Tuesday, May 11, 2021

"Vaksin Ketenangan Jiwa Melalui Qiamullail"*

 *USRAH WHATSAPP SIRI3️⃣4️⃣6️⃣*

Dalam kitab Mukhtashar Qiyāmullail karya Abi Abdillah Mohamed bin Nasr Al-Marūzi menyatakan bahawa melalui qiamullail seseorang itu mendapat penawar berkesan bagi jiwa dan hatinya. Dinukilkan kalam seorang Tabien, Atha' Al-Khurasani mengenai kelebihan qiamullail:


*قال عطاءالخراساني: قيام الليل محياة للبدن ونور في القلب وضياء في البصر وقوة في الجوارح. وأن الرجل إذا قام من الليل متهجدا أصبح فرحا يجد لذلك فرحا في قلبه وإذا غلبته عيناه فنام عن حزبه أصبح حزينا منكسر القلب كأنه قد فقد شيئا وقد فقد أعظم الأمور له نفعا*


_"Berkata Àtha' Al-Khurasāni: Qiamullail memberi kesegaran kepada badan, menjadi cahaya dihati dan penglihatan serta memberi kekuatan kepada anggota badan. Bahawasanya apabila seseorang itu bangkit qiamullail lalu bertahajud, dia akan bergembira dan tampak dihatinya kegembiraan itu. Namun apabila matanya tewas lalu dia tertidur dalam hizibnya, kesedihan melanda dirinya, hatinya terasa remuk seolah-olah dia telah kehilangan sesuatu yang paling besar dapat memberi manfaat terhadapnya"._


Sesungguhnya dengan berqiamullail, segala permasalahan disiang hari dapat diselesaikan. Ia adalah vaksin kekuatan kepada jiwa seseorang. Qiamullail ibarat hubungan paling erat dan ikhlas antara manusia dengan Allah SWT lantaran sang hamba sanggup bangkit untuk bertemu Allah dikala manusia lain sedang nyenyak dipembaringan. Ia menjadi amalan teras para Anbiya' dan Solehin yang menuntut umat Islam turut menjadikannya amalan rutin kehidupan mengikut kemampuan diri.


Selalunya orang yang berqiamullail, dianugerah oleh Allah SWT dengan tanda ketenangan dan ketinggian maqam. Allah akan mengurniakan baginya posisi Aulaiya' yang ma'unah Allah datang kepadanya tanpa disangka. Sekiranya dia menerima ujian dan cabaran, Allah akan menganugerahkan kesabaran dan jalan pertolongan pada masa yang telah ditentukan.


〰Asri ed-Diwanie

25 Ramadhan 1442

Puasa Penawar Penyakit Yang Mujarab"

 *USRAH WHATSAPP SIRI3️⃣4️⃣7️⃣*


Dalam kitab Al-Tadāwi Bi Al-Shiyām Wa Mazāyāhu Al-Adzimah Fi Al-Wiqāyah Wa Al-Shiyānah Al-Shihiyyah Wa Al-Mu'ālajah Al-Jismiyyah Wa Al-Nafsiyyah karya Dr. Mohamed Ibrahim Salim menjelaskan bahawa dengan berpuasa banyak penyakit yang mudarat kepada anggota badan dapat disembuhkan:


*فأكثر الأمراض تأثرا بالصيام أمراض المعدة، فالصوم لها مثل العصا السحرية يسارع في شفائها ويرى المعالج به العجب العجاب وتليها أمراض الدم ثم أمراض العروق كالروماتيزم مثلا*


_"Sebilangan besar penyakit yang terkesan dengan berpuasa adalah penyakit dibahagian perut. Maka dengan berpuasa bagi mengekang penyakit itu seumpama tongkat sihir yang mempercepat pemulihannya, dan sememangnya pihak perawat mendapati kesan sangat ajaib padanya. Kemudian (penyakit yang terkesan akibat berpuasa) penyakit disaluran darah dan kemudiannya penyakit bahagian urat seperti rheumatism (keradangan bahagian sendi)"._


Puasa adalah penawar dan terapi yang mujarab untuk banyak jenis penyakit khasnya penyakit dibahagian perut, sendi dan saluran perjalanan darah. Dengan berpuasa, sistem pencernaan dapat kerehatan disebabkan tiada tambahan makanan dan minuman baru yang diterima oleh sistem pencernaan. Lazimnya, sistem pencernaan memerlukan 7 hingga 8 jam untuk memproses makanan yang telah dimakan.


