh mendapatkan nikmat dan kelebihan sedemikian rupa? Tidak lain hanyalah kerana ketaatannya kepada Allah dan Rasul serta kebaikkannya kepada Ibu dan Bapa beliau.

Semoga saya mampu menjadi seperti para ulama tersebut. Mentaati ibu bapa tanpa berbelah bahagi. Umur semakin meningkat maksudnya perjalanan kita menuju Allah taala semakin hampir. Semakin umur meningkat, semakin hampir kita merendah ke dalam bumi.

Amal yang ada sudah tentu tidak mencukupi untuk membeli syurgaMu Ya Allah. Hanya cinta kepadaMu dan Baginda Rasul sallallahu alaihi wasallam serta ketaatanku kepada kedua ibu bapaku sahajalah yang mungkin melayakkan aku ke sana. Amin Ya Rabb..

P/S: Terima kasih kepada semua sahabat yang sering mendoakan saya dan isteri serta keluarga. Semoga kita semua dapat bersama di dalam syurga Allah taala kelak di dalam Majlis Baginda sallallahu alaihi wasallam.

Tidak dilupakan kepada adik-adik abang yang tercinta Naddia, Naqiyah, Naufal, Nuqman dan Natrah. Semoga kalian semua dapat sentiasa menggembirakan ibu dan ayah. Gembirakan mereka dengan akhlak dan peribadi yang soleh dan solehah.

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Penuntut Masjid al-Azhar al-Syarif & Masjid al-Asyraff,
Rumah Mak dan Ayah Di Pedu,
Jam 2:34 Pagi ( 17 April 2011)

Selasa, 12 Januari 2010

Jangan Salah Faham Dengan Amirul Mukminin Umar Bin Al-Khattab radhiyallahu anhu..

Baru-baru ini ketika mengajar Kitab Nur al-Dzolam Syarah Manzumah Aqidatil Awwam di Madrasah al-Imam Syafie, saya menjumpai satu kisah menarik yang berlaku di antara Saidina Umar bin Al-Khattab radhiyallahu anhu dan Saidatina Ummu Kulthum radhiyallahu anha binti Saidina Ali karramallahu wajhah. Bila diteliti kembali kisah ini , saya dapati kalau tidak diceritakan dan disampaikan dengan cara yang benar, tentulah pembaca akan menyampaikan dengan cara yang tidak betul. Malah bimbang akan berlaku kurang adab dengan sahabat Baginda sallallahu alaihi wasallam yang sangat agung ini. Kisah sebegini selalu dimanipulasikan oleh golongan Syiah untuk menghina peribadi Sahabat Baginda sallallahu alaihi wasallam yang agung ini. Sedangkan hakikat sebenar cerita tersebut langsung tidak mencarik peribadinya malah menunjukkan lagi tingginya peribadi dua sahabat Baginda sallallahu alaihi wasallam.

Kisah ini diriwayatkan juga oleh al-Imam Ibn Saad di dalam Tabaqat Ibn Saad (8/463) dan al-Imam Ibn Asakir di dalam Tarikh Dimasyk (19/483).

Saya akan membuat ulasan disetiap perbahasan cerita ini moga mudah untuk difahami dengan cara yang sebenarnya.

Kisahnya berlaku bilamana Saidina Umar bin Al-Khattab radhiyallahu anhu meminang Saidatina Ummu Kulthum daripada ayahnya Saidina Ali karramallahu wajhah.

(Ulasan Saya : Ramai yang membaca nama Ummu Kulthum dengan sebutan yang salah, bacaan sebenar bagi nama ini bukanlah Ummu Kalthum iaitu dengan baris fathah pada huruf kaf, namun yang sebenar ialah dibacakan dengan baris dhommah pada huruf kaf)

Bilamana Saidina Umar bertemu dengan Saidina Ali maka beliau berkata: “ Wahai Abu al-Hassan kahwinkanlah aku dengan Ummu Kulthum, Sesungguhnya padanya satu kelebihan yang tidak ada pada orang lain”

( Ulasan Saya : Kelebihan Saidatina Ummu Kulthum adalah kerana beliau merupakan cucu Baginda sallallahu alaihi wasallam. Ini bermaksud bukanlah Saidina Umar inginkan kecantikkannya sahaja, namun yang lebih penting ialah punya nasab keturunan yang sangat baik)

Saidina Ali karramallahu wajhah berkata: “ Wahai Amirul Mukminin , Sesungguhnya dia masih kecil”

(Ulasan Saya : Perkataan Saidina Ali karramallahu wajhah ini bukanlah untuk mengatakan bahawa Saidatina Ummu Kulthum ini terlalu kecil, namun ini adalah sebagai kebimbangan Saidani Ali , takut-takut Saidatina Ummu Kulthum tidak dapat menjalankan tanggungjawab utama jika menjadi isteri kepada seorang yang sangat hebat ini. Selepas ini kita akan lihat bagaimana matangnya Saidatina Ummu Kulthum bilamana berhadapan dengan Saidina Umar)

