Showing posts with label FAM. Show all posts
Showing posts with label FAM. Show all posts

Thursday, December 11, 2008

Prestasi Persatuan Kenasepak Malaysia - Apa komen Khairy?

Pasukan bolasepak Malaysia kalah lagi. Yang salah besarnya penjaga gol pasukan kebangsaan, kerana memboloskan gol mudah sehingga menyebabkan Malaysia tewas 2-3 di tangan Vietnam. Malaysia juga tewas 0-3 di tangan Thailand, dan terkeluar dari saingan Piala AFF Suzuki.

Semasa Jurublog masih kecil, pasukan Malaysia agak gah. Pesta Bola Merdeka anjuran Malaysia merupakan salah satu acara utama sukan di negara kita. Mokthtar Dahari, Soh Chin Aun dan Santokh Singh merupakan legenda bolasepak negara yang juga disegani di rantau ini pada masa itu. Mereka melambangkan Bangsa Malaysia, tanpa mengira Melayu, Cina atau India. Kita bersorak bagi pasukan yang mewakili Bangsa Malaysia.

Pasukan bolasepak Malaysia layak untuk bertanding di Sukan Olimpik di Moscow, USSR pada tahun 1980, kali pertama dan terakhir kita layak ke Sukan Olimpik. Tetapi pasukan Malayisa tidak pergi ke Rusia kerana kerajaan Malaysia akur dengan pemboikotan Sukan Olimpik 1980 yang di ketuai oleh Amerika Syarikat.

Pada tahun 1990an, sekurang-kurangnya, kita boleh berbangga dengan prestasi mantap pasukan-pasukan negeri yang bertanding di dalam Piala Malaysia. Liga Perdana juga mengundang peminat yang ramai.

Sekarang ini bolasepak Malaysia amat lesu. Sekiranya kita pergi ke laman web http://www.fam.org.my/, kita akan dapati nama-nama seperti Marlon Alex James (Kedah), Sasa Branezac (UPB MyTeam), Carlos Auturo Caceres (Perak), Hillary Echesa (PDRM) dan Frank Jean Seator (Selangor) sebagai penjaring-penjaring gol terbanyak. Mereka semua bukan pemain pasukan kebangsaan. Pasukan kebangsaan tidak mempunyai pemain yang boleh menjaringkan gol yang banyak di tempat sendiri. Mana mungkin mereka ini akan dapat menjaringkan gol semasa bermain di peringkat antarabangsa? Hendak harapkan penjaga gol sahaja, itulah padahnya ketika kalah dengan Vietnam 0-3.

Tahun lepas, semasa menantu Pak Lah sedang gah, beliau telah mempelopori pasukan MyTeam. Melalui konsep program realiti televisyen, pasukan MyTeam telah dibentuk. Mereka mendapat publisiti yang lebih meluas daripada pasukan Piala Malaysia mahu pun pasukan kebangsaan Malaysia. Pak Lah hanya akan pergi ke pertandingan yang di melibatkan MyTeam, tetapi akan sentiasa sibuk (atau tertidur) sekiranya ada pertandingan yang melibatkan pasukan kebangsaan atau lain-lain pasukan negeri. Begitu juga dengan Menteri Belia dan Sukan.

MyTeam berjaya mendapat tajaan yang banyak, lebih banyak daripada kebanyakan pasukan-pasukan negeri yang jauh lebih baik prestasi mereka masing-masing. MyTeam juga mampu untuk mendapatkan pemain luar negara bagi pasukan mereka untuk bertanding di Liga tempatan.

Sebaik sahaja sebelum pertandingan jawatankuasa EXCO FAM tahun lepas, Pak Lah telah memberi arahan supaya Menteri Kabinet atau Menteri Besar tidak dibenarkan lagi memegang jawatan di dalam persatuan sukan di negara ini, termasuklah FAM. Maka dengan mudah, laluan untuk Khairy terus terbuka luas untuk menduduki kerusi Timbalan Presiden FAM. Kalau tidak kerana Sultan Pahang yang masih lagi kekal sebagai Presiden FAM, mungkin kita dapat menyaksikan Presiden FAM yang paling muda dalam sejarah negara.

