Rakyat Malaysia, khususnya golongan peniaga mula merasai kesan penurunan nilai ringgit. Pengimport misalnya, tidak dapat mengumpulkan cukup ringgit untuk membeli dolar yang mereka perlukan bagi membayar kos barangan yang dipesan daripada pembekal asing. Akibat kekurangan wang, mereka gagal membayar balik hutang.
Rakyat Malaysia yang gemar ke luar negara pula mendapati kos perjalanan mereka terlalu mahal. Eksport kita biasanya menggunakan dolar. Jadi, dengan kenaikan nilai dolar kita sepatutnya memperoleh lebih banyak mata wang ringgit daripada eksport.
Pembeli asing pula mahu membayar harga yang lebih rendah untuk eksport kita. Mereka mendakwa kos pengeluaran kita telah berkurangan kerana nilai ringgit merosot. Apa yang mereka tidak sebut adalah, akibat kenaikan nilai dolar maka bahan mentah, komponen dan barangan modal (capital goods) yang kita import menjadi lebih mahal.
Kejatuhan nilai ringgit tidak menjadikan kita lebih berdaya saing, terutama jika dibandingkan dengan jiran kita yang nilai mata wang mereka juga jatuh.
Kita berasa tidak berdaya apabila nilai ringgit terus merosot dan ekonomi menuju ke arah kemelesetan. Sebelum itu, selama hampir 10 tahun berturut-turut, ekonomi kita berkembang pada kadar lapan peratus setahun.
Kini, kita berdepan dengan kemungkinan pertumbuhan negatif. Saya tidak boleh berkata apa-apa mengenai peniaga mata wang – setiap kali saya membuat kenyataan terbuka, nilai ringgit jatuh lagi.
Pada 17 Jun 1997, sebelum serangan ke atas mata wang Asia bermula, Pengarah Urusan Tabung Mata Wang Antarabangsa atau International Monetary Fund (IMF) waktu itu, Michael Camdessus memuji Gabenor Bank Negara kerana pengurusan ekonomi dan kewangan Malaysia yang baik.
Pujian itu dibuatnya pada Majlis Hal Ehwal Ekonomi Dunia, Los Angeles. Katanya: “Malaysia adalah negara contoh di mana pihak berkuasanya sedar mengenai cabaran menguruskan tekanan akibat pertumbuhan ekonomi yang tinggi dan mengekalkan sistem kewangan yang sihat di tengah-tengah pengaliran masuk modal yang banyak dan pasaran hartanah berkembang pesat.”
Inflasi, kata beliau, adalah rendah dan tukaran ringgit kekal pada kadar RM2.50 kepada AS$1 untuk jangka masa yang lama. Ringgit, tambah beliau lagi, adalah mata wang yang benar-benar kukuh yang mencerminkan kemantapan kewangan Malaysia.
Namun, apabila serangan ke atas mata wang Asia berlaku, orang yang sama berkata ekonomi kita terlalu panas dan ini menyebabkan mata wang kita merudum diserang oleh peniaga mata wang. Saya tidak percaya yang nilai ringgit susut kerana ekonomi kita lemah atau kerana pasaran hilang keyakinan terhadap Malaysia.
Saya membeli beberapa buah buku mengenai perniagaan mata wang untuk lebih memahami mekanismenya. Saya yakin punca kejatuhan ringgit adalah dagangan mata wang bukannya ekonomi atau mata wang kita.
Saya pernah bertemu dengan Camdessus sebelum itu dan beliau nampaknya seorang yang baik. Anwar yang ketika itu adalah Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri lebih kerap berjumpa beliau.
Saya meminta Anwar merayu kepada Camdessus supaya berusaha menghentikan dagangan mata wang. Saya berkata, kegiatan itu tidak perlu dan merosakkan ekonomi negara membangun. Saya tidak tahu sama ada Anwar menyatakan atau tidak hal itu kepada Camdessus, tetapi tidak ada usaha diambil bagi menghentikan kegiatan tersebut.