Saidina Ali menambah: “ Baiklah Amirul Mukminin, saya akan hantarkan Ummu Kulthum kepadamu biar kamu melihatnya dahulu, jika kamu berkenan maka aku telah nikahkannya denganmu”

(Ulasan Saya : Nah, ini dalil menunjukkan bahawa Saidina Umar langsung tidak pernah melihat Saidatina Ummu Kulthum, mungkin beliau pernah melihatnya ketika masih terlalu kecil. Ini menolak pandangan golongan Syiah yang melampau-lampau mengatakan bahawa Saidina Umar sering memerhatikan Saidatina Ummu Kulthum.)

Maka Saidina Ali karramallahu wajhah menyuruh agar Saidatina Ummu Kulthum menghantarkan Burdah (kain selempang) kepada Saidina Umar bin al-Khattab radhiyallahu anhu dan menyuruh Saidatina Ummu Kulthum berkata “ Inilah burdah yang diminta oleh Amirul Mukminin daripada ayah saya”

(Ulasan Saya : Perbuatan ini menunjukkan kepada kita bahawa ianya sebagai isyarat daripada Saidina Ali Karramallahu wajhah kepada Saidina Umar, bahawa inilah Ummu Kulthum isteri Amirul Mukminin. Saidina Ali menghantar Saidatina Ummu Kulthum bagi membolehkan Saidina Umar bin al-Khattab menilai adakah Saidatina Ummu Kulthum masih kurang matang atau sebaliknya untuk dijadikan isteri. Maka penilaian Saidina Umar akan menentukan segalanya. Hakikatnya ketika itu Saidatina Ummu Kulthum telah menjadi isteri bagi Saidina Umar.

Melihat bakal Isteri hanyalah Sunnah, bukannya wajib seperti kata sebahagian orang. Malah lebih melucukan sebahagian orang mengkritik kisah yang berlaku di antara Bapa Saidina Abdul Qadir Jailani dan bakal isterinya hanya kerana Sang Suami tidak melihat isterinya terlebih dahulu. Malah dibahaskan oleh al-Imam Mansur al-Hanbali di dalam kitabnya Raudhul Murbi’ Syarah Zadul Mustaqni’ mukasurat 305, bahawa jika seseorang tersebut redha dengan aib yang terdapat pada Isteri maka tidaklah menjadi masalah malah nikah tersebut adalah sah. Jadi mengapa harus mengkritik malah mentertawakan kisah tersebut?? Sedangkan Hakikatnya , peristiwa itu hanyalah perumpamaan yang diberikan terhadap seorang yang menjaga dirinya daripada sebarang maksiat )

Bilamana Saidatina Ummu Kulthum mengatakan sedemikian, maka Saidina Umar mengatakan bahawa “ Katakan kepada ayahmu bahawa aku redha dengannya”

Pada ketika Saidatina Ummu Kulthum ingin pulang, maka Saidina Umar memegang betisnya lalu menyelaknya. Maka Saidatina Ummu Kulthum terkejut lalu berkata “ Apa yang kamu buat ini?? Kalaulah bukan kerana kamu ini Amirul Mukminin maka sudah lama aku cucuk matamu” Beliau pulang dalam keadaan marah , lalu ditanya kepadanya oleh bapanya yang tercinta “ Mengapa marah-marah?”

Saidatina Ummu Kulthum menjawab “ Ayah telah hantar saya kepada seorang tua yang jahat.”

Saidina Ali karramallahu wajhah menjawab : “ Wahai anakku yang tercinta, Amirul Mukminin adalah suamimu, Janganlah berkata begitu kepadanya”

(Ulasan Saya : Pada kisah inilah ramai golongan Syiah menempelak Saidina Umar bin al-Khattab radhiyallahu anhu kononnya Beliau seorang yang bermata keranjang. Na’uzubillah. Hakikatnya mereka yang tidak memahami Fiqh Islami yang berlaku di antara dua sahabat agung ini. Di dalam peristiwa ini , ketika Saidina Umar menyelak betis Ummu Kulthum beliau adalah merupakan suaminya. Namun perkara ini tidak diketahui oleh Ummu Kulthum.Para ulama membahaskan adakah si ayah wajib meminta izin terlebih dahulu kepada anak daranya untuk dinikahkan dengan seorang lelaki yang dirasakan layak baginya?

