Dec 16, 2010

Alhamdulillah, blog telah dikemaskini ;)

Assalamualaikum w.b.t.

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah subhanahu wa ta'ala yang telah mengurniakan masa dan tenaga untuk mengemaskini blog saya ini.

Antara perubahan yang telah saya lakukan adalah dengan menukarkan background design agar lebih simple dan mudah dibaca oleh para pelawat yang dikasihi sekalian :)

dan juga di bahagian atas blog telah ditambah page 'Muwasafat Tarbiyah' dan 'Usul 20', sedikit sebanyak membantu kita dalam memahami kehidupan dan jalan dakwah sebagai seorang Muslim yang bertaqwa.

Harapan saya agar blog yang simple ini dapat membantu para pembaca dalam mendekati Islam, dan tidak lupa juga untuk menjadi sebahagian dari saham akhirat kelak.

Blog ini tiada hak cipta terpelihara, diizinkan untuk menyalin apa sahaja dari blog ini. kerana segala ilmu itu milik Allah subhanahu wa ta'ala.

sampaikanlah apa-apa tentang Islam kepada keluarga dan masyarakat kalian, kerana setiap kesedaran yang timbul hasil dari usaha kita yang kecil ini boleh menjadi impak yang besar kepada orang lain. Dan sesungguhnya redha Allah yang kita cari, semoga dengan usaha kecil ini kita mendapat keredhaanNya, ameen!

insyaAllah, page 'Amal 7' dan 'Wajibat 38' akan menyusul dalam masa terdekat, bi iznillah :)

Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa. [Al-Hujurat, 49:13]

Anekdot : Catatan Kehidupan

Assalamualaikum wbt.

Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa [al Maidah, 5:2]

sungguh, tolong menolong dalam hal ma'aruf dituntut ke atas setiap hati-hati yang beriman kepadaNya.

Atas permintaan rakan-rakan seperjuangan di Indonesia, di sini saya mahu promosikan buku sulung hasil nukilan mereka. mereka merupakan pelajar-pelajar perubatan di Universitas Padjadjaran, Bandung. siapa yang berminat, boleh hubungi mereka di sini.

di bawah ini adalah iklan promosi buku tersebut, saya kurang arif dalam mempromosikan buku maka saya copy dan paste sahajalah :D

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Assalamualaikum.
Rasa macam dah ketinggalan zaman sebab orang lain dah lama promote:p
Takpelah, better late than never aite?
Okay2, berbalik kepada tajuk.....
Jeng jeng jeng


Buku Anekdot: Catatan Kehidupan.
Sebenarnya buku ni simple je, gabungan artikel2 yang memang dah ditulis kat blog sebelum ni. Tapi mungkin ada yang diolah dan diedit sikit-sikit je.
Bukan mudah untuk memendekkan artikel yang panjang menjadi pendek. Itulah cabarannya. Apapun harap-harap semua pembaca berpuas hati dan maafkanlah mana-mana kekurangan yang ada. Semoga buku ini menjadi inspirasi untuk kita sama-sama berusaha menjadi muslim dan mukmin sebagaimana dicatatkan dalam Al-quran dan as-sunnah. Amin:)
Buku ini cuma berharga Rp20k sahaja, kalau dalam ringgit dalam RM7-8 je.
Tebal pun tak tebal sangat. Kesimpulannya penulisannya agak santai dan sesuai untuk dibaca oleh sesiapa yang bergelar remaja. Yang bukan remaja pun boleh je kot nak baca tapi mungkin kuranglah input yang boleh didapati sebab kami masih mahasiswa lagi....hehe. Harap ianya bermanfaat buat yang membaca.

Ok2, tu je nak tulis. Siapa nak beli bolehlah contact wakil-wakil yang ada.

FK10 : Mustaqim Twp10 :Syahirah
FK09 : Mahirah Twp09:Fatin Ayuni
FK08 : Syafiqah Twp08:Firdaus
FK07 : Nadia Izzati Pharmacy: Rawiyani
KOAss n ITB : Zulhazwan FKG : Faiz 08

p/s: Yang luar daripada Bandung @ yang di Malaysia, jika nak beli insyaAllah boleh diuruskan nanti. Kalau boleh carilah kawan-kawan yang nak beli=)
p/s/s: Mungkinkah ada penerbit yang mahu menerbitkan buku ini? Laskar Pelangi harus berani bermimpi~

klik untuk link asal

Dec 10, 2010

Doa akhir dan awal tahun.