Mengikut ahli perubatan, ketika berpuasa organ-organ dapat berehat dan kerehatan ini membantu badan membuang segala kotoran serta toksin di samping menyegarkan sel-sel serta membersihkan lemak-lemak berpenyakit. Sekiranya kita berjaya mengamalkan prinsip ini sepanjang bulan Ramadhan, sudah tentu tahap kolesterol bertambah baik, paras glukos darah juga stabil dan fungsi ginjal akan menjadi lebih baik.


〰Asri ed-Diwanie

26 Ramadhan 1442

Pohon Keampunan Pada Malam Al-Qadr

 *USRAH WHATSAPP SIRI3️⃣4️⃣5️⃣*

Dalam kitab Lailah Al-Qadr karya Dr. Abdul Bari Mohamed Daud menyatakan bahawa doa terbaik pada malam Al-Qadr ialah doa keampunan sebagaimana yang diajar oleh Nabi SAW kepada Aisyah R.Anha:


*فانظر إلى قدر ليلة القدر وإلى منزلة عائشة رضي الله عنها عند رسول الله صلى الله عليه وسلم، ولو كان غير هذه الكلمات خيرا لها لعلمها إياها. ويستحب الإكثار من هذا الدعاء في تلك الليلة والاشتغال بقراءة القرآن وسائر الأذكار والدعوات.*


_"Maka lihatlah kepada keagungan Malam Al-Qadr dan kedudukan Aisyah R.Anha disisi Rasulullah SAW. Sekiranya ada kalimah lain yang lebih baik baginya nescaya Nabi akan mengajarnya dengan doa tersebut. Sangat digalak memperbanyakkan doa berkenaan pada malam Al-Qadr serta menyibukkan diri dengan membaca Al-Quran, berzikir serta berdoa"._


Para Solehin akan meningkatkan amalan serta memberi tumpuan lebih kepada pencarian Lailatul Qadr pada sepuluh malam terakhir ini. Doa yang terbaik untuk diulang bacaannya ialah dengan memohon keampunan sebagaimana sighah doa yang diajarkan kepada Aisyah R.Anha:


اللَّهُمَّ إِنَّكَ عُفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي


Walaupun galakan memburu Lailatul Qadr pada malam ganjil, namun Lailatul Qadr juga boleh terjadi pada malam genap khasnya apabila Ramadhan tahun tersebut mencukupi bilangannya tiga puluh hari. Semoga Allah mengurniakan kita rezeki beribadah pada malam Al-Qadr, bīznillah.


〰Asri ed-Diwanie

24 Ramadhan 1442

Puasa Wasilah Tazkiah Al-Nafs

Dalam kitab Al-Shiyām Wa Tafāsīr Al-Ahkām karya Abdul Qudus Al-Anshari menyatakan bahawa puasa adalah wasilah untuk penyucian diri yang sangat berkesan:


*فإذا طغت جسدية الإنسان على روح الإنسان هبط من علياء السمو إلى حضيض الحيوان وإذا قوي الجانب الروحي فيه سمت شخصيته وارتفعت عن الأوضار وتطهرت نفسه وتزكت*


_"Apabila tubuh badan seseorang itu melampaui (dengan sifat mazmumah) ke atas ruhnya, dia tersungkur jatuh daripada kedudukan yang tinggi ke lembah kebinatangan yang hina. Sebaliknya apabila sudut ruhnya memiliki kekuatan (dengan berpuasa), dirinya akan melonjak dan kedudukannya lebih tinggi daripada segala keburukan serta dirinya menjadi bersih lagi suci"._


Tazkiah Al-Nafs atau penyucian diri akan berjaya apabila disertakan dengan amalan ikhlas hanya semata-mata kerana Allah. Syeikh Said Hawwa melalui karyanya Al-Mustakhlas Fi Tazkiyah Al-Nafs menegaskan bahawa apabila nafsu mulai lemah khasnya melalui berpuasa, ruh akan menjadi tenang. Apabila ruh tenang, anggota tubuh akan turut menjadi tenang dan berada dalam kawalan.


Namun, jika sifat mazmumah telah mendiami diri seseorang, ia teramat sukar untuk melorongkan jalan ke arah penyucian rohani. Salah satu wasilah yang ampuh lagi berkesan untuk tujuan Tazkiah Al-Nafs ialah melalui puasa. Semoga puasa kali ini menjadi wasilah untuk kita mencapai kasih sayang dan keredhaan Allah SWT.