Para ulama Hanafiyyah mengatakan bahawa Si ayah wajib untuk meminta izin daripada si anak jika anak perempuannya telah baligh. Manakala ulama Malikiyah dan Syafieyah pula mengatakan bahawa ayah merupakan wali Mujbir yang tidak perlu untuk meminta izin terlebih dahulu , malah boleh mengahwinkannya bila-bila masa yang dirasakan sesuai.

Bagi mazhab Syafie, diletakkan pula syarat, jika si ayah ingin melakukan sedemikian, maka ianya diterima jika tiada permusuhan yang nyata di antara si ayah dan si anak tersebut.
Saidina Ali karramallahu wajhah dan Saidatina Ummu Kulthum tentulah tiada permusuhan diantara mereka, kita sendiri boleh melihat betapa Saidatina Ummu Kulthum benar-benar mentaati perintah bapanya yang tercinta.

Hikmah yang lain disebalik perbuatan Saidina Umar ialah untuk memastikan adakah Saidatina Ummu Kulthum sudah benar-benar matang menilai sesuatu yang baik dan buruk. Perkataan yang dikeluarkan oleh Saidatina Ummu Kulthum semasa mula-mula Saidina Umar memegang betisnya, menunjukkan bahawa beliau telah matang dan sesuai menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri. Saidina Umar tidak akan memegang betis seorang perempuan melainkan wanita tersebut adalah orang yang halal baginya.

Jadi berjaga-jagalah bilamana berbicara tentang para sahabat. Adab kita kepada mereka yang dipuji oleh Allah taala di dalam al-Quran ini perlulah dititik beratkan. Jangan menjadi seperti golongan Syiah yang melampau-lampau dan tidak mengetahui cara bagaimana bermuamalah dengan para sahabat.)

Hasil perkahwinan tersebut , mereka dikurniakan dua anak iaitu Saidina Zaid dan Saidatina Ruqayyah.

Rujukan :

1. Jadual Fiqh Muamalat oleh Syaikhuna Dr. Umar Abdullah Kamil hafizahullah

2. Al-Mu’tamad Fi Fiqh Syafieyah oleh al-Allamah Dr Muhammad Zuhaili hafizahullah

3. Al-Zakhirah fi Fiqh al-Malikiyah oleh al-Imam al-Qarafi rahimahullah

4. Raudhul Murbi’ oleh al-Imam Mansur al-Hanbali

5. Mughni al-Muhtaj Syarah Minhaj al-Tholobin oleh al-Imam Khatib Syarbini.

6. Nur al-Dzolam Syarah Manzumah Aqidatul Awwam oleh al-Imam al-Allamah Syeikh Nawawi al-Bantani

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Penuntut Ilmu Di Masjid al-Azhar al-Syarif dan Masjid al-Asyraff,
Rumah Kedah Transit Hayyu 7,
Kaherah Mesir



Khamis, 29 Oktober 2009

“ Apakah Yang Akan Kamu Lakukan Jika Diberi Peluang Sebentar Jua Bersama Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam?”

“ Apakah yang akan kamu lakukan jika diberi peluang sebentar jua bersama Baginda sallallahu alaihi wasallam?”

Layakkah kiranya diri ini berada walau sebentar di hadapan tubuh Baginda sallallahu alaihi wasallam yang cukup mulia itu?

Adakah Baginda sallallahu alaihi wasallam akan memandang kepada wajah yang penuh dosa dan noda ini?

Pagi ini, hati al-Faqir sebak bilamana melihat satu siaran televisyen Arab melalui internet. Soalan yang ditanyakan oleh jurubicara rancangan tersebut begitu menggugah jiwa. Soalannya mudah dan ringkas namun jawapannya amat sukar diungkapkan. Soalannya :

“ Apakah yang akan kamu lakukan jika diberi peluang sebentar jua bersama Baginda sallallahu alaihi wasallam?”

Demi Allah, Tuhan Sekalian Alam, al-Faqir benar-benar rindukan Rasulullah sallallahu alaihi wasallam sewaktu menulis perkara ini. Seseorang tidak malu untuk menungkapkan sayang dan rindunya kepada kekasihnya. Tapi mengapa perlu malu untuk kita mengungkapkan rindu dan sayang kepada Baginda sallallahu alaihi wasallam? Malah Baginda sallallahu alaihi wasallam lebih daripada segala-galanya. Lebih daripada alam keseluruhannya.

Ya Rasulallah, Demi Allah, al-Faqir benar-benar cemburu dengan para Sahabatmu yang setiap masa dan ketika menatap wajahmu yang mulia disamping memberikan khidmat kepadamu.


