Aug 25, 2011

Hari Raya secara Islami?

Oleh: Dr. Mohd Asri Zainul Abidin

Sepanjang Ramadhan sehingga kini Syawwal, berbagai soalan dihantar kepada saya berkaitan dengan hukam-hakam itu dan ini. Saya sering katakan, pada asasnya Islam begitu luas dalam soal kehidupan umum atau muamalat, tetapi ketat dalam soal ibadah.

Ertinya, dalam soal kehidupan Islam membuka pintu keharusan, atau keizinan seluas-luasnya sehinggalah adanya dalil dari al-Quran atau Sunnah yang melarangnya. Jika dikaitkan dengan hariraya, maka soalan berhubung dengan hukum menghantar kad raya, atau email raya, membuat ketupat dan rendang, dodol dan lemang, atau kena pakai baju melayu atau jubah dan seumpamanya adakah bid’ah atau dibolehkan?

Sudah pasti itu semua termasuk dalam urusan umum kehidupan yang mana kreativiti manusia untuk hidup dan bergembira diberikan ‘lesen’ yang besar oleh Islam selagi tidak melanggar prinsip-prinsipnya seperti membazir, sombong, menyerupai agama lain secara khusus, memudaratkan diri sendiri atau orang lain, menyakiti fizikal atau mental orang secara langsung dan lain-lain prinsip.

Adapun mengenai ibadah khusus, maka Islam begitu ketat melarang sebarang perkara yang ditokok tambah dalam agama yang akhirnya menghilangkan keaslian agama yang asal. Ia juga mencabar Allah Yang Maha Berhak dalam menentukan syariatNya, juga mencabar Rasulullah s.a.w yang merupakan wakil sah yang tiada lagi rasul selepas baginda dengan cara menambah agama yang telah disampaikan.

Maka, jika dikaitkan dengan hariraya; takbir idil fitri adalah ibadah khas yang tamat selepas solat raya. Maka tidak boleh lagi takbir khas sempena hariraya fitri selepas itu. Demikian solat hariraya, hanyalah pada 1 syawwal, maka tiada lagi solat pada hari kedua, atau ketiga, atau selepas puasa enam. Ini kerana perkara-perkara seperti ini wajib diambil langsung daripada Rasulullah s.a.w dan kita tiada hak membuat edisi tambahan ke atas agama yang telah sempurna ini. Sekalipun tambahan itu nampaknya baik pada zahirnya, namun memberikan kesan yang buruk kepada agama ini di sudut ketulenannya. Apa akan jadi jika semua pihak menambah produk masing-masing ke atas Islam?!

Lihat apa yang berlaku kepada Yahudi dan Kristian, pengikut mereka sudah tidak tahu lagi apakah upacara asal yang dilakukan oleh Nabi Musa a.s. dan Isa a.s. Berbagai-bagai upacara baru dalam gereja mereka. Kemenyan yang diasapkan, loceng yang dibunyikan, muzik yang didendangkan dan berbagai lagi upacara yang akhirnya tidak lagi dapat dibezakan antara arahan wahyu dan tokok tambah pendeta.

Allah menyebut dalam al-Quran: (maksudnya)

“pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu”. (Surah al-Maidah, ayat 3).

Kata al-Imam Malik bin Anas (179H):

“Sesiapa yang mengadakan-adakan perkara baru dalam Islam dan menganggapnya baik maka dia telah mendakwa Muhammad s.a.w. mengkhianati risalah. Ini kerana Allah telah berfirman: (maksudnya) “Pada hari ini aku telah sempurnakan agama kamu”. Apa yang pada hari tersebut tidak menjadi agama, maka dia tidak menjadi agama pada hari ini”. (Al-Syatibi, Al-I’tisam, m.s 35 Beirut: Dar al-Kitab al-‘Arabi).

Main Mercun


- Gambar Hiasan

Ada yang bertanya saya tentang hukum main mercun. Sebenarnya main mercun pada hariraya bukan sahaja di Malaysia, di negara-negara Arab pun sama. Saya kata bahawa di sana ada beberapa perkara yang mesti dijelaskan.

