PESAN SAIYIDINA ALI RA

“Barangsiapa yang mengajar aku walaupun satu huruf maka dia adalah tuan kepada ku”.
"Kecantikan dan pakaian itu bukanlah penghias diri, sesungguhnya ilmu dan adab itu yang menjadi hiasan diri seseorang. Bukanlah yatim seseorang itu yang kematian bapanya, sesungguhnya yatim yang sebenar apabila ketiadaan ilmu dan adab".



Showing posts with label Umum. Show all posts
Showing posts with label Umum. Show all posts

Friday, May 17, 2013

Selamat Hari Guru 2013

Selamat Hari Guru


Semoga jasa kita sentiasa di kenang dan sentiasa mendapat keberkatan atas ilmu yang dicurahkan.

Amin

Iklas Daripada :

Mohamad Shariff Bin Mat Saad

Tuesday, May 1, 2012

229.Meningkat Keyakinan Diri Dengan Penghargaan


Jauh di sudut sanubari setiap orang, mahu diri mereka dihargai. Tidak kira siapa sama ada jawatan rendah maupun tinggi , tidak kira kanak-kanak atau orang dewasa. Penghargaan yang diberikan akan menyebabkan seseorang itu akan merasa dirinya begitu penting dan berbangga. Kadang kala mereka akan merasa bahawa mereka sahaja yang hebat dan menidakkan kehebatan orang lain. Maslow dalam Teori Keperluan Manusianya, meletakkan penghargaan kepada manusia di tangga ke 4 sebelum seseorang manusia itu mencapai kesempurnaan diri.

Gambar Hiasan : Diberi sanjungan dengan menepung tawar. Berbagai cara dilakukan oleh manusia untuk menunjukkan rasa menghargai dan rasa hormat terhadap seseorang..Bagi orang menerima sanjungan itu sudah pasti berasa seronok dan merasa cukup hebat serta meningkatkan keyakinan dirinya.
Berbagai cara boleh kita lakukan untuk membuatkan seseorang itu berasa penting. Paling senang ialah mengucapkan “Terima kasih”. Ucapan ini membawa maksud yang paling mendalam kepada semua bangsa dan agama. Kita akan berasa bangga jika ada orang luar yang datang ke Malaysia belajar perkataan “Terima Kasih”. Begitu juga jika kita belajar bahasa bangsa lain yang sama ertinya dengan “Terima kasih”. Betapa hebatnya perkataan itu lebih-lebih lagi bila diucapkan kepada kita atau orang lain atas bakti dan jasa yang dicurahkan.

Dalam keadaan lain, cara kita mengahargai ibu bapa ialah dengan menghormati mereka, menghormati rakan taulan, mengambil berat kepada suami atau isteri, memberi hadiah atas kecemerlangan anak-anak, mendengar akan masalah-masalah staf dan sebagainya. Kagum atas kebolehan dan kebijaksanaan seseorang juga boleh digolongkan sebagai satu penghargaan.

Sebagai penjawat awam, sudah tentu Anugerah Perkhdimatan Cemerlang tidak dapat dipisahkan. Majlis Anugerahnya dikira sebagai satu yang berprestej tinggi. Tidak hairanlah bila menjelang musim APC ini semua orang sama ada sudah menerimaAPC dan apatah lagi yang belum merasainya setelah hampir 10 tahun bekerja akan tertanya-tanya kepada siapakah pengiktirafan tersebut diberikan pada tahun ini. Perasaan ingin tahu meluap-luap, lebih-lebih lagi yang pernah termakan janji dan ada yang bekerja pada tahun itu untuk dinilai semata-mata untuk APC. Ada yang langsung tidak kisah kepada siapa diberikan, dia tetap dia..

Berbagai ragam boleh dilihat. Lebih menyedihkan ada yang melemparkan tomahan yang tidak baik kepada ketua jabatan bila tidak terpilih sama ada dalam bentuk guruan atau dalam nada sinis. Ada yang sanggup bersemuka bertanya kenapa dia tidak terpilih, ada yang cakap sana dan sini menyatakan ketidakpuasan hati yang menunjukkan bahawa beliau seorang pekerja yang cukup tidak professional dan cemerlang. Orang sebegini memang sepatutnya tidak terpilih. Ada juga yang menangis teresak-esak mengenangkan dan berasa segala jasa dan baktinya selama ini dipandang langsung ditambah lagi dengan ejekan dan desakan rakan sekerja. Namun ada antara mereka yang sangat-sangat bernasib baik dan menerima 2 atau 3 kali sepanjang perkhidmatan.

Betapa hebatnya APC. Walaupun ganjarannya tidak seberapa seperti mula2 diperkenalkan dahulu, tetapi ia memberi kesan yang sangat mendalam pada setiap pekerja awam. Walaupun markah nilaian prestasi itu lebih penting, tetapi anugerah itu yang diiktiraf dihadapan rakan-rakan adalah lebih menonjol. Tidak hairanlah, kadangkala ada pekerja yang menuduh rakan-rakan memperolehinya dengan cara melobi, mengipas dan lain-lain perkataan yang sewaktu dengannya untuk menunjukkan ketidakpuasan hati masing-masing lebih-lebih lagi rakan-rakan yang baik dengan boss. Barangkali juga sangkaan tersebut ada kebenarannya pada sesetengah institusi yang pemimpinnya tidak mengamalkan budaya yang sihat.

Saya yakin bagi pemimpin yang hebat, berintegriti, telus dan bertanggungjawab kepada pekerjanya akan berlaku adil dan sentiasa mengambil berat. Berbagai penilaian telah dibuat sebelum seseorang itu diberi pengiktirafan untuk 8% dari jumlah pekerja yang ada untuk tahun tersebut. Disamping mengambil kira jumlah jantina, bangsa dan akur dengan pelbagai syarat lain. Saya juga yakin pemilihan guru dan staf sokongan yang diberi Anugerah Pekhidmatan Cemerlang oleh AJK Sumber Manusia bersama pegawai di JPN untuk  SMK Baru, Miri adalah yang terbaik dari yang baik untuk tahun tersebut. Semua guru di SMK Baru Miri pada hemat saya adalah merupakan guru yang sangat cemerlang.