Al-Faqir benar-benar cemburu dengan Saidina Abu Bakr al-Siddiq dan Saidina Umar al-Khattab radhiyallahu anhuma yang seringkali berada di sampingmu. Berlapar dan dahaga bersamamu, mengikat perut dengan batu bersamamu, bersusah senang bersamamu. Ingin benar al-Faqir menjadi orang yang mula menghunuskan pedang mempertahankanmu bilamana dirimu dipersenda. Ingin sekali al-Faqir membantu puterimu Saidatina Fatimah al-Zahra’ kekasihmu dan kekasih umat seluruhnya membuang kotoran daripada perut kambing yang diletakkan diatas tengkukmu ketika dikau solat di Kaabah al-Musyarrafah.Ingin sekali al-Faqir memancung kepala lelaki cabul Quraisy yang meletakkan kotoran itu di atas badanmu yang mulia.

Ya Rasulallah, Setiap kali membaca kalammu, al-Faqir membayangkan seolah-olah dirimu sedang berbicara dengan diri yang penuh noda ini.Namun , terkadang al-Faqir terfikir, layakkah mulut kotor ini membaca kalammu yang mulia? Layakkah hati kotor ini menyimpan khazanahmu yang mulia?

Al-Faqir tahu, Dikau mengetahui apa yang al-Faqir rintihkan pada hari ini. Kami hari ini tidak mampu untuk masuk ke maqammu dan meletakkan pipi kami yang hina di atas maqammu yang mulia sepertimana yang dilakukan oleh Saidina Abu Ayyub al-Ansori radhiyallahu anhu dek kerana terlalu rindukan dirimu Ya Habiballah.

Terlalu banyak yang ingin al-Faqir rintihkan dan maklumkan kepadamu Ya Rasulallah.Namun coretan terlalu ringkas dan hati tidak mampu meluahkan semuanya.

Al-Faqir sangat-sangat berharap sebelum mata ini terpejam rapat moga dapat walau sekejap jua dapat menatap wajahmu . Hanya itu sahajalah yang mampu menenangkan jiwa kosong al-faqir ini sebelum dijemput bertemu Rabbul Jalil.

Moga cinta dan sayangku kepadamu Ya Rasulallah , cinta yang berbalas. Janganlah Dikau palingkan wajahmu yang mulia daripada al-Faqir ini.

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Rumah Kedah, Hayyu Asyir,
Kaherah Mesir

Jumaat, 4 September 2009

Selamat Hari Lahir Mak...

Pagi ini, setelah pulang daripada kelas pengajian bersama Syaikhuna Murabbi Dr Yusri Rusydi al-Hasani hafizahullah , saya terus membuka komputer riba milik saya.Mulanya bercadang untuk menyambung kerja-kerja yang banyak tertangguh.

Tiba-tiba alarm telefon bimbit saya berbunyi mengingatkan saya kepada sesuatu yang tak sepatutnya saya lupakan dan abaikan...

Hari ini adalah hari lahir insan yang paling saya sayangi dan cintai..Insan yang banyak membentuk diri ini menjadi insan yang moga-moga dapat menjadi penyinar kepada agama Allah kelak...

Hari ini adalah hari lahir Ibu saya yang tercinta tanggal 4 September..Mak mesti ingat anak mak sorang nie lupakan hari lahir mak lagi kan?? Nazrul takkan lupakan lagi sampai bila-bila..

Nazrul ingat lagi, dulu masa kecik-kecik kalau buat salah mesti kena cubit dengan mak..Kalau Nazrul buat kacau kat rumah orang, mak mesti panggil senyap-senyap lepas tue cubit Nazrul...Sakittt.. Tapi kalau diingatkan balik, indah rasanya..Kalau boleh sekarang nie nak suruh mak cubit tiap-tiap hari..

Masa sekolah rendah, Nazrul kat asrama di Sekolah Kebangsaan Panglima Awang..Mak selalu datang intip malam-malam tengok Nazrul buat apa kat asrama.. Pernah la sekali tue terkantoi dok buat nakal ngan kawan-kawan...Lepas tue kenalah ceramah ngan ayah dalam kereta...
Tapi tue dulu mak, zaman jahiliyah Nazrul dulu-dulu..Sekarang nie anak Mak insyaAllah dah jadi Ustaz dah pun :)

Kita selalu berjauhan kan?? Sejak sekolah rendah lagi Nazrul dah duduk asrama..Bila lepas UPSR, Nazrul ke SMKA Baling, pun kena duduk asrama..Hujung minggu je dapat jumpa mak dan ayah...Lepas PMR Nazrul ke KISAS pulak..Lagi jauh..Dapat jumpa mak pun sebulan sekali je..sampai la sekarang nie kan?? Nazrul lagi jauh dengan Mak...

Nazrul ingat lagi, masa dapat tawaran ke UIA selepas SPM , Nazrul berkeras taknak masuk UIA..Mak kata Nazrul keras kepala..Nazrul tekad jugak nak masuk tingkatan enam di KISAS..Kalau mak ada di tempat Nazrul waktu tue, mesti mak akan faham kenapa Nazrul nak sangat masuk semula ke KISAS...

