Showing posts with label Etika. Show all posts
Showing posts with label Etika. Show all posts

Saturday, December 8, 2018

Perkhidmatan menyediakan susu badan untuk lelaki dewasa???



Perkhidmatan menyediakan susu badan untuk lelaki dewasa??? | Polis China menahan 15 orang yang terbabit dengan laman web yang berkait dengan perkhidmatan menyediakan susu badan untuk lelaki dewasa. Laman web itu menghubungkan ibu muda dengan lelaki yang ingin menyusu terus dari payudara mereka. Pegawai di beberapa bandar raya di China, termasuk Beijing, Hebei, Hubei dan Jiangxi sebelum itu membongkar dua sindiket pelacuran yang menawarkan khidmat berkenaan.

Menurut seorang ibu muda berusia 23 tahun yang terbabit dalam sindiket berkenaan, ahli laman web terbabit membayar 40,000 yuan (RM22,000) sebulan untuk mengakses pangkalan data wanita yang menawarkan khidmat menyusu badan, membabitkan susu saja. Bagaimanapun, bayaran tambahan sebanyak 10,000 yuan (RM5,600) akan membolehkan mereka mengakses satu lagi laman yang menyediakan perkhidmatan menyusu dan seks. -AP




.

Tuesday, November 27, 2018

Juruterbang didakwa tertidur dan mengakibatkan pesawat ‘tersasar’ hampir 50km



Juruterbang didakwa tertidur dan mengakibatkan pesawat ‘tersasar’ hampir 50km  | SEORANG juruterbang terlajak lokasi pendaratan hampir 50 kilometer (km) dari landasan sebenar selepas didakwa tertidur ketika mengendalikan satu penerbangan carter. Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) berkata, pihaknya sedang menyiasat kes 'ketidakupayaan juruterbang' susulan kes penerbangan dari Devonport di Tasmania ke King Island pada 8 November lalu. Data penjejakan pesawat menunjukkan penerbangan pada 6.21 pagi itu mendarat dengan selamat di Lapangan Terbang King Island dekat bandar Currie walaupun tersasar (di udara) sejauh 46km. Data tersebut yang diperoleh oleh The Australian menunjukkan penerbangan itu adalah satu daripada tujuh penerbangan pesawat Piper PA-31 Navajo VH-TWU yang dijadualkan pada hari tersebut.

Dalam satu kenyataan, ATSB berkata, siasatan akan melibatkan semakan semula prosedur operasi Vortex Air dan menyoal juruterbang terbabit. ATSB mendakwa juruterbang tersebut tertidur ketika pesawat itu tersasar sehingga mengakibatkan kapal terbang berkenaan terbang sejauh 46km dari King Island. Pasukan penyiasat mengklasifikasikan kes itu sebagai insiden operasi serius dan dalam proses mengumpul bukti untuk penyediaan laporan akhir. Laporan berkenaan akan diterbitkan pada penghujung siasatan yang dijangka siap pada Mac 2019. Pengarah urusan Vortex Air, Colin Tucker enggan memberikan komen berhubung siasatan tersebut ketika dihubungi oleh Daily Mail Australia. - Daily Mail




.

Monday, November 26, 2018

Remaja swafoto bersama sebelum bunuh diri terjun dalam telaga



Remaja swafoto bersama sebelum bunuh diri terjun dalam telaga | DUA remaja perempuan memuat naik gambar swafoto pada aplikasi WhatsApp sebelum mereka dipercayai melompat ke dalam sebuah telaga dan lemas kerana cuba membunuh diri. Mayat kedua-dua mangsa yang berusia 17 tahun itu dijumpai di tempat bunuh diri popular yang terletak di Mumbai. Polis berkata, remaja perempuan terbabit mengambil gambar tersebut berhampiran sebuah telaga dan menjadikannya gambar profil WhatsApp sebelum mereka berdua terjun ke dalam telaga itu. Telefon pintar, kasut dan gelang kaki mereka yang ditemui oleh polis di kawasan berdekatan telah membuatkan pihak berkuasa yakin bahawa kedua-dua gadis itu sengaja melompat masuk ke dalam telaga berkenaan.