Pertama sekali, tidak boleh sesiapa pun beriktikad bahawa Islam menggalakkan main mercun pada musim raya. Jika kepercayaan ini ada, ia termasuk dalam bid’ah kerana menokok tambah ajaran Islam dengan satu upacara yang dianggap ibadah. Walaupun kepercayaan seperti di tempat kita tiada, namun mesti diperingatkan prinsip ini, kerana perubahan masa dan tempat boleh menyebabkan perubahan kepercayaan dan ibadat.

Kedua, permainan secara umumnya termasuk dalam urusan am kehidupan. Selagi ia tidak memberi mudarat pada diri atau orang lain, maka ia dibolehkan. Mercun yang membawa kepada kecederaan diri atau orang lain adalah haram. Haram itu bertambah apabila adanya arahan pemerintah yang melarang rakyat dari perbuatan tersebut. Ketaatan kepada Ulul Amri dalam perkara yang baik adalah wajib.

Lebih buruk lagi apabila ada yang bermain mercun sehingga mengganggu ketenteraman awam, jamaah yang bersolat di masjid, bayi yang sedang tidur dan seumpamanya. Di negeri-negeri yang bersempadan dengan Thailand seperti Kedah, malam mereka dentuman bagaikan peperangan sedang tercetus.

Nabi s.a.w menyebut dalam hadis:

“Tidak halal bagi seorang muslim membuat muslim lain terkejut”. (Riwayat Abu Daud dan Ahmad, dinilai sahih oleh al-Albani).

Namun jika bunga api atau mercun yang tidak merbahaya dan diizinkan oleh undang-undang, maka tidak menjadi kesalahan untuk bermain sebagai satu aktiviti kegembiraan dalam batasan yang diizinkan.

Kisah Malam Raya


- Gambar Hiasan

Ada isteri bersungut suaminya tiada di rumah pada malam raya. Bahkan suami membantah isterinya yang sibuk menghias rumah dan menyiapkan juadah kerana katanya bahawa disunatkan pada malam Hariraya menunaikan solat Sunat Jibril sebanyak seratus rakaat, dibaca dalam setiap rakaat al-Fatihah dan sebelas kali Surah al-Ikhlas serta beberapa kaifiyyat yang lain. Kononnya fadhilatnya begitu hebat. Saya jawab aduan itu dengan berkata bahawa menghias rumah dan menyediakan makanan untuk hariraya termasuk dalam perkara yang diharuskan, itu adalah urusan umum kehidupan.

Adapun solat berkenaan, seperti kata al-Hafiz Ibn Jauzi (meninggal 597H) dalam karyanya al-Mudu’at : “Tiada syak lagi ia hadis palsu”. Bahkan hadis-hadis tentang menghidupkan malam hariraya berada dalam sekitar status ‘teramat dhaif’ dan ‘palsu’. Bukan tidak boleh beribadah pada malam hariraya, sama seperti setiap malam, beribadah malam tetap disunatkan.

Namun fadilat khusus yang sahih tidak sabit periwayatannya daripada Nabi s.a.w. Maka tidak mengapalah jika suami atau seisi rumah bersiap pada malam hariraya untuk bergembira pada esoknya. Islam itu bak kata Nabi s.a.w:

“Agar Yahudi mengetahui bahawa dalam agama kita ada keluasan. Sesungguhnya aku diutuskan dengan agama yang lurus lagi mudah” (Riwayat Ahmad, dinilai sahih oleh al-Albani).

Puasa Enam


- Gambar Hiasan

Dalam laman web saya Minda Tajdid (drmaza.com) saya telah menjawab keluhan seorang suami yang isterinya meminta dia berbuka puasa enamnya untuk meraikan anak-anak yang pulang jauh, agar dapat makan bersama. Oleh kerana dia bimbang nanti fadhilat puasa enam Syawwal itu hilang jika tidak puasa berturut selepas hariraya, maka dia enggan berbuka yang mungkin membawa kecil hati, atau ‘kurang meriah’ bagi anak-anak yang pulang dari jauh.

