Keluarga Bahagia, Negara Makmur
Showing posts with label Tingkah laku. Show all posts
Showing posts with label Tingkah laku. Show all posts

Apr 30, 2014

Belajar Berkongsi


Dalam artikel yang lepas, saya menulis tentang petua mendidik anak-anak berkongsi. Hari ini, saya akan kongsikan pengalaman seorang ibu yang menghadapi dan menangani kerenah anaknya yang belum mengerti erti perkongsian. Mudah-mudahan pengalaman ibu ini boleh kita jadikan panduan.

Aidil yang berusia 3 tahun masih belum mengerti erti ‘berkongsi’. Setiap kali kawan ibunya datang ke rumah mereka dengan membawa anak yang sebaya, dia bertindak seperti ‘pengawal’ yang menjaga barang-barang mainannya. Tiada siapa yang boleh menyentuh barang-barang mainan tersebut.

“Aidil punya!” dia akan menjerit jika ada rakan yang ingin mengambil mainannya.
“Aidil, share mainan tu dengan Ayden” kata Puan Amira, ibu Aidil.
“Tak boleh, ini mainan Aidil.” 

Situasi ini berterusan sehinggalah pada suatu hari, Puan Amira hilang kesabaran lalu berkeras dengan Aidil.

“Mama akan ambil semua mainan Aidil dan bagi kepada orang lain jika Aidil tak reti berkongsi. Dah berapa kali mama minta Aidil berkongsi. Kenapa Aidil tamak dan kedekut sangat?”

Aidil menangis. Pada malam itu, selepas menidurkan Aidil, Puan Amira berbincang dengan suaminya.

“Saya dah tak tahu nak buat macam mana.. Aidil tak reti berkongsi. Petang tadi, dia bergaduh dengan Ayden kerana berebutkan mainan.”

Kedua suami isteri itu berbincang tentang plan dan tindakan untuk menangani masalah Aidil yang tidak mahu berkongsi itu.

Apabila Ayden datang ke rumah mereka pada keesokan harinya, Puan Amira memberitahu Aidil tentang satu peraturan.

“Aidil, mama dah buat satu peraturan baru. Ayden boleh bermain dengan apa saja mainan di rumah ini asalkan mainan tersebut tidak dipegang oleh sesiapa. Jika mainan itu dipegang oleh Aidil, maka Ayden tidak boleh mengambilnya. Setiap orang boleh pegang dan bermain satu mainan sahaja pada satu-satu waktu. Ayden dan Aidil boleh bertukar-tukar barang mainan tersebut selepas itu. Barang mainan yang paling Aidil sayang, Aidil boleh simpan di dalam almari.”

Puan Amira memerhati dari jauh dan mendapati bahawa Aidil lebih tenang. Dia mengambil satu mainan, bermain dengannya dan membiarkan Ayden memilih mainannya sendiri daripada bakul yang menyimpan semua barang mainan.

“Mama rasa gembira dan bangga kerana Aidil boleh berkongsi bermain”

Puan Amira masuk ke dapur. Tiba-tiba dia terdengar Aidil menjerit.

“Aidil punya!”

Puan Amira berlari keluar untuk melihat. Ayden dan Aidil sedang berentap dan berebut sebuah kereta mainan.

“Okay. Mama akan ambik kereta mainan ini kerana ia menimbulkan masalah. Mama akan letakkan di kerusi ini selama 5 minit”

Aidil dan Ayden terkebil-kebil melihat kereta mainan tersebut tetapi mereka tidak berani mengambilnya. Selepas 5 minit, Puan Amira mengembalikan kereta mainan tersebut kepada Aidil dan Ayden tetapi mereka telah lupa tentang perebutan tersebut kerana mereka sedang bermain dengan blok.

Pada hari-hari yang berikutnya, Puan Amira nampak ada sedikit perkembangan. Pada kebanyakan waktu, Ayden dan Aidil sudah boleh bermain bersama-sama.


Untuk mengelakkan masalah

Pastikan ada sesetengah barang mainan hanya menjadi milik anak.
Sebelum anak boleh berkongsi, berilah peluang kepadanya untuk memiliki dan berkuasa atas sesuatu mainan yang disukainya. Pastikan barang mainan yang menjadi kegemaran anak disimpan di tempat tertutup supaya kita tidak perlu memaksa anak untuk berkongsi mainan tersebut. Ini juga akan mengurangkan punca perebutan di antara anak dah rakan-rakannya.


Modelkan perkongsian kita dengan kawan-kawan.
Tunjukkan kepada anak bahawa bukan dia sahaja yang diharapkan boleh berkongsi tapi kita juga sebagai ibu bapa wajar boleh berkongsi.

“Tadi auntie Yati pinjam buku resepi mama”


Berbual tentang makna berkongsi 
Beritahu anak-anak bahawa ‘berkongsi’ ialah satu perbuatan yang baik dan orang yang boleh berkongsi akan disukai ramai.

“Mama suka dan gembira melihat Aidil dan Ayden berkongsi kereta mainan itu dan bermain bersama-sama dengan baik”


Membuat peraturan
Sebelum kawan-kawannya datang ke rumah, seeloknya kita buat peraturan dan memberi penjelasan supaya anak faham.

“Ayden atau sesiapa saja boleh mengambil dan bermain dengan mainan yang tidak dipegang oleh sesiapa. Jika Aidil pegang mainan tersebut, orang lain tak boleh ambil tanpa kebenaran”


Memahami bahawa anak mungkin dapat berkongsi bermain dengan lebih baik jika dia berada di rumah kawannya.
Anak kita mungkin akan jadi kurang agresif jika berada di rumah orang lain apabila dia tahu mainan tersebut bukan seratus peratus miliknya. Ini perlu diterangkan oleh ibu bapa sebelum pergi ke rumah orang lain untuk bermain.