Lepas STAM , dengan keputusan cemerlang Nazrul dapat pula tawaran ke UKM dalam jurusan Dakwah..Mak dan ayah berkali-kali telefon Nazrul suruh daftarkan diri ke UKM..Nazrul berkeras jugak nak datang ke Mesir Bumi Barakah ini...

Nazrul harap keputusan Nazrul sekarang tepat..Nazrul harap sangat-sangat mak dan ayah ampunkan Nazrul kalau ada menyakitkan hati mak dan ayah masa tak ikut cakap mak ayah untuk masuk ke UIA dan UKM dulu...Nazrul harap mak berbangga dengan apa yang ada pada Nazrul sekarang...

Nazrul tidaklah sepandai kawan-kawan yang lain..Tapi Nazrul tahu, mak sangat-sangat memahami Nazrul kat sini macamana..

Nazrul ingat sangat-sangat masa Nazrul balik tahun lepas setelah 4 tahun di Mesir..Ramai yang datang ke rumah tanya kenapa lama sangat kat sana?? Soalan macam ini memang membunuh kerana ramai yang takkan faham cara Nazrul belajar kat sini..Tapi Maklah yang akan menyelamatkan Nazrul..Mak cakap " Dia kat sana belajar kat Masjid ja..Katanya yang penting ilmu bukan sijilnya" Memang payah orang ramai nak memahami perkara ini..Ramai lebih memandang kepada sijil dan syahadah semata-mata..Tapi Nazrul bersyukur sangat-sangat Mak taklah berfikir macam tue..

Tapi Mak selalu jugak pesan kat Nazrul, memang ilmu sangat-sangat penting, tapi sijil dan pangkat juga mesti ada kerana ianya wasilah pada zaman sekarang...Nazrul akan usaha sungguh-sungguh dan Nazrul akan berbakti pada mak dan ayah pula lepas nie..

Mak , Nazrul sangat bersyukur dapat ibu sebaik mak..Mak doakan Nazrul dan adik-adik dapat jadi anak Mak yang soleh dan solehah...Moga kami semua akan menjadi harta berharga untuk Mak dan Ayah...

Selamat Hari Lahir untuk Mak...Nazrul sentiasa doakan Mak sentiasa sihat dan dimurahkan rezeki serta panjang umur...Terus terang Nazrul cakap, waktu menulis ni air mata Nazrul menitis jugak..Cuba untuk tahan tapi tak dapat.. Rindu sangat-sangat kat Mak..




Anakmu Yang Merinduimu,


Mohd Nazrul Abd Nasir,
Penuntut di Masjid al-Azhar al-Syarif dan Masjid al-Asyraf,
Kaherah Mesir..

Sabtu, 13 Jun 2009

Bicara tentang RINDU

Alhamdulillah diberikan juga peluang oleh Allah taala untuk tulis post yang terbaru ini. Kali ini kita akan berbicara tentang rindu. Pada post yang lepas saya telah bicarakan tentang cinta dan hakikatnya.

Kesinambungan daripada cinta maka akan terbit perasaan rindu pada yang dicintai. Para pejuang Allah taala yang mencintai Tuhannya pasti akan merindui syahid. Seorang suami yang mencintai isterinya pasti akan merindui isterinya jika berjauhan. Begitulah seterusnya.

Rindu menurut para ulama ialah sesuatu perkara yang berlaku kerana terlalu mencintai seseorang. Maka terkadang rindu dibaluti dengan sikap berjaga-jaga. Terkadang ada juga yang terlalu berlebih-lebihan dalam mengungkapkan kalimah rindu sehingga melangkaui batas yang diletakkan oleh Syarak.

Bukanlah semua rindu itu sesuatu yang tidak baik dan menjijikkan. Kerana rindu yang dihiasi dengan iman dan taqwa akan menatijahkan sesuatu yang terbaik bagi sang perindu.

Rindu seperti yang kita ketahui, merupakan perkara yang berlaku selepas hadirnya cinta. Maksudnya, bila cinta mekar maka rindu akan hadir secara tidak langsung. Rindu juga adalah merupakan amalan hati yang mana manusia tiada kuasa untuk menghalangnya.

Menurut Syeikh al-Qadhi Muhammad Ahmad Kan’an , seorang perindu yang benar-benar menjaga dan menyembunyikan perasaan tersebut daripada pengetahuan orang lain akan mendapat pahala dan ganjaran di atas mujahadah yang dilakukannya. Bahkan al-Imam Tahtawi radhiyallahu anhu menyebutkan di dalam hasyiyah Muraqi al-Falah (kitab fiqh Mazhab Abu Hanifah) , beliau menukilkan perkataan daripada al-Imam Suyuti radhiyallahu anhu :

“ Orang yang menyembunyikan perasaan rindu sebegini kepada seseorang yang dirinduinya maka jika dia mati dalam keadaan tersebut akan mendapat ganjaran seumpama golongan Syahid akhirat”.

