Khamis, 30 Jun 2011

SEBUTAN KES BUNUH KHALID SA'ID DITANGGUH LAGI

Mahkamah Jenayah Iskandariah hari ini menangguhkan sebutan kes bunuh Khalid Sa'id kepada 24 September depan,keputusan yang membangkitkan lagi kemarahan rakyat kerana melengah-lengahkan hukuman ke atas pembunuh Khalid Sa'id. Sa'id adalah seorang pemuda yang mati akibat pukulan dua anggota Balai Polis Sidi Gabir, Iskandariah yang antara penyebab tercetusnya revolusi 25 Januari lepas.
Khalid Sa'id

Sumber akhbar Syoruq pula melaporkan semalam, sebahagian ahli keluarga mereka yang terbunuh dalam revolusi menyertai demontrasi yang kini diadakan di hadapan bangunan Redio dan Televisyen Mesir (Masbero) di Tahrir. Mereka menyifatkan kelewatan mahkamah menjatuhkan hukuman ke atas mereka yang membunuh penunjuk perasaan ketika revolusi itu sebagai "masih dibayangi pengaruh Mubarak dan partinya".

16 LAGI KORBAN KEGANASAN TENTERA DI SYRIA

16 orang lagi dilaporkan terbunuh semalam, hari Rabu di seluruh Syria dalam operasi ketenteraan yang masih berlarutan hingga kini. Kekuatan tentera yang disokong dengen kereta kebal, kereta perisai masih dilihat memasuki beberapa kampung di kawasan pergunungan Zawiyah dalam wilayah Idlib, utara Syria. Tunjuk perasaan rakyat bagi menuntut kebebasan masih diteruskan di seluruh Syria. Ketua Hak Asasi Manusia Syria Ammar El-Qurabi melaporkan, kerajaan semalam turut memotong bekalan elektrik dan internet dari kawasan Zawiyah.

Sementara di bandar Halab, sekitar 300 orang peguam berdemontrasi di bangunan Kehakiman sebagai bantahan terhadap kekerasan yang dilakukan tentera ke atas rakyat.

DR.BADI'E UMUM JURUCAKAP RASMI IKHWAN


Mursyidul 'Am Ikhwan Muslimin, Dr.Mohammad Bad'ie menjelaskan bahawa jurucakap rasmi atas nama jamaah Ikhwan sebagai mewakili beliau ialah:
  • Dr.Rasyad Al-Bayyumi (Naib Mursyidul 'Am)
  • Ustaz Jum'ah Amin Abdul Aziz (Naib Mursyidul 'Am)
  • Dr.Mahmud Ezzat (Naib Mursyidul 'Am)
  • Ir.Kheirat Syatir (Naib Mursyidul 'Am)
  • Dr.Mahmud Husein (Setiausaha Agung)
  • Jurucakap rasmi media ialah Dr.Mahmud Ghazlan (anggota Maktab Irsyad)

Rabu, 29 Jun 2011

SYEIKH QARDHAWI TERIMA KUNJUNGAN ULAMAK

Ketua Ulamak Muslimin SeDunia, Syeikh Dr.Yusuf Qardhawi menerima kunjungan dari Naib Mursyidul 'Am Ikhwan Muslimin, Ustaz Jum'ah Amin bersama anggota Maktab Irsyad Ikhwan, Dr.Abdul Rahman Al-Barr di pejabat beliau di Doha, Qatar. Ziarah tersebut sebagai kunjungan mahabah selepas keuzuran yang menimpa Syeikh Qardhawi beberapa bulan lalu. Beliau dijangka akan berlepas dari Doha ke Kaherah sekitar bulan Julai ini bagi menghadiri perhimpunan di Kaherah.

Selain itu, turut menziarahi beliau ialah Setiausaha Agung Kongres Rakyat Sudan Dr. Hasan Abdullah Turabi, Setiausaha Agung Kesatuan Doktor-Doktor Arab, Dr.Abdul Mun'im Abul Futuh yang juga bekas anggota Majlis Syura 'Am Ikhwan yang kini calon Presiden Mesir.

KAMI BUKAN MINTA KUASA-DR.BAD'IE



28 Januari, Selasa lepas, satu lagi sejarah bagi Ikhwan Muslimin khasnya bagi wilayah Menufiyah apabila pejabat cawangan mereka dirasmikan oleh Mursyidul 'Am Dr.Mohammad Bad'ie. Pejabat tersebut terletak di bandar Shibin El-Kom. Selepas majlis perasmian yang turut dihadiri Setiausaha Agungnya, Dr.Mahmud Husein itu, turut menyaksikan ribuan rakyat menyertai himpunan bagi mendengar ucapan dari Mursyidul 'Am. Dalam ucapannya, beliau menjelaskan bukan menjadi matlamat Ikhwan Muslimin bagi menguasai dan memerintah kerajaan akan tetapi kehadiran mereka dalam arus politik Mesir adalah sebagai maslahah negara.
Dr.Mohammad Bad'ie berucap di perhimpunan bersama rakyat.

Sumber: www.ikhwanonline.com

Isnin, 27 Jun 2011

TUAN GURU NIK AZIZ ZIARAH IMAM BUKHARI, TARMIZI SEBELUM ZIARAH RASULULLAH


Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat akan menziarahi Uzbekistan. Di sana terdapat maqam Imam Bukhari, seorang ulamak Hadith yang masyhur dan kitab Hadith beliau, Sahih Bukhari adalah menjadi rujukan selepas Al-Quran. Selain Imam Bukhari, Imam Tarmizi juga dikembumikan di sana.

Dipetik dalam blog Tuan Sayuti Omar, Tuan Guru kemudian akan melakukan umrah dan menziarahi maqam Rasulullah s.a.w di Madinah. Petikan berikut dari blog tersebut:

"ESOK Tok Guruku Nik Abdul Aziz Nik Mat bersama rombongan akan berlepas ke Uzbekistan jam 11:00 di Lapangan Terbangan KLIA Kuala Lumpur. Beliau dan rombongan akan berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Pengkalan Chepa jam 6:30 pagi. Lawatan beliau ke negeri bekas jajahan Russia itu dalam rangka menziarahi makam Imam Bukhari dan Imam Termizi yang terletak di negara berkenaan. Imam Bukhari dan Imam Termizi adalah antara perawi hadith yang terkenal dan tergolong dalam hadith-hadith sahih. Beberapa orang wakil rakyat mengikuti rombongan berkenaan antara mereka ialah Adun Limbongan, Drs Zainudin Awah Hamat, Adun Meranti Nasaruddin Daud yang juga Speaker Dun Kelantan, Adun Kemumin Mohd Amar Nik Abdullah yang juga Exco kerajaan Kelantan dan Adun Lanas, Abdullah Yaacob. Rombongan Tok Guru dijangka akan berada di Uzbekistan selama dua hari sebelum berlepas ke Dubai untuk menuju ke Madinah."

Sumber: www.msomelayu.blogspot.com

MURSYIDUL 'AM IKHWAN DI SHIBIN EL-KOM ESOK


Mursyidul Am Ikhwan Muslimin, Dr.Mohammad Bad'ie akan merasmikan Pejabat Ikhwan cawangan Menufiyah di El-Barr El-Syarqi, bandar Shibin El-Kom, esok Selasa 28 Jun. Beliau juga dijangka menyampaikan ucapan di perhimpunan rakyat selepas perasmian pejabat tersebut.

Sementara itu, Setiausaha Agung Ikhwan Muslimin Dr.Mahmud Husein memaklumkan keputusan organisasi tertinggi Ikhwan Muslimin, Maktab Irsyad yang menetapkan pada hari Sabtu depan bersamaan 2 Julai 2011 akan diadakan muktamar umum khas bagi muslimat di bawah tema "Muslimat: Dari Revolusi ke arah Kebangkitan" bertempat di Dewan Al-Azhar Confrence Centre (ACC) Madinah Nasr. Muktamar akan dirasmikan oleh Mursyidul 'Am, Dr.Mohammad Bad'ie yang akan bermula jam 10 pagi.

NABIL 'ERABI SETIAUSAHA AGUNG LIGA ARAB GANTI 'AMR MUSA


Menteri Luar Mesir, Nabil 'Arabi mula berkhidmat sebagai Setiausaha Agung Liga Arab yang baru menggantikan 'Amru Musa. Nabil 'Arabi adalah Setiausaha Agung yang ke-7 dalam institusi menggabungkan negara Arab itu. 'Arabi dilahirkan pada 15 Mac 1935 merupakan Menteri Luar dalam kabinet Perdana Menteri, Dr.Essam Syaraf selepas revolusi Mesir. Beliau dilantik ke jawatan tersebut bermula 7 Mac 2011.

