Batu Luang: Antara Nostalgia, Rahsia Dan Masa

Hanya dua puncak ini yang tinggal, tetapi pokok ara di atasnya tetap bertahan. Mengapa dua puncak ini tidak diratakan? Batu Luang tetap menyimpan cerita masa lampau. Rahsia tetap ada disebalik apa saja kejadian.


Puncak ini kekal bertahan. Hempasan ombak ganas selama ribuan tahun gagal meranapkannya. Begitu juga terpaan arus zaman dan pemodenan, masih tidak berupaya melenyapkan kewujudannya. Kita biarkan ia terus bertahan sebagai monumen pergerakan zaman.

Tebing ini dulu curam, menampan di depan pantai. Saya perlu merangkak untuk memanjatnya. Hari ini ianya masih tersisa, menyimpan sisa-sisa cerita rakyat yang ada di sini, sebagai kenangan dan nostalgia.

Esok 31 Disember 2010, PM Datuk Najib mengumumkan cuti umum seluruh negara sebagai merayakan kejayaan Malaysia menjuarai Piala AFF Suzuki, mengalahkan pasukan Indonesia dengan aggriget 4-2. Esok juga adalah hari terakhir bagi tahun masehi 2010. Bagi Sabah, esok adalah hari terakhir perkhidmatan TYT Yang Dipertua Negeri Tun Datuk Hj Ahmad Shah Abdullah kerana beliau akan menamatkan tempoh perkhidmatan beliau sebagai TYT Negeri dan akan digantikan oleh TYT yang baru, Datuk Hj.Juhar Mahiruddin, yang sebelum ini Speaker DUN Sabah, yang akan mula bertugas pada 01 Januari 2011.

Begitu cepat masa berlalu, pantas dan semakin pantas. Gambar di atas saya paparkan bagi mengingati zaman kanak-kanak saya kira-kira lebih 30 tahun dulu, lebih tepat, sekitar pertengahan 1970an. Ketika itu saya sering melewati tempat ini bersama ayah saya dengan menaiki motosikal untuk ke Tunggulian (B.Linting) dari kampung Munjong, kampung halaman dimana saya dibesarkan. Jarak antara Munjong dan Tunggulian barangkali adalah dalam 30KM, menaiki motorsikal cabuk menyusuri pantai, mengambil masa dalam 3 atau 4 jam. Tempat dalam gambar ini, dulunya merupakan tebing tinggi dihadapan pantai. Ketika air pasang, kami tidak dapat melalui pantai didepan tebing ini kerana air dalam, mencapai paras pinggang, jadi terpaksalah kami mengikut jalan belakang dengan memanjat bukit dimana saya mengambil gambar ini.

Lokasi gambar ini adalah Batu Luang. Dua pohon kayu ara atau dalam bahasa tempatan disitu disebut sebagai 'Nunuk', yang masih anda dapat saksikan dalam gambar ini, sebenarnya telah wujud sejak zaman yang saya sebut itu lagi. Cuma, pada waktu itu, saya perlu mendongak ke atas untuk melihat pokok arah ini, tetapi hari ini pokok ini boleh dilihat dari atas jalan dengan tidak perlu mendongak ke atas. Kononnya di tempat pokok ini, adalah kawasan gua batu yang dikenali sebagai Batu Luang. Orang percaya bahawa di bawahnya ada gua batu yang besar. Saya pernah mendengar seorang nenek bercerita bahawa pada masa dahulukala, mereka yang pernah masuk ke dalam gua ini, menganggarkan keluasannya sehingga 7 batu ke dalam.. Dikatakan juga di dalam gua itu tersimpan banyak harta karun tetapi pada masa yang sama di dalamnya juga turut dihuni oleh banyak binatang berbisa.

Batu Luang menyimpan sebuah cerita donggeng. Kononnya pada masa dahulu, satu rombongan pasangan pengantin melewati depan pintu gua Batu Luang ini. Semasa mereka hampir melewati pintu gua ini, tiba-tiba hujan turun disertai dengan angin kencang. Tiada pilihan lain, pasangan pengantin dan rombongannya berlari masuk ke dalam gua untuk berlindung. Apabila keadaan hujan menjadi redah, rombongan ini pun keluar semula untuk meneruskan perjalanan. Tetapi sebaik saya orang kedua terakhir melangkah keluar, tiba-tiba pintu gua tertutup, meninggalkan pengantin perempuan terkurung di dalam kerana tidak sempat keluar.