Biar kefahaman lebih jelas, elok kiranya saya terangkan pembahagian syahid di sisi para ulama. Terdapat tiga jenis syahid seperti yang diterangkan oleh para ulama yang mensyarahkan kitab Jauharah Tauhid .

Pertama: Syahid Dunia- Ini merupakan golongan yang berjuang di jalan Allah(berjihad) tetapi niat mereka bukanlah ikhlas kerana Allah taala, malah untuk mendapatkan pujian dan penghargaan. Maka jika mereka mati ketika berperang dalam keadaan sebegini akan digelarkan Syahid dunia. Ini kerana semua orang melihat seolah-olah mereka mati syahid di dunia ini sedangkan mereka langsung tidak mendapatkan apa-apa ganjaran di sisi Allah taala di akhirat kelak.

Kedua: Syahid Akhirat- Ini merupakan golongan yang pada pandangan mata manusia mereka tidaklah kelihatan sedang berperang di jalan Allah taala. Tetapi jika mereka mati maka mereka akan memperolehi pahala dan ganjaran seumpama orang yang mati syahid. Contohnya seperti yang disebutkan di dalam hadis Baginda sallallahu alaihi wasallam, ibu yang mati ketika melahirkan anaknya, orang yang mati kerana lemas, orang yang mati kerana sakit perut dan taun, orang yang mati kerana menahan rindu dan cinta terhadap seseorang dan dia menjaga dirinya, orang yang mati ketika menuntut ilmu dan lain-lain. Secara zahirnya kita langsung tidak melihat mereka mati dalam keadaan syahid. Tetapi di akhirat kelak, mereka akan mendapatkan ganjaran seperti orang yang mati syahid. Oleh kerana itulah mereka digelarkan Syahid Akhirat.

Ketiga: Syahid Dunia dan Akhirat- Ini merupakan golongan yang berjuang di jalan Allah taala dan mereka benar-benar ikhlas di jalan Allah.Jika mereka terbunuh ketika peperangan tersebut maka mereka digelarkan syahid dunia dan akhirat. Ini kerana di dunia manusia semua menjadi saksi bahawa golongan ini berjuang dan di akhirat juga mereka akan datang dengan pahala sebagai orang yang mati syahid di jalan Allah taala.

Maka jelaslah bagi kita, sang perindu juga (sama ada wanita atau lelaki) yang benar-benar menjaga rindunya terhadap kekasihnya dengan tidak melakukan perkara yang dilarang oleh Syarak maka jika dia mati di dalam keadaan sebegini akan memperolehi pahala orang yang syahid di akhirat kelak. Moga Allah menggolongkan kita dikalangan orang yang bersikap perindu sebegini.

Jika kita memahami sebenar-benarnya maksud yang diterangkan oleh ulama, maka kita akan merasa tenang hati. Masih ramai yang tidak memahami maksud rindu dan cinta. Malah sehingga menganggap jika seseorang mencintai seseorang yang lain maka sebenarnya dia telah melakukan sesuatu yang dicegah oleh syarak. Fahaman sebegini perlulah diperbetulkan. Kesalahannya bukan pada sifat cinta tersebut, yang menjadi kesalahannya ialah bagaimana orang yang punya perasaan cinta itu menunjukkan kecintaannya dan kerinduannya.

Islam adalah agama fitrah. Cinta dan rindu adalah fitrah seorang insan. Islam datang untuk menunjukkan cara sebenar mengendalikan cinta dan rindu. Bukannya menafikan rindu dan cinta itu hadir dalam kehidupan seseorang.

Perbuatan orang yang bercinta itu yang perlu dipersoalkan kerana mendahulukan nafsu daripada iman yang terdapat dalam sanubari mereka.

Jangan terlalu membenci cinta. Sudah banyak saya perhatikan orang yang menentang cinta yang hadir dalam dirinya dengan tentangan yang padu, akhirnya dia sendiri tersungkur dan menjadi orang yang lebih teruk daripada orang yang tidak membenci cinta sepertinya.

Saya menulis sebegini bukan untuk mengalakkan pasangan untuk bercinta. Bukan itu tujuan saya. Tujuan saya biarlah orang benar-benar faham apa itu cinta yang dimaksudkan oleh syarak.Apa itu rindu yang sebenar. Cinta dan rindu bukan hanya tertumpu pada lelaki dan wanita. Jika difahami sedemikian maka terlalu sempit pemahamannya. Cinta dan rindu itu umum.