Tahniah kepada semua guru SMK Baru Miri yang telah dianugerahkan APC yang disempurnakan oleh Pengarah Pelajaran Negeri Sarawak di Dewan Suarah Miri baru2 ini. Tahniah kepada Cg Hamidon, Cg Doris Kho, Cg Parose, Cg Norzima, Puan Norayah, Cg Marlyni dan Cg Rhona.  Semoga anda menunjukkan prestasi yang lebih cemerlang. Bekerja bukan untuk hari ini sahaja tetapi untuk kecemerlangan perkhidmatan selama mana kita bertugas.

Kesempatan ini juga mengucapkan tahniah kepada semua guru di SMK Belawai yang telah dianugerahkan APC yang juga disempurnakan oleh Pengarah Pelajaran Negeri Sarawak di Mukah. Tahniah kepada Cg Voon, Cg Jazimah, Cg Akmarlia, Cg Wardah dan En Jamaluddin. Semoga anda semua akan terus cemerlang.

Kepada semua rakan guru yang lain, anda juga adalah pekerja yang hebat, tetapi belum masanya untuk dianugerahkan APC. Semoga selepas ini giliran anda pula. Berikan sokongan dan doakan mereka terus berjaya. Semoga dengan sokongan dan doa ikhlas itu Allah SWT akan terus menyokong dan merahmati apa yang kita lakukan. Seterusnya kita akan berjaya seperti mereka.

“Apa yang kita lakukan menentukan siapa diri kita; oleh itu keunggulan peribadi bukan hanya kita lakukan, tetapi tabiat yang berterusan.” – Aristotle.

Terima kasih Cikgu..

Selamat Hari Pekerja 2012

Thursday, April 12, 2012

224.Guru perlu lalui penilaian integriti secara berkala - Muhyiddin

Utusan Malaysia Online 11/4/2012

KUALA LUMPUR 10 April - Kementerian Pelajaran mempertimbangkan kemungkinan setiap guru selepas ini perlu melalui penilaian integriti secara berkala dari semasa ke semasa bagi membolehkan sebarang penambahbaikkan dilaksanakan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika memberi bayangan itu berkata, ia perlu bagi membolehkan aspek kefahaman serta kesedaran mengenai integriti dapat disebar luas kepada warga pendidik.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, proses untuk memantapkan nilai integriti di kalangan warga pendidik termasuk penilaian secara berkala, memerlukan penglibatan serta usaha bersungguh-sungguh dari semua peringkat pengurusan pendidikan.

"Justeru strategi serta pelan tindakan secara berfokus diharap dapat dilaksanakan secara kolektif untuk memastikan tahap integriti setiap warga pendidik bukan sahaja sentiasa tinggi tetapi dapat dipertingkatkan lagi.

"Ini kerana sebagai pendidik, guru-guru mempunyai tanggungjawab besar untuk membentuk sahsiah pelajar. Ia menjadi prasyarat utama kepada kejayaan kita melahirkan generasi yang berintegriti.

"Bagi menjayakan hasrat itu, kepimpinan organisasi pendidikan harus mempunyai kefahaman jelas mengenai aspek berkait integriti supaya pembudayaan itu dapat disuburkan dalam organisasi," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan majlis penutup Pertandingan Pidato Integriti Piala Menteri Pelajaran 2012, di Institut Integriti Malaysia, di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abd. Ghafar Mahmud dan Presiden Institut Integriti Malaysia, Datuk Dr. Mohd. Tap Salleh.

Pada pertandingan pidato tersebut, penuntut Institut Pendidikan Guru Kampus Teknik, Mohd. Rafee Mohamad muncul juara sekali gus membawa pulang wang tunai RM3,000, sijil, piala iringan serta piala pusingan.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, setiap bakal pendidik juga perlu mendalami falsafah dan budaya integriti sebagai persediaan untuk menjadi seorang guru yang berwibawa.


Gambar Hiasan : Institut Integriti Malaysia (IIM) merupakan idea YAB Mantan Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yag diistiharkan pada 5 November 2003. Ia ditubuhkan sebagai badan autonomi dan didaftarkan di bawah Akta Syarikat. IIM ditubuhkan bagi melengkapkan usaha-usaha pelaksanaan Pelan Integriti Nasional (PIN). Pendaftarannya diluluskan oleh suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sebagai sebuah Syarikat Berhad menurut jaminan kuasa 4 Mac 2004   http://www.iim.com.my/web/guest/home  . 
''Guru yang berwibawa tidak hanya dinilai dengan kebolehan melahirkan pelajar yang mendapat A dalam semua mata pelajaran tetapi turut dinilai dari segi keupayaan mendidik murid menjadi insan mulia,'' ujarnya.

Beliau berkata, tugas seorang guru tidak hanya terhenti setakat mengasah kecerdasan minda murid tetapi juga mendidik jiwa serta sanubari mereka agar menjadi insan mulia dengan sentiasa mengamal nilai-nilai murni dalam kehidupan.

Monday, April 9, 2012

222.KEPERITAN BEBAN GURU TIDAK BOLEH DISELAMI DARI JAUH

Berita Harian 9 March 2012  http://forum.engkabang.net/index.php atau untuk bacaan seterusnya http://www.moe.gov.my/?id=168&aid=2523. Hanya untuk berkongsi, tidak perlu komen ..


TERIMA KASIH CIKGU..

Wednesday, April 4, 2012

221.Terima Kasih Sekalung Budi..