Pada 15 Mei 2011, Mesir telah mencalonkan Nabil 'Arabi sebagai calon Setiausaha Agung bagi Liga Arab setelah menarik semula pencalonan wakil mereka sebelum itu, Mustafa El-Feqi manakala Qatar, sebuah lagi anggota Liga Arab turut mencalonkan wakil mereka, Abdul Rahman Ahmed Al-Etiyah ke jawatan tersebut tetapi diisytiharkan Mesir memenangi jawatan itu setelah Qatar menarik diri dari pencalonan. Sejak ditubuhkan tahun 1945, enam dari tujuh Setiausaha Agung Liga Arab adalah dari negara Mesir kecuali penyandang ke-4 iaitu Syazili El-Qalibi (dilantik bermula 1979-1990) adalah dari negara Tunisia. Itupun kerana pejabat Liga Arab berpindah ke Tunisia tahun 1979 kerana membantah Perjanjian Camp David yang dimetrai antara Mesir dan Israel. Liga Arab diasaskan pada 22 Mac 1945 oleh 7 negara dan kini dianggotai 22 buah negara Arab manakala tiga negara pemerhati.
Setiausaha Agung Liga Arab sejak 1945:
1) Abdul Rahman 'Azzam (1945-1952)
2) Muhammad Abdul Khaliq Hasunah (1952-1971)
3)Mahmud Riyadh (1971-1979)
4)Syazili El-Qalibi (1979-1990)
5)Ahmad 'Esmat Abdul Majid (1990-2001)
6) 'Amru Musa (2001-2011)
7) Nabil 'Erabi (2011-sekarang)

Bekas pembantu Menteri Luar bagi Hal Ehwal Ekonomi,Muhammad El-'Arabi dilantik menggantikan Nabil 'Erabi sebagai Menteri Luar Mesir.

Sabtu, 25 Jun 2011

KRISIS ANTARA AGAMA DI MESIR TERCETUS LAGI


Perbalahan antara agama di Mesir tercetus lagi. Setelah hanya beberapa bulan lepas gereja di Imbabah dibakar dan menyebabkan kematian 20 nyawa. Gereja tersebut telah dibaikpulih dan sudah boleh digunakan. Namun, semalam ia tercetus kembali di wilayah Suhaj, utara Mesir. Empat buah rumah di salah sebuah kampung yang didiami Kristian dibakar setelah seorang penduduk Kristian melepaskan tembakan ke arah pemuda Islam.

Isnin, 20 Jun 2011

SEBUAH LAGI PEJABAT IKHWAN DIRASMI


Sebuah lagi pejabat Ikhwan Muslimin cawangan Belbis dirasmikan semalam dengan kehadiran dari rakyat tempatan termasuk pemimpin daerah dan para ulamak Al-Azhar. (Klik untuk baca berita) Belbis adalah sebuah bandar kecil yang terletak dalam wilayah Timur (Syarqiyah), kira-kira 40 kilometer sebelum bandar Zaqaziq, ibu negeri Syarqiyah. Belbis juga melahirkan puluhan ulamak yang masyhur antaranya Syeikh Dr.Abdul Halim Mahmud, Syeikh Al-Azhar yang berasal dari Kampung As-Salam, Belbis.

Pejabat Ikhwan kali ini yang dirasmikan oleh Dr.Mahmud Ezzat, Naib Mursyidul Am, yang menjadi kebiasaan pejabat atau markaz dirasmikan oleh Mursyidul 'Am. Mungkin juga kerana Dr.Mohammad Badi'e telah banyak merasmikan pejabat Ikhwan lain sebelum ini, terdekat hanya lebih seminggu lepas, Dr.Badi'e merasmikan pejabat Ikhwan cawangan Bandar 6 Oktober. Begitulah kehebatan Ikhwan Muslimin selepas berlaku revolusi 25 Januari. Belum lagi memerintah negara, pemimpin mereka mempunyai jadual yang amat padat bersama rakyat dan mengatur strategi khasnya bagi berhadapan pilihan raya negara September depan. Setiap lapangan yang boleh mereka masuki, akan dijadikan medan menyampaikan dakwah Islam buat masyarakat.

Tidak hairan kini banyak aktiviti mendekati masyarakat diadakan antaranya pemeriksaan kesihatan percuma, karnival jualan barang dapur secara borong bagi mengelakkan kenaikan harga barang, pemuda-pemuda turun melakukan kerja-kerja pembersihan dan mengindahkan bandar seperti mengecat bahu jalan dan baru-baru ini, ketika peperiksaan sekolah menengah berlangsung di Mesir, Ikhwan Muslimin cawangan Asyut mengadakan kerjasama dengan Bahagian Peperiksaan sekolah-sekolah di Asyut membantu perjalanan peperiksaan di sana. Inilah antara lapangan yang disertai Ikhwan Muslimin dan politik adalah salah satu cabang mereka dengan menubuhkan Parti Kebebasan dan Keadilan.

"JUMAAT SOKONGAN KEPADA REVOLUSI SYRIA"


Kesatuan Ulamak Islam Se-Dunia menyeru umat Islam untuk menjadikan Jumaat depan sebagai "Jumaat Sokongan Kebangkitan Rakyat Syria". Seruan tersebut antara lain mencadangkan agar diadakan solat ghaib bagi syuhada' yang terbunuh selepas solat Jumaat dan memohon doa kepada ALLAH agar diberikan bantuan kepada perjuangan rakyat Syria.

Ia dibuat dengan kerjasama beberapa kesatuan ulamak Islam lain seperti Kesatuan Ulamak negara Teluk, Kesatuan Ulamak Syria di luar, Kesatuan Ulamak Sunnah dan beberapa persatuan Islam di Eropah dan lain-lain. "Jumaat sokongan bagi Revolusi Syria" itu penting bagi menyokong kebangkitan rakyat Syria menentang kezaliman pemimpin negara tersebut. Keterangan dari Kesatuan Ulamak Islam Se-Dunia yang ditandatangani pengerusinya, Syeikh Dr.Yusuf Qardhawi dan Setiausaha Agung Dr.Ali Qarrah Daghi itu juga menyeru rakyat, ulamak dan pemikir Syria agar bersabar serta yakin dengan bantuan ALLAH.

Sumber: Al-Jazeera.net

DIKTATOR TUNISIA BEN ALI DIHUKUM PENJARA 35 TAHUN

Mahkamah Tunisia bersidang menjatuhkan hukuman ke atas Ben Ali

Mahkamah Tunisia semalam menjatuhkan hukuman penjara 35 tahun ke atas Presiden yang diguling Zeinal Abidin Ben Ali dan isteri, Laila. Hukuman tersebut adalah sebahagian dari 93 tuduhan yang dihadapkan ke atas diktator Tunisia itu manakala tuduhan selebihnya akan dibicarakan lagi selepas ini. Hukuman tersebut dijatuhkan tanpa kehadiran kedua-dua tertuduh yang kini masih berada di Saudi. Mahkamah turut mengenakan denda sejumlah USD 56 juta bersabit kesalahan menggelapkan harta awam.

DUN KELANTAN LANTIK DR JOHARI SENATOR BARU


Ketua Eksekutif Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias), Datuk Dr. Johari Mat dipilih sebagai Anggota Dewan Negara (Senator) bagi menggantikan Senator Ahmad Rusli Ibrahim bermula awal Julai ini.

Pelantikannya diumumkan Speaker DUN Kelantan, Datuk Nasaruddin Daud dalam Sidang DUN Kelantan semalam setelah ianya dicadangkan oleh Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Cadangan itu disokong oleh timbalannya, Datuk Ahmad Yakob dan mendapat sokongan Anggota Dewan Undangan Negeri yang lain selepas diundi.

Dr. Johari Mat yang dilahirkan pada 28 April 1952, merupakan anak jati negeri Kelantan. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Bukit Panau, Tanah Merah, Kelantan (1960 – 1961), kemudiannya ke Sekolah Menengah Arab Ihsan, Tanah Merah, Kelantan (1963 – 1969) dan seterusnya ke Sekolah Menengah Maahad Muhammadi, Kota Bharu, Kelantan (1970 –1971).

Beliau mendapat BA Syariah dan Undang-Undang di Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan (YPTIK), Nilam Puri, Kota Bharu, Kelantan (1972 – 1975) dan seterusnya MA Usuluddin Universiti Imam Mohd Ibn Saud al-Islamiyyah, Riyadh, Saudi Arabia (1978 – 1982) (Pengkhususan : Akidah dan Aliran Pemikiran Semasa)

Beliau memperolehi Ph.D Usuluddin Universiti Imam Mohd Ibn Saud al-Islamiyyah, Riyadh, Saudi Arabia(1990 – 1994) (Pengkhususan: Akidah dan Aliran Pemikiran Semasa)

Sebelum ini beliau pernah bertugas sebagai tutor, Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan (YPTIK) 1976 – 1981

1981 - 1983 - Tutor, Universiti Malaya, Kuala Lumpur

1983 – 1999 - Pensyarah, Akademi Islam Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

1999 - 2001 – Prof Madya, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Kuala Lumpur

2001 – 30/4/2003 -Prof Madya, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Kelantan.

Beliau juga pernah bertugas sebagai :
  • Timbalan Dekan Fakulti Usuluddin, Universiti Malaya (1983 – 1985), Penyelaras Pendidikan Islam, Universiti Malaya (1984 – 1985).
  • Dekan Fakulti Usuluddin, Universiti Malaya (1985 – 1990)
  • Pemangku Ketua Akademik Pengajian Islam, Universiti Malaya (1987)
  • Ketua Jabatan Akidah Dan Pemikiran Islam, Universiti Malaya (1996 – 1999)
Sumber: HarakahDaily.net

Ahad, 19 Jun 2011

KHIANAT SUMPAH ANTARA 8 TUDUHAN KE ATAS MUBARAK


Satu kajian dijalankan ke atas bekas Presiden Mesir Hosni Mubarak yang kini sedang disiasat dengan pelbagai tuduhan sewaktu memerintah. Antara kesalahan tersebut yang dikategorikan "amat serius" ialah mengkhianati sumpah sebelum memegang jawatan. Ini kerana setiap pemimpin di mana jua peringkat dan di mana jua negara sekalipun pasti akan melafazkan sumpah taat setia kepada negara sebaik sahaja dilantik. Tambahan bagi pemimpin beragama Islam mereka tentu akan bersumpah dengan nama ALLAH.

Selain itu,sebanyak tujuh tuduhan lain boleh dikenakan ke atas Mubarak yang bakal berhadapan dengan hukuman gantung sampai mati dan penjara hingga 90 tahun jika sabit kesalahan di mahkamah.

Para pakar perlembagaan Mesir menjelaskan, sebanyak lapan tuduhan melakukan jenayah boleh didakwa ke atas Mubarak:
  • Tiga daripadanya boleh dijatuhkan hukuman mati
  • Lima lagi penjara hingga 90 tahun.

Lapan jenayah tersebut ialah :
  • Menggelapkan harta awam
  • Mengelak dari pendakwaan ke atas dirinya
  • Penipuan pilihanraya negara
  • Mengarahkan tembakan dilepaskan kepada penunjuk perasaan
  • Penipuan dalam pengisytiharan harta sepanjang menjawat jawatan Presiden
  • Menjatuhkan ekonomi negara
  • Melanggar sumpah memegang jawatan
  • Pembunuhan ribuan tahanan politik

Seorang pakar perlembagaan Mesir Ibrahim Darwish berkata, "Ketika mengangkat sumpah jawatan, Mubarak berjanji dalam sumpahnya akan memelihara perlembagaan dan undang-undang serta menjaga kepentingan rakyat juga memelihara keamanan dan keselamatan negara. Akan tetapi menteri-menterinya sendiri mengakui akhir-akhir ini bahawa Mubarak meninggalkan pemerintahannya sejak berpuluh tahun untuk diwarisi hartanya kepada anak serta isterinya. Ini jelas pelanggaran sumpah Mubarak sebanyak enam kali pada setiap kali pada permulaan pemerintahannya (selepas pilihanraya). Begitu juga Mubarak melanggari sumpahnya ketika mana dia memilih menteri-menteri yang bermasalah menerajui kementerian hingga membawa kemerosotan ekonomi yang dahsyat."

Dr.Hasan As-Sibai'e, seorang lagi pakar perlembagaan berkata, pengkhianatan Mubarak terhadap sumpahnya sebelum memegang jawatan seperti jenayah mengkhianati negara dan khianat kepada negara hukumannya ialah hukuman mati.

Kata Muhammad Munib "Pengakuan yang diberikan bekas Menteri Dalam negeri Mubarak, Habib Adli sewaktu siasatan Pejabat Pendakwa Raya berkaitan kes pembunuhan penunjuk perasaan, ia tidak bermakna bahawa hanya Adli yang terlibat bahkan sebagai ketua kerajaan Mubarak juga bertanggungjawab mengeluarkan perintah menembak penunjuk perasaan. Maka hukuman yang setimpal kepada jenayah ini ialah hukuman mati."

Selain itu kata Munib, sepanjang pemerintahannya, ribuan penyokong dan pimpinan parti pembangkang dan golongan berhaluan Islam ditahan dan merengkuk dalam penjara bahkan ramai juga dikalangan mereka yang dibunuh dalam penjara di tangan pasukan polis yang menjaga kuasa Mubarak, Amnu Daulah.

Bagi jenayah lain, berkata seorang peguam Sa'ad Abud, bekas Ahli Parlimen Mesir bahawa Mubarak juga melakukan penipuan dalam pengisytiharan harta miliknya sepanjang memerintah Mesir apabila dia menyembunyikan jumlah sebenar harta yang dimiliki. Selain itu Mubarak juga yang bertanggungjawab merancang melakukan penipuan dalam pilihanraya Parlimen yang hukumannya boleh dipenjarakan antara 3 hingga 15 tahun.


Sementara bagi anaknya Jamal, sebanyak 10 kesalahan jenayah boleh didakwa yang boleh dikenakan penjara antara 70 hingga 150 tahun.

Bagi isterinya, Suzan pula empat tuduhan jenayah yang boleh membawa penjara antara 15 hingga 45 tahun.

Sabtu, 18 Jun 2011

IKHWAN MUSLIMIN LUCUT KEAHLIAN ABUL FUTUH

Dr.Mohammad Badi'e (kanan) merasmikan mesyuarat Majlis Syura Ikhwan bersama Setiausaha Agung Ikhwan,Dr.Mahmud Husein (tengah) dan Naib Mursyidul 'Am, Khairat Syatir (kiri).

Majlis Syura 'Am Ikhwan Muslimin pada mesyuarat kali keempat bagi penggal 2011-2014 yang berlangsung hari ini, Sabtu 16 Rejab 1432H bersamaan 18 Jun 2011 bertempat di Pejabat Utama di Muqattam menetapkan untuk melucutkan keahlian bekas anggota Majlis Syuranya, Dr.Abdul Mun'im Abul Futuh. Pelucutan keahlian beliau ini atas pendirian beliau yang telah mengumumkan untuk bertanding dalam pilihanraya Presiden Mesir, satu tindakan yang melanggari ketetapan Majlis Syura 'Am Ikhwan yang bermesyuarat pada 10 Februari 2011 dan diputuskan sebulat suara pada himpunan Syura yang diadakan pada 29 dan 30 April lalu.

Ikhwan Muslimin dalam mesyuarat Majlis Syura mereka April lalu memutuskan :
  • Untuk tidak mencalonkan mana-mana dari kalangan ahli mereka dalam pertandingan Presiden Mesir
  • Untuk tidak akan menyokong mana-mana individu yang mencalonkan diri untuk ke jawatan tersebut.
Pengumuman pelucutan tersebut diumumkan oleh Setiausaha Agung Ikhwan, Dr.Mahmud Husein selepas berakhir mesyuarat yang dipengerusikan oleh Mursyidul 'Am Dr.Mohammad Bad'ie selaku Pengerusi Majlis Syura 'Am Ikhwan Muslimin dengan dihadiri seramai 105 anggota Syura manakala 15 orang lagi tidak hadir termasuk 11 dari mereka yang bermusafir dan sakit. Keputusan Majlis Syura 'Am itu dicapai setelah mendengar penjelasan dari Jawatankuasa Tetap Siasatan dan Pemilihan Ikhwan yang menjalankan siasatan terhadap Abul Futuh.