Assalamualaikum w.b.t.

alhamdulillah, Allah azza wajalla telah memberi kesempatan kepada kita untuk terus menikmati kehidupan di dunia ini dan kurang dari 30 jam lagi insyaAllah hayat kita dapat merasakan tahun baru dalam islam, tahun 1432 hijrah.

apakah itu tahun hijrah?

seperti mana kalendar Gregorian yang seantero dunia mengaplikasikan dalam kehidupan seharian, ummat islam juga mempunyai kalendar yang tersendiri yang dikenali sebagai kalendar Hijri.

apakah perbezaan antara kalendar Gregorian dan Hijri?

antara perbezaan di antara kedua-dua kalendar ini adalah,

1. Gregorian mengikut putaran bumi mengelilingi matahari, manakala Hijri mengikut putaran bulan mengelilingi bumi.

2. Gregorian mempunyai 365 hari setahun (366 hari dalam tahun lompat), manakala Hijri mempunyai 354 hari setahun.

3. Jumlah hari dalam setiap bulan Gregorian adalah tetap (Januari 31 hari, November 30 hari), tetapi jumlah hari dalam setiap bulan Hijri tidak tetap, bergantung kepada nampaknya Hilal (anak bulan). bulan-bulan dalam Hijri antara 29 atau 30 hari. kaedah mengira munculnya anak bulan adalah dengan menggunakan ilmu 'Falak'.

bilakah permulaan setiap kiraan kalendar tersebut?

dalam kalendar Gregorian, ia bermula setelah kelahiran Nabi Isa a.s.

dalam kalendar Hijri pula, ia mula digunakan di zaman Khalifah Umar al-Khattab r.a, dan tahun berlakunya peristiwa hijrah Nabi Muhammad s.a.w. dari Makkah ke Madinah diambil sebagai tahun pertama hijrah.

apakah ada amalan khusus dalam menyambut kedatangan tahun baru Hijri?

tiada amalan khusus dalam menyambut kedatangan tahun baru Hijri. tidak ada dalil dari al-Qur'an dan as-Sunnah tentang sambutan tahun baru Hijri. maka Nabi Muhammad s.a.w tidak pernah menganjurkan apa-apa amalan khusus dalam menyambut tahun baru. jangan samakan seperti sambutan tahun baru Gregorian, seperti yang kita tahu detik 1 Januari setiap tahun ditunggu-tunggu dengan penuh debaran dan kedatangannya disambut dengan pesta bunga api dan di negara-negara barat, pesta arak, tari menari, dan segala macam amalan Jahiliyah.

bolehkah berdoa untuk kesejahteraan tahun yang akan datang?

tidak salah untuk berdoa, kerana berdoa itu sangat digalakkan. berdasarkan firman Allah s.w.t;

Dan Tuhanmu berfirman: "berdoalah kepadaKu, nescaya akan Ku perkenankan bagimu". Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembahKu (berdoa kepadaKu) akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina dina. [al Ghafir, 40:60]

berdoa itu adalah tuntutan ke atas setiap insan yang beriman, bahkan berdasarkan ayat tersebut, sesiapa yang menyombongkan diri untuk tidak berdoa kepada Allah tergolong dalam golongan yang dicela.

maka, tidaklah salah untuk mendoakan kesejahteraan untuk tahun yang akan datang. tetapi ia menjadi salah apabila kita kaitkan doa akhir dan awal tahun dengan pelbagai fadhilat kepada sesiapa yang membacanya, kerana Allah s.w.t tidak menyebut dalam al-Qur'an tentang kelebihan membaca doa akhir dan awal tahun, dan Nabi Muhammad s.a.w tidak pula mengajarkan doa khusus untuk peristiwa ini dalam mana-mana Hadis yang Shahih.

contoh amalan khusus yang dianjurkan dalam bulan Muharram adalah seperti berikut;

صوم يوم عرفة يُكفِّر سنتين: ماضية ومستقبلة، وصوم يوم عاشوراء يكفر سنة ماضية

"Puasa pada hari Arafah menghapuskan (dosa) 2 tahun : yang lepas dan yang akan datang, dan puasa pada hari 'Asyura' menghapuskan (dosa) setahun yang lepas" -[Hadith diriwayatkan oleh semua kecuali al-Bukhari dan Tirmudzi, Nailul Authar, 4/323].