Saya dahului N3 kali ini dengan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada PIBG SMK Baru, Miri yang telah bersusah payah mengadakan satu majlis Sambutan mengalu-alukan kedatangan saya ke SMK Baru, Miri. Majlis yang diadakan di Hotel Mega Miri itu yang dihadiri hampir kesemua ahli Eksconya yang di ketuai oleh En Anuar Bin Hj Ahmad begitu meriah dan dalam keadaan sangat mesra. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Naib YDP PIBG En Disa, dan beberapa orang penting dalam PIBG iaitu En. Azmi, Puan Hadiah, Cg Marlyani dan Puan Fatimah serta bebrerapa orang ahli Eksconya yang terdiri daripada guru-guru. Selain itu, turut bersama dalam majlis tersebut ialah semua penolong kanan dan guru-guru.

Asyik berbual, sehingga lupa untuk merakamkan walaupun sekeping gambar. Hanya ini yang ada dalam simpanan saya ..
YDP PIBG En Anuar Hj Ahmad sedang berucap. Gambar Ikhsan Cg Mizan
Ucapan terima kasih dari saya untuk semua
Tetamu yang hadir dalam majlis tersebut.
Cg Marlyni S/U PIBG - Selaku pengacara majlis pada malam tersebut
Penolong kanan pentadbiran Cg Boyce dan Naib YDP PIBG En Disa
Menjamu selera..
Majlis dimulakan dengan ucapan YDP PIBG dan disusuli dengan ucapan pengetua. Dari ucapan YDP PIBG, saya difahamkan berbagai usaha telah dilakukan oleh PIBG SMK Baru Miri dalam usaha untuk menaikkan martabat dan nama baik sekolah. Semoga segala usaha yang telah dilakukan oleh tuan-tuan akan diberkati dan dirahmati Allah. Sama-samalah kita berusaha untuk kecemerlangan. Terima kasih juga kepada En. Anuar dalam perbicangan ringkas semasa menjamu selera tersebut, meluluskan permintaan pihak sekolah untuk menyediakan LCD projector untuk setiap kelas, peringkat demi peringkat. Saya yakin PIBG yang aktif seperti PIBG SMK Baru ini mampu melaksanakannya untuk Pembelajaran dan Pengajaran yang berkesan.

Selamat berkhidmat di tempat baru, "Noi" seorang pekerja yang cemerlang.  Walaupun beberapa hari kenal  sudah bokeh menilai keikhlasannya bekerja..
Sabar menanti semua hidangan di sajikan
Sate - sedapnye.. Ketam - takutttt.. kalau saya makan, alamat tak ke sekolahlah esok
Masing-masing sudah mula berkayuh..
Semua makanan sudah sedia sebelum semuanya mula brkayuh..
Dah hampir selesai..
Sebelum itu pada 15 Februari lalu, satu jamuan makan malam juga telah di adakan di Taman Selera Tanjung Lobang oleh Kakitangan Sokongan sekolah dan sebahagian guru-guru meraikan kedatangan saya ke Miri dan meraikan rakan-rakan AKS yang akan berpindah. Antaranya ialah “Noi” (Norayah) dan Marshall. Terima kasih kepada semua, saya sangat-sangat menghargai atas sambutan yang diberikan.

Terima kasih untuk semua, InsyaAllah SMK Baru akan Sentiasa Cemerlang..

Wednesday, March 14, 2012

219.MAJLIS BERSUA KEMBALI 3RD BATCH UUM SETELAH 22 TAHUN

Mesyuarat AJK Pengelola, Datuk Yusof Jantan, Zuhainan, Roland, Azam (tiada dalam gambar) dan Ujang , Merancang Majlis bersua kembali..
(Gambar dari FB Azam Bin Sulaiman)
Majlis bersua kembali 3rd Batch UUM setelah 22 tahun terpisah antara satu sama lain yang sama-sama menuntut Ilmu dan sama-sama menyelami suka dan duka sebagai penuntut di Menara Gading akhirnya terlaksana. Walaupun pada mulanya cadangan yang dikemukakan oleh rakan di dalam laman social facebook seperti mustahil, tetapi bila seorang demi seorang menyatakan hasrat untuk bersua kembali seperti memberi satu kekuatan bahawa majlis ini akan berjaya untuk dilaksanakan. Bersyukur kepada Allah, walaupun tiket pertama terpaksa dibatalkan kerana terpaksa hadir sesi bersama Pengarah Pelajaran Negeri Sarawak di saat-saat akhir pada 9 March, dengan cara “waiting list” pada malam tersebut dapat juga saya bersama-sama menyertai rakan-rakan yang lain dalam majlis tersebut  pada 11 March 2012 di World Youth Hotel, Melaka.

Hotel tempat pertemuan. Pekerja hotel baru sahaja selesai memasang banner..
Banner siap dipasang pada malam 10 March 2012, hanya menanti kedatangan rakan-rakan ( Gambar dari FB Saudara Azam Sulaiman)
Saya percaya rakan-rakan yang lain juga turut memberi komitmen yang tinggi untuk majlis ini. Ada yang terpaksa membatalkan majlis lain demi untuk bersama rakan-rakan yang lama tidak bertemu. Ada yang terpaksa batal untuk bercuti bersama keluarga. Ada yang bergegas datang selepas habis bekerja dan sampai semasa majlis berlangsung dan ada yang terus balik selepas sebaik sahaja majlis selesai kerana esok terpaksa turun bekerja dan sebagainya. Namun pengorbanan rakan-rakan rasanya amat berbaloi walaupun hanya sekejap tetapi sangat bermakna lebih-lebih lagi bila kelihatan semua rakan-rakan sama-sama bertukar-tukar no telefon antara satu sama lain seolah-olah selepas ini tidak terputus lagi perhubungan silatulrahim. Apa tidaknya, dulu mana ada handphone secanggih sekarang. Nak telefon keluarga pun hanya pakai public phone yang terpaksa berbaris panjang sama ada di tamansiswa atau di kampus. Namun tidak kurang juga rakan-rakan yang memberi nama untuk datang dan terpaksa membatalkannya pada saat akhir kerana ada komitmen lain yang lebih penting dan tidak dapat dielakkan..

