Apabila ditimbang-timbang hari ini, sudah berapa banyak kita memberi dari menerima?
Adakah kita lebih banyak menerima dari memberi?
Memberi bukan hanya dalam bentuk wang ringgit, tetapi mencakupi lebih dari itu. Senyuman, bantuan dan doa merupakan suatu bentuk pemberian yang amat bernilai saya kira. =)
Hakikatnya, emosi orang yang banyak memberi adalah lebih ceria, gembira dan lebih banyak tersenyum kerana hormon endorphin, sejenis hormon 'gembira' telah dirembeskan yang akan mempengaruhi emosi dan perasaan kita dan orang yang sebegini merupakan orang yang produktif! InsyaAllah!
Berbanding mereka yang sukar memberi, mereka lebih mudah murung, muram dan kurang tersenyum kerana tatkala itu hormon cortison telah dirembeskan.
Ayuh. Mari hayati kisah ini yang tercatat dalam sebuah hadith yang panjang.
Seorang wanita Yahudi yang merupakan seorang pelacur telah memberi minum seekor anjing yang kehausan. Dengan izin dan inayahnya, Allah telah mengurniakan hidayah kepadanya dan akhirnya menjadi wanita Solehah.
Di sini, dapat kita lihat, Allah telah menilai pemberian kasih sayang wanita ini hatta sekalipun terhadap seekor anjing! Subhanallah.
Sebagai kontra dan perbandingan, diceritakan pula terdapat seorang wanita yang kuat ibadahnya kepada Allah tetapi mengurung kucingnya hingga tidak diberi makan dan minum. Lalu akhirnya, Allah mentakdirkan neraka buatnya. Nauzubillah!
Dapat kita lihat, nilai suatu pemberian lebih lebih lagi sebuah kasih sayang amat besar maknanya.
Besar lagi kasih dan sayang Allah serta segala pemberian Yang Maha Pencipta kepada sekalian alam.
Allah. Sungguh Dialah yang Maha Pemberi. Dia memberi tanpa syarat. Tanpa diminta. Tanpa minta dibalas.
Hanya perlu bayangkan pada diri kita yang tika ini masih bisa bernafas. Sistem pernafasan dan organ paru-paru masih berfungsi dengan baik. Jantung yang tidak pernah berhenti berdegup mengepam darah ke seluruh anggota tubuh badan sedari sejak dilahirkan hingga saat ini. Sistem perkumuhan dan segala rembesan enzim dan hormon serta berjuta-juta lagi proses yang sedang berlaku dalam tubuh kita dalam sedar mahupun tidak. Subhanallah!
Dan segalanya adalah manfaat untuk manusia.
Malu kita pada Allah. Sudahlah berhutang pada Allah, untuk membalas segala kurniaanNya apatah lagi.
Ya. Pada logiknya memberi akan mengurangkan. Namun, pada hakikatnya tidak! Yakinlah.
Perumpamaan orang yang menginfakkan hartanya di jalan Allah seperti sebutir benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada setiap tangkai ada seratus biji. Allah melipat gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki dan Allah Maha Luas, Maha Mengetahui"
(al Baqarah: 261 )
Dan mungkin keberkatan (barakah) pada setiap pemberian kita, Allah kurniakan secara tidak ketara (intangible). Barakahnya mungkin dalam bentuk keluarga yang penuh dengan kasih sayang, ahli rumah yang selamat sejahtera dari segala musibah, sihat wal'afiat dan pelbagai lagi bentuk yang terkadang kita tidak sedar dan tidak tahu.
Dan sungguh kasih sayang itu berkadar terus dengan iman kita.
Semakin tinggi iman kita, semakin banyak kita mampu untuk memberi kasih sayang.
Inginkan kasih sayang, maka berilah kasih sayang.
Sungguh, memberi itu nikmat!
Di olah dari Galeri Audio,Ikim. fm. Segmen Mukmin Profesional, bersama Ustaz Pahrol Mohd Juoi bertajuk Memberi dengan Kasih Sayang.