Kesimpulan dari jawapan saya dalam Minda Tajdid saya kata bahawa walaupun ada ulama yang menyebut tentang keafdhalan berturut-turut itu, namun sunat puasa enam hari pada Bulan Syawwal, bukanlah terhad setakat enam hari berturut-turut selepas hariraya, sebaliknya enam hari pada Bulan Syawwal samada berturut-turut atau berselang-seli dalam bulan tersebut dianggap sebagai memenuhi maksud hadis.

Apatah lagi di sana ada hadis Abu Sa’id al-Khudri katanya:

“Aku telah menyediakan makanan untuk Rasulullah s.a.w. Maka baginda dan sahabat-sahabatnya pun datang ke tempatku. Apabila makanan dihidangkan, seorang lelaki dalam kalangan mereka berkata: “Aku berpuasa”. Rasulullah s.a.w pun bersabda: “Saudara kamu telah menjemput kamu, dan bersusah payah untuk kamu”. Kemudian baginda berkata kepada lelaki itu: “Bukalah puasa, dan berpuasalah satu hari lain sebagai ganti –jika mahu” (Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra, dinilai hasan oleh al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath al-Bari).

Dalam riwayat lain oleh al-Tabarani dalam al-Ausad baginda mengkritik lelaki tersebut dengan bersabda: “saudara kamu telah menjemput kamu, dan bersusah payah untuk kamu kemudian kamu berkata ‘aku berpuasa!!”.

Ini menggambarkan betapa menjaga hubungan baik itu patut diutamakan sementara puasa sunat pula boleh diganti pada hari yang lain. Puasa enam Syawwal pun demikian. Maka untuk menjaga hubungan kaum keluarga, maka eloklah ditangguhkan puasa tersebut jika hari-hari pada Bulan Syawwal masih banyak.

Pada zaman ini, cuti yang terhad, waktu pertemuan sesama keluarga juga terbatas oleh kesibukan dan urusan yang berbagai, maka amalkanlah galakan Nabi s.a.w ini ‘berbuka dan ganti pada hari yang lain jika mahu’. Dengan itu hubungan keluarga dapat dikuatkan atau dijaga, puasa enam juga dapat dilaksanakan.

Jika kita luaskan apa yang Islam luaskan, dan elakkan menokok tambah apa yang Islam tidak izinkan, maka kita akan melihat Islam itu begitu indah dan mudah.

artikel asal, klik di sini

Aug 1, 2011

Keutamaan Ramadhan


Oleh Saudara Mohd Hamdan Haji Mohd Ibrahim



KEUTAMAAN RAMADHAN...


1. BULAN DITURUNKAN AL-QUR’AN

”Bulan Ramadhan yang di dalamnya diturunkan Al-Qur`an” [QS Al-Baqarah : 185].

2. LAILATUL QADAR

”Sesungguhnya kami menurunkannya di malam lailatul qodar.” [QS Al-Qadar : 1].

3. PINTU SYURGA DIBUKA, PINTU NERAKA DITUTUP

Rasulullah Shallallahu ’alaihi wa Salam
bersabda : ”Apabila Ramadhan telah masuk, pintu-pintu langit dibuka dan pintu pintu jahannam ditutup serta syaithan-syaithan dibelenggu.”

Di dalam riwayat lain : ”Apabila Ramadhan telah datang, pintu-pintu syurga dibuka”.

Di dalam riwayat lain : ”Pintu-pintu rahmat dibuka”. [Muttafaq ’alaihi]

4. PELEPASAN DARI API NERAKA

Di dalam hadits riwayat Turmudzi : ”Berseru seorang penyeru, wahai orang yang
menghendaki kebaikan lakukan dan laksanakanlah, wahai orang yang menghendaki keburukan kurangilah. Dan Allah memiliki orang-orang yang dibebaskan dari neraka dan hal ini terjadi setiap malam sampai berakhirnya Ramadhan.” [dihasankan oleh al-Albani].