 Keluarga mangsa yang terkejut dengan insiden itu berkata, gadis-gadis tersebut tidak menunjukkan sebarang tanda mereka mengalami tekanan atau ingon membunuh diri dan mereka sangat misteri. Salah seorang bapa mangsa mendedahkan anak perempuannya baru-baru ini meminta agar dia membeli beberapa pakaian yang pernah dilihatnya di televisyen."Saya berjanji untuk mendapatkannya ... pakaian itu akan tiba dalam beberapa hari lagi tetapi anak perempuan saya tidak akan dapat memakainya," katanya. Seorang lagi bapa mangsa memberitahu Indian Express: "Apakah jenis persahabatan ini bila seorang berkata ingin melompat ke dalam telaga bersama-sama dan seorang lagi benar-benar melakukannya?


"Walaupun pada saat-saat terakhir mereka, mereka berpakaian pada baju kemeja dan seluar hitam yang sama." Polis sedang menyiasat telefon kedua-dua gadis tersebut dengan harapan dapat mencari motif di sebalik insiden itu. Bagaimanapun, remaja terbabit telah memadam perbualan WhatsApp mereka. Polis berkata, salah seorang gadis tersebut telah memutuskan hubungan dengan teman lelakinya dan memberitahu bahawa dia bertemu lelaki lain. Klu itu mungkin boleh dikaitkan dengan punca kejadian tersebut. Dipercayai empat insiden bunuh diri telah berlaku di telaga tersebut dalam tempoh dua tahun. - Daily Mail




.

Thursday, November 22, 2018

Gambar lelaki rakam gambar letusan lava gunung berapi pada jarak terlalu dekat



Gambar lelaki rakam gambar letusan lava gunung berapi | Seorang jurugambar sanggup menggadaikan nyawanya dengan mengambil gambar letusan lava di bahagian sebuah gunung berapi di sini pada jarak yang terlalu dekat. Jurugambar tersebut, Tomas Freyr Kristjansson merakamkan gambar menakjubkan itu bagi menunjukkan keajaiban gunung berapi Holuhraun yang mula aktif sejak beberapa hari lalu. Kristjansson berkata, keadaan di gunung berapi berkenaan sangat bahaya sehingga pihak berkuasa terpaksa menutup kawasan tersebut kepada para pelancong.

“Walaupun keadaan ketika itu sangat bahaya tetapi saya tetap teruja untuk merakamkan letusan lava yang menjulang sehingga beberapa puluh meter. “Saya cuba merapati letusan lava itu sehampir yang boleh untuk mengambil gambar yang menarik sehingga terasa bahang yang sangat panas dan turut merasai gegaran yang kuat setiap kali letusan berlaku. “Gambar-gambar yang saya rakamkan ini menggambarkan kejadian alam yang paling menakjubkan dan cantik yang pernah saya saksikan,” katanya. – Agensi



.

Saturday, February 28, 2015

Pelik! Lihat permintaan terakhir seorang wanita yang akan menjalani hukuman mati ini



Pelik! Lihat permintaan terakhir seorang wanita yang akan menjalani hukuman mati ini | Seorang wanita yang akan menjalani hukuman mati di negeri ini telah mengemukakan pelbagai menu makanan daripada pihak penjara sebagai permintaan terakhirnya, sebelum tiba tarikh hukuman ke atasnya dilaksanakan.Agensi berita ABC News memetik kenyataan Jabatan Kesalahan Georgia sebagai berkata, Kelly Renee Gissendaner berharap pihak penjara dapat menyediakan lapan jenis makanan yang dimintanya.

Makanan tersebut ialah burger keju, kentang goreng, air limau, aiskrim ceri vanila, bertih jagung, salad dan minuman susu. Gissendaner dijatuhi hukuman mati pada 1998 atas kesalahan membunuh suaminya dan dia akan menjalani hukuman tersebut menggunakan kaedah suntikan pada 25 Februari ini.