Bagi saya, mendagangkan mata wang seolah-olah ia satu barangan adalah tidak masuk akal sama sekali. Kopi, gula, getah dan seumpamanya adalah barangan sebenar dan mempunyai kegunaan yang sahih, tetapi mata wang tidak mempunyai nilai secara sendiri. Ini adalah perantara bagi mendapatkan komoditi sebenar. Ia tidak boleh digunakan dengan cara lain dan tidak boleh dimakan.
Kita bukan lagi berada pada Zaman Pertengahan (Middle Ages) di mana ekonomi Eropah tidak mempunyai sebarang mata wang yang diyakini. Ketika itu, peniaga-peniaga di pasar Perancis menggunakan lada hitam dari Asia Tenggara sebagai mata wang dan pertukaran barang. Hari ini, kita guna lada hitam dan rempah ratus untuk menambah kesedapan makanan dan kita guna wang untuk membeli-belah.
Saya teringat pernah membaca mengenai orang Brazil mencampakkan kopi keluaran mereka ke dalam laut sewaktu bekalan bahan itu berlebihan dan harganya murah. Ia bertujuan untuk mewujudkan kekurangan bekalan dan dengan itu dapat menaikkan harganya.
Bagaimanapun, apakah kita perlu mencampak atau membakar wang untuk menaikkan nilainya? Dalam hal mata wang, keadaan sebenar yang berlaku adalah lebih teruk kerana wujud lebih banyak wang dalam edaran berbanding yang diterbitkan oleh bank pusat dan lembaga mata wang.
Bekalan yang berlebihan itu berlaku kerana bukan mata wang sahaja digunakan untuk jual beli, tetapi juga cek, kad kredit dan pemindahan elektronik. Jumlah yang diwakili oleh instrumen tersebut pastinya melebihi jumlah mata wang kertas yang dikeluarkan dan berada dalam edaran. Hakikatnya, wang sudah bertukar bentuk menjadi maya (virtual).
Apabila menoleh ke belakang sekarang, jelaslah saya menerima secara literal klise ekonomi, iaitu wang adalah darah daging kepada sistem kewangan dan ekonomi.
Sebagai seorang doktor, saya tahu tentang wujudnya sejumlah darah yang berpusing dalam badan seseorang pada setiap masa (walaupun kadangkala ia terpaksa ditambah melalui pemindahan darah).
Bagaimanapun, saya belajar untuk tidak mengguna pakai kiasan itu secara literal dalam hubungannya dengan ekonomi. Wang bukan macam hutang kerana wujud lebih banyak hutang daripada jumlah wang dalam edaran bagi menyokong dan menyukatnya. Cara pakar ekonomi berfikir berbeza daripada doktor. Bagi mereka, dua campur dua kadangkala boleh menjadi lebih daripada empat.
Setelah Amerika Syarikat muncul daripada Perang Dunia Kedua sebagai kuasa tentera dan ekonomi dominan, dunia menerima dolarnya sebagai mata wang rasmi bagi perdagangan antarabangsa dan juga sebagai mata wang rizab.
Perjanjian Bretton Woods (1) telah menetapkan nilai dolar pada kadar AS$35 bagi setiap auns emas. Kemudian, semua negara menetapkan nilai mata wang mereka berdasarkan nilai dolar yang pada asasnya bermakna nilai emas.
Ekonomi dunia selepas perang kembali pulih dalam jangka masa peraturan itu dikuatkuasakan. Bagaimanapun, apabila pada 1971, Amerika keluar daripada piawaian emas, umumnya bagi membiayai kos perbelanjaan Perang Vietnam yang bertimbun, maka kedudukan mata wang dunia menjadi tidak stabil. Kuasa pasaran kini menentukan kadar tukaran mata wang dan kebanyakannya “terapung” dalam hubungan antara satu sama lain.
Bagi saya, tindakan ini merosakkan kedaulatan nasional dan menyebabkan negara terdedah kepada kezaliman pasaran serta ketamakan manusia. Orang tamak tidak akan peduli tentang kebajikan orang lain, dan pastinya juga tidak peka kepada keperluan negara membangun. Mereka akan menjahanamkan mana-mana negara dan memiskinkan penduduknya atas nama keuntungan.