Menyedari bahawa berkongsi termasuk dalam sistem perkembangan kanak-kanak
Anak tidak boleh dipaksa dan digesa untuk berkongsi. Ibu bapa harus bersabar memberi didikan kerana kesannya tidak boleh dilihat dalam masa sehari. Biasanya, anak pada usia 3-4 tahun mula berkongsi tanpa perlu diberi peringatan oleh ibu bapa.

Menyelesaikan masalah/Apa yang perlu dibuat

Menyelia anak yang berusia 1 - 2 tahun bermain
Anak yang berusia kurang dari 3 tahun tidak boleh diharapkan untuk berkongsi. Awasi dan selia ketika mereka bermain untuk membantu jika terjadi perebutan. Mereka masih kecil untuk menangani masalah itu sendiri.


Menetapkan masa
Apabila terjadi perebutan atas satu mainan, kita boleh tetapkan masa atau jam loceng. Contohnya setiap anak diberi masa 10 minit untuk bermain dengan mainan tersebut. Apabila cukup 10 minit, jam loceng akan berbunyi dan mainan tersebut harus diserahkan kepada rakan yang lain untuk bermain. Melalui cara ini, anak dididik untuk bersabar mengambil giliran.


Jauhkan/Ambil mainan yang jadi rebutan
Jika satu mainan menjadi rebutan, ambil mainan tersebut sambil menerangkan kenapa kita bertindak demikian.

“Mainan ini jadi masalah so mama ambik dan letakkan di atas meja ini supaya tiada masalah lagi.”

Jika anak terus bergaduh tentangnya, simpan mainan tersebut untuk menunjukkan bahawa jika mereka tidak boleh berkongsi, tiada siapa yang boleh bermain dengannya.

Perkara yang tidak sepatutnya dibuat

Jangan naik darah/marah
Ingatlah bahawa anak akan belajar berkongsi apabila dia telah bersedia, bukan apabila kita memaksa dan menggesanya. Apabila kita nampak anak kita berkongsi sekali sekala, itu menunjukkan dia telah bersedia untuk itu dan haruslah kita memberi galakan dan dorongan.


Tidak perlu menghukum apabila kadang-kadang anak tidak berkongsi.
Ada masa-masanya anak kecil tidak mahu berkongsi. Jika ini berlaku, adalah lebih baik mengambil mainan tersebut daripada mengenakan hukuman keras ke atasnya. Dengan cara ini, kita meletakkan masalah kepada mainan bukan kepada anak.


Print Friendly and PDF




Share:

Apr 26, 2014

Petua Mendidik Anak-anak Kecil Berkongsi


“Nana punya!” Nana merampas anak patungnya dari tangan Alia. Alia pula menjerit hendakkan anak patung itu. Berlakulah satu perebutan. Ini mungkin situasi yang biasa ibu bapa alami. Anak-anak kecil tidak mahu berkongsi barang mainan dengan rakan-rakan sebaya yang lain. Mereka masih kecil untuk memahami makna perkongsian dan belum tahu cara yang betul untuk berkongsi. Maka menjadi tanggung jawab kita untuk mendidik mereka. Di sini saya kongsi beberapa petua yang telah membantu saya mendidik anak-anak untuk berkongsi.

Tunjukkan contoh teladan
Pendidikan melalui contoh teladan adalah yang terbaik. Untuk mengajar anak berkongsi, maka ibu bapa perlu mempamerkan tingkah laku perkongsian itu di hadapan anak-anak. Terdapat banyak perkara yang boleh dikongsikan dengan ahli keluarga kita setiap hari, dan apabila kita berbuat demikian, serlahkan tindakan berkongsi itu di hadapan anak-anak supaya mereka boleh melihat. 

Penghargaan dan galakan
Kita perlu membuat anak mahu, ingin dan suka berkongsi. Salah satu cara untuk memberi inspirasi kepada tingkah laku ini ialah dengan memberi penghargaan. Berikan penghargaan setiap kali kita dapati anak boleh berkongsi barangnya dengan orang lain.

“Mama lihat Nana kongsi bermain anak patung kesayangan Nana dengan Alia tadi. Mama gembira tengok Nana dan Alia boleh bermain bersama-sama dengan baik.”


Berkomunikasi
Apabila anak-anak tidak mahu berkongsi, mungkin ada sesuatu yang berlaku di sebalik itu.  Berikan peluang untuk mereka menjelaskan sebab dan mengapa mereka tidak mahu berkongsi harta benda mereka dengan rakan sebaya. 

“Nana bukan tak nak kongsi anak patung ini dengan Alia. Dulu Alia dah rosakkan anak patung Nana. Anak patung yang ni Nana sayang sangat. Nana takut Alia akan rosakkan lagi.”

Ambil masa untuk berbincang dan memberitahu mengapa perkongsian adalah penting dan adalah satu perkara yang baik untuk dilakukan.

“Mama faham Nana takut Alia rosakkan anak patung kesayangan Nana ni.”
“Tapi Alia tentu sedih kalau Nana tak bagi dia main, mama.”
“Mama tahu Nana tak suka tengok kawan baik Nana sedihkan..”
“Ya mama.. mungkin Nana boleh ajar Alia cara pegang anak patung ni dengan betul atau Nana simpan aje anak patung ni dan main benda lain dengan Alia.”
“Nana buat keputusan. Mama yakin Alia tentu suka bermain dengan Nana.”


