Monday, December 21, 2009

Enjin Jet & C4 : Menteri Pertahanan mesti ambil tanggungjawab

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 21 Dis : Pemimpin Umno yang menjadi Menteri Pertahanan ketika berlakunya kehilangan enjin jet Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) mesti bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku bukan membuat penafian begitu sahaja.

Pemimpin berkenaan juga perlu bertanggungjawab terhadap penggunaan bahan peledak C4 oleh dua anggota polis ketika meletupkan seorang wanita Monggolia, Altantuya Shariibuu, sehingga hancur berkecai kerana ia biasanya digunakan tentera bukannya polis.

Demikian kata anggota Parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali (Gambar) dalam satu kenyataannya kepada Harakahdaily.

"Sebagai menteri beliau mesti bertanggungjawab sepenuhnya ke atas kedua-dua kejadian ini, beliau mesti menjawab secara rasmi, dengan kenyataan bertulis dan disertakan dengan sokongan-sokongan bukan hanya melalui penafian dan sumpah semata-mata," kata Dr Lo' Lo'.


Beliau juga mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat kedua-dua peristiwa penting ini kerana ia melibatkan penyalahgunaan kuasa yang begitu jelas dan menimbulkan tanda tanya.

Dr Lo' Lo' dipercayai mengulas peristiwa kehilangan sebuah enjin jet pejuang F-5E milik TUDM yang berharga lebih RM50 juta.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini berkata, kerajaan tidak berniat untuk menutup hal itu.

Beliau berkata, TUDM dan Kementerian Pertahanan telah membuat laporan polis sebaik sahaja perkara itu diketahui hujung tahun lepas.

Ketika peristiwa kehilangan enjin jet itu berlaku, Menteri Pertahanan adalah Najib sendiri.

Pemuda PAS : ‘Jangan anggap Konvensyen Pakatan hari raya meriah’

“Majlis Sabtu lalu adalah perlangsungan ijab kabul pernikahan politik yang mana telah membuatkan musuh-musuh politik Pakatan Rakyat yang selama ini sibuk menggoda dengan adu domba dan taktik sokong membawa rebah, hari ini menangis dan meraung kepedihan kerana kecewa akibat kegagalan memecah-belah kesatuan kami,”


Oleh Zukri Aksah

KUANTAN, Dis 21 — Dewan Pemuda PAS mengingatkan kepimpinan Pakatan Rakyat tidak hanya melihat pertemuan sulung mereka Sabtu lalu sebagai "hari raya yang meriah pada hari tersebut, kemudiannya sepi tanpa berita" jika mahu memperkukuhkan ikatan DAP-PAS-PKR itu.

Ketuanya Nasrudin Hassan Tantawi berkata Dasar Pakatan Rakyat yang ditandatangani menepati janji rasmi yang diikrar untuk melangsungkan sebuah perjuangan mewakili rakyat berbilang kaum dan berbeza agama ke arah sebuah negara baru yang adil, telus, saksama, bertoleransi dan berkebajikan.

“Majlis Sabtu lalu adalah perlangsungan ijab kabul pernikahan politik yang mana telah membuatkan musuh-musuh politik Pakatan Rakyat yang selama ini sibuk menggoda dengan adu domba dan taktik sokong membawa rebah, hari ini menangis dan meraung kepedihan kerana kecewa akibat kegagalan memecah-belah kesatuan kami,” kata beliau.

Gambaran yang diberi oleh konvensyen pertama Pakatan Rakyat ini, menurut Nasrudin, adalah persefahaman antara parti-parti dalam Pakatan Rakyat sudah semakin matang dan erat, lantas menolak segala tuduhan dan tanggapan yang dibawa oleh media pro-Barisan Nasional yang kononnya pemimpin ketiga-tiga parti ini asyik bercakaran.

Tegas Nasrudin, “semua anggota dari ketiga-tiga parti bertanggungjawab selepas ini untuk meneruskan kejayaan konvensyen dengan memainkan peranan memahamkan rakyat tentang apakah itu dokumen oren yang telah ditandatangani oleh ketiga-tiga pemimpin Pakatan Rakyat ini.”

Nasrudin juga mahu anggota parti supaya dari sekarang bijak dalam menguruskan maklumat untuk menghalang parti-parti dari terheret lagi ke kancah polemik dan krisis ciptaan sendiri.