Kita terpaksa menerima keadaan itu walaupun kita tahu mekanisme dan kuasa pasaran boleh dimanipulasikan. Ia tidak mengambil masa yang lama bagi spekulator untuk mula menyalahgunakan sistem berkenaan. Sebelum itu, mereka telah mencipta kaedah jualan singkat komoditi dan saham. Kini, mereka mencipta pula jualan singkat mata wang.
Mereka mengaut keuntungan besar dengan membuatkan negara muflis, terutama negara membangun. Tindakan mereka ini jelas satu pembunuhan kewangan. Mereka menubuhkan dana lindung nilai atau hedge fund dan mempelawa golongan kaya untuk mencarum. Umumnya, pulangan yang diterima jauh lebih besar daripada pelaburan lain, tetapi operasi dana itu tidak menghasilkan apa-apa yang boleh digunakan oleh pasaran atau orang ramai.
Paling tidak pun tindakan yang boleh diambil adalah mengawal selia kegiatan tersebut, tetapi masalahnya orang yang menuntut ketelusan bagi setiap urusniaga dan rancangan orang lain itu sendiri yang membenarkan operasi dana diselubungi misteri. Bukankah pelabur serius tidak akan sanggup mengambil risiko ke atas wang mereka dalam kegiatan yang penuh rahsia?
Namun, pengendalian dana tersebut terus dibenarkan menjadi satu misteri. Siapakah peniaga itu? Daripada manakah mereka memperoleh modal? Berapa banyak mereka meminjam? Kepada siapa mereka menjualnya dan siapa yang membeli mata wang yang mereka jual itu?
Kita tidak tahu jawapan kepada semua soalan ini. Dana itu boleh diniagakan sehingga 20 kali ganda modalnya. Bagi pengurus tabung ini, perkara paling penting dalam ekonomi adalah perluasan hutang yang jauh melebihi bekalan mata wang sehingga tidak ada kaitan lagi antara kedua-duanya. Kesan operasi mereka mengakibatkan kebinasaan.
Camdessus adalah orang Perancis, dan saya dengar beliau bersahabat dengan Presiden Chirac. Jadi, disebabkan saya kenal baik dengan Chirac maka saya menulis kepada beliau mengenai penjarahan oleh peniaga mata wang dan saya meminta beliau bercakap dengan Camdessus agar membantu menghentikan kegiatan itu.
Kemudian, sewaktu Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel atau Commonwealth Heads of Government Meeting (CHOGM) di Edinburgh, Scotland pada 1997, saya bertemu Tony Blair yang baru sahaja menjadi Perdana Menteri Britain bagi membincangkan perkara itu. Saya menjelaskan dengan panjang lebar kesan mata wang dan meminta beliau membawa perkara itu kepada IMF. Bagaimanapun, segala usaha saya di peringkat itu tidak menghasilkan apa-apa.
Sebelum itu, Malaysia memperoleh sedikit pengalaman dalam perniagaan mata wang. Kita mengambil bahagian dalam kegiatan itu bagi memastikan nilai rizab antarabangsa kita tidak susut akibat naik turun nilai mata wang yang kita simpan.
Ketika itu kita hanya berurusan dengan menggunakan mata wang negara-negara maju sahaja. Seperti mana orang lain, kita juga membuat spekulasi, tetapi tidak memanipulasi. Apa yang kita lakukan adalah memperincikan risiko yang kita ambil, tetapi apabila salah satu spekulasi kita songsang, kita telah kehilangan sejumlah besar wang. Selepas pengalaman itu, kita keluar daripada perniagaan mata wang.
Pada September 1997, saya dijemput berucap pada mesyuarat tahunan Bank Dunia dan IMF di Hong Kong. Saya mengambil kesempatan membelasah peniaga mata wang dengan menuduh mereka telah memiskinkan lagi negara-negara yang sedia miskin di dunia. Saya menyebut nama Soros sebagai salah seorang peniaga yang memanipulasi mata wang negara-negara Asia Tenggara dan menggangu gugat pembangunan mereka.