Dr.Abdul Mun'im Abul Futuh adalah bekas pemimpin kanan Ikhwan Muslimin, bekas anggota Maktab Irsyad, sebuah organisasi tertinggi Ikhwan (bermula 1987 hingga 2009) selain ahli Majlis Syura 'Am Ikhwan. Selepas Revolusi 25 Januari lepas, beliau mengumumkan untuk bertanding dalam pilihanraya Presiden Mesir. Walau bagaimanapun keputusan tersebut bercanggah dengan ketetapan Ikhwan yang hanya mengumumkan untuk bertanding bagi kerusi Parlimen, tidak kerusi Presiden Mesir.
Dr.Abdul Mun'im Abul Futuh

Abul Futuh adalah Setiausaha Agung Kesatuan Doktor-Doktor Arab (bermula Mac 2004 hingga sekarang) adalah graduan Fakulti Perubatan Universiti Kaherah tahun 1976 selain memegang Ijazah Pertama Fakulti Undang-Undang Universiti Kaherah dan Ijazah Kedua (Master) di Fakulti Perniagaan Universiti Helwan. Pernah dipenjarakan pada tahun 1996 selama 5 tahun di bawah rejim Mubarak.

Sumber: www.ikhwanonline.com

Jumaat, 17 Jun 2011

25 LAGI SYAHID JUMAAT SEMALAM DI SYRIA

Pagi Jumaat semalam, saya mengikuti berita pagi Al-Jazeera, seorang penduduk Syria dari Jasr Syaghur, Wusam Nebhan dihubungi Al-Jazeera berkaitan keadaan di sana. Selepas beliau menceritakan keadaan kampung dan pekan yang dikawal ketat oleh tentera dan kereta kebal serta anggota polis terdapat di setiap jalan Syria, beliau ditanya oleh pengacara program "Adakah kamu dan rakyat akan keluar demontrasi hari ini?" "Insya ALLAH." jawab Wusam. "Sekalipun kamu lihat tentera mengawal ketat jalan-jalan di negara kamu, kamu tidak takut?" "Tidak, kami tidak takut sesiapa kecuali ALLAH" jawab Wusam penuh yakin. "Kami tiada pilihan lain untuk kemerdekaan"

Ternyata semalam seperti yang dilaporkan seluruh Syria menyaksikan demontrasi tetap diadakan dengan apa yang dinamakan aktivis sebagai "Jumaat Syeikh Soleh 'Ali". Syeikh Soleh Ali ialah nama wira yang memperjuangkan kebebasan bagi Syria dari Perancis satu ketika dahulu. Sekitar 25 orang dilaporkan dibunuh tentera Syria dalam demontrasi di bandar-bandar Syria.

Laman web El-Mokhtasar memetik bahawa Basyar Al-Asad mengucapkan tahniah kepada Erdogan atas kemenangan AK dalam pilihanraya Parlimen baru-baru ini. Tindakan bagi hubungan diplomatik antara dua negara jiran itu mendapat respon dingin dari PM Turki itu. Beliau meminta menyelesaikan konflik berdarah negara tersebut. Mungkin itulah aulawiyat yang ingin diajar Erdorgan kepada Basyar yang keras kepala lagi zalim itu. TV Turki juga menyiarkan bagaimana Menteri Luar Turki Ahmet Daud Oglu mengadakan lawatan ke khemah-khemah pelarian bagi rakyat Syria di sempadan negara Turki-Syria. Bahkan Daud melayan dan berbual mesra dengan rakyat Syria yang ditempatkan di khemah tersebut dan menyantuni kanak-kanak yang menjadi mangsa kezaliman pemimpin yang sepatutnya menjaga kebajikan mereka. Turki juga menyatakan sikap tegas mereka melalui wakil Presiden Basyar, Hassan Turkmani seperti yang dilaporkan. (klik untuk lihat)


KENYATAAN RASMI MANHAL BERKAITAN KARIKATUR UTUSAN

Merujuk karikatur yang dimuat di dalam dada akhbar Utusan bertarikh 15 Jun 2011, ia dilihat sebagai usaha mempersenda agama Islam. Konten karikatur tersebut menggambarkan bahawa Islam tidak sedikit pun membela hak dan maruah manusia. Di dalam surah al-Taubah ayat 65 dan 66, Allah telah mencela golongan yang mempersenda-senda agama Islam:

وَلَئِنْ سَأَلْتَهُمْ لَيَقُولُنَّ إِنَّمَا كُنَّا نَخُوضُ وَنَلْعَبُ قُلْ أَبِاللَّهِ وَآيَاتِهِ وَرَسُولِهِ كُنْتُمْ تَسْتَهْزِئُونَ (65)
لا تَعْتَذِرُوا قَدْ كَفَرْتُمْ بَعْدَ إِيمَانِكُمْ إِنْ نَعْفُ عَنْ طَائِفَةٍ مِنْكُمْ نُعَذِّبْ طَائِفَةً بِأَنَّهُمْ كَانُوا مُجْرِمِينَ 66)

“Dan jika kamu tanyakan kepada mereka (tentang apa yang mereka lakukan itu) tentulah mereka akan menjawab : sesungguhnya kami hanyalah bersenda gurau dan bermain-main sahaja. Katakanlah : Apakah dengan Allah, ayat-ayat-Nya dan rasul-Nya kamu selalu mempersendakan? (65) Tidak perlu kamu beralasan kerana kamu telah kufur setelah beriman. Jika Kami memaafkan segolongan daripada kamu (lantaran mereka bertaubat) nescaya Kami akan mengazab golongan yang lain disebabkan mereka adalah orang-orang yang selalu berbuat dosa”.

Berdasarkan ayat ini, terbit hukum terbatal keIslaman seseorang apabila dia melancarkan sendaan terhadap Islam, samada dengan hati, kata-kata atau perbuatan. Pelaku kesalahan tersebut kekal dengan kekufurannya sehingga taubat nasuhanya diterima oleh Allah.

Bahkan kefahaman pelukis yang bertanggungjawab atas karikatur tersebut dengan agama Islam ternyata amat dangkal. Beliau keliru antara pensabitan jenayah zina dan jenayah rogol. Zina tiada unsur paksaan manakala rogol pula sebaliknya.

Islam telah memperuntukkan jenayah rogol dengan cara pensabitan yang cukup berbeza dengan jenayah zina. Rogol tidak memerlukan empat orang saksi yang adil sebagaimana zina. Sebaliknya jenayah rogol hanya memerlukan qarinah untuk sabit kesalahan ke atas pesalah.

Menurut Imam al-Jurjani di dalam ensiklopedianya ‘al-Ta’irifat’, qarinah merupakan bukti jelas yang difikirkan logik bagi membantu siasatan kes. Qarinah mestilah sesuatu sumber maklumat yang diketahui umum yang difikirkan relevan untuk dijadikan bahan bukti. Dengan itu, ia mampu merungkai persoalan tersirat terhadap sesuatu kes. Autoriti qarinah dalam mengadili sesuatu dakwaan telah disebut di dalam al-Quran melalui surah Yusuf ayat 27 dan 28;

وَإِنْ كَانَ قَمِيصُهُ قُدَّ مِنْ دُبُرٍ فَكَذَبَتْ وَهُوَ مِنَ الصَّادِقِينَ (27) فَلَمَّا رَأَى قَمِيصَهُ قُدَّ مِنْ دُبُرٍ قَالَ إِنَّهُ مِنْ كَيْدِكُنَّ إِنَّ كَيْدَكُنَّ عَظِيمٌ (28)

“Dan jika baju gamisnya koyak di belakang, maka wanita itulah yang dusta, dan Yusuf termasuk orang-orang yang benar. Maka tatkala suami wanita itu melihat baju gamis Yusuf koyak di belakang berkatalah dia: Sesungguhnya kejadian itu adalah di antara tipu daya kamu, sesungguhnya tipu daya kamu adalah besar”

Nabi Yusuf terbukti tidak bersalah dengan dakwaan rogol apabila didapati terdapat kesan koyak di belakang bajunya. Pada zaman tersebut, ia dianggap qarinah yang cukup jelas menggambarkan situasi antara perogol dan mangsa rogol.

Imam Ibnu Qayyim al-Jauzi di dalam karyanya ‘al-Turuq al-Hukmiyyah Fi al-Siyasah al-Syar’iyyah’ menyebutkan bahawa para sahabat telah menjadikan hamil sebagai qarinah kepada jenayah zina. Bahkan Imam Abu Hanifah, Imam Malik dan Imam Ahmad yang mewakili majoriti ulama’ berpendapat bahawa qarinah yang cukup jelas amat berautoriti menjadi pelengkap bagi bahan bukti.

Adapun qarinah bagi kes rogol yang relevan diguna pakai di zaman sekarang, ia termasuk DNA, rakaman video, gambar, cop jari dan sumber-sumber lain mengikut peredaran semasa. Justeru MANHAL PMRAM mencadangkan beberapa inisiatif bersama:

1) Pelukis karikatur dan pihak-pihak yang terlibat diminta bertaubat kerana mempersenda hukum agam Islam. Mereka juga perlu memohon maaf kepada seluruh umat Islam. Ini demi memelihara sensitiviti umat Islam tehadap cara hidup anutan mereka.

