Bagi subjek Forensic Medicine untuk minggu ini dan beberapa minggu yang lepas, para pelajar 3rd Term di International Medical School, Bangalore mempelajari topik Thanatology atau dari sudut bahasanya membawa maksud a branch of science that deals with the study of death. Ya, belajar tentang kematian; khususnya perubahan fizikal yang berlaku terhadap mayat atau the dead body. Ketika di dewan lecture kami juga berpeluang untuk menonton satu tayangan video bedah sisat atau Autopsy ke atas mayat seorang wanita yang mati akibat dicekik atau strangulation.
Video selama satu jam itu, sangatlah menyentuh perasaan saya. Prosedur pertama adalah kulit akan ditoreh dari dagu si mati sehingga ke ari-ari. Seterusnya seluruh organ-organ penting dikeluarkan secara berperingkat-peringkat untuk pemeriksaan serta untuk mengenalpasti sebab dan cara kematian. Yang saya pasti, prosedur yang mempunyai signifikasinya dari aspek undang-undang tersebut, amat menyakitkan mayat tersebut.
“Mematahkan tulang mayat itu seperti mematahkan tulang orang yang hidup” -
[Hadith riwayat Ahmad, Abu Daud, Ibn Majah dari A'isyah sebagaimana yg disebut didalam Al-Jami' Al-Saghir]
Walaupun tempoh setahun menghadap dan mendisect mayat bagi subjek Anatomy sewaktu di first year sedikit sebanyak telah memberi pendedahan kepada saya tentang post mortem atau autopsy, tapi kali ini peluang menonton tayangan video tersebut telah banyak membuatkan saya berfikir, dan saya juga ingin mengajak anda semua berfikir juga.
Bagaimana agaknya keadaan kita setelah kita meninggal kelak? Adakah ada orang akan kisah mengenai kita? Apa yang kita boleh bawa bersama? Kita hanya tak lain tak bukan, sekadar sekujur tubuh!Tiada lagi pakaian Zara, NewYorkers mahupun Adidas atau Nike yang membaluti tubuh. Tiada lagi suara lunak merdu yang selalu kita keluarkan ketika bergelak ketawa bersama rakan-rakan. Tiada lagi tubuh badan yang sihat berkejar-kejaran berebut bola.
Sekadar sekujur tubuh, tiada bezanya kau dan aku. Maka kenapa perlu kita banggakan dengan apa yang kita ada sekarang, sedangkan masih wujud keberangkalian pada esok harinya kita hanyalah akan tinggal sekadar sekujur tubuh yang kaku? Rasulullah berpesan, mafhumnya, setelah terpisah roh dan jasad seorang Muslim itu, maka terputuslah sudah semua amalannya di dunia. Dia tidak lagi akan dapat berbuat pahala. Tiada lagi dipertanggungjawabkan atas dosa. Kecuali, beberapa perkara.
Pertamanya, sedekah jariah.
Sedekah jariah bermaksud sedekah yang membawa manfaat yang berterusan selagi mana apa yang disedekahkan itu digunakan. Seperti sedekah kepada masjid, surau dan sebagainya. Kedua, ilmu yang bermanfaat serta doa dari anak yang soleh. Namun ada satu lagi hadis yang penting juga, mengenai “masa depan” kita: Imam Ahmad, Muslim, Tirmizi, Nasai, Abu Daud dan Ibnu Majah meriwayatkan daripada Jarir r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Barangsiapa memulakan jalan yang baik dalam Islam, maka baginya pahalanya dan juga pahala orang yang beramal dengannya selepasnya tanpa dikurangi daripada pahala mereka sedikitpun juga, dan barangsiapa memulakan jalan yang buruk dalam Islam, maka atasnya dosanya dan juga dosa orang yang beramal dengannya tanpa dikurangi daripada dosa mereka sedikitpun juga”.
Siapa anda sesudah anda?
“Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.” Satu lagi persoalan yang bermain di minda saya sepanjang berurusan dengan mayat - “Agaknya setelah aku mati nanti, orang akan ingat aku sebagai siapa?”Secara ringkasnya, bolehlah anda fahami, "Apakah yang orang akan ingat mengenai anda setelah anda pergi nanti?". Persoalan yang hypothetical, tetapi membawa minda ke satu lagi persoalan iaitu “Adakah pentingnya anda kepada dunia atau masyarakat sekeliling anda?”.
Jika kita bertanyakan kepada seorang kanak-kanak berumur 10 tahun, “Apa manfaat yang boleh dibuat dari pokok kelapa kepada manusia?”, maka kanak-kanak tersebut boleh mendatangkan bermacam jawapan - batangnya dibuat titi, pelepahnya dibuat penyapu, airnya dibuat minuman dan pelbagai lagi. Sekarang mari kita tanyakan soalan yang lebih kurang serupa kepada diri kita sendiri, “Apa manfaat yang aku bawa kepada umat manusia?” .
“Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia yang lain.” [Shahih al-Jami' no 3289 (Hasan).]
Wahai diriku sendiri, adakah kau sekadar ingin diingati sebagai seorang remaja Muslim yang sering leka dalam kehidupannya. Remaja yang hidupnya hanya untuk dirinya sendiri. Makannya untuk kenyangnya. Tidurnya untuk nyenyaknya. Apakah manfaat yang telah engkau bawa kepada rakan-rakanmu? Saudara-maramu? Umat Islam selainnya?
Bagaimana pula nasibku di akhirat nanti? Apa penyaksian dari seluruh makhluk di sekelilingku, tentang ku di hadapan Allah di Mahsyar kelak? Di mana bukan sekadar manusia, bahkan mata, telinga, anggota badan, binatang, tanah, pokok, bahkan seluruh alam akan menjadi saksi selama hayatku di dunia.
Marilah kita sama-sama muhasabah, apakah kesan kehidupan kita kepada orang lain. Adakah kita ini pencetus kepada kemungkaran orang lain dengan mengajak rakan-rakan menghisap rokok, atau mengajak pasangan keluar dating dan sebagainya?
...Dan barangsiapa memulakan jalan yang buruk dalam Islam, maka atasnya dosanya dan juga dosa orang yang beramal dengannya tanpa dikurangi daripada dosa mereka sedikitpun juga...!
Kita tak perlu menjadi seorang yang hebat untuk mendatangkan manfaat kepada orang lain. Tidak perlu bergelar seorang doktor, tidak perlu title seorang ustaz. Cukup sekadar mempamerkan sahsiah Islam, dan menjauhi perkara-perkara yang mencemarkan nama Islam, itu pun sudah cukup dikira sebagai manfaat kepada orang lain.
...Dan janganlah orang-orang yang mempunyai kelebihan dan kelapangan di antara kamu bersumpah bahwa mereka (tidak) akan memberi (bantuan) kepada kaum kerabat(nya), orang-orang yang miskin, dan orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah, dan hendaklah mereka mema’afkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak ingin Allah mengampunimu? Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang (QS. an-Nur:22)
Ya Allah, Ya Raheem, Tuhan Yang Maha luas rahmatNya, izinkan kami juga pulang mengadapMu, dalam keadaan yang paling mulia dan di bawah keredhaanMu, dalam ingatanku yang terbaik mengingatiMu.Kurniakan kami pengakhiran yang terbaik, dan ganjaran yang terbaik, yakni nikmat syurgaMu.
Cukuplah mati sebagai motivasi terbaik hidup ini.
Amirah Saryati,
III Term,
International Medical School, Bangalore.
terbaiklah mira!!
*reflect*
mari berubah!!!
=D
alhamdulillah...
sampai jugak hajat hampa nak post article ek!!!
org kata nak ingat mati kena selalu ziarah org yang nak dikebumikan...
tapi berapa byk je la peluang yang kita ada nak tgk orang kena kebumi ek??? huhu
thanks for sharing this article..
marilah kita sama2 saling mengingati~