Hari berikutnya, Anwar berucap pada mesyuarat yang sama. Ketika itu, saya sudah berlepas ke Sabah dan beliau menelefon saya. Nada suaranya seperti orang marah. Beliau memberitahu saya bahawa ucapan saya menyebabkan nilai ringgit bertambah susut, cuma beliau tidak memberitahu saya agar jangan bercakap lagi. Namun, saya terus mengkritik IMF dan peniaga mata wang.
Dalam satu perjumpaan di Santiago, Chile, saya mengulangi kutukan ke atas mereka dan sekali lagi nilai ringgit jatuh. Perkembangan itu membuktikan kepada saya bahawa peniaga mata wang adalah punca yang menekan turun nilai ringgit.
Ia tidak mungkin disebabkan oleh reaksi pasaran kerana tindak balasnya begitu pantas. Ini juga bukan disebabkan persetujuan am pasaran, tetapi kerja beberapa pemain utama yang mempunyai pengaruh besar terhadap pasaran. Dan atas alasan mereka yang tersendiri, saya mendapati sesetengah orang sengaja cuba menyekat saya daripada bercakap mengenai peniaga mata wang.
Di dalam negara, Anwar memulakan apa yang dikenali sebagai “penyelesaian IMF tanpa IMF.” Pada dasarnya, kita tidak dilanda masalah ekonomi yang teruk. Kita tidak perlu meminjam daripada IMF bagi melangsaikan hutang luar kerana kita tidak banyak berhutang. Antara hutang yang ada masih belum sampai masanya untuk dibayar balik. Hutang yang telah sampai masanya untuk dibayar balik pula sudah pun kita langsaikan.
Namun, sama ada kita perlu meminjam daripada IMF atau tidak, Anwar berpendapat bahawa Malaysia perlu menerima nasihat IMF. Beliau percaya bahawa untuk mengekalkan keyakinan antarabangsa terhadap pengurusan ekonomi kita, kita perlu melakukan apa yang diberitahu oleh mereka dan menguruskan ekonomi kita mengikut cara yang mereka kehendaki.
Anwar berpendapat yang ubat IMF adalah baik untuk kita dan akan membantu kita pulih daripada penyakit antarabangsa walaupun kita sebenarnya belum lagi jatuh sakit. Jadi, beliau menaikkan kadar faedah dan memotong perbelanjaan kerajaan.
Saya memberi amaran kepada Anwar yang tindakannya itu mungkin menyebabkan kerajaan kehilangan hasil yang diperlukan bagi membayar gaji kakitangan awam.
Beliau juga cuba memendekkan tempoh ingkar pembayaran balik hutang daripada enam bulan kepada tiga sebelum mengisytiharkannya sebagai hutang lapuk. Ini sekaligus menaikkan nisbah hutang lapuk bank dan menyebabkan ramai peminjam muflis. Perniagaan merosot. Penyakit yang kita cuba elakkan, muncul.
Ubat IMF gagal menghalang penyakit itu, sebaliknya menjadi punca penyakit. Dalam pada itu pun, Anwar tetap meneruskan dasar pro-IMF beliau.
Ekonomi kita jelas menuju ke arah kemelesetan. Banyak syarikat muflis manakala yang lain gagal melangsaikan hutang bank, lebih-lebih lagi selepas Anwar memendekkan tempoh ingkar bayar hutang daripada enam bulan kepada tiga dan menaikkan kadar faedah kepada 12 peratus.
Kita memutuskan supaya ditubuhkan sebuah badan operasi seperti Majlis Gerakan Negara yang ditubuhkan untuk menangani kesan rusuhan kaum pada 1969. Bagi mengurangkan perbalahan politik maka kita menjemput semua Ketua Menteri dan Menteri Besar, termasuk daripada PAS untuk menganggotai sebuah badan yang kita panggil Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) (2). Pemimpin kesatuan sekerja dan perniagaan serta ketua badan pemikir juga diajak bersama.