Tanpa cinta maka kita akan berbalah tanpa meletakkan sedikit kecintaan pada sahabat seagama kita. Tanpa cinta maka kita tidak akan memandang seseorang yang berbeza pendapat dengan kita dengan pandangan yang mulia. Tanpa cinta semua akan jadi pincang. Ini hikmahnya Allah taala ciptakan cinta. Bukan untuk disalah gunakan. Tapi untuk dimanfaatkan sebaiknya.

Biar orang membenci, tapi hati kita tetap mencintai.Biar orang lupakan kita, tapi kita tetap merindui . Fikir-fikirkanlah.

MOHD NAZRUL ABD NASIR,
RUMAH KEDAH HAYYU 10,
KAHERAH MESIR

Rabu, 10 Jun 2009

Bicara Tentang Cinta

Jarang orang berbicara tentang cinta , rindu dan cemburu. Ramai juga yang selalu terlalu prejudis terhadap cinta. Menganggap cinta dan rindu sebagai suatu perkara yang buruk dan menjijikkan. Golongan yang paling ramai berpandangan sedemikian ialah para remaja. Malah golongan remaja jugalah yang menyalah ertikan tentang maksud cinta dan rindu sehingga terlalu berlebih-lebihan di dalam melaksanakan maksud cinta yang dicipta oleh mereka dengan melakukan perkara-perkara maksiat. Tidak dapat dinafikan ada yang sanggup berzina dengan pasangannya hanya dengan menggunakan istilah “ cinta” dan “rindu”.

Mungkin kerana wujud golongan yang menyalahgunakan erti sebenar cinta , maka golongan remaja yang menjaga peribadi mereka juga turut memandang serong terhadap cinta.

Cinta juga makhluk. Rindu juga makhluk ciptaan Allah taala. Seseorang akan menjadi musuh terhadap sesuatu yang dia tidak kenali dengan mendalam. Kalau ingin membenci cinta maka sepatutnya perlu berlaku adil padanya. Perlu kenal apa itu cinta terlebih dahulu. Perlu kenal apa itu rindu terlebih dahulu.

Cinta, rindu dan cemburu merupakan tiga perkara yang tidak boleh kita nafikan kewujudannya. Ketiga-tiga perkara ini wujud di dalam hati sanubari seseorang. Ianya juga banyak membantu di dalam kehidupan seseorang. Ya benar, Allah taala tidak menjadikan sesuatu itu dengan sia-sia melainkan perkara itu ada tugasnya tersendiri. Lemahnya adalah kita yang tidak mampu mencari hikmahnya.

Tanpa cinta, kita tidak akan wujud di dunia ini. Tanpa cinta seseorang boleh berlaku kejam terhadap keluarganya. Tanpa cinta dunia akan gelap gelita tanpa sinar.

Kerna kurangnya rasa cintalah yang menyebabkan seseorang itu berlaku kejam terhadap saudaranya. Begitu juga rindu dan cemburu. Tanpa cemburu seseorang boleh membiarkan kekasihnya melakukan maksiat. Tanpa cemburu maka seorang isteri akan membiarkan suaminya bermain kayu tiga dan tanpa cemburu jugalah menyebabkan seseorang akan membiarkan hatinya dipermainkan orang lain.

Saya tertarik untuk membincangkan perkara ini. Sama-sama ikuti moga kita mendapat manfaatnya.

Cinta menurut al-Qadhi al-Syeikh Muhammad Ahmad Kan’an di dalam kitabnya Usul al-Muasyarah al-Zaujiyah ialah kecenderungan hati terhadap perkara yang dicintai. Cinta sebenarnya adalah perbuatan dan amalan hati. Bukan amalan anggota badan.

Tanpa cinta ini maka perkahwinan tidak akan berjaya dan bahagia. Perlu difahami dengan baik, yang memberikan kebahagian dan ketenangan bukanlah zat cinta itu sendiri, bahkan yang memberikannya kepada kita ialah Pemilik Cinta itu sendiri iaitu Allah Yang Maha Pencinta dan Pengasih. Cuma cinta ini sebagai satu wasilah bagi mencapai ketenangan itu.

Menurut al-Qadhi Muhammad Kan’an lagi, kunci utama kepada cinta bermula dengan pandangan mata. Oleh sebab itulah Baginda sallallahu alaihi wasallam menggalakkan kepada seseorang yang ingin bertunang agar melihat terlebih dahulu kepada tunangnya. Agar bertambah rasa cinta dan rindu.

Diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad dan al-Nasa’ie rahimahumallah daripada Saidina Syukbah radhiyallahu anhu katanya:

خطبت امرأة فقال لي رسول الله صلى الله عليه و سلم: هل نظرتَ إليها ؟ قلتُ : لا , قال : فانظر إليها فإنه أحرى أن يؤدَمَ بينكما

Maksudnya: Aku telah meminang seorang wanita. Maka Baginda sallallahu alaihi wasallam bertanya kepadaku: Adakah kamu telah melihatnya wahai Syukbah? Aku menjawab: Tidak Ya Rasulallah. Maka sabda Baginda sallallahu alaihi wasallam: Lihatlah padanya, sesungguhnya dengan melihat itu akan menjadikan kamu berdua merasa lebih serasi dan berkenan.

Sesuatu yang perlu kita fahami ialah cinta sebenar adalah cinta yang ingin dibina atas dasar iman. Maksud saya bukan sekadar bercinta tetapi meletakkan bahawa wanita yang dicintainya dan lelaki yang dicintainya akan dijadikannya sebagai isteri dan suami. Sabda Baginda sallallahu alaihi wasallam daripada Saidina Ibn Abbas radhiyallahu anhuma:

لم يُرَ للمتحبَين مثل النكاح

Maksudnya: Tidaklah dilihat kepada dua orang yang sedang bercinta melainkan pernikahan.

Menjadi kesalahan pada remaja sekarang dengan menggunakan nama cinta seperti yang dilakukan oleh remaja di Barat. Cinta hanya digunakan untuk memuaskan nafsu serakah dan keinginan yang tak terbendung. Ini satu kefahaman yang jelas bertentangan dengan maksud sebenar cinta yang dianjurkan syarak. Cinta yang mereka bina bukan untuk membimbing pasangan menuju redha Allah taala, malah menjerumuskan ke lembah kehinaan dengan dosa dan noda yang mereka lakukan ketika bercinta.

Kesalahfahaman sebeginilah yang menyebabkan seseorang itu menganggap golongan yang berbicara tentang cinta sebagai golongan yang telah lari daripada jalan tuhan. Seolah-olah meraka telah jauh daripada Allah taala dengan membicarakan cinta yang dianggap oleh mereka sebagai sesuatu yang jijik untuk dibicarakan oleh para ulama khususnya.

Cinta merupakan kecenderungan hati seseorang kepada kekasihnya. Amalan hati tidaklah dikira dosa selagi tidak melaksanakan apa yang terpendam di dalam hati. Seseorang itu tidaklah mampu baginya menghalang kecenderungan hatinya terhadap seseorang.

Sebaliknya yang akan dinilai oleh Allah taala adalah perbuatan orang bercinta itu. Jika perbuatan yang mereka lakukan menjurus kepada nafsu dan dosa maka inilah yang akan dinilai dan disoal oleh Allah taala kelak.

Perkara yang paling selamat bagi menyelamatkan cinta sejati daripada dinodai dosa dan noda ialah dengan menjauhkan segala perkara yang boleh menjurus ke arahnya. Perkahwinan adalah satu cara yang terbaik untuk menyemai cinta sebenar yang dikehendaki syarak.

Namun tidaklah saya nafikan wujudnya percintaan sebelum perkahwinan. Oleh sebab itulah syarak meletakkan adanya pertunangan. Tidak lain untuk menyemai cinta dan rasa keserasian antara kedua pasangan tersebut. Batasnya perlu dijaga. Jika tidak dijaga maka inilah yang akan membawa kemudharatan dan kepincangan di dalam memahami maksud cinta itu sendiri.

Saya benar-benar tertarik untuk membicarakan tentang cinta ini setelah membaca sebahagian daripada buku karangan Al-Imam Ibn Hazm al-Andalusi rahimahullah 384H-456H . Kitabnya yang berjudul Thuqul Hamamah fi ilfati wal allaf benar-benar memberikan kesan yang mendalam terhadap saya berkenaan cinta.

Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa al-Imam Ibn Hazm al-Andalusi rahimahullah adalah Guru Besar saya di dalam cinta. Kitab ini ada terjemahannya yang sangat indah bahasa terjemahnya. Ianya diterjemahkan oleh Habiburrahman al-Syirazy , penulis novel Ayat-ayat Cinta.

Saya mencadangkan kepada sesiapa yang ingin mengenal cinta agar membaca buku ini. Sesiapa yang pandai membaca kitab berbahasa Arab sebaiknya terus mendapatkan pemahaman tentang cinta daripada karangan al-Imam Ibn Hazm rahimahullah sendiri.Moga kalian lebih memahami tentang cinta.

Sambungan tentang rindu akan saya bicarakan pada post yang akan datang. Doakan moga diberikan kelapangan oleh Allah taala pemilik cinta yang agung. Wallahu a’lam.

MOHD NAZRUL ABD NASIR,
RUMAH KEDAH HAYYU 10,
KAHERAH MESIR
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...