Berbagai usaha telah dilakukan untuk membebaskan pengantin perempuan yang terperangkap dalam gua tetapi tidak berhasil. Orang-orang kampung cuba memecahkan pintu gua dengan memahat dan menukulnya tetapi sedikit pun tidak mendatangkan kesan. Ketika orang-orang kampung bertungkus lumus memahat pintu gua, kononnya datang seekor burung dan bersuara dengan berkata-kata, " cucuk jarum baru buka" Tetapi orang-orang yang berada disitu hanya mencemuh dan tidak menghiraukan burung itu. Akhirnya setelah tujuh hari tujuh malam berusaha, orang-orang-kampung telah berputus asah. Begitu juga pengantin perempuan yang ada di dalamnya. Kononnya pengantin perempuan telah sempit menghulurkan keluar cincin perkahwinan mereka kepada pasangannya dan berpesan supaya melupakan dia yang berada di dalam. Maka bermula dari masa itu tinggallah pengantin perempuan itu didalam gua Batu Luang .

Menurut donggengan orang tua-tuan, pengantin perempuan ini yang kononnya bernama Bidadari Kasum, telah berkahwin dengan makhluk halus penunggu gua Batu Luang. Konon cerita, selepas daripada itu, barangsiapa yang selalu menghampiri atau melewati Batu Luang ini, adakalanya akan terserampak dengan perempuan cantik yang bermain-main di pokok kayu ara dalam gambar ini. Ini semua adalah cerita donggeng, kewujudan gua Batu Luang juga tidak dapat disahkan kerana seperti yang kita lihat, walaupun bukit yang membeluti batu luang itu sudah ditarah untuk membina jalanraya tetapi tidak terdapat tanda-tanda akan wujudnya gua batu seperti yang didakwa oleh 'nenek-nenek' pada zaman kanak-kanak saya. Cuma yang menghairankan mengapa dua puncak dimana terletak pokok kayu ara ini gagal atau tidak diratakan oleh para pekerja projek jalanraya ini?

Saya tidak mengajak anda untuk mempercayai apa-apa. Saya hanya ingin mengimbau zaman kanak-kanak saya. Batu Luang ada nilai sentimental dalam kehidupan saya. Ketika musim menanam padi huma, keluarga saya selalu berulang-alik dari Munjung ke Tunggulian melewati Batu Luang ini. Saya masih ingat, ketika melewati depan tebing di tepi pantai Batu Luang ini, memang ada kelihatan tebingnya seperti pintu gua tetapi waktu itu saya tidak pula berani menghampiri dan menjenguk ke dalam. Mungkin kerena saya takut kerana dimomokkan dengan cerita donggeng yang waktu itu belum mampu saya mentafsirnya.

Suatu ketika, sewaktu meliwati depan Batu Luang ini, air laut sedang pasang. Waktu itu juga motosikal cabuk bapa saya merakam dan enjinya mati. Jadi kami tidak mampu mengheret motosikal itu menaiki tebing untuk lalu di bahagian belakang bukit. Ayah mengambil keputusan meredah saja air yang sedang dalam itu, kalau saya tidak silap, kedalamannya mencecah paras pinggang. Setelah bersusah payah kerana turut terpaksa tertarung dengan hempasan ombak yang kuat, kami berjaya juga melepasinya. Malangnya sekor ayam yang kami bawa telah mati lemas. Kesian ayam saya, mati lemas kerana dipukul ombak Batu Luang.

Kini masa berlari dengan pantas. Batu Luang tiada lagi segagah cerita donggengnya. Tebing seperti pintu gua juga telah tiada. Bulan lepas saya mendatangi batu Luang untuk mengutip kenangan masa silam saya, sambil ingin memerhati kalau-kalau ada tanda-tanda akan adanya gua dari celah-celah tarahan bukit untuk pembinaan jalanraya ini. Saya tidak menemuinya, tetapi ketika mengamati dua puncak dan kayu ara ini, tiba-tiba bulu roma saya meramang. Mungkin leluhur cerita donggone batu luang masih menjalar dalam diri saya ? Tetapi yang pasti saya masih tidak melupakan tempat saya dan asal-usul saya. Disini dulu, saya menyaksikan realiti kehidupan dan hari ini bila saya datang lagi, entah mengapa semacam ada kerinduan yang memangil-manggil saya datang.. Datang kepada sesuatu yang saya sudah kehilanganya. Masa bergerak pantas, masa yang mengubah bentuk dan persepsi. Tetapi masa itu bagaimanapun masih belum berjaya sepenuhnya melenyapkan 'Batu Luang'.

Ulasan

  1. Cerita mitos lagenda yg nostalgia, tetapi tidak diketahui sejauh mana kebenarannya. Saya berharap agar saya dapat mengunjungi lagi Batu Luang

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Bersantai Di Tanjung Lipat...

Orang Tatana Kuala Penyu Suatu Ketika Dulu...