Dengan itu, kita dapat menjelaskan kepada mereka masalah yang dihadapi oleh negara dan mendengar pandangan mereka mengenai cara menanganinya. Bagaimanapun, disebabkan bilangan ahli yang ramai maka Majlis itu tidak dapat bermesyuarat lebih kerap. Jadi, saya memutuskan supaya diwujudkan sebuah panel penasihat kecil untuk memantau perkembangan, di samping mencadangkan cara mengatasinya.
Ia perlu disokong oleh keseluruhan Kabinet walaupun hanya sebilangan Menteri sahaja yang menganggotainya. Mujurlah Kabinet tidak mempersoalkan bidang kuasa atau syarat-syarat penubuhan badan yang berpengaruh itu.
Anggota panel penasihat termasuklah Anwar; Datuk Mustapa Mohamed, iaitu seorang ahli ekonomi yang dihormati dan kini berkhidmat sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri; bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Samsudin Osman; Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Tan Sri Samsuddin Hitam; Timbalan Gabenor Bank Negara, Datuk Fong Weng Phak (entah apa sebabnya, Gabenor tidak pernah menghadiri mesyuarat kami); Ketua Unit Perancangan Ekonomi, Tan Sri Ali Abul Hassan Sulaiman; Oh Siew Nam, seorang eksekutif sektor swasta yang arif mengenai perbankan dan pasaran kewangan serta Ketua Pengarah ISIS, Tan Sri Dr Noordin Sopiee.
Panel penasihat kecil itu bermesyuarat sekurang-kurangnya tiga jam setiap pagi di pejabat saya. Kami meneliti semua perangkaan mengenai ekonomi dan mentauliahkan penyelidikan berhubung sebarang isu yang kami rasa mungkin mempengaruhi prestasi ekonomi atau prospek negara.
Kami memanggil pakar bagi memberi penerangan dan membuat cadangan mengenai perkembangan semasa. Kami mendengar banyak taklimat dan sering membuat keputusan mengenai apa yang perlu dilakukan.
Mujurlah kita tidak mengalami ketegangan sosial sewaktu krisis kewangan. Rakyat Malaysia mungkin telah terjejas teruk akibat krisis tersebut, tetapi keganasan bukanlah tindak balas mereka. Pada masa yang sama, kita sedang membuat persiapan akhir bagi Sukan Komanwel yang akan diadakan pada tahun berikutnya, jadi, kita tidak mampu untuk menghadapi sebarang bentuk ketidakstabilan.
Sambil menangani krisis itu, saya meneruskan tugas ke luar negara untuk melaksanakan usaha ekonomi dan diplomatik. Saya berada di Buenos Aires, Argentina apabila saya tiba-tiba teringat kepada Tan Sri Nor Mohamed Yakcop yang mengetuai operasi perniagaan mata wang Bank Negara sewaktu kita mengalami kerugian.
Saya ternampak beliau sedang berjalan-jalan di Kuala Lumpur sebelum saya berlepas ke Buenos Aires. Wajah beliau muncul dalam fikiran saya dan saya memutuskan yang beliau mungkin boleh memberi penjelasan mengenai perniagaan mata wang serta mencadangkan cara untuk mengatasinya.
Urus niaga mata wang asing kita yang merugikan itu mungkin boleh menghasilkan suatu kebaikan dan menyelamatkan kita pada saat-saat kita dikepung oleh peniaga mata wang.
Perkara itu amat mendesak dan saya tidak boleh menunggu sehingga pulang ke tanah air, lalu saya meminta pejabat saya mencari dan menerbangkan Nor Mohamed ke Argentina. Tidak lama selepas itu, beliau dan saya duduk di dalam bilik hotel saya dan beliau menjelaskan selok-belok perniagaan mata wang serta sebab kita mengalami kerugian.
Saya bertanya, apakah pengajaran daripada pengalaman itu yang boleh kita gunakan untuk mengatasi masalah yang sedang kita hadapi?