maka, menurut hadis di atas, kita dianjurkan untuk berpuasa pada hari Asyura (10 Muharram). amalan sebegini adalah sunat untuk kita lakukan kerana anjuran Nabi Muhammad s.a.w sendiri. dan fadhilat 'penghapusan dosa selama 2 tahun' itu adalah benar berdasarkan hadis tersebut. tetapi kuasa pengampunan hanya di sisi Allah s.w.t, tidaklah benar jika kita berpuasa pada hari Arafah memberi kita 'lesen' untuk bermaksiat untuk tahun yang akan datang. apa yang penting, kita kekal istiqamah dalam segala amalan seharian kita dan mempunyai iltizam yang tinggi untuk memperbaik diri dalam meningkatkan perkara-perkara ma'ruf dan mencegah diri dari melakukan perkara-perkara yang mungkar.

kesimpulannya, teruskan berdoa kerana Allah Maha Mendengar, semoga kita terpelihara dari kepercayaan yang tidak ada dalam syariat Islam. sabda Rasulullah s.a.w “Sesiapa yang mengada-adakan perkara baru dalam urusan agama ini maka dia tertolak” [HR Muslim]

Ya Allah, semoga segala amalan kami diterima olehMu dan kuatkanlah iman kami dalam menghadapi dugaan dan cabaran di dunia ini. jadikanlah tahun yang akan datang ini lebih baik dari tahun lalu, ampunilah dosa kami, dan rahmatilah kami Ya Allah, ameen ya rabb! [ini doa yang saya karang sendiri, dan kita boleh saja berdoa dengan apa cara sekalipun. jika ada doa khusus yang diajar oleh Nabi Muhammad s.a.w, amalkanlah!]

Wallahu a'lam.

sekian, al faqir ilallah

Imanul Hassan bin Abdul Shukor

p/s: tulisan saya adalah rumusan dari rujukan sumber-sumber di bawah, digalakkan untuk membaca agar dapat pemahaman yang lebih jelas insyaAllah.

perihal sambutan maal hijrah : http://drmaza.com/himpunan_fatwa/?p=28

perihal doa akhir dan awal tahun : http://qazikirdandoa.blogspot.com/2009/03/doa-awal-dan-akhir-tahun-serta-bubur.html

http://www.al-ahkam.net/forum09/viewtopic.php?f=97&t=37445

Dec 5, 2010

Mencuba pakaian Syurga


Sewaktu saya bersiar-siar di KLCC, Mid Valley, Times Square dan seribu satu pasaraya lagi, hampir setiap kali saya akan berjumpa dengan remaja Melayu yang tidak ada langsung ciri-ciri kemelayuan.

Sekali pandang persis Minah dan Mat Salleh. Rambutnya berwarna-warni, didandan pula dengan mekap beserta aksesori, ditambah pula dengan skirt singkat, memang serupa dengan orang kulit putih, cuma kulit mereka sahaja masih Melayu.

Kenapa ya? Kalau adapun remaja Melayu, jiwa dan pakaian mereka membuatkan seolah-olah saya sedang membeli belah di pasaraya ternama di New York atau Hong Kong. Hebat bukan?

Saya akui, fesyen mampu mencipta satu suasana yang berbeza. Cuba bayangkan sebentar, kamu sekarang di Mid Valley dengan berjubah, dan hampir semua manusia di sekelilingmu berpakaian jeans ketat dan berskirt singkat, bukankah kamu akan gusar?

Mana tidaknya, apa yang kita fikirkan ialah apa yang orang lain fikirkan terhadap kita. Betul?

"Eh, Minah ni, pakai jubah pula."

Dalam zaman yang serba canggih, hatta pakaian sekalipun mahu dicanggihkan (bukan jenama canggih). Saya juga hairan, entah dari mana pereka-pereka fesyen ini mendapat ilham.

Mereka mencipta pakaian dalam pelbagai versi, dedah belakang, tutup depan, dedah atas dan tutup bawah. Semua kelihatan hebat di mata kita kerana ia adalah sesuatu yang lain dalam norma masyarakat kita. Bukankah anda suka kalau anda menjadi perhatian?

Kita dan Fesyen

Teringat sewaktu saya dan dua orang teman lama bertemu, kami menghabiskan masa dengan membeli belah. Saya dan Si A mahu membeli pakaian. Al-kisah, singgahlah kami di sebuah kedai pakaian di East Cost Mall, dan ketika membeli kemeja, saya memilih kemeja yang agak labuh manakala teman saya, si A memilih kemeja biasa. Lalu saya ditegur begini :

"Eh, Aishah, kenapa labuh sangat?".