Sebelum ini, pihak penjara Amerika Syarikat (AS) memenuhi setiap permintaan banduan yang dijatuhi hukuman mati untuk mendapatkan makanan yang lazat. Namun, amalan itu dihentikan pada 2011 selepas seorang banduan, Lawrence Russell Brewer enggan makan makanan yang dipesannya daripada pihak penjara Texas. -AP




.

Friday, February 27, 2015

Wanita dilayan seperti binatang selepas ibu bapa tidak suka teman lelakinya



Wanita dilayan seperti binatang selepas ibu bapa tidak suka teman lelakinya | Seorang wanita dikurung dan dilayan seperti binatang selepas ibu dan bapanya tidak menyukai teman lelaki anak perempuan mereka itu. Pada 2009, Zhang Qi, 24, disuruh berpisah dengan teman lelakinya dan dikurung di sebuah pondok. Menurut Mirror UK, Zhang cuba melarikan diri beberapa kali sebelum itu namun berjaya ditangkap ibu bapanya. Ibu dan bapanya kemudian memberitahu orang kampung bahawa anak perempuan mereka sakit jiwa dan mula mengurungnya. Polis memulakan siasatan selepas beberapa keping gambar Zhang yang hidup terseksa tersebar di internet. -AP




.

Ibu terkejut, diari bongkar pengalaman hitam anaknya yang baru berusia 9 tahun


Ibu terkejut, diari bongkar pengalaman hitam anaknya yang baru berusia 9 tahun | Tindakan seorang wanita membaca diari anaknya membongkar kejadian kanak-kanak berusia sembilan tahun itu diperkosa anak lelaki pengasuhnya berusia 16 tahun. Kejadian yang berlaku empat tahun lalu itu hanya dicatatkan mangsa di dalam diari tanpa menceritakan detik hitam dialami kepada keluarga. Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari kelmarin, ibu mangsa berusia 40-an dikatakan terbaca kandungan diari itu ketika berada di rumahnya di Pandan Indah, di sini.

Sumber berkata, wanita itu yang terkejut dengan isi kandungan dibaca kemudian terus mendapatkan anaknya dan bertanya hal sebenar. “Mangsa kemudian mengaku pernah diperkosa remaja lelaki terbabit. “Terkejut dengan pengakuan anaknya itu, dia terus membawa mangsa ke Balai Polis Pandan Indah untuk membuat laporan berhubung kejadian berkenaan,” katanya. Susulan itu, mangsa dihantar ke hospital dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat kesan koyakan lama di alat sulit mangsa.

Sumber berkata, polis kemudian bertindak mengesan rumah pengasuh itu berikutan keluarga itu sudah berpindah. “Bagaimanapun siasatan lanjut akhirnya berjaya menemui kediaman pengasuh itu sebelum menahan remaja lelaki itu. “Polis juga sudah merakam keterangan suspek sebelum dia dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya. Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.-HM




.

Lion Air dikecam sindir pesawat hilang melalui Twitter.. Inilah tweet tersebut..



Lion Air dikecam sindir pesawat hilang melalui Twitter.. Inilah tweet tersebut.. | Syarikat penerbangan tambang murah Lion Air dikecam pengguna Twitter di Indonesia selepas kononnya memuatnaik satu kenyataan yang disifatkan tidak berperikemanusiaan di jaringan media sosial itu pada malam tadi. Dalam satu tweet, akaun @OfficialLionAir menulis : "Tweeps dalam penerbangan kalian pilih mana? Kena delay atau ngga pernah sampai? Selamat malam. Salam #LIONAIR Kenyataan itu seolah-olah memerli syarikat penerbangan kapal terbang lain yang tidak mampu membawa penumpangnya tiba ke destinasi dengan selamat.


Perkara ini juga dilihat sedikit sebanyak memberi kesan kepada beberapa syarikat penerbangan yang dilaporkan pesawatnya hilang dan juga yang terlibat dalam kemalangan.
 Hasil pemantauan, kira-kira jam 11:40 malam Khamis catatan tweet kontroversi itu sudah tidak kelihatan. Kira-kira jam 11:51 malam pula akaun @OfficialLionAir dilaporkan tidak wujud, seolah-seolah akaun ini sudah dinyahaktif di Twitter.Lion Air bagaimanapun kemudian mengesahkan akaun Twitter itu palsu. Menurut laporan Republika Online pada 26 Feb, Direktor Umum Lion Air, Edward Sirait menafikan akaun tersebut.


