Maklumat Lajnah

~ Perhatian !! ~

BIAR ISLAM JADI SANJUNGAN,ILMU JADI PENYULUH KEHIDUPAN

~Jom Cari Redha Allah~

~Jom Cari Redha Allah~

Wednesday, October 29, 2008

Pedoman Hidup...

-ADU DOMBA DAN FITNAH-

Bak kata pepatah, kerana pulut santan binasa kerana mulut badan binasa.

Daripada Sahal bin Sa’ad, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa menjamin untukku apa yang ada di antara kedua dagunya (lisan) dan apa yang ada di antara kedua kakinya (kemaluan) maka aku akan menjamin untuknya syurga.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Hadis di atas menyatakan bahawa Rasulullah telah menjanjikan syurga bagi sesiapa yang menjaga lisannya.

Sesungguhnya nilai seseorang itu terletak pada lisannya. Jika baik lisannya maka baiklah nilainya dan begitulah sebaliknya.

Salah satu bentuk kejahatan lisan adalah namimah, iaitu mengadu domba yang berpunca daripada kebencian dan permusuhan. Kita mungkin dapat menjaga lisan daripada mengadu domba tetapi sering kali terpengaruh apabila ada yang memulakannya.

Al-Baghawi menjelaskan bahawa mengadu domba adalah mengutip suatu perkataan dengan tujuan mengadu mengenai seseorang kepada orang lain.

Banyak dalil al-Quran dan sunnah menjelaskan bahawa mengadu domba adalah haram seperti firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan janganlah kamu ikuti setiap orang yang banyak bersumpah lagi hina yang banyak mencela yang ke sana ke mari menghambur fitnah.” (Surah al-Qalam, ayat 10-11)

Diriwayatkan Hudzaifah hadis yang bermaksud: “Tidak akan masuk syurga bagi al-Qattat (tukang adu domba).” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Imam An-Nawawi berkata: “Dan setiap orang yang disampaikan kepadanya perkataan namimah, dikatakan kepadanya: Fulan telah berkata mengenaimu begini. Atau melakukan ini dan ini terhadapmu, maka hendaklah ia melakukan enam perkara berikut:

l Tidak membenarkan perkataannya kerana tukang namimah adalah orang fasik

l Mencegahnya daripada perbuatan itu, menasihatinya dan mencela perbuatannya.

l Membencinya kerana Allah SWT, kerana ia adalah orang yang dibenci di sisi Allah SWT. Maka wajib membenci orang yang dibenci Allah SWT.

l Tidak berprasangka buruk kepada saudaranya yang diceritakan mengenainya oleh pelaku namimah.

l Tidak mencari-cari aib saudaranya kerana namimah yang didengarnya.

l Tidak membiarkan dirinya ikut melakukan namimah, sedangkan dirinya sendiri melarangnya.

Maknanya, jangan pula ia menyebarkan perkataan namimah itu dengan mengatakan, “Fulan telah menyampaikan padaku begini dan begini.” Dengan begitu ia juga menjadi tukang namimah kerana melakukan perkara yang dilarang.

Tidak semua bentuk berita mengenai perkataan atau perbuatan orang dikatakan namimah. Jika ada unsur kemaslahatan di dalamnya maka apa yang dikhabarkan itu tidak termasuk sebagai namimah.

Contohnya, melaporkan pada pemerintah mengenai orang yang mahu berbuat kerosakan, orang yang mahu melakukan aniaya terhadap orang lain.

An-Nawawi berkata: “Jika ada kepentingan menyampaikan namimah, maka tidak ada halangan menyampaikannya. Misalnya jika ia menyampaikan kepada seseorang bahawa ada orang yang ingin mencelakakan diri atau keluarga atau hartanya.”

Sesungguhnya menyebarkan berita menjadi tercela apabila ia bertujuan merosak. Tetapi apabila tujuannya memberi nasihat, mencari kebenaran dan menjauhi atau mencegah gangguan maka ia dibenarkan.

Akan tetapi ada kalanya sangat sulit untuk membezakan keduanya. Meskipun sudah berhati-hati, ada kala niat dalam hati berubah ketika melakukannya sehingga bagi yang khuatir adalah lebih baik untuk menahan diri daripada menyebarkan berita.

Imam Asy-Syafi’l berkata, "Seseorang selayaknya memikirkan apa yang hendak diucapkannya. Dan hendaklah dia membayangkan akibatnya. Jika tampak baginya bahawa ucapannya akan benar-benar mendatangkan kebaikan tanpa menimbulkan kerosakan serta tidak menjerumuskan ke dalam larangan, maka dia boleh mengucapkannya. Jika sebaliknya, maka lebih baik dia diam."

Oleh itu, berusaha dan bersungguhlah untuk menjaga lisan dan menahannya daripada perkataan yang tidak berguna, apalagi perkataan yang kerananya saudara kita disakiti dan dizalimi. Sesungguhnya, mulut seorang mukmin tidak akan berkata kecuali yang baik.

Semoga Allah SWT selalu melindungi kita daripada kejahatan lisan dan tidak memasukkan kita ke dalam golongan manusia yang rugi di akhirat kerana lisan yang tidak terjaga.

~Ar-ruhul Jadid~

No comments: