Showing posts with label Sime Darby. Show all posts
Showing posts with label Sime Darby. Show all posts

Friday, December 19, 2008

Boleh sakit jantung bila dengar pasal IJN nak kena jual

BN sudah tentu akan menghadapi laluan yang sukar di Kuala Terengganu.

Pembangkang dengan senang-senang telah mendapat bahan baru untuk menghentam kerajaan Barisan Nasional.

Setelah BN bersusah payah cuba membangkitkan kepercayaan rakyat dengan membentang secara tergesa-gesa dan meluluskan dengan secara segera rang undang-undang mengenai Badan Kehakiman dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah, kita telah dihidangkan dengan kenyataan PM dan TPM yang kerajaan telah bersetuju secara dasarnya untuk menjual pegangan ekuiti milik kerajaan di dalam Institut Jantung Negara kepada konglemerat Sime Darby.

Sime Darby merupakan sebuah syarikat konglemerat besar yang memiliki syarikat-syarikat yang terlibat di dalam pelbagai perniagaan termasuklah perladangan, pembangunan hartanah, automotif, kejuruteraan, kesihatan (healthcare) dan lain-lain. Kumpulan Sime Darby sekarang ini merupakan entiti yang baru sahaja wujud hasil dari penggabungan gergasi-gergasi perladangan di Malaysia milik berkaitan kerajaan (GLC) iaitu Sime Darby, Kumpulan Guthrie dan Golden Hope Plantations. Dari aspek fisikal dan pengurusan, penggabungan tersebut masih lagi melalui jalan yang sukar kerana perbezaan ketara cara pengurusan ketiga-tiga syarikat tersebut.

Penggabungan tersebut amat berbeza dengan penggabungan yang telah dibuat oleh CIMB ke atas Bumiputera-Commerce dan Southern Bank. CIMB merupakan entiti yang dominan dan mempunyai CEO yang dominan (Nazir Razak) yang memastikan semuanya berjalan lancar sebaik sahaja selepas proses penggabungan selesai (post-merger operations). Sebaliknya, ketiga-tiga Sime Darby, Guthrie dan Golden Hope hampir sama kekuatan masing-masing, baik dari segi pengurusan mahu pun CEO masing-masing. Proses pasca penggabungan Sime Darby masih lagi berjalan, dan dikatakan masih belum lancar sepenuhnya. Jika tidak, mengapa pula Gunasegaram yang dahulunya bekerja di The Edge tidak dapat bertahan lama di bahagian Komunikasi Korporat Sime Darby sehingga berhenti dan sekarang ini bekerja di akhbar The Star. Gunasegaram sendiri di dalam artikelnya di Star tidak bersetuju dengan cadangan pengambilalihan IJN oleh Sime Darby. Terdapat juga perberhentian secara mengejut beberapa orang eksekutif kanan Guthrie dan Golden Hope selepas penggabungan tersebut.

Sime Darby juga bukanlah syarikat yang tidak mendapat keuntungan yang besar sehingga memerlukan suntikan aset baru dan berharga seperti IJN. Syarikat tersebut selalu memperolehi keuntungan yang konsisten, dan keuntungan tersebut bertambah pula dengan penggabungan dengan syarikat-syarikat perladangan yang baru selesai.

Sime Darby juga mempunyai hospital mereka sendiri iaitu Sime Darby Medical Centre (dahulunya Subang Jaya Medical Centre atau SJMC). Umum tahu bahawa SJMC amat terkenal dan mempunyai jenama yang baik. Umum juga tahu bahawa SJMC hanya layak untuk golongan orang yang perpendapatan tinggi atau yang bekerja dengan syarikat yang besar. Beberapa syarikat tersenarai telah pun menggugurkan SJMC dari panel perubatan masing-masing kerana caj yang terlalu mahal yang dikenakan oleh SJMC ke atas pesakit-pesakit mereka. Sekiranya syarikat-syarikat besar yang tersenarai di Bursa Saham juga tidak sanggup membayar kos tinggi yang dikenakan oleh SJMC, manakan mampu orang kampung untuk pergi mendapatkan rawatan di SJMC. Manakan mampu orang Kuala Terengganu untuk pergi ke SJMC untuk mendapatkan rawatan pakar di SJMC.

