Thursday, September 30, 2010

:: Ummi Berusaha Menggemokkan Alisya...

Hati ibu mana yang puas dan mana kan ada yang tidak gundah-gulana tatkala si anak tidak 'sebaik' yang diharapkan. Sedangkan si anak terluka kecil pun sudah mendatangkan kerisauan bukan kepalang kepada si ibu, inikan pula keadaan Alisya yang semakin kurang memuaskan hati aku.

Mungkin aku tidak menceritakan se-detail mana apa yang ku lakukan bersama anak ini di rumah, latihan bagaimanakah yang ku praktikkan setiap hari untuknya, stimulate yang bagaimanakah untuk anak ini tidak ku rungkaikan di sini. Mungkin itu semua masih tidak mencukupi. Mungkin juga tidak sebesar mana rangsangan itu untuk Alisya. Atau mungkin juga tidak sebagus ibu yang lain. Namun, tidak bererti aku hanya duduk tersimpuh menunggu 'takdir' dan azimat yang besar berlaku ke atas Alisya. Aku juga mencuba sedaya mungkin untuk membantu memulihkan keadaan anak, agar lebih baik dari hari ini. Apa yang ingin ku kongsikan, Alisya semakin kurus... semakin kudut, semakin melonjang. Terus-terang, aku rindu sangat akan keadaan Alisya ketika dia menembam bagai dipam-pam!

Alisya ketika zaman amukannya.
Kamok-kamok pon, badan bagaikan kueh pau!


Bukan tidak diberi makan yang cukup, tapi aku sendiri tidak pasti manakah silapnya. Aku akui, Alisya tidak boleh untuk disuapkan nasi hanya dalam sepuluh minit, malah anak ini pandai memilih 'tangan' yang menyuapnya. Umminya sendiri mengambil masa lebih setengah jam untuk memberi Alisya makan. Tapi itu bukan alasan, sekiranya aku bercuti... aku akan pastikan Alisya makan semangkuk habis. Pagi akan diberi sarapan biskut bercampur nestum, kemudian tengah hari akan diberi nasi hancur atau bubur yang diblend separuh halus. Alisya juga tidak boleh untuk makan setiap hari, pasti beraknya menjadi keras lalu berdarah apabila meneran. Kesian anak ummi.


Zaman nih, Alisya tidaklah kerap makan.
Akan tetapi masih berisi badannya. Bestkan?



Perihal susunya pula, kebelakangan nih... Alisya tidak mahu menyusu sekerap dan sebanyak mana. Jika 5 oz yang ku bancuh, yang jalan hanya 2 oz atau 3 oz sahaja. Jika dulu, Alisya mampu menghabiskan 8 oz sekali gus... Buntu! Lalu aku dan abang bertekad untuk menukar sahaja perisa susu Alisya. Mamex Gold Soya... ini yang ku cuba berikan kepada Alisya sekarang. Alhamdulillah, anak ini menerima sebaik mungkin. Orang kata, beri anak minum soya lebih baik, lebih-lebih lagi anak seperti Alisya yang sedia maklum otaknya mengalami kecederaan yang serius! Ketika dia masih baby, aku pernah cuba untuk memberi susu perisa soya ini, namun diluek-kannya. Terus merajuk, barangkali ketika itu memang tekaknya tidak boleh menerima susu soya. Hari ini, aku lega kerana Alisya serasi dengan Mamex Gold Soya. Tapi tidaklah aku bergantung dengan susu barunya ini untuk memulihakan otaknya. Mana mungkin? Masih perlu dirangsang, masih perlu dilatih. Masih perlu diberi pelbagai supplement untuk kebaikan Alisya. Ouuh.. berkaitan supplementnya, Ayu ada memberikan Alisya Carborie. Katanya untuk bantuan menambahkan berat badan. Ina sudah terlebih dahulu mencubanya kepada Nabila, hasilnya memang nampak Nabila makin berisi. Harapnya, Alisya juga akan turut naik berat badannya. Biarlah ummi dan abi 'patah' tangan mendukung kamu, asalkan Alisya menembam semula. Sungguh ummi rindu akan susuk badan kamu yang montok itu!


Ummi berdoa agar zaman kegemilangan
kegemukan anak ummi, kembali semula!



Jauh di sudut hati, aku memang risau akan keadaan Alisya yang semakin 'lemah' dan seperti ada rasa 'frust' menyelubungi diri. Abang? Lebih frust berbanding aku. Ya, mungkin aku tidak secekap ibu yang lain, mungkin masih tidak banyak latihan sewajarnya untuk Alisya. Semoga masih sempat untuk aku melakukan sesuatu 'perubahan' yang besar ke atas anak ku ini. Doaku moga Allah memberkati usaha kami. Aku benar-benar risau melihat keadaan kaki Alisya yang semakin keding dan melurus.

Sebalik itu, Alisya makin kerap tersenyum. Jika dulu, 3 bulan sekali nak tengok anak ini mengukirkan senyuman pun payah! Bilakah agaknya Alisya akan terkekek-kekek gelak seperti kawan-kawannya? Aduh, tentu tak senang duduk di ofis bila masa itu tiba, tak sabar rasa di hati nak pulang melihat gelak-tawa anak kan? Alisya juga makin banyak merenung ke anak mata ummi. Wallahualam, adakala renungannya seakan mahu membisikkan sesuatu, adakala seperti merenung penuh makna, adakala seperti renungan kosong. Macam mana nak tahu Alisya nampak ummi dan abi yerk?


Seberat mana kamu, segemok mana anak ummi...
ummi tetap tak penat mengendong kamu!
(Alisya hari ini... makin susut kan? Risaulah ummi...)



** Alisya, maafkan ummi! Maafkan ummi jika kamu ada terasa seperti ummi 'abaikan' kamu! Ummi mahu melihat kamu berupaya menguruskan diri! Ummi mahu kamu terus menembam! Itu sudah memadai bagi ummi... Tercapaikah?