bilik sembahyang pelbagai ugama
adegan filem
ambulan berbasikal di sebelah van ambulan
gelagat orang tunggu orang
Setelah berehat seketika (tidur sebab tiada manusia dan tidak ada kenderaan untuk ke mana-mana) di Cloth Hall, Pat datang dan ajak bersembang mengenai rancangan saya tinggal di sini. Beliau beri beberapa cadangan dan syor. Pertama saya minta hantarkan saya ke stesen keretapi pada jam 7 hari Ahad untuk ke London. Kedua saya minta tempah teksi untuk ke lapanganterbang Heathrow pada jam 7 pagi Isnin.
Pada hari Isnin, saya bangun seawal jam 4 pagi. Soalt Subuh, mandi, bersiap, makan pagi dan menunggu teksi. Cuaca di luar terang, tetapi hari hujan. Pemandu teksi lambat tiba. Katanya dia tidak biasa dengan Cloth Hall, barangjkali Tom-tom dia juga tidak dapat mengesan kawasan ini dan memang liputan telefon bimbit sangat sedikit sekali.
Setelah teksi tiba, Pat ambil gambar saya (dia akan abadikan foto setiap penghuni di sini dalam album untuk diceritakan kepada pengunjung seterusnya). Perjalanan ke Heathrow pada awalnya lancar namun setelah tiba di lebuhraya, ia menjadi perlahan akibat kesesakan lalulintas. Akhirnya tiba juga pada jam 9.30 pagi setelah beberapa kali saya tersengguk kerana mengantuk. Pemandu teksi ini menghentikan saya di sebuah perhentian dan meletakkan beg-beg saya atas troli dalam hujan. Bagi saya, seorang pemandu yang baik seharusnya menghantar penumpangnya ke pintu terminal. Terminal 3 lapangan terbang Heathrow ini mempunyai 7 pintu, iaiatu A hingga G untuk penerbangan yang berlainan. Setelah membuat bayaran UKP80 dan meminta resit, saya terpaksalah menolak troli dalam hujan mencari perlindungan yang terdekat, ia iatu pintu A. Kemudiannya dari satu pintu ke satu pintu mencari penerbangan Malaysia dan akhirnya bertemu kaunter tiket di Pintu F.
Penerbangan ke Malaysia ada pada jam 12pm dan 10pm. Saya masih bertkesempatan untuk daftar masuk penerbangan 12pm. Berikut adalah pertimbangan saya. Penerbangan 12pm dari Heathrow akan tiba di KLIA pada jam 7am. Ini bermakna saya perlu solat Zohor, Asar, Maghrib, Isya dan Subuh dalam penerbangan. Penerbangan 10pm dari Heathrow akan tiba pada jam 5pm di KLIA. Ini bermakna saya hanya Subuh dalam penerbangan dan Zohor-Asar boleh jamak setelah tiba di KLIA. Saya membuat perkiraan untuk menaiki penerbvangan 10pm (memang tiket saya pada 10pm). Selama 12 Jam di Heathrow apa yang perlu saya buat?.
Pertamanya saya simpan bag dengan bayaran UKP8 sebuah. Tanpa bag ditangan, pergerakan saya agak bebas sedikit. Saya cuma bawa notebook bersama. Pilihan yang ada kini ialah samada duduk di Heathrow ataupun ke London lagi. Lapan ke sepuluh jam masa yang ada boleh dimenafaatkan di LOndon. Pat kata pergilah ke Malaysia Hall ataupun naik Eye of London. Memandangkan penat berjalan di London semalam masih belum hilang, saya mengambil keputusan untuk lepak di Heathrow sahaja.
Sesi lepak 12 jam di Heathrow bermula:
Saya dari satu pintu ke satu pintu. Dari satu kaunter ke satu kaunter. Di kaunter Penerbangan Malaysia (MAS) ada poster yang sangat jelas mengenai 'hand luggage' hanya satu setiap orang kerana atas dasar keselamatan lapanganterbang oleh BAA. Saya yang membawa 2 bag termasuk notebook terpaksalah menjadikannya satu sahaja.
