Pages

Showing posts with label Isu. Show all posts
Showing posts with label Isu. Show all posts

1.11.2011

MOHON MAAF SECARA TERBUKA KEPADA DR. ZURINAH HASSAN

ALHAMDULILLAH, saya boleh menarik nafas lega sepenuhnya petang tadi. Teman saya telah menelefon penyair mapan tersebut untuk meminta maaf. Alhamdulillah, penyair yang sangat saya hormati itu, dengan tenang, tanpa sedikit pun suara marah memaafkan kami setelah kami ceritakan hal yang sebenar. Antara ayat terakhir beliau sebelum talian dimatikan "Buatlah apa yang awak rasa patut.". Ia menambahkan rasa hormat saya yang sedia ada terhadap beliau. Bukan sahaja sebagai seorang penyair mapan, tetapi juga sebagai seorang insan yang profesional.


Selepas ini, segala entri berkenaan karya tersebut akan saya padam daripada menjadi isi blog ini. Beberapa langkah lain seperti penarikan balik karya tersebut akan dibuat.
Itu sahaja yang ingin saya sampaikan di sini kerana saya sudah penat. Ia bukan sahaja isu undang-undang malahan isu 'human sense'. And human sense is something harder than law, I think.


Sesuatu yang saya pelajari juga;
Tuhan tidak pernah jadikan sezarah benda pun dalam dunia ini bersifat sia-sia. Termasuklah hinaan. Ia sebenarnya vaksin ketabahan hati. Segala status FB yang mana berkenaan sudah ada dalam simpanan saya untuk dijadikan kenangan paling manis bahkan pengajaran sepanjang hayat.


Di sini, secara terbuka, saya meminta maaf kepada Dr. Zurinah Hassan atas kesilapan menghantar karya beliau Laut Adalah Surat Rindu Yang Biru yang kemudiannya, atas nama plagiat, menjadi Laut Rindu. Prosesnya, tiada niat plagiat seperti yang telah diceritakan oleh Mohammad Hafiz Abdul Latiff.
Terima kasih juga kepada Dr. Zurinah Hassan yang sudi memaafkan kami, dan menangani permasalahan ini dengan penuh profesional.


Selepas ini, kami akan melakukan segala yang sepatutnya seperti yang sudah dipesan oleh beliau. Bahkan, sebenarnya, kami sedang melakukannya.


Terima kasih sekali lagi kepada Dr. Zurinah Hassan atas budi baik beliau itu.

UNTUK LEBIH MEMAHAMI:

ENTRI di bawah bukanlah entri defensif. Plagarisme memang berlaku. Ke atas, ke bawah ke mana-mana sahaja itulah kenyataannya bahawa plagarisme memang berlaku. Kerana itu saya tidak timbulkan isu perundangan langsung untuk plagarisme di sini. Entri ini cuma luahan perasaan tentang seseorang yang sepatutnya menjernihkan keadaan. Bukan menambahkan beban kepada seseorang yang lain. Bukankah sifat rakan itu sepatutnya membantu rakanya apabila ada masalah?

PLAGIAT TAJUK CERPEN SEORANG PENULIS : SYARAH PANJANG UNTUK…

Tajuk di atas aku plagiat (entah berapa peratus) daripada cerpen salah seorang penulis muda yang sangat aku kagumi. Memang sengaja. 

Ada kes baru. Kes menghina. Seorang teman aku telah dihina dengan hebatnya di laman sosial Facebook.  Hinaan yang boleh menjatuhkan maruahnya, namanya dan memusnahkan kariernya sebagai seorang penulis. Tapi bukan penulis yang aku plagiat tajuk cerpennya di atas. Beliau tiada kena-mengena dalam kes ini. Facebook juga tidak salah. Kalau pemiliknya tahu menggunakan laman Facebook yang bersifat peribadi hanya pada password- walaupun password pun orang lain boleh hack, Facebook tidak akan memberi apa-apa musibah. 

Apapun, kisah ini aku mahu jadikan pengajaran kepada pembaca malah diriku sendiri. Kisah apabila seseorang tersilap hukum, maka ia bertukar menjadi hinaan. Ia juga mengingatkanku agar hati-hati memilih kawan.

Kes ini bermula daripada kes plagiat secara tidak sengaja. Aku tidak dapat tidak, harus akui bahawa ada kesalahan plagiat di situ. Aku harus adil. Kalau ada bahagian yang salah, aku harus katakan ia salah tidak kira siapa pun orang itu.