Apalagi, jelas Nasrudin, Umno dan BN sudah tentu sedang merasa sangat cemburu dan sakit hati kerana pada masa yang sama parti-parti politik komponen BN sedang tenggelam timbul bercakaran dan saling menyalahkan sesama sendiri.

"Harimau luka selalunya akan menjadi semakin ganas," katanya.

Beliau menambah untuk menjayakan gagasan Pakatan Rakyat, tiada siapapun dari anggota parti yang mengimpikan kejayaannya boleh lagi tidur lena atau sekadar menempel di tepi gelanggang.

Pemuda PAS bersedia mengorak langkah seterusnya bagi memarakkan nyalaan obor Pakatan Rakyat, sepatah kata Nasrudin.

"Tunggulah pula selepas ini Konvensyen Pemuda Pakatan Rakyat memeterai sejarah,” katanya.

themalaysianinsider

Rasuah sebabkan Umno tidak sesuai lagi untuk perintah negara - Mohamad Sabu

(Gambar: Mohamad Sabu disambut ketika menghadiri majlis makan malam anjuran PKR Padang Serai)

"Makin banyak perkara rasuah dan korupsi yang kita utarakan semakin banyak lagi berlakunya amalan tersebut dikalangan pemimpin Umno dan BN.

"Bagi mereka adalah suatu perkara yang tidak pelik apabila memperkatakan rasuah yang menjadi amalan kepada kepimpinan mereka.

"Sepatutnya sebagai pemimpin dalam kerajaan yang memerintah mereka harus peka dan berasa malu dengan amalan rasuah yang menjadi sebahagian daripada hidup kepimpinan mereka. Tetapi ini tidak membawa apa-apa makna kepada mereka,"



Ali Hashim

KULIM, 21 Dis : Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamad Sabu menegaskan bahawa Umno dan Barisan Nasional(BN) sudah tidak sesuai lagi untuk meneruskan pemerintahan mereka dalam negara ini.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis makan malam anjuran Parti Keadilan Rakyat (PKR) Parlimen Padang Serai di Kelab Rekreasi Cina, Kulim, Kedah.

Menurut Mohamad lagi, dengan pemerintahan Umno dan BN rakyat bukan saja menjadi mangsa kepada bentuk pemerintahan yang tidak adil dilaksanakan oleh mereka malah amalan korupsi yang sekian lama diperdebatkan oleh rakyat tidak menjadi satu perkara yang pelik kepada mereka.

(Gambar: Mohamad Sabu disambut ketika menghadiri majlis makan malam anjuran PKR Padang Serai)

"Makin banyak perkara rasuah dan korupsi yang kita utarakan semakin banyak lagi berlakunya amalan tersebut dikalangan pemimpin Umno dan BN.

"Bagi mereka adalah suatu perkara yang tidak pelik apabila memperkatakan rasuah yang menjadi amalan kepada kepimpinan mereka.

"Sepatutnya sebagai pemimpin dalam kerajaan yang memerintah mereka harus peka dan berasa malu dengan amalan rasuah yang menjadi sebahagian daripada hidup kepimpinan mereka. Tetapi ini tidak membawa apa-apa makna kepada mereka," kata Mohamad.

Menurut beliau lagi oleh kerana itu maka rakyat harus menjadi penentu kepada hidupnya Pakatan Rakyat (PR) dalam era pemerintahan kini dan akan datang.

"Justeru itu rakyat harus memberi dokongan yang kuat kepada PR supaya apa yang menjadi hasrat kita bagi mengembalikan keadilan kepada rakyat dan mengenyahkan amalan rasuah dan korupsi yang menjadi amalan kepada Umno dan BN dapat kita hapuskan," tambahnya.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Chua Jui Meng, Ahli Parlimen Padang Serai, N.Gobalakrishnan dan kepimpinan PAS, DAP dan PKR Kedah.

PR akan realisasikan jalan ke Putrajaya - Chua Jui Meng

Harakahdaily

Anwar dapat anugerah 'pingat demokrasi' antarabangsa

Harakahdaily

SHAH ALAM, 21 Dis : Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dianugerahkan 'pingat demokrasi' oleh Persatuan Antarabangsa Konsultan Politik (IAPC) dalam satu majlis di Shah Alam Convention Centre, dekat sini petang ini.

