Bismillah.
Sudah agak lama tidak menjengah ke tinta ini. Lalu aku buka dan mem'bersihkan' sawang-sawang yang melekat. Agak terbatas sebenarnya peluang untuk mengakses internet di sepanjang minggu persekolahan. Ditambah dengan ketiadaan kemudahan wifi di sekolah dan di rumah sewa. Tidak mengapa. Tidak perlu mengeluh. Mungkin Allah mahu aku berehat seketika dari dunia siber yang penuh percikan dunia. Yang pernah dahulu membuat aku sedikit leka dan hampir-hampir tergelincir. Terima kasih Allah atas didikan ini. Atas didikan terus dari Allah, yang terkadang datang tanpa manusia sedar.
Entah bagaimana hendak menterjemah segala isi di dalam hati. Kalau diterjemah rasa hati ke dalam bentuk lukisan mungkin lukisannya bercorak abstrak dan penuh warna warni. Sepanjang hampir 3 bulan berada di persekitaran yang baru, tempat kerja yang baru, rumah baru, kawan baru, terasa diri begitu kerdil. Tidak lagi bersama teman-temah sekuliah dan sahabiah-sahabiah berbulatan gembira. Benar-benar menguji diri. Sungguh. Di kala diri bersendiri. Ketika itulah, Allah menguji. Di mana tarbiyah yang dahulu kamu lakukan, di mana iman yang dipertahankan, di mana aurat yang dijaga, di mana akhlak dan peribadi yang dimuliakan. Dan ketika itulah semuanya akan terbukti dan diaplikasikan.
Alangkah cantik susunan rancangan Dia. Dia menempatkan daku keseorangan bukan bermakna Dia tidak menyayangiku, malah tetap terus melindungiku, menutup aibku, menjaga makan minumku dan kesejahteraanku. Terima kasih Allah. Kerana sesungguhnya, Engkau mahu mendidikku, agar terus menggenggam kebergantungan hanya pada Mu. Walau terkadang air mata tumpah tanpa sebab, tapi akhirnya lega. Lega kerana dari air mata yang Allah kurniakan ini, membuatkan daku tegar. Tegar untuk sentiasa berpaksi bahawa hidup ini adalah satu perjuangan mencari redha Allah. Perjuangan sebagai hambaNya dan khalifah dalam menyampaikan ilmuNya kepada agama dan bangsa.
Pengalaman berhadapan dengan pelajar yang bermacam kerenah lebih-lebih lagi pelajar yang berada di kelas tercorot benar-benar berharga. Masa inilah sebenarnya yang perlu digunakan, untuk menimba sebanyak mungkin pengalaman sebagai pendidik. Mengajar di kelas tercorot bukan lagi untuk mengharap mereka memperoleh A dalam mata pelajaran. Kalau itu yang terjadi, suatu bonus dan kejayaan yang cukup membanggakan. Tetapi sebenarnya, suatu usaha untuk menjadikan mereka insan dan manusia yang hidupnya mulia. Bagaimana menyuburkan mereka dengan keperibadian dan kemahiran agar mereka membangun sebagai generasi berakhlak biar pun sedikit kurang akademiknya. Suatu usaha menjadikan mereka 'suka' untuk ke sekolah dan belajar meskipun sedikit sahaja yang diperoleh pada hari itu. Kerana setiap dari mereka punya cerita tersendiri dan sejarah latar belakang yang berbeza. Sekadar perkongsian bersama. Pastinya guru-guru interim yang lain punya cerita dan strategi masing-masing kan? =)
Semuanya kan rancangan Dia. It's HIS plan. So, I just carry on and trust HIM. Thank you Allah. :)
Akhir kalam, saya kongsikan doa yang mana Rasullulah sering berpesan agar mengamalkannya.
Ya Allah, Rahmatmu aku harapkan, janganlah kau serahkan urusanku kepada diriku sendiri, walau untuk sekelip mata, perbaikilah segala urusanku, tiada ilah yang berhak disembah selain Engkau.
(Sumber : Majalah Solusi)
Janganlah Kau serahkan urusanku kepada diri sendiri. Kenapa begitu? Kerana sesungguhnya manusia itu bersifat lemah. Dan kepada Dia tempat bergantung.
Wallahua'lam.
_________________________
I added cool smileys to this message... if you don't see them go to: http://s.exps.me