Bersabar
Belajar berkongsi tidak berlaku dalam sekelip mata. Ada fasa dalam tahap perkembangan kanak-kanak yang mana mereka menjadi terlalu posesif dan tidak suka berkongsi. Ketika menghadapi fasa ini, kita hendaklah bersabar, bersikap positif dan terus berusaha untuk mendidik dan memupuk semangat perkongsian di jiwa mereka.


Petua ini banyak membantu saya dan mungkin boleh membantu ibu bapa yang lain juga dengan izin Allah.


Print Friendly and PDF
Share:

Apr 24, 2014

Petua Bagi Menggalakkan Anak Membuat Kerja Rumah


Salah satu cara mudah untuk membantu anak-anak berkembang menjadi prihatin, bertimbang rasa dan bertanggungjawab apabila mereka dewasa adalah dengan memberi mereka tugas melakukan kerja-kerja rumah. Melalui tugas itu juga mereka belajar tentang kemahiran-kemahiran hidup yang akan diguna pakai apabila mereka telah mula hidup sendiri dan jauh daripada kita seperti apabila mereka melanjutkan pelajaran ke luar negeri dan sebagainya.

Namun, sering juga kita berhadapan dengan kerenah anak-anak yang liat apabila diminta untuk membantu melakukan kerja-kerja di rumah.  Ibu bapa perlu bertindak bijak untuk mengatasi kerenah ini. Menjadi sifat semula jadi manusia bahawa kita perlu berasa dikehendaki atau diperlukan dalam sesuatu kumpulan begitu juga anak-anak kita, mereka perlu berasa dikehendaki atau dipandang penting dalam keluarga. Anak-anak ingin tahu bahawa mereka menjadi sebahagian daripada ahli keluarga yang diperlukan untuk menjaga rumah supaya semuanya berjalan dengan lancar. Anak-anak yang dihargai di dalam rumah kerana membantu, mereka menjadi kurang cenderung untuk beralih kepada rakan-rakan untuk mendapat pengesahan dan semangat kekitaan.

Berikut ialah enam petua bagaimana menggalakkan anak-anak  untuk membantu dan menjalankan tugas-tugas di rumah.


1. Permintaan yang khusus
Jika anak-anak sukar untuk bekerjasama, kita boleh cuba memberikan mereka tugas yang lebih konkrit atau mempunyai tempoh masa yang terhad.

Daripada : "Kemaskan ruang tamu."
Cubalah: "Setiap orang perlu ambil dan simpan 10 mainan yang berselerak di ruang tamu.”
Daripada : "Kemas kain baju yang berselerak di bilik kamu."
Cubalah: " Mama nampak macam ada 5 helai baju yang perlu kamu gantung di dalam almari.” 
Daripada : “Kutip kain baju yang perlu dicuci.”
Cubalah: “Mama perlukan bantuan kamu selama 15 minit untuk mengutip semua pakaian yang perlu dicuci daripada semua bilik. Sekarang pukul 7, dan pada pukul 7.15, kamu boleh bermain di luar. "


2. Ambil masa untuk melatih
Anak-anak masih kurang kemahiran. Mereka tidak dilahirkan dan secara automatik pandai menyapu lantai dan mencuci pinggan. Wajar kita menunjuk ajar mereka melakukan sesuatu dengan cara yang menyeronokkan. 

" Okay Ella, masa untuk belajar  menyapu. Dah sedia? Jom kita cuba. Pertama, kita tarik kerusi-kerusi ni keluar dari bawah meja supaya kita boleh sapu di bawah meja dengan mudah.  Kemudian kita ambil penyapu dan sapu seperti ini. Kita sapu hingga ke sudut itu. Nah, Ella cuba sapu…” 


3. Menggalakkan bukan membebel
Ini mungkin petua yang paling penting. Apabila anak belajar buat pertama kalinya bagaimana memecahkan telur dan separuh daripadanya jatuh ke lantai, elakkan daripada marah sebaliknya cuba memahami bahawa kesilapan adalah sebahagian daripada proses pembelajaran. 

Elakkan daripada mengkritik secara negatif sebaliknya berikan galakan supaya mereka tidak takut untuk mencuba lagi dan lagi sehingga mereka menjadi mahir.

“Kesilapan ketika belajar memasak memang tidak boleh dielakkan, tetapi melalui kesilapan itu kita belajar bagaimana untuk melakukan sesuatu perkara dengan betul sehingga kita menjadi mahir.”

Elakkan daripada merungut tentang telur pecah yang mengotorkan lantai, sebaliknya ajar mereka untuk membersihkannya.

“Ella tolong ambik span itu dan mari kita bersihkan lantai ini sama-sama "

Berikan mereka peluang untuk mencuba lagi

“Boleh mama bagi cadangan? Ella boleh letakkan talam besar ini di bawah mangkuk.. Kalau telur pecah sebelum sempat Ella masukkan ke dalam mangkuk, ia akan jatuh ke dalam talam tersebut. 


4. Menyanyi atau berlagu
Ini lebih sesuai untuk anak-anak yang masih kecil. Jika kita ada CD lagu kanak-kanak tentang aktiviti mengemas, mungkin kita boleh pasangkan supaya anak-anak akan lebih ceria dan seronok. Jika tidak ada, mungkin kita sendiri boleh mencipta lagu dan senikatanya dan nyanyikan bersama anak-anak sambil melakukan kerja. Ia akan menceriakan keadaan dan kerja-kerja rumah akan menjadi lebih seperti permainan yang menyeronokkan.

Menyanyi sambil melakukan kerja juga adalah cara yang baik untuk menggalakkan perkembangan bahasa dan menarik perhatian. Bukan itu sahaja, muzik meningkatkan mood ceria , mengurangkan ketegangan otot dan meningkatkan perasaan bersantai.