Antara rakan-rakan yang awal hadir (Gambar dari FB Saudara Azam Sulaiman)
Semakin ramai rakan-rakan yang hadir (Gambar dari FB Azam Bin Sulaiman)
Tahniah saya ucapkan kepada AJK pengelola majlis bersua kembali ini yang dipengerusikan oleh Saudara Azam Bin Sulaiman yang kini menjawat Jawatan sebagai Pengarah Koperasi Negeri Melaka dan dengan sokongan kuat Yang Berbahagia Brigedier Datuk Yusuf Bin Jantan mantan Datuk Bandar Melaka, Bandaraya bersejarah yang membantu mejayakan Majlis Makan Malam dan mempromosikan Melaka dengan mengajak rakan-rakan serta keluarga masing-masing menaiki bot  Melaka River Cruise. Begitu juga dengan rakan-rakan lain di Melaka seperti Roland dan Ujang yang bertungkus lumus menjayakan majlis ini.

Bergambar kenangan beramai-ramai pada malam 11 March 2012
Ucapan dari Saudara Azam bin Sulaiman dan Datuk Yusof Bin Jantan
Bertemu kembali
Seperti yang dikatakan oleh pengerusi pengelola, saudara Azam Bin Sulaiman. Pertemuan ini merupakan suatu yang bersejarah dan tidak dapat digambarkan kegembiraannya. Pertemuan ini diharap dapat mengeratkan kembali silaturahim sehingga ada cadangan untuk menubuhkan koperasi. Cadangan pertemuan semula kali ke 2 dan berusaha untuk mengumpul lebih ramai lagi rakan-rakan yang lain ialah pada tahun 2015 di Pulau Langkawi dengan agenda yang lebih menarik dan bermakna. Pertemuan kali ini melibatkan 37 orang rakan dan termasuk keluarga masing-masing dianggarkan hampir 200 orang.

Berbakat : Azam Sulaiman dan Roland (Roslan Che Wail)
Mahadi : Masih seperti dulu..
Perjalanan ke Melaka River Cruise
Melaka River Cruise
Berbaris untuk menaiki bot
Menikmati keindahan sungai sambil bertanya khabar
Betul-betul menarik, bawalah keluarga melancong ke Melaka
Agenda pada malam 11 March 2012 dimulakan dengan bacaan doa oleh Cg Badrul Anam dengan disusuli surah Al-Fatehah untuk disedekahkan kepada rakan-rakan yang terlebih dahulu kembali ke Rahmatullah. Kemudian di susuli dengan ucapan saudara Azam Bin Sulaiman dan diakhiri ucapan oleh Datuk Yusuf Jantan sebagai tuan rumah. Dalam ucapan Datuk Yusuf jelas membayangkan kegembiraannya apabila beliau memohon rakan-rakan memanggilnya dengan nama “glamer”nya dulu iaitu “Ucop” atau “Cup” sahaja dan beliau menyebut seorang demi seorang rakan dengan nama-nama serta gelaran semasa di UUM dahulu dan mendapat tepukan dari semua rakan yang hadir.

Menggamit kenangan lama, bermain sepak raga (Gambar dari FB Mohd Asri)
Suatu yang menarik semasa pertemuan ini ialah, masing-masing menegur dari segi perubahan fizikal. Ada yang masih kekal seperti dahulu, rambut masih hitam dan ada yang kelihatan lebih bergaya dari masa “study” dulu. Ada yang dulunya kurus, tetapi sekarang .. ada yang dulunya berisi tetapi sekarang dah kurus.Dulunya sihat sekarang bertarung dengan penyakit 3 serangkai. Dulunya rambut hitam legam tetapi kini sudah bercampur, tidak kurang juga dulu yang berambut lebat, kini dah macam professor. Di tepi sahaja beranmbut tetapi di tengahnya lukus. Ada juga rakan-rakan yang dipandang dari jauh langsung tidak di kenali, jauh sangat berubah dalam masa 22 tahun ini. Bukan niat untuk ketawakan kejadian Allah maha pencipta, tetapi perubahan-perubahan ini sebenarnya adalah antara isi perbualan masing-masing setelah lama tidak bersua. Tidak kurang juga pertemuan ini diisi dengan kenangan masa lalu, semuanya seolah-oleh baru semalam baru berlalu. Sehingga ada rakan-rakan yang bemain sepak raga bulat di hadapan hotel sebelum majlis sebenar bermula untuk menggamit kenangan lalu, sehingga Md Noor Lat terhinjut2 sakitnya sehingga ke malam. Lupa agaknya dulu musim 20an tetapi sekarang sudah 40an dan ada yang hampir mencecah umur 50 tahun. Walau apapun majlis ini juga meninggalkan kenangan yang bermakna.

Video dari FB Saudara Khairul Anuar A Rahim : Reunion 3rd Batch UUM


Harapan kita pada pertemuan pada tahun 2015, jika diizinkan Allah, dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki. Kita harap semua rakan tidak kira dari Sabah dan Sarawak. Utara, selatan dan rakan-rakan di Pantai Timur Semenanjung juga dapat menyertai kita. Tidak kita lelaki dan perempuan. Sama-sama kita luangkan masa untuk bersama dan mengenang kembali semasa di Universiti Utara Malaysia Bandar Darul Aman. Buangkan sifat rendah diri, seperti kata Datuk Yusuf Jantan. Pekerjaan dan pencapaian rakan-rakan, semuanya adalah kehendak Allah. Yang lebih bermakna ialah kita adalah rakan sejawat yang dulunya bersama-sama mempunyai kenangan di tempat yang sama untuk dikenang bersama…

Selamat Bersua kembali pada tahun 2012..InsyaAllah

Terima Kasih Cikgu..

