Tuesday, 17 February 2015

Akal dalam sebuah Falsafah Kehidupan


Akal dalam sebuah Falsafah Kehidupan

Setiap manusia berjalan atas sebuah jalan kehidupan yang sama. Kita membesar di dalam kandungan ibu,lahir ke dunia,membesar tubuh badan sehingga tua; ada yang dijemput ajal sebelum sempat menjengah tua. Bukankah banyak kelapa muda yang dikait sebelum gugurnya kelapa tua.Biarpun,jalan kehidupan ini sama,namun di sana terdapat sebuah perbezaan yang membezakan natijah kehidupan kita.

Apakah perbezaan tersebut?

Akal

Erti kata bagi akal adalah ikatan. Akal mengikat perbuatan dan tindak tanduk manusia samada baik atau buruk.  Sebagaimana tali mengikat lembu supaya tidak lari,akal manusia pula mengikatnya supaya tidak menurut hawa nafsu.

Akal menimbang dan memikirkan niai sebuah perbuatan samada mendatangkan untung atau rugi.Oleh itu,jika ditanyakan kepada sesiapa pun antara RM100 dan RM10,sudah tentu yang menginginkan RM10 itu boleh dikatakan kurang berakal kerana tidak mampu memilih yang lebih untung.



Namun,tugas akal lebih dari itu. Akal menjadi sandaran dalam membezakan antara manusia dan haiwan. Manusia dan haiwan masing-masing punyai nafsu dan mengejar kelazatan. Jika bukan kerana akal yang mengikat perbuatan manusia,sudah tentu tiada beza antara manusia dan haiwan.

Tatkala lembu melihat rumput dan tanaman di kebun orang,dirempuhnya tanpa memikirkan baik buruk. Baginya,aku suka makan, Tetapi manusia bukan begitu. Manusia yang mempunyai akal,tatkala melihat duit milik kawannya,meskipun rasa ingin dan mahu itu ada,tetapi akal menghalangnya dan memberi gambaran bahawa mengambil duit milik orang lain itu adalah perbuatan buruk.

Akal mengatur kehidupan manusia

Dalam perjalanan kehidupan,manusia diberikan pilihan dalam memilih jalan kehidupan. Ada diantara manusia yang memiih jalan kegelapan,hidup sekadar berfoya-foya,tiada matlamat dalam kehidupan,dan akhirnya menyesal kerana tiada untung didapati didunia,bahkan kerugian besar tatkala menemui Tuhannya. Ada pula manusia yang menggunakan akal,menimbang dan menilik baik buruk,meletakkan matamat yang tinggi dan jelas yang ingin dicapai dalam kehidupan,maka akal mengatur dan membantu dalam memilih gerak langkah kearah matlamat tersebut. Hidupnya bahagia,namanya disebut-sebut atas kejayaan,bahkan dia berjalan bangga menemui Tuhannya atas sebuah trofi kehidupan yang dicapainya.

Akal dan kejayaan

Tuhan Maha Adil. Memberikan kejayaan kepada sesiapa pun yang menggunakan akalnya sebaik mungkin dalam kehidupan. Lihatlah barat pada hari ini,mereka mendongak bangga atas kejayaan demi kejayaan dalam membentuk sebuah peradaban. Mereka memberi nilai yang tinggi buat ilmu dan akal. Biarpun mereka kosong secara rohani,namun mereka berjaya dari aspek lahiri.

Dalam mengejar sebuah kejayaan, Tuhan tidak membezakan samada muslim atau non muslim,akan tetapi Tuhan meletakkan kaedah yang dinamakan sunnatullah,ketetapan Allah; sesiapa yang berusaha pasti mendapat hasilnya.

Misalnya,seorang non muslim bangun seawal jam 7 pagi keluar,bekerja dengan proaktif dan tekun,manakala di sana seorang muslim yang bangunnya jam 10 pagi , bekerja bermalas-malasan,hanya mengharapkan doa supaya diberikan rezeki yang mewah.  Akal yang baik dapat menimbang antara dua pihak ini bagaimanakah hasilnya,

Tanda orang berakal

Secara umumnya tidak dinafikan bahawa nama yang baik memberikan gambaran awal terhadap seseorang. Jika disebut nama Muhammad,sudah tentu gambaran awal mengatakan dia seorang yang baik dan terpuji seperti namanya. Namun,nama bukanlah tanda dan alamat yang sebenar bagi seorang yang berakal.

Ramai mana manusia hari ini yang namanya Muhammad,tetapi melakukan perbuatan yang buruk;merompak,membunuh,mencuri.

Tanda dan alamat bahawa seseorang itu berakal adalah melalui tindakan dan perbuatannya. Orang yang berakal memilih perkara yang mendatangkan manfaat biarpun sukar untuk mendapatkannya. Orang yang berakal memiih sesuatu yang tahan lama dan kekal biarpun mahal harganya.
Contohnya,biarpun sukar dan tempoh yang lama dalam pembelajaran,namun orang yang berakal pasti bertahan dan terus belajar kerana dia tahu mahalnya sebuah ilmu dan betapa bermanfaatnya sebuah kejayaan dalam peperiksaan bagi dirinya. Dia melihat kesan dan natijah kepada usahanya itu biarpun sukar.

Kata Buya Hamka:

Jika hidup sekadar hidup,babi di hutan juga hidup
Jika bekerja sekadar bekerja,kera juga bekerja.



Biarlah kita hidup sebagai manusia budiman yang menilai baik buruk menggunakan akal dan memilih kebaikan sebagai jalan hidup.


Oleh itu,pilihlah jalan yang ingin kalian lalui. Timbanglah dengan timbangan akal yang sihat. Moga kehidupan yang dilalui merupakan sebuah kebahagiaan dan kejayaan