19 December 2010

SALAM MAAL HIJRAH 1432H: SAMA-SAMA KITA TEGUR DAN MENYAMPAIKAN

“Hati terasa sangat pedih. Batin seakan ingin menjerit, ingin menghalang semua itu namun anggota badan seakan kaku. Beku. Suara jeritan tersekat di kerongkong.”



Jeritan Hati

Saya yakin, orang yang memiliki hati  yang ‘salim’ (sejahtera) yang Allah pilih untuk kebaikan, pasti hati itu sakit dan menjerit tatkala melihat kejahatan, kemungkaran, penindasan, penganiyaan mahupun kezaliman berlaku di hadapan mata mereka namun ramai di antara kita tidak mampu mencegah dan melarang. Maka hati akan tersayat pedih kerana anggota tidak mampu berbuat apa-apa. Lemah.

Saya akui saya antara orang-orang yang lemah itu. Di saat saya melihat kemungkaran berlaku di hadapan mata, sungguh saya tidak mampu menegur terus secara langsung dengan kata-kata, apatah lagi mencegah dengan anggota badan. Lemahnya terasa iman di hati. Setakat menjerit di dalam hati, apakah ia dapat membantu mencegah kemungkaran tersebut??

Sabda Nabi s.a.w: “Barangsiapa di antara kamu melihat kemungkaran, maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya, jika ia tidak mampu cegahlah dengan lisannya, dan apabila tidak mampu maka dengan hatinya.  Yang demikian itu adalah selemah-lemah iman”. (Hadis riwayat Imam Muslim)

Jika direnungi dari hadis nabi ini,  bagi mereka yang berada sama golongan dengan saya, yang berada di tahap ketiga, sudah tentu kita termasuk di kalangan orang-orang yang paling lemah iman bukan? Kerana terkuncinya mulut kita dan kakunya anggota badan kita untuk mencegah perbuatan mungkar tersebut.

Golongan Yang Mana?

Tetapi, sekurang-kurangnya ia lebih baik daripada sesetengah manusia yang langsung tidak endah mahupun mempedulikan semua kejahatan yang berlaku dek kerana egoisnya mereka, memandang itu semua tidak ada kaitan dengan diri mereka. Bagi mereka yang tidak termasuk di golongan kami, selemah-lemah iman masih ingin menegur tetapi mereka yang langsung tidak peduli ini, maka nilailah diri anda berada dalam golongan yang mana??

Jika tidak termasuk salah satu pun dari sabda yang Nabi sebutkan, maka berwaspadalah mungkin tiada langsung iman di dalam hati anda.!

Sebab Tidak Mampu Menegur

 Sememangnya banyak sebab jika ditanya kenapa kita tidak mampu menegur dengan lisan apatah lagi dengan anggota badan.

“Dia sahabat baik saya, kalau saya tegur, mesti dia akan kecik hati dengan saya”
“Saya tidak beranilah, umur dia lebih tua dari saya”
“Siapalah saya ni nak tegur-tegur orang, saya jahil tentang ilmu agama sedangkan dia lebih alim dari saya”
“Takutlah nak tegur, kalau dia marah dan mengamuk nanti kita juga yang susah”
“Saya tidak layak untuk menegur dirinya, sayapun banyak silap juga”

Salah satu dari ucapan-ucapan itu, tidak dinafikan diri saya juga merasakan perkara yang sedemikian. Sememangnya kita lebih senang memilih senyap dan diam, lantaran tidak mampu untuk melontarkan teguran dengan kata-kata apatah lagi menghalang dengan anggota badan.

Terus Lemah Iman?


 Tetapi iman terus berperang, sampai bila mahu lemah iman seperti ini?? Itulah juga cabaran bagi diri saya sebagai pendakwah. Menegur dan menyampaikan sesuatu kebenaran amatlah payah dan pahit untuk diterima oleh kebanyakan orang.

Justeru, persoalan utamanya; apa kita mahu sentiasa berada di golongan itu, orang-orang yang lemah imannya kerana hanya mampu menegur di dalam hati??

Tidak! Iman saya tidak meredhai. Saya tidak mahu terus-terusan berada dalam golongan ketiga, terus lemah iman, malah semakin lemah imannya.

Menegur Dan Menyampaikan Dengan BerHikmah

Sememangnya ‘Menegur’ dan ‘Menyampaikan’ dua perkara yang berbeza namun hakikatnya satu. Ianya memerlukan ‘Cara Yang Berhikmah’. Dalam teguran, kita menyampaikan. Dalam menyampaikan secara tidak langsung terselit sebuah teguran. Dan kedua-duanya akan menjadi cukup cantik jika dilakukan dengan cara yang berhikmah. 

Begitulah ajaran Nabi Muhammad s.a.w. Baginda menggunakan manhaj penyampaian dakwah dengan cara yang cukup berhikmah sehingga semua orang dapat menerima seruan Nabi. Malah pembesar-pembesar Quraisy yang musyrik turut tertarik untuk memeluk agama Islam lantaran keindahan cara Nabi berdakwah.

“Serulah (semua manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik” (An-Nahl:125)

Berdasarkan firman Ilahi di atas, maka saya seru diri saya dan anda semua; Marilah kita sama-sama ubah diri ke arah lebih baik, tetapi dalam masa yang sama kita juga menegur dan menyampaikan dakwah setakat termampu kita. 

Kita Semua Mampu Mengubahnya!

Dakwah bukan terhad dan terbatas disampaikan oleh orang-orang yang mengaji agama sahaja, tetapi ia adalah tanggungjawab muslim seluruhnya. Kita semua mampu melakukannya asalkan kita mahu dan kita tidak jemu berusaha meningkatkan iman kita dari satu peringkat ke satu peringkat berdasarkan hadis tersebut.

Mungkin selama ini kita berdiam diri, tetapi iman kita tidak boleh terus menyepi lagi. Jika sebelum ini kita melihat sesuatu maksiat dan kemungkaran berlaku di hadapan mata, dan hati kita cuma mampu menjerit di dalam hati, maka ubahlah. 

Kita juga mampu menyampaikan dengan lisan. Cuma mungkin ianya tanpa suara, seperti teknologi sekarang lebih memudahkan medium kita untuk berdakwah antaranya telefon, mesej, facebook, twitter, chatting, laman blog dan banyak lagi. Manfaatkan ia sebaik mungkin untuk dakwah.

Mulakan Langkah

Dan saya telah memulakan langkah dengan menulis dan mencipta blog ini. Matlamatnya satu, menegur dan menyampaikan dengan cara berhikmah, setakat termampu untuk mengingatkan kepada diri saya dan berpesan kepada orang lain juga. Ini azam saya sempena tahun baru Maal Hijrah ke-1432. Kesimpulannya, mari sama-sama kita renungi kalam Ilahi yang bermaksud;

“Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran.” (Al-’Asr :1-3)
~Carilah Hikmah Dalam Setiap Ketentuan Tuhan, Agar Timbul Rasa Kesyukuran Dan Keredhaan~



No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...