Teman penulis aku memang minat dengan bidang penulisan sejak bangku sekolah. Beliau ada menyalin karya-karya yang dirasakan hebat, lalu disimpannya di dalam sebuah fail. Apabila beliau meninggalkan alam persekolahan, masuk ke alam kolej, beliau menaip semua karya yang berada di dalam failnya sebagai soft copy. Termasuklah salah sebuah karya yang tidak ditulis nama pengarangnya dan beliau sendiri telah lupa adakah beliau empunya karya itu ataupun tidak. Itulah ralat yang berlaku. Dan, sambil beliau taip, beliau juga mengedit karya tersebut dan dimasukkan ke fail ***** *****. Itu kisah bertahun lalu. Dalam 5 tahun sudah. [Ralat : sebenarnya 10 tahun sudah]

Apabila kami berkenalan lewat dua tahun lalu di sebuah majlis sastera, beliau telah memberi keseluruhan isi fail tersebut kepada aku untuk dinilai. Aku cuma seorang teman yang diajak berkongsi bukan sahaja keseluruhan isi hidup sebagai seorang teman rapat, malahan sebagai seorang penulis. Dan, ya, aku menganggap beliau seorang penulis. Tetapi, beliau tidak pernah menganggap dirinya sebagai seorang penulis. Malah, beliau tidak pernah melihat potensi yang ada dalam dirinya. Untuk menghantar karya, beliau amat liat sekali sehingga puas aku memaksa. 

Maka, aku memutuskan untuk menghantar karyanya yang berada dalam laptop ku kepada editor. Kebetulan, salah seorang penulis mapan menawarkan ruang dalam sebuah buku. Aku mengambil peluang itu untuk membantu dia memiliki kepercayaan bahawa dia boleh berjaya dalam bidang penulisan. Dan aku, menghantar karya yang aku pilih dari failnya, menerusi emelnya kerana aku tahu passwordnya. Karya yang tersiar seterusnya membuatkan beliau terus bersemangat. Aku katakan beliau harus lihat dengan jelas potensi dirinya itu.

Aku cumalah seorang penulis kerdil, seorang pelajar undang-undang yang tidak banyak membaca karya orang lain kerana aku takut tiada idiosinkrasi.  Mungkin ia pemikiran yang sempit. Tetapi itulah aku. Aku bukan pelajar Sastera. Tiada masa untuk menghafal isi puisi, tubuh cerpen, malah frasa dalam novel atau dialog dalam drama bahkan lagu sekalipun tidak aku cuba hafal. Bebanan menghafal kes dan legal authority sudah terlalu berat. Maka, kerja aku adalah menulis. Melontar segala idea. Bukan membaca dan menghafal karya orang lain. Temanku itu juga tidak pernah mengambil jurusan sastera malah sangat sibuk dengan urusan bisnes yang diusahakan sendiri. Jadi beliau tidak punya waktu untuk tahu karya orang lain jika tidak aku yang mengusulkan bacaan kepadanya. 

Allah swt menguji ketabahan kami apabila menghadapi Facebook punya angkara. Bukan. Bukan Facebook punya angkara tetapi pemiliknya. Seorang perempuan mencanangkan bahawa karya aku hantar itu adalah karya yang teman aku ini plagiat. Maksud perempuan itu tentu sahaja diplagiat dengan sengaja.

Memang aku marah. Dia menghukum temanku tanpa siasat terlebih dahulu. Dia membuka aib kami berdua dengan description bahawa itu adalah kami kerana terdapat rakan penulis yang bisa mengagak kami yang dimaksudkan. Aku cukup ingat ayat "peguam peribadi" itu memang mudah ditanggapi itu adalah kami setelah kami bertanya penulis-penulis lain. Itu sahaja stick yard untuk mereka mengenali kami. Maruah kami cukup tercalar. Namaku dan integritiku sebagai seorang penulis yang punya latar belakang perundangan, yang memahami undang-undang itu sendiri tercalar. Maruah temanku tercalar. Aku sangat kecewa dengan sikap perempuan itu yang meletakkan emosi terlebih dahulu sebelum meletakkan pemikiran. Aku lebih mengharapkan bahawa dia yang lebih dewasa akan lebih matang menguruskan hal sebegini. Ya, kalau bisa sebagai seorang kakak. Apalah salahnya bertanya kepada aku dan temanku terlebih dahulu? Kami tidak akan sesekali menempah maut untuk plagiat karya penulis mapan. Dunia sastera ini cuma ada siapa?

Tetapi apa yang kamu buat, perempuan? Kamu memalingkan wajahmu dari kami. Menunjukkan ekspresi benci, sedangkan kami pula terpinga-pinga dengan lakumu itu.

Aku sendiri punya pengalaman bagaimana novelku diplagiat. Tetapi, oleh seorang budak yang tak punya apa-apa identiti dalam bidang penulisan, malah tiada yang kenal akan gadis kecil itu. Aku marah. Tetapi aku fikir tidak guna untuk marah lebih-lebih dan aku melayan gadis itu sebaiknya. Aku cuma minta gadis itu mengasihani nasib seorang penulis jika karya diplagiat. Itu sahaja. Tidaklah aku melayannya teruk. Tidak pula bermasam muka. Tidak juga tidak membalas mesej gadis itu setiap kali dia menghantar mesej ke kantung inbox. Sebaiknya melayan gadis yang berusia 11 tahun itu seperti adanya dia yang masih kecil dan kurang mengerti.

