The difference is that a statesman thinks he belongs to the State, and a politician thinks the State belongs to him
Showing posts with label Malaysiaku. Show all posts
Showing posts with label Malaysiaku. Show all posts
Monday, May 23, 2011
Malaysiaku : Utopiakah sebuah Negara Islam?
Apabila Khilafah Turki Uthmaniyah runtuh pada tahun 1924, para ulama dan sarjana Islam mencari-cari formula baru sebagai alternatif atau 'ganti' kepada khilafah. Pada ketika inilah wujud istilah 'Negara Islam' yang awalnya digagaskan oleh Rashid Ridha, tokoh islah pada zaman tersebut.
Para Fuqaha' mensyaratkan dua asas penting dalam sesebuah negara Islam iaitu melaksanakan undang-undang Islam serta adanya kekuasaan dan ketenteraan milik orang Islam. Dr. Rumaizuddin Ghazali berpendapat selain daripada kedua syarat tersebut, umat Islam juga bebas mengamalkan ajaran Islam tanpa gangguan.
Walaubagaimanapun definisi dan syarat-syarat bagi sesebuah negara Islam ini tidak disepakati oleh para ulama'. Justeru definisi bagi sebuah negara Islam cenderung berbentuk 'ijtihadi' atau termasuk dalam perkara yang boleh diijtihad kerana tidak wujud nas yang qat'ie dalam menerangkannya.
Malaysia negara Islam?
Untuk mengklasifikasikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam sebenarnya agak rumit. Dari satu sisi, Malaysia dilihat memenuhi beberapa syarat yang disebutkan oleh beberapa ulama' dalam perbahasan negara Islam.
Malaysia mempunyai majoriti penduduk yang beragama Islam di mana mereka bebas mempraktik syariat Islam tanpa gangguan. Negara ini juga diperintah oleh pemimpin yang beragama Islam. Malah, kita menerima undang-undang Islam untuk digunapakai dan dilaksanakan di bawah bidangkuasa kerajaan negeri.
Jadi mengapa ada sesetengah pihak berpendapat Malaysia masih tidak menepati syarat Negara Islam? Pada pandangan saya, hal ini disebabkan praktik Perlembagaan Malaysia yang tidak menggunapakai syariat Islam secara keseluruhannya. Pakar pelembagaan, Prof Abdul Aziz Bari dalam kertas kerjanya mengakui bahawa dari segi kuantiti memang benar peruntukan Islam itu kecil dan disebut secara minimum.
Negara Islam Malaysia sebuah Utopia?
Namun, faktor tidak wujud pelaksanaan syariat dan undang-undang Islam secara menyeluruh tidak boleh dijadikan alasan untuk kita bertindak secara ekstrem menuntutnya tanpa memberikan perhatian kepada konteks dan realiti negara Malaysia.
Pada pandangan saya, Negara Islam Malaysia bukanlah sebuah utopia dan ia tidak patut ditanggapi secara pesimis. Apa yang perlu diberi keutamaan ialah untuk bekerja ke arah pelaksanaan negara Islam yang ideal dalam konteks Malaysia.
Negara Islam Malaysia yang ideal ini perlulah mengambil kira latarbelakang dan ciri-ciri negara Malaysia yang antaranya mempunyai komposisi masyarakat yang pelbagai. Kepelbagaian ini dilihat dari aspek keagamaan, etnik, kebudayaan dan lain-lain.
Kemampuan masyarakat Islam di Malaysia juga perlu diambil kira. Apa yang saya maksudkan dengan kemampuan ini ialah antaranya tahap pemahaman mereka terhadap agama islam dan bagaimana praktikal pemahaman mereka di dalam kehidupan seharian.
Pertimbangkan maslahah yang lebih utama
Kenyataan di atas bukanlah bermaksud saya menganggap negara Islam adalah sebuah maslahah yang tidak penting. Tetapi maslahah pembaikan masyarakat Islam serta usaha mendapatkan sokongan masyarakat bukan Islam adalah lebih utama.
Di samping itu, tidak salah untuk kita memandang perlembagaan Malaysia dengan sisi pandang yang positif. Umat Islam boleh memanfaatkan peruntukan-peruntukan yang memberi manfaat kepada umat Islam dan masyarakat keseluruhannya.
Masturah Abu Bakar
Sains Politik Islam
Thursday, May 19, 2011
Malaysiaku : Tayangan sampah versi Malaysia
Marah ni.. Grrrr! |
Jika televisyen boleh bersuara atas pilihan sendiri (bukan disebabkan rancangan yang sudah dijadual) saya pasti kita semua akan pengsan mendengar jeritan dan maki hamunnya. Saya rasa jika tv diberi pilihan, mesti sudah lama dia resign dari membebani pundak dengan tanggungjawab dan fitnah.
Sebab apa saya berfikir begitu?
Kerana rancangan tv di Malaysia sudah semakin bertambah-tambah-tambah melampau. Maaf kerana tatabahasa yang salah, tapi ini saja yang dapat menggambarkan realiti sebenar hiburan melampau di Malaysia.
Isu ini bukan isu baru. Tapi isu ini adalah isu lama yang tidak ada penyelesaian. Ditambah pula dengan penerbit-pengarah yang meletakkan otak di lutut, bukannya di kepala. Ya, ia menambah barah yang parah!
Tatkala negara-negara yang lain sibuk menerbitkan filem yang sarat dengan gagasan pemikiran dan budaya, Malaysia masih terkapai-kapai mencari identiti di samping asyik meniru hasil usaha orang. Penerbitan, filem dan drama di Malaysia menjadi karya picisan yang layak saja dibakulsampahkan.
Kenapa negara membangun seperti Malaysia masih memilih jalan-jalan yang merosakkan dalam membangunkan negara dan anak bangsa? Mengapa idea sekularisme, hegemoni budaya Barat, doktrin hedonisme masih di jaja di negara ini?
Melihat iklan saja membuatkan kita mual, apatah lagi mahu menghadap berjam-jam. (Perkara yang paling membuatkan darah hingga naik ke kepala adalah : DIARI AKADEMI FANTASIA yang dirakamkan di PUSAT BELI BELAH! Formula jijik apakah ini?)
Apalah nasib anak bangsa kita. Sudahlah persekitaran sudah memberi pengaruh buruk, kembali ke rumah juga mendapat tayangan mata dan halwa telinga yang tidak ubah seperti sampah. Lalu apakah lagi jalur yang bermanfaat buat mendidik anak bangsa abad ini?
Oh Malaysiaku!
Rintih anak muda,
Masturah Abu Bakar
Subscribe to:
Posts (Atom)