2) Kajadian ini membuktikan kekeliruan masyarakat Islam Malaysia terhadap agama anutan mereka sendiri. Ahli akademik Islam perlu mengadakan usaha bersepadu ke arah penerangan dan pemahaman terhadap hukum hakam Islam.

Rujukan: 1) Tafsir Ayat al-Ahkam, Syeikh Muhammad Ali al-Sabuni. 2) Al-Tafsir al-Munir, Dr. Wahbah al-Zuhaili. 3) Majmu’ Syarah Muhazzab, Imam Nawawi disempurnakan oleh Syeikh Najib Muthi’iy. 4) Feqh al-Islami Wa Adillatuhu, Dr. Wahbah Zuhaili. 5) Feqh al-Sunnah, Sayyid Sabiq. 6) Al-Nizam al-Qadha’ie Fi al-Feqh al-Islami, Dr. Muhammad Ra’fat Uthman.

Fellow MANHAL yang terlibat:
1) Mohamad Hanif Bin Haron
2) Abdul Mu’izz Bin Muhammad
3) Shahrizan Bin Mohd Hazime.

IKHWAN MUSLIMIN BANTAH PEGAWAI AMN WATANI BEKAS AMN DAULAH


Sobri 'Amir jurucakap Ikhwan Muslimin wilayah Menufiah (gambar kiri) telah menyerahkan memorandum bantahan terhadap Hamid Abdullah, ketua Amnul Watani wilayah Menufiah, membantah dua orang bekas pegawai Amnu Daulah yang dibubar yang masih dikekalkan berkhidmat dalam Amnul Watani wilayah Menufiah iaitu Muhammad Abdul Mun'im dan Kamil Museilahi. Berkata Sobri, kedua-dua pegawai polis ini mempunyai rekod buruk sepanjang bertugas dalam Unit Amnu Daulah yang dibubarkan beberapa bulan lalu terutama sewaktu memberikan khidmat untuk penduduk di sekitar Menufiah.

Rakyat Mesir hingga kini masih meragui kewujudan Unit Amnul Watani, iaitu satu unit dalam pasukan Polis Mesir sebagai menggantikan Amnu Daulah yang dibubarkan. Keganasan polis terutama tindakan ganas Amnu Daulah dalam berhadapan dengan kebangkitan rakyat dalam revolusi Januari lalu membuatkan rakyat membenci unit ini sekalipun nama unit tersebut telah diganti. Sebahagian mereka percaya,sekalipun nama telah diubah tetapi pegawai dan anggota yang bertugas adalah para pegawai bekas Amnu Daulah sebelum ini, yang banyak membantu dan bekerjasama kepada politik Mubarak.

MENYINGKAP PERISTIWA BERDARAH HAMAH 1982


Tahukah anda "Penyembelihan Hamah" atau dalam istilah bahasa Arabnya مجزرة حماة ?

  • Hamah ialah nama sebuah bandar dalam negara Syria yang terletak di sebelah barat kira-kira 210 km dari Damsyik, ibu negara Syria.
  • Penyembelihan Hamah,Berlaku pada 2 Februari 1982
  • Ia adalah satu operasi ketenteraan yang terbesar dilakukan oleh tentera Syria bagi menghadapi kebangkitan rakyat yang mahukan perubahan politik di Syria
  • Hamah ketika itu adalah kubu kuat Ikhwan Muslimin.
  • Operasi tersebut dinamakan "Operasi bumi hangus" kerana dua pertiga pekan dan kampung dalam Hamah musnah termasuk 88 buah masjid dan 3 buah gereja dirobohkan.
  • Operasi berlaku selama 27 hari.
  • Angka korban antara 10,000 hingga 40,000 dari kalangan rakyat awam
  • 15,000 orang lagi dilaporkan hilang
  • Memaksa lebih 100 ribu orang berpindah dari bandar tersebut
  • Ketua operasi ialah Rifa'at Al-Asad, adik kandung Hafiz Al-Asad, Hafiz adalah bapa Bashar Presiden Syria sekarang.
  • Operasi menggunakan meriam, kereta kebal, kereta perisai selain ketumbukan tentera terlatih dan askar tetap.
Hafez Al-Asad (kanan) bersama adiknya Rifa'at (kiri)


HURAIAN PERISTIWA

  • Rif'at dilantik sebagai Naib Presiden Syria dan ramai melihat dia akan mewarisi takhta kerajaan selepas abangnya, Hafez.
  • Akan tetapi dia dipecat pada 8 Februari 1998 dan Hafez melantik anaknya, Bashar sebagai Naib Presiden (dan kini Presiden selepas kematian Hafez tahun 2000).
  • Anak sulung Hafez yang juga abang Bashar iaitu Bassel, dikatakan terbunuh dalam nahas kemalangan jalan raya tahun 1994. Bassel seorang yang berwatakan minat kepada ulamak dan sering dilihat mengundang ulamak ke kediamannya dikatakan dibunuh melalui komplot yang terancang, bukan terbunuh seperti yang dilapor.
  • Rifa'at naik ke persada kuasa sebagai pelindung kepada pemerintahan abangnya, dan mempunyai reputasi sebagai seorang yang zalim di dalam mematahkan penguasaan dari kumpulan Islam khasnya Ikhwan Muslimin.
  • Ekoran usaha pembunuhan ke atas Presiden pada 1980, unit daripada pasukan pertahanan Rifaat dikatakan membunuh kira-kira 500 banduan Ikhwan Muslimin yang ditahan di sebuah penjara berhampiran bandar purba Palmyra di kawasan gurun.
  • Pada awal 1982, pasukan Rifaat menamatkan ancaman Ikhwan Muslimin dengan mematahkan pemberontakan di bandar Hamah.
  • Angka korban berikutan serangan meriam selama tiga minggu dan pertempuran di bandar itu menjangkau 5,000 hingga 10,000 orang, kata Patrick Seale, seorang penulis biografi Hafez dan Rifa'at al-Assad.
  • Penduduk Hamah tetap mengadakan sambutan memperingati tragedi hitam dalam sejarah negara hingga sekarang dalam jiwa dan sanubari keluarga mangsa yang terkorban atau yang hilang. Apatah lagi, sejak peristiwa berdarah itu, penduduk Hamah dilayan seperti orang terbuang atau sebagai pengkhianat negara.
Sumber: http://www.free4sham.com/hmah.php

Khamis, 16 Jun 2011

PEGUAM MOHON PERINTAH "MASRIL YOUM" HENTI FITNAH


Berita memfitnah Ikhwan Muslimin yang disiar

Antara sebab mengapa Ikhwan Muslimin mengambil ketetapan memboikot "Masril Youm" ialah berita dalam laman web bahawa Ikhwan Muslimin mempunyai hubungan dengan perisikan Israel dan Ikhwan menjadi ancaman kepada keselamatan negara Mesir. Sehubungan itu, salah seorang peguam Ikhwan, Muhammad Ubaid telah memohon injuksi dari Peguam Negara, Abdul Majid Mahmud bagi menghalang "Masril Youm" terus membuat berita fitnah terhadap Ikhwan Muslimin. Berita selanjutnya sila lihat www.ikhwanonline.com

Rabu, 15 Jun 2011

IKHWAN MUSLIMIN GADAI PRINSIP, MAHUKAN NEGARA MADANI, TIDAK NEGARA ISLAM?


Parti Kebebasan dan Keadilan Mesir telah diluluskan pendaftarannya oleh Bahagian Pendaftaran Pertubuhan Mesir. Parti tersebut sebelum ini diperingkat penajaan kini telah diterima sebagai sebuah parti politik yang berdaftar yang membolehkannya menyertai pilihanraya Parlimen Mesir nanti.

Sebaik sahaja pendaftaran parti tersebut diterima, Musryidul 'Am Ikhwan Muslimin dan Presiden parti, Dr.Mohammad Mursi menerima ucapan tahniah dari dalam dan luar Mesir atas berita gembira tersebut. Dalam organisasi parti tersebut, Dr.Mohammad Mursi disahkan sebagai Presiden, Dr.'Isom Iryan dan Dr.Rafiq Habibi (seorang beragama Kristian) sebagai Timbalan Presiden manakala Dr.Sa'ad Al-Katatni sebagai Setiausaha Agung.

Apa yang menarik, tidak lama kemudian, mereka telah menukar slogan yang masyhur selama ini iaitu "ISLAM HUWAL HAL" yang dijadikan slogan lebih 20 tahun lalu yang bermaksud "Islam Adalah Penyelesaian" kepada "Nahmilul Khair Li Misr" (Membawa Kebaikan Kebajikan Untuk Mesir).

