Shibin El-Kom, 8 Ogos - Ramadhan 1432 H buat ke sekian kalinya menjadi tetamu agung yang diraikan oleh segenap umat Islam di serata pelusuk dunia. Di bumi Mesir, sang perantau menumpang kemeriahan warganya menikmati keasyikan menunaikan ibadah puasa di siang harinya dan mendirikan tarawih di sebelah malamnya.
Di Shibin El-Kom, mahasiswa-mahasiswa Malaysia yang menuntut di Universiti Al-Azhar, cawangan Shibin El-Kom turut merasai suasana tersebut. Hari ini, seorang usahawan arab, telah bermurah hati mengadakan majlis berbuka puasa di rumahnya. Beliau yang mesra dikenali oleh warga Malaysia di sini sebagai Syeikh Ahmad Syarwan, sememangnya telah biasa mengundang para penuntut Malaysia setiap tahun untuk menghadiri majlis makan yang dianjurkan di rumahnya.
Bermula azan maghrib, hadirin berbuka puasa ringan di masjid berdekatan, sebelum solat maghrib berjemaah. Berhimpun di bahagian sutuh rumah, hadirin kemudiannya dihidangkan dengan juadah berbuka. Selepas selesai makan, Syeikh Ahmad Syarwan memanggil hadirin berkumpul untuk mendengar sedikit kalam amanat daripada beliau. Dalam ucapannya, beliau tidak putus menngungkapkan doa demi doa, untuk kesejahteraan semua. Jazakallah khair ya Siddi.
DPM Shibin El-Kom, selaku mewakili mahasiswa Malaysia di Shibin El-Kom, sangat berterima kasih kepada pihak tuan rumah yang menjemput, dan ahli DPMS yang hadir memenuhi undangan. Dengan jumlah warga Malaysia yang makin mengecil di sini, komitmen untuk bergerak sebagai satu komuniti adalah sesuatu yang wajar dipuji dan diteruskan. Semoga Ramadhan kali ini, melimpahkan berkahnya untuk kita kekal berukhuwwah dan bersatu.
Selamat berpuasa, selamat membina jiwa Rabbani.
0 komentar:
Catat Ulasan