Laman web rasmi Lion Air di www.lionair.co.id juga tidak menyatakan ia tidak memiliki akaun Twitter. Bagaimanapun penafian pegawai kanan Lion Air itu tidak meredakan keadaan kerana pengguna Twitter mengesan ada lagi akaun di jaringan media sosial itu yang menggunakan nama @LionAirIndo atau @LionAirID.Penafian itu juga menimbulkan tanda tanya kerana beberapa tweet daripada akaun @OfficialLionAir sebelum ini membayangkan akaun itu sebagai akaun rasmi. Ia misalnya memohon maaf mengenai pembatalan beberapa penerbangan pada 19 Februari lalu. -Awani



.

Tuesday, February 24, 2015

Bapa nekad bunuh 3 anak kerana tidak mampu biayai majlis perkahwinan mereka



Bapa nekad bunuh 3 anak kerana tidak mampu biayai majlis perkahwinan mereka | GARA-gara bimbang tidak mampu membiayai majlis perkahwinan anaknya, seorang bapa di India sanggup mencekik tiga anak perempuannya hingga mati dan mencampakkan mayat mereka ke dalam sebuah terusan. Sanjay Dubey, 33, ditahan di tempat kejadian selepas mengaku membunuh Ankita, 9, Priya, 7, dan Bhavna, 2. Awalnya, lelaki itu memberitahu isterinya dia ingin membawa anak mereka ke sebuah pameran tempatan.

Sebaliknya, peniaga sari dari Pandesera di Gujarat itu ke terusan berhampiran dan membunuh ketiga-tiga anaknya. Menurut Inspektor Mahendra Kher, pihaknya menerima panggilan daripada seorang penduduk kampung yang menemui tiga mayat terapung dalam keadaan tertiarap. Apabila pasukan polis tiba, Sanjay yang berada di tempat kejadian terus mengaku bersalah membunuh anak-anaknya.

Isterinya, Meera Devi, 32, hanya tahu mengenai kejadian itu keesokan hari selepas diberitahu abang iparnya dan tidak menyangka bagaimana suaminya itu boleh bertindak sejauh itu. Difahamkan, Sanjay mengalami kemurungan setelah kerugian 3,000 pound (RM17,000) dalam urus niaga perniagaan beberapa bulan lalu. Dia turut memberitahu pihak polis bahawa dia tidak mempunyai pilihan lain selain membunuh mereka kerana bimbang mengenai kos membesarkan anak-anaknya itu. – DM




.

Impian lelaki bertemu kekasih hati yang dikenali di facebook berkecai selepas wanita itu tidak muncul



Impian lelaki bertemu kekasih hati yang dikenali di facebook berkecai selepas wanita itu tidak muncul | Impian seorang lelaki dari Semenanjung bertemu kekasih hati dikenali melalui laman sosial Facebook bukan saja berkecai, malah kerugian RM10,000 selepas wanita berkenaan tidak muncul dan panggilan telefon tidak dijawab. Difahamkan, lelaki dikenali sebagai Mohd Noor berusia 30-an itu dikatakan tiba di Lapangan Terbang Sandakan di sini, kira-kira jam 9.30 pagi kelmarin, untuk bertemu ahli keluarga teman wanitanya dipercayai untuk merisik dan melangsungkan pertunangan.

Sebelum tiba di daerah ini, mangsa dipercayai memasukkan RM10,000 seperti diminta wanita terbabit dengan alasan untuk membuat persediaan majlis pertunangan mereka. Sebaik menjejakkan kaki ke daerah ini, mangsa terus menghubungi teman wanitanya, tetapi tidak dijawab sebelum talian telefon bimbit dimatikan. Mangsa yang buntu dilihat berlegar-legar tanpa tujuan di sekitar lapangan terbang itu sehingga petang sebelum disedari orang ramai. Selepas mendapati mangsa ditipu, orang ramai membawa lelaki itu ke balai polis untuk membuat laporan dan mendapatkan bantuan. -Metro




.