Thursday, March 8, 2012

218.STPM 2011 S’wak meningkat (Petikan dari theborneopost.com)

Kebanggan Ibu . Seorang pelajar Sekolah Menengah St Thomas, Nadia Amirah Ibrahim menjadi kebanggaan ibunya, Imah Majani, 43, apabila lulus penuh dua mata pelajaran dalam STPM 2011 yang diumumkan di seluruh negara, semalam.
KUCHING: Seramai 17 calon lulus penuh dalam lima mata pelajaran daripada 6,017 calon yang menduduki Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di Sarawak pada 2011.

Pengarah Pelajaran Sarawak Abdillah Adam juga memberitahu 2,132 calon lulus penuh empat mata pelajaran, 1,240 calon lulus penuh dalam tiga mata pelajaran, 960 calon lulus dalam dua mata pelajaran, ma-nakala 847 calon lulus dalam satu mata pelajaran.

“Pada keseluruhannya seramai 5,196 orang atau (90.93 peratus) calon sekolah telah mendapat sijil STPM pada tahun 2011 berbanding 5,192 calon tahun lepas,” katanya dalam kenyataan media semalam.

Daripada 6,017 calon menduduki peperiksaan tersebut, 5,714 orang merupakan calon sekolah menengah kebangsaan dan 303 orang adalah calon persendirian.

Abdillah berkata lagi, dari segi pencapaian individu, se-ramai 20 orang calon sekolah menengah kebangsaan di Sarawak mencapai Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 (maksimum).

Ia merupakan satu peningkatan berbanding 13 orang pada STPM 2010.

Seramai 948 orang mendapat PNGK 3.00 ke atas berbanding 870 pada 2010.

Mana-mana calon yang ingin menyemak semula keputusan atau ingin memperbetulkan maklumat peribadi pada slip keputusan diberi tempoh hingga 20 Mac ini untuk berbuat demikian

Borang rayuan semak semula boleh dimuat turun di laman web Majlis Peperiksaan Malaysia atau semua Pejabat Pelajaran Daerah atau Sektor Penilaian dan Peperiksaan, Jabatan Pelajaran Sarawak, Simpang Tiga, Kuching.

Sementara itu, di Kuala Lumpur, Bernama melaporkan bahawa Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) akan melaksanakan sistem pentaksiran baharu STPM bagi menggantikan sistem peperiksaan sedia ada mulai tahun ini, bermula sesi pengambilan 2012/2013 Tingkatan Enam Bawah.

Pengerusi MPM Datuk Dr Mohd Noh Dalimin ketika mengumumkan perkara itu berkata, dua kaedah pentaksiran akan dijalankan iaitu Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dengan wajaran 20 hingga 40 peratus, dan peperiksaan akhir berpusat dengan wajaran 60 hingga 80 peratus

Katanya, langkah itu bertepatan dengan hasrat Kementerian Pelajaran untuk memantapkan sistem pentaksiran dan penilaian supaya lebih holistik dengan menitikberatkan pendidikan berasaskan hasil yang lebih berfokuskan kepada pelajar dan tidak terlalu berorientasikan peperiksaan.

“Buat pertama kalinya, PBS diperkenalkan dalam hampir semua mata pelajaran Tingkatan Enam. Ini merupakan sejarah bagi MPM setelah terlibat dalam bidang pentaksiran selama 30 tahun,” katanya ketika mengumumkan keputusan peperiksaan STPM Tahun 2011, di sini semalam.

Katanya, PBS terdiri daripada tiga bentuk kerja kursus, iaitu kerja projek atau tugasan, kerja amali dan kajian luar mengikut keperluan mata pelajaran bagi tiga penggal, iaitu penggal pertama, kedua dan ketiga dalam tempoh pengajian selama satu setengah tahun.

“Pelajar Tingkatan Enam Bawah pada tahun ini, merupakan kohort pertama sistem pentaksiran baharu STPM yang akan menduduki peperiksaan penggal pertama persekolahan Tingkatan Enam pada November ini,” katanya.

Mohd Noh berkata, penilai-an kerja kursus akan dibuat guru mata pelajaran di sekolah dan penyelarasan pentaksiran akan dijalankan MPM.

Katanya, pentaksiran pencapaian pelajar akan dijalankan pada setiap penggal dan keputusan peperiksaan juga akan di-keluarkan pada setiap penggal, manakala keputusan keseluruhan peperiksaan STPM adalah berdasarkan gabungan keputusan bagi ketiga-tiga penggal.

Beliau berkata, satu kelebihan sistem itu ialah pelajar boleh memperbaiki keputusan akhir penggal pertama dan/atau penggal kedua dengan menduduki semula peperiksaan tersebut pada penghujung penggal ketiga.

“Pelajar yang tidak mencapai keputusan yang baik bagi penggal ketiga juga boleh menduduki semula peperiksaan ak-hir penggal ketiga,” katanya.

Mohd Noh berkata, dalam sistem pentaksiran baharu STPM, tempoh pengajian Tingkatan Enam dan peruntukan waktu pengajaran adalah sama seperti tempoh dan waktu persekolahan sedia ada

“Begitu juga daripada segi penawaran bilangan mata pelajaran yang tidak berubah, iaitu masih 23 mata pelajaran dan sistem penggredannya masih sama dengan sistem yang sedia ada,” katanya.