〰Asri ed-Diwanie

27 Ramadhan 1442

Jauhi Future Akhir Ramadan


Dalam kitab Min Akhthāina Fi Ramadhān karya Mohamed bin Rasyid bin Abdillah Al-Ghafili mengingatkan umat Islam agar mengelakkan sikap futur daripada mendiami diri khasnya ketika berada dipertengahan dan akhir Ramadhan:


*ما يصيب البعض من الفتور في قراءة القرآن عند قرب انتهاء شهر رمضان، فنجد البعض من الصائمين يتلو الآيات في أول الشهر في كل وقت ثم يفتر في وسطه ثم يكاد أن يتركه في آخره*


_"Apa yang terjadi kepada sesetengah orang adanya sikap lemah semangat dalam membaca Al-Quran diakhir-akhir bulan Ramadhan. Maka kita dapati sesetengah orang yang berpuasa itu membaca ayat-ayat Al-Quran pada setiap masa ketika awal Ramadhan. Kemudian dia mulai lemah semangat pada pertengahannya dan hampir meninggalkan bacaan Al-Quran dipenghujungnya"._


Sikap futur akan melanda diri seseorang sekiranya amalan yang dilakukan adanya ifrath dan tafrith iaitu agak keterlaluan atau agak bermudah. Futur menyebabkan seseorang itu berhenti beramal dan sekiranya tidak dirawat, maka kemalasan akan mendiami diri yang berakhir dengan meninggalkan amalan yang dirancang.


Oleh itu, apabila dirasai semangat beribadah menurun, maka langkah pencegahan mesti diambil dengan mendekati para alim ulama untuk meminta nasihat, mengelakkan uzlah dalam tempoh yang lama dan sentiasa merujuk kepada Al-Quran dan Al-Sunnah. Elakkan futur dengan sedaya upaya bagi menjamin Syahādah Al-Taqwa pada penghujung Ramadhan nanti.


〰Asri ed-Diwanie

22 Ramadhan 1442

Pasakkan Al-Khauf & Al-Raja' Dalam Diri


Dalam kitab Madārik Al-Marām Fi Masālik Al-Shiyām tulisan Syeikh Abu Bakr Al-Qasthalāni menegaskan bahawa perlunya ada sifat Al-Khauf dan Al-Raja' dalam diri seseorang untuk mempastikan amalannya diterima Allah SWT:


*أن يتردد فكره بين الخوف والرجاء في قبول صومه وماذا أثمر له عند الله من الرضا. وهل قبل عمله فأثبت اسمه في ديوان السعداء الأبرار أو رد فعد في جملة الأشقياء الفجار؟*


_"Bahawa pemikiran dia menjadi berbelah bahagi antara rasa takut dan meletak pengharapan dalam penerimaan puasanya. Apakah yang dia telah perbuatkan daripada amalan kepada Allah untuk mendapat keredhaan-Nya. Adakah amalannya diterima lalu dipasak namanya dalam kalangan golongan yang berbahagia lagi baik atau amalannya ditolak lalu dikira dalam gerombolan orang celaka lagi jahat"?_


Ketika seseorang itu berpuasa, hendaklah dia sentiasa menghadirkan perasaan Al-Raja' ataupun pengharapan agar puasanya diterima Allah SWT. Dalam Qūt Al-Qulūb menyatakan bahawa Al-Raja' yang juga Ihtisāb atau menaruh pengharapan tinggi kepada Allah menjadi sifat terpenting dalam penerimaan ganjaran puasa disisi Allah SWT.


Rasa gerun dan takut sekira-kiranya Allah menolak amalan puasa, perlu juga ditanam dalam diri kita. Kedua-dua sifat ini iaitu Al-Khauf dan Al-Raja' boleh mengimbangi amalan yang kita lakukan supaya berada dalam radar yang diterima Allah SWT. Oleh itu, setiap daripada kita perlu muhasabah diri pada setiap hari untuk mempastikan sifat tersebut mendiami diri.


〰Asri ed-Diwanie

23 Ramadhan 1442

Puasa Menyingkap Hijab Antara Hamba Dengan Allah


Dalam Risalah bertajuk Min Risālah Al-Shaūm tulisan Syarif Qasim menyatakan bahawa melalui puasa hijab yang ada antara seseorang manusia dengan Allah dapat dibuka dengan mudah:


*ويكون الصوم سلاحا ذا أثر فاعل للانتصار على العدو البغيض للإنسان ألا وهو الشهوة المحرمة التي تكون حجابا بين العبد وربه سبحانه وتعالى. ويكون الصوم موسما للاستعداد بقبول مكارم الأخلاق للنفس، فبها يكون الإعمار للمجتمع الإنساني الذي يريده الإسلام على وجه الأرض*