5. Tunjukkan Penghargaan
Bagaimana perasaan kita jika usaha keras kita dihargai? Kita akan berasa puas hati, gembira dan seronok. Anak-anak kita juga akan merasai perkara yang sama. 

“Mama benar-benar menghargai kerja yang Ella lakukan. Apabila semua orang melakukan tugas dan tanggung jawab masing-masing, tentu rumah kita berada dalam keadaan yang kemas dan selesa. Terimakasih Ella. "

Penghargaan bukan sahaja membina harga diri anak-anak kita, bahkan ia juga boleh menjadi model bagaimana untuk mengucapkan terima kasih, rasa bersyukur dan menghargai orang lain.


6 Jangan menjadi lembut hati dengan aduan/alasan dan pujukan.
Anak-anak sering akan mengeluh apabila diminta untuk melakukan kerja mereka. Mereka akan memberi macam-macam alasan untuk mengelak seperti letih, tidak sihat, banyak kerja sekolah dan sebagainya. Alasan yang diberikan perlu kita teliti samada ia benar atau sekadar alasan untuk melepaskan diri. Kita perlu ada garis panduan untuk kekal fokus kepada matlamat iaitu mengajar anak-anak kemahiran hidup dan menjadi seorang yang bertanggung jawab. 

Apabila anak berkata:
“Mengapa asyik Ella aje yang kena buat kerja? Adik relax aje..tak payah buat apa-apa”

Kita boleh menjawab :
" Dalam keluarga ini, kita saling membantu antara satu sama lain”
" Papa dan mama cuba sebaik mungkin untuk memberi setiap orang dalam keluarga ini apa yang mereka perlukan.”
" Kadang-kadang Ella kena buat kerja lebih , kadang-kadang adik. "
" Kerja-kerja yang ditugaskan kepada setiap orang adalah mengikut tahap umur dan keupayaan masing-masing. Kerja yang mama suruh Ella buat ialah kerja yang Ella mampu buat sedangkan adik tidak mampu kerana dia masih kecil.”


Mengajar anak-anak membuat kerja rumah boleh membantu mereka untuk menilai diri mereka sendiri dan keupayaan mereka untuk menyumbang kepada sesuatu yang lebih besar kepada diri mereka sendiri, keluarga dan masyarakat. Semuanya hendaklah bermula seawal yang mungkin, di peringkat mereka masih kecil.


Print Friendly and PDF
Share:

Mar 27, 2014

Mendidik anak menjadi sopan



Menghormati orang lain dan lebih-lebih lagi orang yang lebih tua adalah satu kelakuan yang dipandang tinggi. Semua ibu bapa seboleh-bolehnya mahu anak-anak tahu menghormati. Jika tidak, anak itu akan dilabelkan sebagai “anak kurang ajar” dan sudah tentu sedikit sebanyak kesalahan “tidak mengajar” itu terletak di atas bahu ibu bapa.  

“Sudah, berenti..kenapa dengan kamu ni?  Menjerit terlolong macam orang tak siuman”  seorang ibu menengking anaknya yang sedang mengamuk. 

Jika setiap hari, anak-anak mendengar tengkingan dan perkataan yang negatif dari ibu bapa, bolehkah kita mengharapkan mereka belajar untuk menghormati? 

Mengajar melalui tindakan

“Buat seperti apa yang saya katakan bukan seperti apa yang saya lakukan” adalah satu ungkapan yang sering kita dengar tetapi dalam pendidikan anak-anak, ia adalah satu alat yang kurang berkesan dan jarang berfungsi.  Kita ialah  guru pertama dan orang yang paling penting kepada anak-anak. Anak-anak belajar bercakap dengan mendengar kita bercakap, begitu juga mereka akan belajar bagaimana menghormati orang lain dengan melihat cara kita melayani orang lain. Lihat bagaimana kita melayani anak-anak, ahli keluarga  dan orang lain dalam hubungan kita seharian. Anak-anak memerhati dan secara kita tidak sedar, mereka belajar daripada perlakuan kita untuk berhubung dengan kita, adik beradik, kawan-kawan dan orang-orang yang berada di sekeliling mereka.

"Terima kasih.” ialah ungkapan yang positif tetapi ia boleh diucapkan dengan sopan atau tidak sopan. Apabila kita mengajar anak-anak tentang kesopanan, kita juga perlu membincangkan butir-butir yang tidak begitu jelas seperti menggunakan nada suara dan bahasa badan yang sopan. Anak-anak tidak dilahirkan dengan kebolehan ini maka kitalah yang bertanggung jawab mengajar aspek penting dalam akhlak yang baik.

Menyediakan disiplin positif dan konsisten

Ibu bapa yang mempunyai ilmu pengetahuan dan kemahiran untuk menjalankan tugas membesarkan  anak-anak akan lebih mudah untuk mendidik mereka menjadi sopan dan menghormati. Apabila kita mempunyai kemahiran keibubapaan yang baik, kita akan mendapati bahawa tugas mendisiplinkan anak-anak adalah satu tugas yang mudah . Ini bermakna kita perlu mencari ilmu keibubapaan sebanyak mungkin. Membaca buku-buku yang bagus, menghadiri kelas-kelas keibubapaan, menyertai kumpulan sokongan dan sebagainya boleh membantu kita dalam tugas mendidik anak supaya berkelakuan sopan. 

Tegas tetapi adil

Membiarkan anak-anak berkelakuan buruk tanpa didikan hanya menjadikan mereka semakin teruk. Pastikan anak-anak kita tahu dan jelas tentang peraturan keluarga dan kita akan mengenakan tindakan yang sesuai jika peraturan itu tidak diikuti.

Disiplin yang tegas dan adil ialah disiplin yang teratur dan tidak berubah mengikut kepada mood kita.  Ia memerlukan konsistensi supaya anak-anak jelas dan pasti. ( Mereka mungkin tidak suka, tetapi mereka pasti tentangnya.) Yang menjadikan disiplin itu berkesan bukan hukuman atau tindakan yang dikenakan tetapi konsistensinya. Apabila anak-anak tahu dan jelas tentang kemahuan (harapan) kita, dan akan ada penalti jika gagal memenuhi kemahuan (harapan) itu, mereka akan lebih cenderung untuk berkelaluan seperti yang sepatutnya.

Puji tingkah laku yang baik.

Pujian dan galakan daripada ibu bapa memberi kesan yang besar terhadap anak-anak. “Pujian" tidak semestinya secara lisan sahaja. Ungkapan bukan lisan seperti isyarat OK dengan tangan, kenyitan mata, senyuman, pelukan dan lain-lain boleh juga dilakukan . Semua ini menyampaikan mesej positif kepada anak-anak yang baru sahaja melakukan sesuatu yang betul. Mesej positif ini mengukuhkan perlakuan baik mereka serta menggalakkan lebih banyak perlakuan positif yang sama dilakukan di masa depan.



Print Friendly and PDF

Share:

Mar 5, 2014

Mengapa anak berbohong.

Kita perlu memahami bahawa anak-anak prasekolah sering bercakap tentang sesuatu yang tidak betul tanpa ada niat untuk berbohong. Anak-anak prasekolah kadang-kadang keliru dan mencampur-adukkan antara realiti dan fantasi. 

Anak prasekolah selalunya beria-ia mempertahankan dirinya terhadap kesalahan yang telah dilakukannya walaupun telah jelas bahawa dia yang melakukan kesalahan tersebut. 

Sebagai contoh, anak prasekolah telah merosakkan mainan adiknya secara tidak sengaja. Ketika ibu/ayah bertanyakan hal itu kepadanya, dia akan menyangkal kejadian itu. 

“Siapa yang rosakkan mainan adik ni? Along ye..”
“Bukan Along yang rosakkan mainan itu”

Kita mungkin akan berasa marah (disebabkan dia berbohong) kerana telah jelas bahawa dia yang merosak mainan adiknya. Atau mungkin pula kita akan bersikap keras kepadanya supaya dia mengaku. Menangani masalah ini dengan marah dan berkeras terhadap anak bukanlah merupakan satu langkah yang bijak, kerana kekerasan dalam hal ini tidak akan membantu anak untuk mengetahui bahawa perbuatan berbohong itu tidak baik dan tidak dapat diterima. 

Apabila kita inginkan anak mengakui kesalahannya, maka pada waktu itu kita harus membuka jalan untuk anak mengaku secara sukarela. Misalnya, kita katakan begini kepada anak, “Ohhh…mainan ini telah rosak, ibu hairan, macam mana ia boleh rosak”.  Insya Allah anak akan menjelaskan siapa yang merosakkan mainan tersebut.


Apabila anak-anak mencapai usia sekolah rendah, kita menjangkakan mereka sudah tahu dan memahami perbezaan antara kebenaran dan fantasi. 

Jadi mengapa anak-anak pada usia ini masih berbohong? Antara sebabnya ialah:

• anak-anak percaya, apabila mereka memberitahu kebenaran, mereka akan dihukum. Justeru, untuk mengelakkan daripada dikenakan hukuman, mereka berbohong.
• anak-anak melihat orang lain terlepas daripada hukuman dengan berbohong, maka mereka mungkin terdorong untuk melakukan yang serupa.
• anak-anak mengada-ngadakan cerita di kalangan rakan sebaya untuk dilihat sebagai ‘cool’ dan diterima dalam kumpulan tersebut. Anak-anak yang bercakap besar juga mungkin kesunyian, bosan, atau mempunyai harga diri yang rendah.


Bagaimana untuk tahu jika anak-anak berbohong? 

Anak-anak yang masih muda kadang-kadang mereka/mencipta cerita yang kedengarannya tidak begitu munasabah. Beberapa soalan yang mudah juga boleh membantu mendedahkan pembohongan. Sebagai contoh, bertanya dengan tenang dari mana datangnya RM10 yang kita jumpa di dalam poket seluar sekolahnya. 

“Along, mama jumpa RM10 dalam poket seluar sekolah Along. Boleh Along bagitau mama, dari mana Along dapat duit sebanyak tu?”

Elakkan daripada cepat menuduh.

“Along, cepat bagitau mama dari mana Along dapat RM10 ni. Along curi dari beg duit ayah ye?”

Sebagai langkah untuk tidak menggalakkan pembohongan, ibu bapa perlu membincangkan masalah ini dengan anak-anak secara aman dan tenang. Adalah penting untuk anak-anak tahu bahawa berbohong TIDAK boleh diterima dan agama melarang sama sekali kita berbuat demikian. Terangkan kesan-kesan negatif yang boleh diakibatkan oleh pembohongan. 

“Sara, ibu berasa marah dan kecewa apabila Sara berbohong dengan ibu. Jika Sara terus-terusan berbohong, ibu takut satu hari nanti tiada siapa yang akan mempercayai Sara lagi. Ibu dan ayah pun susah nak percaya jika Sara asyik berbohong. Kawan-kawan pun tentu tidak suka berkawan dengan Sara.Sara kena ingat, berdusta itu dilarang oleh agama kita”

Beri peluang anak-anak untuk menjadi seorang yang jujur ​​dengan memuji mereka setiap kali mereka bercakap benar. Sambutan positif kita terhadap tingkah laku  mereka itu akan menggalakkan mereka untuk mengulangi kejujuran mereka pada masa akan datang. 