Beliau mencadangkan agar kita mengenal pasti beberapa buah institusi yang memiliki sumber kewangan yang besar dan menubuhkan sebuah tabung khas untuk membeli ringgit. Kita terima cadangan itu dan melaksanakannya.
Namun, sekali lagi kita tidak dapat melawan kekuatan peniaga mata wang. Mereka boleh membuat spekulasi sehingga 20 kali ganda modal mereka dan kita mungkin kehabisan rizab antarabangsa kalau kita cuba melawan mereka dengan cara itu. Kita bukan berdepan dengan sebuah dana spekulasi mata wang, tetapi beberapa buah.
Ternyata percubaan kita itu gagal. Saya tahu yang Nor Mohamed berpengetahuan lalu memutuskan untuk melantik beliau menjadi Penasihat Kewangan saya dan salah seorang anggota MTEN.
Kita mengajukan banyak soalan kepada beliau dalam usaha untuk memahami dan mengawal perniagaan mata wang. Saya perlu memahami sedalam-dalamya mengenai sistem perbankan dan kewangan, dan Nor Mohamed berjaya memperjelaskan semuanya.
Disebabkan kita tidak faham selok-beloknya maka kita telah memperkenalkan langkah-langkah yang terbukti tidak berkesan. Pada satu peringkat, terlintas dalam fikiran saya untuk menurunkan nilai ringgit dan menaikkan gaji bagi mengimbangi kesan penyusutan nilainya.
Apabila saya membincangkan idea itu dengan beberapa orang kawan dan Menteri, mereka berkeras mengatakan bahawa ia tidak akan berkesan. Namun, saya terus yakin mesti ada sesuatu yang boleh dilakukan secara sah oleh kerajaan bagi menghentikan manipulasi mata wang kita. Sehingga saat itu, saya masih beranggapan yang mata wang sebenar telah bertukar tangan dalam urus niaga berkenaan.
Saya masih belum memahami perdagangan mata wang yang dijalankan dalam bentuk abstrak dan maya serta bagaimana transaksi atas kertas yang bernilai berbilion-bilion dolar boleh mengalir merentasi dunia dengan lebih pantas berbanding kita membayar RM10 untuk membeli sayur di pasar.
Itulah sebabnya apabila kita diberitahu yang mata wang kita dibawa keluar, kita menyangka orang yang terlibat benar-benar membawa wang kita ketika mereka keluar dari Malaysia. Jadi, kita meminta pegawai kastam di pintu keluar supaya memeriksa beg pengembara. Kita kehairanan kerana tidak ada wang tunai yang cuba dibawa keluar.
Bagaimanapun, kita mendapati jumlah wang dalam edaran di Malaysia berkurangan dengan begitu banyak dan berjuta-juta ringgit Malaysia telah mengalir ke Singapura. Atas sebab itulah kita meminta kerajaan Singapura mendepositkan sejumlah pegangan ringgit mereka ke dalam bank Malaysia.
Kita juga hairan bagaimana peniaga mata wang di luar Malaysia boleh memiliki berbilion ringgit duit kita untuk dijual. Saya tertanya-tanya dari mana penyerang mata wang antarabangsa itu memperoleh ringgit?
Mereka melakukan jualan singkat dengan mengikat kontrak untuk menyerahkan ringgit yang sebenarnya tidak mereka miliki. Bagaimanapun lambat-laun mereka perlu juga membuat penyerahan.
Saya bertanya kepada Nor Mohamed bagaimana sejumlah besar mata wang kita boleh meninggalkan Malaysia tanpa dikesan dan bagaimana peniaga boleh membawa keluar berbilion-bilion ringgit. Kita juga tidak mempunyai rekod pembelian ringgit sebelum mereka mula memperdagangkannya sebagai satu komoditi dan dalam proses itu merosakkan kestabilan kadar tukarannya.
Pada satu peringkat, saya membuat kesimpulan bahawa mereka tentu telah membeli sejumlah besar ringgit sebelum memperdagangkannya di pasaran.
Bersambung
Baca artikel sebelumnya di
SINI
MMI