Assalamualaikum... Sempena cuti Tahun Baharu Cina baru berkesempatan singgah di blog ini. Gigihnya saya merangka bab dan mengumpul cerita daripada blog ini untuk dibukukan kisah hidup saya. Saya bukannya sesiapa tetapi hasrat untuk melihat kisah saya dalam satu buku sebagai kenangan agak menebal sehingga saya nekad untuk menghabiskan penulisan kisah hidup. Buku ini masih dalam proses edit oleh editor. Tajuknya pun belum terkini tapi itulah bayangannya. Mengapa ada kaitan dengan bahagia?Adakah saya tidak bahagia?Bahagia itu subjektif.
Dapat ke Sabah dan mencari pasu hijau seperti dalam gambar itu pun sudah membahagiakan.Buku ini mengisahkan seorang remaja yang sangat minat menulis sejak zaman sekolah tetapi terpaksa melupakan minatnya untuk mengambil kursus tersebut di U setelah melihat keadaan ekonomi keluarga dan negara juga mengalami kemelesetan pada masa itu. Setelah memperoleh kursus perguruan di universiti,dia berlapang dada kerana mungkin dia akan mengubah nasibnya nanti.Minat untuk menulis boleh diteruskan setelah bekerja kelak kerana ramai guru yang menjadi penulis.Penempatan pertamanya sebagai guru di Sabah tidak membuka peluang untuknya menulis.Setelah berkahwin dan berpindah di Shah Alam, dia cuba untuk merealisasikan minat menulisnya dengan menulis di blognya sendiri. Ternyata,menjadi guru di Semenanjung sangat banyak cabarannya.Bagi mengatasi stres yang dihadapi,dia lebih suka melakukan hobinya: menghias rumah, menulis di blog, menjahit, dan melancong yang mendasari cerita dalam bukunya.Tahun 2018, detik yang diingati apabila dia melihat banyak peluang untuk menulis berbanding sebelumnya.Paling manis, buku itu akan terbit sempena 20 tahun bergelar guru.
Menulis kisah hidup agak sukar sebenarnya berbanding menulis cerpen kerana cerita yang ditulis mesti betul-betul berlaku dan bukannya kisah yang direka-reka. Sukarnya hendak mengingat kisah lampau.