As salam...
Memang tidak dinafikan bahawa manusia suka sangat berpatah arang untuk mendapatkan hak mereka, sedangkan dalam masa yang sama mereka lupa yang ada pihak yang menuntut hak dari mereka. Dalam entri kali ini Pak Teh hendak berkongsi info Wasiat Imam Syafie tentang "HAK". Pak Teh rasa tak perlulah hendak perkenalkan siapa dia Imam Syafie iaitu ulama tersohor yang mempelopori Mazhab Syafie.
Sebelum Imam Syafie pulang ke Rahmatullah, beliau sempat berwasiat yang merupakan nasihat yang sangat bernilai untuk kita. Wasiat tersebut masih tersimpan di Perpustakaan al-Asad al- Wataniyyah di Damsyiq, Syria. Wasiatnya ialah:
"Barangsiapa yang ingin meninggalkan dunia dalam keadaan selamat maka hendaklah ia mengamalkan sepuluh perkara"
Pertama: Hak kepada diri
Mengurangkan tidur, mengurangkan makan, mengurangkan percakapan dan berpada-pada dengan rezeki yang ada.
Kedua: Hak kepada Malaikat maut
Mengqadakan kewajipan-kewajipan yang tertinggal, mendapatkan kemaafan dari orang yang dizalimi, membuat persediaan untuk mati dan merasa cinta kepada Allah
Ketiga: Hak kepada kubur
Membuang tabiat suka menabur fitnah, membuang tabiat kencing merata-rata, memperbanyakkan solat tahajjud dan membantu orang yang dizalimi.
Keempat: Hak kepada Munkar dan Nakir
Tidak berdusta, berkata benar, meninggalkan maksiat dan nasihat menasihati
Kelima: Hak kepada Mizan ( neraca timbangan amalan pada hari akhirat)
Menahan kemarahan, banyak berzikir, mengikhlaskan amalan dan sanggup menanggung kesulitan.
Keenam: Hak kepada Sirat ( titian yang merentangi neraka pada hari akhirat)
Membuang tabiat suka mengumpat, warak, suka membantu orang beriman dan suka berjemaah.
Ketujuh: Hak kepada Malik ( Malaikat penjaga neraka)
Menangis lantaran takutkan Allah swt, berbuat baik kepada ibubapa, bersedekah ketika terang-terangan serta sembunyi dan memperelokkan akhlak.
Kelapan: Hak kepada Ridhwan (Malaikat penjaga syurga)
Berasa redha kepada qadha Allah swt, bersabar menerima bala, bersyukur ke atas nikmat Allah swt dan bertaubat dari melakukan maksiat.
Kesembilan: Hak kepada Nabi saw
Berselawat ke atasnya, berpegang dengan syariat, bergantung kepada al-Sunnah (hadith), menyayangi para sahabat dan bersaing dalam mencari kelebihan dari Allah swt.
Kesepuluh: Hak kepada Allah swt
Mengajak manusia ke arah kebaikan, mencegah manusia dari keburukan, menyukai ketaatan dan membenci kemaksiatan.
Sumber: Kisah Pengembaraan Imam Syafie