Wahai perempuan, kamu menuduh kami melakukan itu dengan sengaja untuk melonjakkan nama kami. Kamu membuatkan orang lain menghina kami, menyatakan bahawa kami orang yang kotor, tidak tahu malu, pencuri, tiada etika, bahlul…  Aku ingat semua kata-kata itu sampai mati. Aku maafkan kamu. Tetapi untuk lupa, aku harus minta maaf seawalnya.  Tidak akan sesekali. 

Kamu yang kuharap menjadi seorang teman yang baik, yang boleh melindung aib sahabatnya, sudah memusnahkan segala kepercayaan dan juga rasa hormat aku kepadamu. Aku tahu mungkin rasa hormatku tidak pernah beri apa-apa kesan terhadap hidupmu. Tetapi, ya, ia beri kesan terhadap aku dan temanku itu.
Dan aku mahu kau tahu, setiap kali aku melihat wajah temanku itu, aku terlalu sedih. Temanku, sangat baik orangnya. Beliau terlalu jujur. Tidak akan menganiaya orang lain. Tidak akan membalas kejahatan orang lain. Sehingga untuk aku siarkan tulisan ini pun dia mengambil masa untuk bersetuju kerana tidak mahu bikin selisih faham dengan kamu. Aku bantah, dalam mahkamah tiada delay argument ketika perbicaraan dijalankan. Katanya, biar dia sendiri yang berjumpa kamu. Tapi, apa gunanya jika kamu sendiri memalingkan wajah daripada kami?

Aku kenal sikapnya yang terlalu baik hati kerana aku yang kerap kali membebel padanya bahawa jangan terlalu beri muka kepada orang lain dan dia tidak endahkan. Dan kerana kebaikannya itu dia selalu ditindas oleh rakan-rakannya. Sehingga beliau bertanya kepadaku dengan penuh nada kecewa, setelah kami membaca statusmu di Facebook “Mengapa aku tidak punya sahabat lain yang boleh aku jadikan tempat bersandar? Atau mungkin paling tidak menjaga aibku?”  dan beliau juga berkata “Aku mahu jadi kejam. Aku penat dengan manusia yang memijakku.” Dan, ini janjiku, aku tidak akan biarkan orang lain aniaya temanku itu. Biar orang kata aku perempuan kasar. Aku harus buat yang terbaik untuk setiap yang aku cinta.

Perempuan, temanku itu tergagau mencari di laman-laman web, karya manakah yang dikatakan telah beliau plagiat. Dan beliau baru sedar bahawa karya itu bukan beliau yang empunya. Kamu tidak bertanya jauh sekali menyiasat dan kamu menghukumnya! Malah turut menghukum aku! Adakah ia adil bagi kami berdua? Itukah yang kamu namakan nasihat atau slow talk? Kamu harus lebih professional. Kalau karma meletakkan kamu di tempat kami suatu hari nanti, pernah kamu fikir apa yang kamu akan rasa?

Aku berikan kamu sabda Nabi “Biar tersalah ampun, jangan tersalah hukum.” Kamu lebih dewasa daripada kami. Aku harap kamu punya kematangan juga lebih daripada kami untuk renungkan sabda itu. Dan, maaf, jika Tuhan beri aku hati untuk menegurmu, panggilan ‘kak’ itu kugugurkan. Nampak seperti kurang ajar. Tetapi setidak-tidaknya aku tidak membiarkan orang lain dihina oleh puaka lidahku sendiri.

Kali ini, seperti yang kau katakan sebelumnya, biar aku pula yang katakan, jangan sesekali menegur aku, menelefon, sms atau segala apa komunikasi pun. Berkatalah apa pun. Aku dengar. Tapi untuk membalas, kamu harus sendiri mengerti. Aku kecewa dengan kamu sepenuh hati.

Buat temanku, sabar. Sasterawan Negara sendiri menghadapi salah sangka orang lain. Kamu tahu Interlok? Dan juga Shit? Bukankah ia juga kontoversi? Aku lebih kenal kamu. Dan bukan silap kamu yang hantar karya itu. Aku yang hantar tetapi seperti yang aku katakan tadi, aku bukan pembaca tegar yang bisa tahu semua isi kandung karya orang lain. Itu ralatnya. Maafkan aku. Aku cuma penulis yang sungguh kerdil. Dengan rendah hati, sungguh kerdil.


*Akan bertemu penulis mapan yang sangat dihormati itu secara peribadi, untuk meminta maaf. Orang lain sila jangan menyibuk biarpun kamu mungkin hebat terinspirasikan oleh beliau yang memang hebat. Itu bukan urusan kamu. Ia urusan peribadi kami.
 Dengan tulus hati dan penuh kejujuran, dengan nama Allah swt, kesilapan plagiat dilakukan tanpa sengaja.

*Atas nasihat seorang sahabat: Aku harus bold sebab-musabab mengapa aku harus keluarkan kenyataan di sini.