Katanya, MPM berharap pelaksanaan sistem pentaksiran baharu itu akan dapat memperkasa dan mengang-kat martabat pengajian pe-ringkat prauniversiti di Tingkatan Enam serta dapat menarik lebih banyak pelajar mengikuti pengajian pra- universiti itu. — Bernama


Tahniah kepada semua Guru Tingkatan 6 kerana SMK Baru juga mencapai kejayaan yang membanggakan. Dari Laporan yang saya terima Keputusan STPM 2011 ialah 98.33%, Subjek yang mendapat kelulusan 100% ialah Seni dan Physic. 6 Subjek meningkat lebih dari 10% tetapi 4 subjek menurun sedikit. Peratus keputusan meningkat kepada 2.13% tetapi NGMP turun 0.15. Kedudukan sekolah tangga ke 18 peringkat Negeri Sarawak dan ke 5 peringkat Bahagian Miri. - InsyaAllah tahun ini kita sama-sama berusaha kekalkan kecemerlangan dan buat yang terbaik untuk SMK Baru Miri - Terima kasih Cikgu

Wednesday, February 22, 2012

216. Muhyiddin arah pengurusan sekolah pupuk sikap penerimaan pelajar - Lebihkan Program Perpaduan

Muhyiddin Yassin beramah mesra dengan sebahagian pelajar selepas merasmikan minggu  keharmonian Penganut Antara Agama Sedunia Peringkat Sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan Sri Aman, Petaling Jaya, Semalam
PETALING JAYA 21 FEB - Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengarahkan pengurusan sekolah di seluruh negara menganjurkan lebih banyak program bagi memupuk sikap penerimaan serta perpaduan di kalangan pelajar pelbagai agama dan keturunan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pengurusan sekolah juga perlu memastikan supaya aktiviti berkenaan turut disertai oleh ibu bapa para pelajar di sekolah masing-masing. Beliau memberitahu, usaha itu bagi menjamin sikap toleransi serta penerimaan di kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini dapat dipupuk sejak di peringkat sekolah lagi.

"Jangan kita sentuh sensitiviti di antara sesama kita walaupun kita datang daripada agama dan anutan agama berbeza.

"Kita hormat kelainan kita, kita terima kelainan sebagai satu warisan yang kita hargai kerana mungkin tidak banyak negara seperti Malaysia," Katanya.

Beliau yang juga menteri Pelajaran berkata demikian semasa berucap merasmikan Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia 2012 Peringkat Sekolah, di Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Sri Aman di Sini.

Muhyiddin bagaimanapun yakin sistem persekolahan yang diamalkan kerajaan selama ini telah berjaya memupuk semangat hormat-menghormati di kalangan masyarakat seterusnya memastikan keamanan negara.

Dengan keamanan, katanya kepimpinan negara dapat memberi tumpuan kepada usaha memacu Malaysia mencapai lebih banyak kemajuan serta menuju status sebagai negara maju dan berpendapatan tinggi kelak.

"Ada negara yang mempunyai hanya satu agama tapi terdiri daripada pelbagai puak dan bergaduh serta berperang sesama sendiri.

"Ada juga negara yang mempunyai pelbagai agama tetapi hubungan mereka sentiasa tegang (sehingga) kadang-kadang berlaku pertempuran seterusnya pertumpahan darah," jelasnya.

Dalam pada itu, Resolusi Pertubuhan Bangsa-bangsa bersatu (PBB) pada Oktober 2010 mengistiharkan minggu pertama setiap bulan Februari Sebagai Minggu Keharmonian Antara Agama Sedunia.

Oleh : Raja Syahrir Abu Bakar
syahrir.bakar@utusan.com.my

Sunday, February 19, 2012

214.Selamat Tinggal SMK Belawai...

Sudah 1 minggu saya di SMK Baru Miri, tetapi lidah saya masih”saruk”, masih mahu menyebut SMK Belawai bila ditanya dari mana. Begitu juga semasa dalam ucapan perhimpunan. Selama 5 tahun 5 bulan di SMK belawai, tentunya semua ini sudah sebati dalam jiwa saya, lebih-lebih lagi segala usaha dan tenaga saya dicurahkan sepenuhnya untuk membangunkan SMK Belawai. Saya bekerja bagaikan mahu berpindah esok, perancangan dan pelaksanaan perlu segera tetapi apakan daya, kekangannya ialah peruntukan. Masih ada perancangan saya yang belum terlaksana sehingga saya melangkah keluar pada 11 Februari 2012, namun saya berpuas hati dengan pencapaian sekolah PMR 2011 69.59% dengan GPSnya 3.05 dan saya tinggalkan warga sekolah menikmati kemudahan sekolah sedia ada. Selepas ini terserahlah kepada pihak pengurusan seterusnya.

Ucapan terakhir di Dataran Ilmu

Simbolik penyerahan tugas kepada Penolong Kanan Pentadbiran Cg Yusop Bin Hj Omar

Menerima tabik Hormat Terakhir Dari Pasukan Kadet Polis, SMK Belawai

Memeriksa barisan.. Kadet Polis SMK Belawai Terbaik.
Saya berjanji pada diri ini, saya mahu melangkah keluar tanpa mengalir air mata. Saya lakukan yang terbaik apa yang saya boleh lakukan dengan kudrat yang ada. Saya sudah melaksanakan apa yang difikirkan perlu dan telah mengatasi sebahagian dari masalah warga sekolah. Saya perlu menangis kerana saya akan merasa kesal, jika 5 tahun perkhidmatan saya tiada apa-apa perubahan yang berlaku, tetapi mengalir juga air mata ini kerana adat manusia, berpisah itu memang menyedihkan walaupun menurut perintah.


Hampir 100% pelajar di SMK Belawai memakai Baju Pasukan Beruniform masing-masing pada hari Rabu, Terima kasih Cg Gani - Hebat