Saya tergamam. Kelu lidah seketika. Walhal sebenarnya akal saya mencari-cari idea untuk membalas soalannya yang bagi saya tidak perlu dijawab.

"Erm, memang saya suka jenis yang macam ini."

Sikap Umat Kita

Di zaman fesyen bohsia bohjan dijaja, akhlak lumat entah kemana, saya merasakan sesuatu telah hilang dalam diri kita. Sesuatu yang hilang itu yang pernah berlaku pada umat terdahulu; yang menyebabkan kita kehilangan zaman-zaman indah kegemilangan Tamadun Islam.

Apa yang Hilang?

Izzatul islam. Perasaan bangga dengan Islam. Saya percaya umat kita sudah hilang perasaan bangga sebagai seorang Muslim. Mana tidaknya, kita sendiri yang merasa malu apabila berpakaian mengikut syariat, apabila tidak berhias, berdandan dan tidak mengikut trend fesyen.

Seolah-olah Muslim yang mengikut syariat tergolong dalam golongan yang terasing jika berpakaian menutup aurat kerana kebanyakan manusia berfesyen dengan fesyen dedah-dedah.

Ada satu lagi cerita. Harap siapa yang sudi membaca tidak jemu.

Saya berasal dari sebuah sekolah biasa, maka adab dan sosial pelajar-pelajar juga biasa-biasa sahaja. Apabila saya dan kawan bertudung jenis kain akel, saya dan teman baik dipanggil ustazah. Tinggi sungguh penghargaan yang diberi pada kami.

Suatu hari, kawan saya memakai tudung labuh. Usai solat Isyak di surau sekolah, dia keluar. Merah padam mukanya apabila memasuki kelas gara-gara semua mata memerhatinya dari surau sehingga ke kelas. Terpaksalah dia menyorok seketika di dalam tandas.

Saya tahu, barangkali kamu terlupa sekali-sekala untuk memakai lengan panjang, terlupa untuk menutup rambutmu yang ikal mayang, terlupa untuk memakai seluar di bawah paras lutut dan seribu satu lagi kelupaanmu.

Tapi kamu jangan lupa, malaikat yang mencatat amalanmu di kiri dan kanan tidak pernah lupa untuk menulis amalanmu. Dan yang paling kamu tak boleh lupa, Pencipta kita sentiasa memerhatikan kita. Maha Suci Allah dari sifat hamba-Nya yang pelupa. Kalau hari-hari lupa, sampai bila kesudahannya?

Barangkali juga kamu tahu menutup aurat penuh itu wajib. Cuma kamu masih belum kuat untuk berubah. Kamu tahu, memakai tudung perlu menutup dada, memakai baju jangan yang ketat-ketat dan nipis, apabila berhias biarlah berpada-pada.

Tetapi kamu jangan lupa, kekuatan itu datangnya dari iman. Dan iman itu datangnya dengan keyakinanmu pada janji Tuhan. Apa kamu sudah lupa mengapa Allah memberi arahan sedemikian?

"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya." (An-Nur :31).

Maka saya membuat kesimpulan peribadi. Kebanyakan kita berpakai mengikut undang-undang budaya bukan syariat lagi. Kalau tidak, mana lahirnya golongan pakai jubah tapi tak bertudung, apabila bertudung pula, baju hampir-hampir tanpa lengan, kain pula terbelah depan belakang?

Kalau lelaki pula, seluar ketat-ketat, seluar singkat-singkat. Mungkin begini, lahir-lahir ibu bapa pakai begitu, maka anak-anak juga mengikut apa yang dipakai ibu bapa. Kita pakai ikut budaya tanpa tahu dalilnya?

Prejudis Terhadap Umat Sendiri

Seringkali bila memikirkan masalah umat, saya hairan, mengapa umat Islam lewat zaman ini bersikap prejudis terhadap saudara sendiri? Mengapa apabila ada yang cuba-cuba "berhijrah" ke arah yang lebih baik, akan ada nada-nada sumbang di belakang yang memandang serong?

Bukannya mahu diambil yang jernih dibuang yang keruh. Apatah lagi memberi sokongan, tapi ia dipulaukan pula semata-mata kerana mentaati perintah Allah. Masya-Allah saudaraku, cepat-cepatlah hisab diri!

