Para fuqaha` telah membahaskan mengenai masalah pengguguran bayi ini. Mereka membahagikan perbahasan mengenai penguguruan bayi ini kepada dua peringkat. Peringkat yang pertama janin yang belum ditiupkan roh dan peringkat yang kedua selepas ditiupkan roh.
1) Pengguguran Bayi Sebelum Ditiupkan Roh :
Telah thabit dalam hadis bahawa roh seseorang bayi itu akan ditiupkan selepas 120 hari dalam kandungan. Ini telah disebut oleh nabi Muhammad SAW dalam hadis yang dikeluarkan oleh Imam Bukhari Dan Imam Muslim, yang bermaksud :
“Sesungguhnya salah seorang kamu dikumpulkan kejadiannya dalam perut ibunya selama 40 hari sebagai air mani, kemudian menjadi segumpal darah seperti yang demikian itu (iaitu 40 hari), kemuadian ia menjadi segumpal daging seperti yang demikian itujuga (iaitu 40 hari) ,kemudian diutuskan kepadanya malaikat lalu ditiupkan roh padanya”.
Ia juga dikuatkan dengan firman Allah SWT yang bermaksud: “kemudian air manii tu kami jadikan ia segumpal darah, lalu segumpal darah itu kami jadikan segumpal daging, dan segumpal daging itu kami jadikan tulang belulang, lalu tulang belulang itu kami bungkuskan dengan daging, kemudian, kami jadikan ia makhluk yang (berbentuk) lain, maka, maha suci Allah, pencipta yang paling baik” (Al-Mukminun:14).
Ini menunjukkan bahawa Islam telah pun menyebut mengenai perkembangan janin ini didalam kandungan pada seribu tahun yang lampau sebelum saintis menjumpainya. Roh yang ditiupkan dalam janin ini tidaklah mempunyai perbezaan dengan apa yang telah disebut oleh Al-Quran dan Hadis. Sesungguhnya janin yang belum ditiupkan rohnya berada dalam satu kehidupan yang disebut oleh ulamak “kehidupan di alam janin” dan jenis kehidupan ini bebeza dengan kehidupan di alam roh yang sudah dianggap sebagai kehidupan manusia biasa kerana telah berjalan hukum hakam ke atas peringkat ini (janin yang ditiup roh). Maka difahami disini bahawa ada perbezaan hukum antara janin yang belum ditiup rohnya dan yang sudah ditiupkan rohnya.
Maka jumhur ulamak berpendapat bahawa harusnya menggugurkan kandungan yang belum ditiupkan roh iaitu sebelum mencapai 120 hari sekiranya ada keuzuran dan kesulitan yang menghendaki supaya digugurkan kandungan seperti merasa lemah tubuh badan, khuatir akan keselamatan diri sekiranya meneruskan kandungan ataupun wujudnya kesusahan yang ditanggung hasil kandungan tersebut. Tetapi ulamak meletakkan syarat supaya pengguguran itu tidak mendatangkan risiko dan bahaya kepada ibu kandung. Sekiranya tiada keuzuran mahupun kesulitan, maka makruh hukumnya menggugurkan kandungan tersebut.
2) Pengguguran Bayi Selepas Ditiupkan Roh
Sepakat para ulamak mengatakan haram menggugurkan kandungan selepas ditiupkan roh iaitu ketika janin berusia 120 hari ke atas. Maka bagi siapa yang menggugurkan kandungan pada waktu ini, akan dikenakan kifarat diat ( denda ) kerana dianggap membunuh nyawa tetapi kifarat ini tidak dikenakan secara sempurna kerana menganggap bayi yang dalam kandungan tidak dikira sebagai sempurna kejadiannya . Kifarat ini juga akan dikenakan kepada sesiapa yang terlibat dalam pengguguran ini samaada yang menggugurkan itu ibu kandungan atau suaminya ataupun orang luar. Maka mereka akan dikenakan kifarat di atas perbuatan mereka sebanyak 420 gram emas tulin mengikut nilai semasa waktu kandungan digugurkan.