Jika kita mendapati anak-anak sukar untuk tidak berbohong, kita mungkin perlu untuk membuat peraturan/perjanjian bertulis yang ditandatangani oleh kita dan anak. Peraturan/perjanjian ini hendaklah menyatakan apa yang kita mahu anak lakukan (bercakap benar) dan nyatakan dengan jelas ganjaran dan akibat (hukuman) yang akan diterima sekiranya anak mematuhi atau mengengkari peraturan/perjanjian tersebut. Lekatkan perjanjian bertulis itu di tempat yang mudah dilihat (contohnya pada peti sejuk) untuk mengelakkan kita dan anak berbalah. 




Print Friendly and PDF


Share:

Dec 20, 2013

Menangani anak-anak hiperaktif


Gambar Hiasan

Ibu bapa sering kecewa dan stress menangani anak-anak yang terlalu aktif. “Anak saya terlalu aktif..tak boleh duduk diam walau seminit..melompat sana, melompat sini. Nak tengok dia duduk diam, hanya waktu dia tidur. Tidur pulak sekejap sahaja..Penatnya…saya tak sempat tarik nafas dibuatnya”  Begitulah agaknya keluhan ibu-ibu yang anak mereka terlalu aktif. Sebenarnya anak yang aktif menunjukkan mereka sihat. Otak mereka pantas berfikir untuk melakukan pelbagai aktiviti. Bayangkan jika anak kita terbaring saja, tentu kita susah hati juga dibuatnya. Justeru ibu-ibu..reframe minda kita untuk memandang situasi itu dari sudut yang positif untuk mengurangkan stress. Tips berikut mungkin boleh membantu kita dalam menangani anak-anak yang hiperaktif.

1) Tetapkan peraturan yang jelas untuk kanak-kanak hiperaktif dan untuk seisi keluarga. Jika perlu, tulis peraturan dan pampangkan di tempat yang boleh dilihat oleh semua ahli keluarga. Jangan fleksibel kerana kanak-kanak hiperaktif benar-benar memerlukan peraturan yang jelas dan menerima akibat apabila peraturan tersebut dilanggar. Beri penerangan dari mata ke mata tentang peraturan dan minta mereka mengulangi kembali apa yang kita katakan untuk memastikan mereka faham. Ini tidak bermakna kita tidak boleh menawarkan pilihan untuk kanak-kanak hiperaktif, tetapi tingkah laku yang tidak sopan seperti memukul , meludah atau mengejek patut menerima akibat yang telah ditetap. Bermakna kanak-kanak hiperaktif tahu bahawa mereka akan menghadapi hukuman sekiranya melanggar peraturan.

2) Rutin yang tetap boleh membantu kanak-kanak, termasuk kanak-kanak hiperaktif. Kebanyakan kanak-kanak cenderung untuk menghadapi  kesukaran apabila tidak ada rutin yang tetap dan konsisten. Jika kanak-kanak tahu bahawa waktu tidur adalah pada pukul 8:00 malam, maka secara semula jadi, itu akan menjadi tabiatnya. Sediakan rutin bagi aktiviti-aktiviti yang lain untuk  kanak-kanak hiperaktif, dan pastikan aktiviti-aktiviti tersebut tidak lebih dari 30 minit kerana kanak-kanak hiperaktif sukar untuk fokus untuk jangkamasa yang lama.

3) Gunakan masa lapang untuk membawa anak-anak hiperaktif keluar bersiar-siar ke taman permainan, membaca buku bersama-sama, atau sekadar bermain dan bergurau dengan mereka. Detik-detik seperti ini boleh membantu terutamanya untuk menjalin hubungan yang mesra dengan anak-anak hiperaktif. Anak-anak hiperaktif juga boleh dibenarkan bebas melakukan aktiviti sendiri selagi tidak melanggar peraturan yang telah dibuat.

4) Kanak-kanak hiperaktif sangat bertenaga, menyebabkan tumpuan mereka menjadi sukar. Salah satu cara untuk membantu menangani tenaga tambahan ini adalah dengan memberi mereka banyak peluang untuk melakukan aktiviti fizikal. Walaupun kita tidak sepatutnya membiarkan anak sampai ke tahap terlalu letih , senaman adalah cara yang bermanfaat untuk membantu memfokuskan tenaga berlebihan itu secara positif.

5) Oleh kerana tenaga kinetik kanak-kanak hiperaktif agak tinggi, hukuman apabila melanggar peraturan tidak harus dibuat dengan menyekat mereka bergerak kerana ni mungkin memburukkan lagi keadaan. Menggunakan pengukuhan dan kata-kata perangsang yang positif mungkin lebih berkesan untuk jangka masa panjang , walaupun ia mungkin mengambil sedikit masa untuk melihat kesannya.

6) Dr Phil McGraw (psychologist) berkata, disiplin yang terbaik adalah dengan memfokuskan pada tingkah laku kanak-kanak yang positif. Kanak-kanak akan bertindak balas terhadap pujian, dan lebih cenderung untuk mendapatkan perhatian dengan melakukan sesuatu yang baik, jika kita memberi penghargaan setiap kali mereka berkelakuan baik. Kanak-kanak hiperaktif sering mendapat perhatian daripada ibu bapa mereka dengan cara yang negatif , sama ada ibu bapa menjerit , membentak atau memukul disebabkan ibu bapa melabelkan mereka sebagai “buas”

7) Kebanyakan pakar mengesyorkan supaya mengelakkan daripada memberi terlebih rangsangan kepada kanak-kanak hiperaktif . Elakkan mereka daripada banyak menonton TV, dan jangan benarkan mereka menonton TV pada waktu malam. Bunyi TV yang kuat dan kadang-kadang mengkhayalkan boleh merangsang kanak-kanak hiperaktif. Pilih satu atau dua rancangan yang sesuai untuk mereka tonton. Kanak-kanak hiperaktif lebih mudah belajar dengan melakukan aktiviti bukan dengan duduk menonton. Jadi, sediakan banyak aktiviti yang memerlukan pergerakan untuk mereka.