Dr.Mohammad Mursi diwawancara oleh wartawan luar negara berkaitan matlamat Ikhwan Muslimin yang akan dibawa oleh Parti Kebebasan dan Keadilan iaitu cita-cita menubuhkan negara Islam. Jawab Dr.Mohammad, "Kami tidak akan menubuhkan negara Islam akan tetapi hasrat kami ingin menubuhkan sebuah negara Madani."

Wartawan kemudian bertanya lagi, "Jika Parti Kebebasan dan Keadilan bertanding di 50 peratus kerusi Parlimen dan memenanginya, adakah parti tuan akan berusaha meminda Perlembagaan Mesir menjadikannya sebuah negara Islam?"

Jawab Dr.Mohamamd Mursi, "Perlembagaan Mesir adalah hak rakyat Mesir, bukan hak kami atau hak mana-mana pihak. Tidak boleh bagi kami meminda sesuka hati."

Wartawan bertanya lagi, "Bukankah 50 peratus kerusi di Parlimen itu seakan-akan hampir menguasai Parlimen dan parti tuan mempunyai kuasa berkaitannya?"

Jawab Dr.Mohammad Mursi, "Matlamat kami bukan menguasai Parlimen. Kami menghendaki supaya semua pihak memahami bahawa kami tidak dapat memerintah Mesir secara bersendirian tanpa parti dan agama lain. Sebab itu parti kami menerima agama Masihi (Kristian) sebagai anggota parti dan itulah mengapa Timbalan Presiden parti, Dr.Rafiq Habibi seorang Kristian."

Kenyataan Dr.Mohammad Mursi ini membenarkan kenyataan Dr.Kittatni dalam satu kenyataan dalam El-Wafd (klik untuk lihat) di bawah tajuk "Kami Tidak Menghalang Kristian Untuk Mengetuai" bahawa Parti Kebebasan dan Keadilan terbuka untuk semua sama ada Islam atau Kristian.

Itulah pendekatan politik yang boleh berubah, tetapi bukan dasar..Bukankah dalam negara Madani iaitu yang dinisbahkan kepada negara Madinah yang diasaskan oleh Rasulullah s.a.w terdapat aspek keadilan, kebebasan, kebajikan dan perpaduan antara agama dan kaum? Bukankah yang menjadi teras kepada negara Madani itu ialah Islam? Bukankah yang menjadi tonggak kepada kebajikan itu ialah Islam? Bukankah yang menjadi dasar keadilan itu ialah Islam? Bukankah yang mendidik manusian kepada keharmonian dan perpaduan itu ialah Islam?

PEJABAT CAWANGAN IKHWAN DIRASMI DI BANDAR 6 OKTOBER


Mursyidul 'Am Ikhwan Muslimin semalam,15 Jun merasmikan pejabat Ikhwan Muslimin bagi bandar 6 Oktober. Ini bermakna sejak berlaku Revolusi 25 Januari hingga semalam, terdapat 9 pejabat cawangan yang telah dirasmikan termasuk tanggal 21 Mei lalu perasmian Markaz Utama Ikhwan di Muqattam. Bermula 30 Mac lalu di Iskandariah, berikut catatan perasmian pejabat cawangan dan perhimpunan rakyat bersama Mursyidul 'Am bersempena perasmian pejabat:
  • 30 Mac di Iskandariah
  • 12 April di wilayah Asyut
  • 27 April di wilayah ElMania
  • 4 Mei di wilayah Gharbiyah, bandar Tanta
  • 10 Mei di wilayah Daqahliyah,bandar Mansurah
  • 21 Mei Markaz Utama di Muqattam
  • 24 Mei di wilayah Qalyubiyah
  • 31 Mei di wilayah Dumyat
  • 7 Jun wilayah Suhaj
Pejabat Utama di Muqattam, 21 Mei 2011
Dumyat

Asyut

Iskandariah

Ketibaan Dr.Mohamed Bad'ie di wilayah El-Mania

Perasmian pejabat Ikhwan di bandar 6 Oktober,15 Jun 2011

"REVOLUSI ADALAH TEBUSAN DARAH PARA SYUHADA"


Semalam, hari Rabu bersamaan 15 Jun Ikhwan Muslimin sekali lagi menempa sejarah apabila sebuah lagi Pejabat cawangannya dirasmikan oleh Mursyidul 'Am Dr.Mohamed Badi'e. Pejabat tersebut ialah cawangan Ikhwan di Bandar 6 Oktober (Madinah 6 Oktober) berhampiran Giza. Siapa sangka sebuah gerakan Islam yang secara logiknya tidak akan mampu lagi bertahan lama dan apatah lagi untuk memiliki apa yang ada pada hari ini setelah lebih 30 tahun ditekan di bawah rejim Mubarak, berpuluh tahun sebelum itu di bawah dua generasi Presiden Jamal Abdul Nasir dan Sadat, yang tidak kurang hebatnya kezaliman yang dilakukan terhadap pimpinan Ikhwan, bahkan sebelumnya pada pemerintahan beraja, sebelum Mesir bertukar kepada sebuah republik.

Untuk ke sekian kali, Ikhwan Muslimin di bandar 6 Oktober telah mengadakan perhimpunan rakyat bersama Mursyidul 'Am bersempena perasmian pejabat cawangan mereka semalam. Turut hadir ialah Dr.Rasyad El-Bayyumi Timbalan Mursyidul 'Am, Dr.Mahmud Husein Setiausaha Agung Ikhwan, Sayyid Nuzaili ketua pejabat Ikhwan kawasan Giza, Dr.Helmi El-Jazzar ketua pejabat Ikhwan kawasan bandar 6 Oktober, Ir.Mahmud 'Amir bekas Ahli Parlimen Ikhwan Muslimin 2005 dan pimpinan Ikhwan peringkat kawasan yang lain.

Dalam ucapan dalam perhimpunan bersama rakyat, Dr.Mohamed Bad'ie meminta semua lapisan rakyat menjaga dan memelihara revolusi 25 Januari lalu.

Kata beliau, "Telah datang Revolusi kurniaan ALLAh sebagai satu pembalasan dan tebusan kepada darah para syuhada' dari kalangan mereka ialah Al-Imam As-Syahid Hasan Al-Banna yang dibunuh oleh golongan pelampau pada zaman ini. Revolusi Mesir ini adalah satu tanda dari kebesaran ALLAH. Saya ingin bertanya mereka, bagaimana keadaan orang-orang zalim dalam penjara sekarang? Apa yang terjadi pada mereka? Bagaimana kesudahan mereka setelah mereka menghalang manusia dari mengingati ALLAH dan berusaha dalam meruntuhkan rumahNya? Mereka tidak mampu melakukannya kerana kehendak ALLAH yang tetap akan menyempurnakan cahayaNya sekalipun dibenci orang-orang kafir."

IKHWAN MUSLIMIN BOIKOT AKHBAR MESIR,MASRIL YOUM


Ikhwan Muslimin Mesir dalam mesyuarat organisasi tertinggi mereka, Maktab Irsyad yang diketuai oleh Mursyidul 'Am, Dr.Mohamed Badi'e telah membuat keputusan memboikot akhbar Masril Youm (المصري اليوم) sebuah akhbar harian Mesir. Keputusan tersebut diumumkan oleh Setiausaha Agung Ikhwan, Dr.Mahmud Husein (gambar kanan) selepas mesyuarat Maktab Irsyad semalam, Rabu 15 Jun. Ketetapan yang drastik yang diambil oleh Ikhwan Muslimin tersebut antara lain:
  • Ikhwan Muslimin tidak akan memberikan sebarang kerjasama terhadap akhbar tersebut termasuk membuat kenyataan terhadapnya atau sebarang wawancara bersama wartawan mereka sehingga Masril Youm kembali berpegang kepada profesion kewartawanan sebenar.
  • Bahawa akhbar Masril Youm telah membuat tuduhan yang tidak berasas dalam laporan, memberikan gambaran yang tidak tepat berkaitan Ikhwan, bahkan beberapa kali pihak ikhwan membuat teguran terhadap pengarang akan tetapi masih berulang.
Dr.Mahmud Husein juga mengulangi bahawa sepanjang sejarah Ikhwan Muslimin, pihaknya amat menghormati peranan pihak media dan menerima kritikan yang membina, bukan tuduhan berbentuk fitnah.