Akibat terlalu taasub dengan satu ajaran songsang, Datin jalin hubungan sulit dengan teman sealiran



Akibat terlalu taasub dengan satu ajaran songsang, Datin jalin hubungan sulit dengan teman sealiran  | Akibat terlalu taasub dengan satu ajaran songsang sehingga melabelkan suami sendiri sebagai najis, seorang wanita bergelar Datin yang sanggup menjalinkan hubungan sulit dengan teman sealiran kononnya lebih warak akhirnya dicekup berkhalwat dengan lelaki itu di dalam sebuah kereta, tengah hari semalam. Wanita dan pasangannya ditahan kira-kira jam 11.30 pagi semalam di dalam sebuah kereta di tepi jalan di Bandar Sri Damansara oleh Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) selepas mendapat aduan orang ramai.

Ketaasuban disulami cinta terlarang pasangan itu berlarutan sejak lebih setahun lalu selepas sama-sama sering berbincang mengenai kuliah pengajian dianjurkan sebuah pertubuhan di pinggir ibu negara menyebabkan wanita ahli perniagaan itu tergamak menuduh suami sendiri terkeluar daripada ajaran agama Islam sebenar.

Sumber berkata, Datin berusia 40-an itu sudah mempunyai tiga anak bersama suaminya berusia lapan hingga 15 tahun, namun selalu bersama pasangan kekasih gelapnya itu dan bersikap dingin dengan suaminya sendiri termasuk tidur berasingan. “Akibat taasub melampau dengan ajaran berkenaan, wanita itu sengaja mencari alasan untuk memburukkan suaminya dengan menuduh lelaki itu terkeluar daripada Islam selain mengamalkan ajaran bercanggah serta sesat. -Metro




.

Monday, February 23, 2015

Ibu tunggal yang diberi bantuan kewangan tanpa segan silu guna bantuan tersebut untuk melancong



Seorang ibu tunggal yang diberi bantuan kewangan tanpa segan silu menggunakan sebahagian bantuan tersebut untuk melancong ke beberapa negara selama lima minggu. Menurut Dailymail UK, Kay Bird, 28, dikecam warga internet selepas menghabiskan £3,000 (RM17,000) dari bantuan kewangan berjumlah £8,500 (RM48,000) untuk melancong ke Athens, Istanbul, Dubai, Sri Lanka, Jakarta, Bali dan juga Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, Bird mempertahankan tindakan beliau bahawa terdapat ramai lagi penerima bantuan yang menyalahgunakan kemudahan tersebut. "Saya bukan ibu tunggal yang akan menikmati segala kemudahan dan asyik makan dan tidak pernah meninggalkan rumah. "Mereka (penerima bantuan) memilih untuk hanya membeli makanan dan gajet (menggunakan duit bantuan). Saya cuma memilih cara berbeza," tambahnya. -AP




.

Mimpi ngeri buat pemilik rumah.. Bila dapat penyewa yang sangat pengotor



Mimpi ngeri buat pemilik rumah.. Bila dapat penyewa yang sangat pengotor | Seorang pemilik rumah di sini bagaikan mendapat mimpi ngeri apabila rumah yang disewa kepada orang lain ditinggalkan dalam keadaan kotor dan tidak terurus dalam satu insiden yang dilaporkan baru-baru ini. Kelakuan buruk penyewa itu terbongkar apabila seorang juruteknik tidak dibenarkan masuk ke dalam rumah tersebut untuk membaiki pemanas api yang rosak walaupun notis telah diberikan kepadanya.Apabila diperiksa, pemilik rumah itu mendapati rumahnya dipenuhi dengan timbunan botol kosong, manakala puntung rokok dan sisa makanan bersepah di merata tempat.