PENGECUALIAN
Mengikut hukum yang asal, tidak dibolehkan untuk menggugurkan bayi dalam kandungan, walau bagaimana keadaan sekalipunpun, sekiranya ada dharurat yang memerlukan kepada proses pengguguran seperti terdedahnya ibu kandungan kepada risiko dan bahaya sekiranya ibu kandungan meneruskan kandungan terebut, maka ulamak meletakkan kaedah yang berbunyi ‘mengambil dharurat yang lebih ringan’. Maka difahami disini bahawa menggugurkan bayi tersebut sebagai dharurat yang lebih kecil berbanding dharurat yang lebih besar iaitu meneruskan kandungan tersebut yang boleh membawa bahaya dan ancaman nyawa kepada ibu kandungan.
KANDUNGAN YANG CACAT
Pada zaman sekarang kita melihat kemajuan yang telah dicapai oleh ahli kedoktoran dan genetic dalam menyelidik sesuatu kajian. Mereka bukan sahaja dapat mengetahui jantina bayi dalam kandungan bahkan dapat mengkaji keadaan bayi tersebut samaada normal ataupun cacat, tahap kecacatan sesorang bayi, tempoh hayat bayi yang cacat dan sebagainya. Maka, kepakaran yang ada pada ahli perubatan dan genetic ini boleh membantu sedikit sebanyak bagi menyelesaikan permasalahn hukum yang berkaitan dengan bagi yang bayi yang tidak normal ini.
Para ulamak berpendapat sekiranya janin yang berada dalam kandungan itu mempunyai masalah genetic yang boleh membawa kepada penyakit yang lebih serius apabila dilahirkan, maka diharuskan untuk menggugurkan kandungan tersebut sekiranya janin tersebut belum berusia 120 hari.
Tetapi sekiranya janin tersebut usianya telah melebihi dari 120 hari, iaitu selepas ditiupkan rohnya, maka ulamak meletakkan kaedah pertimbangan antara mudharat yang ada dan mengambil mudharat yang lebih kecil. Sekiranya kecacatan yang dialami oleh bayi tersebut tidak membawa kepada kematian ataupun kecacatan tersebut boleh dirawati selepas dilahirkan maka disepakati oleh ulama bahawa tidak boleh menggugurkan janin tersebut.
Adapun sekiranya kecacatan tersebut adalah kecacatan yang besar, serta tidak boleh dirawat, dan boleh membawa kepada kematian suatu hari nanti ataupun melambatkan pertumbuhan , sebagai contoh : bayi yang berada dalam kandungan tersebut mengalami kecacatan pada otak, yang menyebabkan tidak boleh berfikir ataupun menyebabkan gila. Maka diharuskan proses pengguguran tersebut. Keharusan menggugurkan ini diberikan kerana melihat setiap zuriat yang selamat dan normal yang diberikan oleh Allah adalah nikmat, adapun sekiranya tidak normal, maka ianya tidak dikira sebagai nikmat bahkan bala dan bayi yang dilahirkan tersebut tidak pula mampu untuk hidup dalam keadaan cacat. Maka ianya menjadi satu keharusan untuk digugurkan walaupun selepas dari 120 hari. Tetapi doctor yang merawat pesakit terebut hendaklah bijak dalam menentukan tahap kecacatan yang dibolehkan oleh syarak untuk digugurkan berdasarkan garis panduan yang telah diberikan tadi.
JANIN HASIL DARI JENAYAH ROGOL.
Adapun sekiranya janin yang dikandung oleh ibu tersebut terhasil dari jenayah rogol, maka dibolehkan untuk digugurkan sebelum janin tersebut berusia 120 hari bahkan hendaklah bayi tersebut digugurkan dengan cepat sekiranya pasti bayi tersebut hasil dari jenayah rogol. Keharusan ini diberikan oleh ulamak dengan menyamakan situasi ini dengan ibu yang mengandung yang menggugurkan kandungan kerana menghidap penyakit lemah anggota badan, maka keharusan gugur ini juga diberikan kerana melihat kepada mangsa rogol yang mengalami trauma dan kesan tersebut membawa kepada mental yang lemah sekiranya kandungan itu tidak digugurkan. Wallahu’alam.
Disediakan oleh :
Mohamad Sarkawi b Mohmad Salleh
Felo Manhal PMRAM