Sumber: Ikhwanonline.com

GERHANA BULAN PENUH HARI INI, RABU 15 JUN


Seluruh masjid di Mesir akan mengadakan solat Sunat gerhana bulan yang dijangka berlaku hari ini, Rabu jam 8.13 minit malam. Gerhana bulan penuh yang merupakan salah satu kebesaran ALLAH itu berlaku setelah 40 tahun lalu dan bakal berlaku kembali setelah 65 tahun akan datang. Gerhana tersebut akan berlaku selama 100 minit. Subhanallah..

Sumber: ikhwanonline.com

Selasa, 14 Jun 2011

JIKA MUBARAK BERTINDAK SEPERTI AL-ASAD HARI INI..

Setelah Dar'a, Baniyas terbaru Jasr Syaghur dikenakan operasi ketenteraan paling zalim oleh tentera Syria, kini satu lagi bandar yang terletak tidak jauh dari Damsyik, ibu negara Syria iaitu Ma'ratun Nukman akan diganyang dan dihancurkan.

Apa yang menarik, operasi ketenteraan tersebut yang disokong oleh pasukan helikopter, kereta kebal dan perisai itu digunakan bagi menyerang rakyat yang keluar dalam demontrasi secara aman, tanpa membawa senjata api atau peralatan yang berbahaya. Lebih mengejutkan berita mendedahkan operasi terhadap satu wilayah ke satu wilayah diketuai dan diseliai oleh Maher Al-Asad, adik bongsu kepada Presiden Basyar Al-Asad.

Maheer Al-Asad, adik bongsu Basyar yang zalim

Lebih menyedihkan, peranan media Syria yang memainkan propaganda bagi menghalalkan operasi tentera tersebut kononnya operasi tentera dari bandar ke bandar adalah bagi memburu kegiatan pengganas. Kononnya dijumpai sebuah kubur besar yang ditanam mayat polis Syria yang kononnya dibunuh oleh pengganas. Sebab itulah antara laungan para penunjuk perasaan Syria ialah "Al-Kazib, Al-Kazib, I'ilam Suria El-Kazib" (Maksudnya: Pembohong, Pembohong, Media Syria Pembohong). Akan tetapi rakyat Syria meyakini operasi tersebut dilancarkan sebagai "hukuman" kepada rakyat Syria yang menuntut kebebasan hak setelah lebih 30 tahun dikongkong sejak zaman pemerintahan Hafeez Al-Asad lagi.

Sejahat-jahat dan sezalim-zalim Mubarak yang dikatakan Firaun Moden Mesir ini pun tidak sanggup melakukan operasi tentera yang sehebat dibuat oleh "puak-puak Singa" di Syria. Jika Mubarak atau anaknya, Jamal mengarahkan tentera bersama polis menyerang rakyat di semua wilayah semasa revolusi 25 Januari lepas, sudah pasti banyak angka akan menjadi korban. Hingga kini sudah lebih 1,000 jiwa rakyat Syria terkorban sementara hampir 10,000 lagi menjadi pelarian ke sempadan Turki.

Kezaliman yang dilakukan oleh Syria terhadapnya tanpa perikemanusiaan tidak boleh dibiarkan lagi. Sekalipun Basyar telah mengumumkan Undang-Undang Darurat Syria yang dikenakan sejak puluhan tahun telah ditarik balik, tetapi tiada apa-apa perubahan yang boleh dibaik sangka terhadap Basyar kecuali azab ALLAH yang hina diturunkan kepadanya.

Oleh sebab itulah Kesatuan Ulamak Islam Sedunia yang diketuai oleh Syeikh Yusuf Qardhawi yang beribu pejabat di Doha, Qattar telah mengeluarkan kenyataan rasmi pada 19 April 2011 lalu bagi mengutuk tindakan kerajaan Syria yang telah melanggari batas kemanusiaan.

AL-AZHAR NYATAKAN SOKONGAN REVOLUSI ARAB


Semalam, Syeikh Al-Azhar, Dr.Ahmad Toyyib menerima kunjungan dari wakil Pusat Penerangan Revolusi 17 Februari Libya. Dalam pertemuan tersebut, beliau menyeru ketua-ketua negara Arab di Syria, Yaman dan Libya supaya mengembalikan dengan cara baik hak rakyat yang dizalimi yang telah lama sabar atas politik mereka yang zalim iaitu dengan cara mengundur diri dari jawatan yang disandang sekarang.Syeikh Al-Azhar juga menyatakan sokongan Al-Azhar kepada revolusi negara Arab di Syria, Yaman dan Libya termasuk sokongan kepada para pejuang revolusi di Libya sehingga tertunai hak dan permintaan agar negara mereka bebas sepenuhnya.

Delegasi Libya itu juga turut menyampaikan warkah penghargaan dari Majlis Peralihan Kerajaan Libya dan Majlis Tempatan bagi Bandar Masratah kepada Syeikhul Azhar.

KESATUAN ULAMA' ISLAM SE-DUNIA BUKA PEJABAT DI KAHERAH


Kesatuan Ulama' Islam Se-Dunia telah membuka pejabat cawangan di Kaherah. Perkara tersebut dimaklumkan oleh Setiausaha Agung kesatuan, Syeikh Dr. Ali Qurah Daghi. Ia adalah pejabat kedua setelah ibu pejabat yang terletak di Doha, Qatar. Kesatuan yang dipengerusikan oleh ulamak terkenal, Syeikh Dr.Yusuf Qardhawi ini turut menerima ucapan tahniah dari pensyarah Jabatan Hadith Kuliah Usuluddin Universiti Al-Azhar, Dr. Abdul Rahman Al-Barr selaku Ahli Maktab Irsyad Ikhwan Muslimin yang juga anggota Kesatuan Ulama' Sedunia.

Sementara itu, Syeikh Ali mengadakan kunjungan ke atas Mursyidul 'Am Ikhwan Muslimin, Dr.Mohamed Badi'e di pejabat Ikhwan di Muqattam tengah hari tadi sempena dengan perasmian pejabat baru Ikhwan Muslimin dan penubuhan Parti Kebebasan dan Keadilan.


Syeikh Dr. Ali Muhyiddin Al-Qurrah Daghi adalah bekas pensyarah dan Ketua Bahagian Fiqh dan Usul Fiqh Fakulti Syariah Islamiyah, Universiti Qatar dan Ketua Pengarang bagi Islamonline. Dilahirkan pada tahun 1949 di Qarrah Daghi, wilayah As-Suleimaniyyah, Kurdistan, Iraq tetapi merupakan warganegara Qatar.Latar belakang pendidikan:
  • Ijazah Sarjana Muda dalam Fakulti Syariah Islamiyah Baghdad tahun 1975
  • Ijazah Sarjana (Master) dalam bidang Fiqah Muqarran Fakulti Syariah Islamiyah, Universiti Al-Azhar tahun 1980
  • Ijazah Doktor Falsafah (Phd) dalam bidang Syariah Islamiyah (bahagian Kewangan Islam) di Universiti Al-Azhar tahun 1985
Laman web rasmi: http://www.qaradaghi.com

ERDORGAN WIRA BARU DALAM DUNIA ARAB


Reccep Tayyip Erdorgan atau nama Arabnya, Rajab Toyyib Erdorghan yang memimpin Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) atau nama Arabnya Hizbul 'Adalah wal Tanmiyah Turki sekali lagi memenangi pilihanraya Turki buat penggal ketiga. Erdorgan adalah bekas Datuk Bandar Istanbul. Dilahirkan 12 Februari 1954 dan usia sekitar 57 tahun, sebelum menceburi bidang politik, beliau seorang ahli perniagaan. Menuntut di Universiti Marmara dalam Fakulti Ekonomi. Mendirikan rumah tangga dengan Emina Erdorgan dan dikurniakan empat orang anak.

Menceburi bidang politik buat pertama kali melalui Parti Keamanan Kebangsaan bersama murabbinya, Al-Marhum Prof.Najmuddin Erbakan (dilahirkan tahun 1926 dan meninggal dunia 27 Februari 2011, bekas Presiden Parti Refah yang diharamkan dan dilantik Perdana Menteri Turki setahun bermula Jun 1996) yang memimpin parti tersebut dan Erdogan dilantik ketua parti bagi bandar Istanbul tahun 1976. Namun selepas revolusi tentera tahun 1980, kesemua parti politik diharamkan manakala Erbakan pula dilarang terlibat dalam aktiviti politik kepartian. Sekitar tahun 1983 setelah kegiatan politik kembali dibenarkan, Erdorgan aktif dalam Parti Refah dan dilantik sebagai ketua parti bagi bandar Istanbul tahun 1985 dalam usia beliau pada waktu itu seawal 30-an. Bakat kepimpinan yang ada pada beliau semakin terserlah apabila parti mencalonkan beliau untuk bertanding dalam pilihanraya Parlimen pada tahun 1987 dan 1991, namun nasib belum menyebelahi beliau.
Erdorgan bersama isteri Emina meraikan kemenangan AKP.

