Assalamualaikum w.b.r.
Sempena tahun baru 2011 ini, saya percaya pastinya setiap orang menyimpan azam yang baru juga. Ianya sentiasa berubah-ubah seiring dengan perubahan zaman dan waktu yang dilalui oleh semua orang. Walau apa jua pun azam yang anda tanamkan dalam diri anda, mari kita sama-sama nilai kembali ke mana azam anda itu dinoktahkan…?
Secebis pengalaman dariku
Selama 6 tahun saya menuntut ilmu agama di sebuah sekolah bernama Maahad Muhammadi Pasir Mas, dari tg.1 hinggalah ke tg.6. Seperti sahabat-sahabat semua, sememangnya terlalu banyak kenangan suka dan duka semasa bergelar pelajar.
Tetapi bukan itu yang mahu saya ceritakan dan kongsi bersama pembaca tetapi sebuah kesimpulan tentang diri saya, tentang apa yang saya rasa dan fikirkan serta cebisan pengalaman selama menuntut ilmu di bangku sekolah.
Masa ni, di peringkat sekolah ini, saya juga ingin jadi seperti kawan-kawan yang lain. Ingin menikmati sepuas-puasnya saat waktu bergelar remaja. Ingin mengecapi segalanya apa yang ada di hadapan mata.
Dengan teknologi yang serba canggih, cara hidup yang sangat terpengaruh dengan rakan-rakan membuatkan segalanya nampak indah dan mengasyikkan. Hidup terasa penuh dengan warna warni.
Sememangnya melalui fasa menjadi remaja, lebih-lebih lagi pada akhir zaman ini bukanlah suatu fasa yang mudah. Di saat ini, jiwa terlalu rapuh, ilmu di dada dengan pengetahuan agama masih terlalu cetek dan sedikit apatah lagi untuk mengamalkannya.
Jiwa remaja penuh dengan keterujaan, dihiasi dengan sifat inkuiri yang ingin mencuba sesuatu perkara yang baru. Ditambah pula penangan ‘cinta monyet’, aduhai menjadikan remaja semakin asyik dan tenggelam dalam ‘keasyikan’ tersebut...
Meskipun sudah mempelajari asas ilmu agama selama 6 tahun di sekolah, sememangnya saya akui, ia masih tidak mencukupi untuk menjamin seseorang remaja itu teguh jiwanya, lebih-lebih lagi godaan di zaman remaja cukup hebat. Tidak akan mampu ditepis melainkan yang benar-benar teguh dan mantap jiwanya dengan tarbiyah dari penghayatan Islam.
“ Life is short, make it sweet!”
(Hidup ini singkat, jadikan ia indah). Itu falsafah yang dipegang oleh kebanyakan remaja zaman era sekarang.
Benar. Hidup ini sangat singkat. Tetapi, apakah ia tiket untuk kita berseronok dengan sepuas-puasnya di atas dunia ini?
Sesungguhnya jika kita mengindahkannya dengan cara yang tidak berlandaskan kebenaran, pasti akan tersasar jauh dari landasan yang sebenar dan kesannya mengakibatkan penyesalan yang berpanjangan pula di ‘sana’.
Firman Allah Taala:
“Dan tiadalah kehidupan dunia ini, selain dari main-main dan senda gurau belaka. Dan sungguh kampung akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Maka tidakkah kamu memahaminya” (Al An'aam : 32)
“Adakah kamu lebih suka dengan kehidupan dunia daripada akhirat? (Kesukaan kamu itu salah) kerana kesenangan hidup di dunia ini hanya sedikit jua berbanding dengan (kesenangan hidup) di akhirat kelak.” (Surah At-Taubah: 3)
Renungilah kalam peringatan Ilahi tersebut. Itu hakikatnya.
Kemudian saya mulai sedar,
'hidup ini bukan sekadar biasa seperti yang saya selalu fikirkan..! '
Kita semua hamba yang akan kembali
Ya. kita semua sama-sama hanyalah hamba yang suatu hari nanti akan kembali kepada-Nya.
Itu hakikat yg pasti. Kita akan kembali ke satu alam yang abadi, di akhirat nanti.
Lantas, apakah masih ingin hidup seperti yang hati kita mahu, terus-terusan mengikut hawa nafsu serta semakin asyik dan tenggelam dgn keasyikan duniawi yang sementara ini?
Wahai saudaraku!
Sedarlah. Hidup ini sememangnya bukan sekadar biasa seperti yang kita fikirkan.
Kita semua sang pengembara, sang musafir yang kini terus berjalan dan berjalan tanpa henti sebelum sampai ke sebuah destinasi terakhir.
Kematian pula sebagai permulaan untuk kita hidup kekal di sebuah tempat abadi, samada dalam keadaan bahagia atau duka.
Pilihlah selagi dapat memilih
Berada di dalam syurga atau neraka. Hanya dua pilhan itu yang Allah akan pilih untuk kita. Tika saat itu, kita langsung tidak berhak untuk memlilih.
Tetapi ingatlah. Kita masih bisa memilihnya semasa kita hidup di dunia ini. Sekarang ini. Detik ini. Tika kita masih lagi diberi nafas ini…
Jika redha Allah yang kita pilih, maka seluruh cara hidup juga sedaya upaya akan kita usahakan ke arah itu untuk meraih nikmatnya syurga.
Namun jika jalan fahsya (keji) juga yang menjadi pilihan kita, maka Allah juga memberikan setimpal dengan apa yang hamba-Nya kerjakan. Allah tidak pernah zalim, kecuali manusialah yang sentiasa menzalimi diri mereka sendiri.
Penutup: renungi kembali azam yang dibina
Kesimpulannya, apa pun azam yang anda sematkan dalam jiwa anda di tahun baru 2011 ini, maka nilailah sebaik mungkin azam tersebut;
apakah titik noktah azam itu diakhiri dengan meraih redha-Nya atau cuma untuk kesenangan dunia semata-semata??
Justeru itu, mari sama-sama kita renungi kalam suci Ilahi ini semoga menjadi peringatan untuk diriku dan diri kalian jua…
“Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memerhatikan (merenung) apa yang telah diperbuat nya untuk hari esok (akhirat), dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan” (al-hasyr:18)
Semoga dengan azam yang kita bina, sama-sama dipermudahkan dan dirahmati oleh Sang Khalik yang Maha Mengetahui apa jua yang kita niatkan kepada azam tersebut…sekian.
p/s: Jika ditanya kepada penulis, apa azam baru tahun 2011 nie? Jawapannya ringkas, ‘ingin perbaiki diri menjadi sebenar-benar hamba, hamba kepada Pencipta Hamba...’
~nukilan rasa (1 a.m-1/1/2011)~