Banyak kenangan saya di SMK Belawai, walaupun sekolah ini pada mulanya bukan pilihan saya. Sedih dan tercari-cari di mana sebenarnya SMK Belawai ini. Berat benar kaki untuk melangkah. Sehingga saya sekeluarga mengambil cuti ke Kota Kinabalu sepanjang cuti 1 minggu bulan September. Diberi motivasi oleh En. Wong Chung Kung, PPD Sibu ketika ini dan akhirnya saya menerima pelawaan ke SMK Belawai. Sampai sahaja di jeti Tanjung Manis, saya sekali lagi diuji, bila terpaksa menaiki lori yang diubahsuai menjadi teksi atau bas ini sehinggalah sampai ke SMK Belawai. Orang pertama yang saya jumpa ialah En Adeni, Iman masjid Tanjung manis (Abang Cg Hasbi) yang menyapa saya di Jeti Tanjung Manis.
Bergambar kenangan bersama pelajar
Paling saya tidak lupa ialah pengalaman menaiki “speed boat”, menaiki bot ekspress dan pernah duduk di atas bumbung kerana di dalamnya penuh. Susah payah ini ditempuhi sehinggalah awal tahun lepas bila mana jalan Sibu ke Tanjung Manis dapat diguna pakai. Masyarakat di Belawai, Rajang, Jerijeh dan Tanjung Manis sangat perihatin, sangat baik dan sentiasa memberi kerjasama kepada saya sepanjang perkhdimatan saya di SMK Belawai. Saya sangat-sangat berterima kasih kepada Ayahanda Penghulu Ariffin, Ayahanda Penghulu Dandan dan Ayahanda Penghulu Razali yang sentiasa mengambil berat hal-hal disiplin pelajar di Sekolah terutama pelajar dari kampung masing-masing. Begitu juga dengan ketua-ketua masyarakat. Ketua Kampung, Tuai Rumah dan ketua-ketua jabatan terutamanya Tuan Pegawai Pegawai Daerah, Daerah Kecil Belawai Abang Mohamad Bin Abang Turkey, En Maliki (TMD), En Hamidi (Lapangan Terbang Tg Manis), Tuan Imam Jerijeh En Baki, Tuan Imam Belawai, En Pandi (TM Furniture), En Ibni (TMR), YDP PIBG En Allawie Bin Hj Sidek dan Ahli Eksconya dan semua orang-perseorangan yang mengenali dan pernah bekerjasama dengan saya membangunkan SMK Belawai.


Mohon kemaafan - jika terkasar bahasa.. Anak-anak yang baik. Sopan santun budaya kita. Mereka umpama kain putih. Kita yang mencorakkannya..
Guru-guru di SMK Belawai juga adalah guru-guru yang sangat hebat. Mereka mampu melaksanakan tugas yang diberikan dengan penuh tanggungjawab. Kejayaan SMK Belawai bukan kejayaan saya seorang tetapi kejayaan semua warga sekolah. Tanpa bantuan guru-guru, kakitangan, pekerja pembersihan dan pengawal keselamatan mustahil SMK Belawai hebat seperti sekarang. Begitu juga barisan pengurusan yang sentiasa memberi idea2 bernas ke arah kejayaan. Pengurusan kewangan di bawah seliaan KPT Puan Rosdyana juga sangat menyerlah, sehingga diiktiraf oleh Jabatan Akauntan Negara Cawangan Sarikei, pengurusan kewangan SMK Belawai adalah antara 5 pusat tanggungjawab yang berbaik di Daerah Sarikei. Tahniah untuk semua dan saya doakan semoga SMK Belawai Sentiasa Cemerlang.
Bergambar kenangan bersama guru-guru SMK Belawai
Hadiah dari Pelajar Asrama. Banyak hadiah yang saya dapat. Dari pelajar, guru, AKS, PPD, Sekolah dan Juga dari Persatuan Pengetua Bahagian Mukah, Terima kasih banyak-banyak..
Hadiah dari Tingkatan 5 Sains. Maaf kepada pelajar lain gambar tidak dapat disiarkan. Jangan kecil hati, hadiah kamu sangat menarik hati saya termasuk 2 biji buah cempedak... kad dan juga sajak..
Satu perkara yang pasti dan patut ada adalah pelajar yang hebat. Tanpa pelajar tiadalah guru. Perkara yang kita tidak nampak ialah apabila kekurangan pelajar di Sekolah, Quata guru juga akan berkurang. Apa akan jadi jika ada saja pelajar yang bermasalah di sekolah, kita cadangkan mereka berhenti sekolah. Sudah tentulah kedudukan guru di sekolah juga akan menerima kesannya. Lebihan guru akan berlaku dan akan ada guru-guru yang dipaksa berpindah. Saya pasti pelajar-pelajar di SMK Belawai adalah yang terbaik. Pemantauan Nazir pada tahun 2011 lalu mendapati peratus ponteng sekolah adalah amat sedikit dan pada tahab yang tidak membimbangkan. Namun perlu ada usaha untuk mencapai poteng sifar walaupun sukar dilaksanakan. Dari segi akademik, saya percaya dengan adanya guru yang hebat dan pelajar yang hebat sudah pasti keputusan peperiksaan akan memberansangkan. Buktinya ialah PMR 2011. Selamat menduduki peperiksaan PMR 2012 kepada semua pelajar tingkatan 3 sekarang dan SPM bagi pelajar tingkatan 5 sekarang. Buat yang terbaik untuk diri kamu sendiri dan saya sentiasa doakan kamu sentiasa cemerlang.

Datuk Hajjah Norah.. Kata-kata Yang Berhormat kini bukannya omong kosong tetapi penuh dengan wawasan. Sokonglah beliau demi masa depan Daerah Kecil Belawai. Semoga selepas ini banyak pembangunan akan hebat di sini sama ada dari seosial, ekonomi dan Rohani... Sahsiah anak-anak..
Akhir sekali saya sangat-sangat berterima kasih kepada Datuk Hajjah Norah Tun Abd Rahman, Datuk Hamden Hj Ahmad dan Datuk Len Talif kerana keperihatinan mereka terhadap satu-satunya sekolah di hujung Tanjung itu. Harapan saya mereka akan sentiasa memberi kerjasama kepada pengetua baru nanti. Terima kasih yang tidak terhingga kepada guru-guru yang mengatur majlis pepisahan saya pada hari sabtu lalu, sesungguhnya anda semua di dalam hati saya... Mohon sejuta kemaafan jika ada kesilapan semasa saja menerajui pentadbiran SMK Belawai.

SELAMAT TINGGAL SMK BELAWAI...

Terima kasih Cikgu...

Sunday, January 29, 2012

212.AirAsia Tidak Mengecewakan..