Namun, penyewa tersebut bertindak melarikan diri selepas perangai buruknya yang malas membersihkan rumah sejak sekian lama itu diketahui pemiliknya. Pengarah ejen hartanah syarikat Nock Deighton, Dawn Clarke menjelaskan, rumah tersebut merupakan rumah yang paling kotor pernah dilihatnya sejak lebih 30 tahun menceburi bidang hartanah. "Ia benar-benar menjijikkan dan saya tidak tahu bagaimana seseorang boleh tinggal di rumah seperti ini," kata Clarke. -Agensi




.

Pengguna jalan raya gempar menyaksikan gelagat seorang lelaki



Pengguna jalan raya gempar menyaksikan gelagat seorang lelaki | Pengguna jalan raya yang melalui pekan Guar Chempedak, dekat sini, gempar menyaksikan gelagat seorang lelaki yang berlegar-legar di tepi jalan raya secara tiba-tiba melompat ke arah sebuah kereta yang kebetulan lalu di hadapannya sebelum berbaring di atas jalan raya, di situ. Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang kelmarin, pengguna jalan raya terpaksa memberhentikan kenderaan mereka hampir 30 minit selepas perjalanan mereka terhalang akibat tindakan lelaki terbabit.

Menurut saksi kejadian yang mahu dikenali sebagai Hanim, 34, sebelum kejadian, dia melihat lelaki itu berlegar-legar di tepi jalan raya sebelum melompat ke arah sebuah kereta yang kebetulan melepasi lampu isyarat dari Alor Setar menghala ke Sungai Petani. Katanya, pemandu kereta terbabit yang juga seorang wanita sempat mengelak daripada melanggar lelaki itu, namun lelaki itu dilihat berpura-pura pengsan dan terus berbaring di atas jalan raya terbabit tanpa bergerak. “Pada mulanya, saya lihat lelaki itu bangun semula dan berjalan ke tepi jalan, namun selepas dia melihat kereta itu berhenti, dia segera kembali ke tengah jalan dan berbaring semula. -Metro




.

Suami simbah minyak panas pada isteri selepas gagal kawal kemarahan


Suami simbah minyak panas pada isteri selepas gagal kawal kemarahan | Minta duit tapi dapat sakit. Itu nasib malang menimpa seorang isteri yang cedera di kemaluan akibat disimbah minyak panas oleh suaminya. Malah, wanita berusia 44 tahun itu turut cedera di badan selepas ditendang dan dipukul.

 Menurut sumber, kejadian berlaku jam 7.30 pagi Jumaat lalu di rumah pasangan itu di Setapak, di sini. Katanya, sebelum kejadian mangsa berada di ruang dapur kerana sedang memasak dan dia meminta duit daripada suaminya kerana ingin pulang ke kampung.

“Bagaimanapun suaminya yang berusia 40-an enggan memberikan wang yang diminta menyebabkan berlaku pertengkaran. “Gagal mengawal kemarahan, suspek memukul dan membelasah isterinya tanpa mengendahkan rayuan mangsa supaya tidak diperlakukan sedemikian,” katanya. -Metro



.

'New Balance Malaysia' mohon maaf kerana pamer kasut kulit babi di ruang depan kedai tanpa amaran jelas



'New Balance Malaysia' mohon maaf kerana pamer kasut kulit babi di ruang depan kedai tanpa amaran jelas | Sejak beberapa hari lalu, kasut keluaran 'New Balance' mula mencuri tumpuan di media sosial. Semuanya gara-gara salah sebuah butiknya di Pulau Pinang yang dikatakan tidak sensitif kepada pengunjung beragama Islam. Ini kerana, kasut yang diperbuat daripada kulit babi diletakkan di ruang hadapan premis kedai tanpa amaran diletakkan dengan jelas. Hari ini menerusi akaun rasmi Facebook 'New Balance Malaysia', mereka memohon maaf dan mengakui tindakan serius sudah diambil.