_"Puasa boleh menjadi senjata yang berkesan lagi efektif untuk mengalahkan musuh yang dibenci manusia, iaitulah nafsu syahwat yang terlarang yang dengannya menjadi hijab antara seseorang hamba dengan Allah SWT. Puasa pada hakikatnya adalah musim untuk mempersiapkan penerimaan akhlak yang baik kepada diri seseorang. Melalui berpuasa juga, ia mampu mengendalikan pembinaan teguh sebuah masyarakat manusia yang dikehendaki oleh Islam di muka bumi ini"._


Seseorang yang sedang berpuasa hakikatnya berada dalam satu tamrin diri yang sangat dikasihi Allah kerana terdapat latihan ikhlaskan diri kerana-Nya. Dalam kitab Mirqāt Al-Mafātih dinyatakan bahawa pengendalian nafsu yang paling berkesan dan dapat menundukkan keegoannya ialah ketika seseorang itu berpuasa. Dengan sebab itu, doa orang yang berpuasa lebih mudah diterima daripada doa orang yang tidak berpuasa. Hijab dapat disingkap antara orang berpuasa dengan Allah SWT yang menjadikan doanya lebih mustajab.


Begitu juga dalam urusan seharian, peratusan sifat mahmudah seseorang itu lebih tinggi daripada mazmumah diri. Dengan demikian, gejala mungkar dan perkara negatif terelak dengan sendirinya dan masyarakat Islam mampu membangunkan akhlak terbaik. Dengan akhlak dan qudwah terbaik itu, sudah tentu sesebuah negara umat Islam akan membangun dengan penuh kesejahteraan dan keberkatan.


〰Asri ed-Diwanie

28 Ramadhan 1442

Jangan Biarkan Rumah Menjadi Kubur

Dalam kitab Al-Shiyām Wa Ramadhān Fi Al-Sunnah Wa Al-Quran karya Syeikh Abdul Rahman bin Hassan Habannakah Al-Maidani menyatakan bahawa setiap umat Islam mesti menjadikan agenda ubudiyyah secara tersusun di kediaman mereka supaya ianya tidak bertukar menjadi seperti kubur:


*لا تجعلوا بيوتكم مقابر أي لا تجعلوا بيوتكم للنوم وحاجات الدنيا فقط، فإنكم إذا قصرتموها على ذلك كانت بمثابة المقابر. فالمطلوب من المسلمين أن يجعلوا قسما من عباداتهم في بيوتهم ومن ذلك تلاوة القرآن وصلوات النوافل ودروس العلم النافع التي يبتغى بها وجه الله عزوجل ومجالس الموعظة والذكر وفعل الخير*


_"Jangan kamu menjadikan rumah-rumah kamu seperti kubur dengan maksud jangan hanya jadikan rumah kediaman kamu untuk tidur dan melangsaikan urusan keduniaan kamu sahaja. Jika terbatas urusan kamu pada perkara itu sahaja, jadilah rumah kamu seperti kubur. Apa yang dituntut kepada seluruh umat Islam, hendaklah mereka menjadikan agenda pengabdian kepada Allah dirumah mereka antaranya  menghidupkan suasana bacaan Al-Quran, solat sunat, pengajian ilmu bermanfaat ikhlas kerana Allah, majlis tazkirah, majlis zikir dan apa sahaja agenda kebaikan yang lain"._


Rumah yang tidak pernah dihidupkan dengan bacaan Al-Quran dan solat sunat akan hilang keberkatan dan menjadi seperti suasana perkuburan. Keadaan rumah tersebut menakutkan, gersang dan tidak disukai oleh para malaikat. Oleh itu, ia perlu dihidupkan dengan aktiviti-aktiviti amal soleh khasnya sentiasa ada zikrullah termasuklah tilawah Al-Quran. Secantik mana sekalipun kediaman itu, ia tidak dapat menarik keberkatan jika kosong daripada amal soleh. Namun, jika sebuah rumah yang kecil dan tidak cantik akan tetapi penghuninya sentiasa hiasi dengan zikrullah, ia dipenuhi barakah malah menjadi tempat persinggahan para malaikat.


Sekiranya bulan Ramadhan juga masih tiada agenda ubudiyyah dalam kediaman, ini menjadi petanda kegersangan iman dan permasalahan jiwa yang meruncing dalam diri penghuni kediaman tersebut. Akibatnya, sikap negatif dan tidak baik bersarang dalam hati yang menyebabkan seseorang itu tidak dapat mengawal dirinya dan mudah terjerumus ke lembah maksiat dan kemungkaran. Jadikan kediaman sebagai tempat yang boleh mengingatkan kita kepada akhirat, insya-Allah beroleh keberkatan.


〰Asri ed-Diwanie

29 Ramadhan 1442

Anak Legeh Di Perantauan Sudah Kembali | Template by - Abdul Munir - 2008