5. DILIPATGANDAKAN GANJARAN

Rasulullah Shallallahu ’alaihi wa Salam bersabda : ”Setiap amal bani Adam dilipatgandakan, kebaikan diganjar sepuluh kali lipat yang sepadan dengannya hingga sampai seratus kali lipat, bahkan hingga sampai kepada apa yang Alloh kehendaki. Alloh Azza wa Jalla berfirman : kecuali puasa, karena sesungguhnya
puasa itu untukku dan Aku sendirilah yang akan membalasnya. Ia meninggalkan syahwat dan makannya hanya karena Aku. Bagi orang yang berpuasa ada dua kegembiraan, yaitu kegembiraan tatkala ia berbuka dan kegembiraan tatkala ia
bertemu dengan Rabb-nya. Sungguh bau mulut seorang yang berpuasa itu adalah lebih harum di sisi Alloh dibandingkan harumnya kesturi.” [muttafaq ’alaihi].

6. GANJARAN SYURGA AR-RAYYAN

Rasulullah Shallallahu ’alaihi wa Salam
bersabda : ”Sesungguhnya di dalam surga ada sebuah pintu yang disebut dengan ar-Royyan. Orang-orang yang berpuasa masuk darinya pada hari kiamat, dan tidak ada seorangpun selain mereka yang dapat memasukinya. Apabila mereka (orang-orang yang berpuasa) telah memasukinya pintu tersebut ditutup, dan tidak ada lagi seorangpun yang dapat memasukinya.” [Muttafaq ’alaihi].

7. DIAMPUNKAN DOSA TERDAHULU

Rasulullah Shallallahu ’alaihi wa Salam bersabda : ”Barangsiapa berpuasa di bulan Ramadhan dengan keimanan dan ihtisab (mengharap balasan dari Alloh) maka diampuni dosa-dosanya yang terdahulu.” [Muttafaq ’alaihi].

8. PENGHAPUS DOSA

Rasulullah Shallallahu ’alaihi wa Salam bersabda : ”...antara sholat lima waktu, antara Jum’at yang satu ke Jum’at yang lain dan antara Ramadhan yang satu ke Ramadhan yang lain, terdapat kafarat (penghapus dosa) diantaranya, selama dosa-dosa besar dijauhi.” [HR Muslim].

9. AMALAN KE SYURGA

Dari Abi Umamah beliau berkata : Aku mendatangi Rasulullah Shallallahu ’alaihi wa Salam dan aku berkata :”Tunjukkan padaku amalan yang dapat memasukkanku ke surga.”
Beliau menjawab : ”berpuasalah karena tidak ada yang sepadan dengannya.”
Kemudian aku mendatangi beliau kedua kalinya, beliau tetap berkata : ”Berpuasalah”. [Shahih, HR Ahmad].

10.DIJAUHKAN DARI NERAKA

Rasulullah Shallallahu ’alaihi wa Salam bersabda : ”Tidaklah seorang hamba berpuasa sehari di jalan Alloh, melainkan Alloh jauhkan pada hari itu wajahnya dari neraka sejauh tujuh puluh kharif (jarak perjalanan).” [HR Muslim].

11.SYAFAAT DI AKHIRAT

Rasulullah Shallallahu ’alaihi wa Salam bersabda : ”Puasa dan Al-Qur`an memberikan syafa’at bagi seorang hamba pada hari kiamat. Puasa berkata : Wahai Rabb, sesungguhnya aku telah menahannya dari makan dan syahwat di
siang hari, maka berilah dia syafa’at karenaku.” [Shahih, HR Ahmad dan selainnya].

Dipetik dari kitab Bekal-Bekal Ramadhan – Syaikh Muhammad Jamil Zainu.


*Jadilah kita hamba Allah, bukan hamba Ramadhan semata-mata.

*Keep Istiqomah.

*Hargai dan sambutlah Ramadhan seperti menyambut kedatangan orang yang sangat kita cintai.


Wassalam wbt..


Mohd Hamdan Haji Mohd Ibrahim
-Usah biarkan hati yang besar dikecilkan oleh pemikiran yang sempit-