8) Adalah penting untuk menyedari bahawa kanak-kanak hiperaktif tidak selalu mempunyai kawalan seperti kanak-kanak lain. Jangan menyalahkan mereka atas apa yang tidak mampu mereka kawal. Sesetengah guru gemar mengatakan bahawa jika kanak-kanak boleh berkelakuan baik sekali, mereka akan boleh berbuat demikian di lain kali tetapi ini tidak tepat untuk kanak-kanak hiperaktif. Banyak faktor yang boleh mempengaruhi keupayaan kanak-kanak hiperaktif untuk mempamerkan kawalan diri. Kita perlu peka terhadap faktor-faktor luaran yang boleh membuatkan kawalan diri menjadi lebih sukar, seperti ketegangan antara ibu dan bapa, kematian haiwan kesayangan, tidak cukup tidur dan sebagainya. Kanak-kanak yang tidak sihat sering buat perangai dan ini tidak terkecuali pada kanak-kanak hiperaktif juga.

Dalam menangani anak-anak yang hiperaktif, kita memerlukan kesabaran yang tinggi. Usah memberi label yang negatif (seperti "buas") kepada mereka. 



Share:

Nov 2, 2013

Cara-cara Mendidik Anak Berbudi Bahasa


Mengajar anak mengenai budi bahasa adalah suatu proses yang memerlukan masa yang berpanjangan dan bukan dalam masa tempoh yang singkat. Membentuk anak mengenai budi merupakan suatu proses yang berterusan. Anak2 yang masih kecil suka akan peraturan dan secara umumnya suka akan sesuatu yang baru dalam hidupnya. Jadi apa kata ikuti panduan untuk membentuk budi bahasa dalam diri anak2 dan anda sebagai boleh ibu bapa, suatu hari nanti boleh berbangga dengan hasilnya.

Ajar anak-anak mengenai apa itu hormat.
- Secara tidak langsung membuatkan mereka belajar untuk menghormati orang lain. Bukankah segalanya bermulanya dari rumah? Jadi, cakap dengan baik kepada anak dan tingkah laku itu akan membuatkan anak melakukan perkara yang sama kepada orang lain.

Bantu lakukan kerja rumah.
- Biarkan anak melakukan kerja rumah yang mudah seperti membuang sampah ataupun membawa pinggan plastik dan diletakkan di atas meja. Aktiviti ini merupakan suatu pengenalan kepada anak untuk membantu ahli keluarga membersihkan rumah serta jangan lupa untuk mengajarnya asas tatatertib menggunakan telefon.

Praktik kesopanan dalam keluarga.
- Setiap ahli keluarga perlu mempraktikkan perkataan ‘ tolong ‘ dan ‘ terima kasih ‘. Jadikan ia suatu ungkapan yang wajib dalam keluarga. Jika anak terlupa untuk untuk mengucapkan terima kasih, buat sesuatu untuk mengingatkannya seperi berkata, ‘ Ibu sedang menunggu ni…’ dan pastinya dia sedar bahawa anda sedang menunggu untuk dia ucapkan ' terima kasih ‘.

Mudah meminta maaf dan memaafkan.
-Galakkan anak untuk meminta maaf apabila telah melakukan kesalahan. Jadikan ungkapan meminta maaf sebagai satu kebiasaan. Ini akan membuatkan dia lebih disenangi dalam pergaulannya.

Memberikan pujian.
-Berikan pujian berbanding kritikan apabila anak melakukan perkara yang betul. Bagi anak-anak, pujian adalah kata-kata yang menakjubkan. Biarkan anak tahu bahawa anda sangat bangga apabila dia menunjukkan sikap yang sopan setiap masa.

Kongsi permainan dengan kanak-kanak lain.
-Berikan kata-kata pujian apabila dia sedia berkongsi dengan orang lain. Katakan kepadanya sikap suka berkongsi barang membuatkan dirinya disukai ramai.

Jangan terlalu inginkan hasil yang cepat.
- Melatih anak mengenai budi bahasa bukan suatu yang mudah. Dalam tempoh itu pelbagai kesalahan dilakukan. Ia merupakan suatu proses percubaan sama ada boleh dilakukan atau tidak. Anak akan belajar dari kesilapannya.

Menggunakan penggunaan ayat yang betul.
-Jika anak menggunakan perkataan. ‘ Adik mahu air,’ betulkan penggunaan ayatnya dan berkata, ‘ Boleh ibu tolong ambilkan adik air,?’ dan minta anak ulangi ungkapan tadi.

Duduk di meja dengan kedudukan yang sopan.
- Jangan membuat bising dan makan dengan sopan supaya tiada makanan atau minuman yang tumpah. Paling penting, jangan bergaduh di meja makan.

Menjadi model tatatertib kepada anak.
-Jika mulut anda penuh dengan makanan, jangan bercakap kerana anak akan mengikut apa yang kita lakukan.