Saya kemudiannya ke balai ketibaan. Saya sempatlah menyambut ketibaan penerbangan MH003 dari Malaysia yang tiba pada jam 3:30pm (tercepat 45 minit). Di perhatikan mereka yang sampai di balai ketibaan nampaknya terpinga-pinga mencari orang yang dikenali ataupun agen yang memegang tanda nama mereka. Seterusnya saya pergi dari satu kedai ke kedai yang lain. Mengintai kalau-kalau nasi atau makanan halal ada dijual. Hampa. Di Heathrow terdapat bilik sembahyang rupanya. Ia adalah bilik sembahyang pelbagai ugama. Siap dengan arah kiblat sekali. Di sini saya solat Zohor dan Asar. Pendek kata Terminal 3 Heathrow ini kecil sahaja, tidak banyak kedai walaupun orangnya sangat ramai.
Di sini tidak ada wifi atau hotspot percuma. Penat sahaja kelek notebook ke sana ke mari. Jika tidak ada akaun dengan t-mobile, bayar sahaja UKP1 bagi 10 minit surfing. Sangat mahal. Pandangan yang menarik di sini ialah polis berbasikal. Mereka masuk bangunan lapanganterbang, keluar masuk lif dengan basikal. Mereka gunakan basikal jenama POLICE. Kemudian pasukan ambulan juga berbasikal. Dia kayuh di celah-elah orang ramai dengan basikal. Unik.
Di luar pula adalah kawasan merokok. Duduk di luar adalah lebih segar. Kurang mengantuk. Di sini saya sempat lihat krew filem sedang buat penggambaran filem. Adegan pelakon wanita dengan orang gaji dan pemandunya keluar dari lapangan terbang menuju ke kereta. Ia diulang-ulang sebanyak tiga kali shoot. Tiga kali shoot, tiga kali make-up.
Orang yang lalu lalang, orang yang duduk menunggu, penumpang yang menanti dan pekerja yang keluar merokok di sini cukup ramai. Saya lihat di mana bas berhenti, di mana teksi berlesen, di mana teksi preber sapu dan sudah tentunga tren untuk ke London. Berjam-jam di luar sini, sudah boleh jadi pemandu pelancong kepada orang yang pertama kali tiba di Heathrow. Jika setakat di mana untuk ambil teksi haram, bolehlah tunjukkan di mana. Saya di sini seolah-olah watak dalam satu filem "The Airport" yang bertahun tinggal di airpot kerana ia tidak dibenarkan memasuki negara. Tinggallah dia di bahagian dalam airport.
Haji Salleh ada bekalkan air zamzam. Bagaimana mahu dibawa pulang?. Air dilarang dibawa masuk. Minum habis.
Kaunter MAS sudah berganti dengan PIA. Inilah nasib di lapanganterbang yang penerbangannya cuma 2 kali sehari. Jika dua atau tiga hari seminggu lagilah teruk. Ia ahanya akan dibuka pada jam 6 petang, iaiatu empat jam sebelum penerbangan. Jika ia dibuka awal, bolehlah saya daftar-masuk dan duduk dalam MAS Golden Lounge.
Sebaik sahaja kaunter dibuka, terus daftar-masuk dan terus memasuki balai berlepas untuk ke lounge. Lounge MAS di sini terasa lebih besar daripada di KLIA. Saiznya jauh lebih kecil, tetapi oleh kerana ia lengang, tidak berorang maka ia kelihatan lebih besar. Walau bagaimanapun boleh dikatakan tidak ada makanan. Mesin minuman panas disediakan. Kuih langsung tidak ada. Air sejuk cuma air tin dan mineral sahaja. Air buah-buahan langsung tidak ada. Apa yang ada semuanya minuman keras pelbagai jenama. Akhirnya saya dapatkan katalaluan wifi daripada staf di sini dan surfing sehingga Maghrib. Selepas solat Maghrib dan Isya, ada sedikit masa untuk meninjau ke adaan di luar. Wah ... ia adalah jauh lebih besar, berkali ganda berbanding dengan di luar. Namun memandangkan masa terlalu suntuk, satu habukpun tidak sempat dibeli.