Dalam orang ramai yang cynical dengan perlantikan Khairy sebagai Timbalan Presiden FAM, mereka juga berharap agar beliau dapat memperbanyakkan tajaan untuk aktiviti sukan bolasepak negara ini, dan membantu untuk mempertingkatkan prestasi pasukan bolasepak negara. Itu masih belum berlaku.

Kita masih menunggu sentuhan ajaib Khairy. Tetapi FAM tidak boleh menunggu lama. Sekiranya Khairy berjaya memenangi kerusi Ketua Pemuda UMNO, Khairy mahu menjadi Menteri kabinet, dan secara automatik terpaksa pula melepaskan jawatan Timbalan Presiden FAM. Kecualilah Khairy dilantik oleh Najib sebagai Menteri Belia dan Sukan di dalam kabinet bulan Mac 2009 nanti. Menteri Belia dan Sukan sekarang ini, yang kita nampak, hanya menukar imej diri sendiri dengan menukar nama rasminya dari Ismail Sabri kepada Ismail Sabri Yaakob, kerana mengikut bosnya, Khary Jamaluddin Abu Bakar. Semuanya hendak mengikut Abdullah Ahmad Badawi dan Azlina Othman Said dengan memasukkan nama atuk masing-masing sebagai nama rasmi.

Buat masa ini, kita masih lagi dengan prestasi kelam Persatuan Kenasepak Malaysia. Lihat sahajalah berita mengenai FAM yang disiarkan semasa Khairy telah menjadi Timbalan Presiden FAM. Memalukan, sehingga ESPN pun malu, dan terpaksa meminta maaf.

Utusan Online
ARKIB : 16/02/2008

ESPN minta maaf dengan FAM

KUALA LUMPUR - Gara-gara prestasi merudum skuad bola sepak negara, kewibawaan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) terus dipersendakan.

Terbaru, logo FAM telah diubah suai ke nama 'Persatuan Kenasepak Malaysia' dengan gambar harimaunya seperti sedang tidur sambil kaki belakang sebelah kirinya berbalut cedera.

Lebih memalukan, logo itu telah digunakan oleh saluran sukan ESPN menerusi program secara langsung Sportscenter Asia Rabu lalu sambil tertera nama Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad yang sedang ditemubual menerusi telefon ketika itu.

Penggunaan logo yang tidak tepat itu bukan sahaja memalukan FAM malah ESPN juga yang ternyata tidak peka kerana menggunakan logo yang diambil melalui internet secara membabi-buta tanpa memeriksanya dengan teliti.

Dalam hal ini, bukan hanya ESPN sahaja perlu dipersalahkan malah FAM turut sama perlu bertanggung jawab ekoran laman sesawang badan induk bola sepak negara itu sendiri juga tidak berfungsi dengan baik sejak sekian lama.

Kemungkinan akibat laman sesawang FAM yang sedang dalam penstrukturan semula itu menyebabkan ESPN mencari alternatif lain untuk mencari logo berkenaan.

Menerusi carian Internet Google dengan menaip 'fam logo', satu laman sesawang dapat dicapai yang memaparkan logo yang digunakan ESPN itu.

Laman sesawang itu turut memberitahu logo berkenaan adalah 'logo baru FAM'.

Seorang pembaca turut menghantar sekeping gambar menerusi e-mel kepada Utusan Malaysia kelmarin yang dirakamkan di peti televisyennya ketika siaran itu berlangsung dan menyifatkan ia amat memalukan.

Sementara itu, Azzuddin ketika dihubungi berkata, pejabat ESPN Singapura telah memohon di atas kesilapan menyiarkan logo berkenaan.

"ESPN telah memohon maaf berulang kali secara langsung di televisyen pada malam itu kerana tersilap menyiarkan logo FAM.

"Namun, saya tidak dapat mengulas lanjut mengenai logo FAM yang dipersendakan selagi belum melihatnya,'' katanya.

Sementara itu, beliau turut memberitahu, laman sesawang baru FAM akan dilancarkan semula pada 1 Mac ini.

Ditanya mengapa FAM mengambil masa untuk menyiapkan laman sesawang baru, Azzudin berkata: "FAM mengambil masa untuk menyiap dan mengemas kini maklumat terkini kerana tidak mahu kesilapan dan kelemahan yang berlaku dahulu terus berulang,'' jelasnya.