Pengedar New Balance Malaysia berjanji akan mempamerkan papan tanda dengan tulisan bersaiz besar untuk produk yang menggunakan kulit babi. Kedudukan papan tanda juga akan diletakkan pada kedudukan yang senang dilihat dan digantung bersama kasut buatan kulit haiwan berkenaan. Malah, kasut yang menggunakan kulit babi akan dibalut dengan plastik.


Mereka turut menjelaskan, kebanyakan kasut yang dibuat di Amerika Syarikat dan UK adalah menggunakan kulit babi. Namun, kebanyakan model 574 termasuk kasut larian, bersukan dan gym tidak menggunakan kulit haiwan dan boleh digunakan oleh pengguna Islam. Kemaskini yang dibuat oleh pihak New Balance Malaysia di Facebook dalam masa sama mendapat reaksi daripada pengguna media sosial. -Awani




.

Sunday, February 22, 2015

Lelaki kantoi elak hadir mahkamah sembunyi dalam peti ais



Lelaki kantoi elak hadir mahkamah sembunyi dalam peti ais | Taktik seorang banduan mengelak hadir ke mahkamah nyata gagal apabila polis yang mencarinya menemuinya dalam peti sejuk di rumah ibunya. Polis membawa waran tangkap untuk Eduard Bulgakov, 31, selepas gagal menghadiri prosiding namun ibunya tidak mengetahui di mana dia berada. Bagaimanapun, mereka curiga selepas melihat penghantaran piza yang banyak selain pelbagai barang dapur berselerak atas meja dan bukan di dalam peti sejuk.

Jurucakap polis berkata: “Anggota polis dan pegawai mahkamah dapat melihat piza yang banyak dengan separuh daripadanya dimakan. Tidak mungkin wanita itu memakan semuanya seorang diri. “Mereka menemui Bulgakov kerana ibunya nampak gusar apabila disoal mengapa makanan berlebihan tidak disimpan di dalam peti sejuk. -AP



.

Wanita yang merupakan isteri orang ditangkap khalwat dengan lelaki bukan islam



Wanita yang merupakan isteri orang ditangkap khalwat dengan lelaki bukan islam | Seorang wanita yang masih berstatus isteri orang dicekup berkhalwat dengan pasangannya yang juga seorang tentera bukan Islam berusia 22 tahun di sebuah bilik sewa di sebuah rumah kedai di Taman Mahsuri, di sini, awal pagi semalam. Wanita berusia 32 tahun dari daerah ini mempunyai dua anak berusia lima dan tujuh tahun itu mendakwa digantung tak bertali suaminya sejak beberapa tahun lalu.

Difahamkan, dia dikatakan berkenalan dengan anggota tentera terbabit sejak setahun lalu selepas diperkenalkan rakan sebelum menjalinkan hubungan sulit. Anggota tentera terbabit yang kini bertugas di kem di Kelantan datang ke negeri itu untuk menghabiskan cuti sempena Tahun Baru Cina dengan wanita itu. Bagaimanapun, tindakan mereka melepaskan rindu dengan menyewa bilik di kawasan itu mengundang padah apabila dicekup berkhalwat pada jam 2.45 pagi pasukan anggota penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Kubang Pasu (PADKP). -Metro




.

Saturday, February 21, 2015

Wanita cacat selepas jalani pembedahan plastik untuk kelihatan cantik seperti bintang filem



Wanita cacat selepas jalani pembedahan plastik untuk kelihatan cantik seperti bintang filem | Seorang ahli perniagaan China, Chen Yili menyatakan harapannya untuk kelihatan cantik seperti bintang filem berkecai selepas pembedahan plastik yang dijalaninya di sebuah hospital di Korea Selatan menyebabkan mukanya cacat. Yili yang membelanjakan beribu-ribu dolar untuk pembedahan itu berkata, doktor berkenaan berjanji akan mengubah mukanya seperti bintang K-Pop. “Mereka berjanji akan membentuk hidung, bibir, dan dagu baharu, tetapi apabila rakan-rakan saya melihat hidung saya, mereka semua terkejut. Hidung saya penyek dan buruk,’’ katanya. Yili merupakan seorang daripada ribuan wanita China, yang mengadu wajahnya menjadi cacat selepas menjalani prosedur berkenaan ekoran ketiadaan undang-undang untuk mengawal industri yang semakin berkembang di Korea Selatan.