IAPC ditubuhkan pada tahun 1968. Ia adalah organisasi global yang profesional politik dan penasihat urusan awam yang didedikasikan untuk menggalakkan demokrasi di seluruh dunia.

Ia dianggotai oleh ahli daripada lebih 20 negara di Amerika Utara dan Selatan, Eropah, Asia, Afrika dan Australia.

Menurut satu kenyataan IAPC, setiap tahun, IAPC akan menganugerahkan pingat penghargaan kepada individu atau pertubuhan yang melambangkan komitmen untuk demokrasi melalui ucapan dan tindakan mereka.

Sebelum ini, antara penerima pingat ini adalah Morgan Tsvangerai dari Afrika Selatan dan Martin Lee dari Hong Kong.

Pada tahun 2009 Anwar Ibrahim dipilih sebagai penerima pingat ini kerana keberanian dan usaha yang tak henti-henti beliau untuk memulihkan kerajaan demokratik di Malaysia, kata kenyataan itu.


Setelah menghabiskan satu dekad berpolitik, tsunami politik berlaku di Malaysia iaitu pilihanraya umum Mac 2008. Ia telah selamanya mengubah lanskap politik Malaysia.

"Ada akauntabiliti yang lebih besar dalam kerajaan dan sudah ada kebangkitan umum dalam masyarakat Malaysia dan menemukan kembali kekuatan suara mereka," kata kenyataan itu.

Selepas ditangkap, Anwar Ibrahim kembali ke Parlimen apabila beliau menang dalam pilihan raya kecil di Permatang Pauh, Pulau Pinang pada Ogos 2008. Dia kemudiannya dilantik sebagai ketua pembangkang di parlimen Malaysia.

"Dia terus menjadi suara terkemuka untuk pembaharuan dan perubahan di negara ini," kata kenyataan itu.

Foreign Policy Magazine menamakan beliau salah seorang 100 pemikir global dan Royal Institute of Strategic Studies memasukkan beliau dalam senarai daripada 500 umat Islam paling berpengaruh di dunia.

Tokoh yang akan menyampaikan penghargaan untuk Anwar Ibrahim petang ini adalah Ahli Majlis IAPC, Robert Murdoch.

PDRM akan mohon perintah ekstradisi terhadap RPK

‘‘Kita sedang siasat laporan Mingguan Malaysia hari ini dan meminta bantuan Interpol serta kerajaan British.

‘‘Jika benar dia (Raja Petra) berada di sana, kita akan minta bantuan kerajaan British mendapatkan perintah ekstradisi kerana dia perlu menghadiri perbicaraan di mahkamah,’’


sumber dari UtusanMeloya


Polis mohon ekstradisi

Oleh ASSIM HASSAN
assim.hassan@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 20 Dis – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memohon perintah ekstradisi terhadap pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Raja Kamaruddin (gambar) jika benar dia kini berada di sebuah pangsapuri mewah di London.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, pihaknya tidak akan lepas pandang mengenai laporan tersebut dan kini sedang menyiasat sama ada benar Raja Petra sedang bersembunyi di negara itu.

Menurut beliau, pihaknya turut meminta bantuan polis antarabangsa (Interpol) dan kerajaan British bagi memastikan dakwaan itu benar.

‘‘Kita sedang siasat laporan Mingguan Malaysia hari ini dan meminta bantuan Interpol serta kerajaan British.

‘‘Jika benar dia (Raja Petra) berada di sana, kita akan minta bantuan kerajaan British mendapatkan perintah ekstradisi kerana dia perlu menghadiri perbicaraan di mahkamah,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Mingguan Malaysia melaporkan pengendali laman web itu dipercayai bersembunyi di Apartment Trinity Court di Gloucester Bayswater, London.

Menurut sumber, Raja Petra dipercayai menyewa salah sebuah unit di pangsapuri mewah enam tingkat itu sejak menjadi buruan polis, kira-kira lapan bulan lalu.

Pangsapuri terbabit dikategorikan sebagai kediaman mewah. Setiap unitnya mempunyai dua bilik tidur, dua bilik air, dapur dan ruang tamu.