Sabda Nabi Junjungan

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata: Bersabda Rasululah saw. ,"Islam mula tersebar dalam keadaan dagang (asing). Dan ia akan kembali asing pula. Maka beruntunglah orang orang yang asing." -H.R. Muslim

Lihatlah saudaraku, Islam kembali asing di akhir zaman ini dan dirasa ganjil dari pandangan dunia, bahkan pada pandangan orang Islam sendiri. Kita sendiri yang merasa ganjil dan pelik tatkala melihat orang Islam yang iltizam dengan Islam dan cuba mengamalkan tuntutan Islam yang sebenar.

Seorang yang iltizam dengan Islam dipandang sepi oleh masyarakat dan terlalu susah untuk diterima sebagai individu yang normal di kalangan mereka.

Dan begitulah seterusnya nasib lslam di akhir zaman. Ia akan terasing dan tersisih dari masyarakat, bahkan tersisih dari pandangan orang Islam sendiri yang mengaku sebagai umat Islam dan marah apabila dikatakan yang dia bukan orang Islam.

Daripada Anas r.a. bekata, Rasulullah saw. bersabda, "Akan datang kepada umat ku suatu zaman di mana orang yang berpegang kepada agamanya laksana menggenggam bara api." H.R. Tirmizi

Di zaman yang sangat mencabar ini, sesiapa yang hendak mengamalkan ajaran Islam terpaksa menghadapi kesusahan dan tentangan yang sangat hebat. Kalau tidak bersungguh-sungguh, nescaya Islam terlepas dari genggamannya.

Kerana apa? Kerana umat Islam sendiri tidak membantu untuk dia menunaikan kewajiban agamanya, bahkan apa yang ada disekelilingnya mendorong untuk membuat kemaksiatan dan perkara-perkara yang dapat meruntuhkan aqidah dan keimanan atau paling kurang menyebabkan kefasiqan. Jadi kesimpulannya, orang Islam tersepit dalam melaksanakan tuntutan agamanya di samping tidak mendapat kemudahan.

Lecehnya Islam

Ada yang mempersoalkan, kenapalah perempuan diperintahkan menutup aurat hampir keseluruh tubuh kecuali muka dan tapak tangan? Kenapa lelaki tidak?

Jawapannya pada saya mudah. Kerana yang Allah perintahkan untuk kita tutup itu adalah yang indah-indah belaka. Tanpa perlu lagi dikiaskan dengan analogi palsu yang sudah dihadam oleh kita (analogi permata dalam bungkusan), kita pasti faham. Buktikan pada saya, dimana perempuan tidak cantik?

Tiada.

Tapi lelaki, diberatkan pula dengan amanah dan tanggungjawab. Menjadi lelaki bagi saya umpama bakal memikul sebeban gunung. Mana tidaknya, kalau sudah berkahwin, keluarga sendiri perlu dijaga, ibu dan ayah perlu diutama, anak isteri juga dipikul dosa, nafkah pula perlu diusaha, bukankah itu amanah besar dari Tuhan?

Saya menulis ikhlas dari hati. Untuk kakak, adik, ibu, ayah, abang, kawan, teman, dan Muslim semuanya. Semua ini tanda kasih dan sayang bersama. Kerana saya tahu, syurga dicipta untuk semua hambanya. Maka,saya mahu masuk bersama kalian. Sungguh, syurga itu mahal nilainya, dan jalan menujunya tidak semudah yang kita sangka. Maka, berubahlah dari sekarang.

Yang lebih menakutkan apabila direnungi hadis Nabi di bawah :

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata: Rasulullah saw. bersabda : "Ada dua golongan yang akan menjadi penghuni Neraka yang belum lagi aku melihat mereka. Pertama, golongan (penguasa) yang mempunyai cemeti-cemeti bagaikan ekor lembu yang digunakan untuk memukul orang. Kedua, perempuan yang berpakaian tetapi bertelanjang, berlenggang lenggok waktu berjalan, menghayun-hayunkan bahu. Kepala mereka (sanggul di atas kepala mereka) bagaikan bonggol (goh) unta yang senget. Kedua-dua golongan ini tidak akan masuk syurga dan tidak akan dapat mencium bau wanginya. Sesungguhnya bau wangi syurga itu sudah tercium dari perjalanan yang sangat jauh daripadanya".

Marilah kita sama-sama berubah menuju ke jalan-Nya.


dipetik dari iluvislam.com