Berlatih untuk duduk diam di meja makan.
-Lakukan dalam tempoh masa 15 ke 20 minit. Ini akan mengajar anak berdisiplin di meja makan tanpa melakukan sebarang perbuatan yang mungkin membuatkan kita marah.

Gunakan perkataan ‘ tolong ‘.
-Guna perkataan ini apabila mahu meminta anak mengambil barang yang mahu. Pastikan barang itu mudah untuk diambil dan tidak mudah pecah.

Komen.
-Jangan membuat komen yang tidak baik mengenai makanan di hadapannya. Jika tidak mahu katakan ‘ tidak, terima kasih ‘

Minta kebenaran.
-Jika anak merampas barang permainan rakannya, katakan kepadanya,‘ perbuatan kamu ini tidak baik kerana mengambil barang kawan tanpa kebenaran’

Salam.
-Menghulurkan tangan untuk berjabat salam apabila berjumpa dengan orang yang lebih tua daripadanya. Ia mampu melahirkan perasaan hormat dalam diri anak.

Suara.
-Beritahu kepadanya tempat yang perlu bersuara kuat dan tempat yang perlu bersuara perlahan.


Ramai anak-anak sekarang belajar berkomunikasi dari rakan-rakan sebaya mereka. Akibatnya mereka mempelajari bahasa kasar dan bahasa yang tidak sesuai untuk berkomunikasi. Oleh itu, dedahkan hidup anak-anak dengan persekitaran yang cemerlang.

-----------------------------------------------------------
Sumber: Pa & Ma


Share:

Oct 13, 2013

Menangani anak yang terlalu aktif/hiperaktif

Ramai ibubapa yang mempunyai anak hiperaktif memandang ringan masalah yang melanda anak-anak mereka. Bagaimanapun, ada juga ibubapa menggunakan kekasaran untuk menangani perilaku anak-anak hiperaktif. Anak-anak hiperaktif seharusnya di didik menggunakan pendekatan yang sedikit berbeza daripada anak-anak normal yang lain.

1. Latih anak-anak hiperaktif untuk displin, agar dia dapat mengatur dirinya dengan baik.
2. Jangan menghukumnya kerana perilaku hiperaktif tersebut bukan sepenuhnya kesalahan anak anda.
3. Jangan sesekali melabel anak hiperaktif ( atau anak-anak) sebagai anak nakal, malas atau bodoh, kerana akhirnya  ia akan bersikap seperti yang dilabelkan kepadanya.
4. Keefektifan sesebuah rawatan berbeza-beza bagi setiap anak. Ibu bapa harus menentukan rawatan yang terbaik buat anak.
5. Berikan kasih sayang (bukan memanjakan) pada anak hiperaktif melebihi saudaranya. Alasannya, seberapa banyak kasih sayang yang ditumpahkan pada anak hiperaktif, ia tetap tidak akan penuh.
6. Dalam mengajar anak hiperaktif, jangan bosan untuk terus menerus mengulang hal-hal yang sama, agar cepat dapat dipelajari dan diingati seperti anak yang normal.
7. Apabila di depan anak, katakanlah pada orang lain bahawa ida adalah anak yang baik, dan jangan mengunkit-ungkit kesahan-kesalahan yang pernah dilakukan.
8. Selalulah berwaspada, perhati dan kawal anak agar ia tidak bertindak sesuatu yang boleh membahayakan diriny atau orang lain.
9. Perbanyakkan komunikasi dengan anak. Jika pada anak normal kita cenderung berkomunikasi pada saat-saat tertentu, pada anak hiperaktif kita seharusnya berkomunikasi 'setiap satu minit sekali'.
10. Salah satu hal yang paling sulit mengatasi anak hiperaktif adalah ketika sedang berada di meja makan dan kita meminta mereka memakan sendiri. Mungkin dia akan memainkan makanannya atau berlari-lari mengelilingi meja makan. Jangan marah dia! Yang harus anda lakukan adalah menyuapkan mereka dengan sabar.
11. Kita sebagi ibubapa bolehlah bertanyakan kepada doktor untuk mengentahui apakah anak-anak kita akan mengalami alahan terhadap beberapa jenis makanan yang tertentu serta apaka perlu ada cara penyediaan yang khusus untuk hidangan anak-anak hiperaktif.
12. Untuk anak-anak hiperaktif, kita sebagai penjaga perlu berhati-hati dengan program-program di kaca television yang menampilkan adegan-adengan yang ganas, tidak bermoral serta boleh memudaratkan cara berfikir mereka.
13. Anak hiperaktif memang kurang bijak untuk mengendalikan diri mereka terutamanya di kala sikap agresifnya menguasai. Sebaik-baiknya fikirkan cara agar tenaga agresifnya itu disalurkan pada aktiviti yang tepat. Misalnya dengan mengizinkan mereka mengikuti aktiviti-aktiviti luar atau membuat pekerjaan rumah atau sebagainya.
14. Selain dari itu, ibubapa yang mempunyai anak-anak hiperaktif menggunakan pendekatan berdasarkan agama seperti membaca doa. Antara doa-doa yang sesuai diamalkan oleh orang tua untuk anak-anaknya.
a) Al Bagarah : 128 Doa agar anak patuh kepada Allah
b) Al Imran : 38 Doa agar diberi anak yang baik.
c) Furqan : 74 Doa agar diberi zuriat yang menyenangkan hati
d) Ibrahim : 40 Doa agar anak tetap mengerjakan solat

------------------------------------
Credit to: 
Majalah Nur.
SahabatIntraktif Yahoogroups.
Taman2Syurga Yahoogrops


Share:
Copyright © Ibubapa Cemerlang | Powered by Blogger
Design by SimpleWpThemes | Blogger Theme by NewBloggerThemes.com