Baru saja nak memuji tentang penambahbaikan yang telah dilakukan oleh Air Asia, tiba-tiba saya terbaca Air Asia telah di saman di Australia. Dalam dakwaannya syarikat penerbangan tersebut telah gagal mendedahkan harga penuh tambang penerbangannya di laman web. Suruhanjaya Pengguna dan Persaingan Australlia (ACCC)  yang merupakan badan pemantau pengguna di sana mendakwa beberapa laluan tidak memaparkan harga selepas cukai, duti, yuran dan lain-lain caj lain.

Penumpang menunggu penerbangan masing-masing dengan penuh sabar
Air Asia bukan pilihan saya, barangkali kerana telah biasa dengan perkhidmatan yang disediakan oleh MAS. Pertama kali menggunakan perkhidmatan Air Asia sedikit masa lalu, membuatkan saya bertambah benci untuk memilih pernerbangan ini. Bermula dengan sukarnya membuat tempahan, berbaris untuk “Check In”  dan berebut ketika menaiki pesawat untuk memilih tempat duduk. Namun pilihan saya kali ini pada minggu lalu sabtu 19 Januari 2012, Sibu Ke Kuala Lumpur, Kuala Lumpur ke Alor Setar dan pulang pada Sabu 28 Januari 2012 di laluan yang sama, secara langsung telah mengubah persepsi saya kterhadap  Air Asia.

Seperti yang di war-warkan oleh krew Air Asia di dalam pesawat, “Anda kini berada di dalam pesawat tambang murah terbaik di dunia…”, Air Asia yang terkenal dengan tambang murahnya, kini telah banyak membuat perubahan. Tempahan tiket lebih mudah dan yang paling menarik ialah “boarding pass” nya yang dapat di cetak di rumah, penumpang yang tiada bagasi boleh terus masuk kecuali yang ada bagasi perlu menghantar ke Kaunter “Cheek In”. Jangka masa yang diberikan dalam masa 3 jam sebelum penerbangan itu cukup selesa dan penumpang tidak perlu berebut- rebut. Masa menunggu bagasi tiba ke terminal juga agak cepat dan tidak menganggu perjalanan seterusnya.

Kedai ini menjadi pilihan penumpang sebelum penerbangan.. 
Pendek kata perjalanan kali ini dengan Air Asia sangat selesa dan pilihan untuk menggunakan perkhidmatan Air Asia kali ini sangat tepat. Oleh kerana tempahan yang dibuat agak lewat dan hampir dengan masa bertolak maka harganya agak mahal, berbanding dengan tambang semasa pulang. Namun jika dibandingkan dengan harga MAS, harga tambang Air Asia agak murah. Seperti kenyataan yang dikeluarkan oleh Tony Fernandes, Ketua Eksekutif dan pemegang saham terbesar Air Asia, Air Asia hanya mengenakan caj kepada apa yang mahu penumpang guna. Oleh itu terpulanglah kepada pengguna memilih dan fikir apa yang mereka perlukan. Ia termasuklah pilihan timbangan bagasi, makanan, insurans, pilihan tempat duduk dan sebagainya.

Ada kedai yang beroperasi 24 jam untuk kemudahan penumpang di KLCC
Walaupun demikian, pihak pengurusan Air Asia dan Pengerusi Air Asia X, Tan Sri Rafidah Aziz perlu memikirkan tentang rungutan orang ramai dari masa ke semasa supaya ia lebih mantap dan menjadi lebih baik dari apa yang ada sekarang. Jangan melihat saman di Australia itu adalah “enteng” tetapi sebenarnya ia telah mencemarkan sedikit nama baik Air Asia. Kaji balik segala kelemahan sama ada penerbangan Domestik atau antarabangsa. Lihatlah isu ini secara positif. Harga mungkin sebahagian dari isunya tetapi mungkin Air Asia perlu melihat tentang hal lain juga yang boleh menimbulkan ketidakpuasan hati pengguna. Air Asia dan Pengguna adalah saling memerlu antara satu sama lain, tidak salah jika kebajikan pengguna di jaga dengan baik, sebaliknya merekalah yang akan menjadi duta kecil bagi Air Asia dalam mempromosikan produk sedia ada.

Dari pengalaman saya baru-baru ini, perkhdimatan Air Asia sama seperti perkhdimatan MAS semasa beroperasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Subang sedikit masa lalu sebelum adanya KLIA. Cuma tiada bas yang menghantar dan menunggu penumpang ke terminal. Penumpang perlu berjalan kaki yang  kadangkalanya agak jauh. Barangkali perlu sedikit perhatian yang serius…

Catatan ini bukan Iklan Untuk AirAsia dan tidak dibayar..

RAKAN GURU YANG DIHORMATI...

Popular Posts

TIADA YANG LEBIH BERKUASA YANG MENENTUKAN SEGALANYA

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

PERJALANAN INI:


23 Jun 1993 - 1 Disember 1994 SMK Three Rivers, Mukah


1 Dis 1994 - 16 September 2016 SMK Tiong Hin, Sibu


16 September 2006 - 12 Februari 2012 SMK Belawai, Daro, Mukah


13 Februari 2012 - 20 Januari 2017 - SMK Baru, Miri


22 Januari 2017 Hingga Sekarang - SM Teknik, Sejingkat, Kuching


PENAFIAN :

Berita, pandangan dan komen dalam blog ini tidak tidak semestinya menggambarkan sikap pengendali blog. Pengendali blog tidak bertanggungjawab di atas sebarang kesulitan atau kerosakan akibat menggunakan maklumat dalam blog ini. Penggunaan blog ini adalah di atas budi bicara masing-masing.

Mengambil, mencetak dan menyebarkan artikel yang terdapat di dalam laman ini amatlah digalakkan dan dihargai. Sebarang bentuk teguran dan pandangan juga amat dialu-alukan.

Mohamad.

Mutiara Kata

Bercita-cita tanpa usaha bukan cita-cita tapi angan-angan.