Semuanya kerana SJMC perlu mendapatkan keuntungan yang tinggi untuk dipersembahkan kepada Kumpulan Sime Darby. Maka timbullah beberapa soalan yang perlu difikirkan dan dijawab sekiranya Sime Darby berjaya mengambilalih IJN.

Mampukah Sime Darby mengekalkan kos rawatan di IJN? Masa ingin memetik bunga, kumbang akan menjanjikan segala benda asal sahaja dapat menghisap madu. (Samalah juga dengan Brader Anwar Bin Ibrahim yang asyik menggula-gulakan kaum Cina dan India, serta PAS supaya dapat menjatuhkan kerajaan BN agar Anwar berpeluang untuk jadi Perdana Menteri Malaysia).

Adakah mungkin Sime Darby akan mengekalkan kos rawatan di IJN hanya untuk tempoh masa yang tertentu (mungkin tiga tahun pertama)? Mungkinkah selepas itu Sime Darby akan mengenakan kos rawatan menggunakan ”harga pasaran”? Atau mungkinkah Sime Darby akan mengekalkan kos rawatan di bawah harga pasaran, dan memperolehi pampasan dari kerajaan berupa subsidi bagi memenuhi kehendak kerajaan agar golongan berpendapatan rendah dan sederhana masih mampu untuk ke IJN?

Berapakah kos subsidi yang ditanggung kerajaan selama ini untuk memastikan bahawa kos rawatan di IJN di tahap mampu dibayar? Adakah pampasan subsidi kepada Sime Darby kelak akan menjimatkan kos susbsidi pada pihak kerajaan, serta menjamin kos rawatan di IJN kekal di tahap mampu bayar? Adakah Institut Jantung Sime Darby merupakan cadangan menang-menang?

Mungkinkah akhirnya nanti Sime Darby tidak mampu menanggung kerugian hasil dari pengambilalihan IJN? Mungkinkah nanti Sime Darby ”terpaksa” melupuskan pegangan ekuitinya di dalam IJN kepada pihak ketiga? Adakah mungkin nanti pihak ketiga yang mengambilalih IJN akan berjaya memujuk kerajaan agar membolehkan mereka mengenakan harga kos pasaran untuk terus kekal mencatat keuntungan? Mana ada di dunia ini sebuah syarikat yang menjalankan aktiviti penswastaan yang mahu rugu sepanjangan?

Adakah pengambilalihan IJN oleh Sime Darby merupakan prelude untuk penswastaan kepada pihak ketiga?

Seperti yang dibincang pada awal penulisan ini, Sime Darby merupakan konglemerat gergasi. Ada kemungkinan bahawa fasa kedua bagi Sime Darby adalah proses pemecahan Kumpulan (atau de-merger). Sime Darby mungkin akan berpecah kebeberapa syarikat yang fokus dengan perladangan, pembangunan hartanah, automotif dan kejuruteraan, kesihatan dan lain-lain. Akhirnya nanti, berkemungkinan IJN akan berada bersama-sama pengurusan SJMC. Akhirnya nanti, sepertimana SJMC, hanya golongan yang berpendapatan tinggi sahaja yang mampu mendapatkan rawatan di IJN.

Semuanya ini perlu diberi perhatian oleh BN kerana ia merupakan topik baru yang berkemungkinan besar akan dijadikan modal pembangkang semasa proses pilihanraya kecil untuk merebut kerusi Parlimen Kuala Terengganu.

Sementara itu, harapnya tidak ada rakyat Malaysia yang mendapat sakit jantung atas sebab langsung berita penjualan IJN ini.