Erdorgan dilantik Datuk Bandar Istanbul tahun 1994 setelah memenangi pilihanraya negara itu dan memegang jawatan tersebut selama 4 tahun. Setelah parti Refah yang dilihat berfahaman Islam diharamkan oleh mahkamah negara itu tahun 1999, beliau dan sahabatnya Abdullah Gul menubuhkan Parti Fadhilet. Setelah diharamkan juga, maka ditubuhkan Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) tahun 2001. Tahun 1998, Erdorgan disabitkan kesalahan melakukan perbuatan yang disifatkan bertentangan dengan fahaman sekular Turki apabila membacakan syair berbentuk provokasi agama dalam satu ucapan di khalayak ramai dan dikenakan penjara empat bulan. Setelah dibebaskan, beliau masih dikenakan larangan untuk terlibat dalam politik.

Pada pilihanraya umum Parlimen tahun 2002, AKP yang baru berusia 16 bulan bertanding dan memenangi 363 kerusi atau 34 peratus undi popular dan terpaksa bekerjasama dengan parti lain bagi membentuk kerajaan. Oleh kerana masih terikat dengan larangan berpolitik, maka sahabatnya Abdullah Gul mengetuai AKP dan dilantik sebagai Perdana Menteri. Setelah dibebaskan sepenuhnya, Erdorgan mula dilantik Perdana Menteri Turki pada 14 Mac 2003 setelah AKP memenangi pilihanraya negara tersebut tahun 2002,. Pada penggal seterusnya tahun 2007, AKP menang 47 peratus undi popular dan mereka membentuk kerajaan tanpa perlu bekerjasama dengan parti-parti lain seperti sebelum ini.Terbaru pada penggal ketiga tahun 2011, mereka memenangi 326 kerusi atau 49.9 peratus undi popular akan tetapi sasaran memperoleh dua pertiga kerusi masih belum tercapai.

Dalam kempennya, AKP mensasarkan dua pertiga untuk membolehkan mereka membentuk perlembagaan baru dari orang awam untuk Turki. Ini kerana, perlembagaan yang ada adalah dibentuk oleh tentera. Ekoran itu, walaupun memerintah lebih 10 tahun, kerajaan Turki pimpinan AKP tidak bebas kerana sentiasa sahaja dikongkong oleh tentera.Menurut sistem pilihan raya di Turki, AKP perlu menang sekurang-kurangnya 330 kerusi parlimen untuk membina perlembagaan baru tetapi satu referandum diperlukan untuk mengesahkannya. Jika AKP berjaya mendapat lebih dari 367 kerusi, perlembagaan baru boleh dibentuk tanpa perlukan referandum lagi kerana sokongan ahli Parlimen sudah memadai.

Sepanjang keterlibatan beliau dan sahabatnya Abdullah Gul dalam kerajaan sekular Turki, banyak halangan terutama dari tentera dan mahkamah yang cuba menggugat kerajaan beliau yang dikatakan berbau Islam yang amat bertentangan dengan fahaman sekular yang diasaskan oleh Kamal Attaturk tahun 1923. Penampilan isteri beliau Emina dan isteri Gul, Hayrunnisa yang bertudung amat tidak disenangi. Oleh sebab itu, AKP memerlukan majoriti dua pertiga di Parlimen bagi meminda perlembagaan rakyat yang lebih terbuka atas dasar kebebasan dan keadilan.

Erdorgan dilihat 'hero' baru dalam dunia Islam setelah pemimpin negara Arab dilihat lebih mengambil sikap berkompromi dengan Israel. Pada 29 Januari 2009, berlangsung Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, Switzerland. Ketika forum berlangsung, berlaku pertikaman lidah antara beliau dan Presiden Israel Shimon Peres berkaitan serangan Israel ke atas Gaza. Insiden yang disaksikan di depan mata Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki-moon dan Setiausaha Agung Liga Arab Amr Moussa serta ratusan hadirin WEF, Erdorgan berjalan keluar meninggalkan forum tersebut selepas dia ‘dipaksa’ memendekkan ucapannya mengenai isu keganasan Israel itu. "Saya tidak fikir saya akan kembali ke Davos selepas ini kerana anda tidak membenarkan saya bercakap," kata Erdorgan sebelum beredar.

Erdogan mengkritik hadirin yang terdiri daripada tokoh korporat dan politik antarabangsa kerana memberi tepukan selepas Peres dengan penuh emosi mempertahankan serangan Israel ke atas Gaza, sehingga menyebabkan lebih 1,300 rakyat Palestin terkorban. Beliau yang mengetuai segelintir negara Islam yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel menyifatkan apa yang dilakukan oleh Israel di Gaza sebagai tindakan "tidak bertamadun." "Saya berasa sangat sedih kerana hadirin bertepuk tangan selepas tuan (Peres) berucap kerana ramai penduduk (Palestin) telah terbunuh," kata Erdorgan kepada Peres sebelum dicelah oleh pengerusi sesi iaitu wartawan Washington Post, David Ignatius. "Kita tidak boleh memulakan perbahasan semula kerana kita kesuntukan masa," kata Ignatius kepada Perdana Menteri Turki itu. Peres sebelum itu mendakwa Israel terpaksa melancarkan serangan ke atas Hamas kerana ribuan roket dan mortar telah dilancarkan ke wilayah Israel. Sambil meninggi suara dan menuding jari ke arah Erdogan, beliau berkata, Turki sudah tentu bertindak sama jika roket dilancarkan ke Istanbul. Sekembalinya dari Davos, Erdogan diberi sambutan sebagai wira oleh ribuan rakyatnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Ataturk, Istanbul.

Sementara itu, bendera Turki yang berwarna merah dan putih berkibaran di sisi bendera hijau
Hamas pada satu rapat umum di seluruh Gaza tidak lama kemudian di kem pelarian Jabaliya di wilayah Palestin itu. Kira-kira 5,000 penyokong Hamas berhimpun di depan bangunan Parlimen Palestin dengan sebilangannya mengibarkan bendera Turki dan membawa potret Erdogan. Kata ahli Parlimen Hamas, Mushir al-Masri Mashir,"Kami menganggap tindakan Perdana Menteri Turki itu sebagai menandakan pendirian yang berani dan bertanggungjawab, yang mencerminkan sentimen dan pandangan umat Islam serta mengesahkan hak-hak rakyat Palestin."


Erdorgan juga telah dianugerahkan Anugerah Raja Faisal Antarabangsa bagi sumbangan Agama Islam tahun 2010 yang dipengerusikan oleh Putera Mahkota Saudi, Putera Sultan bin Abdul 'Aziz Al-Saud.

31 Mei tahun lalu, ketika serangan komando Israel ke atas kapal Mavi Marmara yang mengorbankan sembilan orang dan kebanyakannya warganegara Turki, nama Erdorgan sekali lagi terserlah kerana ketegasannya meminta Israel meminta maaf atas insiden tersebut. Lebih mengejutkan, pada 28 Jun 2010, Erdorgan berkata, negaranya menutup ruang angkasa kepada pesawat tertentu Israel berikutan serangan maut rejim itu terhadap flotila bantuan kemanusiaan ke Gaza. Menurut agensi berita Anatolia, pemimpin itu memberitahu pemberita di Toronto bahawa Turki menguatkuasakan larangan tersebut selepas Israel menyerang sebuah daripada flotila yang mengikuti misi kemanusiaan antarabangsa pada 31 Mei tahun lalu.

Terbaru,ketika serangan ganas tentera Syria terhadap rakyatnya yang bangkit mencetuskan revolusi kira-kira dua bulan lalu, Erdorgan yang mengetuai kerajaan jiran Syria bersuara. Beliau meminta Syria agar menghentikan serangan terhadap rakyat dan menyatakan "Turki tidak akan menutup pintu sempadan antara Syria-Turki". Ini kerana sejak operasi ketenteraan Syria ke atas Dar'a, Baniyas dan terbaru di Jasr Syaghur, ribuan rakyat Syria menjadi pelarian dan menetap di khemah pelarian yang disediakan oleh pihak Palang Merah Antabangsa di sempadan Turki. Ribuan rakyat Syria melaungkan slogan menyokong Erdorgan dan sekali lagi potret Erdorgan dijulang sambil para penunjuk perasaan melaungkan "Syukran Ya Erdorghan!" Semoga ALLAH membimbing Erdorgan ke jalan yang diredhaiNya.