Ahli perniagaan itu berkata, dia membelanjakan kira-kira AS$26,000 (RM91,000) di Klinik Beauty Line di Seoul dengan satu daripada prosedur adalah mengambil tulang rawan dari tulang rusuk untuk ditambah ke hidungnya. “Bagaimanapun, selepas pulang ke China, saya mengalami jangkitan dan kini mendapat rawatan di sebuah klinik di Beijing. Saya turut mengalami masalah kemurungan dan terpaksa bergantung kepada 12 jenis ubat setiap hari,’’ katanya. Klinik-klinik di Korea Selatan menawarkan pakej pembedahan plastik bersama percutian menerusi laman web mereka.

Ketika kebanyakan prosedur di Korea Selatan berlaku tanpa sebarang kejadian buruk, industri itu menjadi perhatian pada bulan lalu apabila seorang wanita China berumur 50 tahun koma selepas menjalani pembedahan di sebuah klinik di daerah Gangnam, Seoul. Seoul pada minggu lepas mengumumkan tindakan tegas terhadap orang tengah dan klinik tidak berdaftar bagi melindungi pelancong perubatan terutamanya mereka yang tertarik dengan industri pembedahan plastik. Walaupun pasaran pembedahan plastik di China bernilai berpuluh-puluh bilion dolar, namun kebimbangan mengenai keselamatan menyebabkan rakyatnya memilih untuk melakukan prosedur itu di luar negara. – AP




.

Pengantin baru lancarkan mogok lapar depan rumah mertua bagi mendesak keluarga itu terima dia sebagai menantu



Seorang pengantin baru di sini melancarkan mogok lapar di hadapan rumah mentuanya sejak tiga hari lalu bagi mendesak keluarga suaminya menerimanya sebagai menantu. Wanita itu, Priti Kumari berkahwin dengan seorang guru, Dheeraj Kumar selepas lelaki itu diculik pada 21 April tahun lalu. Bagaimanapun, Kumar mendakwa dia dipaksa berkahwin dengan Kumari dan dipukul apabila enggan berbuat demikian. Selepas berkahwin Kumar dibebaskan dan dibenarkan pulang ke rumah, tetapi lelaki itu enggan menerima isterinya walaupun beberapa kali dirayu keluarga wanita berkenaan. Kumari yang kecewa membuat satu majlis perkahwinan di luar rumah mentuanya di kampung Makdampur di negeri Bihar pada Hari Valentine lalu dengan harapan dia diterima sebagai menantu.

Usahanya sia-sia apabila keluarga mentuanya masih tidak membenarkan dia masuk ke rumah. Sejak itu, Kumari berikrar melancarkan mogok lapar dan sanggup mati kebuluran daripada pulang ke rumah ibu bapanya. Tindakan Kumari itu menyebabkan pihak berkuasa di negeri itu bingung dan menghantar sepasukan anggota polis untuk mengawasi keselamatan wanita itu serta pasukan perubatan bagi memantau kesihatannya. “Saya sanggup mati daripada pulang ke rumah keluarga saya.

“Seorang gadis Hindu hanya berkahwin sekali dalam hidupnya,” kata Kumari yang menegaskan dia tidak akan menjamah sebarang makanan sehingga diterima keluarga mentuanya. Keluarga Kumar berkata, mereka enggan mengiktiraf perkahwinan berkenaan kerana tidak mendapat restu kedua ibu bapa lelaki itu. “Saya dipaksa berkahwin dengannya dan pihak polis juga sudah menahan tiga individu selepas saya membuat aduan, malah kes ini masih dibicarakan di mahkamah,” kata Kumar. Perkahwinan paksa adalah perkara biasa di sebahagian negeri Bihar dan menurut polis, seramai 2,533 individu diculik untuk dikahwinkan sepanjang tahun lalu. - Agensi




.
 

Lulu pages Copyright © 2011 Designed by Alieff. Wanna get one? CLICK HERE!